Yang Ikut

Wednesday, 16 February 2011

Laluan PhD yang bersimpang siur

Reactions: 
Membaca blog seorang rakan, Laluan PhD Kawan Serumah menceritakan betapa kehidupan pelajar PhD tidaklah selalunya membahagiakan. Anda patut membaca cerita di blog itu untuk tahu cerita PhD yang menyeramkan.

Ia kelihatannya seperti kisah mendayung sampan ke pulau impian yang adakalanya sampai, adakalanya beberapa kali hanyut, dan ada yang terus tenggelam. Ia tidak semudah cerita orang terkenal yang tiba-tiba kononnya ada PhD.


Teman aku yang lain - penyelianya tidak begitu pandai statistik. Tidak pandai tidak mengapa, tetapi tidak mempercayai kerja pelajar yang diselianya itulah masalahnya. Sepatutnya, dalam keadaan dia tidak pandai statistik, dia patut sedikit sebanyak belajar menguasainya. Sekurang-kurangnya dia tahu bagaimana untuk menyelia.

Sebenarnya, inilah antara isu tidak indah yang berlegar dalam rupa paras 'glamour' kehidupan pengkaji PhD. Biasanya, apabila pelajar gagal, pelajar akan menjadi kambing hitam yang dipersalahkan. Tidak hanya menanggung beban memboroskan masa 4 tahun mengayuh di lautan, dan kemudiannya tidak pula sampai - tetapi pulang dengan membawa seikat beban hutang yang banyak. Ada yang mungkin akan dibuang kerja. Semua ini adalah cerita tragis yang selalu berlaku di mana-mana.

Tidak banyak pilihan yang boleh kita buat. Jarang kita kenal siapa penyelia kita sehinggalah kita menjadi pelajar mereka.

Bagaimana pun, ada tips yang patut juga diketahui oleh mereka yang baru ingin memohon melanjutkan pelajaran. Carilah penyelia yang ada nama dan reputasi. Biasanya penyelia seperti ini bukan sahaja mahir, tetapi mereka juga perlu menjaga nama mereka.

Berkenalan juga dengan bakal penyelia anda. Hantarlah beberapa kali email. Sekiranya anda bijak, anda boleh membaca siapa mereka dengan cara mereka menulis emel. Ada yang mengirimkan bahan bacaan. Ada yang menjawab dengan cara yang sombong. Ada yang kelihatannya begitu tegas. Jadi, pilihlah yang sesuai dengan keupayaan anda.

Teman-teman anda juga boleh membantu anda. Bertanyalah mereka yang ada di universiti tertentu bagi menyelidiki siapa bakal penyelia anda.

Oh! Kalau terpaksa belajar di universiti tidak ternama pun tidak mengapa. Mendapat sekeping PhD dari universiti tidak ternama itu lebih bermakna dari gagal di universiti yang terbilang.

Bagaimana laluan PhD aku. Aku juga tidak tahu.

1 comment:

salmi said...

Tidur tidak lena baca entry tuan kali ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails