Yang Ikut

Monday, 1 December 2008

Nak jadi kaunselor?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini gambar tempat aku selalu (atau tak selalu) datang untuk melakukan kerja-kerja mengaji. Kerja kami kat sini cuma untuk mengkaji bidang-bidang yang seperti tertera di papan tanda tersebut. Oh ya. Ada satu lagi. Ada juga yang mengkaji 'orang tidur' atau "Sleep Research'. Aku tak pasti sama mereka mengkaji orang tidur, atau pengkaji itu yang tidur!

Di dalam ofis ini ada 2 orang Profesor dan 2 orang pensyarah dalam bidang stress. Mereka stress tak? Hah, selagi bernama 'orang' tentu stress. Kucing pun stress tengok tikus-tikus semakin besar. Nak makan pun tak berani. Ini kan pula manusia yang hidupnya dikacaukan kenaikan harga petrol dunia dan turun naik matawang.

Kita selalu keliru di antara ahli psikologi dan kaunselor. Orang ingat setiap yang bergelar 'psychologist' boleh juga kaunseling orang yang tak betul atau bermasalah. Belum tentu lagi. Hendak jadi kaunselor, kena ada kursus-kursus dan ujian tertentu. Kaunselor juga sebahagian dari ahli psikologi. Tapi mereka mengkhusus dalam bidang untuk mendengar masalah orang dan kemudiannya beri cadangan apa yang patut. Aku pun tak pasti. Aku bukan kaunselor. Tak pernah pun ikuti apa-apa subjek berkaitan kaunseling. Nak tahu boleh singgah di web site ini.

Di Malaysia sekarang - ada trend yang bukan kaunselor pun nak mengkaunseling orang. Tak percaya, buka suratkhabar. Asal glamour sikit, dan lemah lembut pun boleh dapat kolum dalam suratkhabar untuk nasihat masalah muda mudi. Cadang itu, cadang ini. Ini tak boleh. Kaunselor ada etika. Macam doktor juga. Macam jurutera juga. Ia jawatan yang kena ada tauliah. Kalau semua pakai hukum 'asal boleh", nanti bomoh jual ubat tepi jalan pun mengaku dia kaunselor. Tak kesian ke kat kaunselor. Nanti mereka nak kerja apa?

Mahal tak gaji ahli psikologi ni? Kalau di Barat mahal. Besar dan lumayan. Kalau di Malaysia? Jangan tanya. Tak ada pun jawatan hakiki yang bernama 'psychologist' di Malaysia. Kalau ada pun mungkin di syarikat besar. Ada tak website untuk ahli psikologi di Malaysia? Ada tapi gamaknya mereka sibuk sangat kot. Tak percaya cuba klik ini. Nak update pun tak sempat.

Apa ahli psikologi buat? Macam-macam. Tergantung bidang. Ada yang kaji orang stress di tempat kerja, ada yang buat 'organizational diagnosis', ada yang kaji mental dari aspek klinikal, ada yang kaji hanya budak-budak sekolah dan macam-macam. Nak tahu lebih-lebih, baik meng'google' dalam internet.

Sunday, 30 November 2008

Apa ada di belakang rumah?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa yang ada di belakang rumah? Maklumat ini tidak penting bagi orang yang biasa datang ke rumah aku, atau yang tinggal di Adelaide. Mereka sudah ada gambaran mengenai apa yang ada di belakang rumah. Tapi bagi orang kampung aku di Changlun, atau kawan aku Sdr Zul di Jitra yang biasa dengan pokok kelapa ternoda tupai dan buah mempelam didurjanai ulat, mereka tak dapat bayangkan apa yang ada di belakang rumah aku. Tak penting bagi kita tidak bermakna tak penting untuk orang lain. Jadi gambar-gambar ini 'special' untuk mereka sahaja.

Dahulu aku dah masukkan gambar bunga anggur, sekarang ini nampaknya anggur-angur ini dah mula membesar. Mungkin sebulan dua lagi aku boleh 'update' gambar anggur yang sudah berubah warna jadi 'grape'. 

Oh ya, kenapa agaknya di Perlis kita sanggup belanja besar untuk menanam anggur? Sedangkan buah anggur murah sahaja. Mengapa memaksa sesuatu yang bukan milik kita? Bukankah wang itu lebih baik untuk teroka teknologi padi atau buah-buah khatulistiwa lain - yang boleh menjadikan kita pengekspot. Atau susah-susah, gunakan wang untuk cipta teknologi penyaring akar serai. Sekarang ini penanam serai berskala besar mengeluh - walaupun menanam serai mudah tapi apabila sampai tahap penyaringan - kos buruh begitu tinggi kerana perlu dibuat secara manual.


Ini pokok 'aloe vera' - sama spesis seperti yang tumbuh di Malaysia. Biasanya kami pakai kalau ada anak yang demam. Sama seperti di negara kita juga.


Ini pokok-pokok yang isteri aku tanam. Antaranya pucuk bawang, daun silom, daun 'sup' dan serai. Itu sahaja yang boleh hidup. Pokok cabai melaka juga boleh tumbuh. Tapi biasanya akan mati bila tiba musim panas. Kurang air agaknya.

Ini gambar lukisan yang entah siapa melukisnya di bilik stor belakang rumah. Seperti lukisan aborigin melihat kepada bentuk-bentuk mandala yang terhasil.

Saturday, 29 November 2008

Anda pakai topeng?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Hari ini kita bertanya soalan yang paling mudah. Adakah anda memakai topeng apabila hendak ke universiti, ke tempat kerja atau ke kedai? Ini mungkin soalan yang pelik. Mustahil akan ada orang yang mahu memakai topeng, melainkan kalau dia memang berhasrat untuk menjadi perompak. Atau tak fasal-fasal diundang untuk jadi hero "Spiderman' sebaik sahaja lulus ijazah sarjana muda dengan 'result' yang cukup-cukup makan. Atau sedang dirasuk hantu Helloween yang baik itu.

Sebenarnya perbincangan kali ini berkisar dengan 'topeng' yang satu lagi. Topeng ini juga dikenali 'persona', atau yang paling mudah kita fahami ialah personaliti. Orang yang membawa idea topeng ini ialah Carl Jung (1875-1961). Bagi beliau, manusia ini sebenarnya membawa 'collective unconcious' atau 'archetype' yang diwarisi dari generasi ke satu generasi. Sebab itulah konsep hantu orang Melayu yang terbina dalam minda kita berbeza dengan hantu yang dibayangkan oleh masyarakat kulit putih. Sebab itulah, dalam banyak hal kita takut kehilangan identiti Melayu - walaupun kita sendiri tidak faham sangat apakah yang dimaksudkan dengan identiti itu.

Jadi - dalam hidup kita setiap hari kita terpaksa memakai topeng (persona) untuk terus survival dalam masyarakat. Ini pada akhirnya menghilangkan 'sense of self' diri kita yang sebenar. Kita yang dikenali mungkin bukan diri kita. Sebab itu jangan terkejut beruk melihat orang berkopiah ke masjid, atau bercakap warak di depan kita. Dia mungkin hanya memakai topeng. Seperti juga kita. Walaupun kita mewangikan badan kita dengan 100 botol minyak wangi untuk berjumpa dengan kekasih, pada akhirnya kita tahu siapa kita sebenarnya.

Bukankah selama ini kita telah membuat banyak kesilapan? Kita meminjam wang RM100,000 dari bank untuk membeli kereta baru bagi menyeronokkan mata orang lain. Kita memasang langsir rumah baru setiap kali raya semata-mata kerana ada jiran yang suka menjeling. Kita juga terpaksa mengawal lidah agar tidak begitu keras di hadapan bapa mentua - semata-mata menunjukkan kitalah anak menantu terhebat abad ini. 

Jadi - adakah anda memakai topeng hari ini?

Thursday, 27 November 2008

Apa itu PhD?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tentu ada orang mahu tahu macam mana rasa buat PhD? Hah. Rasanya tidaklah seperti makan buah durian Siam yang dijual di pasar malam Changlun, atau seperti menonton bolasepak Liga Malaysia yang kualitinya jangan ditanyakan lagi. Buat PhD seperti buat rojak buah yang dicampurkan macam-macam benda. Ada yang sedap, ada yang tidak. Tapi sekarang kelihatannya tidaklah sedap sangat. Seperti gambar yang ada di atas tu.

Bagaimana pelajar PhD menghabiskan masa. Bergantung kepada orang dan personaliti. Kalau aku boleh lihat di www.fakirfikir.blog.com. Bagaimana progress? Sdr Ben Krenmaut kata tak boleh tanya soalan yang berkaitan progress dan orang belum pernah tanya soalan semacam itu. Supervisor kita sendiri pun belum tentu berani tanya.

Jadi apa itu PhD? Apa-apa saja asal jadi!

Wednesday, 26 November 2008

Berita apa pula ni?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Ini berita apa ni? Suratkhabar Messenger apa pula? Sebenarnya itulah suratkhabar 'free' yang aku dapat setiap hari Sabtu. Kadang-kadang mereka campakkan ke atas tong itu, kadang-kadang mereka baling ke dalam pagar rumah.

Yang sebelah suratkhabar tu pula brosur promosi jual barang. Tiap-tiap hari ada. Macam-macam supermarket daripada Coles, Harvey Norman, IKEA, Designer Direct sampailah ke OfficeWork. Semuanya nak menggoda aku beli barang. Mereka tak tahu aku tak ada duit sangat. Tapi bagusnya - banyak kawan-kawan aku yang kerja edar benda ni. Boleh juga duit poket.

Tak jauh dari suratkhabar tadi ialah rumah yang aku duduk sekarang. Banyak kawan-kawan aku tanya berapa harga rumah, macam mana kehidupan di Adelaide ni. Sebenarnya tak banyak beza hidup di Adelaide atau di Kuala Lumpur. Yang beza sama ada kita ada duit atau tak ada. Din kawan aku tentu faham maknanya.

Rumah aku ini kepunyaan orang Greek. Rumah ini mungkin dah lama dibina. Mungkin sekitar tahun 1960-an lagi (aku agaklah). Di dalamnya ada 3 bilik, satu ruang dapur dan di belakangnya ada 'back yard'. Agak luas juga keseluruhan kawasan rumah ni. Dalam tradisi kita, 'back yard' mungkin tidak begitu ada. Tapi di kalangan orang Barat, mungkin sebab hendak 'privasi', maka 'back yard' digunakan untuk tujuan berehat, berparti dan mustahil lari daripada along. Tapi sekarang, 'back yard' ini hanya dijadikan tempat parking kereta anak aku (tak pasti berapa, mungkin 10 buah). Aku sewa rumah ni AUD 200 seminggu.


Jarak dari rumah aku ke bandar Adelaide lebih kurang 3-4 minit dengan menaiki bas kuning. Mungkin rumah aku antara yang terdekat dan termurah di kawasan Mile End ini. Di depan rumah itu ada 3 tong sampah - merah (rubbish), kuning (recycle) dan hijau (tumbuh-tumbuhan). Aku rasa di Malaysia kita tidak sebaik ini untuk asing-asingkan sampah. Masukkan sampah ke dalam tong pun mungkin sudah dianggap sangat bersopan. Setiap hari Rabu akan ada lori yang datang kutip sampah.


Ini kereta buruk aku. Aku beli AUD 200. Jangan pandang rendah. Aku ada 2 bijik kereta buruk macam tu. Di belakang kereta tu ialah 'garage' yang sepatutnya aku simpan kereta tu.

Kalau nanti nampak kereta tu berlegar-legar di Kuala Lumpur, jangan pula tak tegur. Mungkin akulah yang ada di dalamnya.

Tuesday, 25 November 2008

Apa khabar orang kampung?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa khabar orang kampung? Ini soalan yang mudah. Soalan yang kita biasa tanya apabila kita bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Namun, hakikatnya jawapan yang mereka berikan tentu tidak seindah yang kita jangkakan.

Beberapa bulan lalu, harga petrol naik mendadak. Semua orang terkejut besar. Para peniaga dan korporat pun terkejut juga. Tapi terkejut mereka tidaklah seperti orang kampung. Mereka terkejut tetapi menaikkan harga barang. Seperti orang latah yang pura-pura tak faham apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Sekarang ini harga petrol sudah jatuh. Di Adelaide, harganya sudah jadi 0.99 sen seliter semalam. Mungkin harga yang paling rendah. Di Malaysia pun khabarnya harga petrol akan turun lagi. Itu kalaulah menjadi. Adakah orang kampung suka berita ini?

Belum tentu lagi. Ketika harga petrol tinggi dulu, harga getah juga tinggi. Pernah mencecah lebih dari RM5.00 sekilogram. Sekarang tidak lagi. Harga getah jatuh merudum. Lebih cepat dari turunnya harga petrol. Sekarang ini cuma RM 1.70 sekilogram.

Maksudnya, orang kampung sudah jadi 4 kali lebih susah. Harga barang yang naik ketika kenaikan harga petrol beberapa bulan yang lalu belum lagi turun. Pak Mat di Kampung Belukar tentu pening kepala sekarang. Motivasi untuk menoreh sudah kurang. Tidak menoreh nanti 'miss soru'. Tambah payah bila hujan turun tak mahu berhenti.

Bukan juga semua orang kampung ada kebun getah. Yang menanam padi juga tentu susah. Apa tidaknya, sekarang ini yang jadi petani sebenarnya hanya jadi hamba orang lain. Yang kaya tauke yang punya 'tractor' pembajak tanah dan mesin penuai padi. Orang kampung cuma ada tanah. Semuanya perlu diupah. Racun padi kena beli sendiri. Semuanya kena beli. Jadi, setelah 6-7 bulan, yang orang kampung dapat hanya duit subsidi. Itu sahaja lebihan dari tolak segala jenis hutang. Itulah duit yang mereka simpan untuk beli beras yang dipek kemas dalam guni.

Sebab itu orang kampung tidak kaya. Mereka rajin, tetapi mereka tak boleh jadi tauke. Banyak orang kata sekarang ini orang kampung kaya dan senang. Tengok atas bumbung rumah ada piring ASTRO. Tengok depan pintu ada kereta Proton Wira. Belakang rumah ada motosikal Modenas. Belum lagi dalam rumah. Ada tv Sony 16', ada peti sejuk Toshiba.

Siapa kata itu lambang kekayaan. Itulah beban hutang yang mereka bawa masuk dalam rumah. Kalau tak bayar, silap-silap nanti tanah belakang rumah kena gadai.

Jangan salahkan orang kampung ada nafsu semacam itu. Itu sahaja harta yang boleh mereka tunjuk dan waris kepada anak-anak. Dalam tv hari-hari sebut "wang besar! wang besar!".

Siapa yang tak teringin jadi kaya. Nak 'deal' projek besar mereka tak ada kaki. Untuk dapat projek tebas rumput jalan dan buat longkang dalam kampung pun kena berebut dengan banyak ahli politik satu kampung.

Jadi apa yang boleh kita buat? Sebab itulah di kampung aku ada bomoh panggil wang. Penuh rumahnya setiap malam Jumaat. Banyak orang nak jadi kaya dengan cara mudah. Yang orang tak faham - kenapa bomoh panggil wang juga tak kaya-kaya?

Mungkin di tak sebut wang besar! wang besar!

Thursday, 13 November 2008

Psikologi orang gila

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda pernah gila? Tentu belum pernah dan harapnya jangan. Kita boleh memerhatikan orang gila, tetapi jangan suka-suka untuk jadi gila. Kalau begitu, bagaimana kalau kita ikuti kelas "Psikologi Lanjutan" di sini.

Gila' ini cuma istilah orang Melayu bagi menggarapkan semua jenis penyakit mental. 'Crazy' yang digunapakai oleh orang Barat tidak menggambarkan penyakit - ia hanya lebih kepada perangai yang kurang senonoh.

'Gila' yang kita tahu mungkin perlakuan aneh atau luar dari norma orang normal. Ayat yang paling mudah ialah tidak betul atau 'disorder'. Orang yang sakit sebenarnya mungkin mengalami 'depression disorder' - (murung, sedih, gelisah), 'obsessive compulsive' (berulang-ulang atau was-was), split personality, schizophrenia dan macam-macam lagi.

Apa agaknya soalan yang ditanya orang gila. Soalannya mungkin begini:-
a) Katakan satu 'ruang' dipindahkan ke tempat yang lain, apa akan berlaku kepada ruang yang asal tadi?
b)Tuhan menjadikan manusia baik dan buruk, kenapa pula ada orang yang jahat dihukum neraka, dan orang baik dimasukkan ke dalam syurga. Sedangkan semuanya Tuhan yang menjadikan.
c) Kita ada empat mazhab - manakah yang paling benar. Mustahil semuanya benar dan perlu hanya satu yang betul.

Hah. Jangan jawab semua soalan ini menggunakan akal (Nota: jawapannya ada di bawah). Nanti anda juga akan dilanda penyakit 'gila'. Soalan ini sebenarnya ialah soalan-soalan orang gila yang bukan dialami oleh mana-mana pesakit psikologi, tetapi yang telah menimpa aku sendiri pada tahun 2000. Selama hampir setahun juga keceramukan ini melanda diri. Dua bulan pertama paling serius, lama kelama-lamaan hilang sendiri.

Apa simptom orang gila ni? Macam-macam. Antaranya:-
a) Tidak mahu makan - bukan tidak lalu makan. Sebabnya mahu cepat mati agar mendapatkan semua jawapan tadi.
b) Susah untuk tidur malam - dan kalau tidur pun akan terjaga di tengah pagi. Biasanya tidur diganggu oleh mimpi ngeri atau 'mengilhamkan' soalan-soalan gila yang lain.
c) Suka untuk terus tidur di waktu pagi dan tak mahu bangun-bangun. Sebab utama, kalau kita bangun kemungkinan besar kita terpaksa berfikir dengan soalan-soalan yang gila tadi.
d) Dada berdebar-debar, gelisah - lebih teruk dari ketika berada di depan pintu dewan peperiksaan. Walaupun teori mengatakan kita berdebar-debar kerana gelisah, tetapi realitinya berdebar-debar itu datang dahulu sebelum gelisah. Jadi kita sudah tahu yang soalan-soalan pelik tadi akan datang sejurus selepas kita berdebar-debar. (Ini pasti kerja Syaitan - istilah yang tiada dalam psikologi Barat baik Carl Jung, Sigmund Frued, etc.)
e) Murung - sebab banyak sangat soalan yang hendak difokuskan. Biasanya kita tidak melayan soalan yang mudah. Kalau berbual dengan orang pun, ia hanya lakonan. Fikiran kita sebenarnya terus menaakul soalan 'besar' kita sendiri.
f) Menangis - sebabnya kecewa - berkemungkinan kita termasuk dalam kelompok orang berdosa dan akan dihukum Tuhan.
g) Berjalan sambil bercakap sendirian atau membuat satu pusingan - sebabnya kita cuba mencari sesuatu yang 'unexist'. Sebab itu banyak orang gila banyak berjalan-jalan - mungkin sebab tak menjumpai apa yang ingin dicari.

Ketika sakit tu sangat teruk - terasa ingin hendak mati - pukul 12 malam - aku pergi berjumpa dengan seorang alim di kampung aku. Ingin bertanya soalan-soalan pelik tadi. Umurnya dah 70-an masa tu. Dua tahun lalu sudah kembali ke Rahmatullah. Soalan pertama yang dia tanyakan dalam bahasa Kedah "hang mengaji apa?" Aku jawab, 'psikologi'. Masa tu badan aku dah jadi pucat lesi. Rasa berdosa sangat. Dia jawab balik , 'Oh. Baguihlah. Nak jadi doktor jantung, kena sakit jantung dulu... baru tau macam mana rasa'.

Dia pun jawab soalan-soalan tadi b) dan c). Soalan a) lebih merupakan soalan ahli fizik. Tak payah ditanya kepada beliau.

Soalan b)Sebagai pembeli ikan, adalah hak kita sama ada untuk menggoreng, memasak, membuang ke dalam tong sampah atau apa sahaja yang patut kita lakukan terhadap ikan. Ikan tiada hak untuk bertanya. Hak ikan hanya berenang di dalam air. Moralnya:-kerja seorang hamba (ikan) ialah membuat apa yang diperintahkan Tuhan. Bukan hak hamba untuk bertanya di mana tempatnya di akhirat nanti. Akan begitu, Tuhan sudah berjanji akan memberikan kebaikan kepada orang yang membuat baik.

Soalan c) Semua mazhab adalah betul. Pilihlah salah satu daripadanya dan beramal dengannya. Dan satu lagi pesannya, 'beritahu kepada Syaitan di sebelah kiri hang tu...semuanya betul."

Sebenarnya banyak lagi soalan-soalan lain yang tak sesuai dibincangkan di sini. Isu utama bagi semua sakit mental ialah soal 'jiwa'. Dan ubat utamanya juga ialah mengubat jiwa. Macam mana nak ubati jiwa ni?

Aku bersyukur sekurang-kurangnya 'sakit' itu menambah lagi korpus ilmu dunia psikologi. Sebagaimana sakit mental bukan satu permintaan untuk sesiapa pun, ia juga bukan satu bentuk pembelajaran praktik yang diinginkan di bilik kuliah psikologi bilazim.

Tuesday, 11 November 2008

Selamat menempuh panas musim peperiksaan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kedua-dua buah universiti, University of South Australia dan University Adelaide sudah lengang. Sibuk musim peperiksaan. Banyak pensyarah juga sudah lari meninggalkan Adelaide melancong ke dunia yang lain.

Peperiksaan memang meninggalkan kesan besar dalam hidup kita. Peperiksaan itu jugalah yang telah mencampakkan aku ke pulau Australia ini. Peperiksaan itu jugalah yang menyebabkan ramai orang terpaksa bergelumang dengan habuk simen, hanyir lumpur dan basah peluh. Walaupun lulus peperiksaan bukanlah bermakna kita bijak, tetapi tidak ada sesiapa pun yang mahu menerima kita kalau kita gagal.

Peperiksaan besar pertama yang aku duduki ialah pada tahun 1983 - mengambil Peperiksaan Darjah Lima (sekarang ini UPSR). Jangan memandang rendah dengan peperiksaan ini.

Kerana peperiksaan inilah, aku, Hasni, Othman, Jefri, Khairul dan Helmi kemudiannya terpaksa terlantar duduk di asrama Sekolah Menengah Jitra selama bertahun-tahun.

Tatkala teman-teman kampung yang lain masih asyik bermain lastik burung, kami sudah terpisah dengan keluarga. Itulah permulaan kami bersekolah di bandar besar dan hidup sebagai 'ayam daging' yang dijamu makan siang dan malam.

Juga jangan disangka dalam dunia ini manusia hanya dianugerahi gelar "Dato" atau "Datuk Seri". Kerana peperiksaan yang membawa kami ke sekolah asrama itulah, kami juga mempunyai gelar masing-masing. "Kerbau", "Kuda", "Katik" dan "Belalang" adalah antara nama samaran yang kami miliki. Hasni tentu tahu semua gelar ini.

Tahun 1989 - aku mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Waktu itu, pemblog-pemblog yang aku listkan di situs ini (kecuali pun mungkin Brader Ben dan Azam) - termasuk juga pembacanya - mungkin masih lagi bernyanyi lagu "Ayahku Pulang dari Kota' di tadika Kemas atau Pasti. Itu yang tua sedikit, kalau yang muda mungkin masih memakai pampers jenama Anakku.

Satu malam, lebih kurang jam 2 pagi seorang temanku, Munir namanya telah tergesa-gesa memangil kami semua. Dia yang kebasahan hujan secara berbisik memberitahu bahawa dia sudah mendapat soalan bocor peperiksaan matematik kertas 1. Entah dari mana dia dapatkannya. Itu rahsia besar. Sebesar rahsia 6 kotak Ezam.

Hah. Itulah peluang terbaik kami semua. Beberapa pakar matematik termasuk Hasni telah dipanggil. Tugas kami hanya menghafal jawapan. Malam itu kami tidak tidur. Untuk apa tidur, kami sudah tahu kami akan lulus dengan cemerlang.

Besoknya, dengan penuh sombong dan yakin kami melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Membuka sahaja kertas soalan - aku tahu bahawa mendung hitam sudah datang. Apa tidaknya, sepatutnya soalan pertama mempunyai pecahan a dan b. Malangnya, soalan yang ada di atas meja hanya mempunyai satu jawapan. Tidak perlulah anda menjangka gred matematik yang aku perolehi.

Itulah antara sebabnya ketika teman-teman lain sudah lama melangkah ke universiti sesudah SPM - aku masih lagi berpakaian sekolah mengambil STPM.

Seiingat aku - itulah soalan bocor pertama dan terakhir yang aku perolehi. Peperiksaan sesudahnya, aku tidak lagi percayakan kepada sesiapa pun. Termasuk pensyarah sendiri yang kononnya baik untuk memberikan soalan ramalan.

Kepada yang sedang mengikuti peperiksaan, kita ucapkan 'selamat menempuh panas musim peperiksaan'. Tentu ia akan lebih panas dari musim panas yang sedang menjenguk kita.

Monday, 10 November 2008

Kalau mereka tahu...

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di persimpangan Grange Road dan South Road, kita boleh ternampak satu iklan papan tanda besar betul-betul di atas simpang empat jalan tersebut. "WANT LONGER LASTING ***". Kononnya dengan teknologi Nasa, ia mampu menguatkan tenaga libido manusia. Lokasi iklannya memang mampu menarik pandangan mata siapa yang melewati jalan tersebut.

Pada malamnya pula, kalau kita rajin membuka televisyen, akan tersiar pula iklan "Erection Problems' sambil dua orang lelaki membuka seluarnya dan meloncat-loncat bermain piano. Jangan tanya dengan apa mereka bermain piano. Tentunya bukan dengan tangan! Sekiranya bermasalah, kita boleh mendail nombor telefon bebas tol yang tertera.

Itu belum termasuk iklan-iklan porno wanita berbogel yang disajikan di tengah malam. Iklan ini akan menarik penonton untuk melanggan gambar-gambar porno yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit.

Kalau sesekali kita membelek iklan kecil akhbar harian, akan juga ada iklan-iklan mencari pasangan semalam dua sama ada untuk lelaki atau wanita. Termasuk juga mereka yang mencari atau ingin dicari pasangan sejenis. Iklan juga akan memberikan 'details' orang berkaitan misalnya nombor telefon, warna kulit dan rambut, umur, keturunan dan pasangan yang ingin dicari. Ya, begitulah hebatnya iklan di Adelaide yang sunyi ini.

Sebenarnya - ada satu hal yang belum mereka ketahui apabila mereka mengiklankan produk-produk seks ini. Kalau mereka tahu, belum tentu mereka akan berselindung di sebalik teknologi Nasa atau sanggup bertelanjang di depan piano sambil menunjukkan kekuatan masing-masing. Mereka akan berasa malu dan begitu terhina kalau tahu mengenainya.

Ya, mereka belum tahu mengenai kehebatan tongkat Ali. Satu nama besar yang mampu mengatasi sejuta produk penguat libido manusia. Kalaulah tongkat Ali juga dikenali penduduk Australia, pasti akan ada iklan orang tua bertongkat yang sering mengunjungi lorong belakang Hindley Street (apa yang ada di situ?).

Sayang - tongkat Ali hanya gah bagi orang Malaysia. Ia hanya dongeng cerita bagi lelaki yang kekurangan tenaga di negara kita. Realitinya, ia tak mampu pun memecah berahi masyarakat global.

Sunday, 9 November 2008

Biar gambar bercerita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini sebahagian daripada gambar yang sempat dirakamkan ketika trip ke Melbourne sebelum puasa yang lalu. Memandangkan banyak sangat yang perlu diceritakan, jadi kita biarkan gambar yang bercerita.

Umi, boleh tak kalau kita beli salji ni banyak-banyak, kita bawa balik kampung?
Tak pun minta aja ayah beli Mt. Buller ni...

Kalau nanti duit raya Man dah cukup, kita bersanding kat sini ye Yamin.
Ish, Man ni. Kan Yamin dah cakap, Yamin dah ada yang punya.


Betul ke Yamin tu tak nak kat aku...tak caya aku...

Great Ocean Road...memang 'great'...aku tidur sepanjang dalam kereta...

Thursday, 6 November 2008

Bahasa Melayu dimusuhi lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar diadakan papan tanda jalan menggunakan pelbagai bahasa selain bahasa Melayu tidaklah mengejutkan. Ia dicadangkan oleh Ketua Menteri, YAB Lim Guan Eng yang bukannya seorang yang berbangsa Melayu.

Sebenarnya, usaha mengurangkan pengaruh bahasa Melayu bukan hanya timbul gara-gara cadangan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Ia telah dimulai lama sebelum itu dengan cara yang cukup sistematik. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sepatutnya bertindak sebagai badan berkuasa bagi menjaga bahasa sepertinya tidak mempunyai banyak kuasa untuk bertindak.

Tidak perlu pergi sangat jauh. Bangunan-bangunan yang ada di sepanjang Jalan Cheras, Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah yang sebetulnya sangat dekat dengan bangunan DBP pun sudah lama mengkesampingkan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda mereka. Berapa banyak syarikat yang telah disaman gara-gara tidak mempamerkan papan tanda dalam bahasa Melayu?
Itu belum termasuk iklan yang menggunakan bahasa rojak di televisyen dan radio. Siapakah yang pernah mencuba untuk mengambil langkah memperbaiki keadaan tersebut.

Lebih malang - bahasa Melayu kehilangan statusnya sebagai bahasa rasmi. Kita berbangga dengan bahasa asing - walalupun kita mungkin tidak bertutur dengan betul. Seolah-olahnya orang yang bijak berbahasa Inggeris lebih tinggi daya intelek dan lebih pandai berfikir berbanding dengan orang yang hanya tahu bahasa Melayu.

Langkah pengurangan pengaruh bahasa Melayu itu diperkuatkan lagi apabila kita mula menghapuskan bahasa baku dan memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Kita juga secara tidak langsung - sedar atau tidak - menjadikan bahasa Inggeris sebagai pra-syarat untuk membolehkan seseorang diterima berkerja baik di organisasi awam atau swasta. Bagi syarikat swasta yang dimonopoli oleh bukan Melayu - mereka telah menetapkan syarat kefasihan berbahasa Inggeris atau Mandarin.

Sedikit waktu dahulu - pejuang bahasa seperti Prof Shaharir Mohd Zain atau Datuk Hassan Ahmad sepertinya tidak diletakkan pada kedudukan yang betul apabila kritikan mereka dasar berkaitan bahasa yang tidak konsisten kadang-kadang seperti diremehkan.

Sewajarnya bahasa Melayu boleh diperluas dan diperkukuhkan lagi. Misalnya mewajibkan setiap pekerja asing lulus dalam ujian bahasa Melayu sebelum boleh memohon visa berkerja. Sekurang-kurangnya orang luar ini akan dapat menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik dan kemudiannya dapat dikembangkan di negara asal mereka apabila pulang nanti.

Apa kan daya - kita tidak berusaha untuk memperteguhkan bahasa sendiri dan meremehkannya pula. Ia bukan didatangkan oleh bangsa bukan Melayu, tetapi dari kelompok Melayu sendiri yang menguasai badan birokrat dan elit politik.

Sewajarnya, kita menggunakan kekuatan politik bagi memperteguhkan bahasa. Bukannya menggunakan bahasa bagi memperteguhkan reputasi politik. Jadi, perjuangan bahasa mestilah ikhlas. Jangan pada satu masa kita diam ketika isu bahasa muncul, dan pada saat yang lain kita sibuk pula menjadi juara berbahas soal bahasa.

Hari ini, jangan terkejut apabila orang lain meminta sesuatu yang boleh mengurangkan kedudukan bahasa Melayu. Selagi bahasa dilihat dari sudut perkauman, selagi itulah ia akan menjadi mangsa kepentingan diri.

Jangan marahkan pada Lim Guan Eng.

Kita tahu - banyak cara lain lagi yang boleh mereka lakukan tanpa perlu mengorbankan identiti bahasa Melayu. Misalnya sediakan brosur dan peta bercetak dalam bahasa asing. Jadi ia akan memudahkan mereka. Lagi pula - dalam banyak kes, berapa ramaikah pelancong asing yang memandu kenderaan di Pulau Pinang dibandingkan dengan rakyat Malaysia sendiri.

Mungkin esok kita dipaksa pula bertutur dan menulis dalam bahasa orang lain kerana bahasa Melayu telah hilang nilai ekonominya. Jangan marah pada sesiapa pun. Marahlah diri kita sendiri. Kalau kita sendiri tidak mencintai bahasa kita, jangan memaksa orang lain untuk sayang bahasa kita.

Kalau tidak - sampai kiamat pun kita masih tidak selesai berdebat soal bahasa apakah yang patut menjadi milik rakyat Malaysia.

Wednesday, 5 November 2008

Kenapa merah sangat ni Kak Pah?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tadi, kawan lama aku ada komplen. Aku tulis panjang sangat. Macam novel katanya. Jadi untuk memuaskan hati dia, kali ini aku tak tulis panjang. Sekadar ucapkan Selamat Pengantin Baru untuk Kak Pah yang baru menikah bulan lalu. Kali ini kalau nak baca catatan pendek, sila ke fakirfikir.blog.com. Kat situ aku cuba buat blog nota. 

Siapa Kak Pah ni? Boleh lihat gambar dia. Dia kawan aku yang jarang bercakap baik-baik dengan aku. Kami bekerja bersama di Kuala Lumpur dulu. Cuma aku tak sempat tanya dia, berapa hantaran kahwinnya? Ini perkahwinan yang ke berapa? Siti datang tak?

Tuesday, 4 November 2008

Sekuntum mawar merah untuk Aishah*

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

*Aishah dalam catatan ini ialah bekas teman sekerja di Kuala Lumpur.

Beberapa minggu lagi -  Aishah akan menempuh alam baru hidup berumahtangga. Seperti biasanya - semua orang akan mengimpikan kebahagiaan. Menjadi isteri yang soleh, mendapat suami yang baik dan hidup tidak dilambung gelombang.

Satu ingatan - gadis muda sepertinya - perlu meninggalkan alam bermain layang-layang. Perlu bersedia berlari di padang berduri. Dia sebenarnya bukan hanya bakal mengahwini lelaki yang mengenali dirinya dengan hanya sedikit - tetapi dia juga bakal 'mengahwini' orang lain di sekeliling suaminya. Dia tidak hanya perlu menggembirakan hati suaminya, tetapi kadang-kadang perlu 'lebih' menggembirakan orang lain yang bukan pilihannya. Tetapi itulah adat perkahwinan. Seperti dia, suaminya juga begitu. 

Tahun pertama perkahwinan biasanya tempoh yang sukar. Akan bertemu nantinya banyak hal-hal baru dan asing. 10 tahun percintaan pun tidak akan sama dengan seminggu perkahwinan. Ketika bercinta - semua perkara adalah keindahan. Semuanya adalah manis. Boleh berjanji sama-sama memanjat Himalaya dan terbang di awan. 

Perkahwinan tidak begitu. Apa tidaknya. Percintaan tidak memerlukan sebarang tanggungjawab dan komitmen. Wanita - tidak perlu memasak, membasuh baju, mengemas dapur, atau melayan kerenah anak kecil. Lelakinya pula - tidak pula perlu memikirkan sewa rumah, membeli perabut, bayaran hutang kereta, api letrik dan sebagainya. Hidup boleh diasak seadanya. Yang penting untuk hari ini, bukan esok.

Perkahwinan adalah keindahan yang bersembunyi di sebalik kesulitan. Semakin sulit - semakin indahlah perkahwinan. Banyak hal-hal yang tidak kita ketahui perlu dipelajari. Saat itu jugalah kita akan mengenal hati budi masing-masing.  Kita akan tahu perangai sebenar pasangan masing-masing. Ketika bercinta - kita boleh menyembunyikan 'kurap' di sebalik baju kemeja, dan panas baran di sebalik senyum mesra. Setelah berkahwin tidak ada apa yang boleh disembunyikan. Siapa pun dia - itulah pasangan yang terbaik yang kita miliki.

Perkahwinan - adalah keseliratan asam garam gulai rumahtangga. Kebimbangan kita bukan sekadar hari ini - tetapi 30 tahun perancangan ke hadapan sudah menyulitkan rongga fikir. Ada ketikanya - kita bimbangkan dapur tidak berasap. Kita bimbangkan kecil hati keluarga mentua. Kita bimbangkan hilang pekerjaan. Itulah perkahwinan. Berselirat semua hal - baik dan buruk - hidup sebagai manusia. Sama-samalah terus megemudi dan menongkah perjalanan dengan baik. 

Merajuk dan makan hati bukan lagi cara yang sesuai untuk mendapat perhatian. Setiap yang berkahwin perlu cekal. Jangan bimbang jika satu saat nanti sesekali ada ribut yang melanda. Ia sebahagian daripada sifat rumahtangga. Tetapi jangan sesekali membiarkan perahu karam. Sebagaimana kita berani membuat keputusan untuk berkahwin - perlu juga kita berani menghadapi apa sahaja yang datang. 

Di alam pekerjaan - kita boleh marahkan orang lain jika ada keburukan. Di alam perkahwinan - kita hanya boleh salahkan diri sendiri jika ada ketempangan. 

Jadi - lakukanlah yang terbaik. Satu langkah yang mungkin sesuai - pikatlah hati keluarga mertua secara bijaksana. Biarkan suami memberikan wang belanja kepada keluarga kita, dan kita pula menghulurkan bantuan kepada kedua ibu bapa mertua. Wang itu mungkin dari satu sumber yang sama - tetapi sesekali tidak salah kita berlakon untuk menunjukkan yang kita adalah hamba yang sempurna dan anak yang solehah. 

Selamat berumahtangga. Moga bahagia kekal ke anak cucu. Untuk Aishah, kita hadiahkan sekuntum mawar merah.

Monday, 3 November 2008

Burnout

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
23 hari sudah berlalu sejak balik dari Malaysia. 23 hari itu aku tidak berbuat apa-apa. Mungkin ini dikatakan 'minda monopaus'. Kadang-kadang ke universiti, kadang-kadang tidak. Pergi pun tidak membuat apa-apa hal yang besar. Ke library sesekali - itupun mencari sudut yang baik untuk tidur. Kalau ke ofis pun bukannya melibatkan dengan hal-hal pengajian, sebaliknya lebih kepada mesyuarat jabatan. Aku tidak pasti sama ada ini dah termasuk dalam kategori 'burnout' - 'EMOTIONAL EXHAUSTION -- DEPERSONALIZATION - REDUCED PERSONAL ACCOMPLISHMENT'. Tapi yang pasti - keadaan ini membuatkan otak tak dapat berfikir dengan baik - walaupun dalam keadaan normal pun otak tidak berfikir perkara yang baik.

Hari ini - genap setahun 18 hari aku singgah di bumi Kanggaroo ini. Sebenarnya, aku sampai ke Adelaide ini pun tak pernah dirancang. Angan-angan sebetulnya ke UK atau tempat lain di Upsalla University di Sweden. Tapi nampaknya hidup ini hanya tempat untuk bermimpi. Jadi atau tidak bukan hal kita. Jadi sampailah aku ke Adelaide ini. Bermula daripada menaiki pesawat MAS di KLIA, menaiki teksi ke rumah 3 anak dara di Onvingham, menumpang di rumah Kak Ton, sampailah duduk di rumah sekarang. Terima kasih kepada yang membantu dalam tempoh sepanjang ini.

Memandangkan 'otak sedang mandul', jadi aku stop dulu menulis. Nanti aku akan tulis spesifik pasal "Burnout' vs Engagement'.

Saturday, 1 November 2008

Jangan kita hilang lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bulan October 2003 aku pernah sampai  di Perth. Waktu itu aku datang ke Australia bukan untuk mengaji PhD. Aku datang bermesyuarat beberapa jam dan selebihnya banyak dihabiskan dengan makan angin. Perth - bandar yang cantik. Ia seperti Adelaide. 

Kali ini - apabila membaca akhbar Malaysia - ada 7 pelajar Malaysia yang 'hilang' di Australia. Semuanya dari Perth. Tidak dipastikan sama ada ia hilang 'betul', atau sengaja menghilangkan diri. Tentu sahaja keluarga mereka yang jauh di Malaysia begitu bimbang. Mana-mana ibu bapa pun akan berasa bimbang. Kalau anak yang terpisah sejauh 30 kilometer, belajar di sekolah asrama pun sudah kita bimbangkan. Apakan pula kalau beribu-beribu batu. Kehilangan mereka itu pula berlaku di negara asing - yang berbeza budaya dan agama. Macam-macam boleh jadi. Kalau Kuala Lumpur pun banyak perkara pelik boleh berlaku - tentunya kita patut berasa bimbang kalau ia terjadi di negara orang.

Kita tidak tahu apa puncanya mereka menghilangkan diri. Harapnya mereka tidak hilang, cuba tersalah maklumat. Harapnya mereka masih bertemu jalan pulang dan tidak tersesat di negeri orang. Bukan hanya kerana mereka pelajar pintar, tetapi kehilangan mereka akan membuatkan orang-orang yang menyayangi mereka akan berduka cita dan tidak dapat tidur malam.

Sebetulnya, ramai pelajar kita yang belajar di negara orang ialah mereka yang terpilih. Sama ada mereka belajar di Amerika, Australia, Kanada atau England, semua mereka telah menempuh banyak peperiksaan dan teruji. Tapi, dalam dunia realiti - mereka sebetulnya masih muda. Banyak hal yang belum mereka lalui. Banyak orang yang belum mereka temui.

Menamatkan alam sekolah, mengikuti A-Level atau Matrikulasi dan kemudiannya terus ke universiti tentu sesuatu yang sangat mencabar. Bagaimana pun harus diingat - sebagai pelajar pintar mereka hanya bergaul dengan orang baik-baik. Tentu mereka belum lagi bertemu dengan penyamun, pencuri dan perogol. Orang jahat tidak banyak dalam perjalanan mereka sejak dari sekolah rendah hingga tamat A-Level. Kalau jahat pun - sekadar nakal budak-budak asrama mencuri sepasang kasut atau 'melompat pagar' menonton wayang. Itu bukan jahat. Itu nakal.

Bergaul pula dengan orang Barat, terdedah dengan sistem 'boleh apa sahaja' - menyebabkan kalau tidak cukup iman di dada, yang pintar belum tentu tidak ditipu. Pada pandangan mereka berasaskan penilaian Barat mungkin tidak salah. Tetapi - kita ada norma dan nilai kita sendiri. Tidak salah di kaca mata Kevin Rudd belum tentu tidak salah di kaca mata DS Abdullah Ahmad Badawi.

Kadang-kadang - untuk mengelak dari kacau bilau dunia asing itu - mereka mencuba mengikuti kelas-kelas agama yang disediakan persatuan tertentu. Ada yang baik, dan tentu ada yang kurang. Beruntung kalau bertemu dengan orang yang betul. Banyak hal-hal sekularisme dan liberalisasi agama yang akan menujah pemikiran mereka. Mendengar nama Muhammad Abduh, Jamaluddin Al-Afghan dan banyak lagi tokoh terbilang menjadi kita teruja. Tapi kita juga perlu ambil tahu asal usul dan siapa mereka. Di negara luar juga mereka bertembung dengan pelbagai aliran mazhab dan kepercayaan. Semua ini tentu merumitkan.

Hendak disalahkan mereka tidak boleh juga. Siapa yang boleh mengajar mereka asas agama berpandukan kitab muktabar? Banyak orang pandai agama akan menyambung pengajian PhD di Timur Tengah. Bukan di Australia atau Kanada. Jadi yang tinggal di negara kulit putih ini dari aliran bukan agama - baik ahli sains, jurutera, matematik dan sebagainya. Jadi -siapa yang boleh memperkenalkan mereka dengan apa itu percanggahan Wahabi dan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah secara mendalam. Sejauh mana yang boleh dan tidak boleh dalam hal beragama.

Jadi semua ini akan menggangu gugat mereka ketika meneroka ilmu sekular. Mungkin - sampai waktunya di setiap bandar di luar negara, yang ada majoriti pelajar Malaysia - kita sediakan seorang ustaz untuk mengajar dan membimbing hal-hal agama. Agar mereka itu tidak tersalah dan tersilap. Moga-moga kita tidak tersesat dan hilang di negara orang.

Cerita budak-budak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Menjadi budak-budak tidak sama seperti menjadi orang tua. Budak-budak banyak permintaanya. Sama ada apa yang diinginkan itu ada atau tidak, boleh atau tidak boleh, ia bukan perkara utama. Yang utama ialah apa yang dihajati akan dicapai. Dalam istilah psikologi oleh pendokong Sigmund Frued, dalam diri manusia ada naluri 'Id'. Bagi 'Id' - apa sahaja yang diinginkan mesti dipenuhi sama ada ia bertentangan dengan norma atau tidak. Keinginan budak-budak sama dengan 'Id'. Kalau ingin mendapatkan wang - ia perlu didapatkan. Mencuri, menyamun, atau apa sahaja yang boleh memungkinkan wang diperolehi. Yang utama hajat dicapai. Begitulah pertimbangan kanak-kanak. Mereka tidak ambil tahu apa yang orang tuanya fikirkan. Ia tidak pernah ambil tahu harga minyak naik turun di stesen Shell, atau bilangan letrik musim sejuk yang tiba-tiba naik. Tidak juga dia ambil tahu berapa banyak hutang kredit kad HSBC bapanya yang masih tertunggak. Itu bukan hal penting bagi mana kanak-kanak pun.

Orang dewasa seperti kita - banyak hal yang kita fikirkan. Sejak terbangun dari tidur di waktu pagi - minda kita telah menimbang banyak perkara. Hutang lama dan hutang baru, surat cinta yang belum diletakkan minyak wangi, stokin berlubang yang perlu ditukar, merancang janji palsu yang baru untuk isteri tua, sampailah kepada membelek berus gigi yang sudah tercabut bulunya. Kanak-kanak lain. Dia tidak berfikir banyak hal. Sebab itu mereka mudah untuk lena - dan susah untuk terjaga.

Sampai saatnya nanti - kanak-kanak ini akan menjadi dewasa seperti kita. Dan kita pula mungkin sudah terlalu tua. Tatkala kanak-kanak yang berubah dewasa tadi mengidamkan untuk menjadi kanak-kanak semula, kita yang tua akan mengimpikan agar sentiasa muda. Apa tidaknya.

Anak-anak kita akhirnya akan takut berhadapan dengan hutang PTPTN, bunga bank yang tinggi, sewa rumah yang mahal, dan leter isteri atau baran suami yang tak mahu berhenti. Itu belum termasuk dengan tekanannya menghadapi persaingan dengan 25 juta penduduk Malaysia untuk mendapatkan kerja yang baik. Waktu itu dia dia tahu betapa hidup kanak-kanak sangat istimewa. Dengan menangis dan merajuk semuanya didapatkan.

Kita pula, yang sudah tua - mulai takut untuk menghampiri hujung usia. Takut mati. Maka pilihan terbaik ialah kembali menjadi orang muda. Sekurang-kurangnya kita tahu itulah saatnya kita dihargai dan diperlukan.

Ah, kalaulah hidup ini kita yang tentukan!

Sunday, 26 October 2008

Selamat datang musim bunga

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Selamat datang musim bunga. Musim bunga datang lagi. Kali ini Adelaide telah dilanda wabak baru. Selain wangi bunga mawar, segelintir warga Adelaide juga sedang dilanda selsema akibat terhidu debunga. Sakit kerongkong, sesak nafas dan selsema adalah simptom bagi mereka yang alah dengan debunga.

Musim bunga mungkin waktu yang sesuai untuk mereka yang ingin datang melancong. Banyak sebab. Satunya - iklimnya yang tidaklah sejuk, tetapi tidak pula terlalu panas sesuai untuk mereka yang patriotik dengan iklim di tanahair.

Setiap kelaziman setiap tahun - yang mampu akan melancong ke luar negara. Yang tak mampu - akan berangan-angan untuk melancong ke luar negara. Ramai yang impikan sesuatu yang pelik dilihat dan janggal untuk dirasa. Ada yang ingin untuk menyentuh salji. Mungkin yang ingin 'melencong', hasrat berbinikan wanita mat salleh berambut blonde juga ada. Kalau bermain judi, itu pasti ada. Dulu dalam suratkhabar tersiar berita VIP berhutang judi di sebuah negara Barat.

Bagaimana kalau kita impikan untuk melihat bunga anggur sahaja? Itu yang mampu. Kalau yang tak mampu, boleh lihat bunga anggur di sini. Tak payah pergi jauh-jauh. Buah anggur dah selalu kita tengok - dan harganya lebih murah dari buah nangka. Jadi lebih baik lihat bunganya sahaja.

Atau pernah berangan-angan buah yang spesis ini.

Kata tuan rumah aku, buah ni namanya 'Malberry'. Betul ke ejaannya? Aku pun tak pasti sama ada ini ejaannya betul - seperti mana aku juga tak begitu yakin dengan nama buah ini. Yang pasti, spesis ini tak ada di Malaysia. Nanti aku tanya Azam kedai Swinging Bowl. Dia dah lama dok Adelaide ni. Dah jadi lebih dari Aborigin dah tauke kedai ni. Aborigin pun kenal dia.

Saturday, 25 October 2008

Jangan jadi seperti pemancing

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Petang tadi - seperti petang-petang yang lain - pergi memancing di West Lake bersama Abang Zul. Seperti petang-petang yang lain - walaupun menggunakan joran Abu Garcia yang terkenal itu, biasanya kami pulang tidak membawa seekor ikan pun. Tapi itu adat memancing.

Namun, memancing di West Lake, atau di mana-mana tempat di Australia Selatan ini bukanlah hobi yang mempesonakan. Banyak peraturannya. Ikan yang ditangkap perlu cukup saiz besar dan panjangnya. Bilangannya yang boleh diambil juga tertakluk kepada kuantiti tertentu. Bukan hanya untuk pemancing amatur seperti kami, bahkan jika memancing menggunakan bot di laut dalam sekalipun, ada kouta bot yang boleh pergi dan ada kuantiti ikan yang boleh dibawa pulang.

Semasa di Malaysia beberapa minggu yang lalu, sempat pulang menjengah keasyikan memancing di Sungai Kerang. Dengan membeli sebaldi umpun-umpun dengan harga RM 50, aku bersama adik beradik yang lain menghabiskan masa memancing di beberapa 'port utama' lubuk sembilang. Antaranya di pertembungan muara Sungai Jarum Mas dan Lubuk Hantu. Hari itu sahaja, kami mendapat lebih kurang 50 ekor ikan sembilang. Hanya seekor ikan jenahak yang ditangkap hari itu. Walaupun terpaksa berjemur di atas sampan di bawah terik matahari dan hembusan angin laut yang panas, tetapi itulah kepuasan. Kepuasannya kerana tidak ada undang-undang yang mengikat kita. Tangkaplah seberapa banyak yang kita suka, dan ambillah sebesar mana ikan sekalipun - walaupun sebesar hama sekalipun.

Rupa-rupanya, dalam hidup kita ini - kepuasan itulah yang kita cari. Kepuasan kita hari ini itu jugalah yang menyebabkan kita tidak pernah memikirkan orang lain. Kita mencari kepuasan - kita bunuh semua habitat. Kita lupa generasi akan datang. Biar mereka nantinya hanya mampu membawa pulang ikan duri dan belukang - kerana yang pentingnya sekarang. Selagi masih ada yang bernama sembilang - kita sapu semuanya. Apa dipedulikan orang lain.

Bukan sekadar ikan - rusa, kijang, landak, burung sintar, ayam hutam atau apa sahaja kita buru dan bunuh. Jangan pedulikan masa depan. Generasi depan tentu akan lebih maju dari sekarang. Mereka tidak akan hidup memburu. Mereka akan memanfaatkan masa melawat Zoo Negara untuk melihat semua hidupan itu. Kalau tidak, siapakah pula yang akan melawat Zoo Negara kita yang berada di sebalik taman perumahan itu?

Sebab itu - melihat kepada nafsu kita memancing - janganlah kita marahkan orang yang meneroka hutan mencuri balak. Kita ratakan bukit bukau hingga jadi padang datar. Tanah bendang kita timbus dan bangunkan kondo orang kaya. Kita juga merasuah orang besar untuk mendapatkan projek. Tidak kurang yang membeli orang untuk dilantik menjadi pemimpin. Bukankah semua itu untuk kepuasan. Kepuasan hanya boleh kita dapatkan sekarang. Besok belum tentu. Jadi tunggu apa lagi?

Kerana kepuasan itulah - sekarang kita hidup dalam persekitaran yang caca merba. Jangan salahkan sesiapa. Kita semua sama-sama merenggusnya dengan kasar dan hina. Hidup ini tidak boleh seperti memancing. Hanya berharap dan berdoa. Pemancing ialah manusia yang tidak tahu merebut peluang untuk hidup. Hidup perlu seperti nelayan pukat tunda. Kita ratah dan makan semua! Itulah kepuasan hidup yang boleh kita dapatkan sementara kita masih bernyawa!

Friday, 24 October 2008

Minggu yang sibuk

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu yang sibuk. Masalahnya, tidak tahu apa yang disibukkan. Sesekali cuba cari puncanya, tapi tak berjumpa. Sibuk belajar, tak juga. Tak pernah ke library pun. Nak buka buku atau artikel pun malas. Sibuk analisis data pun tak juga sebenarnya. Kadang-kadang, cuma boleh transcribe satu temuduga sehari. Jadi apa yang sibuk sangat ni?

Kadang-kadang, bila fikir balik, hidup kita ini jadi tak keruan bukan kerana kerja fizikal. Banyaknya ialah kerana mental kita mentafsir hal yang bukan-bukan. Kita tak sibuk, mental kita definisikan sebagai sibuk. Kita tak tension, tapi minda kita mengacah-acah rongga fikir agar jadi kecamuk. Jadi, yang kacaunya bukan diri kita. Minda itulah yang tak betul. Sebab itu ada istilah sakit mental.

Akhirnya - aku dah jumpa satu petua untuk hilangkan keceramukan ini. Ke West Lake untuk mengail ikan bream atau weating. habis cerita.

Monday, 13 October 2008

Trip ke Melbourne

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini cerita lama. Cerita sebelum bulan puasa. Trip kami ke Melbourne. Tapi waktu itu agak sibuk, tak sempat nak tulis. Sekarang, walaupun sibuk tapi tidaklah begitu sibuk sangat. Jadi ingat inilah waktu yang sesuai untuk update cerita kami ke Melbourne.


Jarak perjalanan dari Adelaide ke Melbourne lebih kurang 1100 kilometer. Sejauh Changlun ke Johor Bahru. Untuk sampai ke sana kami menaiki kereta sewa dengan harga AUD 80 sehari termasuk insuran. Bertolak jam 9.30 malam, kami sampai ke sana keesokan paginya jam 7.00. Sungguhpun ada lebuhraya, tetapi tiada tol. Itu yang pelik!
Melalui ladang lembu dan kambing, pekan-pekan kecil dan sederhana kami tiba ke Melbourne. Antara pekan yang kami lalui termasuklah Border Town, pekan yang berada di penghujung negeri Australia Selatan sebelum masuk ke negeri Victoria. Di situ cuma ada setesen minyak kecil dan pekannya seperti pekan koboi. Kami juga menempuh pekan-pekan lain seperti Ballarat. Aku pun tidak berapa ingat nama pekannya yang lain. Malam, kelam dan gelap.

Melbourne bandar yang besar dan padat. Lebih besar dari Kuala Lumpur. Sayang, tidak seperti Adelaide, ia kota yang macet. Parah dengan pencemaran. Tapi ia kota orang muda. Banyak ruang pekerjaan. Banyak hiburan. Malah ada KFC yang bertanda halal.

Malam ini kami tidur di 'cottage' di sebuah ladang. Ia terletak di sebuah bandar kecil yang namanya aku sudah lupa. Tapi kira-kira 300km dari Melbourne. Jalan-jalan ke sana kita akan melalui hutan pokok 'gum tree', ladang lembu dan kambing serta bukit bukau yang cantik. Ia tidak jauh dari Mount Buller tempat untuk kami bermain salji. Saiz cottage ini agak besar. Mampu memuatkan 30 orang sekaligus. Dilengkapi 5 bilik tidur, dapur, dan ruang tamu yang besar. Ia berkonsepkan rumah ladang zaman silam. Heaternya pun masih menggunakan kayu api dengan serombong karat. Di belakang cottage ini terdapat beberapa ekor lembu dan kuda.

Keesokan paginya kami berangkat ke Mount Buller. Kira-kira 60km dari tempat kami menginap. Itulah pertama kalinya aku menyentuh salji! Awalnya agak teruja, tapi lama kelamaan baru kita tahu betapa salji bukanlah sesuatu yang istimewa sangat. Orang kita sudah lama mencipta ais kacang dengan menggunakan salji buatan sendiri. Dua hari berturut2 kami pergi Mount Buller. Bukan kerana takut disumpah menjadi glasier, tetapi sebab kawasannya sangat luar. Tidak cukup waktu kalau hanya sehari.

Hari ketiganya kami berangkat pulang. Pasukan kami mula berpecah mengikut haluan sendiri. Kami mengikut jalan Great Ocean Road - jalan mengikut lengkok pantai yang berbukit bukau. Ia menjadi perjalanan yang panjang kerana kami tidak dapat memecut kereta dengan laju. Sebenarnya tidak ada apa di sepanjang perjalanan Great Ocean Road sepanjang 500 km ini melainkan pemandangannya yang menakjubkan. Hakisan pantai yang pernah kita belajar di sekolah dahulu nampaknya boleh kita lihat di sini.

Kerana kepenatan, malam itu kami menyewa dan tidur di sebuah apartment. Kami tahu, mengikut Great Ocean Road samalah seperti memilih jalan bengkang bengkok Empangan Tasik Banding ke Jeli. Kami tidak akan sampai dalam tempoh masa 12 jam.

Sunday, 12 October 2008

Perhentian Bas Kolong Butterworth

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di bawah kolong lebuhraya, disitulah letaknya perhentian bas sementara Butterworth. Ia sewajarnya satu lokasi yang menarik memandangkan kedudukannya di pinggir selat yang memisahkan Pulau Pinang dengan tanah besar. Melihat kepada kapasitinya yang menjadi pusat kepada perkhidmatan bas tempatan dan ke serata tempat di Semenanjung Malaysia, perhentian ini sememangnya tidak putus-putus dikunjungi pengguna. Hampir atau lebih 30 buah kaunter menjual tiket di situ.

Malang, sekalipun ia menjadi sendi penghubung manusia dari pelbagai tempat di Malaysia, termasuk juga dari luar, ia merupakan sebuah perhentian bas yang sangat kotor.

Sesuai dengan imej kolongnya, begitu banyak peniaga dari seberang yang menjadi peniaga di setiap sudut perhentian bas itu. Sekali pandang, ia seolah-olah perhentian bas di Blok M, Jakarta. Itu belum termasuk dengan gelagat sekumpulan kanak-kanak Myanmar yang berpakaian kotor berkeliaran di situ untuk mengemis dari orang ramai. Mereka sebenarnya bukanlah pengemis dalam erti kata sebenarnya. Mengemis adalah pekerjaan moden di negara kita, kerana seperti pekerjaan lain juga - mereka ada majikan yang sentiasa mengintai mereka dari jauh. Tepat jam 5.00 petang, kumpulan pengemis kanak-kanak itu menghilangkan diri.

Perhentian bas itu juga tidak pernah bakal menepati citarasa negara maju yang kita war-warkan itu. Apa tidaknya, selain dari budaya kita tidak mahu memasukkan sampah ke dalam tong sampah, tidak juga disediakan tong sampah yang bersesuaian di bawah perhentian bas kolong itu. Yang ada ialah kotak-kotak yang mungkin disediakan oleh peniaga sekitar. Ia dijadikan sebagai tong sampah. Jadi, jangan hairan kalau perhentian bas kolong itu begitu kotor, hanyir dan memalukan. Bayangkan jika setiap manusia yang menggunakan perhentian itu membuang satu puntung rokok seorang, ia mungkin boleh menjadi pulau 10 tahun lagi. Alangkah malunya jika Datuk Shah Rukh Khan melawatnya nanti!

Kita jadi hairan mengapa ia berlaku di sebuah negeri yang dianggap maju - seolah-olah tidak ada siapa yang ambil peduli. Ia jugalah negeri yang melahirkan dua orang tokoh sekaligus - Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang. Sewajarnya ia merupakan tempat yang cantik - sekalipun hanya bersifat sementara.

Jalannya yang becak dan berlubang - menjadikan hub penghubung ke Pulau Mutiara itu membuka persepsi buruk untuk negara kita. Jumlah kerusi kayu yang berjumlah 20 unit itu bukan sahaja tidak mencukupi bagi menampung jumlah pengguna, malah sudah menjadi 'port' untuk pekerja dari negara asing untuk berkumpul. Ah, hebat sungguh kita.

Sewajarnya, sementara menantikan perhentian bas yang baru siap - pihak yang berkuasa seharusnya menjalankan tanggungjawab bagi memastikan keindahan Pulau Pinang tidak tercemar. Kerajaan Pakatan Rakyat tentu telah merangka manifesto yang hebat. Tetapi jika masalah sekecil perhentian bas kolong itu tidak diatasi, bagaimana mungkin melaksanakan janji yang lebih muluk. Majlis Perbandaran mesti memantau dan menguruskan sampah dan kekotoran itu secara bijaksana. Peraturan yang ketat mesti dilaksanakan bagi mengelakkan orang kita yang tidak berdisiplin membuang sampah pada tempat yang betul. Masalahnya sekarang - jika tempat yang betul (yakni tong sampah) pun tidak disediakan, bagaimana masalah seumpama itu boleh kita atasi.

Inilah masalahnya apabila orang-orang besar kita yang bijak berkata-kata lebih banyak menggunakan kapalterbang untuk ke New York atau Los Angeles, tetapi jarang menggunakan bas dari Butterworth ke Sungai Dua, atau dari Butterworth ke Kuala Terengganu - menjadikan mereka tidak tahu derita para pengguna bas. Derita itu bukan hanya kerana tambang bas yang sudah meningkat - tetapi kita juga didera menghidu bau hamis dan kotor ketika menunggu bas.

Selamat melancong ke Pulau Pinang! Jangan lupa masukkan "Perhentian Bas Kolong Butterworth" dalam peta pelancongan negara.

Saturday, 11 October 2008

Sembang kedai kopi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebulan lebih sejak 28 Ogos berada di Malaysia, batas masa telah menyukarkan peluang untuk menulis. Beberapa kali cuba menjengahkan kaki ke kafe siber untuk merakamkan catatan pengalaman di Malaysia, tetapi nampaknya gagal. Tidak seperti wartawan yang perlukan 'tekanan' untuk melaporkan berita, tetapi menulis dalam blog kecil seperti ini tidak boleh ada tekanan. Ia akan membantutkan daya fikir dan deria rasa untuk menyusun ayat dan idea.

Tekanan itu nampaknya boleh didatangkan dalam pelbagai bentuk. Kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar, bukit bukau yang ditarah sesuka hati, peningkatan kadar jenayah, merosotnya kuasa beli akibat kenaikan harga barang dan kecelaruan politik Malaysia pasca pilihanraya 2008 juga adalah sebahagian tekanan yang dihadapi. Semua ini mengganggu proses menulis. Cuma hari ini, setelah pulang semula ke Adelaide - kesempatan untuk menulis itu didapatkan semula.

Kepada semua pengunjung baik yang singgah sekali sekala, atau yang kadang-kadang tersesat masuk ke laman blog ini, diucapkan Salam Aidilfitri. Semoga Aidilfitri ini benar-benar merupakan satu sambutan kemenangan kita - walaupun hakikatnya kita tidak pernah menang pun dalam banyak perkara.

Kita kalah melawan hawa nafsu apabila nampaknya terpaksa berbelanja lebih besar di bulan Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Kita juga kalah apabila terpaksa berboros untuk membeli pakaian baru bagi menyambut Aidilfitri. Sepanjang bulan Ramadhan itu kita lihat berduyun-duyun umat Islam memenuhi Jalan Masjid India dan pasaraya untuk membeli pakaian fesyen terbaru sedangkan pada masa yang saf masjid menjadi semakin pendek.

Bahkan kita juga seolah-olah menjadikan kemestian membakar bunga api dan mercun bagi memperlihatkan inilah bulan umat Islam. Apabila menjelang perayaan juga - kita lihat jumlah kemalangan jalan raya meningkat, seperti juga banyak yang ditimpa musibah letupan mercun. Jadi - apakah kemenangan yang kita rayakan itu - melainkan kegagalan kita menghayati makna puasa dan melawan hawa nafsu. Kita merayakan kegagalan kita sendiri.

Sepanjang di Malaysia itu juga, sempat beberapa kali aku berbual panjang dengan teman-teman lama di kedai kopi dengan pelbagai topik. Ada di antara mereka ialah wartawan, pelukis, pensyarah, doktor dan kakitangan awam. Namun, dari banyak topik yang diperbualkan itu nampaknya bukan lagi cerita Datuk Siti Nurhaliza atau Asamawi Ani, tetapi berkisar dengan kemelut politik tanah air. Pilihanraya nampaknya bukanlah penyudah kepada semua cerita dan dongeng politik.

Orang ramai masih tetap berbual-bual dengan kisah DS Anwar Ibrahim untuk mengubah kerajaan, selain tidak kurang yang sedang meramalkan apakah yang bakal dilakukan oleh pengganti DS Abdullah Ahmad Badawi dalam memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional dan UMNO.

Tidak juga kurangnya perbualan kedai kopi itu cuba menghuraikan betapa peritnya kehidupan rakyat dengan keadaan harga barang yang melambung, tambang pengangkutan awam yang kian meningkat dan harga petrol yang tidak mahu turun. Walaupun analisis kedai kopi itu tentulah tidak memerlukan fakta yang relevan dan teori yang munasabah, tetapi itulah persepsi umum masyarakat terhadap apa yang sedang berlaku di negara kita.

Masalah kesesakan lebuharaya menjelangnya cuti perayaan juga antara isu yang wajar diatasi. Kita sewajarnya kebingungan kerana tatkala ekonomi negara sedang dilanda ketidaktentuan, masih ramai yang mampu membeli kereta baru. Kebingungan kita bertambah kerana sesudah ada usaha melebarkan lebuhraya, kesesakan itu masih tidak dapat diatasi malah bertambah parah. Atau mungkinkah kesesakan itu berlaku kerana terlalu banyak tol di sepanjang lebuh raya itu? Mungkin sesekali boleh kita mencuba dengan meniadakan pembayaran tol setiap kali musim perayaan bagi menguji hipotesis tersebut. Mungkin nanti hipotesis itu mungkin gagal, sekurang-kurangnya telah mengurangkan beban raya pada musim perayaan.

Sebagai 'ahli parlimen' yang tidak pernah dipilih dalam pilihanraya, perbualan kedai kopi kami itu juga ada sesekali menyentuh mengenai iklan billboard promosi pelancongan Malaysia yang kini boleh kita lihat di mana-mana. Iklan tersebut memang menarik. Designnya bagus, ayatnya cantik. Memang memikat dan mampu menarik perhatian pelancong untuk mengunjungi tempat-tempat menarik yang ada di dalam negara.

Cuma peliknya iklan billboard itu juga memaparkan gambar wajah tiga tokoh utama pemimpin negara, kami bertanya apa pula relevannya gambar mereka itu dengan pelancongan Malaysia. Bayangkan begini, sebagai ahli politik, pemimpin itu boleh datang dan pergi. Bagaimana kalau tiba-tiba salah seorang daripada mereka tidak lagi menjadi menteri - bukankah pada akhirnya billboard itu bakal menjadi usang dan 'outdated'. Ia perlu diganti baru dan kosnya juga tentu bukanlah sedikit. Berapakah kos yang perlu ditanggung bagi menggantikan setiap billboard yang ada di sepanjang lebuhraya itu?

Jadi pada masa hadapan, perkara seumpama ini perlu juga difikirkan. Populariti memang sesuatu yang diperlukan oleh ahli politik. Tetapi wang rakyat juga tidak perlu dibazirkan dengan hal-hal yang seperti itu. Cukuplah dengan gambar pelancongan Gua Niah atau Zoo Negara jika kita hendak mempromosikan pelancongan negara. Sesuai dengan tujuan kita untuk berkempen pelancongan dan bukannya berkempen politik. Ikon politik sewajarnya berada dalam iklan yang lain.

Bukankah hal seumpama ini pernah berlaku sebelum ini apabila iklan billboard Kementerian Pengajian Tinggi nampaknya memaparkan gambar menterinya. Dan apabila tiba-tiba menteri tersebut tidak lagi berada dalam kabinet, bayangkan betapa banyak billboard baru yang perlu kita sediakan bagi memastikan iklan tadi tetap relevan.

Ya, begitulah Malaysia. Banyak cerita yang boleh kita selidiki lagi. Kita perlu singgah di kedai kopi untuk menganalisisnya.

Thursday, 18 September 2008

Malaysia- sekadar catatan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak menulis. Sejak kembali ke Malaysia 2 minggu yang lalu, suasana kesibukan sangat terasa. Banyak masa dihabiskan di tengah jalan yang sesak, sambil merungut tentang tidak berdisiplinnya rakyat kita di jalanraya. Sesekali menjadi begitu takut untuk mengisi petrol di stesen minyak. Suasana kelam kabut ini ditambah dengan krisis politik yang melanda negara - seperti air tenang yang jangan disangka tiada buaya. Kemenangan Anwar Ibrahim dalam boxing pilihanraya Permatang Pauh menjadikan suasana politik yang sedia berkocak - sesekali dipukul gelombang acah-acah 'lompat parti'. Semua itu adalah angin baru yang dirasakan di tanah air.

Di Adelaide - dengan suasana angin dingin dan kedainya yang ditutup jam 5 petang - keadaan hidup kita juga berehat lebih awal. Tetapi tidak di Malaysia. Kedai-kedainya beroperasi hampir 24 jam di kebanyakan tempat. Menjadikan wang kita seperti kertas A4 yang boleh ditaburkan di mana-mana. Kerinduan dengan teh tarik dan roti canai juga menjadikan jam 12 malam seperti bukannya apa-apa. Ya, itulah Malaysia.

Di kedai kopi - hampir banyak waktu dihabiskan berbual panjang dengan cerita Anwar Ibrahim dan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Ada yang percaya, ada yang tidak - tidak kurang juga yang curiga. Semua ini bercantum sekaligus menjadikan suasana politik Malaysia sesuatu yang unik. Kita berpilihanraya sebagai tanda kita berdemokrasi. Tetapi pada masa yang sama - kita tertanya-tanya mengapa pula mudah untuk pemimpin yang dipilih rakyat menyongsang arah. Kalau begitu buat apa kita menghabiskan banyak masa untuk mengadakan pilihanraya?

Menariknya politik di Malaysia kali ini ialah sekali lagi orang Melayu dihadapkan dengan tandatanya apakah yang akan berlaku kalau perkongsian kuasa dan pertukaran kepimpinan itu menghilangkan identiti orang Melayu sebagai pribumi. Semuanya masih dalam tandatanya.

Tuesday, 12 August 2008

Selamat datang Intan!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Intan - seperti anak muda lain akan memulakan hidup baru setelah lulus pengajian mereka di universiti. Kini mereka akan berhadapan dengan alam sebenar manusia dewasa. Tiada lagi teori dan konsep mulus seperti yang pernah dibincangkan di bilik kuliah dan buku teks. Kini Intan perlu berdepan dengan hidup sebagai manusia dewasa - dia perlukan keberanian. Keberanian untuk menempuh alam pekerjaan. Keberanian untuk melakukan sesuatu yang luarbiasa.

Di alam universiti - sebagai pelajar perakaunan - tentulah mereka telah dibekalkan dengan secukupnya pengetahuan mengenai untung rugi dan kira-kira perniagaan. Mereka dihadapkan dengan teori Keynes atau Adam Smith, atau setidak-tidaknya dengan hukum Pareto. Tetapi di alam sebenar pekerjaan, semua itu tidak cukup. Mereka perlu mempunyai satu lagi pengetahuan - bagaimana menghadapi kerenah hidup manusia. Pengetahuan itu bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke bilik bakal majikannya untuk ditemuduga.

Intan - sebagai pelajar yang pintar dan bijak tentu akan menyediakan CV yang paling baik dan cuba menjawab soalan dengan cara yang meyakinkan. Mereka akan berpakaian dengan cara paling bergaya. Seperti kebanyakan lulusan baru universiti - mereka menjangkakan memberikan jawapan terbaik akan membolehkan mereka diterima berkerja. Hakikatnya tidak.

Seseorang itu tidak digajikan hanya kerana mereka menjawab semua soalan temuduga dengan betul. Seseorang itu sebenarnya dipilih bekerja sama ada orang yang menemuduga tadi suka atau tidak dengan mereka. Maka seringlah berlaku 'kesan halo' dan proses pengambilan pekerja. Ia bermula ketika calon tadi mengetuk pintu bilik lagi. 

Penemuduga akan cenderung bertanya soalan mudah kepada calon yang mereka suka, dan akan menyulitkan perbualan dengan seseorang yang tidak mereka gemari. Maka satu pesan untuk Intan - lakukan sesuatu yang terbaik ketika mengetuk pintu bilik, dan jangan dibimbangi CV dan menjawab soalan.

Setelah bekerja - graduan baru seperti Intan akan sekali lagi berhadapan dengan kesukaran untuk mempelajari sistem organisasi. Ini tidak diajar di bilik kuliah sungguhpun ramai pensyarah mendakwa mereka telah mengajar 'iklim organisasi' atau 'budaya syarikat'. Budaya organisasi tidak bergantung kepada gaya Jepun atau Barat seperti yang banyak diperkatakan. Tidak juga berdasarkan "Balanced Score Card', "Management By Objective' atau "Just In Time". Budaya organisasi bergantung kepada siapa yang memiliki organisasi tadi.

Semua sistem yang disebutkan tadi hanya sekadar untuk menjenamakan imej organisasi dan meyakinkan pelanggan. Realitinya tidak siapa pun yang benar-benar mahu mengikut kehendak sistem - melainkan terpaksa akur dengan arahan majikan yang selalunya tidak pernah berada di dalam sistem. Fabio Capello atau Jose Mourinho tidak pun terikat dengan sistem permainan. Apa yang dipentingkan mereka ialah keputusan permainan. Begitu jugalah dalam dunia organisasi. Yang diutamakan ialah keuntungan.

Tapi - ada satu perkara untuk diingati oleh orang muda seperti Intan. Lakukanlah yang terbaik dan terhebat untuk tugasan pertama - maka orang akan melupakan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan selepasnya. Tetapi - jika kesilapan besar dilakukan untuk tugasan pertama - maka orang akan melupakan berapa banyak pun sumbangan besar selepasnya. Ini adalah hukum pekerjaan yang tidak diajar oleh universiti ternama dunia sekalipun.

Manusia tidak pernah membuat penilaian secara objektif. Orang sering membuat penilaian berdasarkan persepsi dan kata hati mereka. Jadi jangan terkejut apabila kita dinilai secara baik walaupun tidak melakukan kerja dengan baik. Semata-mata kerana orang menyukai kita. Atau orang akan menilai kita secara buruk - walaupun kita telah melakukan yang terbaik. Jadi apabila satu saat nanti gadis seperti Intan melihat borang penilaian prestasi - janganlah terlalu bimbang dan percayakannya. Ia hanya sekeping kertas yang tidak ada maknanya.

Intan juga tentunya akan dihadapkan dengan politik pejabat yang menggerunkan. Ia tidak seperti politik Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Politik pejabat sesuatu yang lebih sukar untuk dijangkakan. Khabar angin dan rasa tidak puas hati akan selalu diperbualkan di balik tabir organisasi. Ada orang yang akan cuba diburukkan - walaupun kerjanya bagus, dan ada orang yang dipuji - walaupun kerjanya tidaklah seberapa.

Maka untuk orang seperti Intan, dia patut berhati-hati. Jangan selalu sangat berdamping dengan orang yang sering memburukkan syarikat. Orang seperti ini tidak pernah berpuas hati dengan apa sahaja. Mereka akan terus mengkritik dan mengeji. Tetapi janggalnya - orang seperti ini juga akan terus berada dalam organisasi dan tidak pula memilih untuk berhenti. Puncanya mudah sahaja. Orang seperti ini sebenarnya tidak ada kualiti pun untuk mencari kerja lain. Kalau mereka pekerja yang baik - mereka sudah tentu memilih untuk berhenti dan bekerja di tempat lain. Kerana falsafah kerja itu mudah sahaja - 'tidak suka, berhenti'. Jangan membuang masa dengan sesuatu yang tidak kita sukai. Itulah yang dipegang oleh mereka yang berprinsip.

Untuk beberapa tahun selepasnya - Intan akan mendapati bahawa ijazah universiti sebenarnya hanya lesen untuk beliau mendapatkan pekerjaan. Pekerjaannya sendiri tidak begitu banyak bergantung dengan kemahiran yang dia perolehi dari universiti. Akan ada masanya, majikannya akan meminta beliau memanipulasi angka bagi tujuan mengelak cukai, kelulusan pinjaman bank atau menarik pelaburan. Semua kecurangan ini tidak diajar oleh pensyarah terbaik di universitinya. Ia adalah ilmu baru yang bakal ditemuinya nanti.

Jatuh bangun kerjaya Intan pada akhirnya bergantung kepada sikap dan kemahiran untuk beliau menangani manusia yang berada di sekelilingnya. Ayat yang paling baik ialah 'memanipulasi" persekitarannya. Baik majikan yang berada di atas, atau kakitangan yang berada di bawahnya, atau teman-teman sejawat yang berada di sekelilingnya. Itulah resipi terbaik untuk beliau terus survival dalam cabaran pekerjaan.

Pasti - untuk beberapa tahun kemudiannya beliau juga akan menjadi salah seorang yang menemuduga orang lain. Maka untuk Intan - walaupun kini sudah pulang ke tanahair - kita ucapkan selamat datang. Selamat datang ke alam pekerjaan yang penuh muslihat itu.

Monday, 4 August 2008

Bulan Merdeka

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bulan Ogos menjelang lagi. Maka akan hiruk pikuklah kita kononnya untuk merayakan sambutan kemerdekaan dan menonjolkan diri sebagai warga patriotik. Bukan sesuatu yang janggal apabila nanti banyak pusat membeli belah akan mempromosikan produk mereka dengan 'jualan murah' sebagai kononnya untuk meraikan kemerdekaan. Tidak juga sedikit orang muda kita menggantungkan bendera pada kenderaan mereka - baik motosikal atau kereta. Seolah-olah menjadi trend baru kita sebagai anak merdeka.

Betulkah itu caranya kita meraikan merdeka. Maka - pada malam sambutan kemerdekaan berbondong-bondonglah kita ke temasya di merata tempat - melaungkan sorak "Merdeka". Merdekakah kita? Itu soalan yang wajar kita tanya - bukan kepada orang lain - tetapi untuk diri sendiri. Merdekakah kita apabila tatkala kita riuh berpesta dan bertemasya - dahulunya di Dataran Merdeka - kini di Menara KLCC - kita sebenarnya sedang menularkan budaya baru yang entah dari mana. Merdekakah kita apabila tatkala kita begitu sangat memasangkan bendera Jalur Gemilang pada bangunan dan kenderaan - kita terlupa bertanya siapakah yang mengaut untungnya menjual bendera tersebut?

Sebenarnya banyak hal yang kita terlupa. Sekian lama kita hanya menonjolkan Dato' Onn Jaafar sebagai pejuang kemerdekaan. Hinggakan kita jarang ambil tahu sumbangan pihak lain. Bagaimana dengan jasa Pak Sako, Burhanuddin Helmi atau Ahmad Boestaman. Mengapa wajah dan nama mereka jarang dipaparkan. Seolah-olah perjuangan haluan kiri mereka pada satu saat dahulu - tidak ada kena mengena dengan kemerdekaan negara.

Di dunia moden kini - belum tentu juga kita merdeka. Banyak keraguan yang sedang membungkam ruang fikir kita. Pada saat kita sibuk melaungkan rasa merdeka, kita terlupa banyak juga pihak lain yang sedang merantai kita.

Kita dirantai oleh hutang bank yang dimiliki oleh konglomerat yang mungkin bukan rakyat Malaysia. Kita masih terpaksa meminjam teknologi orang lain yang mungkin sudah luput tarikh. Walaupun kita negara pengeluar padi - tetapi belum lagi terdengar yang rakyat kitalah yang menciptakan mesin penuai padi atau periuk nasi automatik baru. Kita juga terpaksa mengharapkan produk negara China untuk banyak perkara. Dalam saat masih ramai rakyat kita menganggur, kita masih begitu berharap pekerja Bangladesh, Indonesia, Nepal, Pakistan untuk menolong kita. Semuanya kerana kita masih belum benar-benar merdeka.

Kemerdekaan kita itu juga belum cukup sempurna apabila kita juga sering meragui keupayaan diri sendiri. Kita meragui penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran sains dan matematik. Malah, nama-nama kawasan di Putrajaya pun kita teruja menggunakan istilah 'Presint' yang entah apa maknanya. Kita meragui filem dan lagu kita sendiri dan lebih mengkhayalkan lagu Indonesia dan filem Hong Kong.

Maka teruslah kita mendongengkan kata-kata kemerdekaan yang belum tentu kita tahu makna tersirat di sebaliknya.

Tuesday, 29 July 2008

Budaya menderma

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Melihat kepada budaya dan nilai orang Barat, adakalanya mereka tidaklah begitu 'sumbang' seperti yang digembar-gemburkan. Sekian lama, dalam tradisi kita, apabila memperkatakan hal yang buruk dan negatif, selalunya kita menghalakan prasangka itu kepada kecelaruan nilai Barat. Itulah yang kita bayang dan gambarkan. Seolah-olahnya, hanya kita yang baik dan betul. Dan, yang datang dari Barat itu 'nangka busuk' belaka.

Di bandar kecil seperti Adelaide - seperti juga di kebanyakan bandar lain yang dihuni oleh masyarakat berkulit putih - tidak kelihatan sepertinya mereka bangsa yang ganas dan rakus. Hofstede dalam sistem nilainya sering merujuk kepada 'individualistik' apabila dibandingkan orang Barat dengan masyarakat lain. Tetapi, sekalipun masyarakat Asia yang dikatakan 'kolektif' itu - tidak pula semestinya mengamalkan cara hidup yang benar-benar kolektif.

Di Malaysia misalnya - kita memang gemar untuk menderma dan membantu orang lain. Tetapi, adakalanya tingkahlaku baik kita itu tercemar dengan kegemaran kita untuk memaparkan personaliti tertentu menghulurkan 'mock-up check' dengan wajah ceria di muka utama akhbar. Di Barat, kegiatan menderma nampaknya tidaklah ditunjukkan dengan acara penuh meriah seperti itu. Kedai-kedai amal seperti Salvation Army, Goodwill atau jualan amal yang dilakukan oleh badan kebajikannya tidak pun dipampangkan dengan cara menunjuk-menunjuk. Mereka tidak menganut Islam, tetapi perilaku mereka lebih baik dari kebanyakan umat Islam.

Dalam konteks negara kita - dengan kemelut ekonomi dan sosial - adakalanya kita sudah perlu untuk melakukan sesuatu bagi membantu mereka yang memerlukan. Menubuhkan kedai-kedai yang menjual barangan yang didermakan sama ada yang sudah terpakai atau tidak mungkin satu usaha yang baik. Masjid-majid juga perlu berfungsi untuk menjadi tangan di atas - sebagai institusi menguruskan derma untuk disumbangkan kepada orang ramai.

Malangnya, dalam budaya kita - kita bukan sahaja tidak menggalakkan usaha sebegitu. Kita tidak mempunyai badan yang menguruskan derma dan kebajikan secara sistematik. Hanya dalam waktu yang cemas - kita seolah-olah tergopoh-gapah untuk merayu orang ramai menderma. Budaya kita juga tidak begitu melihat menyumbangkan barangan terpakai sebagai perbuatan yang baik. Kita mahukan yang bersifat baru. Mengapa jadi begitu?

Jadi - dalam keadaan kita gawat ekonomi dan kekurangan wang - ada baiknya kita tubuhkan badan-badan yang boleh menggalakkan orang ramai menderma. Peti ais, televisyen, pakaian, bahan bacaan atau apa sahaja boleh didermakan oleh orang ramai kepada kedai yang dibangunkan khas sama ada oleh badan kebajikan, masjid atau pihak pemerintah. Barangan ini tadi kemudiannya boleh dijual semula kepada orang ramai yang memerlukan - tentunya dengan harga yang murah. Sekurang-kurangnya dengan cara begitu - orang yang susah ada cara untuk menjimatkan wang mereka, orang kaya - ada cara untuk menghulurkan bantuan - tanpa perlu mengharapkan lensa kamera dan liputan akhbar.

Barat - bukan semuanya tidak baik. Adakalanya kita yang berprasangka buruk semata-mata untuk menunjukkan kitalah yang paling mulia dan tulus.

Wednesday, 23 July 2008

Mimpi kita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita mengimpikan banyak perkara dalam hidup. Memiliki banglo mewah, kereta besar, isteri cantik, pekerjaan yang baik dan pendapatan yang banyak. Kita andaikan itu adalah sebahagian dari petanda kebahagian hidup manusia. Sebenarnya tidak. Impian kita yang berteraskan kebahagian fizikal itu tidak akan bertahan lama. Ia juga tidak akan selamanya membahagiakan. Impian kita itu - kalaupun pada akhirnya menjadi kenyataan - akhirnya boleh juga menyebabkan sesuatu yang tidak membahagiakan.

Bagaimana kalau kita mengubah impian kita kepada sesuatu yang lain. Misalnya setiap penguasa majlis kerajaan tempatan tidak hanya berfungsi sebagai pembina longkang, pengutip sampah atau penyedia lampu jalan - tetapi juga menyediakan sebuah perpustakaan di setiap kawasan lingkungan kekuasaannya. Menjadi tambah asyik mimpi kita itu jika setiap perjalanan mesyuarat penting kerajaan tempatan itu diadakan secara terbuka dengan penduduk kawasannya. Agar kita tahu apakah sebenarnya impian dan kehendak penduduk - dan bukannya semata-mata kehendak mereka yang menguasai majlis itu.

Mimpi kita yang panjang itu tentu akan lebih mengkhayalkan kalaulah setiap dasar dan polisi negara tidak hanya diperdebatkan di parlimen. Dasar berkaitan remaja dan orang muda misalnya - tidak wajar dicadangkan ahli parlimen yang telah pun lama melewati alam remajanya. Bukankah lebih baik kalau diadakan satu iklan yang besar - menjemput setiap orang muda datang bersemuka mengemukakan pandangan mereka. Apakah hasrat dan mimpi mereka sebenarnya. Mungkin dasar kita selama ini kurang relevan dengan naluri mereka - menjadikan mereka terus merempit di jalanraya dan melakukan tindakan tidak bermoral pada waktu yang lain.

Kerana kita bermimpi - kita juga boleh terus mengharapkan agar semua yang dilakukan oleh para pemerintah baik yang dikuasai Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat - adalah secara terbuka. Misalnya pada setiap hujung tahun - kita ditawarkan dengan satu laporan di akhbar utama dengan penjelasan terperinci setiap perbelanjaan yang telah dilakukan. Laporan juga mencatatkan dari saluran mana perolehan pemerintah dan sejauh mana pula ia dibelanjakan. Jadi kita tidaklah begitu bertanya sangat kalau ada kerajaan negeri yang membelanjakan sampai RM50,000 untuk dua kali penyelenggaraan kereta Perdana ahli exco.

Mimpi kita yang lain ialah mengharapkan polisi akhbar yang melaporkan apa sahaja yang diketahuinya - tanpa hasrat untuk menyembunyikan apa-apa. Sekalipun ada berita yang tidak bersifat 'orang menggigit anjing', sekurang-kurangnya memberikan kita lebih banyak waktu untuk berfikir, menilai dan menjadikan kita tidak cepat menjadi manusia nyanyuk kerana kurang berfikir.

Mimpi kita itu tentulah akan bertambah indah kalau semua bangsa bersatu dan bergaul tanpa ada rasa prejudis. Orang Melayu berbual dengan orang Cina di warung kopi dalam bahasa Tamil, dan orang India berbual dengan orang Melayu dalam bahasa Tionghua. Ia menjadikan Malaysia sebuah negara yang pelik - tapi unik.

Kerana semua itu hanyalah satu mimpi - ia mungkin akan menjadi kenyataan apabila kita terjaga nanti. Atau mimpi itu akan terus menjadi mimpi kita pada malam yang lain. Boleh jua ia hilang buat selama-lamanya - kerana mimpi kita itu hanya sekadar dongeng yang tak mungkin dijelmakan dalam dunia reliti Malaysia. Kerana ia hanyalah mimpi - ia akan bersifat boleh jadi sahaja. Apapun - kata orang - tidak salah untuk kita terus bermimpi.

Friday, 18 July 2008

Debat Anwar-Shabberi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi tanahair, debat politik ditayangkan dalam saluran televisyen. Kehadiran Penasihat PKR, DS Anwar Ibrahim tentu sahaja mencuri tumpuan umum melihat rentetan sejarah politik di belakangnya. Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik juga bukanlah calang-calang orang dalam menyampaikan hujah. Walaupun ditanggapi sesetengah orang sebagai 'orang baru', tetapi beliau yang juga merupakan bekas pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia tentulah sedikit sebanyak arif dalam permainan politik tanahair. Beliau pernah menarik tumpuan persidangan agung UMNO apabila bercakap mengenai 'lembu suci'. Mungkinkah selepas ini akan lebih banyak debat-debat seumpama itu disiarkan di kaca televisyen, membuka lembaran baru untuk kita menilai dan berfikir.

Adalah satu kesilapan jika sekiranya kita lebih cenderung untuk mencari siapa yang menang atau kalah dalam debat tersebut. Membuka ruang perbahasan bukanlah seperti perlawanan bolasepak untuk menilai siapa yang harus menjadi juara liga. Kebenaran hakiki tidak mungkin ditemukan dalam debat. Penilaian manusia adalah subjektif. Kebenaran hakiki hanya milik Tuhan. Kebenaran yang dalam apa bentuk sekalipun - dalam tulisan ahli akademik, penghakiman di mahkamah, bukti-bukti saintifik - tetap akan ada yang meraguinya. Sejauh mana kita melihat dan dari blok mana kita berdiri. Itulah hakikat kebenaran.

Bagaimana pun, sebagai manusia kita akan sedaya upaya untuk melakukan terbaik bagi membuktikan kebenaran. Amerika Syarikat dan pihak Barat akan terus berkata mereka di pihak yang benar apabila melakukan pengeboman ke atas Iraq dan Afghanistan, dan kerosakan-kerosakan lain yang mereka lakukan di Vietnam, Panama dan sebagainya. Israel akan selalu berkata tindakan mereka melakukan penghapusan etnik Palestin sebagai sesuatu yang benar. Sebaliknya, umat Islam tidak pernah melihat apa yang dilakukan Amerika dan Israel itu sebagai sesuatu yang benar - bahkan adalah ketidakadilan dan kekejaman.

Atas nama kebenaran juga - para pejuang berani mati seperti Imam Samudera sanggup mengebom sebuah pusat peranginan di Bali yang mengorbankan puluhan nyawa manusia. Jadi - siapakah yang benar. Sebagai manusia - kita tidak akan menemui kebenaran hakiki - melainkan apabila kita dibicarakan di Padang Masyar.

Jadi -apabila kita membaca tulisan-tulisan di akhbar dan juga di Internet yang mengulas debat Anwar-Ahmad Shaberi bagi mencari siapa yang menang dan kalah - ia sebenarnya bukanlah hujah terbaik manusia demokrasi. Kita wajar memberikan peluang manusia bersuara dan mengemukakan pandangan. Menjadi tugas akhir kita ialah mengambil yang terbaik dan menapis maklumat yang mungkin kurang relevan. Tetapi untuk menyatakan hujah yang kurang relevan sebagai tidak benar adalah satu kesilapan - kerana orang yang mengemukakan pandangan tentulah juga telah menilai baik buruknya.

Menjadi masalah dalam konteks negara kita ialah kita jarang memberikan hak yang wajar untuk masyarakat bersuara - melainkan dalam tempoh beberapa bulan terakhir ini selepas pilihanraya umum yang lalu. Akhirnya dunia bersuara kita dipenuhi dengan khabar angin dan serkap jarang yang disalurkan melalui ruang maya. Ada yang betul, dan tentulah ada yang tidak. Budaya mengongkong hak bersuara ini juga menjadikan manusia menggunakan saluran lain untuk diminati dan mendapat pengaruh. Politik wang tentu tidak akan tersebar dengan banyaknya jika setiap ahli politik diberikan ruang berdebat di kaca televisyen - kerana pada akhirnya orang akan menilai keupayaan seseorang tokoh melalui hujahnya, bukan berapa banyak wang yang ada dalam poketnya. Demontrasi jalanan yang tentulah juga menyulitkan banyak orang - pengguna jalanraya, polis, peniaga dan sebagainya juga dapat dikurangkan apabila rakyat diberi hak mengemukakan protes dengan saluran yang betul. Tohmahan yang dilemparkan kepada pihak pemerintah juga mampu ditangani dengan lebih baik.

Debat Anwar-Shaberri sesuatu yang mempesonakan. Tentu sahaja kita berharap pada masa akan datang akan ada lagi debat seumpama itu. Sesuai dengan semakin banyaknya rakyat kita yang terpelajar - banyaknya universiti dan banyaknya kemelut yang sedang membungkam ruang fikir kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails