Yang Ikut

Wednesday, 23 July 2008

Mimpi kita

Reactions: 
Kita mengimpikan banyak perkara dalam hidup. Memiliki banglo mewah, kereta besar, isteri cantik, pekerjaan yang baik dan pendapatan yang banyak. Kita andaikan itu adalah sebahagian dari petanda kebahagian hidup manusia. Sebenarnya tidak. Impian kita yang berteraskan kebahagian fizikal itu tidak akan bertahan lama. Ia juga tidak akan selamanya membahagiakan. Impian kita itu - kalaupun pada akhirnya menjadi kenyataan - akhirnya boleh juga menyebabkan sesuatu yang tidak membahagiakan.

Bagaimana kalau kita mengubah impian kita kepada sesuatu yang lain. Misalnya setiap penguasa majlis kerajaan tempatan tidak hanya berfungsi sebagai pembina longkang, pengutip sampah atau penyedia lampu jalan - tetapi juga menyediakan sebuah perpustakaan di setiap kawasan lingkungan kekuasaannya. Menjadi tambah asyik mimpi kita itu jika setiap perjalanan mesyuarat penting kerajaan tempatan itu diadakan secara terbuka dengan penduduk kawasannya. Agar kita tahu apakah sebenarnya impian dan kehendak penduduk - dan bukannya semata-mata kehendak mereka yang menguasai majlis itu.

Mimpi kita yang panjang itu tentu akan lebih mengkhayalkan kalaulah setiap dasar dan polisi negara tidak hanya diperdebatkan di parlimen. Dasar berkaitan remaja dan orang muda misalnya - tidak wajar dicadangkan ahli parlimen yang telah pun lama melewati alam remajanya. Bukankah lebih baik kalau diadakan satu iklan yang besar - menjemput setiap orang muda datang bersemuka mengemukakan pandangan mereka. Apakah hasrat dan mimpi mereka sebenarnya. Mungkin dasar kita selama ini kurang relevan dengan naluri mereka - menjadikan mereka terus merempit di jalanraya dan melakukan tindakan tidak bermoral pada waktu yang lain.

Kerana kita bermimpi - kita juga boleh terus mengharapkan agar semua yang dilakukan oleh para pemerintah baik yang dikuasai Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat - adalah secara terbuka. Misalnya pada setiap hujung tahun - kita ditawarkan dengan satu laporan di akhbar utama dengan penjelasan terperinci setiap perbelanjaan yang telah dilakukan. Laporan juga mencatatkan dari saluran mana perolehan pemerintah dan sejauh mana pula ia dibelanjakan. Jadi kita tidaklah begitu bertanya sangat kalau ada kerajaan negeri yang membelanjakan sampai RM50,000 untuk dua kali penyelenggaraan kereta Perdana ahli exco.

Mimpi kita yang lain ialah mengharapkan polisi akhbar yang melaporkan apa sahaja yang diketahuinya - tanpa hasrat untuk menyembunyikan apa-apa. Sekalipun ada berita yang tidak bersifat 'orang menggigit anjing', sekurang-kurangnya memberikan kita lebih banyak waktu untuk berfikir, menilai dan menjadikan kita tidak cepat menjadi manusia nyanyuk kerana kurang berfikir.

Mimpi kita itu tentulah akan bertambah indah kalau semua bangsa bersatu dan bergaul tanpa ada rasa prejudis. Orang Melayu berbual dengan orang Cina di warung kopi dalam bahasa Tamil, dan orang India berbual dengan orang Melayu dalam bahasa Tionghua. Ia menjadikan Malaysia sebuah negara yang pelik - tapi unik.

Kerana semua itu hanyalah satu mimpi - ia mungkin akan menjadi kenyataan apabila kita terjaga nanti. Atau mimpi itu akan terus menjadi mimpi kita pada malam yang lain. Boleh jua ia hilang buat selama-lamanya - kerana mimpi kita itu hanya sekadar dongeng yang tak mungkin dijelmakan dalam dunia reliti Malaysia. Kerana ia hanyalah mimpi - ia akan bersifat boleh jadi sahaja. Apapun - kata orang - tidak salah untuk kita terus bermimpi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails