Yang Ikut

Monday, 10 August 2009

Bajunya mungkin tidak berkolar

Reactions: 
Tidak apa yang berlaku hari ini. Ketika masuk pejabat, tiba-tiba penyelia aku berteriak sinis, "Hey, you cut your hair!" Itu ayat yang aku faham benar maknanya. Dia akan selalu tahu yang Malaysia negara penuh tradisi. Biar cantik di kulit, berkulat di akal tidak mengapa. Dia akan selalu tahu yang aku perlu berpakaian kemas ketika mengikuti acara rasmi di Malaysia. Bagi kita, kekemasan itulah yang perlu diutamakan. Selekeh dan serabut mungkin akan menyebabkan anda tidak akan naik pangkat buat selama-lamanya.

Ketika mengikuti satu persidangan di Malaysia baru-baru ini, aku tiba-tiba menjadi seperti harimau Zoo Negara masuk hutan. Semua orang bertali leher, atau berbaju batik. Sangat protokol. Kelihatannya sangat bijak. Cuma aku yang berseluar jean, berbaju t dan memakai kasut kain berjenama Converst. Bukanlah aku ingin menjadi kembali muda. Tetapi hanya itulah pakaian yang aku ada buat masa ini.

Berbaju batik akan menjadikan anda lebih bijak? Belum tentu. Ketika para peserta dari negara seberang membentangkan kertas kerja mereka, aku tahu sangat yang mereka tidak mengikut protokol kajian yang betul. Ada peserta yang bergelar profesor yang menunjukkan hasil kajiannya dan melaporkan hasil post-test. Tetapi tidak pula dia menjalankan pre-test. Jadi, mengapa harus ada post-test kalau tidak ada pre-test?

Seorang peserta lain hanya menjalankan kajian kuantitatif (soal selidik) di kalangan 24 orang anak-anak remaja bagi menilai apakah peristiwa sejarah yang diingati remaja. Aku jadi keliru, bagaimana dengan hanya 24 orang responden, ia boleh diterjemahkan sebagai kajian saintifik dan mewakili. Kajian kualitatif mungkin boleh diterima.

Satu hari yang lain - ketika menjejak kaki ke Pejabat MARA, Jalan Raja Laut - seorang jaga berteriak - "Tidak boleh naik ke atas tanpa baju berkolar!" Hei. Sejak bila ada undang-undang yang melarang rakyat berurusan tanpa baju berkolar. Bagaimana kalau orang itu orang miskin dan hanya mempunyai sehelai baju? Apakah ada bezanya kalau dia berbaju berkolar atau tidak jika ada hal-hal yang ingin dia selesaikan?

Semua ini adalah hakikat yang merumitkan. Kita mewujudkan peraturan atau, ada norma yang dimunculkan yang sebenarnya bukanlah sesuatu yang patut. Ia tidak menyelesaikan pun banyak masalah lain. Hal utama yang patut diberikan keutamaan ia sejauh mana kualiti perkhidmatan kita. Yang berbangkit ialah soal layanan terbaik. Itu yang patut kita pertingkatkan. Bukanlah soal-soal zahir yang tidak ada sangkut paut dengan kualiti hidup sebagai manusia.

3 minggu lalu, aku telah menghantar e-mel kepada seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Sampai sekarang tidak berjawab. Dia mungkin tidak mengenakan baju berkolar atau tidak berkasut kulit. Rambutnya mungkin juga sedikit panjang.

Mungkinkah?

1 comment:

Anonymous said...

Pandangan paertama merupakan satu asas untuk membuat penilaian terhadap individu atau sebuah organisasi.Kerana pandangan pertama manusia boleh berkongsi hidup(kawen) dan berorganisasi.

Falsafah "biar cantik di kulit dan berakal"jelas tidak dipraktikkan dalam tradisi di Malaysia. Menilai secara luaran tidak akan memberikan ukuran yang tepat terhadap sesuatu penilaian itu sendiri.Malah akan timbul pelbagai anggapan yang tidak menjuruskan kepada kebenaran, hanya sangkaan buruk,ilusi dan khayalan.

Adalah benar kenyataan saudara"berbaju batik tidak akan menjadikan anda lebih bijak"akan tetapi jika sesuatu majlis menjemput kita secara rasmi dengan disertakan etika pemakaian adalah elok bagi kita dan "harus" menghomati jemputan dan etika pihak penganjur. "Terserah".

kehidupan ini perlulah dengan intergeriti agar hidup di alam sana aman. "Tepuk dada tanya selera". najmi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails