Yang Ikut

Sunday, 12 October 2008

Perhentian Bas Kolong Butterworth

Reactions: 
Di bawah kolong lebuhraya, disitulah letaknya perhentian bas sementara Butterworth. Ia sewajarnya satu lokasi yang menarik memandangkan kedudukannya di pinggir selat yang memisahkan Pulau Pinang dengan tanah besar. Melihat kepada kapasitinya yang menjadi pusat kepada perkhidmatan bas tempatan dan ke serata tempat di Semenanjung Malaysia, perhentian ini sememangnya tidak putus-putus dikunjungi pengguna. Hampir atau lebih 30 buah kaunter menjual tiket di situ.

Malang, sekalipun ia menjadi sendi penghubung manusia dari pelbagai tempat di Malaysia, termasuk juga dari luar, ia merupakan sebuah perhentian bas yang sangat kotor.

Sesuai dengan imej kolongnya, begitu banyak peniaga dari seberang yang menjadi peniaga di setiap sudut perhentian bas itu. Sekali pandang, ia seolah-olah perhentian bas di Blok M, Jakarta. Itu belum termasuk dengan gelagat sekumpulan kanak-kanak Myanmar yang berpakaian kotor berkeliaran di situ untuk mengemis dari orang ramai. Mereka sebenarnya bukanlah pengemis dalam erti kata sebenarnya. Mengemis adalah pekerjaan moden di negara kita, kerana seperti pekerjaan lain juga - mereka ada majikan yang sentiasa mengintai mereka dari jauh. Tepat jam 5.00 petang, kumpulan pengemis kanak-kanak itu menghilangkan diri.

Perhentian bas itu juga tidak pernah bakal menepati citarasa negara maju yang kita war-warkan itu. Apa tidaknya, selain dari budaya kita tidak mahu memasukkan sampah ke dalam tong sampah, tidak juga disediakan tong sampah yang bersesuaian di bawah perhentian bas kolong itu. Yang ada ialah kotak-kotak yang mungkin disediakan oleh peniaga sekitar. Ia dijadikan sebagai tong sampah. Jadi, jangan hairan kalau perhentian bas kolong itu begitu kotor, hanyir dan memalukan. Bayangkan jika setiap manusia yang menggunakan perhentian itu membuang satu puntung rokok seorang, ia mungkin boleh menjadi pulau 10 tahun lagi. Alangkah malunya jika Datuk Shah Rukh Khan melawatnya nanti!

Kita jadi hairan mengapa ia berlaku di sebuah negeri yang dianggap maju - seolah-olah tidak ada siapa yang ambil peduli. Ia jugalah negeri yang melahirkan dua orang tokoh sekaligus - Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang. Sewajarnya ia merupakan tempat yang cantik - sekalipun hanya bersifat sementara.

Jalannya yang becak dan berlubang - menjadikan hub penghubung ke Pulau Mutiara itu membuka persepsi buruk untuk negara kita. Jumlah kerusi kayu yang berjumlah 20 unit itu bukan sahaja tidak mencukupi bagi menampung jumlah pengguna, malah sudah menjadi 'port' untuk pekerja dari negara asing untuk berkumpul. Ah, hebat sungguh kita.

Sewajarnya, sementara menantikan perhentian bas yang baru siap - pihak yang berkuasa seharusnya menjalankan tanggungjawab bagi memastikan keindahan Pulau Pinang tidak tercemar. Kerajaan Pakatan Rakyat tentu telah merangka manifesto yang hebat. Tetapi jika masalah sekecil perhentian bas kolong itu tidak diatasi, bagaimana mungkin melaksanakan janji yang lebih muluk. Majlis Perbandaran mesti memantau dan menguruskan sampah dan kekotoran itu secara bijaksana. Peraturan yang ketat mesti dilaksanakan bagi mengelakkan orang kita yang tidak berdisiplin membuang sampah pada tempat yang betul. Masalahnya sekarang - jika tempat yang betul (yakni tong sampah) pun tidak disediakan, bagaimana masalah seumpama itu boleh kita atasi.

Inilah masalahnya apabila orang-orang besar kita yang bijak berkata-kata lebih banyak menggunakan kapalterbang untuk ke New York atau Los Angeles, tetapi jarang menggunakan bas dari Butterworth ke Sungai Dua, atau dari Butterworth ke Kuala Terengganu - menjadikan mereka tidak tahu derita para pengguna bas. Derita itu bukan hanya kerana tambang bas yang sudah meningkat - tetapi kita juga didera menghidu bau hamis dan kotor ketika menunggu bas.

Selamat melancong ke Pulau Pinang! Jangan lupa masukkan "Perhentian Bas Kolong Butterworth" dalam peta pelancongan negara.

2 comments:

mangkuk statik said...

wei.. ape la kau dok merepek nih. Pegi buat kerja cepat2 pastu meh balik adelaide nih. Tak ingat anak bini ka. Nampak terus banyak maser terluang...tu dok yg tulis esei berjela2 tuh.
Apa2 hal aku nak ucapkan Selamat ari rayer maap zahir batin kot2 umur kita pendek tak sempat berjumpa balik.
Kirim salam kat bini muda kau di malaysia tu yer.

Muhammad Teja said...

saya setuju amat perhentian bas itu dipanggil kolong. Memandangkan saya orang Bagan (butterworth), saya lihat perkembangan tempat itu sendiri sejak dari kecil lagi, sampailah sekarang.

Jika dulu, tersergam indah bangunan perhentian bas (spt puduraya). Kemudian berlaku kebakaran, yang didakwa dicetuskan sendiri oleh pemilik pasaraya Parkson Grand di tingkat dua perhentian bas tersebut. Kalau tak silap, tahun 2001. Kemudian, ia dipindahkan ke kolong itulah, sampai sekarang.

Memang tidak patut pihak kerajaan (BN atau PR) membiarkan hub bas utama bahagian utara begitu. Saya dari kecil menggunakan perkhidmatan bas untuk ke sana sini. Dari bas 52, 517, 501 hinggalah bas-bas ekspres baik haram atau rasmi untuk ke mana-mana.

Stesyen itu memang amat2 tidak menyelesakan. Serasa-rasa berada di negara lain jika berada di kompoun stesyen bas butterworth tersebut.

Saya harap, kerajaan PR tidaklah hanya melaungkan slogan2 rakyat namun masalah sekecil inipun tidak mampu dibikin. Sibuk2 nak ambil alih kerajaan, belum tentu mereka sebaik kerajaan sekarang memimpin negara.

Semoga stesyen bas baru segera dibina dan digunakan terus. Bukan hanya dikurung di balik pagar-pagar zink lagi. (stesyen ganti sudah dibina sebenarnya, tapi tak tahu kenapa belum dibuka)

p.s; saya ada buat cerpen budak2 pengemis itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails