Yang Ikut

Sunday, 23 August 2009

Cerita Melayu II - Edisi Merdeka

Reactions: 
Sambungan edisi sebelumnya.

Proses mencari keseimbangan ini menjadikan sistem kehidupan orang Melayu berantakan. Kerana rendahnya kuasa ekonomi, orang Melayu berlumba-lumba bagi memastikan kestabilan dicapai. Yang berkerja pejabat, malamnya terpaksa memandu teksi atau membuat kerja sampingan. Yang lebih buruk, ada yang menggunakan kuasa yang ada bagi mendapatkan projek perniagaan dan sebagainya. Peniaga kecil akan sedaya upaya mendapatkan projek yang lebih besar.

Semua ini telah menjadikan sistem kekeluargaan Melayu kacau bilau. Kita kekurangan waktu untuk menguruskan rumahtangga atau memerhatikan pembelajaran anak-anak. Wang sudah menjadi destinasi utama.

Dalam keadaan ketidakcukupan, ada yang terpaksa berhutang dan membuat pinjaman bank. Bagi yang hidup di kampung, Tabung Amanah Ikhtiar dijadikan lubuk pinjaman. Ini semua menjadikan kehidupan kita bertambah sibuk. Kita sibuk berkerja untuk membayar pinjaman. Hasilnya, anak-anak membesar di tangan orang gaji. Di kampung, ada yang lebih rela anak berhenti sekolah lebih awal bagi mengurangkan beban.

Inilah masalah utama yang sedang menimpa orang Melayu. Walaupun Dasar Ekonomi Baru banyak meningkatkan ekonomi Melayu, sayangnya ia tidak membuat perubahan besar. Yang naik dengan DEB tidak pula menjadi membantu orang lain untuk naik bersamanya. Memang, ada yang membuka perusahaan besar dan mengambil anak Melayu berkerja. Itu baik. Tetapi mereka tidak pula mengajar pekerja ini menjadi usahawan seperti mereka.

Sebaiknya kumpulan ini menjadi kapitalis baru. Menggunakan keringat anak Melayu ini sebagai ruang untuk membina kekayaan mereka. Kita tidak perlu menyebutkan nama mereka. Lihatlah sendiri. Kekayaan ini diwariskan kepada anak dan saudara mara, dan bukannya diperluaskan untuk masyarakat Melayu yang lain. Kekayaan sedia ada ingin diperbesarkan. Semua orang menjadikan wang sebagai simbol kejayaan.

Hasilnya, masyarakat Melayu keseluruhannya tetap miskin. Menggunakan rumus perbandingan sosio-ekonomi orang Melayu sebelum dan selepas merdeka tentulah bukan satu perkiraan yang betul. Ia hanya perbezaan relatif. Berapa harga sekilo beras pada zaman sebelum merdeka? Itu hal yang perlu diberikan perhitungan.

Kerana itu - sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa dan peranan bagi membantu masyarakat mesti mempunyai 'political will' ke arah itu. Ahli politik dari blok mana sekalipun, mesti ada iltizam. Cakap-cakap orang tentang ahli politik yang mencari peluang peribadi - walaupun kerap dinafikan - bukanlah cerita dongeng. Kita melihatnya setiap hari. Bagaimana wakil rakyat boleh memiliki rumah seperti istana hanya dengan gaji dan elaun yang ada. Kita tahu tidak banyak ahli politik yang berminat bercakap soal bangsa jika berada di McCurry - melainkan perbualan itu menjurus kepada apa lagi projek yang akan datang dan boleh diintai.

Tetapi itulah. Semua orang ingin mencari keseimbangan. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk mencapai satu tahap yang memberikan keselesaan psikologi. Akhirnya, kita membinasakan banyak perkara lain.

Jadi - apabila anda membaca atau melihat statistik runtuhnya moral Melayu - marilah bersama-sama melihat semula apa yang sedang berlaku. Runtuhnya moral Melayu hari ini tidaklah kerana setiap anak muda bercita-cita untuk menjadi penagih dadah, bohsia, bohjan atau sengaja ingin menjadi manusia yang murtad. Ia disebabkan oleh kecelaruan sistem. Ia disebabkan kekalutan kita untuk mencapi keseimbangan. Yakni - mencapai tahap ekonomi yang relevan dengan dunia hari ini.

Hasilnya - kita hanya menyalahkan remaja Melayu sebagai bangsa yang mudah terpedaya dan tidak mampu menghadapi gelombang pemodenan. Kita terlupa - kitalah yang sedang menciptakan kekalutan itu. Aku berani berfatwa dalam hal ini. Aku juga mungkin salah seorang daripadanya. Kerana aku juga ingin mencapai keseimbangan itu.

Engkau juga?? Engkau mungkin mangsanya.

1 comment:

Muhammad Teja said...

Salam,

teringat surah al-hujurat, 49:13.

Allah berfirman :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Dari ayat ini, sangat jelas destinasi keluar dari daerah masalah ini.

Saya harap Abg Awang boleh ketengahkan realiti masalah psikologi bangsa kita ini kepada ruang masyarakat dengan lebih komprehensif.

Semoga masyarakat kita menyedari apa yang berlaku pada diri, termasuk diriku.....

:D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails