Yang Ikut

Thursday, 13 August 2009

Sisi buruk budaya Barat

Reactions: 
Power distance (jarak kuasa) adalah antara ciri-ciri budaya yang ada dalam masyarakat. Semakin tinggi jarak kuasa, bermakna semakin tinggilah darjah ketaatan pengikut kepada ketuanya atau orang yang dianggap mempunyai status dalam masyarakat.

Malaysia adalah negara yang dianggap sebagai mempunyai darjah jarak kuasa yang tinggi. Banyak negara Asia dan juga Asia Kecil yang dikatakan mempunyai jarak kuasa yang tinggi dalam budayanya.

Sebab itulah, kita selalu melihat dalam budaya kita, kita sangat diperlukan untuk menghormati orang yang lebih tua atau berpangkat. Seorang murid perlu akur dengan kata gurunya, seorang anak perlu menyanjung kedua orang tuanya. Malah ketua kampung, imam, penghulu atau sesiapa sahaja yang mempunyai status sosial yang tinggi perlu ditaati.

Setiap kali ada lawatan orang besar ke kampung, akan ada bunga manggar dan majlis keraian yang hebat. Semua ini bagi menunjukkan penghormatan dan rasa taat yang tidak berbelah bagi.

Jangan hairan, kalau di organisasi juga begitu. Adakalanya kita perlu berfikir dua kali sebelum mengetuk pintu bilik ketua jabatan. Dalam kata lain - ketua atau orang besar adalah manusia yang perlu ditaati. Pengikut hanya perlu melakukan apa-apa tugas yang disuruh. Jangan banyak memberikan pandangan, kerana ia akan hanya dianggap sebagai memperkecilkan kualiti pemikiran ketua. Lebih baik lagi - bodek dan memuji ketua agar mereka gembira dengan kita.

Di kebanyakan negara Barat, jarak kuasa di antara ketua dan pengikut adalah rendah. Mereka tidak perlu memanggil ketua dengan gelar tertentu. Tidak perlu dimulai dengan 'encik' atau 'tuan'. Sebaliknya cukup sekadar memanggil nama. Ia sudah cukup.

Ini menjadikan acara lawatan orang besar tidak begitu meriah. Kegairahan membodek juga tidak berlaku dengan galaknya. Semua orang dilayan sama rata. Semua orang ada harga diri. Nilai di antara manusia berjawatan tinggi dan rendah adalah sama sahaja.

Apakah jarak kuasa yang rendah ini sesuatu yang baik?

Belum tentu lagi.

Pada satu petang, penyelia kajian aku - seorang Profesor dan juga ada jawatan dalam organisasi. Dia cuba melakukan kejutan dengan membawakan kawan aku ke pejabat untuk mendapatkan sebuah komputer riba. Sesampainya di satu bilik, penyelia aku berkali-kali mengetuk pintu untuk mendapatkan komputer tersebut. Ada seorang kerani di dalamnya. Tetapi walaupun pintu itu diketuk berkali-kali selama 15 minit, ia tidak dibuka juga.

Akhirnya, ada lagi seorang kerani wanita lain membuka pintu itu dengan kunci pendua. Maka menjerit garanglah kerani itu kepada semua manusia yang telah membuka biliknya. I have a reason not to open the door! I will open it when I am ready!

Semua orang diam. Seorang kerani berani bertempik dan marah-marah kepada seorang Profesor. Kejutan untuk mendapatkan komputer tidak berlaku lagi. Sebaliknya kejutan teriakan itulah yang didapatkan.

Itulah sisi buruk jarak kuasa yang rendah.

Kalau di Malaysia - mungkin keesokan harinya kerani wanita itu sudah perlu bersiap sedia untuk dipindahkan ke Kunak, Sabah. Atau dia mungkin akan dipindahkan jabatan menjaga kebun limau Jabatan Pertanian.

1 comment:

Anonymous said...

Salam,Bro Awang

Tulisan Bro ni best...kata orang ada aura....penuh dengan nasihat,pujian,analisa serta berpandangan jauh.Teruskan usaha bro...Tahniah
najmi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails