Yang Ikut

Showing posts with label siti nurbaya. Show all posts
Showing posts with label siti nurbaya. Show all posts

Sunday, 27 June 2010

Siti Nurbaya II: Ini hakikatnya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siti Nurbaya tidak begitu gembira dengan keputusan ini.

Katanya - cinta tidak akan indah tanpa halangan. Cinta tanpa pengorbanan bukanlah cinta. Cinta perlukan halangan dan pengorbanan. Itulah yang menjadikan Laila dan Majnun epik cinta yang hebat.

Siti Nurbaya tahu - dalam zaman moden ini, wanita tidak kisah lagi mengahwini lelaki tua sekalipun. Lelaki yang muda banyak yang sudah ditimpa petaka. Ada yang menagih, ada yang mati berlumba di jalanraya. Banyak yang tidak mahu berkerja. Hidup hanya berfoya-foya.

Lebih baik memilih lelaki tua. Lelaki tua suaranya tidak lagi kuat. Kalau marah pun tidak kedengaran. Lelaki tua juga sedikit sebanyak ada wang simpanan. Kalau tiba-tiba diambil nyawa oleh Tuhan, ada sedikit saki baki wang untuk hidup.


Siti Nurbaya gadis yang rajin. Dia rajin membaca. Dia tahu statistik gadis yang tidak berpeluang untuk berkahwin seumur hidup. Dia juga tahu nisbah lelaki dan wanita. Jadi, Siti Nurbaya rasa dia tidak membuat keputusan yang salah.

Dia tahu - dia perlu menentang arus. Dia tahu, dalam hidup yang keras ini, dia perlu berani. Berani tidak semestinya berperang di perbukitan. Berani juga ialah keberanian membuat keputusan. Memilih untuk mengahwini suami orang lain adalah keberanian. Memilih untuk berebut dengan suami orang lain bukanlah satu dosa, tetapi satu keperluan.

Mencintai suami orang tidak bakal menghilangkan cinta suami kepada isteri tuanya. Cinta bukanlah sesuatu yang bersifat fizikal. Ia hanyalah cahaya yang boleh menyinari semua manusia.


Siapa Siti Nurbaya? Siti Nurbaya adalah simbol kehidupan anak gadis zaman sekarang. Siti Nurbaya adalah watak yang tidak ujud. Dia tidak ada kena mengena dengan aku. Dia hanya watak bagi mengisahkan realiti masyarakat hari ini.

Siti Nurbaya yang asal ada dalam novel
ini. Kalau berpeluang, anda patut membacanya.

Siti Nurbaya: Cinta itu tidak indah

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Indahkah kalau bercinta lagi? Ini untuk orang separuh umur sepertiku.

Tatkala aku sedang makan dengan penuh sopan bersama Siti Nurbaya di Restoran Insaf di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tiba-tiba isteri aku telefon meminta aku belikan ikan kembung, daun silom dan seikat serai. Katanya dia mahu masakkan aku asam pedas kesukaanku. Dan aku harus makan bersamanya dan anak. Apa yang aku harus beritahu isteriku?

Tatkala aku dan Siti Nurbaya sedang menonton filem cinta Adnan Sempit - tiba-tiba baru aku teringat yang tadi isteriku minta aku belikan siri drama Korea terbaru dari Komplek Kotaraya. Kedai akan ditutup jam 5 petang, tetapi wayang pula hanya habis jam 7 petang. Apa yang harus aku pilih? Menghabiskan tontonan filem, dan melupakan pesan isteriku. Atau membelikan cd drama Korea dan membiarkan Siti Nurbaya terluka?

Sedang aku berpegang tangan lembut Siti Nurbaya dan bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa, memerhatikan pasangan itik angsa memberikan makan anaknya, tiba-tiba ada anak kecil, teman anakku menyapa. 'Pakcik, makcik mana? Mengapa tak bawa Luqman sekali?" Waktu itu tentu aku tidak tahu apa yang harus aku jawab.

Aku tentu tidak boleh melupakan tangan lembut Siti Nurbaya. Aku juga tidak boleh melupakan tangan isteriku yang kian lama kian kasar menjaga anak dan memasak. Tangannya juga kasar kerana sibuk dengan rumahtangga. 20 tahun dulu, tangannya juga lembut seperti Siti Nurbaya juga. Aku tidak boleh membandingkan tangan lembut Siti Nurbaya dengan tangan isteriku. 10 tahun lagi, tangan Siti Nurbaya juga tidak lembut lagi.

Sekian lama - akhirnya Siti Nurbaya tahu bahawa aku sudah ada isteri. Dia tentu tidak kisah. Kerana cintanya denganku, dia sanggup merentas lautan api. Dia begitu setia denganku. Dia memilihku seadanya.

Tatkala aku sedang dalam proses untuk menikah di Golok - isteriku tiba-tiba telefon. "Abang di mana ni. Cepat balik. Kereta mati tengah jalan ni'. Apa yang harus aku buat. Aku tidak boleh melukakan hati Siti Nurbaya. Aku juga tidak boleh membiarkan isteriku merana di tengah jalan.

Aku juga tentu tidak sanggup berhadapan dengan ibu dan bapa mertuaku. Tatkala aku meminang anaknya dulu, aku dengan penuh sopan dan mesra. Pijak semut pun tidak mati. Sekarang ini, aku sedang melukakan hati anak mereka. Aku juga sedang menipu mereka juga.

Setelah kisahku berkahwin di Golok tersiar di media - isteriku tahu segala-galanya. Airmatanya sedang menjadi lautan. Api cintanya kian menjadi dendam kemarahan.

Apa lagi yang harus aku lakukan?

Siti Nurbaya memang cantik. Tetapi dia tidak pandai memasak asam pedas. Aku tidak boleh hidup tanpa asam pedas. Kalau aku pulang ke rumah, aku tidak mampu melihat air mata isteriku.

Kalau aku tidak pulang, aku tidak boleh kalau sehari tidak merenung muka anakku. Aku perlu bergusti dengan anakku setiap hari. Siti Nurbaya memang cantik. Tetapi dia tidak memiliki apa yang sedang aku miliki.


Kalau begitu - maafkan aku Siti Nurbaya. Cinta ini tidak indah lagi untuk orang separuh umur sepertiku. Kita lupakanlah sahaja angan-angan kita. Kau carilah Kassim Baba - lelaki muda sebaya denganmu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails