Yang Ikut
Saturday, 12 March 2011
Kita tidak harus tahu menyebutnya sahaja
Secara jujurnya, adakah orang awam seperti kita faham apa yang dimaksudkan radiasi. Fahamkah kita juga dengan apa yang dikatakan sebagai sisa pepejal. Tahukah kita juga dengan apa sebenarnya yang dikatakan sebagai nuklear.
Kita hanya selalu mendengar cerita bom yang dijatuhkan di Hiroshima, Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Itu pun cerita yang sama yang diulang-ulang. Kita hanya bercerita tentang orang yang mati terbakar kerana ledakan bom. Cerita ini sesekali akan muncul apabila duduk berbual dengan orang kampung di kedai kopi.
Tetapi apakah radiasi? Apakah orang kita tahu apa maknanya. Tentu tidak ada seorang pun di kampung kita yang tahu dengan cerita tragedi besar di Chernobyl tahun 1986. Tidak juga pernah disebutkan oleh guru sekolah kita di sekolah. Tidak ada siapa ambil peduli dan ambil tahu.
Sebab itu - dalam banyak hal - masyarakat kita hanya diam apabila dibawakan pembangunan berisiko tinggi ke tempat kita. Tidak ada siapa pun yang ambil peduli. Kita mungkin merasa berbangga kerana di kampung kita dibangunkan bangunan baru, dan ada beberapa anak kampung diambil berkerja sebagai jaga. Itu sahaja yang kita tahu untuk dijadikan modal bercerita.
Kita tidak tahu cerita risikonya. Kita tidak tahu bahayanya. Kita tidak ambil peduli apa bakal terjadi kalau sesuatu yang buruk berlaku. Kerana bagi kita istilah 'radiasi' dan 'sisa pepejal' hanyalah patah kata yang tidak ada maknanya. Ia mungkin sama nilainya dengan pembuangan besi buruk sahaja.
Kalaulah kita tahu - tentu kita akan membaca dan banyak berfikir.
Jepun sedang dilanda tsunami. Sistem penyejuk salah satu loji nuklearnya tiba-tiba tidak berfungsi. Tidak ada siapayang tahu apa puncanya. Semua orang sedang kelam kabut. Sesuatu yang lebih buruk dari tsunami bakal berlaku kalau masalah teknikal ini tidak dapat diatasi. Hari ini, salah satu tiang konkrit loji pula patah. Ia menakutkan bagi orang yang tahu makna radiasi. Tetapi bagi orang yang anggap radiasi hanya sama maknanya dengan besi buruk - ia mungkin tidak ada apa-apa.
Kalau Jepun, negara yang semaju itu dalam dunia teknologi - dengan sistem dan budaya keselamatan tempat kerja antara yang terbaik dunia - tidak menduga yang sistem loji nuklearnya tidak mampu berfungsi dalam keadaan yang tidak terduga, bayangkanlah pula senario di negara dunia ketiga.
Radiasi dan sisa pepejal - jangan hanya tahu menyebutnya sahaja. Kita patut membaca dan mengkajinya juga. Kalau kita tidak sayangkan diri kita pun, kasihanilah generasi depan kita yang kini mungkin belum lagi bersenyawa. Radiasi mungkin boleh menjejaskan mereka.
Friday, 11 March 2011
Apa impian saya?
Ia bab penutup bagi cerita orang yang berumur masuk universiti. Idealnya, sepatutnya 10 tahun dulu saya menjalankan penyelidikan PhD, dan kemudiannya berkerja. Tetapi begitulah kitar hidup. Tiada siapa yang dapat menjangka apa yang bakal berlaku dan apa yang sudah berlalu. Kita jalani sahaja.
Tinggal 6 bulan sahaja lagi saya dapat menyedut udara segar bumi Adelaide - tanpa banyak asap dan habuk. Tinggal 6 bulan sahaja juga saya akan bersama kawan-kawan baik yang menjadi 'permanent resident' di sini. Selepas ini, mungkin kami akan bertemu lagi, dan mungkin juga tidak. Mereka akan mendapatkan teman baru, dan saya juga akan berjumpa dengan kawan baik yang lain.
Impian saya yang satu lagi - kalau boleh saya dapat menetap di bumi luar setahun dua. Negara yang saya selalu idamkan ialah Jerman ataui Austria. Tidaklah saya tahu mengapa negara itu sering masuk ke dalam kepala saya. Mungkin sebab ilmu psikologi berasal dari sana. Jadi, sedikit sebanyak ia menyerap masuk mengganggu hueristik fikir saya. Saya harap saya dapat pergi bertemu dengan penyelidik yang hebat di sana, dan belajar dengan mereka pula.
Tetapi tentulah ia hanya impian sahaja. Barang tentu ia tidak semudah mengikat tali kasut atau memberus giri.
Dalam hidup saya, sebenarnya banyak perkara tidak terjangka telah terjadi. Dahulu, saya dibawa bos saya melawat Jakarta yang sesak. Saya rasa geli hati melihat orang menjual ikan 'flower horn' di tengah hiruk pikuk jalan yang macet di depan Ibis Hotel. Saya rasa pelik melihat 'ojek' dan 'bajai' yang menjadi kenderaan di sana. Saya rasa seperti berada di buah kota yang manusianya lebih banyak dari jumlah semut.
Rupa-rupanya beberapa bulan kemudian, saya dipindahkan ke sana. Ia tidaklah pendek. Kurang setahun dari tempoh masa saya berada di Australia.
Saya juga selalu berdoa dan berharap saya dapat menghabiskan usia hidup di kampung yang malamnya kita boleh membaca kitab, hidup di rumah kampung di tepi sungai dan hidup ala kadar sahaja. Tidak tinggal di banglo besar pun tidak mengapalah, asalkan saya ada sedikit tanah untuk dibuat dusun dan kebun. Saya rasa itulah jiwa saya yang sebenarnya.
Walaupun beberapa minggu lalu, isteri saya membelikan lebih dari 10 utas talileher jenama terkemuka dari 'garage sale' - yang katanya ada yang bernilai lebih AU100 sehelai kalau dibeli di kedai, tetapi sebenarnya tali leher bukanlah budaya hidup saya. Selama ini, saya hanya terpaksa memakainya sahaja. Ia budaya dunia korporat. Saya tidak tidak tahu pun mengikatnya. Ada beberapa orang kawan saya yang selalu mengikatkan tali leher untuk saya.
Saya kalau boleh ingin berseluar jean dan memakai baju t sahaja ketika masuk kelas mengajar. Bagi saya tidak salah pun manusia tidak dijenamakan kualiti dan darjat kerana pakaiannya. Tetapi dalam budaya di Malaysia, ia tentulah hal yang pelik. Saya tetap perlu mengikut rentak orang lain, walaupun ia tidak menggembirakan hati saya.
Banyak lagi impian yang ada dalam hidup saya. Ada yang boleh saya kongsi dengan pembaca, ada yang tidak. Ada yang hanya saya seorang sahaja yang tahu.
Thursday, 10 March 2011
Update hidup
Kelmarin, supervisor aku mengirimkan aku satu kertas jurnal yang ditulis oleh pengkaji lain. Kertas ini dihantar ke satu jurnal antarabangsa. Supervisor aku seorang penilai bagi jurnal itu. Dia minta aku memberi ulasan dan penilaian terhadap kertas itu. Secara asasnya, ia bidang aku dan menggunakan analisis AMOS.
Membaca kertas itu - melihat analisis AMOS dan beberapa hipotesis - aku sudah boleh jangkakan apa yang patut aku berikan maklumbalas.
Kak Intan kawan aku di Perth tentu sudah boleh mengagak apa kesudahan kertas itu.
Tetapi begitulah roda hidup. Adakalanya kita bersedih. Sesekali kita membuat orang kecewa.
Saturday, 5 March 2011
Selamat datang musim baru
Musim demi musim. Ia akan begitu selamanya. Cuma manusianya datang dan pergi. Ada yang baru dilahirkan. Ada yang pulang menemui Tuhan. Ada yang diuji dengan nikmat. Ada yang diduga dengan musibah.
Manusia - selamanya begitu. Ada harinya ketawa. Ada harinya kita bersedih. Ada harinya kita tiada emosi.
Hari ini kita membilang musim. Di masa silam, orang terdahulu dari kita memerhatikan alam. Di masa depan, anak-anak kita pula melihat bunga yang gugur dan daun yang luruh.
Begitulah kita. Begitulah manusia. Tak perlulah merasa besar kepala. Kita hanya menumpang seketika.
Tuesday, 1 March 2011
Dunia menulis
Aku sedang sibuk menulis kertas terakhir untuk pengajian PhD aku. Ia kertas yang perlu aku siapkan bagi menutup cerita PhD aku yang kian lama kian membosankan.
Berapa lama masa perlu digunakan bagi menulis satu-satu kertas yang panjangnya 10,000 patah perkataan?
Jawapannya bergantung kepada sebanyak mana kita tahu jalan cerita kertas kita. Ia seperti menulis di blog juga. Semakin banyak kita tahu, semakin banyak yang kita tulis, dan semakin mudah kita menulisnya.
Biasanya aku menetapkan 10 hari bagi menyiapkan satu kertas jurnal, dengan andaian 1,000 patah perkataan sehari - walaupun ada masanya aku boleh menulis lebih cepat dari itu. Masa terbaik aku menulis kertas ialah 3 hari.
Aku perlu menulis di rumah bagi tulisan yang terlalu memfokus. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin sebab ia memudahkan aku berlegar-legar di dalam rumah, dan merokok beberapa kali. Aku tidak boleh menulis di pejabat. Ia tidak menjadi tempat yang selesa untuk aku - walaupun ada semua kemudahan. Dulu aku menulis di garage belakang rumah. Selalu juga aku menulis di dapur. Ini semua lokasi terbaik aku di rumah.
Supervisor aku juga tahu cara aku. Kalau aku tidak ke universiti, itu tandanya aku sedang menulis. Aku biasanya mengirimkan email - memberitahunya yang aku sedang menulis. Jadi, dia tidak akan menggangu aku untuk beberapa hari.
Anda sedang menulis?
Oh, hari ini ada satu lagi kertas aku diterima dengan sedikit pembetulan. Alhamdulillah.
Monday, 28 February 2011
Fenomena pelik, atau kita yang pelik?
Entah mengapa, Kepala Batas sering menjadi lokasi fenomena aneh. Beberapa tahun dulu, ada pokok pinang yang mempunyai pelepah muka manusia. Yang terbaru, pokok petai mengeluarkan air mata. Seperti biasa, kedua-dua fenomena ganjil ini akan menjadi perhatian manusia.
Banyak lagi fenomena pelik yang sedang membuatkan kita menjadi begitu kagum. Setahun dulu, ada kisah sejadah sembahyang. Di Kuala Terengganu, mereka sedang sibuk ingin mengadakan pameran hantu.
Apabila anak lari dari rumah, kita katakan mereka dilarikan hantu. Kita tidak mampu berfikir secara rasional kerana minda kita tidak disuapkan dengan pengetahuan dan kemahiran ilmu.
Apakah yang sedang melanda masyarakat kita. Fenomena pelik, atau kita yang pelik?
Selagi mana masyarakat kita tidak berminat membaca buku atau berfikir secara rasional, maka selama itulah kita akan menjadi manusia pelik melihat fenomena alam.
Sebab itulah kini, filem hantu dan puaka banyak menghiasi stesen televisyen dan wayang. Pembikin filem tahu - itulah tema terbaik mendapatkan untung. Mereka tahu, sejauh itulah tahap pemikiran masyarakat kita.
Kasihan kita.
Kita menjadi manusia pelik di sebalik tabir alam yang tidak pelik.
Thursday, 24 February 2011
Autism - hal yang patut anda tahu
Apakah autisme? Ketika melihat anak-anak bermain, ada ketikanya ada sesetengah kanak-kanak berada dalam dunianya sendiri. Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak yang lain. Tanda yang mungkin mudah dilihat ialah gelagat mereka yang sangat cepat mengamuk, dan kebanyakannya ada masalah pertuturan.
Misalnya, pada umur anak-anak tertentu, mereka sepatutnya sudah boleh bercakap - tetapi mereka tidak. Apabila berbual, mereka tidak mahu merenung mata kita - itu pun antara tandanya. Mereka boleh mengajuk patah perkataan, tetapi tidak semestinya mereka tahu maknanya.
Mereka juga bermain dengan cara yang janggal. Mereka seolah-olahnya sedang bermain dalam dunianya sendiri. Ada ketikanya, mereka juga sangat 'hyperactive'.
Autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Tetapi ia banyak berkait dengan personaliti. Di usia dewasa, mereka ini pula mempunyai hubungkait dengan pesakit schizophrenia dan kemurungan. Ia juga mempunyai pelbagai jenis, bergantung kepada sifatnya. Kita tidak bincang dalam topik ini.
Walaupun dikatakan ia tidak boleh diubati, tetapi pengetahuan awal ibu bapa mampu memberikan mereka harapan yang lain. Mereka patut didedahkan dengan spesikasi keupayaan tertentu.
Dalam dunia ini - autisme ujud dalam semua budaya. Tidak orang tahu apa puncanya. Di UK, kira-kira setengah juta orang mengalami autisme. Bagaimana pun, asalkan mereka ada keupayaan intelektual - mereka boleh menjadi manusia yang sangat berjaya. Keupayaan mereka ini pula sangat spesifik sifatnya, selalunya dalam bidang sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal, agar mereka dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkahlaku dan keupayaan mereka. Kalau dibiarkan bersama dengan anak-anak normal, ia akan menyusahkan kaedah pembelajaran yang menyebabkan mereka ketinggalan.
Dalam matematik - kajian menunjukkan keupayaan mereka ini umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai simptom autisme sederhana, mereka berupaya dalam matematik. Bagaimana pun, mereka sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga selalunya sukar dalam hal temuduga.
Bagaimana pun, ada kes kecil - kumpulan ini juga ialah 'mathematic gifted'. Ia seperti yang dilakonkan oleh Dustin Hoffman dalam Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang. Ia sebenarnya juga adalah disebabkan kesalahfahaman kerana orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini manusia yang genius. Ingat, ia hanya sedikit. Ini pun kalau mereka ini tergolong dalam autime Asperger. (Nanti kita kuliah perbezaan jenis autism ini)
Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini - kalau tidak dirawat lebih awal, akan mengalami masalah ketika dewasa.
Sebab itu - ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan anak-anak mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam 'dunianya' sendiri, gagal berkomunikasi dan mempunyai tingkahlaku yang agak di luar kelakuan normal kanak-kanak - bawalah berjumpa pakar. Jangan anggap ia hal normal. Ia boleh dirawat - dengan pendidikan dan terapi khas tertentu. Asalkan kita menyedari hal ini terlebih awal.
Tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autism. Yang salahnya ialah kita yang selalu melihat semua perkara sebagai normal - kerana kononnya anak orang lain boleh dilanda autism dan bukan anak kita. Jangan anggap juga kerana tidak ada keturunan kita yang terkena, atau kita mempunyai pendidikan yang baik - anak kita tidak terkena.
Autism tidak ada kena mengena dengan keturunan. Tidak ada siapa yang tahu puncanya.
Wednesday, 23 February 2011
Idealisme anak muda
Anak muda - adalah dunia idealisme. Tapi ingat, idealisme adakalanya hanya fatamorgana. Ia bukan realiti. Ia tidak sama dengan dunia nyata yang lebih keras dan menakutkan.
Dunia anak muda di mana-mana sahaja sama sahaja. Ia berkisar soal idealisme. Kita sangat suka hal idealisme, tapi ingat - idealisme juga sesekali adalah racun pahit.
Di luar negara, mungkin tidak ada suasana politik kampus yang seriuh di Malaysia. Ia biasa sahaja, walaupun suasana politik di luarnya sangat matang. Di Malaysia, tatkala kita gelisah membaca berita politik negara, kita juga sebenarnya resah membaca politik kampus.
Bagaimana pun, seperti biasa - di negara yang tidak menghasilkan buku sains politik, kita menghasilkan banyak manusia yang berpolitik - sama ada di kampus atau di luarnya. Sama ada ia hal yang matang atau tidak, itu cerita lain.
Tetapi ingat anak muda - idealisme hanya tertulis dalam buku teks. Ia tidak mungkin mampu dilaksana di dunia nyata.
Dalam dunia nyata - tanpa makanan yang cukup dan rumah yang selamat - idealisme hanyalah satu mimpi yang tidak bakal digapai.
Siapakah di balik tabir semua ini?
Orang dewasa yang sedang melakar politik yang kacau? Politikus yang saban hari menggelisahkan korpus minda kita?
Tolong - jangan gelisahkan otak aku untuk membaca dunia kamu anak muda! Aku sudah lama gelisah membaca berita politik orang dewasa yang kian lama kian membosankan.
Tuesday, 22 February 2011
Tahniah Zara
Aku ucapkan selamat maju jaya untuk dia. Moga akan lebih banyak research. Menulis lebih banyak jurnal.
Apa pun- sebesar mana pun gelar, setinggi mana pun ijazah - jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kerana kesudian aku membuat teh tarik untuk mereka.
Tahniah.
Sunday, 20 February 2011
Bila blogger mula menggoncang dunia
Kini, tulisan para blogger itu juga sedang menggoncang banyak dunia Arab yang lain. Protes masyarakat terhadap politikus dan kepimpinan, sedang merebak di Bahrain, Yamen, Iran dan Libya. Tidaklah diketahui sama ada negara itu sebenarnya sedang dalam kekalutan ekonomi dan politik, atau ia hanya dicetuskan oleh idealisme para blogger yang ingin mencari sebuah kehidupan yang sempurna.
Suara blogger adalah suara anak muda. Ia menakutkan. Ia membimbangkan.
Seperti apa yang sedang dihadapi seorang anak gadis, Tal al-Mallohi, 19 tahun dari Syria. Beliau seorang blogger remaja yang banyak menulis mengenai keadilan sosial, khususnya perjuangan untuk warga Palestin. Pada penghujung tahun 2009, beliau tiba-tiba hilang. Tidak ada sesiapa yang tahu, termasuk ahli keluarganya ke mana dia menghilang atau dibawa pergi.
Setelah angin revolusi mula merebak di dunia Arab, akhirnya dunia mula tahu bahawa beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Syria kerana dikatakan menjadi pengintip kepada CIA. Beritanya kini mula dilaporkan di banyak akhbar dan internet. Berita penangkapannya itu hanya diketahui sejak beberapa bulan terakhir ini.
Bagaimana pun, banyak pihak meragui dakwaan gadis semuda itu menjadi agen CIA. Mungkinkah gadis itu mampu mendapatkan maklumat sulit kerajaan lalu diserahkan kepada Amerika. Kalau benar gadis muda itu menyampaikan maklumat sulit, apakah pula maklumat itu. Gadis itu juga tidak terlibat dengan mana-mana fraksi politik. Itulah yang menjadi persoalan misteri mengapa beliau ditangkap.
Yang hanya diketahui, apa yang pernah dilakukan gadis itu ialah mengucapkan tahniah kepada Barrack Obama melalui website Rumah Putih. Blognya juga hanya banyak berkisar mengenai puisi dan Palestin.
Tetapi - kerana tangan blogger sentiasa mampu menggoncang dunia, pihak yang bimbang perlu melakukan sesuatu. Mangsanya boleh jadi sesiapa sahaja, termasuk gadis berusia 19 tahun.
Saturday, 19 February 2011
Orang yang kalah tidak akan menang
Anda ada matlamat tersendiri dalam perkerjaan. Anda ingin menjadi terbaik. Malangnya, di tempat kerja anda, banyak sangat politiking. Mereka naik dengan cara menjatuhkan orang lain. Bukan sahaja teman sekerja anda yang suka bermain politik pejabat, ketua anda juga sepertinya sedang bermain dengan politik. Mereka sepertinya sedang berkata sesuatu mengenai anda. Ini menjadikan anda berasa bosan dan kecewa.
Anda ingin memiliki seseorang yang pada pandangan anda memiliki ciri yang anda harapkan. Berkali-kali anda cuba mencari kesempatan untuk memulakan langkah anda, tetapi ada sahaja halangan. Ada orang lain yang sedang melakukan usaha yang sama. Orang yang anda idamkan itu juga sepertinya tidak mahu melayan anda.
Jangan kecewa. Vince Lombardi pernah berkata, “Winners never quit, and quitters never win.”
Inilah kalimat agung yang patut ada dalam jiwa anda. Kalau anda rajin, ada buku yang ditulis oleh anak Vince Lombardi ini yang dijual di Konukuniya yang memuatkan kata-kata untuk menjadi pemenang. Ada juga filem mengenai Vince Lombardi ini - bagaimana seorang jurulatih bolasepak Amerika ini mampu mengubah nasib pasukannya.
Anda tidak patut berasa kecewa atau patah hati kalau gagal. Setiap hari, orang yang gagal sama banyaknya dengan orang yang berjaya. Kegagalan yang menyebabkan kita menarik diri - tidak akan memungkinkan kita menjadi orang yang berjaya. Kita akan menjadi manusia yang gagal buat selama-lamanya.
Dalam organisasi yang terlalu politiking - kita akan mengalah kalau tersalah cara bermain. Nanti kita bincang bagaimana kita patut memanipulasi semua keadaan itu.
Kita tidak akan mengalah, kerana mengalah tidak akan menjadikan kita pemenang.
Friday, 18 February 2011
Selamat harijadi isteriku
Hari ini ialah hari lahir isteriku. Sejak berkahwin, aku tidak pernah memanggil 'sayang' kepada isteriku seperti mana banyaknya yang dibuat orang lain. Aku tidak pandai mengguna kata indah. Tapi bukanlah maknanya aku tidak sayangkan isteriku yang pertama itu. Mana ada orang tidak sayangkan isteri?
Umur kami kian meningkat. Aku berjumpa dengan gadis cantik ini tahun 1998 dulu. Masa itu dia masih kurus dan ramping. Sekarang ini, sesuai dengan statusnya sebagai wanita pertama dalam keluarga kami, dia tidak ramping lagi. Mana ada wanita pertama dalam dunia ini yang ramping?
Apa yang hebatnya isteri kesayangan aku ini?
Isteri aku sebenarnya pandai dalam hal kira mengira. Dia pandai dalam hal itu. Aku pula sangat lemah dalam hal ini. Kadang-kadang supervisor aku gelak kat aku bila aku mengira dengan jari. Isteriku seorang penjaga hal ehwal kewangan dan hutang ketika berkerja dulu. Dia lulusan dalam bidang itu.
Tapi, aku sebenarnya tidak suka isteriku berkerja. Lebih baik duduk rumah dan besarkan badan. Berkerja pun, kami tidak juga kaya. Hutangku masih bertimbun. Jadi tahun 2005, dia berpencen terus. Ibu mertuaku selalu bising-bising kerana anaknya belajar tinggi-tinggi di dua buah universiti, tetapi tidak berkerja. Tapi kami selalu buat 'donno'.
Tidak berkerja pun tidak mengapalah, janji hidupku bahagia. Kalau dia berkerja, tentu aku sibuk. Menghantarnya kerja dan ambil kerja. Bagaimana kata-kata kawan yang suka minum teh dengan aku kalau aku tidak ada masa untuk mereka.
Sekarang ini, isteriku mencipta hal yang baru pula. Hal masak memasak. Aku rasa, dia isteriku memang pertama dalam hal memasak. Dia boleh mencipta makanan baru. Cuma sayangnya, aku tidaklah pemakan. Aku boleh bertahan dengan hanya makan sehari sekali. Juga boleh bersarapan pagi jam 3 petang. Jadi aku tidaklah seorang yang akan memuji masakan isteriku.
Kerana kami berbezalah, kami boleh hidup dengan bahagia. Bukankah ketidaksempurnaan dan perbezaan itu melengkapkan hidup manusia?
Selamat hari jadi isteriku.
Aku tidak belikan apa-apa hadiah untuk isteriku. Aku tidak ada banyak wang seperti orang lain.
Sejujurnya aku sudah terlupa tarikh lahirnya. Tadi, jam 4 pagi baru aku ingat ini hari jadinya. Dia sudah lama lena. Aku pula masih sibuk di komputer. Sebenarnya, aku pun sudah terlupa sudah berapa kali aku terlupa hari jadi isteriku.
Selamat hari jadi isteriku.
Apa yang harus aku hadiahkan untukmu? Mahu sebotol madu lebah muda dari Australia?
Pagi ini, aku buka email. Kertasku tidak ditolak. Penilai gembira. Tetapi mereka mahu sedikit pembetulan.
Aku rasa itulah hadiah hari jadi untuk isteriku tahun ini. Aku tidak mahu membilang umurmu, kerana ia akan menyebabkan kita terasa semakin tua.
Selamat hari jadi darling!
Sebab itulah aku tidak pernah panggil sayang.
Cinta online II - hal curang
Kita sambung episod cinta online.
Sebelum itu - baik kita mulakan bagaimana berbezanya lelaki dan wanita berbeza dalam memberikan keutamaan apakah yang disifatkan dosa besar dalam perhubungan - atau kita namakan sebagai kecurangan. Sebahagiannya telah kita bincang dalam bab poligami sebelum ini.
Lelaki didapati tidak sesekali akan dapat menerima hakikat kalau tahu bahawa pasangan wanitanya, atau isterinya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain. Ia dianggap sebagai bentuk kecurangan yang paling besar, dibandingkan dengan bentuk kecurangan yang lain.
Wanita - sebaliknya sesekali tidak dapat menerima kenyataan kalau mendapat tahu bahawa pasangannya, atau suaminya mempunyai hubungan bersifat emosi dengan wanita lain, misalnya mempunyai kekasih lain dan sebagainya. Ia dianggap sebagai satu kecurangan yang sangat besar.
Lelaki juga percaya, kalau pasangannya mengadakan hubungan seks dengan orang lain, maka teman wanitanya itu telah jatuh cinta dengan orang tersebut.
Wanita sebaliknya mempunyai pandangan yang berbeza. Kalaupun dia tahu bahawa pasangannya mengadakan hubungan seks dengan wanita lain, tidak semestinya teman lelakinya itu jatuh cinta dengan wanita terbabit.
Hal ini telah dibuktikan dalam banyak kajian. Kita tidak mengulasnya kali ini.
----------------------
Bagaimana pula kalau didapati pasangannya menjalinkan hubungan secara online?
Dunia sekarang ini, dengan segala kemudahan menjadikan dunia cemburu juga bertukar rupa. Dulu, orang mungkin cemburu kalau melihat pasangannya bermain mata dengan orang lain. Tetapi sekarang ini - orang tidak bermain mata lagi. Hubungannya hanya dilakukan dengan menekan keyboard sahaja. Facebook telah menjadi medium baru yang tidak ada pada zaman sebelumnya.
Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?
Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi yang terarah kepada rangsangan seks dianggap sebagai sama dengan perlakuan melakukan hubungan seks dengan orang lain. Ia dianggap sebagai satu bentuk kecurangan. Bagaimana pun dapatan kajian ini tidak konsisten. Ada kajian yang lain tidak membuktikan bahawa cybersex dianggap sebagai sama dengan perlakuan seks.
Bagaimana pun, dalam konteks kita - hindarkanlah dari perbuatan ini.
Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu pasangan lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain - dan seolah-olahnya pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini dibuktikan dalam banyak kajian.
Bahkan, wanita juga, lebih besar kemungkinannya dibandingkan lelaki, sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.
Bagaimana dengan anda?
Wednesday, 16 February 2011
Laluan PhD yang bersimpang siur
Ia kelihatannya seperti kisah mendayung sampan ke pulau impian yang adakalanya sampai, adakalanya beberapa kali hanyut, dan ada yang terus tenggelam. Ia tidak semudah cerita orang terkenal yang tiba-tiba kononnya ada PhD.
Teman aku yang lain - penyelianya tidak begitu pandai statistik. Tidak pandai tidak mengapa, tetapi tidak mempercayai kerja pelajar yang diselianya itulah masalahnya. Sepatutnya, dalam keadaan dia tidak pandai statistik, dia patut sedikit sebanyak belajar menguasainya. Sekurang-kurangnya dia tahu bagaimana untuk menyelia.
Sebenarnya, inilah antara isu tidak indah yang berlegar dalam rupa paras 'glamour' kehidupan pengkaji PhD. Biasanya, apabila pelajar gagal, pelajar akan menjadi kambing hitam yang dipersalahkan. Tidak hanya menanggung beban memboroskan masa 4 tahun mengayuh di lautan, dan kemudiannya tidak pula sampai - tetapi pulang dengan membawa seikat beban hutang yang banyak. Ada yang mungkin akan dibuang kerja. Semua ini adalah cerita tragis yang selalu berlaku di mana-mana.
Tidak banyak pilihan yang boleh kita buat. Jarang kita kenal siapa penyelia kita sehinggalah kita menjadi pelajar mereka.
Bagaimana pun, ada tips yang patut juga diketahui oleh mereka yang baru ingin memohon melanjutkan pelajaran. Carilah penyelia yang ada nama dan reputasi. Biasanya penyelia seperti ini bukan sahaja mahir, tetapi mereka juga perlu menjaga nama mereka.
Berkenalan juga dengan bakal penyelia anda. Hantarlah beberapa kali email. Sekiranya anda bijak, anda boleh membaca siapa mereka dengan cara mereka menulis emel. Ada yang mengirimkan bahan bacaan. Ada yang menjawab dengan cara yang sombong. Ada yang kelihatannya begitu tegas. Jadi, pilihlah yang sesuai dengan keupayaan anda.
Teman-teman anda juga boleh membantu anda. Bertanyalah mereka yang ada di universiti tertentu bagi menyelidiki siapa bakal penyelia anda.
Oh! Kalau terpaksa belajar di universiti tidak ternama pun tidak mengapa. Mendapat sekeping PhD dari universiti tidak ternama itu lebih bermakna dari gagal di universiti yang terbilang.
Bagaimana laluan PhD aku. Aku juga tidak tahu.
Tiada apa-apa yang hendak ditulis
Bulan August atau September nanti ialah musim terakhir aku di Adelaide. Tiada lagi 4 musim selepas itu. Aku kena balik mengharungi musim yang lain - musim durian, musim banjir dan musim kemarau. Yang paling aku rindukan - masuk ke dalam belukar dan mengail ikan puyu dan haruan. Yang paling aku rindukan - masuk ke dalam kebun mencari rebung.
Aku tidak rindukan segala jenis masakan. Aku tidak kuat makan. Tidak juga berminat untuk makan. Berat aku sejak puluhan tahun dulu tetap begitu. Maksimum berat aku cuma 60 kg. Itu pun tidak lama. Purata berat aku biasanya berat aku cuma 56kg.
Satu jurnal aku akan terbit beberapa bulan lagi. Satu lagi akan mendapat jawapan besok pagi. Inilah masa yang paling 'suspen' dalam hidup. Seperti penikam nombor menanti keputusan nombor. Harapnya semuanya baik dan aku pulang dengan baik.
Di Malaysia nanti, aku bercadang untuk adakan kursus motivasi dan kelas menghafal secara kecil-kecilan. Sasarannya ialah orang kampung, anak orang asli dan mereka yang kekurangan wang. Sesiapa yang berminat, bolehlah kita rancang bersama. Ia percuma. Itu sahaja yang sumbangan yang boleh aku lakukan untuk manusia.
------------------------
Petikan novel minggu ini. Sedikit babak cinta.
Mengapa aku yang menjadi korban ini, Mia. Mengapa aku? Tanya Muhsin lagi.
Sin, kalaulah masa dapat diputar, aku juga tidak mengharapkan ini kesudahannya - Damia bercakap dengan suara yang perlahan. Dia sudah tidak mampu lagi menahan kesedihan. Air matanya yang tumpah sudah dihiraukan lagi. Sesekali dia mengambil tisu mengesatkan air matanya.
Di luar hujan masih lagi turun. Sesekali angin memercikkan titis hujan melalui kaca tingkap bangunan hospital dua tingkat itu.
Dari luar pagar besi itu, sesekali pesakit yang ada di wad sakit jiwa itu memerhatikan Muhsin sambil tersengeh. Tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran mereka.
'Kalaulah masa dapat diputar, aku juga tidak mahu bertemu dengan kamu. Aku harap bukan engkau Mia'. Aku tak sanggup menanggung pedih ini'.
"Awak ok, Sin?' Tiba-tiba doktor Laily datang menyapa.
Monday, 14 February 2011
Ini cinta online
Dulu orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya. Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab - bernasib baik akan dijawab. Kini posmen tidak lagi menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta. Mereka lebih banyak menghantar surat saman dan bil tertunggak.
Dunia hari ini - semua jenis applikasi online - Facebook, Twitter, MySpace, email dan sms menjadi medium baru manusia jatuh cinta.
Pernahkah anda jatuh cinta kerana perangkap online? Tentu ada, dan ada yang tidak.
Tahun 2006 - Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh dirinya kerana teman lelakinya, Jose telah menyakiti hatinya, dan tiba-tiba memutuskan hubungan online. Dua minggu setelah Josh tidak pernah membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Josh' sebenarnya tidak pernah ujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapa teruna palsu itu.
Kerana dunia online ialah dunia kita, dunia hari ini, kini banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih dari 20 juta pengunjung melakukan dating secara online sekurang-kurangnya sekali.
Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara online. Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Mesengger tentu pernah merasakannya walaupun anda tidak tahu bagaimana untuk menghuraikannya.
Dikatakan bahawa melalui komunikasi online - manusia akan mengalami 'disinhibition effect'. Dalam keadaan lebih bersifat anynomous - didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Ia lebih baik dibandingkan secara berhadapan.
Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia befikir dahulu apa yang patut ditulis, dan bagaimana untuk mempersembahkan diri.
Dikatakan juga - komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar - true self. Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar, tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.
Sebab itulah, dalam banyak situasi - ada manusia baik yang boleh kita temui melalui online. Bagaimana pun, jangan juga terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini. Ada yang memanfaatkan kelemahan ini - menjadikan ada orang yang telah dijual ke Amerika Latin kerana terpedaya dengan cinta palsu.
Lain kali aku tulis lagi.
Wednesday, 9 February 2011
Sekalipun Hosni berundur, dunia tetap begitu
Apakah apa yang sedang berlaku di Tunisia dan Mesir mampu mengubah apa-apa?
Barang tentu, ramai yang sedang menunggu dengan penuh ghairah berundurnya Hosni Mubarak dari tampuk pemerintahan. Ia ditunggu bukan sahaja warga Mesir yang setiap hari berdemontrasi, tetapi juga warga dunia yang mengharapkan kerajaan demokrasi yang telus.
Sekalipun, kita mungkin antara yang sedang ghairah menunggu, hakikatnya sekalipun Hosni berundur, ia tidak mengubah apa-apa pun. Yang patut diubah ialah nafsu serakah manusia. Yang patut diubah ialah sikap tamak dan gila kuasa.
Kita telah memerhatikan semuanya. Pemimpin di mana-mana dunia pun, baik di Asia, Afrika dan banyak negara mundur - pemimpinnya datang dan pergi. Tetapi isu yang sama tetap juga muncul. Isu bagaimana saudara mara dan sahabat handai menguasai kekayaan negara. Isu bagaimana saudara mara dan sahabat handai tiba-tiba menjadi orang yang berkuasa. Tidak semena-mena mereka berada dalam senarai orang terkaya dunia. Ia berada di mana-mana sahaja.
Ketamakan manusia tidak mengenal batas geografi dan ideologi politik. Ia sama sahaja.
Sebab itu, dalam keterujaan kita membaca berita di Mesir, atau di Tunisia - percayalah ia tidak mengubah apa pun. Bentuk dan sosok manusia boleh berubah setiap tahun. Tetapi syaitan yang berkeliaran menggoda dan menghasut itu tetaplah objek yang sama.
Kita hanya mampu mengubah dunia dengan cara kita semua mengawal hawa nafsu dan serakah ketamakan.
Selamat datang!
Siapa orang yang bijak pandai?
Mereka juga seolah-olah menjadi anak-anak ikan yang sedang berenang di lautan luas. Banyak mata sedang memerhatikan mereka dari dasar laut. Banyak NGO dan persatuan melihat mereka manusia yang sangat sesuai untuk direkrutkan. Aku pun tidak begitu faham hal ini. Mengapa secara tiba-tiba mereka ini menjadi sasaran, sedangkan ketika di sekolah dulu, tidak ada orang pun yang ambil peduli.
Aku peduli.
Mereka juga lulus dengan begitu banyak peperiksaan di sekolah dan universiti. Tentulah mereka ini pandai dan cemerlang dibandingkan dengan banyak orang lain. Bagaimana pun, ada hal yang patut mereka ketahui. Dunia sekolah dan matrikulasi tidak sama dengan universiti. Universiti ialah sekolah pemikiran. Universiti ialah dunia orang dewasa, yang tidak pernah peduli dengan air mata.
Jangan merasa terlebih yakin. Kena berwaspada dan berusaha selalu. Titanic dan Chalengger hancur kerana simptom terlebih yakin.
Sikap juga perlu betul. Kemahiran matematik atau sains yang ada hanyalah alat. Kalau tidak hadir kuliah, atau selalu bertekak dengan pensyarah, ia tidak akan berguna juga.
Jangan juga cepat putus asa. Carilah orang yang betul untuk menolong anda. Banyak orang ingin menolong anda ketika anda tidak bermasalah. Tatkala masalah melanda anda, mereka akan meninggalkan anda begitu sahaja.
Ingat pesan ini. Jangan juga cepat lupa asal usul. Habis belajar, pulanglah ke Malaysia. Tidak mengapalah kalau gaji kecil sekalipun. Tidak mengapalah kalau banyak masalah di negara kita. Kita perlu memperbetulkannya. Kita dibayar oleh rakyat untuk membantu negara, bukan untuk mengumpul harta.
Sekalipun nanti bahasa Inggeris anda luar biasa hebatnya, jangan lupa bahawa kentut anda akan berbau petai juga akhirnya.
Aku tidak boleh menulis banyak. Kerana aku yang akan bercakap di hadapan mereka Sabtu ini.
Selamat datang!
Bagaimana manusia melihat manusia?
Kajian psikologi menemukan bahawa adakalanya orang luar mampu membaca perwatakan kita lebih baik dari apa yang kita sangkakan (penyelidik, baca Pronin, Kruger, Savitsky, & Ross, 2001; Vazire & Mehl, 2008). Sebab itulah, manusia ini adakalanya disifatkan seperti iceberg - yang sebahagiannya diketahui orang lain, dan sebahagiannya hanya kita yang ketahui. Tetapi, sejauh mana besarnya bahagian yang diketahui itu berbeza-beza dari seorang individu kepada orang lain.
Bagaimana pun, ada satu asas penting dalam hal ini. Kita mempunyai penilaian berbeza terhadap diri sendiri, berbanding menilai orang lain. Begitu juga dengan orang lain. Mereka menilai mereka dengan cara yang berbeza, berbanding apabila diminta menilai orang lain.
Kajian mendapati kita bias dalam menilai diri sendiri. Kita cenderung untuk menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya kita cenderung menilai orang lain sebagai bersifat tekal dalam apa keadaan sekalipun.
Misalnya, apabila kita bersifat cemas, kita akan berkata bahawa kita hanya cemas kerana diuji dengan ujian berat. Tetapi dalam waktu normal, kita tidak begitu. Sebaliknya, kalau kita menilai orang lain, kita akan berkata bahawa orang itu selalu sahaja bersifat cemas tidak kira masa.
Mengapa keadaan ini berlaku?
Ini diasaskan oleh beberapa faktor.
1) Ilusi positif - manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri. Misalnya kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu banyak orang lain yang mati muda. Kita juga tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimana pun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit. Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain menilai kita sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik.
2) Penolakan majmuk - Kita cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang luar (walaupun orang luar mahu berkawan) kerana kita cenderung untuk menjangkakan bahawa mereka itu tidak berminat dengan persahabatan. Tetapi pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana kita bimbang akan ditolak.
Begitulah sebahagian dari bagaimana kita melihat dan menilai manusia.
Bersambung (kalau rajin).
Tuesday, 8 February 2011
Siapa sahabat anda - II
Sekiranya anda mempunyai Facebook (aku tidak ada) - lihat pula mereka yang dihubungkan dengan anda.
Apa yang anda pelajari?
Sahabat kepada sahabat anda boleh jadi sahabat anda juga. Musuh kepada sahabat anda berpotensi menjadi musuh anda pula. Sahabat kepada musuh anda besar kemungkinannya adalah musuh anda. Musuh kepada musuh anda mungkin ialah sahabat anda.
Sebab itulah dalam ruang lingkup hidup kita - kita biasanya menemui orang yang sama sahaja. Kerana banyak dari sahabat kita ialah sahabat kepada sahabat kita yang lain. Di kalangan mereka, mungkin tidak semuanya akrab. Tetapi mereka ialah sahabat kita.
Musuh kita - adakalanya bukanlah musuh sebenar kita. Kita mungkin tidak pernah bertemu dengan mereka sama sekali. Tetapi, mereka telah menjadi musuh kerana mereka tidak berpandangan sama dengan sahabat kita. Mereka mungkin telah menyakitkan hati sahabat kita.
Atas alasan itu - anda jangan sesekali membuat 'honar' atau 'spoil' dengan seseorang. Kerana dengan cara itu, anda bukan sahaja susah untuk mendapat rakan baru, anda juga mungkin mempunyai banyak musuh yang tidak anda ketahui.
Konsep persahabatan ini banyak dibincangkan dalam bidang psikologi sosial. Bagaimana pun, dengan kewujudan Facebook dan banyak aplikasi online, definisi sahabat nampaknya telah berubah. Mereka mungkin teman-teman yang selalu membaca blog kita. Mereka mungkin teman yang selalu memberi komen di Facebook kita. Semua ini adalah definisi sahabat yang baru.
Sebenarnya telah banyak kajian psikologi dilakukan mengenai persahabatan Facebook. Kalau aku rajin, aku akan menulisnya.
-----------------
Petikan tulisan novel aku hari ini.
'Setiap hari terbangun dari tidur, aku tahu bahawa aku sedang menuju kematian. Kematian sedang mengejarku. Aku takut', Muhsin cuba menegaskan falsafah hidupnya. 'Tidak, bagi aku, bingkas sahaja aku turun dari katil itu, aku sedang menghadapi kehidupan yang baru. Ada peluang baru yang sedang menanti. Kita perlu bersiap sedia Muhsin', Joe mencelah.
'Kau lihat bunga itu, dari putik ia berkembang. Itulah kehidupan kita', Joe menegakkan prinsipnya.
'Mengapa tidak engkau lihat bunga yang gugur'. Setiap hari ada bunga yang layu. Tidak ada siapa ambil peduli'. Muhsin tetap dengan pendiriannya.
"Kau terlalu obsess, Sin. Kau terperangkap dengan prinsip yang salah. Kau sudah menjadi manusia neorosis' - Joe cuba menenangkan Muhsin.
Celaka. Dia datang lagi. Kedua-dua mereka memerhatikan pemuda berbaju kemeja putih yang sedang turun dari kereta BMW hitam itu.
Monday, 7 February 2011
Bila pinanganku ditolak
Tetapi memandangkan aku ada email yang tertulis "Your paper has now been assessed, and I regret to say that we do not find it suitable for progression to the reviewing stage" dua jam setelah aku menghantarkan manuskrip, maka aku hentikan dulu menulis hal psikologi. Aku menulis perasaan orang yang jurnalnya ditolak dulu.
Bagaimana perasaannya kalau jurnal ditolak?
Ia sama seperti lamaran kita ditolak. Tetapi perasaan ini berbeza-beza.
Biar aku ceritakan dulu bagaimana proses menghantar jurnal. Sebaik sahaja makalah kita dihantar, orang pertama yang akan menilainya ialah ketua editor. Dia inilah yang akan memutuskan sama ada makalah kita patut dihantar kepada penilai atau tidak. Sekiranya dia gembira, kita lulus peringkat pertama. Kemudiannya baru penilai yang tidak dikenali akan membacanya pula. Kalau mereka juga gembira - dalam erti kata suara majoriti 2 dari 3 orang penilai, maka manuskrip kita akan diminta dibaiki dan dihantar lagi.
Begitulah sedikit sebanyak prosesnya.
Aku sudah banyak kali menghantar artikel ke jurnal. Ada yang ditolak, ada yang diterima. Pengalaman aku - ia bergantung kepada siapa yang membacanya, dan pengetahuan yang mereka ada. Ia bergantung juga kepada sekolah pemikiran masing-masing.
Semalam, aku menghantarkan satu manuskrip ke jurnal yang besar juga. Tetapi, aku dapat keputusan paling cepat kali ini. Cuma dua jam setelah menghantar makalah. Alasannya mudah sahaja. Kajian cross sectional.
Tetapi, kali ini aku tidaklah kecewa. Sebabnya aku cuma perlu menunggu dua jam sahaja untuk mengetahui jawapannya. Kertas aku yang terdahulu, terpaksa menunggu 3 bulan. Akhirnya ditolak. Sepanjang 3 bulan itu, aku berangan-angan. Seperti berangan-angan mengharapkan kasih anak dara setelah aku menghantar surat 3 bulan dulu.
Kali ini senang - aku baru sahaja hendak minta nombor telefon, dia terus jawab - saya sudah beranak 3. Jadi senang cerita.
Aku tidak putus asa. Aku perbaiki beberapa baris, aku kirimkan ke jurnal lain. Harapnya aku tidak perlu menunggu sehingga 3 bulan untuk merasai nikmatnya kecewa.
Ini sebahagian dari pengalaman mengaji PhD.
Friday, 4 February 2011
Siapa yang boleh jadi sahabat?
Kita orang biasa juga, sebenarnya adalah ahli psikologi. Kita juga memerhati dan mengkaji gelagat manusia. Kita memerhatikan teman-teman kita. Kita membuat tafsiran mengenai orang lain. Kita bersahabat dan kita bermusuh kerana kita ada tafsiran sendiri mengenai manusia.
Setiap hari juga kita dipertemukan dengan orang lain yang belum kita kenali. Ada yang boleh menjadi sahabat kita, ada yang tidak. Sama ada kita yang tidak boleh menjadi sebahagian dari mereka, atau mereka tidak boleh menjadi sebahagian dari kita.
Bagaimana anda menilai orang lain?
Apakah kayu ukur yang anda gunakan sebelum anda merasakan sesorang itu patut dijadikan sahabat, atau tidak?
Nanti kita sambung. Kita bincang bagaimana manusia melihat manusia.
Thursday, 3 February 2011
Meminta budi, menolak budi
Ada orang yang meminta budi orang, tapi caranya sangat janggal. Dia mengirimkan email meminta budi. Tapi caranya menulis tidak sesuai dengan hajatnya. Misalnya, 'datang ambil saya'.
Siapa kita meminta tolong dari orang lain tanpa memperkenalkan diri terlebih dahulu? Ingat, orang lain bukan balaci kita. Orang lain ialah manusia juga. Sesekali rendahkan diri sedikit sebelum meminta budi dari orang lain. Mungkin benar kita orang besar, ada banyak wang. Tetapi orang yang bakal menolong kita tidak peduli semua itu.
Mereka tidak meminta apa-apa. Mereka cuma mengharapkan sedikit pengenalan diri sebagai salam perkenalan. Kalau kita yang mengharapkan budi orang, tidak tahu etika hidup ini, maka lebih baik jangan meminta apa-apa dari orang lain. Dalam dunia ini, manusia seperti ini ada dalam kelompoknya sendiri. Mereka tidak layak berurusan dengan orang lain.
Ada pula orang, yang dihulurkan budi baik. Tetapi mereka ini menolaknya dengan cara yang teruk. Tidak menerima pertolongan orang tidak mengapa. Tetapi menolak dengan cara yang kasar dan sombong - menjadi anda sebagai orang yang menjadi perhatian. Bukan menjadi perhatian seperti Ariel Peter Pan naik mahkamah.
Orang menanti untuk melihat siapakah manusia yang pelik ini? Orang sedang menanti melihat orang yang tidak bijak meminta budi, tidak cerdik menolak budi.
Aku juga tentunya.
Nota penyelidikan untuk graduan
Sebaik sahaja pelajar kita memasuki tahun kepujian, atau mengikuti program siswazah, antara hal yang selalu berlegar dalam kepala ialah mencari tajuk penyelidikan dan membuat proposal.
Maka keluarlah pelbagai tajuk - misalnya, 'Punca stres di tempat kerja, perbandingan di antara orang Melayu dan orang Cina', atau 'Kesan latihan terhadap perkembangan sahsiah pelajar'. Semua ini adalah tajuk.
Memang - ia tajuk yang baik. Bagaimana pun ia tidak memadai.
Memang ia satu sumbangan. Bagaimana pun, ada definisi 'sumbangan' yang patut difahami. Nanti kita berkuliah hal ini.
Sebenarnya - tidaklah perlu lagi dikaji punca stres di tempat kerja - satu dunia telah mengetahui puncanya. Perbandingan di antara orang Melayu dan Cina juga tidaklah memberikan manfaat yang besar, sekalipun kita berkata kita melakukan sesuatu yang baru. Sebelum ini tidak ada perbandingan yang dibuat.
Kalaulah penemuan kita menemui ada perbezaan di antara orang Melayu dan Cina, maka apa boleh kita lakukan? Tidak ada apa yang boleh kita lakukan apabila ia melibatkan etnik. Ingin meminta Melayu menjadi Cina, dan Cina menjadi Melayu?
Sepuluh kali anda melakukan kajian mrncari punca stres, anda akan menemui jawapan yang sama. Lakukanlah di mana tempat pun, baik di Changlun atau di Kudat.
Kesan latihan juga selalu dibuat orang. Sebenarnya, memang satu dunia juga tahu kesan latihan akan menghasilkan natijah tertentu. Jadi mengapa hendak dikaji lagi. Tidak perlu mengulang hal yang telah dibuat orang lain - yang bukan lagi satu rahsia.
Menjadi masalah kita - bukan hanya pelajar muda yang berminat dengan tajuk-tajuk seperti ini, pensyarah yang menyelianya juga ada kecenderungan ini. Sebab itu, banyak kajian kita tidak mampu menerobos pintu penerbitan jurnal antarabangsa.
Kalau ia bukan sumbangan, apakah sebenarnya sumbangan?
Dalam dunia akademik - sumbangan ialah sesuatu kajian yang unik. Ia bukan pelik. Tetapi ia hasil pemikiran yang tajam. Setakat berfikir mencari punca orang Cina atau Melayu stres ia bukan sumbangan yang unik.
Misalnya dikatakan bahawa punca stres ialah penyelia yang garang. Kajian kita patut mencari punca kepada punca 'penyelia yang garang'. Kita juga mungkin akan menghubungkait dengan teori yang lain. Misalnya adakah punca penyelia yang garang itu disebabkan 'contagion effect' misalnya sebab isteri yang 'queen control' di rumah, atau suami yang bengis. Jadi, kajian ini bermula dari teori stres, kepada teori yang ada dalam psikologi sosial pula.
Menambah teori kepada teori inilah yang dikatakan sumbangan kepada dunia akademik.
Bagaimana pun, itu belum tentu ia kajian yang baik lagi. Sumbangan juga merujuk kepada metodologi - atau cara kita mendapatkan data. Setakat menghantar soalan selidik kepada responden - bukanlah metodologi yang unik. Kajian perlu dilakukan dengan bertanya juga 1. suami/isteri kepada penyelia - 2. kepada penyelia dan 3. orang bawah. Jadi dengan metodologi yang kompleks ini, tidaklah diperlukan lagi kita mencari apakah punca orang stres. Dengan hanya satu pembolehubah (penyelia yang garang) kita dapat mencari punca kepada punca, dan hasil kepada hasil.
Bertambah baik kalau kajian yang sama di ulang beberapa kali. Adakah punca waktu ini (penyelia yang garang) boleh meramal stres 6 bulan lagi?
Dengan hanya satu pembolehubah sahaja - kajian seumpama ini akan lebih bermakna dari melakukan seratus kajian mencari punca stres.
Sebab itu - kalau anda pelajar, sebelum memulakan kajian - antara perkara utama yang perlu anda buat ialah membaca buku dan jurnal terkini. Kita akan tahu bahawa dunia penyelidikan sudah berubah. Yang belum berubah ialah cara kita. Yang belum berubah ialah kita yang menyelia pelajar kita.
Keduanya - carilah penyelia yang baik. Baik bukan bermakna boleh minum kopi bersama. Baik bermakna dia tahu bagaimana merancang hala tuju kita. Baik juga bermakna menyelia kita dengan tajuk yang baik, dan bukan dengan tajuk yang mudah.
Kesimpulan
Mencari punca, atau cuba membandingkan di antara dua kumpulan sudah tidak relevan lagi di zaman ini. Ia samalah seperti ingin membandingkan ayam dan itik. Cuma kajian kita mungkin menyumbangkan sesuatu kalau kita berfikir mengubahsuai genetik ayam agar dia tahu berenang.
Wednesday, 2 February 2011
Kalau jatuh, cuba lagi.
Ini boleh jadi berita lawak. Boleh jadi berita sedih. Ia gabungan emosi manusia - cemas, resah dan gelisah. Hidup ini perlu kuat berusaha. Sekali jatuh, jangan kecewa. Bangun dan usaha lagi. Walaupun tidak semua usaha itu tangga kejayaan.
Klik video ini.
Apa khabar pelajar kita?
Sebenarnya aku tidaklah kisahkan sangat dengan apa yang sedang difikirkan oleh pemimpin nombor satu Mesir ketika ini. Aku lebih kisahkan teman-teman pelajar Malaysia di sana. Kebanyakan mereka seperti aku. Mereka bukan orang kaya. Ada yang mungkin hanya ada wang sekadar sarapan pagi bermimpikan makan malam.
Dalam keadaan serba kelam kabut, para banduan meloloskan diri - para penyamun dan perompak mengambil peluang, ia lagi menakutkan. Makan apa mereka sekarang ini? Masihkah ada kedai yang dibuka untuk mereka membeli makanan. Selamatkah kehidupan mereka. Talian internet telah diputuskan. Ia menyelamatkan satu pihak yang sedikit, merosakkan orang kecil yang banyak. Bagaimana mereka boleh mengirimkan berita kalau ada sesuatu yang buruk terjadi.
Demontrasi dan kemarahan rakyat mungkin ada kesannya dalam memulihkan sistem demokrasi. Tetapi, demontrasi dan kemarahan memerlukan korban. Korban ini biasanya orang seperti kita. Kita boleh sahaja jadi korban peragut di jalanan. Jadi korban muncung senapang penjaga kuasa. Jadi korban belantan para penguatkuasa undang-undang dalam keadaan huru hara.
Orang kecil seperti pelajar kita itu - mereka tidak ada 'Special One' yang boleh melarikan mereka keluar. Mereka tidak ada body guard berbadan sasa yang akan menepis segara ancaman bahaya. Mereka juga tidak ada saudara mara untuk menumpang menyembunyikan mereka. Kasihan mereka. Mereka mendapat pelajaran yang baik - walaupun pahit - tatkala belajar di luar negara.
Di Australia - beberapa minggu dulu teman-teman pelajar kita di Brisbane juga ditimpa musibah banjir besar. Walaupun tidaklah mendengar berita kematian, tetapi ia memang satu kesusahan yang tidak boleh kita gambarkan. Mungkin ada kertas soal selidik yang di bawa air. Ada juga yang mungkin komputernya rosaknya, dan datanya belum sempat dipindahkan. Semua ini adalah cerita tidak indah di luar negara.
Sehari lagi - khabarnya ribut taufan Cyclon Yasi akan melanda di Queensland hari khamis ini. Ia ribut besar - penduduk yang berada dalam kawasan liputan ribut sudah diminta berpindah. Tidaklah tahu sama ada pelajar kita ada di sana atau tidak.
Belajar di luar negara - ia adakalanya durian runtuh yang isinya sedap dimakan tetapi kulitnya tetap tajam menikam.
Thursday, 27 January 2011
Jangan lesenkan blog saya!
Tetapi, kini sudah tahun 2011. Sudah 3 tahun saya menulis di blog ini - tanpa sekatan, dan tanpa tapisan. Saya sendiri yang menapisnya, saya sendiri jugalah yang menentukan apa yang harus saya tulis.
Tengahari tadi, ada seorang wartawan media tempatan mengirimkan email kepada saya untuk menemuduga saya berkaitan beberapa simptom psikologi yang berlaku di Malaysia terakhir kini. Beliau menemui blog saya apabila mencari sesuatu yang sedang hangat diperkatakan orang di Malaysia sekarang ini. Saya menjawabnya - berdasarkan apa yang saya tahu, dan apa yang saya fahami. Ia hanya pandangan saya, dari perspektif bidang saya.
Sebenarnya, dari blog saya juga telah 'bertemu' dengan banyak orang. Semuanya saya tidak kenal, dan tidak pernah juga saya bertemu mereka secara fizikal. Ada yang mengirimkan emel bertanya hal statistik, ada pula yang bertanya hal menulis jurnal. Ada yang bertanya bagaimana menulis kertas kerja. Juga ada yang memintakan saya menulis hal psikologi tertentu. Kebanyakan mereka ini ialah pelajar universiti.
Harapan saya, walaupun selalu terbengkalai - ialah mahu menulis banyak hal psikologi yang memberikan manfaat kepada manusia. Sama ada orang memilih membacanya, atau tidak itu bukan hal saya. Saya bukan penyanyi yang mesti ada pembeli album untuk meneruskan survival saya. Saya menulis apa yang perlu bagi pandangan saya.
Boleh sahaja saya menulis banyak simptom atau perbincangan psikologi. Tetapi, ia tidaklah pula semudah yang dijangka. Bagi hal tertentu, saya perlu membuka semula buku, atau melakukan kajian ilmiah dari kajian terbaru, agar apa yang saya tulis tidak menyesatkan pembaca dengan hal yang tidak betul. Memang, saya ada merancang untuk menulis kuliah asas psikologi. Tetapi, sejak lebih dari sebulan ini, saya tidak ke universiti. Saya banyak di rumah. Saya tidak dapat membelek beberapa buku teks bagi memastikan apa yang saya tulis tidak tersasar. Banyak buku yang ada di rumah saya sudah dimasukkan ke dalam kotak - ia akan dihantar balik ke Malaysia.
Hampir 20 tahun dulu, ketika saya di tahun pertama universiti, belum ada internet waktu itu. Kami perlu mencari buku atau jurnal yang ditempatkan di rak universiti. Itu pun, adakalanya kita tidak akan menemuinya kerana ia tidak diletakkan di rak yang betul. Biasanya dilakukan oleh pelajar bagi mengelakkan orang lain mengambilnya, khususnya bagi buku penting yang menjadi rujukan kuliah.
Sekarang ini, orang tidak lagi belajar dari perpustakaan. Internet menjadi sumber baru. Buku tidak lagi dibaca, tetapi orang memilih membakarnya. Orang yang rajin ke perpustakaan, mungkin bukan lagi kerana ingin mencari buku. Ia menjadi tempat yang baik untuk 'berdating'. Semakin perpustakaan sunyi, semakin baik lagi.
Sejak beberapa hari ini, ada terdapat kebisingan bahawa akan diperkenalkan undang-undang baru bagi menyekat aktiviti manusia melalui online. Tidaklah tahu ia benar atau tidak.
Saya harap ia tidak benar. Saya harap ia tidak berlaku.
Satu hari nanti, jangan-jangan untuk berbual pun semuanya akan dilesenkan.
Cerita belajar luar negara
Orang bertanya bagus atau tidak belajar di luar negara? Dalam keadaan tertentu mungkin bagus juga - bergantung kepada nasib masing-masing. Ada yang bertukar penyelia beberapa kali. Ada pula yang tidak boleh bertentang mata dengan penyelia. Semua ini cerita sebalik tabir PhD yang adakalanya menjengkelkan.
Aku tidak ada masalah seperti itu.
Sejak aku di Australia ini - aku sudah belajar banyak hal yang baru - khususnya statistik. Sekarang ini, kalaupun tidaklah pandai, tetapi aku tahu menggunakan 3 jenis pakej statistik utama - Amos, Mplus dan yang terkini HLM. Bukanlah kerana aku pandai. Sebenarnya ia bergantung kepada siapa kita belajar.
Penyelia aku sangat hebat dalam hal-hal ini. Dia selalu duduk di belakang kerusi aku mengajar satu persatu. Dulu, semasa mula mendaftar diri - aku beritahu masalah utama aku ialah statistik. Kelebihan aku pula ialah aku boleh menulis dengan cepat.
Jadi dia kata, dia akan ajar aku hal itu.
Sampai sekarang pun, dia tetap menjadi guru aku paling baik. Ketika sampai dulu, dia mengajarkan aku Amos. Tetapi nampaknya, Amos tidak lagi menjadi medium yang canggih dalam keadaan tertentu. Dia kemudiannya mengajar aku dengan Mplus, walaupun dia pun tidaklah dalam kategori yang cekap. Terkini kami menggunakan HLM, aku rasa antara software yang mudah juga.
Tempat mengajar boleh jadi di mana sahaja juga. Adakalanya di cafe. Di dapur rumahnya juga tidak ada masalah. Dia seorang yang 'cool' dan tidak kisah kalau aku terpaksa keluar dari dapur rumahnya untuk merokok dulu. Dia juga membancuhkan aku kopi. Cuma dia tidak pernah bersalam dengan aku - kerana dia tahu sedikit sebanyak bab budaya kita. Tidaklah pula dia bising seperti ahli politik MCA yang kelam kabut hal calon PAS tidak mahu bersalam dengan lelaki.
Cuma - masalah aku ialah dia seorang yang sangat teruja dengan penyelidikan. Sebab itulah - aku terpaksa membuat 7 kali penyelidikan. Semuanya metod yang ada dalam dunia ini, kalau boleh ingin dicubanya. Dia juga seorang yang sangat banyak menulis.
Tadi dia mengirimkan aku email - aku perlu siapkan 3 lagi kertas jurnal sebelum aku balik ke Malaysia. Ini sepertinya dugaan untuk aku menulis novel pula.
Wednesday, 26 January 2011
Aku sedang menulis novel!
Sebenarnya aku sedang cuba menulis novel. Sudah beberapa muka surat telah aku siapkan. Ia bukan novel cinta. Ia cerita kehidupan manusia. Mungkin ada sedikit sebanyak berkisar hal-hal psikologi. Aku harap aku mampu menyiapkannya. Tidak laku pun tidak mengapa. Terbengkalai projek novel pun tidaklah seteruk kisah tidak siap PhD.
Aku menjadi manusia dungu berlari di balik bayang-bayang mengekorimu. Kalau hidup ini tidak melukakan, tidak aku tahu indahnya persahabatan. Tidak aku memilih untuk derita, tetapi derita itulah teman mimpiku. Yang terindah ialah yang tertinggal - aku yakini itu.
Itu sebahagian dari ayat yang sudah siap. Mungkin sinopsis tema dan jalan cerita. Tunggulah. Mungkin setahun lagi. Kalau kita tidak mulakan sesuatu, tidak ada apa yang akan terjadi.
Friday, 21 January 2011
Ahli politik pun manusia juga
Walaupun kematian itu sudah ditakdirkan, tetapi kita sebagai manusia perlu meneliti semula beban tugas setiap wakil rakyat. Perlu ada inisiatif memperbaiki sistem tugas ahli politik, agar kesihatan mereka terjaga dan mengurangkan risiko kematian secara mengejut.
Di dalam bidang sukan misalnya, setiap pemain bolasepak - walaupun terpaksa bermain bolasepak seminggu sekali, tetapi tahap kesihatan dan kecergasan mereka sentiasa dipantau oleh doktor, ahli fisiologi, pakar pemakanan dan sebagainya. Hanya yang cergas sahaja dibenarkan bermain. Semua ini kerana ada juga kecenderungan pemain bolasepak diserang sakit jantung di atas padang.
Bagaimana pun, dalam konteks ahli politik - tidak ada sesiapa yang memantau kesihatan mereka. Mereka berceramah ke sana sini. Melawat kawasan dan bertemu orang siang dan malam. Mesyuarat di sana sini. Rakyat pula datang bertemu mengadu masalah setiap hari, walhal ada masalah yang mungkin tidak perlu mengadap wakil rakyat pun. Dihadapkan pula dengan tekanan dari dalam dan luar parti. Mungkin mereka berkerja 24 jam sehari dan 7 hari seminggu tanpa henti. Kita tidak begitu tahu.
Siapakah yang memantau kesihatan mereka?
Tentu tidak ada. Sewajarnya sudah tiba masanya ada panduan tertentu bagi menghindarkan wakil rakyat dihadapkan dengan begitu banyak kerja - tanpa henti dan tanpa job description. Misalnya, mereka tidak dibenarkan memberi ceramah lebih 10 jam seminggu dan tidak boleh berkerja lebih 50 jam seminggu. Ada hari yang mereka sepatutnya bercuti. Pemeriksaan kesihatan mesti dijadikan sesuatu yang wajib setiap bulan.
Semua ini perlu - kerana kalau mereka sakit, apatah lagi meninggal dunia - ia akan melibatkan lebih banyak kos, terutamanya kos mengadakan pilihanraya kecil.
Kita lihat trend yang berlaku - kebanyakan wakil rakyat yang mati ini - diserang sakit jantung, darah tinggi atau kencing manis. Apakah punca penyakit ini? Selain pemakanan, aku jangkakan ini sebahagian dari kesan stres.
Aku ingin mengkajinya. Tetapi aku rasa biar pelajar sains politik melakukannya.
Walaupun kita adakalanya marah dan protes dengan wakil rakyat, tetapi ingat, mereka pun manusia juga. Mereka juga perlu ada batas kerja dan jadual hidupnya.
Thursday, 20 January 2011
Aku dan Siam
Saya memanglah seorang penutur bahasa Siam. Tetapi saya hanya menggunakan bahasa Thai 'phat tai' - atau loghat bahasa daerah selatan. Saya tidak begitu menggunakan bahasa 'phat klang' - bahasa loghat daerah tengah atau yang sering digunakan di Bangkok, atau yang juga digelarkan kota Krung Thip itu. Bagaimana pun, kerana di universiti saya belajar bahasa Siam, dan semasa kecil saya selalu menonton televisyen saluran negara jiran itu, saya boleh memahami sedikit sebanyak loghat tengah ini.
Baru-baru ini, saya menjaring ketam di sebuah jeti di sekitar Adelaide ini. Saya lihat ada dua orang wanita Thai sedang menjaring ketam juga. Melihat mereka berbual, saya tahu mereka orang Thai.
Saya menghampiri mereka - bertanya - 'Dai mak ee? (Dapat banyak ke?). Mereka terpinga-pinga merenung saya. Seolah-olah saya dari planet lain. Mereka bukan terkejut kerana wajah saya tampan dan berbadan tegap, tetapi mereka terkejut kerana ada orang berbahasa Siam dengan mereka.
Akhirnya - kami pun berbual-bual dalam bahasa Siam. Mereka cuba mengagak yang saya datang dari wilayah Sadao - mungkin kerana loghat bahasa saya (Ma tai Sadao reh?). Saya kata tidak. Saya kata saya orang Malaysia. Mereka bertambah terkejut. Tetapi saya beritahu kampung saya berdekatan dengan sempadan Thailand. 'Ban phom mai klai ti dan Thai'.
Saya tidak dapat berbual lama dengan mereka. Nanti mereka ajak saya makan gulai ketam mereka pula!
Sebenarnya saya dan bahasa Siam adalah sebahagian budaya hidup kami. Di kampung kami, ada sesetengah orang, kita tidak patut bercakap bahasa Melayu dengan mereka. Ia akan menjadikan kita dianggap sebagai sombong dan lupa diri. Sesekali, saya juga ada perasaan begitu. Samalah seperti kita jumpa dengan sesetengah orang yang cuba berbahasa Inggeris dengan kita, walaupun kita tahu kita sama-sama orang Melayu.
Tetapi dalam kes hidup di kampung kami, ia lain. Kami semua orang Melayu, tetapi kami merasakan bahasa Siam itu bahasa kami.
Eh. Leng khek leh nan. Ah, cuba bercakap Melayu la konon.
Di Adelaide ini pun, saya mempunyai beberapa kawan pelajar dari Thailand. Semuanya anak dara! Kami selalu mengutuk seoranglagi kawan saya, pelajar Melayu yang tidak faham bahasa Siam dengan ayat - ba liau, bo lau'. Sudahlah tak betul, bodoh pula. (Ba - gila, tidak betul; Bo - bodoh, tidak pandai).
Ayat itu selalu saya gunakan ketika bermain di zaman anak-anak dulu.
Wednesday, 19 January 2011
Mengapa mereka berhijrah ke sini?
---------------
Seorang teman lama - juga seorang peguam akan datang berhijrah ke Adelaide sebulan lagi. Entah apa yang tersembunyi di benaknya untuk memulakan penghidupan baru di sini. Saya mula berkawan dengannya di Kuala Lumpur dulu ketika kami sama-sama berkerja di satu syarikat. Kemudiannya saya berhenti dan berkerja di tempat lain. Dia juga, saya rasa berhenti dan berkerja di tempat lain juga.
Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun dulu. Ketika itu, saya mengajar secara sambilan di sebuah universiti. Lepas itu hilang tidak bertemu lagi. Cuma tiba-tiba, dua bulan lalu dia menelefon memberitahu akan datang menetap di Australia. Entah mengapa dia memilih Adelaide, dan bukan Melbourne atau Sydney yang peluang kerja lebih banyak, saya tidak begitu tahu.
Sebenarnya, dia mendapatkan nombor telefon saya dari seorang kawan yang lain, kini menyambung PhD di Melbourne. Kawan saya ini juga adalah rakan sekerja saya di Kuala Lumpur dulu. Dia juga berhenti dan hilang sejak sekian lama. Terakhir saya dengar dia berkerja di universiti awam. Kini, setelah dia sampai di Melbourne sejak lebih setahun dulu, hanya dua kali saya menelefonnya. Itu ketika dia mula sampai dulu. Saya tidak pernah berhubungan dengannya lagi sejak itu.
Sebenarnya, saya sepatutnya ada seorang lagi bekas rakan sekerja di Australia ini. Dulu, syarikat kami ada cawangan di Hay Street, Perth. Saya di Jakarta, dia di Australia. Seorang kawan saya dihantar ke sini. Walaupun kemudiannya operasi syarikat telah ditutup, dia tidak pulang juga. Saya pernah sekali bertemu dengannya lama dulu. Itu pun setelah saya balik dari Jakarta dan berhenti kerja. Dia ada berbual tentang kerja barunya di Perth. Saya pernah ke rumahnya di Perth. Isterinya orang kampung seperti saya tidak begitu betah dengan hidup di Australia. Tetapi kawan saya pula tidak betah hidup di Malaysia.
Saya tidak tahu sama ada dia masih menetap di Perth atau sudah berhijrah ke negara lain.
Sebenarnya banyak sebab orang berhijrah. Ada yang kerana kerja, ada yang kerana belajar. Ada yang tidak begitu selesa dengan kehidupan di Malaysia. Semua orang ada alasan tersendiri.
Saya bagaimana?
Oh, saya tidak boleh melupakan teh tarik mamak dan roti banjir. Saya juga kuat melepak di kedai kopi. Saya tidak boleh hidup lama di negara orang. Saya terasa kehilangan sesuatu.
Lagi pula kalau saya terus di luar negara, bagaimana pula perasaan orang tua saya yang tentunya setiap hari berharap saya akan segera pulang. Itulah kebahagiaan terbesar dalam hidup seorang saya.
Hiruk pikuk itu sangat menjengkelkan
2. Banyak lagi isu perkauman lain yang muncul. Senarainya mungkin lebih panjang dari jalan keretapi Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
3. Apa yang tidak kena? Kita sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku setiap kali kita membelek berita utama akhbar. Benarkah kita ini sedang bermusuhan dan xenophobia sesama sendiri. Kalaulah Gordon Allport penulis buku The Nature of Prejudice hidup semula - tentu Malaysia salah sebuah negara yang akan dicatatkan dalam bukunya.
4. Apa yang kita mahu sebenarnya?
5. Hakikatnya inilah real politik Malaysia. Kita tidak dapat mengelak dari terus bermain dengan sentimen perkauman - kerana inilah asas pembinaan politik Malaysia. Pelajar-pelajar sains politik - ketika di tahun pertamanya akan diberitahu hal ini. Ia hal yang tidak bakal terpisah dari realiti politik dan cara hidup kita.
6. Sejak merdeka - kita sudah mencorakkan warna politik negara ini dengan parti yang mewakili parti berasaskan etnik. Dan setiap pemimpin yang bakal melonjak naik ialah mereka yang berani menjadi juara etniknya.
7. Ingat - menjadi juara tidak semestinya mereka memperjuangkan etnik yang diwakilinya. Menjadi juara boleh jadi kebijaksanaan memanipulasi isu agar kelihatan mereka adalah orang yang peka dengan rakyat.
8. Pada hemat aku - semua ini adalah permainan politik. Ia ditambah dengan kesukaan media memainkan berita - mengulang dan mengolah agar lebih sensasi.
9. Apakah manfaatnya mempolitikkan kepala lembu - sedangkan banyak lagi isu utama yang diabaikan. Isu kemiskinan, beban hutang bank, penagihan dadah - malah masih ada rakyat kita yang tidur di bawah jambatan, di tanah haram jalan keretapi - dan ada yang rumahnya sekadar sebuah pondok. Malangnya isu besar ini tidak pernah muncul dan diberitakan. Ia hanya muncul sekali sekala - itu pun tatkala menjelang pilihanraya.
10. Motif dibangkitkan hal kemiskinan juga bukanlah kerana ingin menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka yang bernasib malang itu, melainkan untuk menikam musuh politik yang satu lagi.
11. Isu azan - cuma cerita biasa sahaja. Banyak lagi kebisingan lain yang boleh dilaporkan. Ada disko yang berbunyi sampai ke pagi. Ada jentera berat masih melewati kawasan perumahan walaupun hari sudah larut malam. Bunyi bising kuari meletupkan bukit juga menyesakkan telinga.
12. Tetapi - semua ini tidak menjadi berita kerana ia tidak ada hubungkait dengan perkauman - tidak ada nilai untuk menjadi bahan politik.
13. Akhirnya - tatkala kita riuh dengan gagasan Satu Malaysia - kita juga sedang riuh dengan hal perkauman yang sepatutnya bukanlah berita. Tidak perlu seorang menteri turun bagi menyelesaikan isu azan. Tidak perlu seorang Menteri Besar membuat kenyataan mengenai kepala lembu. Ia boleh diselesaikan oleh pegawai yang berkaitan sahaja.
14. Tetapi itulah cara kita. Kita telah dikacaukan dengan banyak hal remeh yang menyebabkan banyak agenda besar lain sepatutnya boleh diselesaikan.
15. Menyelesaikan pengistilahan perkataan paria dalam novel Interlok tidak bakal menyelesaikan masalah kaum India.
16. Isu utamanya bukan semua itu. Isu utamanya ialah sejauh mana kita dapat mengurangkan perbezaan pendapatan bagi semua rakyat. Isu utamanya ialah bagaimana ahli politik mampu melihat apa yang terlebih utama bagi keperluan rakyat.
17. Kalau tidak - sampai bila-bila pun kita akan tetap begini. Kerana sampai bila-bila pun, kita akan tetap bersama untuk hidup dan melihat wajah bangsa yang berbeza di sekeliling kita.
18. Makan roti canai di kedai Melayu, membeli barang di kedai Cina dan menggunting rambut di kedai India. Kita mungkin tidak pernah bermusuhan. Tetapi berita dan hiruk pikuk manusia politik pengaut untung membuatkan kita semakin rimas dan resah.
19. Percayalah - sebulan atau kurang daripada itu, akan ada isu baru yang muncul. Ia sudah menjadi lagu hidup kita yang dilabelkan dalam pakej lirik bangsa Malaysia.
Tuesday, 18 January 2011
Siapakah wira kita?
Banyak berita kematian penjenayah - sama ada ditembak mati, atau mungkin mengalami penderaan semasa soal siasat, akibat kelalaian mengikut prosedur, menjadikan nama-nama penjenayah ini tiba-tiba bertukar menjadi wira masyarakat. NGO dan peguam secara sukarela menawarkan sokongan. Ahli politik turut memberikan simpati. Ia mendapat liputan secara meluas.
Akhirnya - imej asal penjenayah tadi dilupakan. Orang tidak mengambil tahu lagi berapa orang telah dibunuh, atau berapa banyak rompakan telah mereka lakukan. Mereka menjadi wira baru. Orang kemudiannya melihat penguatkuasa yang mungkin telah tersilap semasa melakukan kerja-kerjanya - sebagai pesalah yang melakukan dosa besar.
Dosa bertukar tangan. Imej penjenayah berubah tempat.
Siapakah wira kita?
Sesekali mari kita lebih rasional dalam melihat sesuatu. Kita tidak hidup di era Robin Hood. Mereka yang tersilap dalam kerjanya memang bersalah. Tetapi imej asal penjenayah tidak semestinya ditukarkan sebagai wira.
Datanglah ke Adelaide - II
Semalam, ada seseorang mengirimkan email bertanya kehidupan di Adelaide. Mereka merancang untuk ke Adelaide bagi meneruskan kehidupan sebagai pelajar. Mereka akan datang tatkala jumlah pelajar Malaysia ke Adelaide semakin berkurangan. Tidak banyak pelajar baru dari Malaysia untuk dua tahun terakhir ini.
Adelaide bandar yang baik untuk menjadi manusia pelajar. Ia tidak sesibuk Melbourne dan Sydney, dan tidak seusang Darwin. Ia bandar yang cantik. Tidak sesak dengan manusia. Tidak sesak dengan kereta.
Di Adelaide - kami mengenal hampir semua pelajar lepasan ijazah yang lain. Kecuali beberapa kerat yang kurang bersosial, atau tidak mahu dikenali. Ia berbeza dengan situasi di Melbourne atau Sydney. Di sana terdapat banyak universiti. Kawasannya pula besar. Jadi, mustahil untuk kenal semua orang. Warga pelajar dari Malaysia juga banyak.
Untuk orang Islam - makanan halal bukan hal yang sukar. Terdapat banyak kedai membekalkan daging atau ayam yang disembelih. Di sepanjang Prospect Road, terdapat komuniti dari Afghanistan yang membuka kedai di sana. Terdapat juga kilang pemprosesan ayam halal di Adelaide. Di South Road - terdapat 2 kedai menjual daging halal.
Terdapat juga 4 buah masjid utama di Adelaide. Universitinya juga menyediakan surau untuk orang Islam bersembahyang.
Sewa rumah sudah naik sejak dua tahun kebelakangan ini. Rumah aku - dengan sewa $240/minggu mungkin antara yang terendah. Rumah di antara $250 hingga $290/minggu mungkin masih relevan untuk kita. Biasanya, penyewa tidak perlu membayar bil air. Ia ditanggung oleh tuan rumah.
Tiada salji di Adelaide. Tetapi di musim sejuknya, anda masih perlu membeli baju tebal. Jangan beli di Malaysia. Anda boleh membelinya di kedai Salvos, Sunday market di Gepp Cross atau di Brighton. Ia murah sahaja.
Apa lagi yang anda mesti tahu?
Oh, sesiapa pun kita - sesampai sahaja di Adelaide, kita akan bertukar menjadi orang lain. Sama ada kita doktor pakar, profesor besar, pegawai kanan negeri, pengurus besar, Timbalan Pengarah, pengetua sekolah - di Adelaide - semua itu tidak penting lagi. Tidak ada sesiapa pun memandang jawatan anda. Semua orang akan dilayan dengan cara yang sama.
Jadi bersedialah untuk hidup sebagai manusia biasa sahaja. Bersedialah untuk dipanggil kakak atau abang sahaja, itulah pangkat terbesar yang masih tinggal di pangkal nama anda. Selebihnya kami akan memanggil dengan nama sahaja.