Yang Ikut

Monday, 28 December 2009

Tangguhkan azam tahun baru anda

Reactions: 
Adelaide di hujung tahun tidak ada apa-apa yang mempesonakan. Semua kedai masih ditutup. Jalanraya masih lengang. Beberapa orang aborigin berjalan-jalan sambil memegang botol wiski. Universiti dibuka - hanya makmal komputernya sahaja. Pejabat aku tiada manusia. Hanya aku seorang sahaja pagi ini. Mungkin untuk beberapa hari lagi. Lengang. Seperti sedang ditimpa garuda.

Hujung tahun seperti ini - setiap bandar di Malaysia tentu sedang sangat sibuk. Dari pekan Kaki Bukit di Perlis hinggalah ke Kuala Sedili di Johor, semua orang sedang gelisah membeli pakaian baru sekolah anak-anak. Tahun baru semua mesti baru. Kalau boleh ada kereta baru dan rumah baru. Ada langsir baru dan perabut baru. Isteri sahaja tidak boleh bertukar baru - kerana ia akan menjadikan tahun baru haru biru.

Di sini, sekolah mula dibuka hujung bulan Januari. Jadi, tidak ada apa-apa peristiwa yang menjadikan bandar Adelaide sibuk. Rata-rata orang kulit putih ini pula bercuti panjang. Mereka mungkin pergi melancong ke dunia lain. Dahulu aku jadi hairan, banyak sangatkah duit orang putih ini hingga boleh berjalan keliling dunia. Cukupkah diberi makan keluarga kalau asyik berjalan sahaja.

Sebenarnya pergi melancong adalah budaya mereka. Mereka sanggup menyimpan wang untuk melancong. Seorang guru bahasa Inggeris aku - dia ada kereta buruk. Dia pernah berkata, dia boleh membeli kereta baru kalau mahu. Tetapi, baginya lebih baik ia terus memakai kereta buruk itu - dan wang yang ada digunakan untuk pergi melancong.

Semalam aku pergi dinner di rumah guru lukisan aku. Wanita yang umurnya mungkin sebaya dengan emak aku. Rumahnya besar. Ada kolam renang. Ada laman yang luas. Suaminya seorang jurutera. Tetapi keretanya buruk sahaja. Baik sedikit dari kereta Barina aku.

Ia terbalik dengan budaya kita. Kita tidak pergi melancong. Kita perlu ada kereta besar dan cantik, kalau tidak ditertawakan orang. Kita perlu ada rumah yang boleh menampakkan status kita - biarpun status sebenar kita sudah lebih teruk dari orang papa kedana. Dapat gaji bayar hutang.

Orang putih juga mampu berjalan keliling dunia kerana gaji mereka besar. Mereka juga tidak ada keluarga yang besar. Hanya seorang dua anak sahaja. Kebanyakan pembiayaan pendidikan dan kesihatan pula percuma. Setidak-tidaknya ada insuran yang menanggung hidup mereka. Kalau ditakdirkan mereka jatuh sakit, ada jabatan yang akan membayar kos hidup mereka. Kalau dibuang kerja, ada CentreLink yang akan menanggung perbelanjaan bulanan mereka. Jadi, hidup mereka tidak banyak risiko. Kerajaan akan menjadi talian hayat mereka.

Kita tidak boleh begitu. Kita tidak ada siapa yang menjaga kalau apa-apa yang terjadi. Setakat bantuan sekampit beras ia akan habis dalam masa seminggu sahaja. Jadi kita tidak boleh senang lenang pergi melancong berbulan-bulan. Gaji kita pun bukan besar sangat. Dengan gaji sebulan kerja, kita tidak mungkin boleh membeli kereta, apatah lagi membeli harta. Di sini, gaji sebulan sudah boleh beli kereta terpakai yang baru.

Sebab itu - kalau ada yang berangan-angan hendak bercuti panjang di hujung tahun ini, tangguhkan dulu. Ingat - hidup anda masih panjang. Ingat, anak-anak anda masih belum besar panjang. Kalau terasa ingin berjalan juga, tunggu selepas anda tua dan mendapat wang pencen. Itu pun kalau umur masih panjang.

7 comments:

ihsan_huhu said...

ada centrelink, ada medicare

tp diorg pon berhutang juga. tgk la kat tv/paper pening kepala diorg interest rate naik

Ahmad Al-Hadi said...

itu tanda nya nafsu manusia mana mana pun pada hakikat nya sama je...takkan pernah cukup....

ada orang suka beli kereta....ada org suka pegi bercuti....bila dah pegi bercuti takkan balik tangan kosong kan....

ziarah76 said...

kalau tukarkan sikit niat tapi hasilnya ada perbezaan besar, daripada sanggup kumpul duit mereka melancong ke seluruh negara kepada spend diri, masa, harta atas maksud menyebarkan agama Islam. Alangkah bagusnya. Hidayat

zarzh said...

Saya azam tahun lepas pun masih tak tertunai-tunai lagi, sampai lupa apa azam saya tu, tapi tak apa, tahun baru azam baru.

Ahmad Al-Hadi said...

Ziarah76,
fikir ko memang tinggi...kalau ni fakirfikir....aku rasa ko fikirman....hehehhee

FakirFikir said...

Untuk semua:
No comment..Azam tahun baru aku ialah untuk tak beri respons komen. He he

ohmalaysia.com said...

ooo. patutla org2 aussie ni time summer mlancong2 je kejenya. br tau. coz my fren kt unisa, ada yg pegi UK la, pegi europe la. bestnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails