Yang Ikut

Thursday, 17 April 2008

Yang kita tidak tahu

Reactions: 
Jam dinding sudah menunjukkan jam 11.15 malam. Satu jam setengah lebih cepat dari Malaysia. Tapi, sebenarnya waktu sudah lewat. Matahari telah menjunam turun lebih awal, dan bangun lebih lewat dari bulan sebelumnya. Waktu-waktu seperti ini, biasanya aku dan Din sesekali akan singgah melepak di warung mamak di Taman Setiawangsa sambil menonton siaran ASTRO wide screen. 

Atau sesekali melepak di warung mamak di Gombak yang makanannya tidaklah sesedap mana. Cuma disebabkan manusia terlalu ramai di kedai mamak itu menjadikan kita terpengaruh dengan hukum keakuran (confirmity law) psikologi manusia. Kita terdorong untuk melakukan apa yang dilakukan orang lain, walaupun kita tak bersetuju dengannya. Sambil minum teh tarik atau kopi o, biasanya kami juga akan berbual tentang orang lain. 

Kami berbual tentang sistem perbankan yang bunganya selalu naik meninggi. Sesekali kami mempersoalkan sistem PTPTN yang menggerunkan, tetapi disebabkan tiada pilihan anak-anak orang susah terpaksa meminjam juga. Tapi, banyak dari tajuk perbualan kami tentulah tentang keceramukan kerja yang sedang dialami oleh Din, yang projeknya datang begitu banyak sekali. Cuma gajinya tak pernah setimpal. Kadang-kadang dia berasa ragu bagaimana syarikatnya boleh mendapat begitu banyak projek, sedangkan ketika kami bersama-sama dahulu, dengan kapasiti yang sama, susah pula nak dapat. 

Tentulah, kami juga membincangkan isu yang lain. Soal harga minyak, soal hutang, soal kad kredit, soal bonus, dan macam-macam. Ish.

Tapi, sebenarnya apa yang kami bualkan itu bukanlah sekadar masalah kami. Orang lain juga tentulah ada cerita dan topik mereka sendiri. Dan apa yang kami bualkan itu akan juga singgah dalam agenda kedai kopi mereka dari sudut yang berbeza. Apakan daya, kita hidup dalam dunia global. Kita memakai kereta buatan Jepun, menggunakan telefon buatan Findland, memakai minyak wangi dari Itali dan berseluar jean Levis buatan Thailand. 

Dunia hari ini, kita sebenarnya bergantung dengan orang lain. Semakin lemah, semakin kuatlah kita bergantung dengan orang. Kita tidak perlu mendakwa kita hebat dengan semata-mata membangunkan bangunan yang tinggi-tinggi, kalau pada masa yang sama kita mungkin belum mencipta jarum "Made in Malaysia". Dan hari ini, China telah menguasai dunia. Mereka mendahului dunia Barat sekalipun, menciptakan barang yang berkualiti dengan harga yang murah. 

Tapi bukanlah itu bermakna rakyatnya tidak pula berbual-bual tentang masalah di kedai kopi seperti kita. Selagi bernama manusia, tidak mungkin kita akan berasa puas hati. Ada sahaja perkara yang akan kita kritik dan komplen. Cuma yang tidak kita akan kritik ialah diri sendiri. Ketika melihat wajah yang hodoh di cermin pun, kita akan menyalahkan cermin! Itu maknanya kita masih manusia.

Din, seperti manusia Melayu lain punya banyak kelebihan. Dia orang seni yang ada kreativiti dan pandai komputer. Dan seperti kebanyakan Melayu yang lain, walaupun dia pandai, berbakat dan berpengalaman, tetapi dunia hari ini dia cuma mampu menjadi kuli dan bukan tauke. Taukenya pula tidaklah perlu sepandai Din. Tidak perlu berkelulusan tinggi. Cuma perlu ada sedikit bakat 'menyambung', maka dia ada potensi untuk berjaya. 

Untuk lebih memudahkan kejayaannya, maka yang perlu dilakukan oleh tauke tadi ialah bersembunyi di sebalik nama Ali. Ali inilah yang sebenarnya merosakkan agenda Dasar Ekonomi Baru. Ali ini malas berkerja teruk, tetapi hanya ingin mendapat untung di atas angin. Akhirnya, segala apa yang dirancang tidak sampai ke tangan Melayu seperti yang direncanakan. Malang sekali, Ali yang seperti ini bukan seorang, malah beratus atau beribu. Mudah sahaja untuk mengenal Ali. Berpakaian kemas, bertali leher dan sentiasa sibuk dengan perbualan melalui telefon. Tetapi untuk mencari tapak projeknya, sampai kiamat pun belum tentu kita boleh berjumpa. 

Yang menjadikan Ali begitu sibuk bukan kerana perniagaannya, tetapi kerana sibuknya menjaja dan menjual projek. Akhirnya yang untungnya ialah Baba, dan Din rakanku yang rajin dan kreatif tadi terus menjadi kuli. Begitulah nasib orang Melayu di abad ke-21, dan abad sebelumnya juga. Ali mungkin dapat beberapa peratus komisen.

Punca utamanya mudah sahaja. Malaysia ini asal namanya ialah Tanah Melayu. Jadi orang Melayu sering berasa menjadi tuan di tanah sendiri. Orang Melayu sentiasa berasa selamat dan tanpa curiga. Malah, orang Melayu sangat baik hati. Ambillah apa sahaja, asalkan jangan memegang kepalanya sahaja. Maka Melaka diberikan kepada Portugis dan Belanda. Negeri Melayu yang lain hilang ke tangan Inggeris. Negara Siam yang tidak pun terkenal sebagai kuasa penjajah dunia, malah mampu mengambil negeri utara Tanah Melayu. 

Lihatlah, betapa baiknya orang Melayu. Bahkan kini orang Melayu telah hilang banyak perkara. Kita hilang budaya, kita hilang bahasa. Politik pun sudah jadi macam-macam. Ekonomi jangan lagi dibincangkan. Ia sudah lama bukan di tangan orang Melayu. Melayu kita yang berjaya menjadi kontraktor kelas F kadang-kadang dengan penuh bangga bercakap projek berjuta-juta di depan pak cik dan mak cik di kampung. Apatah lagi dia mampu membeli kereta BMW. Bila melihat kejayaan sebegitu, kita terlupa banyak perkara lain. Kita terlupa siapa yang mengawal industri simen, besi dan kayu. 

Walaupun kontraktor tadi sibuk mencanangkan kejayaannya, sebenarnya yang lebih berjaya ialah tuan punya besi, simen dan kayu di belakangnya. Sesuatu perlu dilakukan oleh pejuang agar tidak berlaku banyak sangat kebocoran tenaga dan usaha. Lobi sana sini mendapatkan projek, sedangkan untungnya tak seberapa. Orang lain mendapat susu, kita cuma dapat tahi sapi!

Din, walaupun dia bagus dalam grafik, tahu segala-galanya tapi jika sekalipun dia memulakan perniagaan, dia berhadapan dengan cabaran yang sukar. Dia tidak mampu menandingi harga yang ditawarkan oleh peniaga di Jalan Pudu yang memiliki segala-galanya dari rekaan sampailah ke percetakan. Jadi, yang paling baik Din boleh dapatkan cumalah projek, dan akhirnya dia terpaksa juga menghadiahkan banyak untungnya kepada penguasa bisnis percetakan yang dikawal orang lain. 

Hasrat Din untuk menjadi tauke tentu tidak akan kesampaian. Dengan gajinya yang tidaklah besar, anak-anaknya yang semakin bertambah, sewa rumah yang kian meningkat, harga barang yang tinggi, semuanya akan menyusahkan kehidupan Din. Kini yang bakal menjadi teman paling baik untuk manusia seperti Din ialah gadis-gadis Khidmat Pelanggan dari bank di ibu negara yang akan bertanyakan macam-macam termasuklah hutang kad kredit dan kereta. Dan semua ini akan menyebabkan Din kebingungan dan marah tidak tentu pasal terhadap sesiapa sahaja. Mungkin kemarahannya itu telah dia tunjukkan dalam pilihanraya yang lalu. Kita tidak tahu.

Dan, orang seperti Din tentulah bukan seorang.

1 comment:

Anonymous said...

Hahahahaha...bukan gadis-gadis ja, india jantan pun ada jugak. Walaupun serabut dgn hutang bleh gelak jugak...Din

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails