Yang Ikut

Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Sunday, 21 July 2013

Nolstalgia Ramadhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Antara pengalaman terindah mengingati Ramadhan ialah tatkala kita masih kanak-kanak. 

Puasa waktu itu bercampur dengan mitos, kejujuran dan dan keseronokan.

Entah berapa kali kita ke bilik air sekolah untuk berkumur. Sesekali 'tertelan' sedikit air untuk membasahi kerongkong. Puasa tetap dikira walaupun hanya mampu separuh hari, atau makan sahur jam 8 pagi. Semasa kanak-kanak, kita sangat takut kalau terbatal puasa kerana terkorek hidung. Juga bimbang kalau turun ke dalam sungai dan terbuang angin di dalamnya. Kata nasihat yang didatangkan dari satu generasi ke satu generasi, entah daripada kitab mujtahid karangan siapa - ia terbatal puasa.

Fatwa batal puasa semasa kita kanak-kanak hanyalah dikeluarkan oleh teman sebaya kita sendiri.

Paling seronok ialah membeli air batu yang harganya seketul 20 sen. Kemudiannya ditanam ke dalam tanah agar tahan lama. Pergi ke masjid untuk berterawih hanyalah alasan sahaja. Yang paling indah ialah moreh. Ada yang menyembunyikan roti canai ke dalam kepiah, atau poket baju Melayu.

Meriam dan mercun sudah lama menghiburkan kita, walaupun bunyinya tidak sekuat mercun bola sekarang ini. Mercun katak dianggap antara yang terhebat.

Raya dinanti dengan penuh asyik. Dibilangnya hari satu demi satu. Inilah masanya kami orang susah mencari wang lebih.

Itu cerita dulu. Sekarang ini keasyikan Ramadhan bertukar rupa. 

Seorang wartawan bertanya, apakah pandangan psikologi dengan fesyen baju raya sedondon. Aku tidak berupaya menjawabnya. 

Ia soalan yang tidak pernah aku jangka, dan topik kajian yang tak pernah aku fikirkan.




Friday, 27 July 2012

Puasa dan mercun!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap kali tibanya Ramadhan, kita diingatkan agar sentiasa mengingat orang susah. Sebab itulah kita diminta berlapar dan dahaga. Kita juga diwajibkan membayar fitrah.

Semuanya untuk membuka minda dan fikiran kita agar selalu menyelami nurani orang miskin, orang fakir dan orang gelandangan. Kita diingatkan bahawa di dunia ini, terlalu banyak orang yang menderita. Banyak manusia tersadai di medan perang. Banyak manusia menjadi pelarian. Banyak manusia menderita hidup sebagai manusia yang tak punya apa-apa.

Inilah roh cinta sesama manusia.

Sayang, kita selalu terlupa.

Kita terlupa apabila membeli mercun harganya puluhan ringgit untuk dibakar dan diletupkan begitu sahaja. Harganya lebih mahal dari nilai RM 7.00 mengeluarkan fitrah.

Kita berseronok. Kita bergembira dengan mercun dan bunga api. Kita bersuka ria dengan temasya api dan warna warni.

Celaka sungguh kita ini. Kita berpuasa. Kita mengeluarkan fitrah.

Tetapi kita bermain mercun sampai terlupa diri. Kita terlupa orang lain. Kita berfikir 2 kali untuk memasukkan sedekah 2 ringgit ke tabung masjid. Kita tidak teringat pun ada orang yang tidak makan tatkala membeli mercun.

Mungkin kita akan teringat bahawa letupan mercun itu sudah tidak ada keriangannya kalau di atas kepala kita sedang ada peluru dan mortar berterbangan.

Apa kata - kali ini kita berpuasa membeli mercun.

Selamat berbuka.

Friday, 20 July 2012

Selamat berpuasa

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat berpuasa untuk semua pembaca yang berpuasa.

Yang tidak berpuasa, selamat membaca.

Ini puasa yang aku tunggu sejak beberapa tahun berpuasa di negara orang.

Aku ada menuliskan hal puasa dari perspektif psikologi di Kosmo!.

Untuk baca, Klik

Tuesday, 24 August 2010

Anda berbuka apa petang ini?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Berbuka apa petang ini?

Bagaimana agaknya orang di luar negara berbuka puasa? Adakah mereka juga ada tepung seperti kita. Bagaimana dengan pulut Siam. Buah petai ada dijual atau tidak? Kasihan mereka. Mereka tentu sangat kempunan untuk memakan rebung.

Aku tidak tahu di tempat lain. Di Adelaide, semuanya ada terjual. Yang belum aku jumpa hanya buah jering sahaja. Buah petai jeruk ada dijual. Rebung dalam tin juga ada di kedai Asean Grocery. Apalah sangat dengan pulut Siam atau buah durian. Semuanya ada.

Yang tidak ada hanya pasar Ramadhan. Yang tidak ada hanya emak dan ayah. Yang tidak ada hanya bunyi mercun. Selainnya, tidak ada apa yang kurang.

Bagaimana kami berbuka puasa?

Sebenarnya, aku rasa hidup di sini sebenarnya lebih meriah. Kadang-kadang dijemput berbuka puasa di rumah teman yang lain. Kadang-kadang kita menjemput orang lain. Ia mungkin tidak sempat kalau kita hidup di Malaysia. Jalan yang sesak. Hidup yang sibuk. Semua ini tidak mungkin.

Kalau tidak ada berbuka puasa di mana-mana, kami berbuka di rumah.

Bagaimana pun, selepas berbuka - biasanya kami akan bertandang ke rumah teman yang lain untuk bersolat isyak dan terawih. Ia bergilir sesama kami beberapa orang ini. Aku tidak tahulah orang lain. Aku tidak begitu ambil 'port' sangat.

Jadi - sekali lagi akan ada temasya makan. Aku tidak dapat menamakan semua jenis kuih yang dimasak itu. Ia seperti di Malaysia juga. Ada laksa, pulut durian, popiah, karipap, puteri ayu dan segala macam. Tanya isteri aku. Aku tidak tahu nama makanan. Aku tahu nasi dan ikan goreng.

Selepas makan - yang perempuannya akan bersembang tentang fesyen tudung terkini. Yang lelakinya akan menghabiskan beberapa batang rokok sambil berbual isu politik masakini.

Aku? Aku lelaki pendiam. Aku tidak bercakap.

Petang ini apa menunya. Tadi aku telah memintakan isteri aku membuat cendol. Ini bukan cendul yang dibeli. Ini cendul buatan sendiri.

Pesan sebelum sahur

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 4.01 pagi di musim sejuk. Untuk bersahur, masih terlalu awal. Untuk tidur semula, mata tidak mahu memejam. Untuk keluar merenung bulan mengambang, suhu dingin tidak begitu memberahikan.

Aku ambil sebiji limau mandarin, aku kunyah sendirian. Aku tuang susu ke dalam periuk, aku nyalakan api, aku panaskan. Campur dengan sedikit garam. Entah resipi siapa.

Ketika aku kecil dahulu - susu kerbau segar boleh aku dapatkan dari orang kampung. Arwah Pak Husin selalu memerah susu kerbau. Kita perlu memesannya beberapa hari lebih awal. Susu ini dipanaskan di dalam periuk. Kemudian dimakan dengan pulut. Itu masa indah. Ayah aku masih ada waktu itu. Masa indah selalunya tak akan berulang kembali. Yang terindah ialah yang tertinggal. Nanti aku cuba tulis sebuah novel dengan tajuk "yang terindah ialah yang tertinggal'. Itu pun kalau aku mampu. Kawan baik aku - Sdr Harleem Dayam sudah menghasilkan novelnya sendiri - Waris Kalung Naga. Beliau telah mengeposkan aku senaskah novel sulungnya itu. Ia seperti cerita kanak-kanak, tetapi tidak juga. Bahasanya agak tinggi. Aku belum habis membacanya lagi.

Di bulan Ramadhan ini - orang masih menyamun, membunuh dan merogol. Orang selalu berkata - di bulan baik ini segala syaitan telah dirantai. Mereka dibelenggu. Sepatutnya orang tidak sejijik itu lagi.

Bagaimana pun - kalau anda rajin menadah kitab, ada ulamak yang berkata bahasa hadis itu lebih kepada kiasan. Bukanlah bermakna bahawa syaitan itu dirantai. Maksudnya, di bulan yang penuh rahmah ini - dengan segala ruang untuk membuat pahala, janganlah anda menjadi seperti syaitan. Kalau anda ingin terus membuat jahat, jadilah anda seperti syaitan.

Sebab itu - di bulan baik ini, rajin-rajinlah pergi belajar agama. Jangan banyak belajar dari internet. Banyak perkara yang terselindung yang kadang-kadang tidak dapat dirungkai.

Selamat bersahur untuk yang ingin berpuasa esok.

Monday, 23 August 2010

Satu cerita di bulan puasa di tahun 2006

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hujan petang. Cuaca yang sejuk. Hari yang mendung. Menjadikan puasa makan dan minum di Adelaide tidak begitu terasa. Tiada juga sebarang pasar menjual kuih muih. Tidak kelihatan asap panggang ayam seperti yang ada di tempat kita. Tiada kuih berwarna warni. Tiada air tebu. Tiada air cincau.

Di tempat kita, jam 4 petang seperti ini - di bawah bahang panas, suasana di setiap kota sudah jenuh dengan manusia. Sepertinya ayam yang bangun pagi dan terus meluru mencari makan. Sepertinya manusia yang baru keluar dari gurun yang kering.

Tahun 2006 - tahun yang susah untuk aku. Tahun musibah. Kerana susah itu, aku berjualan di bulan Ramadhan.

Daripada berpuluh-puluh peniaga yang berteriak, aku adalah salah seorang darinya. Aku menjual nasi ayam Hainan di satu kawasan jualan pasar Ramadhan, tidak jauh dari markas TUDM - di Butterworth. Aku bukanlah tukang masak ternama. Jauh lagi sebagai master chef. Isteri aku tukang masak. Aku hanya tahu membungkus sahaja. Pagi-pagi, aku dan isteri ke pasar membeli ayam dan rempah ratus. Di rumah - isteri aku yang memproses semua ayam itu. Aku tidak ambil kisah. Aku lelaki yang cukup bodoh dalam dapur. Masak nasi pun kadang-kadang mentah, kadang-kadang lembik.

Di bulan puasa tahun 2006 itu, setiap jam 3 petang - dengan kereta Unser, aku membawa semua nasi yang sudah dimasak, ayam yang sudah dikukus dan seperiuk besar kuah sup - ke tapak jualan. Waktu itu belum ada manusia pembeli lagi. Yang ada hanya orang yang menjual. Kami memasang meja dan khemah masing-masing. Mengatur segala kerusi. Menyusun semua peralatan. Melihat apa yang lebih, apa yang kurang.

Biasanya jam 4 petang akan ada pelanggan yang datang. Ini waktu percubaan sahaja.

Satu jam kemudiannya - antara jam 5 dan 6 petang - baru suasana menjadi semakin 'real'. Yang berpuasa dan yang tidak datang bertanya. Ada yang membeli. Ada yang melihat sahaja. Ada yang tidak menjeling sedikit pun.

Yang tua dan muda datang membeli. Mat rock dan mat punk juga ada. Ada letih, ada yang berpura-pura letih. Selain Melayu, ada juga Cina dan India. Minah kilang yang cantik datang menawar. Semua kategori manusia datang ke pasar ini. Semuanya dengan satu matlamat - datang mencari makan. Membeli sebanyak yang mungkin. Lebih nanti buang ke tong sampah.

Bulan Ramadhan ini - bulan pesta makan untuk kita semua.

Itu tahun 2006. Pertengahan Ramadhan 2007 - aku menjejak kaki ke Adelaide. Melupakan cerita pasar Ramadhan. Melupakan nasi ayam Hainan. Meninggalkan gadis kilang yang manis. Membelakangkan asap panggang ayam dan jeritan - "mai singgah, mai singgah'.

Ketukan pintu tuan rumah menghentikan cerita ini. Dia telah membantutkan semangat aku menulis cerita ini.

Dia menaikkan lagi sewa $ 15 dolar seminggu, menjadikan sewa rumah $235 seminggu atau $940 sebulan, atau RM2,820 sebulan. Kalau di Malaysia, tentu aku mampu menyewa 3 biji banglow sebulan.

Besok kita sambung bagaimana kami menghidupkan Ramadhan di Adelaide.

Monday, 16 August 2010

Cerita di bulan Ramadhan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tidak banyak berita di bulan puasa ini.

Cerita 1

Tadi - aku berjumpa dengan 3 anak dara dari sebuah universiti di utara tanahair. Mereka akan berada di Universiti Adelaide selama 4 bulan di bawah program pertukaran pelajar.

Seperti biasa, pelajar-pelajar kita ini dihantar datang tanpa persiapan yang jelas. Tidak tahu di mana rumah mereka, dengan siapa mereka akan tinggal. Orang mungkin tidak tahu ini musim sejuk.

Sebenarnya banyak orang Malaysia di sini. Banyak yang boleh membantu. Tetapi, untuk membolehkan mereka ini membantu, mereka ini perlu dimaklumkan dahulu. Jadi mereka tahu bagaimana untuk merancang penempatan orang baru.

Cerita 2

Kawan baik aku, Kak Ton yang mana kami berkongsi bidang yang sama dan penyelia yang sama, kini boleh menarik nafas lega. Membaca laporan penilaian oleh pemeriksa luar, membuatkan aku tumpang gembira. Seorang pemeriksa, profesor ternama dari Kanada dalam komennya:

'This was a first piece of work. One of our students here is doing a work-family thesis study, and my intention is to have her read Hassan's thesis'.

Tidak sahaja gembira. Aku juga patut risau.

Tadi, supervisor aku merancang untuk aku membuat sekali lagi kutipan data. Kali ini di organisasi terpilih. Mungkin yang terakhir. Aku pun tidak ingat ini kali yang keberapa lagi kutipan data aku ini.

Aku cuma bimbang - nanti pemeriksa akan berkata - "You are very rich, Bro!"


Cerita 3
Bulan Ramadhan ini, aku sekali lagi menanam tekad berhenti rokok. Hari pertama puasa, aku hampir berjaya. Aku hanya menyedut sepam sahaja asap rokok untuk 24 jam. Hari keduanya, aku menghisap satu batang. Hari ketiganya aku digoda lagi.

Bulan puasa ini - sebenarnya sudah agak lama aku tidak membeli rokok. Aku cuba menjadi manusia suci. Manusia tanpa pencemaran. Agar hidup lebih sihat. Hidung lebih mancung. Pipi lebih gebu.

Tetapi, aku juga mempunyai banyak kawan-kawan yang sama ada mereka mencari aku, atau aku mencari mereka. Rokok ialah penghubung keakraban kami.

Tidak salah mencuba berhenti. Seperti tidak salah aku mencuba menghisap dahulu.

Friday, 13 August 2010

Mengimbau Ramadhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengimbau bulan puasa.

Ingat lagi, semasa aku masih di sekolah rendah, kita sudah mula berlatih puasa. Aku tidak berapa ingat sejak usia berapa aku mula belajar berpuasa 'yang yok', atau puasa 'olok-olok'.Mungkin sekitar darjah 2 atau 3. Itu di tahun awal 80-an. Banyak pembaca tidak lagi lahir waktu itu.

Waktu itu keinginan berpuasa sangat tinggi. Tapi biasanya semangat kita juga tak mampu melihat buah tembikai atau air tebu yang dijual ditepi jalan. Inilah godaan yang biasanya membuatkan kita tersungkur lebih awal.

Ingat juga lagi - pada tahun pertama belajar berpuasa, ada sasaran yang kita cuba capai. Misalnya berpuasa selama 20 hari penuh, dan 10 hari lagi separuh-separuh. Waktu itu, kalau masuk ke bilik air dengan cubaan berkumur, dan adakalanya tertelan beberapa kali - kita anggap puasa itu masih berjaya. Yang tidak berjaya, cuma kalau kita memakan sesuatu. Itupun kalau dilihat orang.

Sebenarnya bukan hanya air tebu atau buah tembikai yang mengiurkan, sebenarnya waktu itu 'ais batu' pun kadang-kadang menggoda juga. Awal 80-an sehingga pertengahan tahun 80-an, peti ais masih dianggap barang ganjil di kampung aku. Bukan kerana orang tidak mampu. Mungkin juga kerana tidak ada elektrik. Maka, peti ais tentulah juga tidak wujud. Jadi, ada beberapa orang kanak-kanak, sebaya usia dengan aku - mereka melakukan kerja menjual ais batu. Ais itu mungkin dibeli di bandar, dan kemudiannya dijual kepada orang kampung. Aku tidak ingat sangat harganya, mungkin 10 sen atau 20 sen sebata.

Melihat ketul ais itu pun kadang-kadang menyebabkan puasa terasa begitu teruk. Sekarang ini, aku tidak ingat orang akan kemaruk dengan ketul ais lagi. Menjual ketul ais dari rumah ke rumah mungkin menjadi kerja orang gila. Tidak ada sesiapa yang mahu membelinya lagi.

Ketika aku budak-budak, kerana belum ada televisyen, maka radio akan dibuka. Itu untuk mendengar azan. Tetapi biasanya orang kampung aku lebih yakinkan paluan biduk kulit lembu dari sebuah surau lama. Aku pasti, tidak ramai lagi orang tahu bagaimana bunyinya biduk itu. Biduk bukan hanya berguna untuk tahu masuk waktu sembahyang, tetapi apabila ada kematian biduk itu juga akan dipalu. Tetapi ia dengan menggunakan rentak yang lain. Jadi, orang tahu ada seseorang yang sudah dipanggil pulang.

Malamnya, seperti biasa kami budak-budak akan memeriahkan masjid. Bukan untuk berterawih - tetapi kami biasanya akan begitu mengambil tahu apa menu 'moreh'. Biasanya, ketika orang dewasa sedang bersembahyang, ada beberapa budak-budak yang kerjanya akan membuka periuk dan makan dahulu. Ada yang menyembunyikan roti canai di bawah kopiah atau poket baju. Semua itu hal yang selalu terjadi. Tetapi, moreh inilah yang memperkenalkan kita dengan masjid. Tanpa moreh, mungkin kita masih takutkan masjid sampai dewasa.

Habis moreh - kalau bernasib baik, abang aku membawa aku menonton televisyen di rumah kawannya. Kalau tidak, aku balik dan tidur dalam gelap pelita minyak gas. Sesekali kita akan mendegar bunyi meriam buluh. Sesekali kita mendengar bunyi letupan mercun roket.

Sampai sekarang bunyi ini tidak akan berhenti. Mahu tahu kenapa? Kerana kampung aku berjiran dengan Thailand - jadi semua ini boleh sahaja masuk ke kampung aku dengan mudah.

Di Australia - tidak ada sebarang godaan berpuasa seperti kita. Tidak ada bazaar Ramadhan, tidak ada buah tembikai potong, tidak ada jualan kuih, tidak juga ada laksa beras. Semuanya tidak ada.




Friday, 21 August 2009

Bila tibanya Ramadhan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ramadhan datang lagi.

Ia mengingatkan kita dengan zaman anak-anak. Berlari riang di belakang masjid ketika orang dewasa sibuk berterawih. Yang kita nantikan bukanlah ganjaran ibadat bulan Ramadhan. Kita menantikan jamuan moreh selepas habisnya solat terawih. Bahkan, ada yang menyisipkan beberapa keping roti canai ke dalam poket baju Melayu.

Bulan puasa ini jugalah kita akan bermain mercun dan bunga api. Bila usia kanak-kanak kita semakin berganjak, kita bermain pula meriam buluh atau batang paip.

Saat yang paling meriah ialah beberapa minit sebelum berbuka. Apa tidaknya, kita mula membilang jam berbuka sejak tengah hari. Jarum jam terasa seperti bergerak begitu lambat. Ia akan terasa lambat lagi apabila kita juga membilang hari untuk menyambut Aidilfitri.

Waktu berbuka juga menjadikan kita adik beradik 'berperang' berebut kuih dan air tebu. Semua ini menjadi orang tua kita kebingungan.

Itulah antara nolstalgia yang tidak mungkin akan berulang lagi. Apabila kita semakin berumur, kita tidak lagi melihat jam menunggu waktu berbuka. Kita sangat sibuk dengan banyak perkara dunia. Kadang-kadang berbuka di pejabat, kadang-kadang cuma di celah kesesakan jalanraya sahaja. Kalau 'miss' untuk ke masjid berterawih, itu bukan hal yang pelik lagi.

Kita juga mungkin bertambah gelisah menunggu ketibaan hari raya. Dengan tol dan harga minyak, menjadikan semua ini memeningkan kepala kita. Anak-anak meminta dibelikan pakaian baru. Orang rumah pula sudah sibuk berkira tentang langsir dan cat rumah. Wang saku akan berkurang lagi dan hutang baru akan dicatat semula. Semua ini hal-hal membingungkan, menjadikan Ramadhan akhirnya tidak ubah seperti 'bulan yang lain' sahaja.

Kalaulah mungkin kita dapat kembali semula menjadi kanak-kanak. Mungkin Ramadhan ini akan ceria semula.

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua pengunjung dan pembaca.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails