Yang Ikut

Tuesday, 27 July 2010

Kalau aku bukan Melayu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Orang Melayu tidak pandai menyimpan rahsia hidupnya. Kita gemar membuka segala yang buruk di ruang terbuka. Kita bergaduh setiap hari - sesama sendiri. Kita mencari salah satu sama lain.

Ini sebahagian cerita orang Melayu yang tak akan kunjung padam. Kita hanya akan diam bergaduh sesama sendiri - setelah kita tahu bumi ini bukan milik kita lagi. Kita akan berhenti untuk menyaman sesama kita setelah kita tahu semua itu sudah tidak ada makna.

Apa puncanya semua ini. Adakah kita sedang berebut harta karun. Atau kita sedang merebut kuasa? Atau kita merebut kedua-duanya.

Masalah orang Melayu yang paling besar ialah menguruskan kuasa. Bila kita berkuasa, kita cenderung untuk memegangnya selama-lamanya. Kita tidak peduli orang lain lagi.

Orang lain tahu - ini kelemahan kita. Jadi bagaimana mereka menjerat kita? Mereka memberi kita rasuah. Kita pula menggunakan wang itu untuk mengekalkan kuasa. Jadi, kita berkuasa, si pemberi rasuah pula menjadi tok dalang yang memainkan nasib kuasa kita.

Bukan lagi rahsia - apabila setiap kali ada pemilihan, ada orang itu dan orang ini menghantar wakil untuk memberikan wang sogokan untuk memilih. Tapi, bagaimana untuk membuktikannya? Orang yang menerima - tentulah sangat bodoh kalau melaporkannya. Orang yang memberi pula - tidak akan mengaku, kerana yang memberinya ialah orang lain.

Orang berkata, bahawa rasuah itu milik parti tertentu. Sebenarnya tidak. Rasuah milik mereka yang ada kuasa. Tidak berguna merasuah orang yang tidak ada kuasa. Pemimpin yang sedang kalah seperti ayam sabung yang kepenatan, tidak akan mengharapkan wang sogokan lagi untuk menentukan nasib kuasanya. Dia tahu tidak akan menang. Orang yang membantu memberikan dana juga tidak bodoh untuk melabur kepada ayam sabung yang patah tajinya.

Sebab itu - orang Melayu selalu gagal dalam menggerakkan dasar dan polisi. Ia tidak sampai ke tangan orang bawah kerana banyak sangat ketirisan. Ia perlu dibahagikan kepada mereka yang menyumbang. Prof Syed Hussin Al-Attas semasa hidupnya, banyak menulis mengenai hal rasuah. Seperti biasa, tulisan akademik hanya akan tinggal sebagai nota lama untuk disimpan di perpustakaan.

Orang Melayu - selagi tidak mampu menguruskan kuasanya, selagi itu tidak mampu menguruskan dirinya. Selagi tidak mampu menguruskan diri, selagi itu tidak akan mampu menguruskan kuasa.

Kalau aku bukan Melayu - tentu aku tidak akan segusar sekarang.

Saturday, 24 July 2010

Bila aku tiada apa-apa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bila aku tiada apa-apa untuk diceritakan. Tiada kisah untuk diriwayatkan. Tiada mimpi untuk ditafsir. Angin pun tidak berhembus.

Jadi aku upload sahaja lagu lama - lagu ketika aku masih muda. Sekitar tahun 1996. Masa itu aku pun tidak tahu apa perjalanan hidup aku sebenarnya. Umur 24 tahun. Mungkin sebaya pembaca yang sedang membaca blog ini. Kalau roda hidup dapat diputar kembali, tentu aku memilih untuk kembali menjadi muda.

Tetapi itulah hidup. Hidup perlukan keberanian. Tanpa keberanian tidak ada apa yang boleh dilakukan. Memilih untuk melakukan PhD adalah keberanian. Memilih untuk bercinta adalah keberanian. Memilih untuk berkahwin adalah keberanian. Memilih untuk berkata benar adalah keberanian.

Memilih untuk tidak dipilih adalah keberanian. Jangan menangis adikku.


Wednesday, 21 July 2010

Menangislah sekarang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lebih 20 tahun dulu, ketika aku masih bersekolah - aku bukanlah orang yang rajin. Hampir semua subjek sains dan matematik aku tidak faham. Aku juga tentulah bukan orang yang cerdik. Kalau aku cerdik, sekarang ini aku sudah jadi Profesor. Tidak pun jadi kontraktor kelas F. Ada kereta BMW baru.

20 tahun dulu - aku sudah lama ada rokok dalam poket. Rokok Dunhill merah seperti yang aku hisap sekarang juga. Cuma waktu itu, ada pek 7 dan 10 batang lagi. Sekarang ini cuma ada 14 dan 20 sahaja.

Beberapa hari lalu - terdengar berita yang anak saudara aku menerima surat kerana rekod kedatangannya ke sekolah tentulah tidak baik. Aku sebenarnya tahu tabiat merokoknya lama dahulu. Dia baru tingkatan empat. Rekod akademiknya juga tidaklah begitu baik.

Aku lantas tekan nombor telefon mencari anak saudara aku ini. Aku tanyakan siapa kawan-kawannya. Berapa batang rokok di hisap sehari. Nombor berapa dia dapat di sekolah. Berapa A dia dapat. Berapa jam dia membaca buku dalam sehari. Aku juga memberitahu - bahawa satu masa dahulu aku juga sedikit 'rock'. Tetapi ada banyak hal yang orang patut tahu bagaimana untuk menjadi warga rock yang betul.

Aku tidak kisah hal merokok. Tidak juga aku kisah hal kedatangan. Bagi aku semua itu cerita nakal dunia remaja.

Tetapi - aku sangat kisah kalau berkawan dengan orang yang tidak betul. Nakal tidak mengapa, berkawan dengan manusia tidak betul menjahanamkan masa depan. Berkawan dengan orang yang tidak mahu belajar - menjadikan kita juga tidak akan belajar. Berkawan dengan orang malas, menjadikan kita lebih teruk dari aborigin bumi Australia. Rock tidak mengapa - menjadi rock tanpa tahu punca kejadian akan memudaratkan akal. Aku sangat bimbang - mereka yang ingin menjadi 'hebat' tanpa tahu asal usul - kemudiannya mencari kehebatan lain. Aku sangat takut dengan wabak air ketum, yang kini menjadi trend baru dicampurkan ubat batuk. Itu sangat aku bimbangi.

Sebab itu - setiap yang masih muda - tidak kira mereka anak saudara aku atau bukan - harus menjadikan buku sebagai tabiat hidup. Setiap hari mesti membaca buku selama 4 jam. Kemudiannya baru boleh ingin kembali berfoya-foya atau merempit. Dulu orang kampung aku selalu salah meneka diri aku. Mereka hanya tahu aku malas ke sekolah dan merokok. Mereka tidak tahu yang aku sebenarnya membaca buku setiap hari. Aku akan pastikan ada hal yang sepatutnya aku hafal telah disimpan dalam memori - sebelum aku keluar rumah melepak.

Sebab aku bukan orang pandai. Aku juga orang susah. Tetapi, sebab merokok dan melepak adalah budaya hidup waktu itu - aku tidak dapat elak kesemuanya. Tetapi aku masih memilih manusia yang aku patut berkawan. Tidak semua manusia akan menjadi kawan aku. Mat Jun - kawan aku yang juga buas - tetapi kami sudah berborak hal Plato lama dahulu. Kami sudah tahu hal falsafah waktu kami masih remaja.

Kawan - sama ada kita merosakkan mereka, atau mereka merosakkan kita. Jadi berhati-hatilah. Kawan berseronok mudah dicari, kawan menangis payah didapatkan. Teringat kata seorang cikgu lama dahulu - 'Menangis sekarang, ketawa kemudian. Ketawa sekarang, menangislah kemudian'.

Tuesday, 20 July 2010

Di pagi jernih aku menulis

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di pagi yang jernih ini aku terasa ingin menulis hal ini dari lubuk hatiku sendiri.

Setiap kali mereka yang kita gelar pemimpin - membeli pen Mont Blanc yang beribu harganya, atau minyak wangi Idole Armani, atau mesin rod memancing Abu Garcia buatan Sweden ternama - adakah mereka juga berfikir sama ada orang seperti kita mampu membelinya. Tatakala mereka singgah tidur di hotel mewah melepas penat, berfikirkah mereka tentang kita yang tidur di bawah bumbung atap zink yang bocor di sana sini.

Tidaklah dipastikan sama ada mereka juga tahu tentang istilah 'Pantang Lalu Ulur Selalu' yang disebutkan orang kampung apabila melewati laluan lebuhraya bertol. Pernahkah mereka terfikir bagaimana orang kampung selalu mencuka mukanya walaupun harga sebungkus kopi hanya naik 10 sen sahaja. Pastilah mereka tidak tahu betapa tebalnya buku tiga lima hutang orang kampung di kedai runcit yang belum berbayar. Jumlah hutang mungkin tidak lebih dari $200, tetapi ia sangat besar bagi penduduk kampung di pinggir pekan Changlun.

Semua ini adalah cerita masyarakat yang selalu terpadam dalam korpus berita utama media nasional. Orang hanya bising dengan pembangunan mega atau koridor baru. Orang juga lebih ambil tahu tentang bail-out billion ringgit syarikat gergasi. Berita Sime Darby rugi lebih diributkan - dari sukarnya ibu tua memberikan seringgit wang sekolah anak.

Sebab itu - sesiapa sahaja yang bergelar pemimpin - baik yang kerjanya menyokong, atau tidak sudah-sudah membangkang, perlu jiwa jernih yang tahu membaca payaunya hidup masyarakat sekeliling. Hidup dalam banglow mewah sambil menonton berita CNN tidak akan mengkhabarkan cerita di balik tabir orang kampung. Bercakap tentang lobi projek baru tidak akan melambangkan maksud sebenar kekayaan negara.

Hari ini - kita banyak jutawan. Kita berbangga kerana jutawan itu orang kita. Cuma sesekali kita berasa pelik mengapa banyak jutawan ini adalah saudara mara kepada orang tertentu. Mengapa bukan Hasni kawan aku yang bijak komputer, yang tahu segala hukum komputer - CISCO, Oracle, PHP, Java dan Linux. Mengapa bukan Rahman kawan aku yang sudah lebih 20 tahun meniaga kilang perabut dengan rekaan seni terbaik. Mengapa bukan Khalid, teman aku yang meniaga ayam panggang Sarawak.

Mengapa hanya orang yang sama - dari kelompok yang sama tiba-tiba menjadi jutawan segera. Hasni akan terus menjadi kuli makan gaji di syarikat orang asing kerana bapanya hanya bekas peniaga kantin, dan bukan 'orang itu'. Rahman akan terus membungkus dirinya dengan habuk kayu selama 20 tahun lagi - kerana bapa atau abangnya bukan sesiapa. Khalid akan terus dibusukkan asap ayam panggang kerana dia tidak bakal menjadi jutawan.

Tetapi beberapa orang kawan aku yang lain - kerana mereka bijak bermain politik - ada kenalan rapat dengan orang besar - pasti mereka akan menjadi usahawan berjaya kalau nasib percaturan mereka betul.

Australia bukanlah negara yang baik dari segi hak asasinya. Orang aslinya sudah lama menjadi kambing yang berkeliaran di taman-taman. Tetapi ada beberapa hal yang boleh kita pelajari. Mereka ada banyak lebuhraya. Di South Australia - lebuhraya adalah percuma. Di Victoria - manusia diberi pilihan sama ada mahu menggunakan lebuhraya berbayar atau percuma (freeway). Kedua-duanya sama sahaja kualitinya.

Mereka yang menjadi rakyat - bahkan penduduk tetap boleh belajar di universiti dengan percuma. Hospital dan perubatannya agak mahal - tetapi rakyat perlu membeli insuran untuk menanggung kos kesihatan.


Harga barangnya mahal. Tetapi harga sayuran dan makanannya masih murah. Kalau kita terserempak dengan harga seguni kentang AUD15, jangan beli lagi kerana beberapa hari lagi ia akan turun menjadi AUD 5 sahaja. Atau pergilah ke tempat lain - kerana harganya tidak akan sama. Ada barang yang di sana mahal, tetapi di sini pula murah. Harga petrolnya turun naik setiap hari - jadi isilah minyak ketika harga merudum jatuh.

Kalau semua ini ada dalam korpus penglihatan setiap daripada kita - pastilah kita semua akan berasa begitu bahagia. Mungkin sangat mustahil untuk menjadi Umar Abdul Aziz - tetapi tidak mustahil untuk kita semua terjun ke lubuk hati derita manusia.


Alangkah indahnya kalau setiap yang dipilih menjadi pemimpin - baik yang di peringkat kampung, negeri atau negara mempunyai hati yang penuh insaf dan rasa sedar. Memimpin dengan cara yang baik maknanya kita tidak berniaga. Memimpin dengan cara yang jujur maknanya kita tidak hanya menolong rakan-rakan baik kita. Memimpin dengan hati murni maksudnya setiap hari kita akan menangis mendengar keluhan rakyat.

Monday, 19 July 2010

Subsidi, harga barang dan nasib kita

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harga barang, subsidi dan nasib kita adalah tiga pembolehubah yang saling berkaitan. Ketiadaan subsidi akan melonjakkan harga barang, dan menyebabkan kemerosotan nasib kita.

Terdapat korelasi kuat di antaranya. Nilai alphanya tentulah lebih dari 0.70.

Apakah mediator di antara ketiga-tiganya? Adakah subsidi ialah pembolehubah bebas, harga barang ialah mediator dan nasib kita ialah pembolehubah terikat.

Dalam statistik yang menggunakan structural equation modelling, ia akan dilukis begini subsidi -->harga barang -->nasib kita. Manakah yang lebih kuat di antara ketiga-tiganya? Adakah model ini akan menyebabkan nilai CFA, GFA dan TLI lebih dari 0.90, dan nilai RMSEA kurang dari 0.07.

Kita juga patut menganalisis menggunakan z score. Boleh juga menggunakan anova untuk melihat nilai min, dan apakah darjah signifikannya.

NOTA: Ia sengaja ditulis dengan cara yang sukar difahami.

Sunday, 18 July 2010

Menutup catatan perjalanan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harapnya tiga anak kecil ini bakal menjadi pemimpin negara. Harapnya mereka bukan manusia rakus. Harapnya mereka mampu membaca apa yang tersirat dalam jiwa rakyat kecil seperti kita.

Apa hebatnya Melbourne? Untuk orang seperti aku, sebenarnya aku tidak begitu sukakan kota besar seperti itu. Ia bandar sibuk. Bagaimana pun, tidak seperti Adelaide atau Darwin, ramai orang Islam di sana. Banyak kedai yang dikuasai masyarakat Islam. Aku tidak begitu tahu berapa jumlah komuniti di sana. Aku malas untuk menggoogle.

Tapi musim sejuk seperti ini, orang seperti kita akan ke sana. Mereka akan mencari salji di beberapa kawasan tanah tinggi. Untuk orang yang biasa dengan iklim di Eropah atau Kanada, salji di Australia tidaklah seberapa. Hanya ada beberapa buah negeri sahaja di Australia yang ada salji. Itu pun, di kawasan tanah tinggi. Brisbane dan Darwin - beriklim tropika. Jadi, pastilah salji suatu yang asing di banyak tempat di bumi kanggaroo ini.
Aku tidak pasti sama ada ini musim sejuk terakhir aku di Australia. Mulai esok, aku akan kembali ke Magill Campus. Aku sedang merasai seram sejuknya bulan-bulan terakhir di bumi Australia. Ada dua atau tiga kertas lagi untuk ditulis. Menutup cerita seram pengajian PhD. Pastilah, kalau aku berjaya mendapatkan ijazah sekalipun, ia tidak akan menjadikan aku manusia yang pandai. Ia hanya kertas sebagai syarat untuk mencari makan sahaja.

Saturday, 17 July 2010

Update ringkas

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 6 pagi tadi - sejak bertolak dari jam 9 pagi semalam dari Melbourne, melintasi Great Ocean Road yang terkenal itu, akhirnya aku sampai ke Adelaide.

Terasa lama sangat aku pergi. Aku melihat kalendar. Nampaknya lebih dari 2 minggu juga. Sejak aku memulakan perjalanan ke Melbourne, kemudiannya ke Darwin - dan kemudiannya pulang ke Melbourne semula. Cuma dari Melbourne ke Adelaide agak penat sebab kali ini menaiki kereta. Jaraknya dekat 1,000 kilometer. Kalau naik kapalterbang mungkin tidak terasa apa-apa.
Isteri aku seperti biasa suka berposing. Ini gambar terkini dia. Jangan terkejut, kalau 11 tahun dulu kalau dia bergambar seperti ini, mungkin orang akan sangka dia Siti Nurhaliza. Itu sebelas tahun dulu ketika kami masih muda dan masih menaiki motosikal berkeliling Bandar Baru Bangi. Waktu itu juga aku masih tak berkahwin lagi. Jadi, tentulah aku tak berani 'komplain'.

Ini sedikit gambar di Melbourne. Ia bandar besar. Membandingkan Darwin dengan Melbourne, sama seperti membanding Changlun dengan Kuala Lumpur. Ia tidak setara. Tetapi, jangan lupa orang selalu membuat perbandingan seperti ini. Cuba sesekali anda belek berita suratkhabar. Orang selalu membandingkan harga minyak, harga barang atau tol dengan negara maju lain. Mereka mencari harga yang paling tinggi dan mula membuat perbandingan. Bijak sungguh!

Satu hari nanti - tentu akan ada berita: "Roti Canai di Changlun Termurah di Dunia!". Mereka akan membuat perbandingan dengan harga roti canai di Melbourne, New York atau kota London.

Nanti aku update lagi. Aku masih penat.

Thursday, 8 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 6

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku bentang lagi. Bagus kali ini. Pesertanya ialah ahli dalam bidang. Ada dari Jerman, New Zealand, Australia dan Jepun. Kebanyakan ialah ahli metodologi dan teori. Dari Malaysia pun ada. Siap aku bentang, profesor dari Jepun datang tanya aku bab kajian. Dia ajak aku tulis artikel bersama. Aku rasa ini peluang yang baik. Kawan aku tentu tahu siapa orang ini. Aku pernah hantar artikel profesor ini tidak lama dulu.

Ada beberapa orang bertanya soalan. Seperti biasa, aku menjawabnya. Sebelum menutup topik, aku dengan penuh mesra melontarkan ayat penutup paling mudah: "If you have any hard questions, please forward them to my supervisor''.

Tengahari - waktu rehat aku berjalan ke bandar seorang diri. Ronda-ronda. Kalau aku tunggu pun, apa yang boleh aku makan. Orang putih makannya pelik sikit. Yang halal cuma sayur. Yang lain entah apa-apa yang dia makan.

Sambil jalan aku ambil gambar.
Ini gambar apa? Ini sebuah rumah yang dibina lewat tahun 1880-an. Mengapa mereka tidak buang? Mengapa tidak ada orang berkata bahawa rumah ini tidak ada nilai sejarah? Sebabnya mudah sahaja. Budaya masyarakat yang bertamadun akan menyimpan sesuatu dari tamadun lalu. Ia tidak bakal dimusnahkan begitu sahaja untuk membangunkan hotel dan supermarket.
Ini sedikit deskripsi berkaitan bangunan ini. Aku tak sempat baca. Aku cuma ambil gambar dan beredar.

Ini gambar tempat sekitar bangunan bersejarah ini.

Aku berjalan lagi seorang diri membelah cuaca panas. Sampai satu tempat, ternampak monumen untuk mengingatkan tragedi Darwin dibom. Aku ambil gambar lagi. Tidak tahu siapa yang megebom. Tidak tahu juga bila dibom. Aku malas untuk membuang masa di situ. Ambil gambar, dan berjalan lagi membelah lorong pekan.
Cerita ini mungkin menamatkan perjalanan aku di Darwin. Besok malam aku akan naik kapalterbang balik ke Melbourne. Mungkin tidak sempat meng'update' blog. Di Melbourne, aku akan berjalan-jalan bermain salji, melewati Great Ocean Road dan pulang ke Adelaide.

Oh. Tadi aku jumpa seorang anak muda Melayu di bandar Adelaide ini. Orang Negeri Sembilan. Aku bertanya sama ada dia pelajar atau berkerja. Katanya dia berkerja sebagai akauntan. Aku tanya sama ada dia lulusan universiti di Australia. Katanya tidak.

Lulusan mana dia?

UiTM. Siapa kata universiti kita tidak berkualiti?

Terima kasih kepada yang membaca catatan ini.

Wednesday, 7 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 5

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari ini tidak ada banyak masa. Semalam aku bentang kertas aku di Asia Psychology Conference. Banyak jumpa orang Malaysia. Seperti biasa, ada yang belia, ada yang 'kerek'. Banyak juga yang baik. Tapi kelihatannya ini persidangan yang dipenuhi orang Indonesia.

Kalau ada yang bertanya aku, sama ada aku akan sertai persidangan ini lagi pada masa hadapan - aku jawab belum tentu.


Kalau orang bertanya sebabnya - mungkin kualitinya kurang. Orang tak ambil hirau sangat hal metodologi dan statistik. Konseptual juga tak diambil berat. Hal persampelan. Jadi, bila kita dengar orang bentang - terasa tidak ada benda baru sangat.

Aku balik tengahari tadi. Bersama-sama dengan supervisor aku, menaiki bas awam terus ke Vibe Hotel. Ini hotel mewah depan laut. Aku cuba buat pembetulan kertas jurnal. Aku repair, dia baca. Aku repair da baca. Akhirnya siap dan dihantar.

Besok aku ke Expert Workshop Psychosocial Risk Factors at Work. Aku kena bentang kertas aku yang lain. Aku rasa ini mungkin ada kelas yang lain. Kebanyakan yang datang ialah profesor dalam bidang job stress. Cuma aku seorang budak sekolah. Tadi, sempat berbual-bual dengan Prof Akihito dari Jepun. Aku kenal dia. Dia tak kenal aku. Aku selalu 'cited' dia punya pandangan dalam tulisan aku. Hari ini aku berjumpa.

Jumaat malam aku balik ke Melbourne. Tunggu siri perjalanan musim sejuk pula

Sunday, 4 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 4

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku ke Charles Darwin University. Tahu siapa Charles Darwin? Itulah tokoh yang menyatakan asal manusia dari primat sebelumnya. Betulkah Charles Darwin berkata begitu, atau itu hanya dikatakan oleh pengikutnya sahaja. Anda patut membaca buku bagi hal ini. Aku tidak mahu bercerita hal itu. Aku ingin bercerita hal Darwin sahaja.

Sepanjang perjalanan dari bandar ke universiti, anda akan dapati rumah-rumah yang dibangunkan sama konsepnya dengan apa yang anda lihat di Malaysia. Ada rumah yang berdinding papan dua tingkat, atau rumah setingkat yang dindingnya di'plaster'. Memang, ia sebuah wilayah Asia. Tidak ada ciri-ciri Australia di sini. Kelihatan lebih Asianya dengan adanya pokok mempelam yang sedang berbunga, pokok asam, mengkuang, malah pokok petai angin pun ada di sini. Cuacanya memang seperti kita. Panas dan melekit.

Bagusnya, bas di sini percuma untuk pelajar. Tunjukkan sahaja kad pelajar, anda terus diminta duduk. Jadi, tidak perlu tiket. Jimat $2 dolar hari ini! Duit itu diambil dari mana? Itulah wang yang dicukaikan dari orang kaya bagi membantu orang susah. Bukan mencukaikan orang susah bagi membantu orang kaya.

Sebelum ke universiti, aku bersiar-siar di kedai cenderamata. Jangan harapkan apa-apa. Aku tidak membeli satu apa pun. Aku hanya menemankan beberapa rakan dari Malaysia yang datang berseminar. Motif aku hanya mengambil gambar. Ini gambar kedai cenderamata.
Ini pula lukisan aborigin - yang dikenali sebagai 'mandala'. Apa mandala? Itulah lukisan yang dilukis berulang-ulang. Lihat gambar itu. Ia seni orang asal di sini. Cantik dan memikat. Ini memang antara bidang aku ketika mengambil kelas lukisan dahulu.

Ini pula gambar beg bermotifkan mandala. Ia beg tulen buatan Australia. Ada sesiapa yang hendak membelinya? Datanglah ke sini.

Saturday, 3 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 3

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bandar Darwin tidaklah sebesar Adelaide. Bangunannya juga tidaklah cantik. Tidak kelihatan bangunan klasik penjajah Inggeris. Ia bangunan baru yang tidak ada nilai estetika. Bagaimana pun bandarnya hidup. Ia seperti bandar pelancongan yang dipenuhi hotel, motel dan backpacker. Ada bas khusus untuk membawa pelancong terus ke hotel. Juga ada bas untuk membawa penumpang ke gudang membeli belah.

Di satu jalan, malamnya penuh dengan kedai kopi dan bar. Orang masih penuh di sana. Mungkin kerana cuacanya yang tidak sejuk seperti tempat lain di Australia. Darwin ialah bandar bercuaca tropika. Ini musim orang lari dari cuaca sejuk, dan Darwin menjadi lokasi paling dekat.

Aborigin, seperti biasa bertenggek seperti makhluk yang tidak diperlukan. Ada yang menjadi pengamen mengetuk-negetuk dua batang kayu membunyikan muzik sambil meminta sedekah orang ramai. Kasihan mereka.

Itu pula pemuzik jalanan warga kulit putih. Tiga anak muda sedang membuat persembahan di satu pohon. Ada beberapa orang yang menonton. Aku duduk di hujung sebelah ini. Suaranya agak merdu. Tetapi, tentulah tidak mampu mengalahkan suara Siti Nurhaliza.


Malamnya masih bernyala. Masih ada orang lalu lalang si sana sini. Darwin, bandar yang bagus untuk mereka yang sukakan cuaca kita.

Bagaimana pun - kerana ketiadaan bangunan klasik, ia tidak menampakkan ciri kota Inggeris. Ia seperti bandar lain di Asia sahaja. Tidak apa yang berbeza. Cuma yang tidak ada ialah kedai mamak. Itu sahaja.

Aku masih belum menemui dan berpeluang meminum kopi di bandar ini. Hidup tanpa kopi adalah kehidupan membosankan. Seperti hidup seorang soldadu tanpa senjata.

Dari Adelaide ke Darwin - part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setelah melewati penerbangan selama 6 jam dari Melbourne, aku tiba di bumi Darwin. Ia bumi yang asing untuk aku. Cuma, sebaik sahaja memijak kaki keluar dari lapangan terbang, aku berasa lega. Aku berjaya lari keluar dari cuaca sejuk Melbourne dan masuk ke dalam cuaca kita.

Aku tidak berapa pasti apa yang ada di Darwin. Lagi pula, jam 1 pagi - tidak banyak yang dapat aku lihat. Suasana di lapangan terbang tetap sama. Warga kulit putih ada di merata tempat. Aku mengutip beberapa keping flyers dan buku panduan pelancong. Aku cuba membelek apa yang ada di sini.

Melihat kepada lukisan 'Mandala' yang ada di sekitar lapangan terbang - ia seolah-olah mahu menceritakan Darwin ialah bumi Aborigin. Bagaimana yang dikatakan lukisan 'mandala'. Aku cuba mengambil gambar. Tetapi memandangkan suasana malam, dan kamera yang aku ada hanyalah 'handphone' yang aku pinjam dari isteri - aku batalkan dulu hasrat mengambil gambar di waktu malam.

Aku membeli tiket bas dari lapangan terbang. Harganya tidaklah mahal. Cuma $ 13.00 dolar. Dalam bas itu, rasanya semuanya pelancong yang tidak tahu apa-apa seperti aku. Aku cuma beritahu drebar bas- aku mahu menuju ke hotel - Mantra Pandanas. Hotel mewah juga. Ia bukanlah sebab aku ini orang kaya.
Hotel ini didiami Habib, seorang pemuda Myanmar yang dahulunya belajar PhD di University Adelaide. Tapi, kerana dia sakit - lantas berhenti. Kini berkerja sebagai jurutera di Darwin. Hotel ini dibayar oleh majikannya. Dia orang Islam seperti kita, mungkin ketekunan agamanya lebih baik.
Gambar dari Tingkat 11 Hotel Mantra Pandanas

Habib - dahulunya belajar di UIA. Dari matrikulasi sampai ke sarjana. Pernah mengajar di sana juga beberapa tahun. Dia fasih bahasa Melayu. Jarang dia bercakap bahasa Inggeris dengan anak Melayu. Aku selalu juga melepak dengan beliau sambil merokok di sempadan Universiti Adelaide dan UniSA dahulu. Jadi, siapa kata merokok tiada faedah?

Cerita hidupnya sebagai manusia Muslim di Myanmar juga panjang. Kalau ada masa, nanti aku tulis.

Sepanjang menaiki bas, yang aku lihat kebanyakan pokok pinang yang ditanam berderetan sepanjang jalan. Pokok pinang yang ditanam di laman universiti kita, yang buahnya tidak boleh dimakan.

Bandarnya juga kelihatan masih bernyala. Jam 2 pagi - anak-anak muda masih penuh di tepi jalan. Berjalan kemabukan. Ia seperti suasana jam dua pagi di Jalan Bukit Bintang. Seorang lelaki tua yang duduk sebelah aku merungut - melihat anak muda yang masih berkeliaran waktu itu. Suasana ini sangat berbeza dengan Adelaide. Adelaide jam 2 pagi - warganya sudah mati.

Aku buka televisyen, aku tonton bola. Kita sambung lagi besok pagi.

Thursday, 1 July 2010

Masa untuk survey!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
NOTA:
Sekadar membantu seorang pengunjung blog yang kini sedang membuat penyelidikan PhD dalam bidang pemasaran di University of Hull, UK. Harap anda dapat menolong beliau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan seperti pautan di bawah. Ia mungkin mengambil masa kurang dari 5 minit.

Bagaimana pun, anda mestilah seorang warganegara Malaysia dan menguasai sedikit bahasa Inggeris, kerana soalan disediakan dalam bahasa Inggeris. Lokasi di mana anda berada tidak penting dalam kajian ini.

Walaupun penyertaan adalah SUKARELA, bagaimana pun penyertaan bagi tujuan 'main-main' atau merosakkan tujuan kajian adalah TIDAK DIGALAKKAN. Kerana jawapan yang anda berikan mungkin akan menggangu hasil kajian. Jadi, sila pastikan yang anda bersedia memberikan kerjasama secara ikhlas dan senang hati.

Bagi yang jarang terlibat dengan survey online, SurveyMonkey bukanlah bermaksud menjatuhkan maruah manusia. SurveyMonkey ialah salah satu software yang selalu digunapakai dalam penyelidikan online, dan perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan berbayar.

****************************

Dear all,
1. Could you please help me in this survey? Any information you provide will be only used for academic purposes. Information identifying the respondents will not be disclosed under any circumstances. The responses are confidential. Your participation is extremely important to the completion of this research.
2. Please click below link to participate in this survey:
3. There is no right or wrong answer to the following statements. This survey is only concerned with your opinion regarding the subject matter. The survey has four main sections for you to answer. Please click the NEXT button to proceed to the next section and click DONE button when completed.
4. This survey would also like to offer you with some incentives. The prize draw will be handled by the Head of Department when survey is closed. The survey will be closed on 31st July 2010. The incentives of £25 will be given to each of the then lucky participants. The researcher will contact the lucky winner for the prize collection. If you want to participate in this draw, please email your details to the researcher.
Details require as below:
1. Full name
2. Contact address and number
3. The date when you answer the survey (e.g. July 28, 2010)
If you require further explanation, please contact the researcher at the address and contact number below.
Your cooperation is very much appreciated.
Best regards,
Salmi Mohd Isa
Doctoral Researcher
Centre for Marketing, Communications and International Strategy
The Business School
University of Hull
HU6 7RX

Safety first

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dua gadis itu memang jelita. Berhidung mancung, berambut blonde dan berkulit cerah. Seorang lagi kurus dan ramping. Mengalahkan Ziana Zain.

Apa yang aku nak cerita ni? Jelita pun tak guna kalau kapalterbang dah 1 jam tak bergerak. Aku dah duduk dalam flight ni sejak 6.20 pagi lagi. Jam 4 pagi aku dah keluar rumah untuk check in. Safety first kata gadis jelita tadi.


*************

Edisi yang diupdate

Aku sudah tiba di Melbourne. Tadi, pesawat tambang murah Australia mengalami kerosakan. Tertangguh satu jam lebih. Ia senario biasa kapalterbang bergambar harimau itu. Ini kali kedua. Pertama, ketika aku dari Perth ke Adelaide hampir setahun lalu. Hari ini, kena lagi.

Isu kualiti perkhidmatan pesawat tambang murah ini sudah diperdebatkan di Parlimen South Australia tahun lepas. Hinggakan ada gesaan agar lesennya ditarik balik. Untuk orang marhain seperti aku, tentulah tidak banyak pilihan lain. Tambangnya cuma $55 dolar dari Adelaide ke Melbourne. Sangat berbaloi. Kualitinya tidak penting sangat. Cuma harapnya ia tidak melibatkan aspek keselamatan.

Tambang pulang balik dari Melbourne ke Darwin cuma $550 dolar. Masih dianggap murah bagi perjalanan selama 4 jam. Ia sesuai untuk orang seperti aku, yang duit dalam poket lebih banyak siling dari wang kertas. Untuk orang yang ada duit, mungkin tidak berapa sesuai.

Nanti aku cuba update apa yang ada di Melbourne.


Wednesday, 30 June 2010

Salah tanggap terhadap universiti

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku merujuk kepada satu catatan yang seolah-olahnya cuba menganggap bahawa UiTM bukanlah universiti yang bagus, seperti yang diceritakan di satu laman. Lebih buruk, mereka mengatakan UiTM universiti sampah. Pastilah, orang yang mengeluarkan komen seumpama itu, kalau disemak latarbelakangnya tidak ada satu jurnal pun yang pernah ditulis.

Sigmund Frued sekali pernah berkata - orang yang baik akan menilai orang lain sebagai baik. Orang yang teruk akan menilai orang lain sebagai teruk. Anda perlu ingat kata-kata ini.

Beginilah - biar aku berkhutbah hal pendidikan. Sebenarnya di mana sekalipun kita belajar, universiti hanya menyediakan prasarana sahaja. Baik atau buruk, bijak atau bodoh, tidak ditentukan oleh universiti. Ia ditentukan oleh manusia itu sendiri. Belajar di universiti hebat sekalipun, tanpa menulis jurnal, tanpa pencapaian akademik - seseorang itu tidak perlu merasa dirinya besar. Belajar di universiti yang besar, tanpa sepatah pun membaca buku, tidak akan memberikan apa-apa makna.

Ia tidak lebih dari seekor harimau di dalam zoo yang tidak tahu menerkam. Sekalipun hidup di dalam zoo yang ternama, tidak tahu menerkam tidak menjadikan harimau sebagai harimau. Ia mungkin unta atau anak kaldai sahaja.

Jadi - untuk setiap yang bernama pelajar, berhati-hatilah. Jangan terlalu berbangga dengan 'nama' universiti anda, kalau anda sendiri tidak memiliki apa-apa.

Salah tanggap terhadap universiti kian menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Kita cuba membezakan di antara satu universiti dengan universiti lain. Ia bukan sekadar berlaku di kalangan orang awam, ahli akademik juga turut terseret sama. Dunia hari ini, kita begitu terpengaruh dengan sistem ranking THES. Seolah-olahnya universiti yang rankingnya bagus, juga mempunyai pelajar yang bagus.

Orang mungkin terlupa - sistem pemarkatan THES itu sendiri masih diragui. Ia hanya dijadikan benchmark bagi menjual populariti universiti Barat. Yang pada akhirnya, akan menjadikan pendidikan sebagai ladang pelaburan baru. Mengapa aku katakan begitu? Tidak pernah sekalipun Universiti Al-Azhar berada dalam ranking itu. Adakah ini menunjukkan ia sebagai universiti tidak bagus? Banyak lagi universiti hebat di dunia di Amerika Latin khususnya, tidak juga tersenarai dalam THES itu.

Puncanya ialah kerana kebanyakan universiti ini tidak menghasilkan penerbitan atau laporan dalam bahasa Inggeris. Justeru penilaian itu dibuat dari kacamata Barat, maka mereka hanya menggunakan tanda aras 'Barat' bagi menilai universiti lain sebagai baik atau buruk.

Satu waktu dulu - tahun 1999 - ketika aku di Bangladesh, seorang Professor bertanya kepada siswanya, "Adakah orang akan bertanya berapa meja kuliah atau papan hitam yang universiti anda miliki ketika ditemuduga? Tidak, mereka akan hanya bertanya sejauh mana pengetahuan anda".

Di Australia - University South Australia mungkin tidak berada setaraf dengan Universiti Adelaide dari segi ranking dunia. Bagaimana pun, tidak ada sesiapa pun yang bertanya. Malah, pelajarnya tidak kisah pun berkongsi prasarana di antara kedua-dua universiti bersebelahan itu. Pensyarahnya juga saling bertukar tempat kerja. Sama ada ke Universiti Adelaide, atau ke Universiti of South Australia. Adakah mereka ini peduli dengan ranking dunia?

Jadi - apabila orang awam dari negara dunia ketiga mula mengkategorikan ada universiti yang baik, dan ada universiti yang tidak, ini akan merosakkan institusi pendidikan itu sendiri. Sedangkan semua universiti itu ditubuhkan pihak pemerintah. Skim gaji pengajar dan kakitangannya juga sama. Kelayakannya juga sama. Yang berbeza hanyalah siapa yang dibangunkan dahulu. Itu sahaja.

Berbalik kepada isu - adakah UiTM bukan universiti yang baik? Aku sesekali tidak pernah percayakan 'ilusi palsu' itu.

Aku bukan graduan UiTM. Tapi, sepanjang aku menemuduga dan berkerja, aku dapati kebanyakan lulusan UiTM ialah manusia yang hebat. Mereka rajin. Mereka fasih bahasa Inggeris. Mereka komited. Tidak ada satu pun kelemahan yang membolehkan kita menolak mereka semasa temuduga, atau menyebabkan mereka tidak dinaikkan pangkat.

Sebab itu - sampai sekarang aku tidak akan percaya kalau ada orang berkata graduan UiTM tidak bagus. Orang yang berkata begitu mungkin kerana terpesona dengan mitos "Melayu lemah', dan ini menjadikan UiTM turut terkait sama.

Tuesday, 29 June 2010

Fikiran kusut, jiwa kacau

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau orang tanya, apa perasaan aku sekarang setelah hampir 3 tahun di Adelaide - jawapan yang paling jujur, - takut dan risau.

Kadang-kadang terbawa ke mimpi. Kadang-kadang terasa seperti hendak memekik di tengah malam. Selalu juga aku terkejut terjaga di tengah malam. Sebetulnya, ini seperti simptom orang dilanda depression - kemurungan.

Apa yang aku takutkan? Banyak. Satunya hutang yang bertimbun kalau PhD tidak menjadi. Keduanya takut datang kosong, balik nihil. Tidak ada apa-apa. Kalau dalam tempoh 3 tahun ini, aku duduk di Malaysia, kerja di sana sini, tentu aku tidak menghimpun hutang. Kalaupun aku tak menghimpun wang juga.

Lagi apa? Banyak. Masa yang habis tak akan berganti lagi.

Sebab itu mungkin kita boleh lihat ada orang yang mengaji PhD mukanya ada yang lain macam. Ada yang berjalan seperti tidak melihat pohon. Bercakap, tetapi fikirannya mungkin berada pada tempat yang lain. Ada yang tidak bercampur dengan manusia. Ada yang pergi pagi pulang malam. Ada yang malam ke pagi tak balik ke rumah lagi.

Semua ini cerita balik tabir orang buat PhD.

Aku mungkin tidak termasuk dalam kategori itu. Tetapi, dalam hati aku, siapa yang tahu. Tidak ada sesiapa yang tahu. Isteri kita yang memandang wajah kita setiap hari pun tidak tahu apa yang berlegar dalam fikiran kita.

Kadang-kadang, kita berasa apa yang ditulis sudah betul, supervisor pula tidak setuju. Kadang-kadang, supervisor sudah bagi lampu hijau, penilai pula tak puas hati. Kadang-kadang, kita tidak puas hati. Supervisor minta jalan juga.

Semua ini adalah cerita kacau.


PhD - fikiran kusut, jiwa kacau.

Pada akhirnya - kita hanya mampu berdoa.

Berita pagi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lusa aku akan berangkat ke Darwin. Untuk menjimatkan kos kapalterbang, aku ikut trip panjang. Adelaide --> Melbourne --> Darwin. Bermalam sehari di Melbourne.

Apa ada di Darwin? Aku tidak begitu tahu. Yang aku diberitahu, jangan mandi laut di Darwin. Itu tempat buaya air masin. Pasti tiada salji di sana. Cuacanya mirip Malaysia. Di mana aku menginap. Belum tahu lagi. Nanti sampai, aku fikir. Tempat menginap tentu banyak. Yang tidak banyak hanya duit.

10 haribulan, aku berangkat balik ke Melbourne. Apa ada di Melbourne? Banyak. Orang Melayu pun banyak. Kawan-kawan pun mungkin banyak. Kedai makan pun banyak.

Tapi - sekarang ini musim salji. Jadi, inilah waktunya aku hendak berfoya-foya. Isteri, anak dan beberapa orang lain akan ke Melbourne ikut jalan darat pada 10 hb itu. Ikut rencananya akan ke Mount Buller selama dua hari. Balik ikut jalan kesukaan yang meletihkan, Great Ocean Road.

Kalau ada masa, nanti aku update berita seputar Darwin, Melbourne, Mount Buller dan Great Ocean Road.

Monday, 28 June 2010

Bagaimana aku melihat aku?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setelah berusia 38 tahun ini - kalau orang bertanya aku bagaimana aku melihat diri sendiri, sama ada aku melihat diri aku sebagai sudah tua, atau masih muda, aku sendiri sebenarnya tidak begitu jelas.

Setiap kali pulang ke kampung, ada juga aku lihat orang yang sebaya aku yang perwatakannya sebagai sangat tua. Cara mereka berpakaian, berjalan dan bercakap seolah-olahnya mereka terlebih tua dari aku. Mereka menampilkan imej yang sangat 'belia', menjadikan aku sendiri merasakan perlu memanggil mereka dengan pakcik. Mereka berbual dengan hal yang sangat sukar aku fahami. Mereka berbicara hal perniagaan jutaan ringgit. Berbincang hal pelaburan dan perniagaan baru. Ini menjadikan aku terasa seperti budak baru tamat sekolah.

Ada pula - yang mungkin kerana dengan beban pekerjaan, memperlihatkan fizikal yang sangat tua. Mereka ini mungkin sudah tidak ada sepuntung dua gigi depan. Rambut mereka pula sudah penuh dengan uban. Mereka menceritakan permasalahan hidup, dengan beban hutang dan segala macam. Ini menjadikan cerita mereka sangat sedih untuk didengar. Sepertinya, mereka ini akan mati sehari dua lagi. Sedangkan, aku masih belum pun tumbuh uban di kepala.

Bagaimana aku melihat aku sendiri? Ini tentu hal yang sangat payah bagi manusia. Ini telah aku cerita dalam topik Johary Window yang tidak memungkinkan kita melihat diri kita sendiri. Aku tidak pasti bagaimana orang lain melihat aku? Mungkin ada yang melihat aku sebagai orang tua. Ada pula yang mungkin melihat aku sebagai masih muda. Tetapi - aku sendiri tidak pasti sama ada aku patut mengkelaskan aku sebagai anak muda atau orang tua.

Bagi aku - muda atau tua hanya angka sahaja. Muda dan tua adalah pemikiran. Aku mungkin masih boleh bertegur sapa dengan anak muda atau minum kopi bersama mereka. Ada hal yang masih boleh aku kongsi, ada hal yang tidak.

Untuk menonton wayang atau berjalan-jalan menyambut tahun baru bersama dengan anak muda, ia mungkin sudah menjadi hal mustahil bagi aku. Walaupun satu waktu dulu aku terasa sangat suka dengan hal itu. Apatah lagi kalau diajak masuk ke kedai 'mesin kuda'. 20 tahun dulu mungkin aku boleh melihat orang bermain mesin kuda. Sekarang ini, melihat papan tanda "kedai permainan video' pun aku rasa semacam pelik.

Bagaimana pun - kalau ada anak muda yang menjemput aku bercerita tentang kehidupan orang muda, aku mungkin tidak ada masalah. Aku boleh bercerita banyak hal. Aku boleh berborak tentang pengurusan atau psikologi. Aku juga masih lagi boleh menceritakan 'trick' untuk meniru di dalam peperiksaan.

Sesekali aku juga boleh memberitahu kumpulan kesukaan aku - sama ada ianya Manowar, Gun N Roses, Oasis atau Nirwana. Ini menjadikan aku tidak pula cukup tua - sebagaimana teman-teman aku yang kian dimamah masa.

Jadi - aku ini apa? Aku mungkin sudah tua tetapi masih belum sedar diri. Atau aku juga sebenarnya masih muda tetapi ingin melakonkan watak orang tua.

Atau - umur hanya sekadar angka. Orang yang lebih berumur dari aku melihat aku sebagai anak muda. Orang yang lebih muda melihat aku sebagai seorang pakcik.

Sunday, 27 June 2010

Siti Nurbaya II: Ini hakikatnya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siti Nurbaya tidak begitu gembira dengan keputusan ini.

Katanya - cinta tidak akan indah tanpa halangan. Cinta tanpa pengorbanan bukanlah cinta. Cinta perlukan halangan dan pengorbanan. Itulah yang menjadikan Laila dan Majnun epik cinta yang hebat.

Siti Nurbaya tahu - dalam zaman moden ini, wanita tidak kisah lagi mengahwini lelaki tua sekalipun. Lelaki yang muda banyak yang sudah ditimpa petaka. Ada yang menagih, ada yang mati berlumba di jalanraya. Banyak yang tidak mahu berkerja. Hidup hanya berfoya-foya.

Lebih baik memilih lelaki tua. Lelaki tua suaranya tidak lagi kuat. Kalau marah pun tidak kedengaran. Lelaki tua juga sedikit sebanyak ada wang simpanan. Kalau tiba-tiba diambil nyawa oleh Tuhan, ada sedikit saki baki wang untuk hidup.


Siti Nurbaya gadis yang rajin. Dia rajin membaca. Dia tahu statistik gadis yang tidak berpeluang untuk berkahwin seumur hidup. Dia juga tahu nisbah lelaki dan wanita. Jadi, Siti Nurbaya rasa dia tidak membuat keputusan yang salah.

Dia tahu - dia perlu menentang arus. Dia tahu, dalam hidup yang keras ini, dia perlu berani. Berani tidak semestinya berperang di perbukitan. Berani juga ialah keberanian membuat keputusan. Memilih untuk mengahwini suami orang lain adalah keberanian. Memilih untuk berebut dengan suami orang lain bukanlah satu dosa, tetapi satu keperluan.

Mencintai suami orang tidak bakal menghilangkan cinta suami kepada isteri tuanya. Cinta bukanlah sesuatu yang bersifat fizikal. Ia hanyalah cahaya yang boleh menyinari semua manusia.


Siapa Siti Nurbaya? Siti Nurbaya adalah simbol kehidupan anak gadis zaman sekarang. Siti Nurbaya adalah watak yang tidak ujud. Dia tidak ada kena mengena dengan aku. Dia hanya watak bagi mengisahkan realiti masyarakat hari ini.

Siti Nurbaya yang asal ada dalam novel
ini. Kalau berpeluang, anda patut membacanya.

Siti Nurbaya: Cinta itu tidak indah

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Indahkah kalau bercinta lagi? Ini untuk orang separuh umur sepertiku.

Tatkala aku sedang makan dengan penuh sopan bersama Siti Nurbaya di Restoran Insaf di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tiba-tiba isteri aku telefon meminta aku belikan ikan kembung, daun silom dan seikat serai. Katanya dia mahu masakkan aku asam pedas kesukaanku. Dan aku harus makan bersamanya dan anak. Apa yang aku harus beritahu isteriku?

Tatkala aku dan Siti Nurbaya sedang menonton filem cinta Adnan Sempit - tiba-tiba baru aku teringat yang tadi isteriku minta aku belikan siri drama Korea terbaru dari Komplek Kotaraya. Kedai akan ditutup jam 5 petang, tetapi wayang pula hanya habis jam 7 petang. Apa yang harus aku pilih? Menghabiskan tontonan filem, dan melupakan pesan isteriku. Atau membelikan cd drama Korea dan membiarkan Siti Nurbaya terluka?

Sedang aku berpegang tangan lembut Siti Nurbaya dan bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa, memerhatikan pasangan itik angsa memberikan makan anaknya, tiba-tiba ada anak kecil, teman anakku menyapa. 'Pakcik, makcik mana? Mengapa tak bawa Luqman sekali?" Waktu itu tentu aku tidak tahu apa yang harus aku jawab.

Aku tentu tidak boleh melupakan tangan lembut Siti Nurbaya. Aku juga tidak boleh melupakan tangan isteriku yang kian lama kian kasar menjaga anak dan memasak. Tangannya juga kasar kerana sibuk dengan rumahtangga. 20 tahun dulu, tangannya juga lembut seperti Siti Nurbaya juga. Aku tidak boleh membandingkan tangan lembut Siti Nurbaya dengan tangan isteriku. 10 tahun lagi, tangan Siti Nurbaya juga tidak lembut lagi.

Sekian lama - akhirnya Siti Nurbaya tahu bahawa aku sudah ada isteri. Dia tentu tidak kisah. Kerana cintanya denganku, dia sanggup merentas lautan api. Dia begitu setia denganku. Dia memilihku seadanya.

Tatkala aku sedang dalam proses untuk menikah di Golok - isteriku tiba-tiba telefon. "Abang di mana ni. Cepat balik. Kereta mati tengah jalan ni'. Apa yang harus aku buat. Aku tidak boleh melukakan hati Siti Nurbaya. Aku juga tidak boleh membiarkan isteriku merana di tengah jalan.

Aku juga tentu tidak sanggup berhadapan dengan ibu dan bapa mertuaku. Tatkala aku meminang anaknya dulu, aku dengan penuh sopan dan mesra. Pijak semut pun tidak mati. Sekarang ini, aku sedang melukakan hati anak mereka. Aku juga sedang menipu mereka juga.

Setelah kisahku berkahwin di Golok tersiar di media - isteriku tahu segala-galanya. Airmatanya sedang menjadi lautan. Api cintanya kian menjadi dendam kemarahan.

Apa lagi yang harus aku lakukan?

Siti Nurbaya memang cantik. Tetapi dia tidak pandai memasak asam pedas. Aku tidak boleh hidup tanpa asam pedas. Kalau aku pulang ke rumah, aku tidak mampu melihat air mata isteriku.

Kalau aku tidak pulang, aku tidak boleh kalau sehari tidak merenung muka anakku. Aku perlu bergusti dengan anakku setiap hari. Siti Nurbaya memang cantik. Tetapi dia tidak memiliki apa yang sedang aku miliki.


Kalau begitu - maafkan aku Siti Nurbaya. Cinta ini tidak indah lagi untuk orang separuh umur sepertiku. Kita lupakanlah sahaja angan-angan kita. Kau carilah Kassim Baba - lelaki muda sebaya denganmu.

Saturday, 26 June 2010

Edisi khas hari ulangtahun

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini harijadi aku. Tidak perlulah aku rahsiakan umur aku. Aku bukan artis. Aku sekarang sudah 38 tahun. Aku lahir hari Selasa, jam 10.00 pagi. Kata emak - badan aku dulu kecil. Tak cukup zat gamaknya. Aku sepatutnya anak yang ke tujuh. Tapi dua orang lagi meninggal semasa kecil. Tapi, dengan takdir Allah - aku sempat survival sehingga ke umur 38 tahun.

Aku tidak begitu ingat apa yang berlaku dalam hidup aku semasa masih kecil. Yang aku ingat, aku selalu tidak memakai baju. Perut pun mungkin buncit. Mungkin buncit cacing. Dulu-dulu, aku selalu minum air sirap sahaja. Emak aku bancuh dalam botol susu. Kata emak, susu mahal. Sebenarnya bukan harga susu yang mahal - tetapi hidup kami susah. Itu realitinya.

Tapi aku membesar juga. Otak aku pun tak juga mandul. Di sekolah rendah dulu, aku selalu dapat hadiah. Aku rasa, sepanjang di sekolah rendah - aku tidak pernah dapat nombor lebih banyak dari tiga. Cuma sekali sahaja aku dapat nombor empat. Cuma di sekolah menengah, sebab aku masuk sekolah yang baik - tidak lagi aku merasa nombor baik itu.

Aku tidak dapat bayangkan - apa yang pembaca muda dapat bayangkan. Ia mungkin pelik bagi sesetengah orang. Di rumah aku - tidak ada sterika baju pun. Zaman itu - yang ada sterika mungkin orang berada. Itu pun sterika pakai arang kayu lagi. Untuk tampal lencana sekolah ke poket baju - emak aku panaskan tudung periuk. Kemudian tekan tudung periuk itu ke lencana baju. Baru melekat. Ia sama fungsi dengan sterika juga.

Rumah aku tidak ada elektrik. Cuma pakai pelita. Yang kaya sedikit pakai api gasoline. Itulah hebatnya hidup aku semasa kecil dulu.

Rumah aku hanya beratap rumbia. Lantainya dibuat dari batang pinang yang dibelah. Kita boleh nampak ayam yang berjalan-jalan di bawah rumah. Dindingnya pula dibuat dari buluh yang dianyam. Dapurnya masih pakai kayu api. Ada pelantar di bahagian belakang. Itulah tempat kita buang air kecil. Aku lihat ayah aku buat rumah waktu itu. Orang kaya waktu itu tidak banyak. Semuanya lebih kurang sahaja. Jadi - tidaklah hina sangat hidup kalau dibandingkan dengan realiti pada masa itu.

Televisyen juga tidak ada. Jadi apa hiburan kami. Aku pun tidak tahu apa yang menghiburkan sangat. Cuma setiap malam, ayah aku selalu mengajar muqaddam. Sangat garang dia. Dia bukanlah orang alim - bukan guru agama juga. Tetapi dia pandai tajwid. Segala huruf iqfak, izhar, iqlab dan mat asli kena hafal. Mungkin itulah hakikat orang zaman dulu. Sambil mengajar - dia menggertak dengan sebilah bulu landak. Aku sangat takut.

Sekali sekala - kami mengunjungi rumah orang kaya untuk menonton. Siri Combat dan BJ and The Bear antara yang terkenal waktu itu. Filem Melayu masih banyak berkisar dengan cerita pendekar - lakonan E.D Osmera atau Husin Abu Hassan. Filem Harimau Berantai antara yang masyur waktu itu. Semua ingin jadi hero.

Takdir ayah meninggal muda. Tahun 1980. Bulan Ogos kalau aku tidak silap. Abang aku pula yang menjadi ketua kami. Tetapi, tahun lepas dia juga pulang. Tak mengapalah. Masih ada empat adik beradik dalam keluarga kami. Kami menelesuri jalan panjang cerita keluarga.

Semasa kecil - tidak pernah aku berangan-angan akan sampai ke Adelaide. Aku pasti, emak aku juga tidak berangan-angan tinggi. Dia sekadar untuk melihat kami hidup sahaja. Itu kejayaan yang besar untuk emak aku. Kejayaan untuk abang aku juga. Sebelum datang ke Australia - waktu itu aku tidak begitu pasti lagi - aku ada beritahu emak yang aku mungkin akan luar negara lagi. Kali ini untuk sambung belajar. Emak aku semacam tidak begitu percaya sangat. Lagi pula - aku bukan kerja kerajaan. Siapa nak taja aku belajar.

Satu waktu dulu - ada seorang tua pegang jari aku. Dia lihat jari aku. Dia kata, 'jari ini tidak akan pegang cangkul'. Maksudnya - melihat kepada jari aku, aku tidak akan kerja kampung. Aku akan kerja makan gaji. Kerja di bandar. Mungkin takdir Tuhan - telahannya itu betul. Setakat hari ini. Hari mendatang tidak tahu lagi. Mungkin aku kena buang kerja. Aku berubah jadi pemandu lori atau tukang gunting rambut.

Sekarang - aku sudah 38 tahun. Aku hanya orang kampung sahaja. Jangan bimbang kalau ada sesiapa jumpa aku di mana-mana. Aku tidak pernah percaya perlu ada protokol dalam hidup. Aku semacam dulu juga. Tetap semacam itu. Semasa aku mengendalikan bengkel menghafal di sebuah sekolah, bekas guru aku kata - sebagaimana dia lihat aku dulu, seperti itulah dia lihat aku sekarang.Kalau di kampung, aku tetap tidak kisah tidak memakai baju sambil menaiki motor ke kedai. Aku tidak kisah kalau perlu meminta sebatang rokok dari pelajar semasa aku mengajar. Sebab bagi aku - hidup ini perlu ringkas sahaja. Kalau tidak, nanti cepat mati!

Itulah sebahagian cerita aku. Cuma setelah berusia 38 ini, isteri aku selalu bimbang aku akan kahwin lagi. Aku pun bimbang juga. Takut-takut aku jatuh cinta lagi.

Friday, 25 June 2010

Ada apa denganmu Ariel?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jumaat petang. Cuaca sejuk. Gelap awal. Siang lambat. Cuaca yang tidak memberikan motivasi. Itali kalah bola. Juara dunia tersungkur. Peranchis pulang awal. England nyaris tumbang. Siapa lagi yang bakal tinggal.

Aku gagahkan diri. Membuka komputer. Menaip artikel baru. Harapnya menjadi. Aku menaip dengan kelajuan maksimum. Sejak 5.15 petang tadi aku mula menaip. Sudah ada 757 patah perkataan. Aku harap dalam masa 3 hari ini, aku siapkan juga 10,000 patah perkataan. Jangan bimbang. Angan-anganku selalu tidak menjadi. Seperti angan-angan ingin berjumpa dengan Siti. Siti yang mana?

Ariel Peter Pan sudah ditahan polis. Gara-gara merakamkan aksi lucah dengan Luna Maya. Siapa Luna Maya? Aku tidak tahu. Aku tahu Ariel. Ini penyanyi kesukaan aku di Jakarta dulu. Lagu popularnya - Ada Apa Denganmu selalu berkumandang di Bandara (bandar udara) Sokarno Hatta. Kini orang mula bertanya - ada apa denganmu Ariel?

Ariel kelihatannya seperti tidak bermoral. Itu kata orang. Adakah ini bermakna kita orang baik?

Belum tentu lagi. Orang lain buruk, belum tentu membuktikan kita baik. Seperti melihat orang lain baik, belum juga tentu kita buruk. Ia perbandingan tidak setara. Kita seperti kita juga. Tidak bakal berubah sama ada orang lain itu baik atau buruk.

Itali kalah bola. Tidak semestinya pasukan Malaysia hebat bolasepak.

Ohh. Aku terlupa sesuatu. Esok hari jadi aku. Selamat hari jadi untuk aku yang ke-30 an. Masih muda kalau dibandingkan dengan orang yang lahir sebelum aku.

Wednesday, 23 June 2010

Dari Kodiang ke Kuala Lumpur

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Membaca berita ini, membuatkan aku gembira. Bukan kerana berita ini, tetapi berita kejadian ini berlaku di pekan aku - Changlun. Ia telah menjadikan secara tidak sengaja, nama Changlun terkenal ke persada dunia.

Keduanya, filem yang sedang dalam proses penggambaran itu - Dari Kodiang ke Kuala Lumpur - menjadikan pekan kecil tidak jauh dari Changlun bakal masuk dalam dunia glamoor. Kalaulah filem ini bakal dijemput ke Festival Filem Cannes, aku tentu akan lebih gembira. Tetapi mengapa kedengarannya tajuk filem ini sepertinya filem Hishamuddin Rais Dari Jemapoh ke Manchester sahaja?

Changlun dan Kodiang - kedua-duanya bandar kecil. Masyarakatnya mungkin tidak kenal dengan artis terkenal. Mereka mungkin tidak tahu bahawa pelakon itu sudah berkahwin. Mereka mungkin lebih tahu cerita wayang kulit Sri Asun - yang watak utamanya ialah Etong dan Nunui.

Sebaik berita ini, baru aku tersedar rupanya Changlun sudah ada hotel. Ini berita kejayaan pembangunan di pekan kecil kami. Mungkin aku tidak begitu perasan dengan kewujudan hotel itu. Ia bukan hotel 5 bintang. Bintang pun belum tentu ada.

Dahulu, jangan kata hotel - perkataan hostel pun orang jarang dengar. Jangan kata artis akan singgah, para penyamun paling ganas pun belum tentu berani berhenti. Itu cerita lewat tahun 70-an, ketika aku masih budak-budak.


Itulah Changlun. Itulah Kodiang.

Kedua-duanya pekan kecil yang menjadi tempat aku mengenal dunia. Satu hari nanti - akan aku bikin filem aku sendiri - Dari Changlun ke Adelaide!

Tuesday, 22 June 2010

Siapa ada cadangan?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Banyak yang hendak ditulis.

Tidak banyak yang dapat ditulis.

Sesiapa yang ada cadangan - bagi memperbaiki blog ini - dari segi kandungannya, harap dapat berikan pandangan.

Apakah yang mesti aku tulis lagi, atau ada yang belum tertulis.

Pandangan yang bernas - akan diberikan perhatian.

Siapa yang cadangkan semua ini

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Cakap-cakap memindahkan bangunan Parlimen sedia ada ke tapak baru dengan belanja 800 juta ringgit tentulah sesuatu yang mengejutkan juga. Cakap-cakap ini muncul tatkala kita juga sedang diingatkan agar berbelanja lebih berhemah dan jangan banyak berboros.

Suara cadangan ini muncul pada masa kita sedang diberitahu bahawa negara akan muflis sekiranya subsidi terus dikekalkan. Proposal pembinaan bangunan Parlimen baru ini muncul setelah kita juga sedang dibisingkan dengan ura-ura pengenalan GST.

Cadangan siapakah sebenarnya semua ini? Seperti mana kita tidak tahu siapa yang mencadangkan agar diujudkan kouta 60:40 untuk pembangunan di Kampung Baru. Seperti mana juga ada orang yang bersuara bahawa Penjara Pudu bukanlah sesuatu yang bernilai sejarah. Semua ini membingungkan untuk kita rakyat jelata yang tidak arif dan sangat naif dalam hal pentadbiran negara.

Kalau orang bertanya - mana yang lebih utama, akan aku beritahu: 'membuka segala ruang demokrasi yang ada tentulah lebih besar maknanya dari membina sebuah bangunan Parlimen yang baru'.

Monday, 21 June 2010

Jam enam empat minit

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam baru 6.04 minit petang. Tapi suasananya seperti jam 12 malam. Di kampus pun tidak kelihatan sosok manusia lagi. Mungkin semuanya sudah balik ke rumah. Di pejabat ini, hanya aku dengan Dr Winwood di pejabat. Entah apa yang dia buat aku tidak tahu. Dia duduk di hujung sana, aku di hujung yang satu lagi.

Aku cuba menyiapkan juga tulisan aku malam ini. Jurnal aku yang ditolak itu, aku simpan dulu dalam peti. Semalam, supervisor aku telefon. Dia minta hantar ke satu jurnal lain. Katanya, kawan baiknya menjadi Ketua Editor di situ. Kalau aku masih ada banyak waktu, nanti aku cuba buka kembali jurnal terbaik - yang ditolak itu.

Jam baru 6.04 minit petang. Di Malaysia, di Jalan Tuanku Abdul Rahman tentu tengah sesak dengan manusia sekarang ini. Para peragut tentu sedang bersedia menunggu mangsa. Mereka tidak kira tua atau muda. Asalkan wanita. Di Jambatan Pulau Pinang - tempat indah aku di zaman muda di pertengahan tahun 90-an dulu -juga tentu sedang sibuk dengan mobil dan motor. Banyak paku di atas jambatan itu. Orang kita memang kaya dengan idea bisnis. Sebab itu gamaknya - kita bakal menjadi negara maju lebih cepat dari tahun 2020.

Jam 6.04 minit petang. Masa berubah. Dunia berubah.

Seminit lagi jarum jam bergerak ke depan - maksudnya usia hidup kita semakin berkurang.

Selamat malam semua. Kawan yang kenal. Kawan yang tidak kenal.

Sunday, 20 June 2010

Selamat tidur Penjara Pudu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sedih sekali mendengar berita, Penjara Pudu yang berusia 100 tahun - salah satu tinggalan sejarah yang menceritakan tamadun bangsa - akan dirobohkan. Memang benar, ia bukan tempat orang baik. Tetapi inilah tempat yang mengajar manusia untuk menjadi mulia. Sayangnya, kerana dunia hari ini - tidak ada sesiapa lagi yang sibuk untuk mempertahankan warisan, kita membiarkan Penjara Pudu dirobohkan begitu sahaja.

Semuanya kerana kita tidak lagi diasuh untuk sayangkan warisan budaya kita. Orang lebih rela mendengar pandangan ahli ekonomi yang menyusun rumus jutaan untung, dari mendengar sirah ahli sejarah bagaimana sesebuah bangsa itu jatuh. Tidak banyak negara yang bertindak seperti kita. Di Australia - rumah buruk yang ada nilai sejarah akan digazetkan sebagai bangunan warisan. Pemiliknya tetap boleh tinggal di dalamnya, tetapi tidak ada sesiapa yang boleh merubahnya. Apatah lagi merobohkannya.

Aku menemui banyak rumah seperti ini. Satunya di Melbourne Street di North Adelaide. Satu lagi hanya tinggalan rumah runtuh di atas Adelaide Hill di Warrawong. Ada juga sebuah rumah seperti ini di Innes National Park, York Peninsular.

Ikon sejarah lain - seperti tempat perhentian keretapi sekalipun tidak boleh dipinda atau dirubah sesuka hati. Semuanya ditinggalkan untuk menceritakan salur galur perjalanan bangsa.

Inikan pula penjara besar negara yang ada sejuta cerita manusia di dalamnya. Ia menceritakan bagaimana penjajah memenjarakan anak bangsa kita. Ia juga mencatatkan cerita kejam manusia. Tentu sahaja - sebagai penjara ia telah banyak menyelamatkan masyarakat di luarnya dengan mengurung manusia kejam dan tiada berbudi bahasa.

Sayang - bagi kita semua itu tidak ada makna. Penjara buruk seperti itu tidak akan setanding dengan gedung membeli belah atau hotel mewah yang membawa pulangan wang ringgit. Sayang, tidak ramai yang sedih dengan berita perobohan ini. Orang lebih kecewa kalau England bakal tewas dalam pertandingan seterusnya, dan bakal melenyapkan impian mengejar Piala Dunia. Tetapi orang tidak kisah pun penjara warisan penjajah Inggeris itu musnah begitu sahaja.

Apakah dosa Penjara Pudu? Dosanya bukan kerana pernah menjadi tempat menggantung manusia. Juga bukan kerana ia pernah mengurung penjenayah kejam. Dosanya ialah kerana ia letak di tengah bandar. Dosanya kerana ia tidak mendatangkan pulangan wang ringgit. Maka - kalau dulu ia menjadi tempat menghukum manusia - kini Penjara Pudu sedang dihukum.

Apa salahnya kalau kita kekalkan ia sebagai warisan sejarah bangsa. Kita boleh menjadikannya sebagai pusat latihan penjara. Kita juga boleh menjadikannya sebagai pusat tumpuan pelancong bagi menginsafkan masyarakat. Kita juga boleh menghidupkannya sebagai pusat latihan forensik atau pencegahan jenayah. Semuanya boleh kita lakukan.

Syaratnya - kita ada keazaman politik yang kuat. Syaratnya kita tidak melihat semua perkara dengan rumus untung rugi pulangan ringgit.

Apakan daya kita. Kini subjek sejarah pun sudah lama dianggap sebagai teks menceritakan mitos sahaja. Tidak ada sesiapa memandangnya. Apatah lagi ingin mempelajarinya.

Sampai satu saat nanti - tidak ada apa satu pun yang akan ditinggalkan lagi untuk tatapan generasi akan datang. Anak-anak kita bakal menepuk dada mendongak bangunan tinggi dan gedung mewah, tetapi terlupa di mana sebenarnya dia berdiri! Dia terlupa sejarahnya sendiri.

Selamat tidur Penjara Pudu. Teruslah bermimpi pemimpin bangsaku.

Menelusuri sejarah bangsa

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dari mana asalnya Melayu?

Ada dua teori utama dalam hal ini. Pertamanya - bahawa Melayu itu asalnya dari Yunan, letaknya di baratdaya negeri China, berdekatan dengan Nepal bersempadan dengan India dan Burma. Teori ini juga sering diungkapkan dengan pendekatan 'pergerakan dari utara' yang merujuk bahawa kita adalah manusia pendatang yang bergerak turun dari dataran itu.

Jadi - menurut pendapat ini, orang Melayu bukanlah manusia yang asli.

Teori ini menggunapakai fosil 'Peking Man' yang dikatakan manusia tertua. Ini menjadikan orang Melayu dianggap sebagai manusia pendatang.

Bagaimana pun, teori pergerakan dari utara ini ternyata ingin memperkecilkan leluhur bangsa, menyamatarafkan Melayu sebagai manusia pendatang yang lain. Fosil "Peking Man' itu akhirnya didapati palsu sahaja.

Penemuan fosil "Java Man' kemudiannya - yang bukan sahaja terbukti asli lagi sahih, tetapi lagi tua dari fosil "Peking Man' - telah menolak gagasan bahawa orang Melayu adalah manusia pendatang.

Bukti lain juga membuktikan bahawa sememangnya di rantau ini sudah ada makhluk bernama Melayu.

Tulisan-tulisan Marco Polo pada abad ke 13-M ada menyebutkan istilah "Malaiur' yang merujuk kepada penduduk tempatan sekaligus menunjukkan bahawa sosok Melayu memang sedia ujud di rantau ini, dan bukannya manusia pendatang.

Rekod-rekod negeri China pula ada mencatatkan tentang rombongan 'Mo-lo-yu' atau "Mali-yu-eul" ke negeri tersebut sekitar 644M. Ada pula catatan lain yang menyebut sekitar tahun ke 13 dan 11 sebelum Masehi, sudah ada rombongan dari China ke rantau ini.

Dari segi etniknya - orang Melayu itu adalah rumpun yang sama dengan orang Melayu yang ada di Champa, Kemboja, selatan Filipina, Madagascar, Indonesia dan Taiwan. Semua ini membuktikan bahawa Melayu itu bukanlah bangsa pendatang, tetapi sedia menetap di rantau ini. Bagaimana pun, tidaklah semua Melayu itu menjadi Islam. Hanya sebahagian dari kita yang menerima dakwah dari pedagang Arab atau India yang memeluk Islam.

Masih ada sosok etnik Melayu yang beragama lain.

Hipotesis bahawa bangsa Melayu itu bergerak dari utara ke selatan hanyalah mitos. Pergerakan itu bukanlah memberi erti bahawa kita ini manusia pendatang, melainkan satu penghijrahan dari satu tempat ke tempat yang lain sebagai manusia Melayu.

Berapa banyak ahli politik Melayu kita yang mahu membaca sejarah bangsanya?

Saturday, 19 June 2010

Bila cinta sudah tidak ada

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kisah cinta tidak menjadi ada di mana-mana, hatta dari laman istana sekalipun.

Cinta - ialah kisah yang indah didengar. Orang sanggup merentas lautan api kerananya. Orang sanggup membawa sedulang hati nyamuk bagi mendapatkan cinta. Kerana cinta itu perasaan pelik yang mengasyikkan, seluruh dunia menjadikan cinta sebagai tema. Lagu dan filem menjadi 'hit' kerana bara cinta. Novel cinta menjadi tarikan manusia dari seluruh dunia.

Berapa kali dalam hidup manusia - orang terperangkap dengan cinta?

Orang melihat begitu indahnya kalau dapat menawan hati putera raja. Hakikatnya, orang mungkin tidak tahu - cinta seorang pengemis adalah lebih besar auranya. Tidak siapa yang sanggup mencintai orang susah yang tidak memiliki apa-apa. Kerana kesanggupan dan keberanian untuk berkongsi payah itulah, cinta orang susah lebih mahal dan tinggi nilainya. Mereka tidak mencintai manusia kerana banglo, harta dan darjat. Mereka mencintai kerana sosok tubuh manusia dan hatinya.

Orang tua kita - yang hidupnya lebih susah - mampu bertahan begitu lama. Mereka mungkin tidak pernah sekalipun menyebut patah cinta untuk ibu atau ayah kita. Tetapi mereka mempertahankan cinta dengan masinnya garam kehidupan, dan payaunya air telaga. Mereka menongkah dapur tidak berasap bagi memastikan survival cinta itu bertahan dan teguh bernyala. Cinta itulah melahirkan kita ke alam ini.

Kasihan kita melihat sesetengah orang - tatkala hari perkahwinan mereka - yang ditaja oleh syarikat gergasi, disiar langsung di dalam televisyen - seolah-olah satu dunia sedang merayakan hari cinta manusia. Akhirnya, sebagai mana manusia melihat kemeriahan cinta mereka, orang juga melihat runtuhnya rumahtangga yang dibina.

Lebih baik - kita membina cinta seadanya sahaja. Tidak perlulah menulis nama di atas batu. Cinta yang kekal itu adanya di hati. Cinta yang bertahan itu adanya dalam diri. Ia bukan pada wajah dan cantiknya manusia. Ia bukan pada timbunan harta dan kilauan emas.

Dengan siapa anda bercinta?

Bagaimana untuk dikenali

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada perkara untuk aku tulis hari ini.

Aku cuba tulis hal mudah sahaja. Bagaimana untuk membolehkan anda dikenali dan banyak kawan. Ini nota untuk anda yang baru sampai ke luar negeri.

Banyak sebab mengapa ada orang yang kurang dikenali.

Mungkin, ketika mula sampai dia telah berhubung dengan orang yang mungkin juga tidak begitu dikenali. Jadi, akhirnya berita kedatangannya tidak tersebar, dan 'networking' baru tidak dapat dibina dengan cepat. Atau dalam kata lain - ada orang yang telah bertemu dengan 'clique' yang salah. Ada orang yang bernasib baik - kerana ketika mula sampai telah berhubung dengan 'otai' tertentu - jadi perjalanan hidupnya menjadi lebih mudah.


Orang yang peramah - besar kemungkinannya akan memiliki banyak kawan. Bagaimana pula kalau anda jenis pendiam? Pendiam juga boleh memiliki banyak kawan. Anda boleh mengajak teman-teman anda yang lain minum, atau berkumpul di rumah anda. Anda tidak perlu bercakap, biarkan orang lain bercakap. Anda mendengar sahaja.

Orang yang positif juga selalunya banyak kawan. Apa itu orang positif - orang yang melihat orang lain sama sahaja, tidak terlalu tinggi, atau juga terlalu rendah. Ada orang yang melihat orang lain terlalu tinggi, atau terlalu rendah. Ini menyukarkan mereka bertegur dengan orang lain - apatah lagi yang tidak dikenali. Ini juga dipengaruhi oleh self fulfilling prophecy.

Banyak yang telah dicuba - tetapi nampaknya tidak ada yang mahu berrkawan juga. Sekiranya anda berbual dengan seseorang - pastikan topik perbualan itu 'sesuai' dengan orang yang dibualkan. Sekiranya anda pelajar PhD misalnya, jangan menceritakan masalah kajian anda dengan pekerja kontrak - ini menjadikan topik anda akan dilihat bosan. Atau, anda orang biasa sahaja. Jangan berbual hal-hal bodoh sangat apabila bertemu dengan orang yang ada jawatan, ini akan menyebabkan anda akan juga dilihat bosan. Lihat dahulu siapa yang ada di depan anda.

Kalau anda rasa cukup sukar menjadi 'popular', sesekali cubalah promosi diri anda. Bagaimana? Jemputlah orang datang makan di rumah anda. Secara tidak langsung orang tahu kewujudan anda. Orang lain mungkin tidak tahu kewujudan anda sebelum ini. Pasti, selepas ini orang yang anda jemput makan, akan menjemput anda pula. Sepatutnya inilah yang harus anda lakukan ketika mula sampai ke tempat yang baru.

Pergi memancing juga langkah yang bijak. Ada ramai teman baru yang akan anda temui. Pemancing ini pula ada rangkaiannya sendiri. Anda mungkin tidak mendapat ikan, tetapi anda akan tahu bahawa hidup sebagai pemancing tidaklah membosankan.

Apa lagi? Kalau seribu cara telah dicuba dan masih juga tidak dikenali - jadilah penyanyi seperti Saudara Ben. Atau bukalah blog dan tulislah hal yang paling kontroversi seperti jejaka kacak dari Kelantan itu!

Friday, 18 June 2010

Sesiapa ada kawan di Darwin?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hujung bulan nanti aku ke Darwin. 10 hari. Ada dua persidangan. Satunya Asia Psychology Conference. Satu lagi Expert Panel Meeting on Psychosocial Risk Factors.

Jarak Darwin dengan Adelaide agak jauh. 3,000 kilometer. Cuacanya mungkin sama seperti Malaysia.

Tambang pergi balik pun 900 dolar. Untuk jimat, aku terbang ke Melbourne dulu, dan ambil pesawat dari sana. Itu belum masuk kos penginapan. Masih tak cari lagi.

Sesiapa ada kawan di Darwin? Ingat nak tumpang.

Thursday, 17 June 2010

Adakah blogger bebas?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Dua juta blogger bukti media massa tempatan bebas - Rais

17/06/2010 3:01pm

KUALA LUMPUR 17 Jun — Kewujudan dua juta blogger di negara ini membuktikan media massa di sini bebas menyiarkan pendapat dan kritikan masing-masing, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa dengan perkembangan teknologi maklumat, peluang untuk mana-mana pihak bersuara dan memberikan pandangan masing-masing tidak pernah disekat oleh kerajaan.

-------------------------------

Menurut laporan akhbar, terdapat 2 juta blogger di Malaysia. Ini juga dijadikan hujah bahawa blogger kita adalah bebas bersuara.

Kalau orang bertanya aku - sama ada blogger kita bebas - aku jawab tidak pasti.

Adakah blogger kita bebas? Memang benar, kebebasan itu sesuatu yang relatif. Kita tidak wajar menggunakan alasan kebebasan bersuara untuk menyatakan apa sahaja yang kita suka. Sama juga tidak wajarnya, kerana ingin menjaga sesuatu yang mungkin tidak wajar, kita menutup suara orang memberikan pandangan.

Bagaimana pun, kewujudan 2 juta blogger tidaklah harus dijadikan kayu ukur kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara yang dimaksudkan tentulah sesuai dengan hal yang bersifat konstruk pemikiran, atau pandangan yang mempunyai makna.

Kalau 2 juta blogger yang wujud itu hanya menulis hal biasa sahaja - misalnya berapa kali menggosok gigi sehari, atau lauk yang dimasak untuk makan tengahari - itu bukanlah satu indikator untuk kebebasan bersuara.

Misalnya - adakah orang dibenarkan melaporkan kelakuan tidak baik pemimpin atau ketua jabatan yang melakukan kesalahan, yang adakalanya ia mungkin dihalang oleh akta tertentu. Bolehkah blogger memaparkan dokumen sulit yang ada kaitannya dengan penyelewengan, atau sesuatu yang diragui telah wujud salah guna kuasa. Juga - sejauh mana pelajar boleh menyatakan pandangan politik mereka mengenai sesuatu perkara. Adakah jaminan mereka ini tidak 'diancam' dengan tindakan tertentu.

Tentu inilah kebebasan yang patut dijadikan kayu ukur. Dua juta blogger yang wujud itu mungkin juga termasuk budak-budak sekolah yang hanya berbincang cerita pokok bunga atau menulis mengenai cerita hantu puaka yang singgah dalam mimpi mereka. Tentu, maklumat seumpama itu - tidak ada maknanya dalam mengukur makna kebebasan bersuara.

Menjerit ke bukit di malam gelap - tidak memberi makna itu kebebasan bersuara.

Wednesday, 16 June 2010

Kisah boomerang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita selalu terpinga-pinga kebingungan apabila anak-anak kita membuat sesuatu yang dilarang. Mereka akan cuba memanjat tempat tinggi tatkala kita cuba melarangnya. Mereka akan membuat bising ketika kita cuba menghindarnya.

Ini bukan hanya berlaku kepada anak-anak kecil. Remaja yang dilarang untuk merokok di sekolah akan cuba melakukannya. Begitu juga, apabila kita menyatakan bahawa merempit itu satu budaya yang bahaya, maka semakin ramai yang melakukannya. Orang merasa seronok melakukan sesuatu yang dilarang.

Apakah ini?

Inilah yang dikatakan sebagai 'boomerang effect'. Orang akan semakin suka melakukan sesuatu yang dilarang. Mengapa jadi begitu? Sebabnya kerana manusia sangat menghargai nilai kebebasan. Jadi - apabila dilarang, mereka merasa seperti disekat. Ini menyebabkan mereka memberontak.

Ingat - cinta Romeo dan Juliet juga sebenarnya adalah merupakan fenomena 'boomerang effect' juga - ia kisah cinta terlarang.

Dalam hidup kita - berapa kali kita berasa dihadapkan dengan kesan terbalik ini?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails