Yang Ikut

Showing posts with label corell. Show all posts
Showing posts with label corell. Show all posts

Saturday, 13 December 2008

Ini baru "Garage Sale"

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Banyak kali aku sebut 'garage sale' dalam blog ini. Tapi tentu orang yang tak biasa tak tahu dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan 'garage sale'. Garage sale bukanlah 'perniagaan' yang rasmi. Ia merupakan cara penduduk di sini mengurangkan barang-barang yang ada di dalam rumah mereka dengan menjualnya di dalam garaj. Ia hanya ada pada hari Sabtu dan Ahad. Ia murah. Ia bukan 'car boot sale' seperti di UK. Tidak pasti ada atau tidak garage sale di sana. Nanti kita minta Sdr K.A.M.K tulis. Dia pun dah lama diam.


Apa yang boleh kita beli di garage sale ini? Macam-macam ada. Di rumah aku isteri aku telah mencukupkan koleksi 18 novel karya Sidney Sheldon yang ternama itu. Anda jangan bernafsu serakah untuk mencari buku ke-19 di garage sale di kampung anda. Sidney Sheldon dah mati. Buku yang ke-19 ialah buku biografi Sidney Sheldon yang ditulis anaknya.


Apa lagi yang ada? Kita juga boleh mengkoleksikan segala jenis tupperware yang berjenama 'tupperware' itu. Harganya mungkin hanya $ 0.10 sebiji. Anda juga mungkin begitu teruja untuk membongkak kekayaan anda itu dengan menunjukkan koleksi pinggan mangkuk berjenama terkenal Corell dan Noritake. Ia juga boleh dibeli dengan harga tidak lebih $10.00. Harga di Malaysia mungkin ratusan ringgit, bahkan mungkin mencecah angka puluh ribu untuk set Noritake. (Nota: tidak semua Noritake boleh dipakai oleh orang Islam kerana ada salutan emas pada pinggan tersebut. Ada juga yang diperbuat daripada tulang).


Anda juga boleh membeli banyak lagi keperluan lain yang pelik-pelik. Termasuk tempat untuk mengisi rempah ratus yang unik lagi sentimental. Semua ini tentu tak ada (tak mampu) kalau kita tidak membelinya di garage sale. Jadi, untuk kali ini aku memuji seluruh kaum hawa di Adelaide yang berkerja keras ke garage sale. Biarlah sesekali kita terngaga mengantuk di dalam kereta. Itu lebih baik daripada mereka mengubah fikiran berbelanja di DisignerDirect atau di Harris Scarf yang boleh menyebabkan kita pening kepala.


Begitulah hebatnya garage sale. Ia menjual segala kelengkapan anda dari barang yang perlu sehinggalah kepada barang-barang yang tidak perlu. Cuma yang belum orang jual di garage sale ialah lembu dan kerbau! Oh ya - Aku juga mempunyai topi koboi kulit yang dibeli dengan harga $1.

Jadi tahniah untuk wanita. Pergilah ke garage sale. Kalau boleh bawalah tilam bantal bersama!

Saturday, 12 April 2008

Ada yang belum selesai (1)

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide dilanda cuaca tidak menentu sejak beberapa hari ini. Mendung, hujan, cerah, panas dan dingin bercampur sekaligus menjadikan aktiviti memancing tidak begitu mempesonakan. Namun, ada perkara yang pasti tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan isteri aku ialah hobi barunya mengkoleksikan novel oleh penulis Sydney Sheldon yang terkenal itu, yang kini sudah berjumlah 17 buah. Dia cuma terkurang satu lagi buku. Namun, hobi dia menghimpun pinggan mangkuk Corell dan Noritake tentulah tidak ada penghujungnya sebab tidak ada apa-apa catatan yang menceritakan berapa jenis pinggan mangkuk yang dihasilkan seperti mana novel Sydney Sheldon tadi. Sydney Sheldon pula telah meninggal dunia, sedangkan penghasil Noritake dan Corell boleh jadi sesiapa sahaja. Itu bezanya.

Aku sejak mutakhir ini tidak lagi cenderung untuk menjadi supir aku ke Garage Sale. Isteri aku yang sudah kembali 'in - form' dalam memandu nampaknya sudah keluar awal-awal lagi setiap Sabtu dan Ahad. Menjadikan aku terasa seperti keluar dari penjara Sungai Buloh! Luqman juga tidak berminat ke Garage Sale seperti aku kerana koleksi barang mainan "Made in China' sudah memenuhi setiap ruang rumah aku, dari dapur ke ruang tamu sampailah ke bilik tidur. Bagusnya, barang mainan di sini yang lebih bersifat 'problem solving' itu dijual dengan harga yang sangat murah, di antara AUD 1-5 dolar sahaja. Tidak banyak barang-barang yang merangsang minda ganas anak-anak seperti pisau dan pistol boleh didapatkan di sini.

Sebenarnya budaya Garage Sale ini didatangkan dari dunia sebelah England. Istilahnya mungkin diasaskan kepada menjual barang-barang terpakai di bawah garaj kereta. Aku tidak pasti, kerana aku tidak berminat untuk menggogle untuk mengetahui hal itu. Tetapi, ada sahabat berkata, cuma garage sale ini wujud di Adelaide dan Perth sahaja. Kota besar seperti Melbourne dan Sydney tidak ada Garage Sale. Aku tidak tahu sebabnya.

Itulah antara perkara yang belum selesai. Sebenarnya banyak lagi yang belum selesai. Hutang orang, hutang bank dan proposal kajian juga belum selesai. Oh ada lagi yang belum selesai. Kemelut politik negara. Ataukah bolehkah kita katakan sebagai kemelut politik Melayu? Aku akan menulis perkara ini nanti.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails