Yang Ikut

Sunday, 26 October 2008

Selamat datang musim bunga

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Selamat datang musim bunga. Musim bunga datang lagi. Kali ini Adelaide telah dilanda wabak baru. Selain wangi bunga mawar, segelintir warga Adelaide juga sedang dilanda selsema akibat terhidu debunga. Sakit kerongkong, sesak nafas dan selsema adalah simptom bagi mereka yang alah dengan debunga.

Musim bunga mungkin waktu yang sesuai untuk mereka yang ingin datang melancong. Banyak sebab. Satunya - iklimnya yang tidaklah sejuk, tetapi tidak pula terlalu panas sesuai untuk mereka yang patriotik dengan iklim di tanahair.

Setiap kelaziman setiap tahun - yang mampu akan melancong ke luar negara. Yang tak mampu - akan berangan-angan untuk melancong ke luar negara. Ramai yang impikan sesuatu yang pelik dilihat dan janggal untuk dirasa. Ada yang ingin untuk menyentuh salji. Mungkin yang ingin 'melencong', hasrat berbinikan wanita mat salleh berambut blonde juga ada. Kalau bermain judi, itu pasti ada. Dulu dalam suratkhabar tersiar berita VIP berhutang judi di sebuah negara Barat.

Bagaimana kalau kita impikan untuk melihat bunga anggur sahaja? Itu yang mampu. Kalau yang tak mampu, boleh lihat bunga anggur di sini. Tak payah pergi jauh-jauh. Buah anggur dah selalu kita tengok - dan harganya lebih murah dari buah nangka. Jadi lebih baik lihat bunganya sahaja.

Atau pernah berangan-angan buah yang spesis ini.

Kata tuan rumah aku, buah ni namanya 'Malberry'. Betul ke ejaannya? Aku pun tak pasti sama ada ini ejaannya betul - seperti mana aku juga tak begitu yakin dengan nama buah ini. Yang pasti, spesis ini tak ada di Malaysia. Nanti aku tanya Azam kedai Swinging Bowl. Dia dah lama dok Adelaide ni. Dah jadi lebih dari Aborigin dah tauke kedai ni. Aborigin pun kenal dia.

Saturday, 25 October 2008

Jangan jadi seperti pemancing

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Petang tadi - seperti petang-petang yang lain - pergi memancing di West Lake bersama Abang Zul. Seperti petang-petang yang lain - walaupun menggunakan joran Abu Garcia yang terkenal itu, biasanya kami pulang tidak membawa seekor ikan pun. Tapi itu adat memancing.

Namun, memancing di West Lake, atau di mana-mana tempat di Australia Selatan ini bukanlah hobi yang mempesonakan. Banyak peraturannya. Ikan yang ditangkap perlu cukup saiz besar dan panjangnya. Bilangannya yang boleh diambil juga tertakluk kepada kuantiti tertentu. Bukan hanya untuk pemancing amatur seperti kami, bahkan jika memancing menggunakan bot di laut dalam sekalipun, ada kouta bot yang boleh pergi dan ada kuantiti ikan yang boleh dibawa pulang.

Semasa di Malaysia beberapa minggu yang lalu, sempat pulang menjengah keasyikan memancing di Sungai Kerang. Dengan membeli sebaldi umpun-umpun dengan harga RM 50, aku bersama adik beradik yang lain menghabiskan masa memancing di beberapa 'port utama' lubuk sembilang. Antaranya di pertembungan muara Sungai Jarum Mas dan Lubuk Hantu. Hari itu sahaja, kami mendapat lebih kurang 50 ekor ikan sembilang. Hanya seekor ikan jenahak yang ditangkap hari itu. Walaupun terpaksa berjemur di atas sampan di bawah terik matahari dan hembusan angin laut yang panas, tetapi itulah kepuasan. Kepuasannya kerana tidak ada undang-undang yang mengikat kita. Tangkaplah seberapa banyak yang kita suka, dan ambillah sebesar mana ikan sekalipun - walaupun sebesar hama sekalipun.

Rupa-rupanya, dalam hidup kita ini - kepuasan itulah yang kita cari. Kepuasan kita hari ini itu jugalah yang menyebabkan kita tidak pernah memikirkan orang lain. Kita mencari kepuasan - kita bunuh semua habitat. Kita lupa generasi akan datang. Biar mereka nantinya hanya mampu membawa pulang ikan duri dan belukang - kerana yang pentingnya sekarang. Selagi masih ada yang bernama sembilang - kita sapu semuanya. Apa dipedulikan orang lain.

Bukan sekadar ikan - rusa, kijang, landak, burung sintar, ayam hutam atau apa sahaja kita buru dan bunuh. Jangan pedulikan masa depan. Generasi depan tentu akan lebih maju dari sekarang. Mereka tidak akan hidup memburu. Mereka akan memanfaatkan masa melawat Zoo Negara untuk melihat semua hidupan itu. Kalau tidak, siapakah pula yang akan melawat Zoo Negara kita yang berada di sebalik taman perumahan itu?

Sebab itu - melihat kepada nafsu kita memancing - janganlah kita marahkan orang yang meneroka hutan mencuri balak. Kita ratakan bukit bukau hingga jadi padang datar. Tanah bendang kita timbus dan bangunkan kondo orang kaya. Kita juga merasuah orang besar untuk mendapatkan projek. Tidak kurang yang membeli orang untuk dilantik menjadi pemimpin. Bukankah semua itu untuk kepuasan. Kepuasan hanya boleh kita dapatkan sekarang. Besok belum tentu. Jadi tunggu apa lagi?

Kerana kepuasan itulah - sekarang kita hidup dalam persekitaran yang caca merba. Jangan salahkan sesiapa. Kita semua sama-sama merenggusnya dengan kasar dan hina. Hidup ini tidak boleh seperti memancing. Hanya berharap dan berdoa. Pemancing ialah manusia yang tidak tahu merebut peluang untuk hidup. Hidup perlu seperti nelayan pukat tunda. Kita ratah dan makan semua! Itulah kepuasan hidup yang boleh kita dapatkan sementara kita masih bernyawa!

Friday, 24 October 2008

Minggu yang sibuk

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu yang sibuk. Masalahnya, tidak tahu apa yang disibukkan. Sesekali cuba cari puncanya, tapi tak berjumpa. Sibuk belajar, tak juga. Tak pernah ke library pun. Nak buka buku atau artikel pun malas. Sibuk analisis data pun tak juga sebenarnya. Kadang-kadang, cuma boleh transcribe satu temuduga sehari. Jadi apa yang sibuk sangat ni?

Kadang-kadang, bila fikir balik, hidup kita ini jadi tak keruan bukan kerana kerja fizikal. Banyaknya ialah kerana mental kita mentafsir hal yang bukan-bukan. Kita tak sibuk, mental kita definisikan sebagai sibuk. Kita tak tension, tapi minda kita mengacah-acah rongga fikir agar jadi kecamuk. Jadi, yang kacaunya bukan diri kita. Minda itulah yang tak betul. Sebab itu ada istilah sakit mental.

Akhirnya - aku dah jumpa satu petua untuk hilangkan keceramukan ini. Ke West Lake untuk mengail ikan bream atau weating. habis cerita.

Monday, 13 October 2008

Trip ke Melbourne

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini cerita lama. Cerita sebelum bulan puasa. Trip kami ke Melbourne. Tapi waktu itu agak sibuk, tak sempat nak tulis. Sekarang, walaupun sibuk tapi tidaklah begitu sibuk sangat. Jadi ingat inilah waktu yang sesuai untuk update cerita kami ke Melbourne.


Jarak perjalanan dari Adelaide ke Melbourne lebih kurang 1100 kilometer. Sejauh Changlun ke Johor Bahru. Untuk sampai ke sana kami menaiki kereta sewa dengan harga AUD 80 sehari termasuk insuran. Bertolak jam 9.30 malam, kami sampai ke sana keesokan paginya jam 7.00. Sungguhpun ada lebuhraya, tetapi tiada tol. Itu yang pelik!
Melalui ladang lembu dan kambing, pekan-pekan kecil dan sederhana kami tiba ke Melbourne. Antara pekan yang kami lalui termasuklah Border Town, pekan yang berada di penghujung negeri Australia Selatan sebelum masuk ke negeri Victoria. Di situ cuma ada setesen minyak kecil dan pekannya seperti pekan koboi. Kami juga menempuh pekan-pekan lain seperti Ballarat. Aku pun tidak berapa ingat nama pekannya yang lain. Malam, kelam dan gelap.

Melbourne bandar yang besar dan padat. Lebih besar dari Kuala Lumpur. Sayang, tidak seperti Adelaide, ia kota yang macet. Parah dengan pencemaran. Tapi ia kota orang muda. Banyak ruang pekerjaan. Banyak hiburan. Malah ada KFC yang bertanda halal.

Malam ini kami tidur di 'cottage' di sebuah ladang. Ia terletak di sebuah bandar kecil yang namanya aku sudah lupa. Tapi kira-kira 300km dari Melbourne. Jalan-jalan ke sana kita akan melalui hutan pokok 'gum tree', ladang lembu dan kambing serta bukit bukau yang cantik. Ia tidak jauh dari Mount Buller tempat untuk kami bermain salji. Saiz cottage ini agak besar. Mampu memuatkan 30 orang sekaligus. Dilengkapi 5 bilik tidur, dapur, dan ruang tamu yang besar. Ia berkonsepkan rumah ladang zaman silam. Heaternya pun masih menggunakan kayu api dengan serombong karat. Di belakang cottage ini terdapat beberapa ekor lembu dan kuda.

Keesokan paginya kami berangkat ke Mount Buller. Kira-kira 60km dari tempat kami menginap. Itulah pertama kalinya aku menyentuh salji! Awalnya agak teruja, tapi lama kelamaan baru kita tahu betapa salji bukanlah sesuatu yang istimewa sangat. Orang kita sudah lama mencipta ais kacang dengan menggunakan salji buatan sendiri. Dua hari berturut2 kami pergi Mount Buller. Bukan kerana takut disumpah menjadi glasier, tetapi sebab kawasannya sangat luar. Tidak cukup waktu kalau hanya sehari.

Hari ketiganya kami berangkat pulang. Pasukan kami mula berpecah mengikut haluan sendiri. Kami mengikut jalan Great Ocean Road - jalan mengikut lengkok pantai yang berbukit bukau. Ia menjadi perjalanan yang panjang kerana kami tidak dapat memecut kereta dengan laju. Sebenarnya tidak ada apa di sepanjang perjalanan Great Ocean Road sepanjang 500 km ini melainkan pemandangannya yang menakjubkan. Hakisan pantai yang pernah kita belajar di sekolah dahulu nampaknya boleh kita lihat di sini.

Kerana kepenatan, malam itu kami menyewa dan tidur di sebuah apartment. Kami tahu, mengikut Great Ocean Road samalah seperti memilih jalan bengkang bengkok Empangan Tasik Banding ke Jeli. Kami tidak akan sampai dalam tempoh masa 12 jam.

Sunday, 12 October 2008

Perhentian Bas Kolong Butterworth

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di bawah kolong lebuhraya, disitulah letaknya perhentian bas sementara Butterworth. Ia sewajarnya satu lokasi yang menarik memandangkan kedudukannya di pinggir selat yang memisahkan Pulau Pinang dengan tanah besar. Melihat kepada kapasitinya yang menjadi pusat kepada perkhidmatan bas tempatan dan ke serata tempat di Semenanjung Malaysia, perhentian ini sememangnya tidak putus-putus dikunjungi pengguna. Hampir atau lebih 30 buah kaunter menjual tiket di situ.

Malang, sekalipun ia menjadi sendi penghubung manusia dari pelbagai tempat di Malaysia, termasuk juga dari luar, ia merupakan sebuah perhentian bas yang sangat kotor.

Sesuai dengan imej kolongnya, begitu banyak peniaga dari seberang yang menjadi peniaga di setiap sudut perhentian bas itu. Sekali pandang, ia seolah-olah perhentian bas di Blok M, Jakarta. Itu belum termasuk dengan gelagat sekumpulan kanak-kanak Myanmar yang berpakaian kotor berkeliaran di situ untuk mengemis dari orang ramai. Mereka sebenarnya bukanlah pengemis dalam erti kata sebenarnya. Mengemis adalah pekerjaan moden di negara kita, kerana seperti pekerjaan lain juga - mereka ada majikan yang sentiasa mengintai mereka dari jauh. Tepat jam 5.00 petang, kumpulan pengemis kanak-kanak itu menghilangkan diri.

Perhentian bas itu juga tidak pernah bakal menepati citarasa negara maju yang kita war-warkan itu. Apa tidaknya, selain dari budaya kita tidak mahu memasukkan sampah ke dalam tong sampah, tidak juga disediakan tong sampah yang bersesuaian di bawah perhentian bas kolong itu. Yang ada ialah kotak-kotak yang mungkin disediakan oleh peniaga sekitar. Ia dijadikan sebagai tong sampah. Jadi, jangan hairan kalau perhentian bas kolong itu begitu kotor, hanyir dan memalukan. Bayangkan jika setiap manusia yang menggunakan perhentian itu membuang satu puntung rokok seorang, ia mungkin boleh menjadi pulau 10 tahun lagi. Alangkah malunya jika Datuk Shah Rukh Khan melawatnya nanti!

Kita jadi hairan mengapa ia berlaku di sebuah negeri yang dianggap maju - seolah-olah tidak ada siapa yang ambil peduli. Ia jugalah negeri yang melahirkan dua orang tokoh sekaligus - Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang. Sewajarnya ia merupakan tempat yang cantik - sekalipun hanya bersifat sementara.

Jalannya yang becak dan berlubang - menjadikan hub penghubung ke Pulau Mutiara itu membuka persepsi buruk untuk negara kita. Jumlah kerusi kayu yang berjumlah 20 unit itu bukan sahaja tidak mencukupi bagi menampung jumlah pengguna, malah sudah menjadi 'port' untuk pekerja dari negara asing untuk berkumpul. Ah, hebat sungguh kita.

Sewajarnya, sementara menantikan perhentian bas yang baru siap - pihak yang berkuasa seharusnya menjalankan tanggungjawab bagi memastikan keindahan Pulau Pinang tidak tercemar. Kerajaan Pakatan Rakyat tentu telah merangka manifesto yang hebat. Tetapi jika masalah sekecil perhentian bas kolong itu tidak diatasi, bagaimana mungkin melaksanakan janji yang lebih muluk. Majlis Perbandaran mesti memantau dan menguruskan sampah dan kekotoran itu secara bijaksana. Peraturan yang ketat mesti dilaksanakan bagi mengelakkan orang kita yang tidak berdisiplin membuang sampah pada tempat yang betul. Masalahnya sekarang - jika tempat yang betul (yakni tong sampah) pun tidak disediakan, bagaimana masalah seumpama itu boleh kita atasi.

Inilah masalahnya apabila orang-orang besar kita yang bijak berkata-kata lebih banyak menggunakan kapalterbang untuk ke New York atau Los Angeles, tetapi jarang menggunakan bas dari Butterworth ke Sungai Dua, atau dari Butterworth ke Kuala Terengganu - menjadikan mereka tidak tahu derita para pengguna bas. Derita itu bukan hanya kerana tambang bas yang sudah meningkat - tetapi kita juga didera menghidu bau hamis dan kotor ketika menunggu bas.

Selamat melancong ke Pulau Pinang! Jangan lupa masukkan "Perhentian Bas Kolong Butterworth" dalam peta pelancongan negara.

Saturday, 11 October 2008

Sembang kedai kopi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebulan lebih sejak 28 Ogos berada di Malaysia, batas masa telah menyukarkan peluang untuk menulis. Beberapa kali cuba menjengahkan kaki ke kafe siber untuk merakamkan catatan pengalaman di Malaysia, tetapi nampaknya gagal. Tidak seperti wartawan yang perlukan 'tekanan' untuk melaporkan berita, tetapi menulis dalam blog kecil seperti ini tidak boleh ada tekanan. Ia akan membantutkan daya fikir dan deria rasa untuk menyusun ayat dan idea.

Tekanan itu nampaknya boleh didatangkan dalam pelbagai bentuk. Kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar, bukit bukau yang ditarah sesuka hati, peningkatan kadar jenayah, merosotnya kuasa beli akibat kenaikan harga barang dan kecelaruan politik Malaysia pasca pilihanraya 2008 juga adalah sebahagian tekanan yang dihadapi. Semua ini mengganggu proses menulis. Cuma hari ini, setelah pulang semula ke Adelaide - kesempatan untuk menulis itu didapatkan semula.

Kepada semua pengunjung baik yang singgah sekali sekala, atau yang kadang-kadang tersesat masuk ke laman blog ini, diucapkan Salam Aidilfitri. Semoga Aidilfitri ini benar-benar merupakan satu sambutan kemenangan kita - walaupun hakikatnya kita tidak pernah menang pun dalam banyak perkara.

Kita kalah melawan hawa nafsu apabila nampaknya terpaksa berbelanja lebih besar di bulan Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Kita juga kalah apabila terpaksa berboros untuk membeli pakaian baru bagi menyambut Aidilfitri. Sepanjang bulan Ramadhan itu kita lihat berduyun-duyun umat Islam memenuhi Jalan Masjid India dan pasaraya untuk membeli pakaian fesyen terbaru sedangkan pada masa yang saf masjid menjadi semakin pendek.

Bahkan kita juga seolah-olah menjadikan kemestian membakar bunga api dan mercun bagi memperlihatkan inilah bulan umat Islam. Apabila menjelang perayaan juga - kita lihat jumlah kemalangan jalan raya meningkat, seperti juga banyak yang ditimpa musibah letupan mercun. Jadi - apakah kemenangan yang kita rayakan itu - melainkan kegagalan kita menghayati makna puasa dan melawan hawa nafsu. Kita merayakan kegagalan kita sendiri.

Sepanjang di Malaysia itu juga, sempat beberapa kali aku berbual panjang dengan teman-teman lama di kedai kopi dengan pelbagai topik. Ada di antara mereka ialah wartawan, pelukis, pensyarah, doktor dan kakitangan awam. Namun, dari banyak topik yang diperbualkan itu nampaknya bukan lagi cerita Datuk Siti Nurhaliza atau Asamawi Ani, tetapi berkisar dengan kemelut politik tanah air. Pilihanraya nampaknya bukanlah penyudah kepada semua cerita dan dongeng politik.

Orang ramai masih tetap berbual-bual dengan kisah DS Anwar Ibrahim untuk mengubah kerajaan, selain tidak kurang yang sedang meramalkan apakah yang bakal dilakukan oleh pengganti DS Abdullah Ahmad Badawi dalam memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional dan UMNO.

Tidak juga kurangnya perbualan kedai kopi itu cuba menghuraikan betapa peritnya kehidupan rakyat dengan keadaan harga barang yang melambung, tambang pengangkutan awam yang kian meningkat dan harga petrol yang tidak mahu turun. Walaupun analisis kedai kopi itu tentulah tidak memerlukan fakta yang relevan dan teori yang munasabah, tetapi itulah persepsi umum masyarakat terhadap apa yang sedang berlaku di negara kita.

Masalah kesesakan lebuharaya menjelangnya cuti perayaan juga antara isu yang wajar diatasi. Kita sewajarnya kebingungan kerana tatkala ekonomi negara sedang dilanda ketidaktentuan, masih ramai yang mampu membeli kereta baru. Kebingungan kita bertambah kerana sesudah ada usaha melebarkan lebuhraya, kesesakan itu masih tidak dapat diatasi malah bertambah parah. Atau mungkinkah kesesakan itu berlaku kerana terlalu banyak tol di sepanjang lebuh raya itu? Mungkin sesekali boleh kita mencuba dengan meniadakan pembayaran tol setiap kali musim perayaan bagi menguji hipotesis tersebut. Mungkin nanti hipotesis itu mungkin gagal, sekurang-kurangnya telah mengurangkan beban raya pada musim perayaan.

Sebagai 'ahli parlimen' yang tidak pernah dipilih dalam pilihanraya, perbualan kedai kopi kami itu juga ada sesekali menyentuh mengenai iklan billboard promosi pelancongan Malaysia yang kini boleh kita lihat di mana-mana. Iklan tersebut memang menarik. Designnya bagus, ayatnya cantik. Memang memikat dan mampu menarik perhatian pelancong untuk mengunjungi tempat-tempat menarik yang ada di dalam negara.

Cuma peliknya iklan billboard itu juga memaparkan gambar wajah tiga tokoh utama pemimpin negara, kami bertanya apa pula relevannya gambar mereka itu dengan pelancongan Malaysia. Bayangkan begini, sebagai ahli politik, pemimpin itu boleh datang dan pergi. Bagaimana kalau tiba-tiba salah seorang daripada mereka tidak lagi menjadi menteri - bukankah pada akhirnya billboard itu bakal menjadi usang dan 'outdated'. Ia perlu diganti baru dan kosnya juga tentu bukanlah sedikit. Berapakah kos yang perlu ditanggung bagi menggantikan setiap billboard yang ada di sepanjang lebuhraya itu?

Jadi pada masa hadapan, perkara seumpama ini perlu juga difikirkan. Populariti memang sesuatu yang diperlukan oleh ahli politik. Tetapi wang rakyat juga tidak perlu dibazirkan dengan hal-hal yang seperti itu. Cukuplah dengan gambar pelancongan Gua Niah atau Zoo Negara jika kita hendak mempromosikan pelancongan negara. Sesuai dengan tujuan kita untuk berkempen pelancongan dan bukannya berkempen politik. Ikon politik sewajarnya berada dalam iklan yang lain.

Bukankah hal seumpama ini pernah berlaku sebelum ini apabila iklan billboard Kementerian Pengajian Tinggi nampaknya memaparkan gambar menterinya. Dan apabila tiba-tiba menteri tersebut tidak lagi berada dalam kabinet, bayangkan betapa banyak billboard baru yang perlu kita sediakan bagi memastikan iklan tadi tetap relevan.

Ya, begitulah Malaysia. Banyak cerita yang boleh kita selidiki lagi. Kita perlu singgah di kedai kopi untuk menganalisisnya.

Thursday, 18 September 2008

Malaysia- sekadar catatan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak menulis. Sejak kembali ke Malaysia 2 minggu yang lalu, suasana kesibukan sangat terasa. Banyak masa dihabiskan di tengah jalan yang sesak, sambil merungut tentang tidak berdisiplinnya rakyat kita di jalanraya. Sesekali menjadi begitu takut untuk mengisi petrol di stesen minyak. Suasana kelam kabut ini ditambah dengan krisis politik yang melanda negara - seperti air tenang yang jangan disangka tiada buaya. Kemenangan Anwar Ibrahim dalam boxing pilihanraya Permatang Pauh menjadikan suasana politik yang sedia berkocak - sesekali dipukul gelombang acah-acah 'lompat parti'. Semua itu adalah angin baru yang dirasakan di tanah air.

Di Adelaide - dengan suasana angin dingin dan kedainya yang ditutup jam 5 petang - keadaan hidup kita juga berehat lebih awal. Tetapi tidak di Malaysia. Kedai-kedainya beroperasi hampir 24 jam di kebanyakan tempat. Menjadikan wang kita seperti kertas A4 yang boleh ditaburkan di mana-mana. Kerinduan dengan teh tarik dan roti canai juga menjadikan jam 12 malam seperti bukannya apa-apa. Ya, itulah Malaysia.

Di kedai kopi - hampir banyak waktu dihabiskan berbual panjang dengan cerita Anwar Ibrahim dan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Ada yang percaya, ada yang tidak - tidak kurang juga yang curiga. Semua ini bercantum sekaligus menjadikan suasana politik Malaysia sesuatu yang unik. Kita berpilihanraya sebagai tanda kita berdemokrasi. Tetapi pada masa yang sama - kita tertanya-tanya mengapa pula mudah untuk pemimpin yang dipilih rakyat menyongsang arah. Kalau begitu buat apa kita menghabiskan banyak masa untuk mengadakan pilihanraya?

Menariknya politik di Malaysia kali ini ialah sekali lagi orang Melayu dihadapkan dengan tandatanya apakah yang akan berlaku kalau perkongsian kuasa dan pertukaran kepimpinan itu menghilangkan identiti orang Melayu sebagai pribumi. Semuanya masih dalam tandatanya.

Tuesday, 12 August 2008

Selamat datang Intan!

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Intan - seperti anak muda lain akan memulakan hidup baru setelah lulus pengajian mereka di universiti. Kini mereka akan berhadapan dengan alam sebenar manusia dewasa. Tiada lagi teori dan konsep mulus seperti yang pernah dibincangkan di bilik kuliah dan buku teks. Kini Intan perlu berdepan dengan hidup sebagai manusia dewasa - dia perlukan keberanian. Keberanian untuk menempuh alam pekerjaan. Keberanian untuk melakukan sesuatu yang luarbiasa.

Di alam universiti - sebagai pelajar perakaunan - tentulah mereka telah dibekalkan dengan secukupnya pengetahuan mengenai untung rugi dan kira-kira perniagaan. Mereka dihadapkan dengan teori Keynes atau Adam Smith, atau setidak-tidaknya dengan hukum Pareto. Tetapi di alam sebenar pekerjaan, semua itu tidak cukup. Mereka perlu mempunyai satu lagi pengetahuan - bagaimana menghadapi kerenah hidup manusia. Pengetahuan itu bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke bilik bakal majikannya untuk ditemuduga.

Intan - sebagai pelajar yang pintar dan bijak tentu akan menyediakan CV yang paling baik dan cuba menjawab soalan dengan cara yang meyakinkan. Mereka akan berpakaian dengan cara paling bergaya. Seperti kebanyakan lulusan baru universiti - mereka menjangkakan memberikan jawapan terbaik akan membolehkan mereka diterima berkerja. Hakikatnya tidak.

Seseorang itu tidak digajikan hanya kerana mereka menjawab semua soalan temuduga dengan betul. Seseorang itu sebenarnya dipilih bekerja sama ada orang yang menemuduga tadi suka atau tidak dengan mereka. Maka seringlah berlaku 'kesan halo' dan proses pengambilan pekerja. Ia bermula ketika calon tadi mengetuk pintu bilik lagi. 

Penemuduga akan cenderung bertanya soalan mudah kepada calon yang mereka suka, dan akan menyulitkan perbualan dengan seseorang yang tidak mereka gemari. Maka satu pesan untuk Intan - lakukan sesuatu yang terbaik ketika mengetuk pintu bilik, dan jangan dibimbangi CV dan menjawab soalan.

Setelah bekerja - graduan baru seperti Intan akan sekali lagi berhadapan dengan kesukaran untuk mempelajari sistem organisasi. Ini tidak diajar di bilik kuliah sungguhpun ramai pensyarah mendakwa mereka telah mengajar 'iklim organisasi' atau 'budaya syarikat'. Budaya organisasi tidak bergantung kepada gaya Jepun atau Barat seperti yang banyak diperkatakan. Tidak juga berdasarkan "Balanced Score Card', "Management By Objective' atau "Just In Time". Budaya organisasi bergantung kepada siapa yang memiliki organisasi tadi.

Semua sistem yang disebutkan tadi hanya sekadar untuk menjenamakan imej organisasi dan meyakinkan pelanggan. Realitinya tidak siapa pun yang benar-benar mahu mengikut kehendak sistem - melainkan terpaksa akur dengan arahan majikan yang selalunya tidak pernah berada di dalam sistem. Fabio Capello atau Jose Mourinho tidak pun terikat dengan sistem permainan. Apa yang dipentingkan mereka ialah keputusan permainan. Begitu jugalah dalam dunia organisasi. Yang diutamakan ialah keuntungan.

Tapi - ada satu perkara untuk diingati oleh orang muda seperti Intan. Lakukanlah yang terbaik dan terhebat untuk tugasan pertama - maka orang akan melupakan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan selepasnya. Tetapi - jika kesilapan besar dilakukan untuk tugasan pertama - maka orang akan melupakan berapa banyak pun sumbangan besar selepasnya. Ini adalah hukum pekerjaan yang tidak diajar oleh universiti ternama dunia sekalipun.

Manusia tidak pernah membuat penilaian secara objektif. Orang sering membuat penilaian berdasarkan persepsi dan kata hati mereka. Jadi jangan terkejut apabila kita dinilai secara baik walaupun tidak melakukan kerja dengan baik. Semata-mata kerana orang menyukai kita. Atau orang akan menilai kita secara buruk - walaupun kita telah melakukan yang terbaik. Jadi apabila satu saat nanti gadis seperti Intan melihat borang penilaian prestasi - janganlah terlalu bimbang dan percayakannya. Ia hanya sekeping kertas yang tidak ada maknanya.

Intan juga tentunya akan dihadapkan dengan politik pejabat yang menggerunkan. Ia tidak seperti politik Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Politik pejabat sesuatu yang lebih sukar untuk dijangkakan. Khabar angin dan rasa tidak puas hati akan selalu diperbualkan di balik tabir organisasi. Ada orang yang akan cuba diburukkan - walaupun kerjanya bagus, dan ada orang yang dipuji - walaupun kerjanya tidaklah seberapa.

Maka untuk orang seperti Intan, dia patut berhati-hati. Jangan selalu sangat berdamping dengan orang yang sering memburukkan syarikat. Orang seperti ini tidak pernah berpuas hati dengan apa sahaja. Mereka akan terus mengkritik dan mengeji. Tetapi janggalnya - orang seperti ini juga akan terus berada dalam organisasi dan tidak pula memilih untuk berhenti. Puncanya mudah sahaja. Orang seperti ini sebenarnya tidak ada kualiti pun untuk mencari kerja lain. Kalau mereka pekerja yang baik - mereka sudah tentu memilih untuk berhenti dan bekerja di tempat lain. Kerana falsafah kerja itu mudah sahaja - 'tidak suka, berhenti'. Jangan membuang masa dengan sesuatu yang tidak kita sukai. Itulah yang dipegang oleh mereka yang berprinsip.

Untuk beberapa tahun selepasnya - Intan akan mendapati bahawa ijazah universiti sebenarnya hanya lesen untuk beliau mendapatkan pekerjaan. Pekerjaannya sendiri tidak begitu banyak bergantung dengan kemahiran yang dia perolehi dari universiti. Akan ada masanya, majikannya akan meminta beliau memanipulasi angka bagi tujuan mengelak cukai, kelulusan pinjaman bank atau menarik pelaburan. Semua kecurangan ini tidak diajar oleh pensyarah terbaik di universitinya. Ia adalah ilmu baru yang bakal ditemuinya nanti.

Jatuh bangun kerjaya Intan pada akhirnya bergantung kepada sikap dan kemahiran untuk beliau menangani manusia yang berada di sekelilingnya. Ayat yang paling baik ialah 'memanipulasi" persekitarannya. Baik majikan yang berada di atas, atau kakitangan yang berada di bawahnya, atau teman-teman sejawat yang berada di sekelilingnya. Itulah resipi terbaik untuk beliau terus survival dalam cabaran pekerjaan.

Pasti - untuk beberapa tahun kemudiannya beliau juga akan menjadi salah seorang yang menemuduga orang lain. Maka untuk Intan - walaupun kini sudah pulang ke tanahair - kita ucapkan selamat datang. Selamat datang ke alam pekerjaan yang penuh muslihat itu.

Monday, 4 August 2008

Bulan Merdeka

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bulan Ogos menjelang lagi. Maka akan hiruk pikuklah kita kononnya untuk merayakan sambutan kemerdekaan dan menonjolkan diri sebagai warga patriotik. Bukan sesuatu yang janggal apabila nanti banyak pusat membeli belah akan mempromosikan produk mereka dengan 'jualan murah' sebagai kononnya untuk meraikan kemerdekaan. Tidak juga sedikit orang muda kita menggantungkan bendera pada kenderaan mereka - baik motosikal atau kereta. Seolah-olah menjadi trend baru kita sebagai anak merdeka.

Betulkah itu caranya kita meraikan merdeka. Maka - pada malam sambutan kemerdekaan berbondong-bondonglah kita ke temasya di merata tempat - melaungkan sorak "Merdeka". Merdekakah kita? Itu soalan yang wajar kita tanya - bukan kepada orang lain - tetapi untuk diri sendiri. Merdekakah kita apabila tatkala kita riuh berpesta dan bertemasya - dahulunya di Dataran Merdeka - kini di Menara KLCC - kita sebenarnya sedang menularkan budaya baru yang entah dari mana. Merdekakah kita apabila tatkala kita begitu sangat memasangkan bendera Jalur Gemilang pada bangunan dan kenderaan - kita terlupa bertanya siapakah yang mengaut untungnya menjual bendera tersebut?

Sebenarnya banyak hal yang kita terlupa. Sekian lama kita hanya menonjolkan Dato' Onn Jaafar sebagai pejuang kemerdekaan. Hinggakan kita jarang ambil tahu sumbangan pihak lain. Bagaimana dengan jasa Pak Sako, Burhanuddin Helmi atau Ahmad Boestaman. Mengapa wajah dan nama mereka jarang dipaparkan. Seolah-olah perjuangan haluan kiri mereka pada satu saat dahulu - tidak ada kena mengena dengan kemerdekaan negara.

Di dunia moden kini - belum tentu juga kita merdeka. Banyak keraguan yang sedang membungkam ruang fikir kita. Pada saat kita sibuk melaungkan rasa merdeka, kita terlupa banyak juga pihak lain yang sedang merantai kita.

Kita dirantai oleh hutang bank yang dimiliki oleh konglomerat yang mungkin bukan rakyat Malaysia. Kita masih terpaksa meminjam teknologi orang lain yang mungkin sudah luput tarikh. Walaupun kita negara pengeluar padi - tetapi belum lagi terdengar yang rakyat kitalah yang menciptakan mesin penuai padi atau periuk nasi automatik baru. Kita juga terpaksa mengharapkan produk negara China untuk banyak perkara. Dalam saat masih ramai rakyat kita menganggur, kita masih begitu berharap pekerja Bangladesh, Indonesia, Nepal, Pakistan untuk menolong kita. Semuanya kerana kita masih belum benar-benar merdeka.

Kemerdekaan kita itu juga belum cukup sempurna apabila kita juga sering meragui keupayaan diri sendiri. Kita meragui penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran sains dan matematik. Malah, nama-nama kawasan di Putrajaya pun kita teruja menggunakan istilah 'Presint' yang entah apa maknanya. Kita meragui filem dan lagu kita sendiri dan lebih mengkhayalkan lagu Indonesia dan filem Hong Kong.

Maka teruslah kita mendongengkan kata-kata kemerdekaan yang belum tentu kita tahu makna tersirat di sebaliknya.

Tuesday, 29 July 2008

Budaya menderma

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Melihat kepada budaya dan nilai orang Barat, adakalanya mereka tidaklah begitu 'sumbang' seperti yang digembar-gemburkan. Sekian lama, dalam tradisi kita, apabila memperkatakan hal yang buruk dan negatif, selalunya kita menghalakan prasangka itu kepada kecelaruan nilai Barat. Itulah yang kita bayang dan gambarkan. Seolah-olahnya, hanya kita yang baik dan betul. Dan, yang datang dari Barat itu 'nangka busuk' belaka.

Di bandar kecil seperti Adelaide - seperti juga di kebanyakan bandar lain yang dihuni oleh masyarakat berkulit putih - tidak kelihatan sepertinya mereka bangsa yang ganas dan rakus. Hofstede dalam sistem nilainya sering merujuk kepada 'individualistik' apabila dibandingkan orang Barat dengan masyarakat lain. Tetapi, sekalipun masyarakat Asia yang dikatakan 'kolektif' itu - tidak pula semestinya mengamalkan cara hidup yang benar-benar kolektif.

Di Malaysia misalnya - kita memang gemar untuk menderma dan membantu orang lain. Tetapi, adakalanya tingkahlaku baik kita itu tercemar dengan kegemaran kita untuk memaparkan personaliti tertentu menghulurkan 'mock-up check' dengan wajah ceria di muka utama akhbar. Di Barat, kegiatan menderma nampaknya tidaklah ditunjukkan dengan acara penuh meriah seperti itu. Kedai-kedai amal seperti Salvation Army, Goodwill atau jualan amal yang dilakukan oleh badan kebajikannya tidak pun dipampangkan dengan cara menunjuk-menunjuk. Mereka tidak menganut Islam, tetapi perilaku mereka lebih baik dari kebanyakan umat Islam.

Dalam konteks negara kita - dengan kemelut ekonomi dan sosial - adakalanya kita sudah perlu untuk melakukan sesuatu bagi membantu mereka yang memerlukan. Menubuhkan kedai-kedai yang menjual barangan yang didermakan sama ada yang sudah terpakai atau tidak mungkin satu usaha yang baik. Masjid-majid juga perlu berfungsi untuk menjadi tangan di atas - sebagai institusi menguruskan derma untuk disumbangkan kepada orang ramai.

Malangnya, dalam budaya kita - kita bukan sahaja tidak menggalakkan usaha sebegitu. Kita tidak mempunyai badan yang menguruskan derma dan kebajikan secara sistematik. Hanya dalam waktu yang cemas - kita seolah-olah tergopoh-gapah untuk merayu orang ramai menderma. Budaya kita juga tidak begitu melihat menyumbangkan barangan terpakai sebagai perbuatan yang baik. Kita mahukan yang bersifat baru. Mengapa jadi begitu?

Jadi - dalam keadaan kita gawat ekonomi dan kekurangan wang - ada baiknya kita tubuhkan badan-badan yang boleh menggalakkan orang ramai menderma. Peti ais, televisyen, pakaian, bahan bacaan atau apa sahaja boleh didermakan oleh orang ramai kepada kedai yang dibangunkan khas sama ada oleh badan kebajikan, masjid atau pihak pemerintah. Barangan ini tadi kemudiannya boleh dijual semula kepada orang ramai yang memerlukan - tentunya dengan harga yang murah. Sekurang-kurangnya dengan cara begitu - orang yang susah ada cara untuk menjimatkan wang mereka, orang kaya - ada cara untuk menghulurkan bantuan - tanpa perlu mengharapkan lensa kamera dan liputan akhbar.

Barat - bukan semuanya tidak baik. Adakalanya kita yang berprasangka buruk semata-mata untuk menunjukkan kitalah yang paling mulia dan tulus.

Wednesday, 23 July 2008

Mimpi kita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita mengimpikan banyak perkara dalam hidup. Memiliki banglo mewah, kereta besar, isteri cantik, pekerjaan yang baik dan pendapatan yang banyak. Kita andaikan itu adalah sebahagian dari petanda kebahagian hidup manusia. Sebenarnya tidak. Impian kita yang berteraskan kebahagian fizikal itu tidak akan bertahan lama. Ia juga tidak akan selamanya membahagiakan. Impian kita itu - kalaupun pada akhirnya menjadi kenyataan - akhirnya boleh juga menyebabkan sesuatu yang tidak membahagiakan.

Bagaimana kalau kita mengubah impian kita kepada sesuatu yang lain. Misalnya setiap penguasa majlis kerajaan tempatan tidak hanya berfungsi sebagai pembina longkang, pengutip sampah atau penyedia lampu jalan - tetapi juga menyediakan sebuah perpustakaan di setiap kawasan lingkungan kekuasaannya. Menjadi tambah asyik mimpi kita itu jika setiap perjalanan mesyuarat penting kerajaan tempatan itu diadakan secara terbuka dengan penduduk kawasannya. Agar kita tahu apakah sebenarnya impian dan kehendak penduduk - dan bukannya semata-mata kehendak mereka yang menguasai majlis itu.

Mimpi kita yang panjang itu tentu akan lebih mengkhayalkan kalaulah setiap dasar dan polisi negara tidak hanya diperdebatkan di parlimen. Dasar berkaitan remaja dan orang muda misalnya - tidak wajar dicadangkan ahli parlimen yang telah pun lama melewati alam remajanya. Bukankah lebih baik kalau diadakan satu iklan yang besar - menjemput setiap orang muda datang bersemuka mengemukakan pandangan mereka. Apakah hasrat dan mimpi mereka sebenarnya. Mungkin dasar kita selama ini kurang relevan dengan naluri mereka - menjadikan mereka terus merempit di jalanraya dan melakukan tindakan tidak bermoral pada waktu yang lain.

Kerana kita bermimpi - kita juga boleh terus mengharapkan agar semua yang dilakukan oleh para pemerintah baik yang dikuasai Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat - adalah secara terbuka. Misalnya pada setiap hujung tahun - kita ditawarkan dengan satu laporan di akhbar utama dengan penjelasan terperinci setiap perbelanjaan yang telah dilakukan. Laporan juga mencatatkan dari saluran mana perolehan pemerintah dan sejauh mana pula ia dibelanjakan. Jadi kita tidaklah begitu bertanya sangat kalau ada kerajaan negeri yang membelanjakan sampai RM50,000 untuk dua kali penyelenggaraan kereta Perdana ahli exco.

Mimpi kita yang lain ialah mengharapkan polisi akhbar yang melaporkan apa sahaja yang diketahuinya - tanpa hasrat untuk menyembunyikan apa-apa. Sekalipun ada berita yang tidak bersifat 'orang menggigit anjing', sekurang-kurangnya memberikan kita lebih banyak waktu untuk berfikir, menilai dan menjadikan kita tidak cepat menjadi manusia nyanyuk kerana kurang berfikir.

Mimpi kita itu tentulah akan bertambah indah kalau semua bangsa bersatu dan bergaul tanpa ada rasa prejudis. Orang Melayu berbual dengan orang Cina di warung kopi dalam bahasa Tamil, dan orang India berbual dengan orang Melayu dalam bahasa Tionghua. Ia menjadikan Malaysia sebuah negara yang pelik - tapi unik.

Kerana semua itu hanyalah satu mimpi - ia mungkin akan menjadi kenyataan apabila kita terjaga nanti. Atau mimpi itu akan terus menjadi mimpi kita pada malam yang lain. Boleh jua ia hilang buat selama-lamanya - kerana mimpi kita itu hanya sekadar dongeng yang tak mungkin dijelmakan dalam dunia reliti Malaysia. Kerana ia hanyalah mimpi - ia akan bersifat boleh jadi sahaja. Apapun - kata orang - tidak salah untuk kita terus bermimpi.

Friday, 18 July 2008

Debat Anwar-Shabberi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi tanahair, debat politik ditayangkan dalam saluran televisyen. Kehadiran Penasihat PKR, DS Anwar Ibrahim tentu sahaja mencuri tumpuan umum melihat rentetan sejarah politik di belakangnya. Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik juga bukanlah calang-calang orang dalam menyampaikan hujah. Walaupun ditanggapi sesetengah orang sebagai 'orang baru', tetapi beliau yang juga merupakan bekas pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia tentulah sedikit sebanyak arif dalam permainan politik tanahair. Beliau pernah menarik tumpuan persidangan agung UMNO apabila bercakap mengenai 'lembu suci'. Mungkinkah selepas ini akan lebih banyak debat-debat seumpama itu disiarkan di kaca televisyen, membuka lembaran baru untuk kita menilai dan berfikir.

Adalah satu kesilapan jika sekiranya kita lebih cenderung untuk mencari siapa yang menang atau kalah dalam debat tersebut. Membuka ruang perbahasan bukanlah seperti perlawanan bolasepak untuk menilai siapa yang harus menjadi juara liga. Kebenaran hakiki tidak mungkin ditemukan dalam debat. Penilaian manusia adalah subjektif. Kebenaran hakiki hanya milik Tuhan. Kebenaran yang dalam apa bentuk sekalipun - dalam tulisan ahli akademik, penghakiman di mahkamah, bukti-bukti saintifik - tetap akan ada yang meraguinya. Sejauh mana kita melihat dan dari blok mana kita berdiri. Itulah hakikat kebenaran.

Bagaimana pun, sebagai manusia kita akan sedaya upaya untuk melakukan terbaik bagi membuktikan kebenaran. Amerika Syarikat dan pihak Barat akan terus berkata mereka di pihak yang benar apabila melakukan pengeboman ke atas Iraq dan Afghanistan, dan kerosakan-kerosakan lain yang mereka lakukan di Vietnam, Panama dan sebagainya. Israel akan selalu berkata tindakan mereka melakukan penghapusan etnik Palestin sebagai sesuatu yang benar. Sebaliknya, umat Islam tidak pernah melihat apa yang dilakukan Amerika dan Israel itu sebagai sesuatu yang benar - bahkan adalah ketidakadilan dan kekejaman.

Atas nama kebenaran juga - para pejuang berani mati seperti Imam Samudera sanggup mengebom sebuah pusat peranginan di Bali yang mengorbankan puluhan nyawa manusia. Jadi - siapakah yang benar. Sebagai manusia - kita tidak akan menemui kebenaran hakiki - melainkan apabila kita dibicarakan di Padang Masyar.

Jadi -apabila kita membaca tulisan-tulisan di akhbar dan juga di Internet yang mengulas debat Anwar-Ahmad Shaberi bagi mencari siapa yang menang dan kalah - ia sebenarnya bukanlah hujah terbaik manusia demokrasi. Kita wajar memberikan peluang manusia bersuara dan mengemukakan pandangan. Menjadi tugas akhir kita ialah mengambil yang terbaik dan menapis maklumat yang mungkin kurang relevan. Tetapi untuk menyatakan hujah yang kurang relevan sebagai tidak benar adalah satu kesilapan - kerana orang yang mengemukakan pandangan tentulah juga telah menilai baik buruknya.

Menjadi masalah dalam konteks negara kita ialah kita jarang memberikan hak yang wajar untuk masyarakat bersuara - melainkan dalam tempoh beberapa bulan terakhir ini selepas pilihanraya umum yang lalu. Akhirnya dunia bersuara kita dipenuhi dengan khabar angin dan serkap jarang yang disalurkan melalui ruang maya. Ada yang betul, dan tentulah ada yang tidak. Budaya mengongkong hak bersuara ini juga menjadikan manusia menggunakan saluran lain untuk diminati dan mendapat pengaruh. Politik wang tentu tidak akan tersebar dengan banyaknya jika setiap ahli politik diberikan ruang berdebat di kaca televisyen - kerana pada akhirnya orang akan menilai keupayaan seseorang tokoh melalui hujahnya, bukan berapa banyak wang yang ada dalam poketnya. Demontrasi jalanan yang tentulah juga menyulitkan banyak orang - pengguna jalanraya, polis, peniaga dan sebagainya juga dapat dikurangkan apabila rakyat diberi hak mengemukakan protes dengan saluran yang betul. Tohmahan yang dilemparkan kepada pihak pemerintah juga mampu ditangani dengan lebih baik.

Debat Anwar-Shaberri sesuatu yang mempesonakan. Tentu sahaja kita berharap pada masa akan datang akan ada lagi debat seumpama itu. Sesuai dengan semakin banyaknya rakyat kita yang terpelajar - banyaknya universiti dan banyaknya kemelut yang sedang membungkam ruang fikir kita.

Friday, 11 July 2008

Pulanglah Melayu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita tidak hidup terlalu lama seperti manusia di zaman Nabi Adam a.s untuk melihat kembali sejarah Melayu dengan mata sendiri. Sejarah Melayu seperti yang ditulis oleh Tun Sri Lanang mungkin bukanlah dokumen terbaik untuk menelusuri perjalanan panjang orang Melayu. Tetapi hanya itulah antara dokumen yang kita miliki. Ceritanya mungkin berbaur antara dongeng dan mitos - tapi di celah-celahnya merupakan kritikan sosial betapa orang Melayu tidak pernah hilang dahaganya dengan kuasa - walaupun sanggup berpecah.

Sejarah menyaksikan peperangan sesama pemerintah Melayu demi merebut wilayah kekuasaan. Akhirnya, wilayah Melayu itu terbelah kepada beberapa - Malaysia, Brunei, Selatan Thai, Indonesia dan Mindanao. Wilayah Melayu yang besar tidak kita bangunkan, yang tinggal hanyalah serpihan persengketaan.

Di kalangan ahli arkeologi dan sejarawan, mereka berusaha untuk mengenalpasti asal usul sebenar manusia Melayu. Antara yang termasyur, orang Melayu berasal dari Champa (lihat Berita-Harian). Tidak kurang yang menyatakan asal Melayu itu dari Selatan Tanah Besar China, seperti tidak kurangnya yang menyatakan orang Melayu memang sudah sedia mendiami Tanah Melayu itu sendiri.

Betapa pun, kajian-kajian yang melihat sejarah perkembangan orang Melayu itu bakal menambah lagi pertanyaan kita mengenai orang Melayu - tetapi kita juga perlu ingat betapa kajian seumpama itu tidak akan mampu membawa apa-apa kalau kita sering terlupa teras utama bangsa Melayu. Kita sering melihat tinggalan kota A'Famosa dan Gereja St.Paul di Melaka - tetapi kita tidak pernah belajar darinya. Kita tidak pernah ambil tahu mengapa pada tahun 1511 itu orang Melayu ditelanjangkan kemasyurannya oleh kuasa Portugis.

Kita juga tidak begitu mengambil tahu mengapa Hang Tuah dan Hang Jebat akhirnya berbunuhan sesama sendiri - melainkan kerana curiga dan buruk sangka. Kita mungkin berkata cerita Hang Tuah dan Hang Jebat hanyalah epik kepahlawanan - seperti mana epik Pendawa Lima di India yang tidak tidak pernah berdiri atas hakikat realiti. Mungkin ia cerita dongeng - tetapi mungkin juga satu sindiran tajam betapa senjata yang menjatuhkan orang Melayu bukanlah keris Taming Sari - tetapi senjata utamanya ialah persengketaan sesama kita.

Melihat percaturan politik Melayu mutakhir kini - menjadikan kita berasa ada sesuatu yang tidak kena. Apakah yang sebenarnya kita cari? Apakah lagi yang belum kita belajar dari sejarah silam. Kita mungkin mudah terlupa sejarah, tetapi seperti kata E.H Carr - sejarah akan berulang-ulang. 

Marilah sesekali kita membelek suratkhabar dari dunia sebelah lain di Internet. Lihatlah apa agenda mereka. Mereka tidak bermain catur politik seperti kita. Tiada pemberitaan berkisar siapa meletupkan siapa, atau siapa tergoda dengan punggung siapa. Kita sudah dikenal dunia sebagai antara dunia ketiga yang terbaik. Kita tidak semiskin negara Afrika yang rakyatnya masih berjuang antara hidup dan mati. Wajarnya, politik kita juga sudah matang dan dewasa - sesuai dengan label kemajuan yang sering kita paparkan.

Malangnya, melihat tajuk utama berita kita - kita kadang-kadang berasa malu kepada diri kita sendiri. Kita menjadikan agenda rumahtangga kita tajuk perdebatan awam. Tajuk yang mengeji bangsa Melayu sewajarnya tidak dijadikan berita besar - semata-mata melariskan akhbar. Ia tidak menguntungkan sesiapa pun - melainkan tempias ludahnya jatuh ke muka kita juga. Akhirnya, yang ruginya kita juga. Orang Melayu bergaduh sesama sendiri - tanah buminya sudah banyak terjual. Ibarat cerita Pak Kadok - menang sorak kalah sabung, ayamnya menang kampungnya tergadai.

Jadi - apa yang orang Melayu dapatkan dari pertempuran sesama sendiri. Melainkan orang lain mengkritik DEB kita. Orang lain meminta itu dan ini. Kita sibuk berpolitik - yang mengutip hasilnya orang lain. Ibarat orang kepenatan memanjat kelapa untuk menunjuk hero - akhirnya buah yang berguguran habis diambil orang.

Lihatlah bagaimana bangsa lain bermain politik. Siapa pun yang menang, siapa pun yang kalah - mereka terima dengan tangan terbuka. Mereka boleh bersalam dan bertegur sapa. Bagi mereka - biar parti yang kalah, tetapi kepentingan bangsa tetap terjaga. Tidak ada lagi tuding menuding selepas pilihanraya. Kalau sekadar pertelagahan kecil atas dasar perbezaan fahaman - itu sesuatu yang adat. Tetapi cara Melayu bertelagah menakutkan - amukannya tersebar ke serata dunia. Sesuatu yang memalukan.

Sewajarnya politik sebagai satu seni - digunakan secara bijaksana demi kemajuan Melayu. Bukannya untuk mengulang sejarah hilangnya Kota Melaka. Dan lihatlah sekarang. Kita sudah hilang banyak perkara. Kita hilang kouta ke universiti - bahkan biasiswa JPA pun sudah mula dipertikaikan orang. Peliknya - hanya Melayu yang memberikan haknya kepada orang lain - tetapi hak orang lain jarang Melayu pertikaikan. Kita tidak pernah bertanya mengapa perniagaan di Jalan Petaling dan Jalan Pudu hanya dikuasai oleh satu-satu kaum.

Kita tidak bertanya mengapa industri besi dan simen bukan orang kita yang kawal. Di mana kemajmukannya dan persamaan hak yang dilaung-laungkan itu? Kita tidak juga bertanya mengapa bandar Kajang, Ipoh dan Pulau Pinang seolah-olahnya bukan model kemajmukan Malaysia. Kita diam. Kita diam. Atau tertidur? Atau kita sememangnya lebih berminat dengan cerita bom C4 dan punggung lelaki muda. Cerita-cerita itu sudah menjadi watak baru menggantikan 'Etong" dan "Nu-nui" wayang kulit Melayu.

Ayuh - pulanglah ke pangkal jalan. Jangan biarkan percakaran memualkan ini merosakkan fokus survival orang Melayu. Kita sebetulnya sudah lama terjatuh. Dahulu -kitalah pelaut agung. Sekarang ini, orang Melayu hanya mampu menjadi kuli menyaring ikan bilis di tepi jeti. Orang lain sudah lama membina banglo dan kondo mewah - bukan satu - berpuluh-puluh - tetapi orang Melayu masih lagi terkial-terkial memohon simpati mendapatkan rumah murah perumahan rakyat.

Anak orang lain diajar berniaga semasa masih remaja - orang Melayu masih lagi tersipu malu menyanyi tak betul dalam rancangan Akademi Fantasia dan Malaysia Idol. Orang lain sudah jadi jutawan besar dikenali seantero dunia - kita masih belum habis mengisi borang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Orang lain sudah lama ke bulan - kita masih lagi bermimpi bulan jatuh ke riba. Sudahlah. Banyak lagi agenda kita yang lebih besar. Kita boleh membiarkan pisang berbuah dua kali kerana ia memberikan manfaat. Tetapi, jangan biarkan sejarah buruk berulang berkali-kali.

Friday, 13 June 2008

Pilihanraya sudah selesai bukan?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Melihat kepada tajuk-tajuk utama akhbar dan perdebatan yang berlaku dalam media alternatif seperti blog dan website, seolah-olahnya pilihanraya masih belum bermula. Seolah-olahnya politik sudah menjadi wadah utama kita - lebih dari segala-galanya. Hakikatnya masih banyak agenda yang belum selesai. Masalah jenayah, pendidikan, kemiskinan dan kemungkinan kemelesetan ekonomi global tidak sepertinya sebagai antara agenda utama kita - baik rakyat atau parti politik.

Yang diperbincangkan sekarang - siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri negara? Yang dibualkan sekarang, betulkah mantan Timbalan Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim akan mampu membawa masuk segerombolan ahli politik parti pemerintah untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dan seterusnya membentuk kabinet yang baru. Juga tidak kurang mengisi keriuhan politik kita ialah kritikan dari mantan Perdana Menteri dengan pemerintahan sekarang.

Pada peringkat akar umbi juga kelihatannya seolah-olah ada desakan untuk perubahan. Parti politik bukan Melayu pula - yang selama ini menjadi elemen utama perkongsian kuasa nampaknya menunjukkan nada yang jarang dari kelaziman - sesekali mengkritik dan mengherdik pemerintah. Yang lebih berani - bertindak untuk mengugut keluar parti! Apabila media menjadikan semua ini tajuk utama - maka rakyat nampaknya tidak mampu memberikan perhatian mereka kepada agenda kemajuan dan membendung masalah inflasi - melainkan dengan soalan-soalan 'apa berita politik hari ini?'.

Jadi, kalau semua ini berterusan bilakah masanya kita mengeambil pendekatan kolektif untuk menangani pelbagai masalah yang berlaku. Parti politik - baik yang menang besar, atau yang kalah sedikit tidak harus mengambil semua keceramukan ini sebagai umpan untuk memenangi hati rakyat. Pilihanraya sudah berlalu. Beberapa bulan yang lalu. Ingat - pilihanraya sudah berlalu. Melibatkan diri dalam politik bukan semestinya hanya untuk menjadi kerajaan dan memiliki kuasa.

Kalau untuk mendapatkan kuasa semata-mata, tidak gunanya berpilihanraya. Lebih baik kita berperang. Menang besar juga bukan tandanya sesuatu sistem itu efisien. Kadang-kadang ia membawa masalah yang lain - salah guna kuasa, korupsi, dan 'over-confident' yang menyusahkan juga.

Senario sekarang mungkin bukanlah yang terbaik, tetapi bukan yang terburuk. Tetapi jika selama ini parti yang sering kalah - kini ada suara di parlimen. Parti yang sering menang - kini tahu betapa banyak kesilapan lalu yang masih boleh diperbetulkan. Memang politik seperti apa yang diungkapkan oleh HD Laswell - untuk apa, siapa dan bagaimana itu sukar untuk kita ramalkan.

Ada yang kita sangka benar, tetapi rupanya palsu. Yang kita sangka baik - rupanya yang terburuk. Semuanya bersembunyi di sebalik muslihat permainan kuasa. Untuk rakyat kecil seperti kita - tidak banyak yang kita harapkan sangat. Cumanya agar tupai-tupai politik yang berkejaran itu, jatuhnya tidak ke muka kita. Kita semua menilai mereka dari persepsi yang kita lihat dan dengar. Itu sahaja jauhnya jangkauan deria kita. Tentang hal lain yang bersembunyi di balik wayang percaturan mereka - kita tidak tahu.

Cumanya - marilah kita henti sejenak berpolitik. Kita fikirkan semula apa terbaik untuk agama, bangsa dan negara ini. Walaupun bukan semua - sekurang-kurangnya ada yang boleh kita perbetulkan. Fikirkan apakah sesuai lagi kita mengenakan bayaran untuk bekalan air paip - sedangkan di negara kita setiap hari hujan turun dan sesekali banjir melimpah hingga ke atas tempat tidur kita. Jika Australia yang kering itu pun mampu memberikan air percuma untuk rakyatnya - mengapa tidak kita?

Perlukah juga bayaran balik yang tinggi untuk peminjam wang PTPTN - sedangkan mereka itu nantinya menjadi manusia yang berguna. Tidak adil dibandingkan dengan penagih dadah yang keluar masuk ke pusat serenti - yang tentunya diberikan makanan, tempat tinggal dan latihan - tetapi mereka tidak pula membayar apa pun. Juga lihatlah sejauh mana berkesannya latihan PLKN - atau kegagalan sistem pendidikan kita? Mengapa kita harus membayar harga yang mahal untuk PLKN - sedangkan pelajar-pelajar tadi boleh kita asuh dalam pendidikan menengah kita. Bukankah lebih baik silibus yang ada dalam PLKN itu disesuaikan dalam pendidikan 5 tahun persekolahan menengah?

Begitu juga dengan Sistem Latihan Graduan untuk lulusan universiti. Mengapa harus ada latihan lagi selepas universiti -atau itu tandanya universiti kita yang gagal - atau itu caranya kita membahagikan wang untuk pengendali latihan? Sebenarnya masih banyak yang boleh kita lihat bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sistem pengangkutan awam kita pun - walaupun tidaklah seteruk Jakarta atau Bangkok - tetapi tidaklah pernah kita jangkakan untuk membawa kita ke sesuatu tempat dengan selamat dan tepat. Semua ini perlu diperbaharui.

Politik - seni yang memberikan kita peluang untuk menciptakan kebaikan. Bukan sekadar untuk menjadi terbaik dengan mengalahkan musuh-musuh yang ada. Rakyat mengharapkan ahli politik yang berbakti - bukan ahli gusti yang kita lihat di kaca tv.

Thursday, 12 June 2008

Minyak; Eh yer ker?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harga minyak petrol naik. Kenaikan yang tidak dinantikan oleh sesiapa pun. Kecualilah kalau kita merupakan pengedar atau penjual petrol. 25 tahun dahulu, kenaikan harga petrol tentu tidak membimbangkan orang kecil seperti kita. Bukanlah maknanya kenaikan pada waktu itu tidak menjejaskan hidup kita - tetapi kita tidak pun menyedarinya. 25 tahun dahulu - di pekan Changlun dan Kodiang, berapa banyaklah sangat orang yang bergantung kepada petrol. Jumlah kereta dan motosikal masih boleh dihitung dengan jari. Ketika motokar buruk yang melintas masuk ke kampung kami yang becak - kami sudah jadi sangat teruja. Seperti beruang panda yang jatuh ke tengah gurun pasir. Jadi terkejut dan kebodoh-bodohan. Itu dulu. Sekarang ini, kereta dan motosikal sudah jadi barang mesti. Harga naik atau turun - kita terpaksa membelinya. Jadi, tidak dapat tidak - apabila petrol naik - secara automatiknya kita terpaksa duduk di atas harta yang menyusahkan.

Stok minyak dunia kian berkurangan sudah lama diketahui orang. Sebab itu negara lubuk minyak menjadi mangsa perang kuasa besar. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain tidak menyerang Iraq dan Afghanistan, dan kini menghalakan nafsu berahi perangnya ke Syria dan Iran semata-mata berminat dengan hasrat menghapuskan pengganas. Mereka juga tidak berminat dengan janggut panjang Osama Laden atau misai tebal Saddam Hussin. Kalau dalam filem P.Ramlee, orang minyak begitu berahikan anak dara. Tetapi 'orang minyak' versi moden ini boleh mengidamkan sesiapa sahaja - termasuk orang tua, kanak-kanak dan orang susah. Mereka sanggup membunuh kerana mereka begitu dahagakan minyak. Alasan bahawa Afghanistan dan Iraq pengganas hanyalah dongeng cerita. Belum pernah tersebut dalam mana-mana sirah perang - negara Aab begitu hebat. Sekadar Iraq sekitar awal 1990-an menghalakan peluru berpandu Scud ke Kuwait dan Israel bukanlah menunjukkan yang Iraq adalah kuasa yang digeruni. Dengan teknologi senjata Amerika Syarikat, perbuatan Iraq itu tak ubah melastik batu ke Tembok Besar China. Tidak ada apa-apa pun yang akan terjejas. Minyak itulah alasan besar mereka.

Apabila harga petrol naik, semua pihak mendapat susah. Bukan sekadar manusia, haiwan juga menjadi mangsanya. Harga barang makanan haiwan seperti ayam, lembu dan ikan tentu akan naik kerana ia akan dibawa menggunakan kenderaan. Bagi mengurangkan kos, tidak mustahil stok rumput dan dedak juga perlu dikurangkan. Kalau haiwan juga merasa peritnya, apatah lagi manusia.

Perubahan gaya hidup seperti yang sisarankan tentu tidak akan memberikan apa-apa kesan pun untuk orang susah di kampung aku - termasuklah keluarga dan jiranku. Mereka tidak mempunyai gaya hidup apa pun untuk diubah. Bangun pagi mereka akan keluar rumah bekerja kampung, menoreh, menebas hutan atau menjadi tukang rumah. Ada beberapa orang yang mungkin kerja makan gaji - sebagai tukang kebun, pengawal keselamatan atau pemandu bas. Orang seperti ini tidak tahu sangat pun jenama minyak wangi terbaru yang dijual di Body Shop atau handphone Nokia terbaru yang boleh disediakan applikasi 3G. Tidaklah juga mereka memiliki kereta mewah BMW atau Mercedez Bentz 5 series. Memiliki honda kapchai pun sudah dianggap baik. Atau pernah berangan-angan untuk menonton konsert Siti Nurhaliza atau Asmawi Ani. Hidup mereka mudah sahaja. Pergi kerja dan pulang kerja. Kalau ingin merasa angin bandar pun - mereka sekadar membeli sebiji dua buah durian di pasar malam Changlun. Itupun, hutang mereka di Kedai Runcit Hassan sudah tentu lebih banyak dari pendapatan mereka. Mereka juga tidak tahu melobi projek kelas F atau mengidam projek super mega jutaan ringgit. Jadi peluang untuk mereka menjadi kaya sangat sedikit. Jadi, tidak ada apa yang boleh diubah. Melainkan mengurangkan makan ikan masin. Itu sahaja perubahan gaya hidup yang boleh mereka lakukan.

Din - temanku yang hidup di tengah bandar Kuala Lumpur, yang sebelum kenaikan harga minyak pun khabarnya sudah cukup susah - tentulah kenaikan petrol ini akan menyesakkan lagi daya fikirnya. Harga barang dan kos hidup di tengah Kuala Lumpur akan bertambah menyeksakan. Setiap lorong perjalanannya juga telah disediakan pukat tunda yang bersembunyi di sebalik terminologi 'lorong tol'. Semua ini akan mengurangkan lagi wangnya yang tidak pernah kecukupan itu. Seperti biasa, di saat semacam ini - along dan pemberi hutang dari bank terkemuka negara akan tersenyum panjang. Lebih panjang dari jalan keretapi dari Singapura ke Tanah Besar China. Maka, orang seperti Din boleh terus bermimpi untuk memiliki kondo mewah di Kota Damansara, atau membeli lot banglo yang baru di Bandar Baru Bangi. Kerana mimpi adalah percuma. Tetapi untuk membeli rumah pangsa cap ayam pun dia akan berfikir lebih teruk dari Albert Einstein.

Harga minyak di tanahair memanglah cukup murah. Itu yang perlu diketahui oleh orang seperti Din. Jangan hanya pandai mengkritik semata-mata. Membandingkan harga minyak kita dengan harga minyak di Amerika, Australia dan UK tentulah sesuatu yang wajar. Tetapi apabila orang seperti Din mula bertanya berapakah gaji orang di negara maju itu - membuatkan kita tidak punya banyak rumus untuk menjawabnya. Melainkan menjawabnya secara perlahan-lahan dan penuh diplomasi - hidup orang seperti kita semacam roda. Roda tidak pernah akan berada di atas bumbung kereta! Itu sahaja jawapan yang akan aku jawabkan kalau orang seperti Din banyak sangat bertanya.

Tapi ada soalan yang lebih susah untuk dijawab. Kenapa tidak kita wajibkan semua stesen minyak menyediakan bekalan gas sebagai alternatif untuk petrol. Sekarang ini hanya bandar besar seperti Kuala Lumpur sahaja yang ada. Itupun hanya beberapa. Dan sebagai jalan penyelesaiannya, berbanding dengan memberikan rebet tunai - wang itu diberikan kepada masyarakat untuk memasang tabung gas di dalam kenderaan mereka. Jadi - sekurang-kurang nya masyarakat ada alternatif. Eh yer ker?

Tuesday, 3 June 2008

Membina bangsa Malaysia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Menikmati teh tarik di kedai "Swinging Bowl" atau diterjemahkan secara literal sebagai "Mangkuk Hayun"* milik saudara Azam yang letaknya di sebuah lorong kecil di antara Rundle Mall dan Jalan North Terrace itu bakal menampakkan kita dengan banyaknya warga Malaysia di Adelaide ini.

Nampaknya bandar Adelaide yang tidaklah seriuh Kuala Lumpur ini juga dihuni oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum; yang sebahagian besar adalah pelajar dan selebihnya adalah mereka yang bekerja di sini. Selain yang belajar dan berkerja, ada juga yang menghabiskan hari tua mereka di sini.

Seperti biasa, masyarakat Malaysia pelbagai kaum di sini juga 'bercampur, tetapi tidak bersatu', sesuatu yang kita warisi sejak sekian lama. Ia bukan semata-mata hasil stereotaip dan prejudis yang dibina dari generasi ke generasi, tetapi juga adalah sebahagian dari hakikat 'nujuman penyempurnaan kendiri' (self fulfilling prophecy) psikolologi antara etnik. Kita menujum terlebih dahulu, kemudian tindakan-tindakan kita menyempurnakan nujuman kita yang awal tadi.

Sebagai misalnya, kita menujum A sebagai sombong, akhirnya kita melayannya sesuai dengan sangkaan kita bahawa orang tadi adalah sombong. Kita tidak bertegur sapa. Akhirnya, kedua-dua pihak tadi menjadi benar-benar sombong apabila kedua-duanya tidak bertegur sapa. Itulah hakikat yang terjadi dalam hubungan etnik di negara kita.

Orang Melayu, Cina atau India apabila bertemu, secara automatiknya akan ada rasa curiga yang dicipta-cipta. Entah apa yang dimbimbangkan. Maka terbayanglah streotaip orang Melayu malas, orang Cina penipu dan orang India pengotor. Semuanya adalah ilusi-ilusi yang diciptakan. Namun, apabila kita berada di negara orang, prasangka ini tidak pula terjadi apabila orang Melayu bertemu dengan orang Cina dari Tanah Besar atau India dari benua kecil Asia itu.

Sangkaan tadi hanya muncul secara automatik apabila kita bertembung dengan kumpulan etnik dari negara kita. Jadi, apakah sebenarnya yang memunculkan prejudis dan streotaip tadi kalau bukan kita sekian lama diajar untuk bermusuhan di antara satu sama lain. Kita ditakutkan ahli politik tentang bangsa yang bertentangan yang akan merampas hak kita. Kita di'brain wash' dengan cakap-cakap di kedai kopi tentang bangsa itu dan bangsa ini.

Akhirnya kerana kegeraman kita itu, kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih baik. Melainkan xenophobia dan ketakutan kepada orang asing saban hari. Kita lahir untuk memusuhi orang lain dan hanya mencari salah silap. Itulah salahnya acuan pembentukan bangsa Malaysia.

Simptom streotaip dan prejudis ini jugalah yang telah menyebabkan bangsa kita diasing-asingkan dalam kotak fikir yang sempit. Lihat misalnya. Sekian lama, orang Cina dianggap sebagai pakar dalam perniagaan dan matematik. Orang Melayu dianggap hanya mampu untuk melakukan kerja-kerja pentadbiran kerajaan, atau selebihnya hanya tahu untuk bercucuk tanam. Orang India pula sesuai dengan kerja-kerja di estet.

Pemikiran ini sebenarnya adalah hasil ciptaan dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris. Hasilnya, orang Melayu bimbang untuk memulakan usaha niaga. Apabila orang Melayu memohon pinjaman bank atau bantuan tertentu dari agensi kerajaan, pemberi pinjaman akan merasa ragu-ragu. Betulkah boleh orang Melayu berniaga dan mampukah mereka membayar kembali. Usahawan Ramli Burger pernah mengalami situasi ini. Orang Melayu sendiri hilang keyakinan untuk terlibat dengan perniagaan.

Malangnya, walaupun dikaitkan sebagai petani, orang Melayu juga tidaklah hebat menjadi peladang yang besar. Kita terlupa orang Cina pun yang dianggap pandai berniaga, belum tentu akan untung dalam setiap perniagaannya. Tidak kurang yang muflis dan bankrap. Tetapi kerana prejudis dan streotaip ini, kita terus merasa setiap etnik yang lain di sekeliling kita adalah musuh, atau sekurang-kurangnya sahabat yang diragui.

Sekarang ini, sudah lebih 50 tahun kita merdeka. Membina bangsa Malaysia masih lagi menjadi igauan untuk kita. Orang bukan Melayu tidak dapat menerima hakikat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan - antara sebabnya ialah kerana ia dianggap menghakis hak berbahasa mereka. Orang Melayu tidak boleh menerima hakikat orang Cina dan India patut menerima biasiswa - kerana mereka dianggap sebagai orang kaya dan orang luar. Hasilnya, kita terus menjarakkan diri di antara satu sama lain.

Saturday, 24 May 2008

Bila kita akan menjadi tuan?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mungkin telah berabad-abad lamanya orang Melayu bimbangkan soal ketuanannya. Kita begitu bimbang dengan banyak perkara. Kita bimbangkan soal kedaulatan Melayu. Tapi, akhirnya penjajah Portugis, Inggeris, Siam dan Jepun telah melukis semula peta tanah air kita. Kita hilang Singapura. Itu cerita lama. Kita hilang Pulau Batu Puteh. Ini cerita baru. Melaka yang dahulunya beraja, tetapi yang tinggal kini hanya sejarahnya. Kita bimbangkan tanah milik pusaka bangsa. Tetapi, kini entah berapa banyak tanah rizab kita terjual. Takdir juga menentukan yang bumi bukan lagi bernama Tanah Melayu, tapi Malaysia. Jadi orang Melayu tidak memiliki negara dengan nama bangsanya, seperti Thai, Jepun, India, China atau Korea. Kasihan kita.

Setiap hari kita bercakap pentingnya soal budaya dan bahasa. Kita membentangkan kertas kerja di sana sini. Tetapi pada masa yang sama, kita begitu teruja dengan lelaki kulit sawo matang dan berambut kerinting bertutur bahasa Inggeris. Janggalnya, kita tidak merasa apa-apa mendengar bahasa Melayu kita dirojakkan. Kita terpesona melihat anak kita lulus dengan cemerlang dalam bahasa Inggeris. Peliknya, tidak sedikit pun kita terkilan kalau mereka tidak terpuji dalam bahasa Melayu. Kalau orang Thai dan Indonesia begitu berbangga dengan bahasanya, mengapa tidak kita? Akhirnya, kita cenderung untuk melukakan bahasa kita sendiri dalam banyak perkara - termasuk dalam soal dasar dan polisi. Kasihan kita.

Dahulu, dalam pendidikan, timbul isu mengapa digunakan istilah bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia. Apa masalahnya kalau ia dikenal sebagai bahasa Melayu. Memang itu namanya. Mengapa jadi sakit hati? Adakah ia menghilangkan identiti orang lain? Kerana termakan pujuk, kita menukar nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia. Dahulu kita ada dasar bahasa baku. Tetapi, kerana perselisihan politik, kita kembali ke asal dengan mengeluarkan bahasa baku dari agenda kita. Bahasa Melayu akhirnya tidak kemana.Tidak pun tercatat di belakang kotak barang antarabangsa. Kasihan kita.

Orang banyak marahkan kita kerana pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru bagi membantu orang Melayu. Kita pun tidak pasti sama ada Dasar Ekonomi Baru itu telah merugikan orang lain. Melihat senarai orang terkaya di Malaysia yang dikeluarkan baru-baru ini, kita tahu benar yang kebanyakannya bukanlah dikuasai orang Melayu. 50 tahun ke depan pun belum tentu orang Melayu akan tersenarai. Memang benar, banyak juga orang Melayu yang kaya raya. Ada konglomerat bank, hartanah, pengedar kereta dan sebagainya. Jumlah mereka itu tidak akan mampu menandingi orang terkaya yang lain. Di tengah-tengah bandar, hanya beberapa kerat sahaja orang Melayu yang menjadi pemilik bangunan. Selebihnya orang lain. Kasihan kita.

Sesekali kalau ada masa, cubalah toleh kiri dan kanan kita. Lihatlah barisan panjang operator kilang yang menunggu bas di waktu petang. Bukan orang lain. Mereka itu anak muda Melayu. Mereka bukan tauke kilang. Jadi, siapakah sebenarnya tuan kepada orang Melayu kalau bukan pemodal dari Jepun, Taiwan atau Korea. Atau lihatlah juga para peniaga kecil kita yang kadang-kadang dikejar penjawat awam majlis bandaraya. Yang dikejar itu ialah orang Melayu, yang mengejar juga orang Melayu. Kita mengejar orang Melayu yang berniaga di bahu jalan, tetapi untuk orang lain yang berniaga benar-benar di atas Jalan Petaling, kita bina pula mercu tanda indah dan bumbung untuk mereka! Kasihan kita. Kita bising melaungkan slogan, orang lain yang diam-diam sudah di hadapan.

Sejak beberapa hari ini kita terus bercakaran berdebat soal ketuanan Melayu. Kita banyak bercakap soal konsep. Melihat senarai penggunaan wang perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini, kita jadi tergamam dan terkejut. Adakalanya kita tersalah memanfaatkan konsep ketuanan Melayu. Kita memang mahu membantu orang Melayu bangkit dan menjadi usahawan berjaya. Tetapi bukanlah bermakna kita hanya perlu membantu orang yang sama. Masih ramai lagi Melayu yang perlukan perhatian.

Dalam soal yang lain, ketuanan Melayu juga tidak memberikan apa-apa makna kalau majoriti penagih dadah ialah Melayu, yang merempit juga ialah Melayu. Itu belum termasuk yang murtad, bohsia dan menjadi penyamun. Yang malas untuk belajar sama ada di sekolah atau universiti juga biasanya orang kita. Jadi, agenda-agenda ini perlu juga diperjuangkan agar Melayu boleh menjadi tuan. Jangan hanya menjadi tuan dalam kertas, tetapi sebenarnya kita tidak punya apa-apa pun. Jangan juga terlalu 'xenophobia' dengan orang lain. Diri kita sendiri yang patut kita takutkan. Itulah musuh utama orang Melayu.

Memang susah jadi orang Melayu di negara orang. Tetapi, susah lagi jadi orang Melayu di bumi sendiri. Kasihan kita.

Friday, 16 May 2008

Bila harga beras naik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harga beras dunia naik mencacak! Satu fenomena alam yang terbalik. Entah siapa yang menyembunyikan beras, atau siapakah pula yang tiba-tiba memakan begitu banyak nasi. Selama ini hanya masyarakat Asia yang dikaitkan dengan budaya memakan nasi, jadi bagaimana pula dalam tempoh terakhir ini tiba-tiba beras tidak cukup. Adakah penduduk di India dan China telah bertambah begitu mendadak, dan kesemuanya ingin memakan nasi sahaja? Fenomena yang janggal. Atau, adakah dalang asing yang cuba menjajah dunia dengan metod baru? Semua ini boleh jadi. Mereka boleh mendakwa minyak dunia berkurangan, dan kemudiannya harga bahan bakar itu naik mendadak. Siapakah di antara kita yang pernah melihat jumlah bekalan minyak yang tersembunyi di dasar laut atau di bawah tanah gurun itu? Jadi, dengan manipulasi perangkaan sesuatu yang boleh jadi tidak ada, boleh diwujudkan. Tetapi dalam konteks beras, mengapa boleh naik begitu mendadak. Rasaksa manakah pula yang membaham pohon padi dan beras kita?

Sebenarnya rasaksa itu bukanlah jembalang yang seperti digambarkan dalam drama Ultraman. Jembalang yang memakan pohon padi dan beras itu ialah diri kita sendiri. Sejak berlakunya revolusi industri, kita nampaknya lebih gemarkan hal-hal yang indah. Kita gemar dengan pembangunan kilang elektronik dan informasi. Semua tanah bendang kita ratakan dengan membangunkan rumah banglo, pusat membeli belah dan atau jalanraya. Lebih mudah lagi, apabila pemodal ini membelikan tanah orang kampung dengan status tanah pertanian dengan harga yang murah. Jadi semakin besar kuasa mereka membeli tanah kepunyaan orang miskin, semakin lebarlah pula kita kehilangan tanah bendang untuk menghasilkan makanan negara.

Di satu sudut yang lain, kini kita bertani dengan cara yang 'moden'. Moden bukan seperti yang berlaku di Barat. Moden apabila petani kita tidak perlu lagi turun ke bendang. Bermula dari membajak tanah bendang, menabur benih, membajakan pohon padi sampailah ke menuai semuanya dikontrakkan. Semuanya diupah. Jadi, tidak ada lagi petani yang akan dimakan lintah atau dibusukkan hanyir lumpur. Padi yang dituai dengan mesin itu pula akan terus dimasukkan ke dalam lori yang terus dihantar ke kilang. Jadi, yang dituai oleh petani ini bukan lagi padi, tetapi wang jualan. Dengan resit jualan padi itu pula, mereka kemudiannya menunjukkannya ke Lembaga Pertubuhan Peladang atau agensi pertanian berkaitan untuk tuntutan subsidi. Ya, begitulah ceritanya. Tidak ada lagi jelapang padi di belakang rumah seperti generasi kita yang silam. Jadi, jangan salahkan sesiapa kalau harga beras naik mendadak. Kita telah mengkomersilkannya, dan yang mengawal harga padi bukanlah para petani. Tetapi tauke di bandar yang tahu selok belok bisnis. Beras yang kita jual tadi akhirnya dipekkan ke dalam kampit dengan pelbagai jenama. Akhirnya kita terngaga besar apabila mendapat tahu harga beras naik. Mungkin beras yang kita beli tadi ialah beras yang datangnya dari belakang rumah kita.

Hendak disalahkah petani juga tidak betul. Sebab sepanjang berabad lamanya, menjadi petani tidak memungkinkan kita untuk membuat pinjaman bank bagi membeli kereta. Tidak ada satu agensi pun yang mengiktiraf petani sebagai satu pekerjaan. Malah, untuk meminang anak dara orang pun - petani - tidak sama jauh tarafnya dengan penganggur. Mereka lebih rela memilih pemuda yang bekerja sebagai despatch - yang malamnya mungkin merempit - kerana dia mampu menunjukkan slip gaji dan ada potongan KWSP. Bolehkah petani menunjukkan slip gajinya, dan siapakah pula yang pernah yakin dengan kehebatan seorang petani. Jadi, akhirnya berbondong-bondonglah pemuda dan pemudi kita ke Seberang Prai, Shah Alam atau Johor Bahru untuk bekerja kilang. Biar gajinya kecil, asalkan ada slip gaji yang boleh ditunjukkan kepada bakal bapa mentua!

Akhirnya tanah bendang jadi padang yang tidak ada harga. Dipenuhi semak samun. Kalau selama ini kita memperlecehkan petani, sampai masanya kini kita tahu siapakah sebenarnya yang berkuasa! Ah, tentu bukan petani. Tauke yang menjual beras!

Thursday, 17 April 2008

Yang kita tidak tahu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam dinding sudah menunjukkan jam 11.15 malam. Satu jam setengah lebih cepat dari Malaysia. Tapi, sebenarnya waktu sudah lewat. Matahari telah menjunam turun lebih awal, dan bangun lebih lewat dari bulan sebelumnya. Waktu-waktu seperti ini, biasanya aku dan Din sesekali akan singgah melepak di warung mamak di Taman Setiawangsa sambil menonton siaran ASTRO wide screen. 

Atau sesekali melepak di warung mamak di Gombak yang makanannya tidaklah sesedap mana. Cuma disebabkan manusia terlalu ramai di kedai mamak itu menjadikan kita terpengaruh dengan hukum keakuran (confirmity law) psikologi manusia. Kita terdorong untuk melakukan apa yang dilakukan orang lain, walaupun kita tak bersetuju dengannya. Sambil minum teh tarik atau kopi o, biasanya kami juga akan berbual tentang orang lain. 

Kami berbual tentang sistem perbankan yang bunganya selalu naik meninggi. Sesekali kami mempersoalkan sistem PTPTN yang menggerunkan, tetapi disebabkan tiada pilihan anak-anak orang susah terpaksa meminjam juga. Tapi, banyak dari tajuk perbualan kami tentulah tentang keceramukan kerja yang sedang dialami oleh Din, yang projeknya datang begitu banyak sekali. Cuma gajinya tak pernah setimpal. Kadang-kadang dia berasa ragu bagaimana syarikatnya boleh mendapat begitu banyak projek, sedangkan ketika kami bersama-sama dahulu, dengan kapasiti yang sama, susah pula nak dapat. 

Tentulah, kami juga membincangkan isu yang lain. Soal harga minyak, soal hutang, soal kad kredit, soal bonus, dan macam-macam. Ish.

Tapi, sebenarnya apa yang kami bualkan itu bukanlah sekadar masalah kami. Orang lain juga tentulah ada cerita dan topik mereka sendiri. Dan apa yang kami bualkan itu akan juga singgah dalam agenda kedai kopi mereka dari sudut yang berbeza. Apakan daya, kita hidup dalam dunia global. Kita memakai kereta buatan Jepun, menggunakan telefon buatan Findland, memakai minyak wangi dari Itali dan berseluar jean Levis buatan Thailand. 

Dunia hari ini, kita sebenarnya bergantung dengan orang lain. Semakin lemah, semakin kuatlah kita bergantung dengan orang. Kita tidak perlu mendakwa kita hebat dengan semata-mata membangunkan bangunan yang tinggi-tinggi, kalau pada masa yang sama kita mungkin belum mencipta jarum "Made in Malaysia". Dan hari ini, China telah menguasai dunia. Mereka mendahului dunia Barat sekalipun, menciptakan barang yang berkualiti dengan harga yang murah. 

Tapi bukanlah itu bermakna rakyatnya tidak pula berbual-bual tentang masalah di kedai kopi seperti kita. Selagi bernama manusia, tidak mungkin kita akan berasa puas hati. Ada sahaja perkara yang akan kita kritik dan komplen. Cuma yang tidak kita akan kritik ialah diri sendiri. Ketika melihat wajah yang hodoh di cermin pun, kita akan menyalahkan cermin! Itu maknanya kita masih manusia.

Din, seperti manusia Melayu lain punya banyak kelebihan. Dia orang seni yang ada kreativiti dan pandai komputer. Dan seperti kebanyakan Melayu yang lain, walaupun dia pandai, berbakat dan berpengalaman, tetapi dunia hari ini dia cuma mampu menjadi kuli dan bukan tauke. Taukenya pula tidaklah perlu sepandai Din. Tidak perlu berkelulusan tinggi. Cuma perlu ada sedikit bakat 'menyambung', maka dia ada potensi untuk berjaya. 

Untuk lebih memudahkan kejayaannya, maka yang perlu dilakukan oleh tauke tadi ialah bersembunyi di sebalik nama Ali. Ali inilah yang sebenarnya merosakkan agenda Dasar Ekonomi Baru. Ali ini malas berkerja teruk, tetapi hanya ingin mendapat untung di atas angin. Akhirnya, segala apa yang dirancang tidak sampai ke tangan Melayu seperti yang direncanakan. Malang sekali, Ali yang seperti ini bukan seorang, malah beratus atau beribu. Mudah sahaja untuk mengenal Ali. Berpakaian kemas, bertali leher dan sentiasa sibuk dengan perbualan melalui telefon. Tetapi untuk mencari tapak projeknya, sampai kiamat pun belum tentu kita boleh berjumpa. 

Yang menjadikan Ali begitu sibuk bukan kerana perniagaannya, tetapi kerana sibuknya menjaja dan menjual projek. Akhirnya yang untungnya ialah Baba, dan Din rakanku yang rajin dan kreatif tadi terus menjadi kuli. Begitulah nasib orang Melayu di abad ke-21, dan abad sebelumnya juga. Ali mungkin dapat beberapa peratus komisen.

Punca utamanya mudah sahaja. Malaysia ini asal namanya ialah Tanah Melayu. Jadi orang Melayu sering berasa menjadi tuan di tanah sendiri. Orang Melayu sentiasa berasa selamat dan tanpa curiga. Malah, orang Melayu sangat baik hati. Ambillah apa sahaja, asalkan jangan memegang kepalanya sahaja. Maka Melaka diberikan kepada Portugis dan Belanda. Negeri Melayu yang lain hilang ke tangan Inggeris. Negara Siam yang tidak pun terkenal sebagai kuasa penjajah dunia, malah mampu mengambil negeri utara Tanah Melayu. 

Lihatlah, betapa baiknya orang Melayu. Bahkan kini orang Melayu telah hilang banyak perkara. Kita hilang budaya, kita hilang bahasa. Politik pun sudah jadi macam-macam. Ekonomi jangan lagi dibincangkan. Ia sudah lama bukan di tangan orang Melayu. Melayu kita yang berjaya menjadi kontraktor kelas F kadang-kadang dengan penuh bangga bercakap projek berjuta-juta di depan pak cik dan mak cik di kampung. Apatah lagi dia mampu membeli kereta BMW. Bila melihat kejayaan sebegitu, kita terlupa banyak perkara lain. Kita terlupa siapa yang mengawal industri simen, besi dan kayu. 

Walaupun kontraktor tadi sibuk mencanangkan kejayaannya, sebenarnya yang lebih berjaya ialah tuan punya besi, simen dan kayu di belakangnya. Sesuatu perlu dilakukan oleh pejuang agar tidak berlaku banyak sangat kebocoran tenaga dan usaha. Lobi sana sini mendapatkan projek, sedangkan untungnya tak seberapa. Orang lain mendapat susu, kita cuma dapat tahi sapi!

Din, walaupun dia bagus dalam grafik, tahu segala-galanya tapi jika sekalipun dia memulakan perniagaan, dia berhadapan dengan cabaran yang sukar. Dia tidak mampu menandingi harga yang ditawarkan oleh peniaga di Jalan Pudu yang memiliki segala-galanya dari rekaan sampailah ke percetakan. Jadi, yang paling baik Din boleh dapatkan cumalah projek, dan akhirnya dia terpaksa juga menghadiahkan banyak untungnya kepada penguasa bisnis percetakan yang dikawal orang lain. 

Hasrat Din untuk menjadi tauke tentu tidak akan kesampaian. Dengan gajinya yang tidaklah besar, anak-anaknya yang semakin bertambah, sewa rumah yang kian meningkat, harga barang yang tinggi, semuanya akan menyusahkan kehidupan Din. Kini yang bakal menjadi teman paling baik untuk manusia seperti Din ialah gadis-gadis Khidmat Pelanggan dari bank di ibu negara yang akan bertanyakan macam-macam termasuklah hutang kad kredit dan kereta. Dan semua ini akan menyebabkan Din kebingungan dan marah tidak tentu pasal terhadap sesiapa sahaja. Mungkin kemarahannya itu telah dia tunjukkan dalam pilihanraya yang lalu. Kita tidak tahu.

Dan, orang seperti Din tentulah bukan seorang.

Changlun - edisi kalau aku boleh pulang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama sudah tidak aku memijak tanah Malaysia yang kini sedang berkocak dengan isu pasca pilihanraya yang belum selesai. Sejak akhir-akhir ini aku terasa ingin pulang ke kampung. Bukanlah tujuan untuk aku melihat apakah negeri tumpah darahku, Kedah yang kini ditadbir oleh Parti Islam telah berubah lanskap fizikal, budaya dan normanya. 

Atau aku ingin singgah di Perak yang kini dikuasai oleh kerajaan campuran PAS-PKR-DAP itu telah berubah tajuk perbualan di kedai kopinya. Atau semata-mata pulang untuk melihat negeri Selangor yang telah menjadi sebahagian besar pencatat sejarah hidupku sejak tahun 1992 lagi kini berubah polisi dan rentak tadbir urusnya. 

Aku tidak berminat dengan semua itu. Kerana seperti dalam apa bentuk gelora sekalipun, gejolak itu ada di dalam. Kita tidak mampu melihatnya dengan mata kasar. Perubahan yang berlaku itu adalah perubahan nilai dan persepsi masyarakat terhadap politik negara, dan tidaklah ia mampu mengubah lanskap kehidupan manusia dalam waktu yang terdekat ini.

Cuma aku rindukan beberapa tempat yang penting dalam hidup. Changlun salah satu daripadanya. Ia bukanlah sebuah bandar besar ataupun kota metropolitan. Changlun, atau dalam bahasa asalnya "Chang - len" dari bahasa Siam yang bermaksud 'gajah jatuh' mempunyai keunikan yang tersendiri. Walaupun di pekan sekecil itu tidaklah mempunyai daya tarik seperti KLCC atau pasaraya SOGO, tetapi itulah tempat yang memperkenalkan aku dengan permulaan hidup. 

Kerana aku dilahirkan di Changlun itu jugalah memungkinkan aku untuk berbangga dengan bahasa ibunda "Thai" yang aku faham dan bertutur dengan fasih sejak aku mula berbahasa. Changlun itu jugalah yang memperkenalkan aku dengan begitu teruknya hidup sebagai orang miskin yang sering dilupakan dari tabung derma para korporat. Mereka lebih berbangga melakukan sumbangan bagi aktiviti memacakkan bendera di Gunung Everest yang menelan belanja berjuta-juta, berbanding menyumbangkan beberapa ringgit untuk anak-anak miskin yang tidak mampu makan pagi ketika ke sekolah. 

Sewaktu kecil, ramai orang kampungku ditangkap kerana mengedar dadah, dan sebahagian besar daripadanya sama ada dikurung di Pulau Jerjak atau dibuang di Simpang Renggam. Ketika itu, aku selalu menyangka bahawa mereka itu manusia yang jahat dan tidak wajar menjadi warganegara. Kini, setelah 36 tahun bernafas, aku mula memahami betapa mereka bukanlah sengaja memilih menjual ganja atau heroin. 

Tetapi mereka memilihnya untuk hidup. Mereka memilih sedikit penderitaan berbanding dengan 'penderitaan yang terpaksa' ditanggung anak-anak dan isteri mereka. Semuanya kini telah bebas dan menjadi manusia biasa. Nampaknya, mereka bukanlah orang yang jahat seperti yang aku bayangkan. Bahkan, mereka mungkin lebih mulia daripada kebanyakan orang yang berpura-pura baik. Mereka terpaksa kerana kemiskinan.

Di pekan Changlun itu jugalah aku belajar untuk merasakan teruknya berbasikal ke sekolah merentas gelap desa dan hutan belukar untuk ke sekolah sejauh 3 batu. Biasanya ketika pulang sekolah kami terpaksa mengayuh di tengah terik matahari 30 darjah celcius. Dan, kami terpaksa singgah sebentar di sebuah telaga di Kampung Paya Nongmi untuk meminum air telaga. Malangnya, kini telaga itu sudah tidak ada lagi. 

Sekurang-kurangnya setelah dewasa dan memiliki kenderaan besar, kita akan faham betapa basikal buruk itulah yang lebih berharga. Basikal itu yang membawa kita ke sekolah, ke masjid mengaji al-Quran dan ke kedai untuk membeli pesanan ibu. Tetapi kereta besar yang kita pakai itu belum tentu memandu kita untuk kerja-kerja mulia. Malah, kita banyak menghabiskan masa dengan memaki hamun orang lain di sebelah ketika jalan macet. Kita menyalahkan orang yang tidak tahu apa-apa pun tentang ilmu jalan raya.

Namun, ada beberapa perkara lagi yang indah mengenai Changlun. Di situlah aku berkenalan dan berjumpa dengan Allahyarham Tok Guru Haji Umar yang membawa aku untuk mengenal makna hamba. Walaupun mustahil aku mampu menjadi manusia sebaik beliau, tetapi sekurang-kurangnya aku tahu bahawa ada hal yang boleh dan tidak boleh dalam agama. 

Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa yang berserban tebal itu belum tentu tahu, dan yang berbaju buruk itu belum tentu jahil. Banyak yang tersirat dalam hidup manusia. Ada yang mencari makan, ada yang menghindar dari termakan. Di situ jugalah kita tahu betapa ilmu dari universiti belum tentu mampu untuk membolehkan kita pandai segala-galanya, lebih baik dari manusia lain. Universiti hanya sebahagian tempat mencedok ilmu. Itupun dalam kapasiti yang terbatas dan dalam ruang lingkup tradisi yang berbeza.

Untuk Din, sepupuku di kampung: Ada yang masih kita cari dan belum ditemukan.

Saturday, 12 April 2008

Ada yang belum selesai (1)

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide dilanda cuaca tidak menentu sejak beberapa hari ini. Mendung, hujan, cerah, panas dan dingin bercampur sekaligus menjadikan aktiviti memancing tidak begitu mempesonakan. Namun, ada perkara yang pasti tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan isteri aku ialah hobi barunya mengkoleksikan novel oleh penulis Sydney Sheldon yang terkenal itu, yang kini sudah berjumlah 17 buah. Dia cuma terkurang satu lagi buku. Namun, hobi dia menghimpun pinggan mangkuk Corell dan Noritake tentulah tidak ada penghujungnya sebab tidak ada apa-apa catatan yang menceritakan berapa jenis pinggan mangkuk yang dihasilkan seperti mana novel Sydney Sheldon tadi. Sydney Sheldon pula telah meninggal dunia, sedangkan penghasil Noritake dan Corell boleh jadi sesiapa sahaja. Itu bezanya.

Aku sejak mutakhir ini tidak lagi cenderung untuk menjadi supir aku ke Garage Sale. Isteri aku yang sudah kembali 'in - form' dalam memandu nampaknya sudah keluar awal-awal lagi setiap Sabtu dan Ahad. Menjadikan aku terasa seperti keluar dari penjara Sungai Buloh! Luqman juga tidak berminat ke Garage Sale seperti aku kerana koleksi barang mainan "Made in China' sudah memenuhi setiap ruang rumah aku, dari dapur ke ruang tamu sampailah ke bilik tidur. Bagusnya, barang mainan di sini yang lebih bersifat 'problem solving' itu dijual dengan harga yang sangat murah, di antara AUD 1-5 dolar sahaja. Tidak banyak barang-barang yang merangsang minda ganas anak-anak seperti pisau dan pistol boleh didapatkan di sini.

Sebenarnya budaya Garage Sale ini didatangkan dari dunia sebelah England. Istilahnya mungkin diasaskan kepada menjual barang-barang terpakai di bawah garaj kereta. Aku tidak pasti, kerana aku tidak berminat untuk menggogle untuk mengetahui hal itu. Tetapi, ada sahabat berkata, cuma garage sale ini wujud di Adelaide dan Perth sahaja. Kota besar seperti Melbourne dan Sydney tidak ada Garage Sale. Aku tidak tahu sebabnya.

Itulah antara perkara yang belum selesai. Sebenarnya banyak lagi yang belum selesai. Hutang orang, hutang bank dan proposal kajian juga belum selesai. Oh ada lagi yang belum selesai. Kemelut politik negara. Ataukah bolehkah kita katakan sebagai kemelut politik Melayu? Aku akan menulis perkara ini nanti.

Sunday, 6 April 2008

Memaksakan kejayaan.

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masuk universiti jadi idaman dan harapan banyak orang. Bukan sekadar pelajar lulusan SPM atau STPM, tetapi juga yang sudah lama meninggalkan alam sekolah. Di USM, ada program untuk golongan veteran untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi. Harapan yang tinggi untuk untuk anak-anak melanjutkan pengajian di universiti bukan hanya oleh guru, ibu bapa, tetapi juga kelompok sosial masyarakat. Untuk memastikan universiti dapat dijejaki oleh anak-anak, maka pelajar terbeban dengan tekanan yang berat. Buku sekolah, kesibukan tuisyen, dan hilangnya keriangan zaman bermain adalah simptom penyakit masyarakat moden. Kita membebankan anak-anak kita dengan mimpi orang dewasa.


Pada hemat aku, ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Mengapa kita begitu memberatkan anak-anak kita dengan beban yang sama hebatnya dengan orang tua. Malah, untuk memastikan anak-anak berjaya dalam peperiksaan UPSR pun, kita sanggup menghilangkan banyak masa bermain mereka. Pulang sekolah jam 1 tengah hari, kita memaksa mereka menghadiri kelas tuisyen. Ada yang sampai malam. Mereka hilang waktu bermain. Apa tujuannya? Bermain untuk anak-anak fungsinya bukan sekadar 'main-main' seperti yang kita selalu fikir. Bermain untuk kanak-kanak ialah asas pembelajaran sosial. Mereka belajar banyak perkara dengan bermain.

Sistem pendidikan kita sangat memfokuskan akademik. Hanya A dalam setiap matapelajaran yang kita anggap sempurna. Kita andaikan pelajar yang mendapat A itu manusia yang terhebat, pintar dan sempurna. Kita tidak begitu berfikir, mungkinkah yang mendapatkan A itu ialah kerana hafalan, bukan berfikir. Menghafal dan berfikir adalah dua hal yang berbeza. Keupayaan menghafal nombor telefon misalnya bukanlah bermakna pintar, melainkan keupayaan untuk menghafal digit. Keupayaan menghafal tidak semestinya berupaya juga berfikir dan melakukan penakulan yang baik. Itu yang harus kita faham dan jangan selalu tersalah anggap.

Ada anak-anak kita yang apabila mendapat keputusan peperiksaan yang buruk, kita menyalahkan mereka. Seolah-olahnya tiada lagi esok untuk mereka. Kita begitu teruja untuk menang, tetapi tidak mahu menerima hakikat kekalahan. Anak-anak yang tidak lulus dengan baik dianggap bodoh, tidak ada masa depan dan bahkan ditanggap bakal menjadi ahli masyarakat yang rosak. Betulkah? Bukankah lulus dan gagal itu sebahagian ragam hidup manusia? Seperti kutub magnet. Ada positif dan negatif. Mengapa hanya kita cenderung untuk satu pola sahaja. 

Kita sering cenderung untuk pola yang dipandang tinggi. Sebab itu, ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk dianggap berjaya. Dalam politik, orang sanggup merasuah dan berpolitik wang. Dalam peperiksaan, orang sanggup meniru. Untuk mendapatkan lesen, ada yang sanggup membayar orang dalam. Semuanya kerana kita hanya taksub dengan satu pola hidup.

Sesekali cuba kita bertanya, berapa banyak di antara kita yang tidak pernah gagal? Dalam pekerjaan, adakah setiap tahun kita menikmati bonus kerana prestasi yang bagus? Selama kita mengerjakan kerja bertani atau berkebun, adakah kita berjaya setiap musim. Bukankah jumlah kejayaan dan kegagalan itu sama banyak sahaja? Jadi, mengapa kita tidak adil dengan anak-anak, dengan memaksakan mereka hanya untuk mendapat kecemerlangan. Mengapa ada yang sanggup mengherdik dan mematikan semangat anak-anak kita yang tidak cemerlang?

Bukankah baik kalau kita juga melihat diri sendiri. Sufiah Farouk, pelajar pintar yang memasuki Oxford University seusia 13 tahun. Ia menjadi pujaan. Benar, dia pintar dalam pendidikan. Tapi, lihatlah bagaimana hidupnya kini. Jadi, apakah semata-mata prestasi akademik itu dianggap jejayaan hidup manusia. Mengapa kita tidak menghargai kegagalan dan memberikan ruang untuk yang gagal mencipta kejayaan dalam bentuk yang lain. Dan bukan dia seorang yang rekod akademiknya dicalarkan dengan tragedi seperti itu. Ada banyak lagi manusia lain yang jadi begitu.

Kejayaan manusia bukan semata-mata kecemerlangan akademik. Banyak ahli korporat yang tidak pun bersekolah tinggi. Ramai lulusan universiti yang tidak pun berjaya mendapat pekerjaan. Tidak juga ramai graduan yang boleh diajak berbual dengan hal-hal yang tinggi dan memerlukan daya pemikiran. Semua ini membuktikan kejayaan bukan hanya datangnya dari bilik kuliah. Kejayaan datang dan ada di mana-mana. Jadi, untuk mereka yang memiliki ijazah berkeping-keping, janganlah terlalu sombong. Yang tidak memiliki sijil pula, jangan merasa rendah diri. Kita semua sama sahaja. Akademik bukan segala-galanya

Thursday, 3 April 2008

Musim yang satu lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Suasana di Adelaide yang panas sejak beberapa bulan yang lalu tiba-tiba sejuk. Musim bertukar. Masa berubah. Dahulu musim panas. Sekarang musim gugur. Seperti politik. Mulanya panas pilihanraya, kemudian ada yang gugur! Dulu, kita masih boleh melihat matahari turun jam 9 malam. Kini, matahari turun lebih awal. Jam 7.30, keadaan di Adelaide sudah jadi kelam dan sunyi. Menunggu bas di celah kedinginan menjadikan kita begitu bencikan bas yang berwarna kuning itu.

Selain kecekapan sistem pengangkutannya, yang membezakan Adelaide dengan Kuala Lumpur, ialah di sini tidak begitu banyak penyangak. Di Kuala Lumpur, belum sempat kita berdiri menunggu bas, ada sahaja mat-mat pet yang datang meminta wang. 

Malamnya pula bising dengan keriuhan mat rempet. Kuala Lumpur dan Adelaide, dua alam yang berbeza. Ada di antara kita mendakwa Islam kita lebih baik dari orang lain. Tapi, di Adelaide yang orang putihnya mungkin tidak faham pun agama mereka sendiri, bersikap lebih santun dan mesra manusia. Begitulah.

Jadual hidup aku juga banyak yang berubah. Tidak ada lagi roti canai, teh tarik dan lepak di kedai kopi. Tapi, yang masih tak berubah, aku tetap makan nasi. Lauknya pula mungkin lebih banyak dari yang pernah aku makan di Malaysia. Walaupun tidak banyak kedai daging dan ayam yang halal, tetapi banyak orang Pakistan di sini yang berjaya membuka kedai. 

Di Asian Grocery, banyak produk halal yang dihasilkan dari negara Thailand. Mereka tidak pernah pun membising pun mahu menjadi 'hub-halal', tetapi nampaknya banyak produk halal dari negara Buddha itu berbanding dengan Malaysia.

Bahkan ada produk halal dari Hong Kong. Nampaknya orang Islam perlu belajar dari negara bukan Islam untuk memasarkan produk halal. Kita perlu banyak belajar dari mereka. Mengekspot ikan masin dan buah petai pun boleh jadi permulaan yang baik. Sekarang ini, kami bergantung harap dari produk dari Thailand dan Vietnam.

Aku juga sudah memulakan aktiviti menghasilkan produk halal. Beberapa hari kebelakangan ini, entah mabuk apa, aku mendapat begitu banyak ikan bream yang dipancing di West Lake. Memandangkan aku dah meluat melihat ikan itu, selalunya aku berikan kepada abang Zul. Mungkin lepas ini aku boleh buka pasar ikan di Adelaide!

Isteri aku, yang dahulunya terkenal seantero Sungai Kerang sebagai satu-satunya tukang masak berijazah di warung pak mentua aku (tentulah aku juga satu-satunya pemegang ijazah master yang memancuh teh tarik!) kini kembali menyibukkan diri dengan masak-masak. Rumah aku sudah jadi sebahagian hub untuk makan-makan di hari Sabtu atau Ahad. Kadang-kadang ramai, kadang-kadang sedikit orangnya. Kalau tidak makan di rumah sewa buruk aku di Rose St, aku boleh juga makan-makan di rumah Jabar, Sidi, Abang Zul atau Abang Nizam. Yang paling penting, semua itu percuma!

Adelaide, bandar sepi yang dingin kini sedang dilanda musim yang satu lagi - musim buah epal. Dengan ladang-ladangnya yang besar di Adelaide Hill, setiap pengunjung boleh memetik sendiri buah epal dengan harga sekilo AUD 1.20. Murah. Buah-buah itu berguguran jatuh ke bumi, seperti mana tak berharganya buah macang di kampung kita. Tapi kalau semata-mata mahu makan buah epal, tak perlulah datang sampai ke Adelaide. Cukuplah di beli di pasar malam Changlun!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails