Yang Ikut

Showing posts with label garage sale. Show all posts
Showing posts with label garage sale. Show all posts

Saturday, 13 December 2008

Ini baru "Garage Sale"

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Banyak kali aku sebut 'garage sale' dalam blog ini. Tapi tentu orang yang tak biasa tak tahu dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan 'garage sale'. Garage sale bukanlah 'perniagaan' yang rasmi. Ia merupakan cara penduduk di sini mengurangkan barang-barang yang ada di dalam rumah mereka dengan menjualnya di dalam garaj. Ia hanya ada pada hari Sabtu dan Ahad. Ia murah. Ia bukan 'car boot sale' seperti di UK. Tidak pasti ada atau tidak garage sale di sana. Nanti kita minta Sdr K.A.M.K tulis. Dia pun dah lama diam.


Apa yang boleh kita beli di garage sale ini? Macam-macam ada. Di rumah aku isteri aku telah mencukupkan koleksi 18 novel karya Sidney Sheldon yang ternama itu. Anda jangan bernafsu serakah untuk mencari buku ke-19 di garage sale di kampung anda. Sidney Sheldon dah mati. Buku yang ke-19 ialah buku biografi Sidney Sheldon yang ditulis anaknya.


Apa lagi yang ada? Kita juga boleh mengkoleksikan segala jenis tupperware yang berjenama 'tupperware' itu. Harganya mungkin hanya $ 0.10 sebiji. Anda juga mungkin begitu teruja untuk membongkak kekayaan anda itu dengan menunjukkan koleksi pinggan mangkuk berjenama terkenal Corell dan Noritake. Ia juga boleh dibeli dengan harga tidak lebih $10.00. Harga di Malaysia mungkin ratusan ringgit, bahkan mungkin mencecah angka puluh ribu untuk set Noritake. (Nota: tidak semua Noritake boleh dipakai oleh orang Islam kerana ada salutan emas pada pinggan tersebut. Ada juga yang diperbuat daripada tulang).


Anda juga boleh membeli banyak lagi keperluan lain yang pelik-pelik. Termasuk tempat untuk mengisi rempah ratus yang unik lagi sentimental. Semua ini tentu tak ada (tak mampu) kalau kita tidak membelinya di garage sale. Jadi, untuk kali ini aku memuji seluruh kaum hawa di Adelaide yang berkerja keras ke garage sale. Biarlah sesekali kita terngaga mengantuk di dalam kereta. Itu lebih baik daripada mereka mengubah fikiran berbelanja di DisignerDirect atau di Harris Scarf yang boleh menyebabkan kita pening kepala.


Begitulah hebatnya garage sale. Ia menjual segala kelengkapan anda dari barang yang perlu sehinggalah kepada barang-barang yang tidak perlu. Cuma yang belum orang jual di garage sale ialah lembu dan kerbau! Oh ya - Aku juga mempunyai topi koboi kulit yang dibeli dengan harga $1.

Jadi tahniah untuk wanita. Pergilah ke garage sale. Kalau boleh bawalah tilam bantal bersama!

Thursday, 11 December 2008

Ini bukan Garage Sale

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tidak ada banyak hal untuk diceritakan. Aku menghabiskan banyak masa duduk di bawah garage untuk menulis. Setelah sekian lama, baru aku tahu garage itu tempat yang begitu sesuai untuk menulis. Di garage itu, walaupun keadaannya agar tidak tersusun, tetapi ia memberikan banyak idea untuk terus menulis. Jadi tajuk cerita ini seharusnya "INI BUKAN GARAGE SALE"

Aku tidak ingat sejak bila aku mula menulis. Mungkin sejak zaman sekolah rendah. Tetapi aku sudah mula dikenalkan dengan huruf sejak sebelum masuk sekolah lagi. Waktu itu, bapaku yang mengajar kami huruf. Tapi bukan seperti taxonomi pengajaran moden, cara orang tua mengajar agak berbeza. Autokratik dan didenda. Kadang-kadang kami ditunjukkan bulu landak yang tajam itu agar memerhatikan huruf dengan teliti. Itu cara orang dulu.

Aku mula menulis secara rasmi (dalam erti kata yang lain dibayar gaji) sekitar tahun 1998. Aku masih ingat lagi temuduga pertama itu berlaku di sebuah kedai mamak. Memandangkan aku tidak mempunyai sebarang hasil tulisan, melainkan hanya tesis - jadi aku tunjukkan koleksi sajak-sajak yang aku tulis di bangku universiti. Aku ada banyak sajak, tapi hilang.

Antara sajak yang aku masih ingat ialah "Lukisan yang tak siap". Antara isinya - 'maafkan aku, jika lukisan itu tak sempat kita siapkan, engkau kehilangan warna, aku kehilangan kata'. Itu sajak orang kecewa, orang putus asa. Merry kawan aku tentu tau cerita sajak ni. Aku tulis tahun 1995.

Sejak itu aku mula menulis. Jangan tanya apa yang aku tulis. Bukan sajak atau novel tentunya. Tapi itulah pekerjaan yang lakukan sejak beberapa lama. Hingga kadang-kadang terasa ingin termuntah. Sesekali ada juga aku jadi juri budak-budak menulis cerpen. Sesekali jadi pembantu editor untuk buku pelancongan.

Kemudiannya bila umur semakin tua - aku ditugaskan dengan pekerjaan lain. Tapi aku fikir itulah pekerjaan yang baik dan menyeronokkan. Aku cuma menulis ayat-ayat untuk iklan di suratkhabar, radio atau kata-kata di televisyen. Ini memang kerja bagus. Cuma fikir ayat yang ringkas. Din, kawan aku itu pula akan mencari gambar yang sesuai. Jadi dia tak boleh berkerja tanpa ayat yang aku beri, dan aku pula tak mungkin memberikan ayat tanpa gambar yang dia tunjukkan.

Pernah sekali kami cuba mencari projek luar untuk sebuah parti politik. Kami hanya dibekalkan dengan gambar dengan sedikit penerangan. Kami hanya mempunyai masa 24 jam untuk menyiapkan kerja kami. Kerana tempoh yang singkat, tak ada yang mahu buat. Cuma aku dan Din yang sanggup buat. Hari itu selama 12 jam cukup dari 8 malam hingga ke 8 pagi kami tak tidur. Kerja aku cuma meng'ayat', Din pula melakukan kerja-kerja grafik dan layout. Bagusnya kerja seperti ini kami dapat 'cash'.

Sekarang ini - nampaknya terpaksa menulis lagi. Walaupun aku tidaklah takut untuk menulis, tetapi menulis PhD nampaknya tidaklah begitu mudah sangat. Tapi ingat, ia juga bukanlah sesuatu yang susah. Tugas anda ialah mencari garage yang sesuai untuk menulis.

Saturday, 12 April 2008

Ada yang belum selesai (1)

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide dilanda cuaca tidak menentu sejak beberapa hari ini. Mendung, hujan, cerah, panas dan dingin bercampur sekaligus menjadikan aktiviti memancing tidak begitu mempesonakan. Namun, ada perkara yang pasti tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan isteri aku ialah hobi barunya mengkoleksikan novel oleh penulis Sydney Sheldon yang terkenal itu, yang kini sudah berjumlah 17 buah. Dia cuma terkurang satu lagi buku. Namun, hobi dia menghimpun pinggan mangkuk Corell dan Noritake tentulah tidak ada penghujungnya sebab tidak ada apa-apa catatan yang menceritakan berapa jenis pinggan mangkuk yang dihasilkan seperti mana novel Sydney Sheldon tadi. Sydney Sheldon pula telah meninggal dunia, sedangkan penghasil Noritake dan Corell boleh jadi sesiapa sahaja. Itu bezanya.

Aku sejak mutakhir ini tidak lagi cenderung untuk menjadi supir aku ke Garage Sale. Isteri aku yang sudah kembali 'in - form' dalam memandu nampaknya sudah keluar awal-awal lagi setiap Sabtu dan Ahad. Menjadikan aku terasa seperti keluar dari penjara Sungai Buloh! Luqman juga tidak berminat ke Garage Sale seperti aku kerana koleksi barang mainan "Made in China' sudah memenuhi setiap ruang rumah aku, dari dapur ke ruang tamu sampailah ke bilik tidur. Bagusnya, barang mainan di sini yang lebih bersifat 'problem solving' itu dijual dengan harga yang sangat murah, di antara AUD 1-5 dolar sahaja. Tidak banyak barang-barang yang merangsang minda ganas anak-anak seperti pisau dan pistol boleh didapatkan di sini.

Sebenarnya budaya Garage Sale ini didatangkan dari dunia sebelah England. Istilahnya mungkin diasaskan kepada menjual barang-barang terpakai di bawah garaj kereta. Aku tidak pasti, kerana aku tidak berminat untuk menggogle untuk mengetahui hal itu. Tetapi, ada sahabat berkata, cuma garage sale ini wujud di Adelaide dan Perth sahaja. Kota besar seperti Melbourne dan Sydney tidak ada Garage Sale. Aku tidak tahu sebabnya.

Itulah antara perkara yang belum selesai. Sebenarnya banyak lagi yang belum selesai. Hutang orang, hutang bank dan proposal kajian juga belum selesai. Oh ada lagi yang belum selesai. Kemelut politik negara. Ataukah bolehkah kita katakan sebagai kemelut politik Melayu? Aku akan menulis perkara ini nanti.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails