Yang Ikut

Tuesday, 11 November 2008

Selamat menempuh panas musim peperiksaan

Reactions: 
Kedua-dua buah universiti, University of South Australia dan University Adelaide sudah lengang. Sibuk musim peperiksaan. Banyak pensyarah juga sudah lari meninggalkan Adelaide melancong ke dunia yang lain.

Peperiksaan memang meninggalkan kesan besar dalam hidup kita. Peperiksaan itu jugalah yang telah mencampakkan aku ke pulau Australia ini. Peperiksaan itu jugalah yang menyebabkan ramai orang terpaksa bergelumang dengan habuk simen, hanyir lumpur dan basah peluh. Walaupun lulus peperiksaan bukanlah bermakna kita bijak, tetapi tidak ada sesiapa pun yang mahu menerima kita kalau kita gagal.

Peperiksaan besar pertama yang aku duduki ialah pada tahun 1983 - mengambil Peperiksaan Darjah Lima (sekarang ini UPSR). Jangan memandang rendah dengan peperiksaan ini.

Kerana peperiksaan inilah, aku, Hasni, Othman, Jefri, Khairul dan Helmi kemudiannya terpaksa terlantar duduk di asrama Sekolah Menengah Jitra selama bertahun-tahun.

Tatkala teman-teman kampung yang lain masih asyik bermain lastik burung, kami sudah terpisah dengan keluarga. Itulah permulaan kami bersekolah di bandar besar dan hidup sebagai 'ayam daging' yang dijamu makan siang dan malam.

Juga jangan disangka dalam dunia ini manusia hanya dianugerahi gelar "Dato" atau "Datuk Seri". Kerana peperiksaan yang membawa kami ke sekolah asrama itulah, kami juga mempunyai gelar masing-masing. "Kerbau", "Kuda", "Katik" dan "Belalang" adalah antara nama samaran yang kami miliki. Hasni tentu tahu semua gelar ini.

Tahun 1989 - aku mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Waktu itu, pemblog-pemblog yang aku listkan di situs ini (kecuali pun mungkin Brader Ben dan Azam) - termasuk juga pembacanya - mungkin masih lagi bernyanyi lagu "Ayahku Pulang dari Kota' di tadika Kemas atau Pasti. Itu yang tua sedikit, kalau yang muda mungkin masih memakai pampers jenama Anakku.

Satu malam, lebih kurang jam 2 pagi seorang temanku, Munir namanya telah tergesa-gesa memangil kami semua. Dia yang kebasahan hujan secara berbisik memberitahu bahawa dia sudah mendapat soalan bocor peperiksaan matematik kertas 1. Entah dari mana dia dapatkannya. Itu rahsia besar. Sebesar rahsia 6 kotak Ezam.

Hah. Itulah peluang terbaik kami semua. Beberapa pakar matematik termasuk Hasni telah dipanggil. Tugas kami hanya menghafal jawapan. Malam itu kami tidak tidur. Untuk apa tidur, kami sudah tahu kami akan lulus dengan cemerlang.

Besoknya, dengan penuh sombong dan yakin kami melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Membuka sahaja kertas soalan - aku tahu bahawa mendung hitam sudah datang. Apa tidaknya, sepatutnya soalan pertama mempunyai pecahan a dan b. Malangnya, soalan yang ada di atas meja hanya mempunyai satu jawapan. Tidak perlulah anda menjangka gred matematik yang aku perolehi.

Itulah antara sebabnya ketika teman-teman lain sudah lama melangkah ke universiti sesudah SPM - aku masih lagi berpakaian sekolah mengambil STPM.

Seiingat aku - itulah soalan bocor pertama dan terakhir yang aku perolehi. Peperiksaan sesudahnya, aku tidak lagi percayakan kepada sesiapa pun. Termasuk pensyarah sendiri yang kononnya baik untuk memberikan soalan ramalan.

Kepada yang sedang mengikuti peperiksaan, kita ucapkan 'selamat menempuh panas musim peperiksaan'. Tentu ia akan lebih panas dari musim panas yang sedang menjenguk kita.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails