Yang Ikut

Monday, 28 September 2009

Ini bukan iklan pembantu penyelidik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu depan, kalau tidak ada aral - rencananya akan diadakan lagi kajian stress di negeri Selangor. Bagaimana pun, kali ini tidak ada lagi pengambilan pembantu penyelidik seperti kebiasaannya.

Hendak tahu mengapa?

Ada yang tanda sendiri. Ada yang mungkin tanda atas bonet kereta. Ada yang tolong tandatangan bagi pihak respondent. Macam-macam.

Macam mana aku tahu? Hah, ketika pembantu penyelidik ini baru belajar merangkak, aku sudah lama lahir ke bumi ini. Sebelum mereka berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah membuat survey, aku sudah berpuluh-puluh kali membuat survey. Aku pernah berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah di Siam, naik dari satu tangga ke satu tangga. Ada penduduk yang menyimpan pistol di atas para dapur, di belakang rumahnya pula ada ditanam beberapa pokok ganja. Ada ketikanya mereka mencincang daun ganja dengan pisau dapur, dan bukan lagi dengan gunting. Menunjukkan betapa banyaknya ganja yang mereka miliki. Menunjukkan betapa ganas dan bahayanya kita untuk mencari data.

Jadi - dunia penyelidikan bukan lagi baru untuk kami yang berumur 30-an ini. Kebanyakan kami bermula dari jejak yang sama.

Jadi - apabila kita membuka sahaja kertas soalselidik, melihat flow jawapan, melihat warna pen, melihat bentuk tulisan - kita sudah tahu bahawa kita sedang ditipu. Jadi - untuk pembantu penyelidik yang masih muda remaja - tak perlulah amalkan selalu budaya pecah amanah ini. Tidak mengapalah kalau dapat satu borang, asalkan betul. Lebih baik dari sejuta borang yang ditanda sendiri.

Aku tidak kisah pun dengan wang yang akan aku bayar, kalaupun aku tidak kaya raya. Cuma aku pantang, kalau ada manusia muda yang memulakan kisah hidup mereka dengan topeng kepuraan - hanya sekadar untuk mendapatkan RM10 satu borang!

Sebab itu aku tidak terkejut kalau Intan cuma mendapat beberapa borang sahaja - dan dia lebih banyak bercerita tentang susahnya membuat kajian. Itulah realiti melaksanakan kajian lapangan. Sebab dia telah melakukan kajian dengan cara yang betul dan tidak terpesona pun dengan wang upah aku yang kecil itu.

Terima kasih untuk Intan. Untuk Intan, kalau masih berminat - boleh tolong lagi.

Tidak terima kasih kepada yang mengisi sendiri soalselidik. Jangan hubungi lagi!

Saturday, 26 September 2009

Siapa nak join?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sabtu yang sejuk.

Hari ini cuma duduk di rumah. Due date untuk upload journal ke dalam sistem sebelum besok malam. Seperti biasa, hujung minit baru hendak membuat apa yang patut. Mungkin itulah yang beza manusia dengan haiwan. Haiwan tidak ada due date macam kita. Mereka bergerak ikut naluri, ikut cuaca. Tidak ada tarikh. Tidak perlu plan.

Seminggu dua lagi - kalau tak ada ribut debu - aku rencananya akan adakan satu bengkel leadership untuk satu group pelajar. Seperti biasa, ia program free of charge. Ia juga program kecil-kecilan sahaja. Sekadar berkongsi cerita suka duka kepimpinan organisasi. Siapa yang berhajat nak jadi assistant boleh beritahu aku.

Aku juga ada plan nak conduct program "Kaedah Menghafal" di Adelaide ini. Tapi bukanlah motifnya untuk membolehkan budak-budak kita di Adelaide cekap menghafal dan boleh lulus periksa. Ia tidak ada kaitan. Ia tidak relevan dengan silibus peperiksaan universiti. Rencananya, bila tahu kaedah itu - nanti bila balik Malaysia - kita sama-sama boleh buat kerja amal. Kita masuk kampung, masuk sekolah bantu budak-budak luar bandar - agar lebih pandai. Boleh buat di kampung masing-masing. Boleh buat di Cherok Tok Kun, di Kupang, di Kuala Kelawang atau di mana-mana kampung tempat tinggal kita.

Ia sesuai untuk undergraduate yang nak habis belajar. Sambil berkeliling kota cari kerja, sambil dengar leteran mak ayah bila tak ada kerja, bolehlah sesekali conduct program "Kaedah Menghafal" di kampung masing-masing. Sambil-sambil itu bolehlah merisik anak dara kampung, atau budak bujang yang banyak harta. Sambil menyelam, sambil tenggelam!

Jadi bengkel ini lebih kepada melatih moderator. Itu sahaja. Ingat, ini kerja amal.

Untuk cari wang kita cari ikut jalan lain. Itu kena pandai cara-cara merasuah dan dirasuah.

Thursday, 24 September 2009

Kenapa blogger menulis?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bila Krenmaut tuliskan berita ini, aku mula terfikir kenapa orang menulis blog? Aku dan dua orang lagi kawan aku itu juga tidaklah ternama seperti dalam tajuk posting Krenmaut. Tajuk itu hanya bagi menyelindungkan wajah kami yang kian tua, khusus untuk aliran pembaca versi Iron Maiden, aliran yang langsung tak mampu menerobos pencinta lagu Ebiet G Ade seperti aku, atau 4U2C SwingingBowl!

Adakah orang menulis blog untuk populariti? Tidak semestinya juga. Banyak orang yang menulis tidak popular pun. Cuma ada beberapa kerat sahaja yang popular. Yang popular itu pun mungkin kerana dia sudah ada 'nama'. Blog seperti CheDet, Kadir Jasin atau TukarTiub mungkin menjadi popular kerana ditulis orang yang popular di kalangan khalayak mereka. Tapi ingat, orang yang popular pun belum tentu juga mempopularkan blog mereka.

Orang menulis blog untuk menjadi kaya raya? Hah, jarang kedengaran penulis blog yang kaya raya. Yang banyak kaya raya di dunia ini kerana rasuah, membaham harta, mempolok projek atau sebab lain. Sekadar menulis blog, orang tidak mungkin jadi jutawan. Bahkan, yang menulis blog mungkin terpaksa berulang alik menjual ikan di pasar setiap hari.

Kalau begitu - penulis blog ingin mencari perhatian? Tidak juga. Tidak semua yang menulis blog kisah pun sama ada orang akan membaca atau tidak. Malah, ada yang hanya dibuka untuk kenalan terdekat sahaja.

Penulis blog terkongkong dengan tafsirannya sendiri? Jadi, mereka merasakan merekalah yang betul, dan orang lain salah. Mungkin ya, tetapi tidak selalu betul. Penulis blog tidak kisah pun dengan apa yang orang lain rasa. Orang yang tidak berpuas hati boleh membuka blog mereka sendiri - dan tulislah apa yang mereka ingin suarakan.

Jadi - apa sebab orang menulis blog? Ada orang kerana minat. Ada orang ingin menyuarakan apa yang mereka rasa. Ada orang yang rasa suaranya dikongkong, jadi lebih baik dia bualkan sahaja monolog jiwanya dalam dunia maya. Ada orang yang tidak pandai berkata, jadi lebih baik dituliskan sahaja ceritanya.

Sebab apa aku menulis blog? Aku menulis sejak zaman budak-budak lagi. Tidak pernah sekalipun aku tidak mendapat A1 dalam hal tulis menulis. Jadi, aku kena menulis - kerana ini sahaja yang aku tahu. Aku juga minat melukis, tetapi tidak pernah menjadi. Jadi - lebih baik aku menulis.

Apa tulisan yang masih diingati. Ketika di Tingkatan 3, aku menulis satu borang. Borang ini aku tulis bagi membantu seorang kawan (nama tidak dapat disebutkan). Ini bukan borang biasa. Borang ini ditujukan kepada seorang awek dan ditinggalkan ke dalam meja kelas. Sekiranya awek itu bersetuju untuk menerima lamaran cinta kawan aku ini, maka dia akan memotong kepilan borang tersebut yang menyatakan "SAYA BERSETUJU" dan tinggalkan kembali ke dalam meja.

Adakah misi ini berjaya? Belum ada lagi anak dara yang sudi ber'balak'kan orang gila!

Apa tulisan yang dihargai orang lain. Surat cinta aku kepada isteri aku sekarang (yang ketika itu masih girlfriend). Isteri aku masih menyimpannya baik sekali di dalam album. Aku rasa itu tulisan yang dihargai orang lain. Pernah beberapa kali ibu mertua aku membacanya. Bayangkan, kalaulah surat-surat cinta itu tercicir, dan dibaca oleh janda anak tiga, boleh jadi isteri aku sudah bermadu sekarang ini! Dan aku pula mungkin terpaksa mendapat tiga anak tiri secara tidak sengaja.

(Aku jadi hairan kenapa orang tidak begitu boleh menulis surat cinta kepada isteri sendiri. Aku sudah mencubanya berkali-kali. Tidak menjadi juga. Isteri aku - setiap kali tiba hari jadinya, meminta aku menghadiahkan dia sekeping surat cinta sahaja. Dia masih ingin membacanya. Aku rasa ingin sahaja belikan dia sebotol madu sebagai hadiah).

Jadi mengapa aku menulis blog? Aku menulis kerana sekadar berkongsi cerita. Sesekali aku berkongsi pengetahuan. Sesekali kerana aku sedang marah pada sesuatu. Itu sahaja.

Kenapa orang lain menulis blog. Itu kena tanya mereka.

Sunday, 20 September 2009

Senario hari raya di luar negara

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sambutan Aidilfitri di Adelaide tentulah tidak sehebat di Malaysia. Tetapi bukanlah bermakna perayaan di sini hambar dan sepi. Ia memang seperti 'hari yang lain', tetapi kami pelajar Malaysia menghidupkannya seperti di Malaysia juga.

Penentuan hari raya adalah sesuatu yang paling menarik di sini. Berbeza dengan Malaysia, atau negara Islam lain, tentulah tidak ada pengumuman hari raya secara sistematik. Tidak ada Pemegang Mohor Besar Di-Raja untuk mengumumkan hari raya. Tidak ada saluran televisyen bagi mengumumkan bila akan bermulanya puasa atau raya.

Jadi - bagaimana menentukan raya? Biasanya masjid akan membuat pengumuman. Tetapi itu bukanlah sesuatu yang boleh kita pegang dan pakai. Kita juga mungkin perlu mendapatkan maklumat lain - misalnya melihat kepada sumber dari Internet untuk menentukan sama ada anak bulan kelihatan atau tidak. Kerana Australia bukanlah negara kecil, jadi kita juga perlu berhubung dengan teman-teman pelajar di negeri lain untuk mendapatkan maklumat sama ada anak bulan kelihatan di negeri mereka. Sebahagiannya anda boleh rujuk di blog Krenmaut.

Semalam - tercetus kontroversi kecil. Masjid Al-Khalil tempat kami biasa bersembahyang sudah mengumumkan hari raya. Sedangkan, pada waktu tersebut - di kebanyakan tempat termasuk Adelaide, Sydney dan Brisbane sudah memaklumkan yang anak bulan tidak kelihatan. Kerana perbezaan waktu - hanya dua tempat iaitu Perth dan Darwin yang belum melihat anak bulan. Ini menyulitkan. Masjid lain - seperti Masjid Adelaide tidak mengumumkan akan berlakunya hari raya. Bahkan, sudah memulakan sembahyang terawih. Sepatutnya pengumuman raya hanya patut diumumkan kalau semuanya sudah dipastikan.

Bagaimana boleh kita beraya kalau tidak nampak anak bulan? Pertelingkahan ini akan menjadikan kita bingung. Ini bukan Malaysia. Ini negara kafir. Puak mana harus kita ikut. Jadi ikutlah kaedah fekah dalam hal-hal seperti ini - untuk memasuki ibadat, ikutlah puak yang kata tarikh yang lebih awal. Untuk keluar ibadat, ikutlah puak yang kata hari yang lebih lambat. Itu keterangan Allahyarham Haji Umar. Keterangan lanjut, sila tanya orang alim di tempat tinggal anda.

Cuma sekitar jam 9.40 malam baru ada kepastian apabila ada makluman yang anak bulan kelihatan di Western Australia. Jadi - selesailah segala masalah yang membelit. Kekacauan yang menggusar. Sekurang-kurang kontroversi tarikh raya sudah selesai.

Kami di beberapa tempat - ada juga mengadakan takbir raya di rumah teman-teman pelajar.

Menyambut raya - kami mulakannya dengan bersembahyang di beberapa masjid yang ada. Uniknya, raya di sini kita akan bertemu dengan macam-macam manusia pelik. Ada lelaki bertatoo di lengan, ada wanita berskirt seksi berpaha putih, bertudung di kepala. Jangan jadi bingung. Manusia ini memang macam-macam.

Takbirnya pula tidak mendayu-dayu seperti Malaysia. Dalam kata lain, air mata anda tidak akan menitis setitik pun kerana kesyahduan takbir. Anda menangis mungkin sebab lain.

Selepas beraya - ada beberapa teman akan adakan rumah terbuka. Jadi semua warga pelajar menuju ke sana. Makanannya mungkin dimasak oleh beberapa keluarga. Rumah lain jangan bimbang. Boleh tutup pintu serapatnya. Tidak akan orang yang datang mengetuk pintu rumah untuk bertanya ketupat atau rendang. Sekiranya anda mengadakan rumah terbuka secara kecil-kecilan, tetamu hanya akan datang kalau diundang.

Oh, di sini kami juga tidak memberikan sebarang duit raya. Jadi segala jenis budak-budak tidak tahu hal itu. Budak-budak tidak tahu yang mereka patut dapat duit raya. Jangan beritahu mereka! Juga tidak ada mercun. Yang ada cuma bunga api.

Adakah aku bersedih atau syahdu beraya di rantau orang? Jawapan paling jujur - TIDAK! Aku tidak kisah pun dengan semua hal ini.

Satu hari nanti - mungkin anda boleh datang ke sini untuk merasakan nikmatnya Aidilfitri di rantau orang.

Saturday, 19 September 2009

Pengumuman Raya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat hari raya Aidilfitri.

Untuk warga Australia, confirm esok, 20 September, raya. Anak bulan kelihatan di Port Hedland, Western Australia. Sumber, sms dari Krenmaut. Dah boleh buka baju Melayu berlipat dalam almari, cari kopiah yang tersorok bawah katil, dan minyak wangi yang lama tak pakai.

Update 9.59 pm.

Salam Aidilfitri

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca, yang kenal dan tidak kenal.

Sambil makan rendang ayam, ingatlah nasib yang makan maggie.
Sambil bermain mercun, ingatlah bom di Iraq.
Sambil membawa kekasih ke Sungai Tekala, ingatlah emak dan ayah di rumah.
Sambil bergaduh dengan suami/isteri, ingatlah raya ini lebih teruk kalau sendiri.
Sambil menghitung untuk pulang kampung atau tidak, ingatlah ibu dan ayah tak ada silih ganti.
Sambil menziarahi kubur saudara mara, ingatlah di mana kubur kita.
Sambil memandu kereta, ingatlah teman-teman di hospital.
Sambil memberi wang raya, ingatlah hutang yang banyak lagi.
Sambil singgah kaki ke masjid, ingatlah ada orang kita yang sudah ke gereja.
Sambil menziarahi rumah tunang, ingat dia bukan pasangan sah kita.
Sambil melihat kanak-kanak bergembira, ingatlah ia sebagai nolstalgia.
Sambil beraya, ingatlah sesuatu.


Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua.
Satu raya, sejuta ingatan.
Kekal di bawa selama-lama.


Maaf zahir dan batin dari kami sekeluarga.
FakirFikir.Blogspot

Thursday, 17 September 2009

Apa yang seronoknya raya?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hangat kekalutan musim raya sudah tiba. Ini waktu yang ditunggu. Orang bandar dan orang kampung sama sahaja kalutnya. Tidak ada yang beza. Yang tidak sama mungkin kuasa beli dan jenis barang. Nafsu berahinya tetap sama sahaja. Tidak ada beza antara pengguna Viagra dan peminum kopi Tongkat Ali! Ini musim perayaan kita bersama.

Segala yang bernama jalan - jalanraya dan lebuhraya sudah jadi medan perang. Orang tua, orang muda, anak-anak kecil, anak-anak dara dan anak-anak bujang - semuanya ada - memenuhi bas, kereta, van dan lori. Mereka bergerak ke satu arah yang sama, sama ada ke utara atau selatan. Di celah-celahnya - ada berita kematian motorsikal terlanggar lori, van terjatuh gaung atau bas ekpress jatuh longkang. Yang mati akan diuruskan van jenazah, yang hidup perlu terus berfikir soal kegembiraan raya.

Raya hanya sekali. Itu ungkapan yang kita dengar setiap tahun. Itu ungkapan motivasi. Itu ungkapan penuh keramat. Itu ungkapan yang lahir dari hati - bukan dipaksa-paksa oleh salur tv dan media massa. Ini kata bistari, kata falsafah. Plato, Socrates, Ibn Khaldun, Marco Polo semua tidak tahu ungkapan ini.

Di tengah bandar besar seperti Kuala Lumpur - Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman, anda akan melihat begitu banyak manusia. Orang Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal pun ada sama di celah keriuhan itu. Yang kudung, yang buta, yang berkudis, semuanya ada. Menteri, pegawai bank, supir, office boy, pelacur, tokan ganja semuanya ada di sana. Tapi ingat jangan tanya mereka apa-apa, atau ceritakan mereka itu dan ini. Ini musim raya. Semua orang hanya ingin dengar cerita raya. Bukan hal kerja.

Mat pau, mat ragut, orang jahil - tiba-tiba berlagak warak, berkopiah putih duduk di depan stesen LRT Masjid Jamek - sambil di depannya ada sekampit beras dan sekalung tasbih. Dia sangat mengharapkan akan ada wang fitrah yang masuk. Dia mungkin tidak berpuasa seumur hidupnya. Tetapi - dosa pahala, syurga neraka itu milik Tuhan. Sekarang ini yang dia mahu ialah wang. Ini musim raya. Jangan bersirah soal dosa pahala. Kalau mahu bersyarah, tunggu nanti ketika di atas tebing kubur. Pergilah bacakan talkin.

Ini juga musim fesyen baru muncul. Ada akan juga melihat tudung fesyen baru sudah muncul. Kain baju yang berwarna warni akan membeliakkan mata isteri - dan menakutkan sang suami yang gajinya tidak naik sepanjang setahun yang lalu. Kuih raya tiba-tiba jadi seperti candu yang dibualkan orang di mana-mana. Ia dicari dan direbut. Kalau tidak ada tudung baru, baju baru, kuih raya yang mengiurkan - itu kenduri arwah. Bukan raya namanya.

Orang yang berkerja pejabat - sudah mula menghilangkan diri sejak tengah hari. Yang biasanya berkerja di luar, mungkin tidak akan masuk lagi. Yang dulunya rajin berkerja, kini kehilangan mood. Semua tugasan baru ditunda sehingga selepas raya. Sekarang ini, kepala sedang sibuk berfikir raya nanti mahu ke mana, berapa wang hendak diguna, hutang lama hendak dikorek di mana. Ini semua adalah mood raya. Mood ini hanya datang setahun sekali. Kalau ada apa-apa fasal kerja, jangan emel sekarang. Tunggu habis raya.

Hah. Semua ini memenatkan.

Manusia tiba-tiba bertukar jadi sangat sibuk. Sibuk dengan banyak hal yang tidak terduga. Perlu kelam kabut ke bank menukarkan siling dan mencari sarung angpau raya. Karpet baru, langsir baru, kereta baru dan tentunya hutang baru. Ke hulu ke hilir ke sana sini. Petrol terasa lebih murah dari air telaga. Walaupun penat, inilah kemeriahan. Inilah keseronokan.

Di kampung juga tidak jauh bezanya. Yang menoreh - berdoa agar tidak ada hujan sehari dua ini. Sekerap perlu terus dikutip dan dijual - kalau tidak para penyamun akan beraya. Penyeludup lembu, kerbau, beras, mercun dan bunga api juga begitu sibuk bermain mata dan lari-sembunyi dengan para penguatkuasa. Kalau terlepas, beraya sakan. Kalau gagal, nanti kita bincang-bincang. Ini musim raya. Ini musim bermaaf-maafan. Semua orang boleh berdiplomasi. Semua orang mencari wang raya.

Kalau tidak ada wang, raya ini akan kacau bilau. Rumahtangga boleh bersepai. Ayah dan ibu mertua tidak boleh dibodek lagi. Anak-anak pula terus memaksa - seperti along dengan peminjam. Mereka terus bertanya baju baru, stokin baru, kopiah baru, kasut baru. Mereka terus bercerita anak jiran telah membeli itu dan ini. Isteri juga terus bertanya langsir baru, cat rumah baru dan meja makan yang baru. Cuma para suami sahaja yang tersipu-sipu malu - tidak berani bertanya - tentang isteri baru. Kalau boleh dia pun hendak juga.

Untuk seketika, Pekan Rabu di Alor Star lebih popular dari Hard Rock Cafe atau Planet Hollywood. Pekan Changlun sudah seperti New York bagi orang kampung. Siang dan malam, bunyi bising deru kereta - letup mercun dan bunga api - dan hoo haa anak-anak muda merempit menjadikan suasana hari raya memang sangat kita nantikan.

Inilah seronoknya raya di Malaysia. Anda mungkin tidak akan bertemu di dunia yang lain. Jadi - teruslah tersenyum panjang untuk seminggu ini.

Wednesday, 16 September 2009

Mari kita alihkan kelesuan ini

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini kita berkongsi cerita psikologi lagi. Anda boleh membacanya, atau tidak membacanya.

Kita bercerita tentang simptom burnout dan engagement. Ia dua hal yang sama, tapi duduk pada tempat berbeza.

Semalaman aku tidak tidur selepas simptom depression. Fikiran terganggu. Jiwa kacau. Akhirnya, aku ambil keputusan membaca beberapa keping jurnal, menulis dan mengarang. Dari petang sampai malam. Dari malam sampai pagi berikutnya. Jam bergerak cepat. Hari ini depression sudah hilang. Datang pula burnout.

Apa itu burnout? Burnout ialah satu simptom kelesuan emosi yang melampau. Simptomnya sama seperti orang kepenatan memandu dari Kuala Lumpur ke Gua Musang, berhenti 30 minit memandu dari Gua Musang ke Bukit Kayu Hitam.Tapi itu kelesuan fizikal. Kelesuan burnout juga dalam bentuk seperti itu.

Itu hal yang negatif. Ia tidak bagus. Ia merosakkan.

Namun, ada pula simptom positifnya. Engagement. Ini jarang kita dengar. Engagement juga kelesuan mental. Tapi kita teruja dan asyik. Kita bersungguh-sungguh. Teruja. Walaupun penat, kita rasa hendak siapkan juga. Kita rasa patut capai matlamat. Kalau tanya Aini, yang penat melayan tikus-tikusnya, dari satu hari ke satu hari - dari satu malam ke satu malam - mungkin dia sebenarnya diserang penyakit burnout positif ini. Dia sedang engagement. Teruja dan asyik.

Jadi, untuk semua orang - mari kita alihkan kepenatan mental dalam bentuk yang positif.

Tuesday, 15 September 2009

Ini baru depression

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu yang stres.

Dua tiga hari ini mental tidak begitu stabil. Sejak Khamis lepas lagi. Ke universiti lewat, balik awal. Atau langsung tidak pergi. Sabtu dan Ahad lepas membungkus diri di rumah. Kelmarin pergi pejabat jam 11.30 pagi. Jam 1 tengah hari sudah ada di rumah. Hari ini langsung tidak. Terasa begitu meluat melihat kertas-kertas akademik yang banyak ini. Jadi, aku shiftkan pembacaan kepada perkara lain. Apa kata membelek cerita bola di www.goal.com atau www.uefa.com. Itu lebih baik waktu-waktu sebegini. Sekurang-kurangnya tahu juga yang Del Piero masih cedera, atau kenapa Diego Maradona hanya sesuai jadi penjual suratkhabar lama.

Sebenarnya ini simptom depression. Kita boleh rasa jika kadang-kadang kita terjaga di tengah malam, atau walaupun sudah siang kita sangat malas untuk bangun. Kita mungkin sudah terjaga. Tapi, rasanya tidak ada mood untuk melompat bangun dari katil. Terasa seperti diminta melancong ke Baghdad atau Kabul pula, walaupun sekadar diperlukan ke pejabat. Ini adalah simptom depression. Ia bukan burnout.

Aku harap, dalam sehari dua lagi mood aku akan datang balik. Hari ini sahaja aku sudah berselang-seli mundar mandir, membaca sehelai dua dan duduk di back-yard beberapa kali. Kemudiannya masuk balik ke dalam rumah.

Tapi aku tahu puncanya. Puncanya kerana aku kurang membaca untuk menulis artikel yang baru ini. Dan genapnya 2 tahun aku di sini pula sedang menakutkan aku betapa aku kian kekurangan waktu.

************************************************************
NOTA:

Depression dan burnout dapat dibezakan dengan melihat kepada tanda-tanda, atau simptom-simptom berikut:

Depression/kemurungan - hilangnya minat melakukan sesuatu, kurang atau bertambah berat badan, tidak dapat tidur (insomnia) atau terlalu banyak tidur, rasa gelisah, tidak mampu memberikan penumpuan terhadap sesuatu. Yang paling teruk - akan sampai ke peringkat berfikir untuk mati atau bunuh diri.

Burnout - hanya merujuk kepada kelesuan mental/emosi melampau, malas terhadap satu-satu pekerjaan, dan melihat sesuatu secara negatif.

Orang yang burnout masih boleh enjoy things (walaupun terasa sedikit letih), tetapi orang yang depression tidak. Dalam kata yang lain, orang yang depression berasa gagal, dan terasa sukar untuk membuat 'come-back'. Tetapi, tidak pula orang yang burnout.

Saturday, 12 September 2009

Pendet, Iklan dan Buluh Runcing

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semua orang tentu telah tahu cerita ini. Cerita bagaimana orang Indonesia marahkan Malaysia kerana memasukkan tarian pendet, tarian yang menjadi milik masyarakat Bali dalam iklan promosi pelancongan kita. Baca sedikit sebanyak hal ini di sini.

Apa pula yang dikatakan tarian Pendet. Anda boleh menggoogle di internet.

Kita seperti biasa akan bijak dalam hal diplomasi seumpama ini. Kita mendakwa yang iklan pelancongan tersebut dibuat oleh syarikat iklan di Singapura. Jadi, kejadian memasukkan tarian pendet itu bukan sesuatu yang disengajakan.

Ada orang Malaysia yang berkata - mengapa hal yang mudah seperti ini pun hendak dibisingkan. Apalah sangat dengan tarian pendet itu hingga boleh menyebabkan ada orang tergamak ingin menusuk buluh runcing dan mengancam nyawa rakyat Malaysia.

Tetapi itulah hakikatnya. Tarian pendet itu mungkin bukan apa-apa untuk kita. Tetapi bagi kebanyakan bangsa yang ada nilai dan harga diri, apa sahaja aspek kesenian dan kebudayaan akan dipertahankan. Mereka tidak akan mudahnya membiarkan warisan moyang mereka diakui sebagai milik orang lain.

Kita mungkin tidak sekeras itu dalam memperjuangkan budaya dan warisan kita. Bahkan, kita mungkin tidak memperjuangkannya.

Tapi - ada satu sisi lain yang patut juga direnungkan. Sekalipun iklan itu diperbuat oleh syarikat iklan di Singapura, tidakkah ada pihak di Malaysia yang menyemaknya? Tidakkah ada pegawai yang tahu hal kebudayaan tempatan yang turut terlibat sebelum iklan itu diluluskan. Pastinya, projek iklan itu bukan projek seribu dua. Ia projek besar. Ia projek yang boleh menjadikan kita tidak perlu berkerja sepanjang tahun.

Jadi - soalnya mengapa syarikat Singapura terpilih? Atau ada syarikat Ali-Baba yang sedang bersembunyi lagi.

Jangan hanya marahkan orang lain kerana memperjuangkan budaya mereka. Sesekali lihatlah ke dalam diri kita juga. Inilah sebenarnya buluh runcing yang sedang menikam kita.

Thursday, 10 September 2009

Mari kita tafsirkan bersama - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kuasa persepsi memang menakutkan. Ia menukar tanggapan kita. Ia mengubah minda kita. Menukar penyamun menjadi idola. Mengubah ulamak menjadi penderhaka. Mengubah baja menjadi racun. Menukar racun menjadi baja. Mengubah budak kampung menjadi ratu. Mengubah kutu menjadi kelkatu. Semuanya hanya kerana persepsi.

Kuasa persepsi itu jugalah menyebabkan banyak daripada kita sedang diperdagangkan dan diperbodohkan. Sedikit waktu dahulu sekitar 80-an- ada satu sindiket yang mengambil kesempatan untuk menjual anak-anak dara cantik ke Singapura atau Hong Kong. Mereka masuk ke kampung dengan menaiki kereta mewah dan berpakaian kemas. Mereka ini menampilkan watak orang kaya yang berada. Lalu dipinanglah anak dara untuk dijadikan isteri.

Bapa atau ibu mana yang tidak mahu menantu yang kaya raya. Sudah tentu hidup akan terjamin. Lalu diterimalah pinangan ini. Sesudah berkahwin, barulah diketahui bahawa menantu ini rupanya 'tauke lombong' (gelaran untuk bapa ayam). Mereka ini kemudiannya akan menjualkan anak dara cantik ini kepada rumah-rumah pelacuran yang hebat. Di kampung aku ada dua orang yang terkena dengan penangan persepsi orang berada ini.

Sebenarnya banyak lagi persepsi yang silap ini menyebabkan ada orang teraniaya. Aku berbadan kurus - serabut dan tidak kacak. Kerana salah persepsi, sudah dua kali aku masuk lokap. Kali pertama di Bukit Mertajam, kali kedua di Lokap Pudu (dahulunya Penjara Pudu). Kali pertama kerana disyaki mencuri motor, kali kedua kerana disyaki menagih dadah.

Walaupun dalam kedua-dua keadaan itu, aku mempunyai pekerjaan yang baik - tetapi pegawai polis tidak percaya. Aku cuba menunjukkan kad nama dengan gelar sebagai pengurus. Mereka menjawabnya dengan jawapan yang sangat mudah - "Kenapa, pengurus tak boleh hisap dadah". Aku menunjukkan handphone Nokia canggih yang aku tidak tahu apa modelnya. Kerana aku tidak tahu modelnya, mereka berkata - 'Itu buktinya awak mencuri'. Kerana kuasa persepsi juga - mereka hampir percaya yang aku ini orang baik - hanya setelah aku menunjukkan 4 keping kad kredit CitiBank dan HSBC yang tertera nama aku di atasnya.

Nampaknya kad kredit lebih hebat daripada kad pengenalan. Kad pengenalan tidak mempunyai apa-apa tarikan persepsi. Tetapi, kad kredit hanya dimiliki manusia yang ada wang yang dijamin kemampuannya oleh bank. Hanya orang yang ada wang sahaja dianggap baik oleh tafsiran persepsi kita.

Sebab itu - apabila anda berjalan kaki - di kota atau di desa, jangan dengan mudah terpedaya. Yang anda sangka baik belum tentu mulia. Ia mungkin buaya tembaga. Yang anda sangka buruk - belum tentu nangka busuk. Ia mungkin durian berisi kucing tidur.

Wednesday, 9 September 2009

Mari kita tafsirkan bersama

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini kita kembali berbincang-bincang hal psikologi. Kita berbincang hal yang mudah sahaja. Kita berbicara soal persepsi.

Persepsi inilah yang menyebabkan kita banyak membuat pertimbangan yang salah. Kita menafsirkan sesuatu menurut perspektif kita. Tetapi kita terlupa, yang adakalanya persepsi kita itu mungkin salah. Orang lain pula melihat sesuatu perkara yang sama, dari sudut yang lain. Ini menyebabkan manusia selalu bergaduh dan berperang.

Lihat misalnya. Apabila membahaskan soal Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - ia telah dihujahkan dengan bermacam cara. Ada yang bermati-matian berkata ISA ini haram dari segi hukum, salah dari kemanusiaan. Ada yang berkata - ia sesuatu yang mesti. Tidak dapat tidak, ISA mesti ada demi kebaikan manusia.

Semua ini berpunca dari persepsi. ISA - sebagai satu objek tetap akan sama juga. Ia hanya undang-undang. Ia kaku. Ia hanya peraturan. Cuma - bila kita melihatnya, kita menanggapinya dengan banyak cara.

Lihat contoh ini.

******
******
******

Apakah yang anda lihat? Kita boleh berkata terdapat tiga baris. Ada yang boleh berkata ia merupakan dua garisan besar. Kita juga boleh berkata ia hanyalah segugusan bintang. Tidak juga salah kalau ada orang berkata terdapat 3 bintang (dilihat secara menegak) yang disusun sebanyak 6 baris. Semua ini betul. Tidak salah atau betul.

Ia tetap bintang. Kaku. Keras. Tidak ada maknanya apa-apa.

Yang memberikan maknanya ialah penafsiran dan persepsi kita sahaja.

Nanti kita sambung bagaimana persepsi adakalanya boleh merosakkan.

Maksud stress

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa sebenarnya stress? Ada orang tanya aku hal itu.

Stress ada 3 - sama ada bersifat stimulus, response atau interaksi di antara kedua-duanya.

Stimulus - stress dianggap sebagai sesuatu yang bersifat penekan, atau sebagai puncanya. Misalnya, kerja banyak dianggap sebagai punca stress. Stress ini kita kategorikan sebagai stimulus - atau perangsang. Ia seperti pisau. Kita anggap ia sebab yang melukakan.

Response - atau maklumbalas. Stress juga boleh jadi kegagalan atau kerana ketidakupayaan manusia itu sendiri untuk bertindakbalas dengan stress. Mialnya, ada orang yang kerja banyak sekalipun - ia tidak stress. Ada orang yang kerja banyak sedikit pun - sudah mula kacau bilau. Marah-marah. Gaduh-gaduh. Kerja manager dia komplain, kerja kerani pun dia tidak puas hati. Jika tadi dianggap pisau - stress yang ini dianggap sebagai kesan - atau luka sebab ditikam pisau.

Stress juga boleh jadi interaksi di antara kedua-duanya. Maksudnya - ia wujud bila salah satu perangsang atau maklumbalas - atau kedua-duanya.

Itulah stress.

Apa yang sebabkan anda stress sekarang. Ia mungkin sebab anda gagal, tetapi anda menyalahkan puncanya. Boleh jadi - anda memang boleh kawal stress, tetapi bos, tunang anda, kekasih baru anda tidak faham.

Untuk penyelidik yang ingin mendalami hal ini, sila rujuk:

Jex, S., Beehr, T. and Roberts, C. (1992), "The meaning of occupational stress items to survey respondents", Journal of Applied Psychology, Vol. 77, pp. 623-628.

Monday, 7 September 2009

Orang kampung aku ketawa besar

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semua orang mahu duit. Duit bukan hanya menjadi buruan orang miskin yang lapar, duit juga jadi impian pensyarah universiti!

Aku berasa bersyukur kerana menjejakkan kaki ke Adelaide. Ia bandar kecil sahaja. Kami - pelajar di sini - kebanyakannya kenal di antara satu sama lain. Kami juga agak akrab dan boleh membantu ketika waktu susah dan senang.

Tapi ada satu tempat lain di Australia ini yang jauh bezanya dengan Adelaide.

Anda jangan terkejut, sebagai pelajar baru anda perlu membayar AUD 300/minggu untuk menumpang rumah pelajar senior lain ketika anda baru melangkah tiba ke sana. Anda bukan menumpang rumah yang kosong tanpa orang lain, tetapi anda menumpang rumah yang ada penyewanya juga. Tetapi anda masih perlu membayar untuknya.

Baiklah. Kita memang perlu membayar. Tidak ada yang percuma dalam hidup.

Setelah menemui rumah sewa yang sesuai, anda perlu lagi membayar untuk meminta tolong rakan-rakan anda mengangkutkan barang kelengkapan. Rakan-rakan anda itu bukan orang lain. Mereka juga orang Melayu yang sama asal keturunannya dengan anda.

Baiklah. Tidak ada yang percuma dalam hidup.

Anda meminta bantuan salah seorang daripada mereka menghantarkan anda ke lapangan terbang. Jangan terkejut - anda juga masih perlu membayar AUD 30 sebagai tambang. Mereka itu bukan orang lain. Mereka adalah pensyarah universiti yang sedang menyambung pengajian di luar negara. Seperti anda juga.

Jadi - jangan terkejut kalau begitulah nilai hidup orang kita di luar negara. Ia adalah harga yang perlu anda bayar untuk mendapatkan pertolongan.

Jika anda ingin menikmati semua ini - jangan datang ke Adelaide. Adelaide bukanlah tempatnya untuk kami melakukan semua perkara yang durjana itu.

Kalaulah orang kampung aku tahu - mereka akan ketawa besar. Mereka akan ketawa sepanjang hari. Mereka yang susah tidak pernah berkira soal wang ringgit. Mereka yang hanya lulus darjah 6 tidak kisah menghulurkan bantuan. Mungkin kerana mereka bodoh kerana tidak buat PhD seperti orang lain! Sebab itulah mereka ketawa HA HA HA.

Sunday, 6 September 2009

Kita sedang meraikan apa?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ia sebahagian daripada tulisan yang akan dimuatkan dalam majalah Ketupat, hasil usaha anak-anak muda Lingkaran Sahabat Sastera, Adelaide.

Selamat hari raya aidilfitri kepada semua pembaca.

Setiap kali menyambut hari raya, kita akan bergembira. Kita menyambut kemenangan melawan hawa nafsu sebulan berpuasa. Kita meraikan kejayaan sebagai seorang Muslim.

Menangkah kita? Betulkah kita berjaya?

Di seluruh dunia, umat Islam tidaklah dianggap sebagai umat yang berjaya. Kita tidak ubah seperti buih-buih di lautan sahaja. Ketika umat Islam di Gaza dan Jenin sedang bergelut dengan peperangan dan kekejaman, negara umat Islam manakah yang berani bersuara untuk menghentikannya? Negara umat Islam manakah yang boleh kita anggap sebagai kuasa besar - baik dari teknologi persenjataan, pendidikan atau ekonomi?

Iraq dan Afghanistan sudah lama menjadi medan ujian peluru dan mahkamah yang menghalalkan pembunuhan. Alasan kedua-dua negara itu sebagai sarang pengganas tidaklah lebih hanya sebagai satu justifikasi menghalalkan tindakan angkuh kuasa Barat. Sejak era Perang Dunia Pertama dan Kedua - tidak ada satu pun negara Islam yang dianggap sebagai kuasa yang memiliki teknologi persenjataan canggih. Malah - majoriti negara Islam hanyalah negara yang daif, miskin dan tidak memiliki apa-apa. Jadi, bagaimana negara lemah boleh dianggap sebagai sarang pengganas. Sekadar melancarkan serangan bom petrol dan lastik - ia tidaklah akan menghancurkan satu inci pun negara kuasa besar.

Jadi - apa yang ganasnya dunia Islam? Sehingga kini - kelibat Osama Laden yang dianggap sebagai manusia paling ganas - tidak pernah diketahui kewujudannya. Ia mungkin hanya dongeng cerita 'Draculla' yang menakutkan - yang kononnya mampu menghisap darah manusia. Realitinya dia tidak wujud. Ia diujudkan bagi memenuhi agenda betapa orang Islam itu adalah manusia yang ganas.

Kalau orang Islam di Iran, Syria, Afghanistan atau Indonesia dilabelkan sebagai pengganas, apa pula label yang mereka berikan untuk menggambarkan Korea Utara yang tanpa segan silu melancarkan teknologi nuklearnya.

Kita berjalanlah ke bumi negara Islam yang mana pun. Tidak banyak yang boleh kita banggakan. Di kota Dhaka, Bangladesh - ratusan peminta sedekah beratur di simpang jalan. Di Jakarta - deretan rumah kecil yang kotor, anak-anak tidak bersekolah - bahkan ada yang hanya hidup di bawah kolong jambatan. Di Subang, satu daerah umat Islam di Pulau Jawa - kehidupan masyarakatnya sangat mengharukan. Anda boleh memilih berkahwin dengan wanita tempatannya beberapa hari atau minggu. Yang paling penting, anda mampu membayar mereka. Berjayakah umat Islam?

Di selatan Thailand - umat Islam dibunuh secara diam. Pernah satu ketika - dengan tangan terikat - dan mata tertutup - teman-teman kitadihumbankan ke atas lori - dan ditindankan di antara satu sama lain. Itulah layanan paling istimewa yang kita terima - lebih hina daripada ayam atau lembu yang dinaikkan ke atas lori dengan lebih berhemah.

Setiap kali ada negara umat Islam ditindas, kita melancarkan demontrasi. Hampir dua dekad lalu, kita berdemontrasi kerana rakan kita di Bosnia-Herzegovina sedang disembelih oleh orang Serbia. Beberapa tahun kebelakangan ini pula, kita berdemontrasi lagi kerana umat Islam di Palestin dibunuh dan didera. Kita juga mungkin akan berdemontrasi lagi kerana umat Islam di China sedang mengalami musibah yang sama.

Akhirnya - demontrasi itu sahajalah senjata terbaik yang kita miliki. Selepas sebahagian besar teman kita dibunuh, dan cerita itu menjadi basi - kita kembali berpesta. Kemudian, kita akan kembali berdemontrasi lagi apabila ada cerita mengejutkan di latar yang lain pula. Sehabisnya, kita akan kembali berpesta.

Malaysia mungkin antara negara yang dianggap berjaya. Mungkin benar kalau kita melihatnya dari cerita-cerita retorik, atau berita menyedapkan hati. Lihatlah realitinya. Berapa banyak anak muda kita yang ketagihan dadah. Berapa ramai pula anak gadis kita yang telah kehilangan apa yang patut dijaganya. Kita mungkin tidak ada statistik mengenainya. Tetapi, sekiranya anda rajin membuka klip video yang disimpan di dalam handphone oleh anak-anak sekolah kita, semuanya menceritakan betapa buruknya akhlak kita.

Jadi, setiap kali kita menyambut ketibaan hari raya, sambil mendengar forum agama yang menceritakan kejayaan kita, maka ada baiknya kita berfikir seketika. Betulkah apa yang sedang disirahkan itu.

Dalam dunia pendidikan - kita tidak juga kurang hebatnya dengan negara Barat. Kita mempunyai sekolah, kita juga ada banyak universiti. Tetapi, pernahkah kita mempunyai formula kita sendiri dalam hal teknologi. Kita tetap masih menceduk teknologi lama pihak lain. Kita mungkin sangat teruja membahaskan teori orang lain. Kita merasa hebat apabila tahu dengan fasihnya teori Einstein, Hawking, Salam-Weisbzberg atau Deguman Besar. Tetapi apakah kita sendiri memiliki ilmu yang dikatakan milik orang Islam.

Akhirnya, kita terus mensirahkan kejayaan ilmuan silam. Kita terus berkhayal bahawa orang Barat menceduk ilmu perubatan, astronomi atau cabang ilmu kita yang lain. Kita terlupa, hal itu sudah lama berlalu. Kita terlupa - itu cerita ratusan tahun silam. Kita terlupa - bahawa kita tidak pun mampu mencipta periuk nasi sendiri walaupun kitalah yang menjadi pengeluar padi. Kita juga tidak menjadi pencipta kipas angin walaupun kita hidup di negara beriklim panas.

Semua ini adalah sorotan kegagalan kita. Akhirnya - kita sebenarnya bukan sesiapa. Kita terpaksa bergantung kepada orang lain walaupun jumlah kita seramai 1.5 billion atau 1/5 populasi dunia. Maka jadilah kita umat yang tidak ubah seperti buih-buih di lautan.

Jadi apa yang sedang kita rayakan? Kita bersimpati apabila ada kuil agama lain dirobohkan, tetapi kita diam apabila ada surau yang menjadi tempat ibadat kita diranapkan oleh jentolak di siang hari.

Sebenarnya - kita tidak merayakan apa-apa pun. Kita hanya merayakan kegagalan kita. Kita merayakan terpadamnya roh Islam dari jiwa kita.

Saturday, 5 September 2009

Update jam 4.30 pagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 4.39 pagi waktu Adelaide. Suhu tidaklah sesejuk musim sejuk. Aku masih belum tidur lagi.

Ada sekeping artikel perlu ditulis, perlu siap dalam tempoh seminggu. Ada dua lagi kutipan data belum terbuat. Hendak dibuat sekarang pun tidak ada gunanya, sekarang orang sudah mulai sibuk untuk beraya. Jadi tunggu biar semua orang pulang semula ke kota.

Seorang yang berhormat di Negeri Sembilan telah pulang ke rahmatullah. Moga jasanya diberikan pahala, dan segalanya dosanya akan terampun. Untuk seluruh keluarganya moga mereka akan bersabar dengan ketentuan Tuhan.

Maka berbondong-bondonglah orang politik melobi untuk dicalonkan menjadi wakil rakyat. Saidina Umar Abdul Aziz dahulu tidak mahu menjadi khalifah sebab bimbang dihisab sesudah mati. Manusia sekarang sanggup bermati-matian untuk menjadi wakil rakyat - agar senang menghisab nikmat hidup.

Para penyokong pula akan terlopong ternganga ke sana sini mendegar ceramah. Orang besar akan mula masuk kampung. Projek tiba-tiba datang mendadak. Janji-janji mula ditabur seperti orang menabur beras kepada ayam.

Siapa yang menang, siapa yang kalah? Itu tak penting sangat. Yang penting, berapa banyak wang untuk digunakan bagi pilihanraya kali ini. Berapa banyak pula wang kita yang ada di dalamnya?

Jangan bimbang. Tidak ada wang kita di dalamnya. Wang kita sudah lama habis dibelanja untuk petrol, tol, gula, garam, PTPTN, hutang kereta, hutang rumah dan gincu isteri.

Tuesday, 1 September 2009

Update Ramadan III

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ramadhan di Malaysia - adalah satu pesta. Pesta makan. Pesta jualan borong. Pesta kuih muih. Pesta mercun dan meriam. Pesta kemalangan jalanraya. Kita menyambut bulan puasa ini dengan tradisi kegembiraan yang agak pelik. Kita meraikan bulan puasa ini dengan memenuhi ruang pasaraya, jalan Chow Kit, pasar malam, kedai karpet - dan bukannya di masjid dan surau. Tidak percaya. Jenguklah ke dalam masjid sekarang ini. Hanya ada orang tua yang sedang menghitung hari matinya berada di saf hadapan masjid. Anak-anak mudanya kembali merempit di jalanan. Yang ekstrim terus berdebat soal terawih 8 rakaat atau 20, atau cuba mengupas sahih atau tulennya hadis kelebihan terawih.

Semua ini menceritakan cara kita berpuasa. Semua ini melambang nilai pekerti kita. Yang menyamun, tetap menyamun seperti biasa. Yang menyangak, tetap menyalak siang dan malam. Yang merasuah, tetap membilang wang bawah meja sebelum digunakan berbelanja di hari raya. Yang berpolitik, terus mengumpat dan berhentaman tanpa batas kasihan.

Syaitan dan iblis memang dirantai dan terpaku diam. Tetapi syaitan manusia tetap liar dan bekeliaran. Syaitan ini adakalanya lebih jahat dari syaitan sebenar. Syaitan sebenar hanya membisik di sanubari, tetapi syaitan manusia membisik dan memujuk secara terang-terangan. Maka, jadilah bulan puasa kita ini seperti Ramadan sebelumnya dan sebelumnya juga. Tidak ada apa yang berubah.

Sesekali - aku merasakan berpuasa di perantauan boleh menghindarkan kita dari banyak perkara yang boleh kita hindarkan.

Monday, 31 August 2009

Update Ramadan II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tidak ada satu kerja pun yang menjadi.

Masuk pejabat jam 9 pagi. Supervisor aku seperti biasa sudah duduk di biliknya. Aku ingin meneruskan kerja-kerja berfikir. Gagal juga. Sampai sekarang aku tidak dapat berfikir kenapa orang Malaysia semakin banyak kerja semakin kurang marah (anger), tetapi semakin pula tinggi kelesuan (burnout). Tapi itulah hasil yang dapatkan dari analisis Sematic Equation Modeling. Itu jugalah yang supervisor minta aku fikirkan. Ada sesiapa yang boleh bagi idea?

Akhirnya, aku yang burnout. Tidur lena atas meja. Supervisor kejutkan aku. Aku lena balik. Petangnya, Sufian dan Syed datang kejutkan aku. Aku jaga. Mereka pergi aku lena balik. Itu juga simptom burnout. Tidak pasti sebab kurang rokok, atau letih berfikir. Akhirnya, aku ambil beg, keluar pejabat, naik bas nombor 135 balik. Singgah rumah Dr Kamarul buka puasa di sana.

Malam ini sekali lagi Tuan Mufti jadi imam dan beri tazkirah. Aku ada plan nak jumpa dia minta dia ajarkan sikit kitab Munyatul-Musholli. Boleh satu jam cukuplah. Tengoklah esok aku tanya dia. Alang-alang ada orang alim datang, ada baiknya ada kenangan yang bagus untuk jadi pedoman.

Sunday, 30 August 2009

Update Ramadhan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Malam ini berterawih di rumah seorang kawan. Menjadi imam ialah Yang Berbahagia Mufti Perak, Tan Sri Harussani. Sehabis berterawih, beliau menyampaikan tazkirah. Lama sudah tidak mendegar kuliah agama seumpama itu, yang disampaikan oleh orang yang tahu hal-hal agama. Aku sebenarnya berminat juga dengan hal-hal ilmu ini - tetapi dengan syarat orang yang menyampaikan mestilah seseorang dalam bidangnya.

Selesai tazkirah, kami berpeluang bertanya jawab soal-soal fekah dan juga isu semasa negara. Ada yang ditanyakan secara umum, ada yang ditanyakan secara peribadi.

Sempat juga aku mengajukan beberapa soalan yang biasanya aku tanyakan kepada Haji Umar. Tetapi memandangkan Haji Umar telah 3 tahun pulang ke Rahmatullah, jadi soalan-soalan yang aku simpan ini aku ajukan kepada tuan mufti. Memandangkan ada soalan-soalan ini bersifat kontroversi, maka aku tidak dapat mengulasnya dalam laman blog.

Nampaknya, aliran fahaman tuan mufti seperti juga Haji Umar. Mereka berpegang kepada aliran tradisional dan lebih tegas dalam menafsirkan hukum. Terima kasih Tuan Mufti. Lain kali bertanya lagi.

Ini berita yang aku tunggu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sedang aku membuka email, tiba-tiba ada satu emel bertajuk "Cross Cultural Management: an International Journal - Decision on Manuscript" masuk. Sebenarnya cuak juga hendak membukanya memandangkan peristiwa bila semuanya tidak menjadi dua bulan yang lalu.

Tetapi nampaknya kali ini percubaan aku berhasil. Cuma minor revision. Maksudnya tidak banyak kesalahan yang perlu diperbetulkan. Cuma beberapa kesalahan ayat dan penjelasan konsep. Aku diberi 30 hari untuk menyelesaikan semua masalah ini. Kalau semuanya berjalan lancar, Insyaallah manuskrip pertama aku akan diterbitkan ke dalam jurnal.

Jadi - inilah berita paling gembira dalam bulan Ramadhan ini. Tidak ada berita lain yang lebih besar maknanya daripada ini.

Terpaksalah untuk beberapa hari ini aku menunda dulu proses menulis manuskrip kedua.

Saturday, 29 August 2009

Lingkaran Sahabat Sastera Adelaide

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Petang tadi, sempat berbuka puasa bersama beberapa orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Lingkaran Sahabat Sastera Adelaide. Mereka adalah anak muda yang cintakan kegiatan seni dan budaya. Mereka punya komitmen yang tinggi. Mereka punya rasa sedar dan keazaman untuk menghidupkan gerakan sastera dan seni di bumi Adelaide ini. Aku kagum dengan mereka.

Banyak sebabnya. Seni dan sastera telah lama dianggap sebagai bidang picisan di bumi sendiri. Kita mungkin terbiasa mendengar nama allahyarham Usman Awang, tetapi kita mungkin tidak tahu karya tersohornya. Kita mungkin juga tahu nama Arena Wati, Sutung Umar, Shahnon Ahmad atau beberapa orang lagi. Tetapi kita cuma kenal namanya sahaja. Selebihnya tidak.

Apabila anak-anak muda yang datang dari pelbagai aliran sains ini meminati bidang yang dianggap hanya untuk manusia berkhayal, maka satu kekaguman patut dihulurkan kepada mereka. Sehingga kini, mereka telah melahirkan beberapa naskah buletin dan khabarnya sedang berusaha untuk menerokai bidang lain yang lebih luas lagi. Moga impian mereka dipermudahkan.

Di negara kita, bidang kesusasteraan telah lama dianggap disiplin kelas dua. Mereka yang mengambil bidang ini dianggap manusia yang tidak punya masa hadapan. Maka, merasa kerdil sekali graduan bidang ini apabila melewati fakulti sains atau ekonomi. Seolah-olahnya mereka sedang menerokai satu bidang yang tidak ada harganya di zaman sains dan teknologi ini.

Sejak sekian lama juga, kita terlalu memfokuskan kepada bidang-bidang baru bagi mengisi keperluan pasaran dunia. Tidak ada matrikulasi yang membuka pintu untuk pelajar bagi mendalami bidang sastera. Hasilnya, sastera kita tidak menuju ke hadapan. Ketika kita berasa sangat teruja dengan bidang sains, atau ekonomi, atau perdagangan, kita terlupa universiti ternama seperti Cambridge dan Oxford misalnya - tetap memperteguhkan bidang kesusasteraan dan peradaban.

Sangat malanglah kita ini. Kita tidak membuka mata kita betapa seni dan sastera itulah yang membentuk peradaban bangsa. Ia juga sebahagian manifestasi budaya bangsa. Bangsa besar dunia - tetap menunjukkan kekaguman dengan tamadun mereka. Jangan hairan, kalau di negara yang sering disebut sebagai maju - tetap mengekalkan bangunan tua bersejarah. Jangan hairan, mereka terus membelek buku William Shakespeare di zaman ketika mereka juga sudah berkali-kali mengelilingi bulan.

Kita tidak berkata bahawa kita ingin mengembangkan seni dan sastera untuk melahirkan tokoh sehebat Pramoedya Ananta Toer yang terus dikenang dengan Keluarga Gerilya atau Rumah Kaca, atau Chairil Anwar penyajak "Aku" atau yang sering disebut sebagau "Aku Ini Binatang Jalang", tetapi cukuplah kalau kita tidak memperkecilkan seni warisan bangsa. Janganlah kita memandang manusia seni dengan hanya sebelah mata, kerana mereka juga menyumbangkan sesuatu untuk tanahair.

Untuk anak-anak muda ini, teruskan berjuang. Tidak mengapalah kalau ia tidak diambil peduli oleh sesiapa pun, kerana adakalanya kita perlu memperjuangkan seni untuk diri sendiri. Untuk mereka, sesekali bacalah apa yang tersirat di sebalik puisi Chairil Anwar itu. Moga ia bakal memacu nafsu mereka berkarya.

Thursday, 27 August 2009

Nota untuk Mashitah

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
"Kalau kau menjadi aku, kau tentu akan mengerti siapa aku". Kata Jibam, watak utama karya Ujang dalam majalah Gila-Gila lewat 80-an dulu.

Aku tujukan ayat itu kepada temanku yang baru sahaja menjejak kaki ke Melbourne beberapa hari dahulu. Seperti aku, dia akan memulakan pengajiannya di bumi asing ini. Tidak seperti aku, dia berhadapan dengan segala macam musibah sebelum sampai ke Australia ini. Tapi, itu juga tentunya sebahagian proses pembelajaran dan pengalaman yang tidak ditemuinya di universiti.

Mashitah - kawan yang mulanya aku kenal melalui e-mail sahaja. Dia mula menghubungi aku pada bulan Februari 2008 bagi mendapatkan pandangan untuk melanjutkan pengajiannya di Australia. Perjalanannya untuk melanjutkan pengajian PhD beberapa kali tertunda oleh beberapa masalah teknikal. Suaminya pula - seperti suami yang lain juga, akan juga terseret sama memikul beban isteri. Kerana masalah teknikal yang kunjung padam, dia beberapa kali turun naik pejabat kementerian. Bahkan, dia juga terpaksa berjumpa dengan orang 'paling besar' di kementerian untuk mendengar ceritanya.

Itulah tabahnya manusia. Orang patut berbuat apa sahaja untuk mencapai cita-cita mereka. Belajar PhD tidaklah sama seperti belajar ijazah sarjana muda, walaupun spesisnya sama juga.

Belajar PhD melibatkan kerjaya. Ada universiti yang akan menamatkan kontrak pensyarah yang tidak tamat PhD. Ada universiti yang tidak membenarkan memulakan pengajaran selagi keputusan pengajian tidak diterima. Orang seperti aku, akan membayar hutang yang besar sekiranya pulang dengan hanya status 'blogger' tidak ternama. Jumlah pembiayaan itu tentu sama banyak dengan membangunkan dua atau tiga buah banglo, atau beberapa bidang tanah. Jadi semua ini menakutkan. Yang pasti terjadi, sekiranya gagal aku tidak diterima berkerja. Semua ini merunsingkan.

Sebab itu, apabila Mashitah tiba ke LaTrobe University - dia akan juga seperti aku. Ada satu hal yang sering menikam benaknya. Tiada pekerjaan dan menanggung hutang akan mengekori hidupnya, dan menjadi tagline dalam mindanya. Ini sama ada akan memotivasikannya agar kerja lebih keras, atau menyebabkan dia runsing hingga segala kerja tidak menjadi. Jadi, dia patut pilih yang pertama.

Nantinya, dia juga akan berhadapan dengan masalah lain. Sekiranya dia bertemu dengan penyelia yang bagus, walau tidak ternama, itu dianggap satu rahmat. Seorang teman yang lain di UK hanya bertemu dengan penyelianya 3 bulan sekali - kerana penyelianya sentiasa sibuk di luar negara dengan segala macam urusan akademik. Harapnya, dia bertemu dengan penyelia ternama tetapi bagus. Itu yang paling baik.

Seperti kebanyakan penuntut PhD yang lain - dia juga akan dihadapkan dengan kesibukan rumahtangga. Dia akan berhadapan dengan tuntutan rumahtangga, dan tuntutan pengajian. Itu belum lagi kalau dia juga tergoda dengan 'garage sales' dan pinggan Corelle dan Noritake. Jadi - semua itu akan menyebabkan pengembaraan PhD-nya akan menjadi satu coretan yang menyibukkan.

Bekas pensyarah aku di UKM, Dr Aminuddin, yang aku telah berguru dengannya selama beberapa tahun - dan akhirnya menjadi sahabat yang akrab, beberapa hari sebelum pulang ke Rahmatullah mengirimkan emel ini. Ia mungkin bukan pesan untuk aku sahaja, tetapi sesuai untuk sesiapa sahaja, termasuk Mashitah. Email terakhir beliau aku simpan sebagai kenang-kenangan, satu penghormatan untuk guruku yang terbilang, satu peringatan untuk kami yang lalai.

"Selamat belajar. Ketika di sana belajarlah sebanyak-banyaknya bukan sahaja ilmu psikologinya tetapi juga pentadbiran ilmu psikologi,persatuan psikologinya, kurikulum undergraduate dan bahkan perlaksanaan pentadbiran universitinya. Sangat baik masuk ke kelas-kelas prasiswazahnya. Tumpu sepenuhnya kepada belajar; yang lain-lain boleh dibuat kemudian sedangkan belajar tidak dapat ditangguhkan".

Yes! Akhirnya aku tahu AMOS

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Petang tadi, akhirnya aku menyiapkan model analisis data. Bertambah baik, supervisor datang duduk sebelah aku membelek-belek programming dan melihat kalau ada yang tersangkut. Nampaknya, setakat petang tadi semuanya baik. Kami telah merumuskan sesuatu berkaitan stress kerja orang Malaysia.

Tambah teruja aku, tiba-tiba supervisor aku bersuara " Can I help you to write this paper?". Aku terasa nak bagitau, kalau dia tulis semua lagi baik.

Aku tanya dia, nak hantar mana? Dia kata bukan konferen, tetapi jurnal. Dia dan aku akan tulis sama-sama. Sebelum ini cuma aku yang tulis, dia tukang semak. Harapnya, kali ini supervisor aku tulis, aku yang semak!

Akhirnya selesailah satu masalah minggu ini. Bila selesai menulis nanti, akan ada masalah baru lagi.

Mati hidup semula?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mati hidup semula?

Untuk melihatnya, klik di sini. Ini sebahagian daripada klip penceritaan seorang wanita yang mati, dan hidup semula.

Apa reaksi anda?

Aku tidak mahu mengulasnya di sini. Ia wajar diulas oleh orang alim agama. Namun, dalam Al-Fatawal Fathaniyah, Syeikh Ahmad Fatani telah memberikan fatwanya dalam hal-hal yang seperti ini, walaupun bukanlah berkaitan dengan kisah orang yang mati dihidupkan semula.

Wednesday, 26 August 2009

Isu Kartika: Apa yang tidak kena?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda mungkin sudah tahu cerita Kartika. Ia isu yang sedang jadi polemik sekarang.

Bagi aku ia tidak patut jadi polemik, atau sengaja membuat-buat terkejut. Itulah sebahagian cara kita. Kita sering sahaja 'hendak melepas, baru korek lubang'. Hasilnya, kita melepas di merata-rata. Ini tidak lagi memalukan. Ini adat biasa.

Tahun 2000, aku telah membuang puntung rokok di hadapan perhentian bas di Kajang. Tiba-tiba datang seorang inspektor kesihatan berbaju biasa, bertanyakan adakah itu puntung rokok aku. Aku jawab ya. Kemudian dia pun membacakan kesalahan yang aku lakukan, yakni menghisap rokok di tempat awam. Dia mula mengeluarkan kertas saman. Tiba-tiba, ketika hendak menyaman, dia teraba-teraba di poket baju dan seluarnya. Rupanya dia tidak membawa pen. Dia cuba memanggil seorang lagi temannya yang berada agak jauh untuk meminjam pen. Akhirnya kerana malu, dia pun berkata. Kali ini saya lepaskan awak, lain kali jangan buat lagi.

Mungkin kerana operasi rokok ini dibuat secara hangat-hangat tahi ayam, maka mereka terlupa membawakan pen. Aku tidak begitu pasti, adakah ada lagi penguatkuasa yang mencari orang menghisap rokok di tempat awam sekarang ini. Kalau ada baguslah. Itu kerja mulia lagi suci.

Kes Kartika ini juga seperti kes operasi rokok tadi. Dia sudah dijatuhkan hukuman. Cuma, yang tidak ada ialah pakar rotan. Ini menjadikan semua orang jadi pelik. Adakah di negara Islam yang majoritinya umat Islam, dan kita pula melaungkan banyak slogan berkaitan Islam, kita tidak pula ada pakar rotan? Ini hal yang pelik.

Kes ini juga unik. Sepanjang pengetahuan aku - berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus, atau mencecah ribu-ribu kedai arak telah dibuka. Di Langkawi anak muda Melayunya meminum arak di tepi Pantai Chenang seperti meminum air mineral. Di Changlun juga ada kedai arak, dan ada juga budak-budak Melayu yang mabuk-mabuk. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, air mabuk dijual di mana-mana.

Tetapi tidak pula kita mendengar ada orang yang dirotan kerana kesalahan minum arak. Mengapa begitu? Inilah masalahnya apabila kita tidak menyeragamkan pelaksanaan undang-undang. Menjadikan kita kebingungan seperti orang yang mabuk juga. Kalau kita bingung, orang bukan Islam akan bertambah bingung.

Hal yang pelik juga - kita mengeluarkan lesen membuka kedai mabuk. Tetapi kita melarang orang meminumnya. Sama seperti kita membenarkan kedai nombor ekor, tetapi kita melarang orang menikam nombor.

Dari satu sisi kita melarang, di sisi lain kita memberi izin. Sama seperti tidak membenarkan anak gadis dirogol orang, tetapi kita memberikan peluang pula teman lelakinya membawa dia berjalan malam satu dua tiga pagi.

Suka atau tidak, kes Kartika ini telah membuka mata kita semua. Inilah cara kita dalam banyak perkara. Kita tidak menyebat Kartika, kita sedang menyebat diri kita sendiri. Kita menyebat hukum Islam. Kita menyebat nama Malaysia.

Dan percik malunya sedang meleleh di muka kita semua.

Tuesday, 25 August 2009

Update Research

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak mengemaskini research.

Minggu depan, akan genaplah dua tahun aku di Adelaide. Dua tahun bukanlah tempoh yang lama. Ia singkat dan terasa sangat pendek. Terasa seperti aku baru datang. Ketika aku datang dulu, aku sempat berpuasa 2 minggu di Malaysia, dan kemudiannya menyambut raya di Adelaide.

Aku masih ingat lagi, ketika sampai ke Adealide - aku menaiki teksi dengan tambang AUD 20 ke rumah Intan, Aini dan Aishah di Onvingham. Ketika sampai ke rumah mereka, aku jadi 'confius'. Apa tidaknya, ada tanda 'Beware of Dog". Betulkah ini rumah budak Melayu. Nampaknya mereka cuma memelihara tanda itu, bukan anjing. Terima kasih kepada budak-budak bujang ini. 2 daripadanya sudah balik dan berkerja di Malaysia, dan ada banyak duit sekarang.

Kemudiannya berpindah ke rumah Kak Ton selama seminggu yang kini jadi kawan baik aku. Nasib baik supervisor Dr Muhsin bunuh diri. Dr Muhsin, seorang pakar psikitiari terpaksa balik Malaysia dan tidak jadi buat PhD di University Adelaide. Jadi aku menyambung kontrak rumahnya yang berbaki lagi 4 bulan sebelum berpindah ke rumah sekarang.

Kini, setelah 3 kali proses kutipan data, banyak yang aku pelajari rupanya. Dengan melakukan temuduga dan fokus group, aku perlu belajar NVivo. Software yang tidak pernah aku dengar namanya. Dengan software itu, kita menganalisis perbualan. Dengan software itu jugalah, aku menghasilkan 3 kertas.

Sekarang, setelah melakukan survey baru-baru ini, aku perlu belajar software yang lain pula - AMOS, juga tidak pernah aku dengar dan lihat kelibatnya dahulu. Sejak semalam, aku menghabiskan masa menguasainya. Hari ini, supervisor aku yang baik itu membantu mengajar aku. Sejam lebih juga dia duduk sebelah aku. Aku harap, hujung minggu ini aku akan jadi pandai dan boleh mengeluarkan keputusan kajian. Harapnya juga, 2 lagi kertas akan menetas.

Masalah sekarang - masih ada 2 lagi survey akan dilakukan di Selangor. Kali ini sampel akan lebih besar. Itulah masalahnya sekarang. Walaupun kita patut tukar 'masalah' kepada ayat yang lebih positif, misalnya 'isu', tetapi ia nampaknya tidak mengubah apa-apa. Kelihatannya baki 1 tahun yang tinggal akan menyebabkan fikiran lebih banyak kacau. Itulah PhD.

Apa-apa pun, aku akan cuba menafsirkan hal ini hanya sekelumit dari banyak masalah lain yang perlu kita fikirkan. Moga-moga ia membantu.

Nota untuk kawan lama, Din - ada satu lagi poster untuk disiapkan. Juga ada satu soal selidik yang perlu dikemaskini.

Sunday, 23 August 2009

Cerita Melayu II - Edisi Merdeka

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sambungan edisi sebelumnya.

Proses mencari keseimbangan ini menjadikan sistem kehidupan orang Melayu berantakan. Kerana rendahnya kuasa ekonomi, orang Melayu berlumba-lumba bagi memastikan kestabilan dicapai. Yang berkerja pejabat, malamnya terpaksa memandu teksi atau membuat kerja sampingan. Yang lebih buruk, ada yang menggunakan kuasa yang ada bagi mendapatkan projek perniagaan dan sebagainya. Peniaga kecil akan sedaya upaya mendapatkan projek yang lebih besar.

Semua ini telah menjadikan sistem kekeluargaan Melayu kacau bilau. Kita kekurangan waktu untuk menguruskan rumahtangga atau memerhatikan pembelajaran anak-anak. Wang sudah menjadi destinasi utama.

Dalam keadaan ketidakcukupan, ada yang terpaksa berhutang dan membuat pinjaman bank. Bagi yang hidup di kampung, Tabung Amanah Ikhtiar dijadikan lubuk pinjaman. Ini semua menjadikan kehidupan kita bertambah sibuk. Kita sibuk berkerja untuk membayar pinjaman. Hasilnya, anak-anak membesar di tangan orang gaji. Di kampung, ada yang lebih rela anak berhenti sekolah lebih awal bagi mengurangkan beban.

Inilah masalah utama yang sedang menimpa orang Melayu. Walaupun Dasar Ekonomi Baru banyak meningkatkan ekonomi Melayu, sayangnya ia tidak membuat perubahan besar. Yang naik dengan DEB tidak pula menjadi membantu orang lain untuk naik bersamanya. Memang, ada yang membuka perusahaan besar dan mengambil anak Melayu berkerja. Itu baik. Tetapi mereka tidak pula mengajar pekerja ini menjadi usahawan seperti mereka.

Sebaiknya kumpulan ini menjadi kapitalis baru. Menggunakan keringat anak Melayu ini sebagai ruang untuk membina kekayaan mereka. Kita tidak perlu menyebutkan nama mereka. Lihatlah sendiri. Kekayaan ini diwariskan kepada anak dan saudara mara, dan bukannya diperluaskan untuk masyarakat Melayu yang lain. Kekayaan sedia ada ingin diperbesarkan. Semua orang menjadikan wang sebagai simbol kejayaan.

Hasilnya, masyarakat Melayu keseluruhannya tetap miskin. Menggunakan rumus perbandingan sosio-ekonomi orang Melayu sebelum dan selepas merdeka tentulah bukan satu perkiraan yang betul. Ia hanya perbezaan relatif. Berapa harga sekilo beras pada zaman sebelum merdeka? Itu hal yang perlu diberikan perhitungan.

Kerana itu - sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa dan peranan bagi membantu masyarakat mesti mempunyai 'political will' ke arah itu. Ahli politik dari blok mana sekalipun, mesti ada iltizam. Cakap-cakap orang tentang ahli politik yang mencari peluang peribadi - walaupun kerap dinafikan - bukanlah cerita dongeng. Kita melihatnya setiap hari. Bagaimana wakil rakyat boleh memiliki rumah seperti istana hanya dengan gaji dan elaun yang ada. Kita tahu tidak banyak ahli politik yang berminat bercakap soal bangsa jika berada di McCurry - melainkan perbualan itu menjurus kepada apa lagi projek yang akan datang dan boleh diintai.

Tetapi itulah. Semua orang ingin mencari keseimbangan. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk mencapai satu tahap yang memberikan keselesaan psikologi. Akhirnya, kita membinasakan banyak perkara lain.

Jadi - apabila anda membaca atau melihat statistik runtuhnya moral Melayu - marilah bersama-sama melihat semula apa yang sedang berlaku. Runtuhnya moral Melayu hari ini tidaklah kerana setiap anak muda bercita-cita untuk menjadi penagih dadah, bohsia, bohjan atau sengaja ingin menjadi manusia yang murtad. Ia disebabkan oleh kecelaruan sistem. Ia disebabkan kekalutan kita untuk mencapi keseimbangan. Yakni - mencapai tahap ekonomi yang relevan dengan dunia hari ini.

Hasilnya - kita hanya menyalahkan remaja Melayu sebagai bangsa yang mudah terpedaya dan tidak mampu menghadapi gelombang pemodenan. Kita terlupa - kitalah yang sedang menciptakan kekalutan itu. Aku berani berfatwa dalam hal ini. Aku juga mungkin salah seorang daripadanya. Kerana aku juga ingin mencapai keseimbangan itu.

Engkau juga?? Engkau mungkin mangsanya.

Saturday, 22 August 2009

Cerita Melayu 1 - Edisi Merdeka

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kajian dan pemerhatian kita mendapati Melayu moden kini sedang berada dalam kekalutan yang membimbangkan.

Antara sindrom Melayu masakini termasuklah hilang pertimbangan akal dengan penglibatan dengan pelbagai gejala sosial termasuk dadah, seks bebas, bohsia, murtad dan sebagainya. Melayu juga dikesan sebagai antara penagih internet terbesar, yang kebanyakannya tidaklah bersifat membina. Ia lebih menjurus kepada ketagihan bagi tujuan keseronokan. Semua ini adalah antara masalah Melayu moden.

Aku sebagai orang Melayu - tidak akan berfatwa bahawa Melayu itu secara genetiknya adalah bangsa yang lemah dan mudah terpedaya. Walaupun kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka itu hanya disebabkan oleh gerombolan tentera Portugis yang tidak sampai 50 orang, tetapi aku tetap yakin genetik Melayu itu tetaplah seperti juga genetik bangsa lain. Tidak ada cacat dan celanya. Lihat sahaja Melayu di Afrika Selatan atau Australia. Mereka bangsa yang hebat.

Yang menjadikan Melayu itu begitu hina kerana ketidakseimbangan ekonomi. Walaupun lebih 50 tahun merdeka, Melayu itu terus memukat di laut, membajak di bendang dan berkebun di hutan. Berapa banyak yang boleh mereka dapatkan dengan kerja-kerja sebegitu. Orang memukat misalnya, perlu turun ke laut seawal 6 atau 7 pagi, dan pulangnya maghrib. Banyak masa terbuang, sedangkan tidak sebanyak mana pun pulangannya.

Orang menoreh - perlu bergerak dari satu pohon ke satu pohon. Naiklah setinggi mana harga getah sekalipun, ia tetap perlu dijual kepada orang tengah. Orang tengah inilah yang menjadi penentu mekanisma turun naik harga. Jadi - walaupun kelihatannya para penoreh ini berkerja sendiri - realitinya tidak. Mereka adalah kuli kepada pemborong dan saudagar getah di kota. Saudagar dan pemborong inilah yang membuat untung sejuta kali lipat. Walaupun majoriti penoreh itu Melayu - pernahkah anda melihat ujudnya sebuah bangunan "Ali Rubber" di mana bandar sekalipun. Tidak ada.

Begitu juga sektor perikanan. Yang menjadi nelayan itu bangsa Melayu. Tetapi peraih yang pejabatnya letak di hujung jeti bukanlah pula orang Melayu. Mereka inilah saudagar ikan, sotong, ketam atau apa sahaja hasil laut. Mereka inilah kapitalis yang bijak membuat wang. Mereka menjual pukat, bubu, bot dan segala macam. Mereka membeli semua hasil tangkapan. Paling baik dapat dinikmati seorang nelayan ialah seekor ikan jenahak segar. Itu sahaja. Mereka tidak akan kaya. Anak dan cucu mereka 10 generasi lagi pun juga tidak akan kaya dengan menjadi nelayan dalam sistem sebegitu.

Jadi apa kaitannya semua ini dengan masalah orang Melayu?

Secara psikologinya, manusia akan cuba mencari keseimbangan. Misalnya, kalau kita tidak berjaya dalam pendidikan, kita perlu mencipta nama dalam hal yang lain agar terus dihormati. Misalnya menjadi orang yang ada banyak wang, atau menjadi artis yang popular. Itu keseimbangan. Kalau tidak ada kereta besar, ada motosikal cantik mungkin sudah cukup mememuaskan psikologi diri buat seketika.

Di sekolah, ramai anak remaja cuba melakukan sesuatu yang membolehkan mereka terkenal. Kalau tidak mampu menjadi budak yang bijak atau kuat bersukan, menjadi budak yang nakal adalah satu bentuk keseimbangan. Nakal itu bukanlah matlamat. Popular dan dikenali itulah tujuannya. Itulah keseimbangan.

Dalam kehidupan serba susah, keseimbangannya ialah menggantikan sesuatu yang boleh memberikan kepuasan. Sebab itu banyak penagih datangnya dari luar bandar. Banyak bohsia juga bukanlah anak orang kaya di Bukit Damansara, tetapi mungkin datang dari Felda di Negeri Sembilan. Kalau bandar pun, mungkin anak-anak yang tinggal di rumah flat di Kampung Baru.

Kalau mereka sudah mempunyai kekuatan ekonomi, untuk apa mereka menghabiskan masa di cyber cafe atau menghisap dadah di belakang CAK Plaza, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka boleh bermain internet di rumah. Tetapi kerana di rumah pun apa pun tidak ada, hidup tidak teratur, lebih baik melakukan sesuatu yang mempunyai nilai yang sama dengan apa yang tidak dimiliki. Menjadi ketua penyamun adalah satu kejayaan besar, sama berasa hebatnya dengan kejayaan menjadi Ketua Menteri. Walaupun ia ujud dalam dua pola yang berbeza, tetapi itulah keseimbangan yang manusia cari.

Sebab itulah, aku rasa - untuk mengatasi masalah sosial dan kerumitan orang Melayu ini - kita perlu kukuhkan dulu ekonomi Melayu. Jangan hanya paparkan statistik keruntuhan moral. Kita patut siarkan juga data kebobrokan ekonomi.

BERSAMBUNG

Friday, 21 August 2009

Bila tibanya Ramadhan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ramadhan datang lagi.

Ia mengingatkan kita dengan zaman anak-anak. Berlari riang di belakang masjid ketika orang dewasa sibuk berterawih. Yang kita nantikan bukanlah ganjaran ibadat bulan Ramadhan. Kita menantikan jamuan moreh selepas habisnya solat terawih. Bahkan, ada yang menyisipkan beberapa keping roti canai ke dalam poket baju Melayu.

Bulan puasa ini jugalah kita akan bermain mercun dan bunga api. Bila usia kanak-kanak kita semakin berganjak, kita bermain pula meriam buluh atau batang paip.

Saat yang paling meriah ialah beberapa minit sebelum berbuka. Apa tidaknya, kita mula membilang jam berbuka sejak tengah hari. Jarum jam terasa seperti bergerak begitu lambat. Ia akan terasa lambat lagi apabila kita juga membilang hari untuk menyambut Aidilfitri.

Waktu berbuka juga menjadikan kita adik beradik 'berperang' berebut kuih dan air tebu. Semua ini menjadi orang tua kita kebingungan.

Itulah antara nolstalgia yang tidak mungkin akan berulang lagi. Apabila kita semakin berumur, kita tidak lagi melihat jam menunggu waktu berbuka. Kita sangat sibuk dengan banyak perkara dunia. Kadang-kadang berbuka di pejabat, kadang-kadang cuma di celah kesesakan jalanraya sahaja. Kalau 'miss' untuk ke masjid berterawih, itu bukan hal yang pelik lagi.

Kita juga mungkin bertambah gelisah menunggu ketibaan hari raya. Dengan tol dan harga minyak, menjadikan semua ini memeningkan kepala kita. Anak-anak meminta dibelikan pakaian baru. Orang rumah pula sudah sibuk berkira tentang langsir dan cat rumah. Wang saku akan berkurang lagi dan hutang baru akan dicatat semula. Semua ini hal-hal membingungkan, menjadikan Ramadhan akhirnya tidak ubah seperti 'bulan yang lain' sahaja.

Kalaulah mungkin kita dapat kembali semula menjadi kanak-kanak. Mungkin Ramadhan ini akan ceria semula.

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua pengunjung dan pembaca.

Thursday, 20 August 2009

Jangan stress Ainishamshi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jangan stress Aini.

Membaca blog beliau, adakalanya ia menceritakan kisah anak-anak muda yang sebaya dengan anak saudaraku di kampung. Umur mereka tidak akan lebih tua dari usiaku. Ketika aku masih bersekolah rendah, mereka mungkin belum lahir. Ketika aku berumahtangga, mereka mungkin sedang merengek meminta dibelikan sebungkus keropok dan 3 biji gula-gula.

Seperti banyak perantau yang lain, mereka sedang berhadapan dengan seribu macam konflik. Bertarung hidup sebagai perantau di negara orang -jauh dari keluarga - dan pada masa yang sama mengharap masa depan yang akan selalu menyebelahi mereka.

Realitinya tidak.

Hidup tidak pernah memperhitungkan sesiapa pun anda. Anda tua atau muda, ia tidak pernah mempedulikannya. Selagi anda bernama manusia, anda akan dihadapkan dengan cerita yang sama. Anda akan diuji setiap hari. Tajuk dan topiknya mungkin berbeza, tetapi soalannya tetap juga sama.

Selepas ini apa lagi? Esok apa akan terjadi?

Ia dihadapi semua orang yang waras.

Sampai waktu, kalau begitulah takdirnya, itulah ceritanya.

Emak dan ayah kita pun sama juga perhitungannya. Tiap saat akan bertanya, esok apa yang akan berlaku dengan anak-anak mereka. Masih ada lagikah simpanan jika mereka memintanya pada waktu tak terduga. Kalau ditakdirkan dipanggil pulang oleh Tuhan, adakah mereka akan tetap bersatu tanpa permusuhan.

Semua itu adalah pertanyaan-pertanyaan yang akan tetap bermain di fikiran mereka. Seperti juga kita, mereka memperhitungkan waktu sekarang dan menujum masa depan.

Ketika aku kecil, aku tidak pernah menduga akan sampai ke Adelaide. Tidak juga pernah berangan-angan akan berkerja sebagai itu dan ini.

Aku pasti ibuku juga begitu.

Bayangkan begini. Aku cuma membawa 20 sen ke sekolah. Berbasikal buruk yang berkarat sejauh 4 batu ke sekolah.

Ketika orang lain membawa bekal lauk sotong, aku cuma mampu membawa ikan haruan kering.

Pernah sekali - ketika aku meminta dibelikan berus gigi, ibuku cuma mampu menawarkan berus gigi lama yang entah di mana ditemuinya. Berus gigi itu kemudiannya direndam dengan air panas semoga terbunuh segala kuman yang nista.

Hasni - teman aku yang ada di Brunei - tentu tahu betapa susahnya hidup aku walaupun dia mungkin tidak tahu cerita berus gigi itu.

Pada akhirnya aku hidup juga. Abang dan kakakku juga terus hidup. Seorang daripada kakakku tidak langsung ke sekolah. Dulu dia sangat kecewa. Selalu merungut akan hal itu. Sebabnya dia tahu membaca dan mengira, tetapi tidak ada peluang ke sekolah.

Tetapi sekarang - seolah-olahnya dia sangat gembira apabila anak-anaknya ke universiti dan bersekolah di sekolah yang baik.

Jadi - untuk sesiapa sahaja yang bergelar anak muda, teruskanlah hidup ini dengan cara yang wajar. Lakukanlah terbaik. Takdir dan nasib kita sudah lama tersurat.

Cerita ini tidak ada kena mengena dengan Aini. Ia hanya paparan kisah orang muda.

Wednesday, 19 August 2009

Apa yang stress - Part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bagi orang yang sedang mengkaji stress kerja seperti aku, tahun depan akan ada dua persidangan besar. Ia akan diadakan di Rome, Italy dan Amsterdam, Belanda. Banyak pengkaji sekarang sedang stress memikirkan apa yang patut ditulis dan bagaimana menerobos tempat ke sana.

Aku - yang tidak berminat menulis tesis akan menggunakan peluang ini. Menulis kertas persidangan akan membolehkan aku menyelitkan kertas persidangan dalam tesis aku. Jadi, banyak masa boleh dijimatkan.

Apa yang akan ditulis.

Aku sudah siap menganalisis data kajian yang dibuat semasa aku balik Malaysia baru-baru ini. Daripada 135 responden, banyak yang boleh ditulis. Aku boleh menulis kenapa orang marah, kenapa orang murung, apa itu 'lekatan kerja' (engagement) atau kenapa teori Psychological Safety Climate yang dicipta oleh supervisor aku nampaknya bertentangan paksinya dalam konteks kajian aku.

Semua ini menjadikan aku begitu stress. Lebih stress lagi, ada dua kali lagi kutipan data perlu dibuat di Malaysia. Jabatan Statistik memberikan masa maksimum selama 1 bulan bagi membolehkan mereka melakukan kerja-kerja sampling. Jadi - nampaknya aku tidak akan dapat PhD dalam masa terdekat ini.

Semua ini adalah cerita stress yang membingungkan.

Tuesday, 18 August 2009

Apa yang stress?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa yang paling anda takutkan dalam PhD?

Supervisor yang banyak kerenah?

Bahasa Inggeris yang kacau-bilau?

Keputusan yang jauh dari apa yang kita harapkan?

Tidak cukup responden?

Bohong!

Semua itu bukan halangan. Semua itu bukan masalah. Semua itu boleh kita selesaikan dalam sehari. Paling tidak seminggu. Paling teruk pun - sebulan atau dua bulan. Setiap pelajar PhD bermula dengan pendidikan ijazah rendah. Zaman yang mengajar kita tentang selok-belok manipulasi semua kerja akademik.

Tetapi ada hal yang mereka tidak mampu kawal. Masa. Ya, masa! Setiap orang cuma diberi waktu 3 tahun. Paling banyak 4 tahun. Itulah yang menyebabkan semua orang stress.

Masa 3-4 tahun kelihatannya seperti panjang. Sebenarnya tidak. Ia berlalu dengan cepat. Secepat hilangnya musim dingin dan tibanya musim bunga. Selaju perginya musim panas dan datang pula musim luruh.

Itulah yang paling menakutkan. Lebih seram dari filem Freddie Nighmare. Lebih takut dari cerita Nang Nak. Lebih cemas dari filem Die Hard 2.

PhD - ia bukan kisah pengembaraan yang menyeronokkan. Ia cerita seram yang setiap hari menjadi selimut kita - siang dan malam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails