Yang Ikut

Friday, 20 August 2010

Saman ekor. Mana pangkalnya?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Isu saman ekor sudah menjadi berita panas di Malaysia. Lama dahulu ada, kemudian diam. Ia kemudian muncul kembali. Turun naik isu ini, sama dengan turun naik ekonomi dunia juga.

Benarkah saman ekor dapat mengurangkan bencana di jalanraya? Aku tidak begitu tahu. Aku bukan pakar keselamatan jalanraya.

Di Australia - saman ekor juga wujud. Ada juga polis yang bersembunyi di dalam kereta hitam sambil menghalakan kameranya ke arah kita. Kita tidak melihat polis yang duduk di dalam kereta bercermin gelap itu.

Bagaimana pun, ini bukanlah bermakna bahawa mereka ini bersembunyi memasang lukah di tepi jalan. Sekiranya anda rajin menonton televisyen, setiap malam sudah diberitahu akan ada beberapa lokasi yang sedang menunggu anda dengan kamera tersembunyi ini. Jadi, sekiranya anda malas mencari maklumat ini - anda akan menjadi mangsa kemalasan sendiri.

Di setiap bandar, kameranya terpacak di merata tempat. Anda boleh melihatnya di kebanyakan simpang jalan, atau di laluan yang berbahaya. Anda boleh melihat dengan jelas papan tanda memberitahu anda bahawa akan ada kamera trafik di hadapan. Jadi pandulah dengan perlahan, atau pakailah tali pinggang keledar.

Apa motifnya? Motifnya ialah bagi menggalakkan orang ramai mengikut peraturan. Motifnya ialah bagi memastikan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan. Motifnya ialah bagi memberitahu bahawa anda akan hilang $300 dollar kalau masih tidak faham bahasa.

Peraturan ini bertujuan mendidik. Bukan memerangkap. Kalau ingin memerangkap, adalah lebih baik memasang kamera di laluan menurun bukit. Pasti akan ramai yang terperangkap. Pasti juga, akan ada banyak saman yang dibawa pulang.

Surat saman ekor yang sampai ke rumah anda itu pula, seperti biasa akan memberitahu bahawa kenderaan anda telah didapati melakukan kesalahan di tempat dan masa tertentu. Bagaimana pun, sekiranya bukan anda yang memandu pada hari berkenaan, nyatakan nama orang dan alamat orang yang telah menggunakan kenderaan anda. Pulangkan semula surat saman itu ke balai polis. Nanti, surat saman baru akan dikeluarkan kepada orang yang telah menggunakan kenderaan anda. Sekalipun, orang itu sudah pulang ke Malaysia.

Undang-undang juga mestilah adil untuk semua manusia. Tidak wajar orang lain yang memandu, orang lain yang disaman. Sebab itu, dalam beberapa hal, pembaikan dalam sistem saman kamera trafik ini perlu dipertingkatkan.

Kalau itu dinamakan saman ekor, apakah yang menjadi pangkalnya? Mendidik atau memerangkap?

Thursday, 19 August 2010

Ada sesiapa lagi?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Musim sejuk mula mengendur. Sudah ada bunga-bunga yang mula memutik di dahan. Di ambang musim bunga ini, suasana Adelaide seperti biasa. Ia tidak akan sepanas suhu politik di Malaysia. Ia tidak akan bergelut dengan 1001 cerita.

Aku hampir melangkah masuk ke tahun ke empat di sini. Tidak banyak yang berubah. Bahasa Inggeris tetap begitu juga. Tidak pandai-pandai. Tatabahasa tunggang langgang. Lebih baik bahasa Siam aku dari dari bahasa ketiga terbesar dunia ini.

Selepas raya ini, aku akan memulakan kutipan data lagi. Harapnya ini bukan terakhir. Masih ada dua kali lagi kutipan data. Aku pun semakin lama semakin pelik dengan metodologi psikologi orang Barat. Di Malaysia, melakukan kutipan data sekali lalu sudah cukup. Orang tidak bercakap tentang 'common method variance'. Orang tidak bercakap hal causal relationship. Tidak pernah orang berkata tentang Harman test method.

Nampaknya - di sini semuanya berbeza. Orang tidak hairan pun dengan PhD. Yang orang mahu ialah pembuktian. Kajian aku terakhir - bulan April lalu sepatutnya menutup buku cerita kajian aku. Itu sangkaku. Nampaknya tidak. Masih ada dua lagi melengkapkan 7 kali kutipan data. Aku tidak tahu apa yang aku cari. Adakah dengan kajian bertubi-tubi, dunia akan berubah.

Sehari dua ini - kerjaku ialah menelefon semula teman-teman lama - yang ada kuasa dan tidak. Yang swasta dan yang berkerja di kantor pemerintah. Itulah talian hayat yang boleh mempercepatkan semua urusan kutipan data. Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberikan isyarat untuk membantu menguruskan hal kajian di tempat kerja mereka. Patut aku catatkan nama mereka di sini - Hasni, Cah, MatYee, Merry, Intan, Zaidi, Mie, Hairi dan Hazizi. Tentunya, untuk beberapa hari yang bakal datang beberapa nama baru akan tersenarai.

Ada sesiapa lagi teman blogger yang boleh membantu? Aku sedang mencari seorang ketua/penyelia - dan lima atau lebih orang di bawah mereka. Itu sahaja metodologi kali ini.

Ada sesiapa lagi? Apa lagi selepas ini? Aku tak pernah akan tahu apa yang bakal terjadi. Moga tidak ada ribut petang membawa pulang segala yang ada dalam dakapan. Moga tidak ada lelaki buta melarikan kekasih dalam khayalan.

Wednesday, 18 August 2010

Beruntungnya hidup berbilang bangsa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada isu besar yang aku akan tulis sekarang ini. Cuba sesekali anda baca tajuk suratkhabar sekarang ini. Di mana-mana sahaja isu perjuangan kaum dan bangsa menjadi topik utama. Orang Melayu bercakap tentang ketuanan kita. Orang Cina juga bercakap tentang hak mereka. Pastinya, orang India juga akan memperkatakan hal yang sama.

Mari kita diam. Kita berhenti sejenak. Kita berfikir.

Sesekali aku terasa, beruntung juga ada banyak bangsa di negara kita. Setidak-tidaknya itu boleh dijadikan modal untuk berniaga politik.

Sebab - yang miskin, tanpa mengira apa bangsanya - bermandi peluh mengerah keringat, berkedut wajah menahan beban. Hidupnya bermula pagi, lewat malam belum berakhir. Anak-anaknya di rumah tidak sempat mengecam muka ayahnya. Isteri sudah tidak kisah lagi sama ada suami pulang atau tidak. Yang penting - besok pagi ada wang untuk membeli beberapa bungkus nasi lemak - buat bekal anak ke sekolah.

Yang kayanya pula siapa? Orang itu juga. Orang yang banyak bercakap hal perjuangan bangsa. Mereka inilah pemilik bangunan puluhan tingkat. Mereka inilah pemilik ladang kelapa sawit. Ada harta di London, ada banglo di Perth. Di Adelaide pun mungkin ada. Jangan bimbang. Mereka ini juga berbilang bangsa.

Sebab itu aku berbangga hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.

Monday, 16 August 2010

Cerita di bulan Ramadhan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tidak banyak berita di bulan puasa ini.

Cerita 1

Tadi - aku berjumpa dengan 3 anak dara dari sebuah universiti di utara tanahair. Mereka akan berada di Universiti Adelaide selama 4 bulan di bawah program pertukaran pelajar.

Seperti biasa, pelajar-pelajar kita ini dihantar datang tanpa persiapan yang jelas. Tidak tahu di mana rumah mereka, dengan siapa mereka akan tinggal. Orang mungkin tidak tahu ini musim sejuk.

Sebenarnya banyak orang Malaysia di sini. Banyak yang boleh membantu. Tetapi, untuk membolehkan mereka ini membantu, mereka ini perlu dimaklumkan dahulu. Jadi mereka tahu bagaimana untuk merancang penempatan orang baru.

Cerita 2

Kawan baik aku, Kak Ton yang mana kami berkongsi bidang yang sama dan penyelia yang sama, kini boleh menarik nafas lega. Membaca laporan penilaian oleh pemeriksa luar, membuatkan aku tumpang gembira. Seorang pemeriksa, profesor ternama dari Kanada dalam komennya:

'This was a first piece of work. One of our students here is doing a work-family thesis study, and my intention is to have her read Hassan's thesis'.

Tidak sahaja gembira. Aku juga patut risau.

Tadi, supervisor aku merancang untuk aku membuat sekali lagi kutipan data. Kali ini di organisasi terpilih. Mungkin yang terakhir. Aku pun tidak ingat ini kali yang keberapa lagi kutipan data aku ini.

Aku cuma bimbang - nanti pemeriksa akan berkata - "You are very rich, Bro!"


Cerita 3
Bulan Ramadhan ini, aku sekali lagi menanam tekad berhenti rokok. Hari pertama puasa, aku hampir berjaya. Aku hanya menyedut sepam sahaja asap rokok untuk 24 jam. Hari keduanya, aku menghisap satu batang. Hari ketiganya aku digoda lagi.

Bulan puasa ini - sebenarnya sudah agak lama aku tidak membeli rokok. Aku cuba menjadi manusia suci. Manusia tanpa pencemaran. Agar hidup lebih sihat. Hidung lebih mancung. Pipi lebih gebu.

Tetapi, aku juga mempunyai banyak kawan-kawan yang sama ada mereka mencari aku, atau aku mencari mereka. Rokok ialah penghubung keakraban kami.

Tidak salah mencuba berhenti. Seperti tidak salah aku mencuba menghisap dahulu.

Friday, 13 August 2010

Mengimbau Ramadhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengimbau bulan puasa.

Ingat lagi, semasa aku masih di sekolah rendah, kita sudah mula berlatih puasa. Aku tidak berapa ingat sejak usia berapa aku mula belajar berpuasa 'yang yok', atau puasa 'olok-olok'.Mungkin sekitar darjah 2 atau 3. Itu di tahun awal 80-an. Banyak pembaca tidak lagi lahir waktu itu.

Waktu itu keinginan berpuasa sangat tinggi. Tapi biasanya semangat kita juga tak mampu melihat buah tembikai atau air tebu yang dijual ditepi jalan. Inilah godaan yang biasanya membuatkan kita tersungkur lebih awal.

Ingat juga lagi - pada tahun pertama belajar berpuasa, ada sasaran yang kita cuba capai. Misalnya berpuasa selama 20 hari penuh, dan 10 hari lagi separuh-separuh. Waktu itu, kalau masuk ke bilik air dengan cubaan berkumur, dan adakalanya tertelan beberapa kali - kita anggap puasa itu masih berjaya. Yang tidak berjaya, cuma kalau kita memakan sesuatu. Itupun kalau dilihat orang.

Sebenarnya bukan hanya air tebu atau buah tembikai yang mengiurkan, sebenarnya waktu itu 'ais batu' pun kadang-kadang menggoda juga. Awal 80-an sehingga pertengahan tahun 80-an, peti ais masih dianggap barang ganjil di kampung aku. Bukan kerana orang tidak mampu. Mungkin juga kerana tidak ada elektrik. Maka, peti ais tentulah juga tidak wujud. Jadi, ada beberapa orang kanak-kanak, sebaya usia dengan aku - mereka melakukan kerja menjual ais batu. Ais itu mungkin dibeli di bandar, dan kemudiannya dijual kepada orang kampung. Aku tidak ingat sangat harganya, mungkin 10 sen atau 20 sen sebata.

Melihat ketul ais itu pun kadang-kadang menyebabkan puasa terasa begitu teruk. Sekarang ini, aku tidak ingat orang akan kemaruk dengan ketul ais lagi. Menjual ketul ais dari rumah ke rumah mungkin menjadi kerja orang gila. Tidak ada sesiapa yang mahu membelinya lagi.

Ketika aku budak-budak, kerana belum ada televisyen, maka radio akan dibuka. Itu untuk mendengar azan. Tetapi biasanya orang kampung aku lebih yakinkan paluan biduk kulit lembu dari sebuah surau lama. Aku pasti, tidak ramai lagi orang tahu bagaimana bunyinya biduk itu. Biduk bukan hanya berguna untuk tahu masuk waktu sembahyang, tetapi apabila ada kematian biduk itu juga akan dipalu. Tetapi ia dengan menggunakan rentak yang lain. Jadi, orang tahu ada seseorang yang sudah dipanggil pulang.

Malamnya, seperti biasa kami budak-budak akan memeriahkan masjid. Bukan untuk berterawih - tetapi kami biasanya akan begitu mengambil tahu apa menu 'moreh'. Biasanya, ketika orang dewasa sedang bersembahyang, ada beberapa budak-budak yang kerjanya akan membuka periuk dan makan dahulu. Ada yang menyembunyikan roti canai di bawah kopiah atau poket baju. Semua itu hal yang selalu terjadi. Tetapi, moreh inilah yang memperkenalkan kita dengan masjid. Tanpa moreh, mungkin kita masih takutkan masjid sampai dewasa.

Habis moreh - kalau bernasib baik, abang aku membawa aku menonton televisyen di rumah kawannya. Kalau tidak, aku balik dan tidur dalam gelap pelita minyak gas. Sesekali kita akan mendegar bunyi meriam buluh. Sesekali kita mendengar bunyi letupan mercun roket.

Sampai sekarang bunyi ini tidak akan berhenti. Mahu tahu kenapa? Kerana kampung aku berjiran dengan Thailand - jadi semua ini boleh sahaja masuk ke kampung aku dengan mudah.

Di Australia - tidak ada sebarang godaan berpuasa seperti kita. Tidak ada bazaar Ramadhan, tidak ada buah tembikai potong, tidak ada jualan kuih, tidak juga ada laksa beras. Semuanya tidak ada.




Thursday, 12 August 2010

Selamat berpuasa untuk pembaca

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah 3 hari kita berpuasa. Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua penyinggah blog ini - mereka yang kenal dan tidak kenal.

Aku tidak mampu menulis di blog ini untuk beberapa hari lalu. Tidaklah dipastikan untuk beberapa hari akan datang. Agak sibuk. Bukan sibuk fizikal, tetapi sibuk mental. Menjadikan aku merasa tidak begitu berupaya menulis.

Kata Charles Darwin - “If we expect to suffer, we are anxious; if we have no hope of relief, we despair”. Anda tidak perlu tahu apa maknanya. Itu ayat yang selalu kita jumpa dalam buku psikologi.

Pernah anda dengar istilah 'Melancholia'? Lama dahulu ada lagu Cinta Melankolia. Walaupun maksud melankolia dalam lagu itu bertentangan dengan makna asal "Melancholia' dari bahasa Greek itu.

Melancholia ialah ayat yang pernah disebutkan oleh Hippocrates bagi menerangkan tentang perasaan bimbang, cemas dan murung - yang biasanya berlaku sekaligus dan dibawa dalam tempoh yang agak lama. Kadang-kadang ia diistilahkan sebagai 'black mood'.

Cukup setakat itu dulu kuliah psikologi di bulan puasa ini. Selamat berpuasa, menunaikan zakat fitrah dan bersolat sunat.

Saturday, 7 August 2010

Islam tidak progresif?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apabila seorang bukan Islam, melabelkan Islam tidak progresif seperti yang disuarakan oleh Presiden MCA, tentulah ada sesuatu yang tidak kena. Menyalahkan pandangan seperti itu juga tidak kena, kerana ia disuarakan oleh orang luar yang mungkin tidak memahami inti Islam itu sendiri.

Benar, banyak negara Islam sedang dirosakkan oleh rasuah. Tetapi ingat, ia dilakukan oleh manusia Islam yang tidak mahu mengamalkan Islam. Mereka menjadi manusia Muslim sejak lahirnya, bersembahyang dan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji. Tetapi, mereka juga melakukan hal-hal yang dilarang. Ada ketikanya, mereka juga dirasuah dengan pakej melakukan umrah.

Mereka menjadi manusia tamak. Tidak jujur dan penipu. Mereka inilah yang sedang merosakkan imej Islam. Ia adalah kerosakan yang dilakukan oleh manusia yang membalut dirinya dengan agama, tetapi ia tidak menegakkan ruh Islam dalam jiwanya.

Untuk dikatakan umat Islam sebagai manusia perasuah, ia tidak benar. Rasuah juga milik penganut agama lain di India, Thailand, Burma dan banyak negara lain. Menjadi manusia perasuah ini bukan kerana agamanya, tetapi kerana nafsu halobanya. Rasuah berlaku kerana minda manusia yang tidak maju.

Di negara kita, rasuah bukan hanya milik orang Melayu. Ia juga milik para saudagar berbangsa lain. Mereka ini berkongsi amalan ini dengan pemilik kuasa. Kebetulan, orang Melayu yang banyak memegang kunci kuasa ini - maka mereka saling berkerjasama menjalankan rasuah. Inilah sebenarnya masalah utama. Rasuah sudah menjadi milik kita bersama. Milik semua orang yang berkuasa dan mempunyai peluang untuk mendapat habuan.

Menjadi orang Islam, kita bukan sahaja tidak boleh menjadi manusia perasuah, bahkan mematahkan sebilah ranting kecil di rumah orang tanpa kebenaran juga tidak dibolehkan. Anda yang belajar agama tentu pernah mendengar riwayat ini. Menjadi manusia Muslim sejati, anda tidak boleh memakan harta yang bukan hak anda. Malah, bahkan meminta barang orang pun tidak digalakkan. Inikan pula mengambil rasuah dengan nafsu serakah dan tamak haloba.

Kita tidak boleh menyalahkan Presiden MCA. Dia berkata benar atas fakta yang dia miliki. Tetapi kita patut menyalahkan orang Islam sendiri. Lihatlah bagaimana kita telah menukar istilah rasuah menjadi 'politik wang'. Lihat, bagaimana kita selalu meminta komisyen bagi meluluskan projek. Lihat, bagaimana kita selalu cenderung dengan kronisme dan nepotisme dalam membahagikan kekayaan.

Kerajaan Islam - sejak dari Umaiyah, Abbasiyah sampailah kepada kerajaan kecil seperti Fatimiyah hancur, bukan kerana Islam. Mereka hancur kerana diuji dengan kuasa. Mereka runtuh kerana dalam jiwa mereka tidak lagi berpegang dengan apa yang disuruh oleh agama.

Kalau semua penganut Islam - mengamalkan Islam, tidak berbohong, bersikap jujur, tidak tamak dan setiap hari merenung hidupnya selepas mati, kita akan lebih progresif dari semua tamadun lain. Sayang - kita mengaku Islam. Kita mengaku beriman. Tetapi, adakalanya wang dan kuasa sudah menjadi Tuhan baru kita.

Terima kasih Presiden MCA kerana mengingatkan kami semua.

Mengapa kita ketawa?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa bezanya orang yang dikatakan gila dengan orang normal?

Setiap bulan - kita akan melalui beberapa jenis emosi. Adakalanya kita bersedih. Kita juga ketawa. Kita juga menangis. Sesekali kita juga mungkin murung, marah, bersemangat, ceria dan sebagainya. Semua ini adalah emosi yang ada dalam hidup manusia. Ia kitaran hidup kita sama ada kita ditakdirkan normal atau tidak.

Adakah ada emosi yang negatif? Asalnya tidak ada. Tidak ada emosi yang bersifat positif atau negatif. Marah dan murung mungkin seringkali dikaitkan dengan negatif. Tetapi, kemarahan itu perlu untuk survival hidup. Mustahil kita tidak marah kalau ada orang cuba mengganggu keluarga atau diri kita. Mustahil pula kita tidak murung kalau ditimpa bencana. Kita juga akan berasa begitu gembira kalau berjaya. Semua ini adalah emosi.

Bagaimana pun, untuk memudahkan pengkelasan, marah, murung atau tertekan itu dikatakan sebagai negatif atau positif.

Bagaimana orang yang sakit mental? Mengapa ada di antara mereka yang ketawa seorang diri. Adakah mereka gembira. Ada pula yang murung sepanjang hari. Adakah mereka sedang bersedih. Emosi yang mereka jelmakan itu - sama juga seperti orang normal yang lain. Bezanya orang normal tidak ketawa seorang diri setiap saat, walaupun ada waktunya kita ketawa juga.

Mengapa semua ini muncul? Mengapa orang sakit mental?

Nanti kita sambung.

Friday, 6 August 2010

Jangan katakan aku gila.

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri kuliah psikologi kembali lagi.

Kali ini kita bincang penyakit-penyakit psikologi.

Sebenarnya, adakah orang gila di dalam dunia ini?

Bagaimana jawapan anda.

Di zaman silam - di Eropah, manusia yang dianggap gila telah dimasukkan ke dalam bot khas, yang dinamai 'ships of fools' dan kemudiannya diletakkan jauh di tengah lautan.

Sekarang ini pun - orang yang dianggap gila tetap diasingkan dari manusia. Kalau anda ke Hospital Taiping atau Alor Setar, akan ada wad orang gila. Hospital Tampoi dan Tanjung Rambutan antara yang popular. Mereka yang dirawat di hospital ini ialah manusia yang tidak normal.

Yang banyak masuk ke hospital ini biasanya bukanlah mereka yang datang secara sukarela. Misalnya, kalau kita berasa kita seperti manusia yang gila, patutkah kita ke hospital menawarkan diri untuk duduk di sana. Pasti tidak. Kita mungkin tidak gila kalau begitu. Jadi yang banyak masuk ke sana biasanya setelah kes mereka dirujukkan ke pakar atau pihak autoriti tertentu.

Di kampung aku - ada seorang kakak, namanya disamarkan sebagai Kak H - mungkin 20 tahun lebih tua dari aku. Dia selalu berbasikal keliling kampung. Singgah ke sana sini. Dia wanita yang agak cantik ketika mudanya. Bergincu. Kadang-kadang bertopi. Sejak aku mula kenal dunia, dia sudah begitu. Dia singgah ke rumah orang kampung yang baik dengannya. Dia singgah berbual. Beberapa topiknya yang awal mungkin betul. Apabila berbual lebih panjang, ia akan jadi keliru.

Kata orang kampung - dia sakit akibat buatan orang. Sejak remaja lagi.

Dia agak baik dengan aku. Dia selalu bercerita yang dia kerap mendukung aku ketika aku kecil dulu. Aku percaya katanya, kerana ibuku juga berkata begitu. Sampai sekarang, kalau aku balik kampung dia akan singgah. Katanya ingin melihat aku bagaimana rupanya sekarang.

Dia agak normal sedikit sekarang ini.

Agak malang, dalam budaya kita, dalam budaya mana pun jua - orang gila dianggap sebagai manusia pariah. Tiada harga. Seolah-olahnya mereka ini tidak wujud. Seolah-olahnya mereka ini tidak tahu apa-apa.

Berbalik kepada soalan awal tadi, adakah ada manusia gila di dunia ini?

Pandangannya yang paling masyur - yang paling kontroversial dan aku sealiran dengan pandangan ini, datangnya dari Scheff (1966) - mereka ini bukan gila. Mereka ini ialah manusia yang sakit.

Jadi, sama ada seseorang itu kita anggap sebagai gila atau tidak, bukan letaknya pada pesakit. Letaknya pada pandangan dan tanggapan kita sendiri. Seperti kita melihat seseorang itu cantik atau tidak. Ia tidak bergantung kepada empunya diri, tetapi siapa yang melihatnya.

Hakikatnya, tidak ada orang gila. Mereka hanya pesakit. Mereka menjadi mangsa penafsiran orang yang melihatnya, dengan menyatakan mereka gila. Mereka menjadi mangsa kerana kelakuan mereka yang bertentangan dengan budaya setempat.

Orang yang berkaki ayam berjalan di tengah kota Kuala Lumpur pasti akan dianggap gila. Ia tidak pernah berlaku. Bagaimana pun, di kebanyakan kota Barat, warganya selalu sahaja berkaki ayam berjalan keliling bandar. Mereka tidak dianggap gila. Kerana ia tidak bertentangan dengan norma setempat.

Gila atau tidak seseorang - letaknya pada penafsiran kita. Itu sahaja.

Thursday, 5 August 2010

Surat untuk kawan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hai kawan,

Kata seorang sarjana, "Doing your PhD is about solving one million problems'. Aku tidak sependapat dengan sarjana itu. Bagiku, mengejar PhD sebenarnya membawa bersama sejuta masalah. Ia menyangkut paut dengan segala kacau bilau kehidupan sebagai manusia, suami, bapa, anak dan pelajar. Walaupun ia membuka luas pintu pemikiran, ia juga memasung dunia yang waras.

Aku tidak begitu pasti sama ada aku pernah tahu apa itu PhD ketika aku masih bersekolah. Bagi aku, belajar hanya untuk lulus peperiksaan. Kata orang, mereka yang lulus periksa, akan mudah mendapat kerja. Hidup akan senang lenang. Itu sahaja pesan yang disampaikan turun temurun. Takdirnya, ini jugalah pesan yang aku sampaikan kepada orang yang lebih muda.

PhD bukanlah satu kebijaksanaan. Ia adalah ketabahan. Kebijaksanaan tanpa ketabahan, tidak memulangkan apa-apa. Orang yang tabah, tanpa kebijaksanaan pun, lama-lama akan berjaya juga. Aku tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan. Aku tidaklah manusia yang bijak. Pastinya, bukan seorang yang tabah. Kalau aku bijak, tamat SPM aku pasti sudah ke luar negeri. Seperti banyaknya anak muda yang kini menempuh ijazah pertama di luar negara. Mereka itu orang yang bijak. Aku juga tidak begitu tabah. Aku seboleh-bolehnya ingin mendapat keputusan yang cepat, tanpa perlu banyak bersusah payah.

Kebelakangan ini dunia hidupku berubah dengan pantas. Dari pagi hingga ke malam aku akan duduk di depan komputer di pejabat ini. Malamnya aku membelah suhu sejuk menunggu dua buah bas. Begitulah kehidupan yang telah mencelarukan rutin hidupku. Adakanya aku menulis. Tetapi tidaklah banyak. Ia terganggu dengan proses analisa pula. Proses analisa juga tidak selesai. Ia dipintas oleh kebimbangan tempoh masa yang ada pula. Apabila terasa ingin membaca, alih-alih teringat bab yang belum selesai pula. Begitulah dunia hidupku sejak akhir-akhir ini. Akhirnya, tidak ada apa satu pun yang menjadi.

Aku tidak begitu tahu hal orang lain. Aku juga tidak begitu mahu tahu hal mereka yang lain. Pastilah, setiap orang ada ceritanya sendiri.

Dulu ketika berkerja - kehidupanku juga sibuk. Masa juga bergerak pantas. Setiap hujung bulan - ada satu kebimbangan yang akan datang. Cukupkah wang bulan ini. Cukupkah untuk membayar gaji pekerja. Bagaimana dengan bayaran sewa. Kalau kita menggunakan sebahagian wang ini, bagaimana pula biaya untuk operasi. Semuanya juga adalah cerita kacau. Tetapi ada waktunya, kita boleh bergembira kalau ada wang banyak yang masuk. Ia tidak berlaku selalu. Cuma sekali sekala.

Tapi itu cerita kacau bilau yang lain. Sekarang lain. Sekarang tidak perlu berfikir untuk manusia lain. Kacau bilau sekarang ini hanya berperang dengan diri sendiri. Pertarungan batin yang menyeksakan. Sesekali menyeramkan.

Sebenarnya, tidaklah begitu mudah untuk mendapat gelar PhD. Walaupun pada akhirnya, gelar itu tidak membawa apa makna juga. Ia hanya sekadar sekeping kertas untuk mencari makan. Ia bukan kayu ukur kebijaksanaan seseorang. Tetapi ia mungkin menceritakan jalan tabah seseorang manusia. Itu sahaja.

Ketika masih di bangku universiti - sambil berjalan-jalan dengan Bento di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, aku pernah memberitahu Bento yang satu hari nanti aku perlu juga memiliki PhD. Waktu itu aku pun masih tidak pasti apa yang hebat sangatnya PhD ini. Mengapa tidak aku beritahu dia yang aku patut mengahwini seorang puteri raja. Untung-untung doaku waktu itu termakbul.

Sekarang ini - sebahagian yang aku harapkan hampir 20 tahun dulu, aku laluinya. Ia datang bagai mimpi. Tidak disangka-sangka. Tetapi, ia bukan lagi kehidupan mimpi. Ia kehidupan nyata yang adakalanya sangat menakutkan. Entah apa yang ditakutkan.

Kawan. Engkau di mana sekarang? Bukankah lebih baik kalau kita minum secawan kopi di waktu ini. Kita bercerita tentang dunia yang lain. Dunia bermain pondok-pondok dan mengejar layang-layang. Kita bercerita hal politik. Kita bercerita hal proposal projek yang diciplak dan kemudiannya mereka mengaku itu milik mereka. Kita juga boleh bercerita hal orang kampung. Bagaimana harga getah sekarang ini? Di belakang kebun itu, mereka masih berlaga ayam?

Ah. Bagaimana ceritanya Datuk Siti. Sudah hamilkah dia?

Tidak ada apa yang pelik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa bulan lalu aku pernah menulis siri bunuh diri. Kali ini aku ingin menulis lagi atas permintaan seorang sahabat untuk mengulas isu seorang bekas ahli politik yang didapati terbunuh bersama pembantu wanitanya dalam sebuah kereta. Teori awal menyatakan bahawa ahli politik itu mungkin membunuh pasangannya dahulu, sebelum menembak dirinya pula. Hipotesis ini tentulah berasas kepada dua peluru di kepala wanita, dan satu peluru lagi di tubuh ahli politik tadi.

Maksudnya, mustahil ahli politik tadi menembak dirinya dulu, kemudian menembak dua kali di kepala wanita tadi.

Kalau satu peluru di kepala lelaki, dan satu peluru lagi di kepala wanita pula bagaimana? Kalau begitu situasinya, persoalan yang mungkin timbul ialah siapa yang menembak dulu. Kalau dua peluru di kepala lelaki, dan satu peluru di kepala wanita, hipotesisnya akan bertukar lagi. Mungkin wanita itu yang menembak dulu.

Atau ada orang lain yang menembak? Mereka mungkin tahu teknik hipotesis ini. Mereka masuk ke dalam kereta, mereka menembak dari dalam. Kalau begitu, pembunuh ini tentu seorang profesional.

Ia juga hal yang boleh jadi.

Kita tinggalkan dulu. Biarkan polis melakukan kerja mereka.

*********************************

Kajian mendapati manusia yang berumur 65 tahun ke atas cenderung membunuh diri. Teori yang berkait dengan hal ini ialah theory of social roles. Pada usia ini, peranan kita telah berubah dengan begitu banyak. Ada yang berpencen dan hilang pekerjaan. Berubah menjadi bapa/ibu kepada datuk atau nenek. Ada yang kematian pasangan dan sebagainya. Tidak kurang yang sakit dan hilang upaya.

Semua ini adalah alasan utama dalam teori ini. Umur ini juga, biasanya untuk kembali recover sangat sukar. Kerana masa semakin pendek. Umur kian bertambah. Ia berbeza kalau umur 25 atau 35 tahun. Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.

Umur yang sebegini juga memungkinkan seseorang itu untuk murung, dan tidak kurang yang cenderung membunuh diri. Semua ini ialah kerana mereka tidak ada pilihan lain. Luar mungkin kelihatan bahagia. Hati di dalam siapa yang tahu.

Dalam budaya kita - kerana kita tidak pernah ambil berat akan hal penyakit psikologi, kita adakalanya tidak tahu pun sama ada ibu atau ayah kita di rumah murung atau tidak. Kita selalu beranggapan mereka kian menghampiri usia nyanyuk. Sedangkan hakikatnya, mereka mungkin sedang dilanda masalah kesunyian. Paling baik yang selalu kita lakukan ialah memanggil bomoh - dan kemudiannya mula berbicara tentang kemarahan roh nenek moyang.

Harus juga diingat - aktiviti seksual - atau sekurang-kurangnya keinginan seksual bagi kelompok umur ini juga masih normal. Bagaimana pun, ia hanya untuk lelaki. Tidak bagi wanita. Ini juga sebahagian perubahan yang dihadapi oleh kelompok usia ini.

Kajian di Finland mendapati bahawa 2/3 dari lelaki ini masih ingin atau cenderung berhubungan seks, tetapi hanya 1/4 bagi wanita. Kajian-kajian lain di Sweden juga menunjukkan hal yang sama. Separuh (1/2) dari lelaki yang berkahwin berhajatkan seks, tetapi hanya 1/3 bagi wanita.


Ini menunjukkan bahawa lelaki pada umur ini masih berhajatkan untuk memiliki pasangan hidup. Sebab itu - kalau bapa kita kematian ibu misalnya, kita jangan sesekali melarang mereka berkahwin lagi. Kita tidak tahu apa yang tersirat dalam hati mereka.

Dalam keadaan wanita berumur 60 ke atas semakin kurang aktif, dan lelaki pada umur yang sama sama ada tetap stabil, atau masih ada kecenderungan seksual, jadi tidaklah sesuatu yang ajaib kalau kita dapati banyak lelaki berusia lanjut masih mempunyai isteri muda atau teman wanita yang istimewa.

Semua ini sebenarnya didorong oleh tabie manusia itu sendiri.


Jadi - adakah pelik kalau lelaki berusia masih berhasrat berkahwin lagi - atau masih terjerat dalam percintaan? Mungkinkah lelaki pada usia ini masih lagi berhadapan dengan konflik cinta? Semuanya adalah hal yang boleh jadi.

Tidak ada apa yang pelik.

Yang pelik ialah apabila kita hanya tidak mahu mengambil tahu hakikat sebenar.

Wednesday, 4 August 2010

Mengapa aku menulis blog?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengapa aku menulis blog? Apakah motifnya?

Sampai sekarang aku tidak pernah ada jawapan untuknya. Aku tidak tahu mengapa harus aku membongkarkan rahsia dalam mindaku untuk orang lain. Tidak juga tahu mengapa harus aku bersusah payah menaip cerita tentang diri aku sendiri.

Orang lain juga - yang menulis blog - tentu juga tidak tahu mengapa mereka harus bersusah payah menulis di blog. Mengapa tidak tulis sahaja di atas kertas putih dan simpan dalam laci.

Dari dulu sampai sekarang - aku tidak tahu sejak bila aku minat menulis. Zaman sekolah rendah - kita hanya diajar menulis. Tetapi, tulisan itu tidak melambangkan pemikiran. Sekolah menengah mungkin mengajar kita. Tetapi itu tidak analitikal. Ia sekadar menulis semula apa yang dihafal.

Ketika aku belum masuk sekolah lagi - ayahku sudah ajarkan aku menulis. Tetapi ia sekadar menulis patah perkataan.

Di universiti, peluang menulis lebih banyak. Tetapi kita hanya sekadar menulis apa yang kita pelajari. Fokusnya pula untuk peperiksaan atau kertas kerja. Itu perkara yang datang kerana paksaan.

Menulis blog lain. Ia tidak dipaksa sesiapa. Mungkin ada sedikit, kalau pun tidak banyak. Apabila melihat ada orang datang singgah, tetapi kita tidak menulis sesuatu, rasa seperti tidak kena pula.

Kadang-kadang, menulis blog juga membebankan. Apabila membaca suratkhabar atau memerhati sesuatu, ada yang kita rasa tidak kena. Waktu itu, otak membebankan jari untuk menyatakan rasa kita. Kadang-kadang apabila mendengar orang bercerita - kita pun rasa ini patut ditulis. Semua ini menjadikan penulisan blog kian membebankan.

Sekarang ini - apabila melihat ada gesaan agar guru dibolehkan berpolitik - aku terbeban berfikir. Mengapa hanya guru. Mengapa dasar hanya dibolehkan untuk satu golongan, dan tidak golongan lain. Dasar ialah sesuatu untuk semua manusia. Kakitangan kerajaan lain pun manusia juga. Mereka juga makhluk politik. Mengapa mereka tidak tergolong dalam kumpulan yang dicadangkan itu?

Sebenarnya itu ada dalam benak aku. Aku sengaja tidak mahu menulis.

Aku tahu - adakalanya pandangan dari ahli politik tidak semuanya terjangkau akal yang waras. Ia hanya pertimbangan untuk membahagiakan diri sendiri.

Tuesday, 3 August 2010

Ini cerita profesor

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tadi, seorang sahabat lama - Din, bertanya mengapa lama tidak update. Jawapan paling mudah, sibuk. Jawapan lain yang mungkin sesuai - sebenarnya tidak ada apa yang hendak ditulis. Sebenarnya itulah jawapannya.

Aku sedang cuba menganalisis data yang diberikan seorang Profesor dari Universiti Tokyo. Seperti biasa, data yang dia ada baik. Aku cuba bandingkan dengan data Malaysia. Data aku yang selalu kucar kacir. Orang mungkin mengisi soal selidik tanpa membaca. Itu masalah biasa. Sebab itu - aku malas menulis di blog.

Bagaimana pun - aku ada sedikit cerita. Cerita profesor.

Bagaimana agaknya imej profesor yang selalu anda bayangkan? Bagaimana anda menanggap profesor kita di Malaysia. Satu hari nanti, Sdr Ben mungkin juga bakal jadi profesor. Adakah profesor itu sangat protokol? Atau profesor itu sangat garang? Atau mereka hanya pandai bercakap, tetapi apabila menggoogle di internet, nama mereka tidak keluar?

Semua ini adalah kebarangkalian yang boleh berlaku.

Aku bernasib baik datang ke Australia. Sempat juga aku berkenalan dengan beberapa orang profesor dunia yang ternama. Antaranya ialah Prof Christian Dormann dari Germany. Orangnya biasa sahaja. Seorang lagi, Prof Akihito dari Jepun. Beliau mungkin belum lagi sebaris dengan Prof Dormann. Tapi kedua-keduanya biasa sahaja. Kita boleh duduk berbual dengan mereka. Sesekali boleh mengirim e-mel.

Banyak lagi profesor ternama Barat yang boleh kita kirimkan e-mel kepada mereka, dan mereka akan menjawabnya dengan cepat. Yang ternama ini biasanya orang yang berkelaku biasa sahaja.

Tetapi, itu bukanlah ceritanya kali ini.

Sejak dua minggu ini, ada seorang pelawat dari Universiti Barcelona. Dia duduk di meja sebelah aku. Orangnya masih muda. Kerana dia masih tidak pandai dalam AMOS, maka aku bolehlah mengajar beliau akan hal itu. Dia memang seorang yang pandai statistik. Tetapi, dia menggunakan software yang lain.

Jadi kami selalu berbual. Dia juga mempunyai begitu banyak 'trick' memanipulasi data yang kacau bilau. Katanya ini tidak akan diajar di bilik kuliah. Tidak juga bakal ditulis di dalam buku teks. Tetapi ini bukan hal yang salah. Apa caranya? Aku tidak boleh beritahu. Ini tidak juga boleh diajar melalui blog!

Dia juga selalu balik menaiki bas bersama aku. Boleh dikatakan setiap hari.

Dua tiga hari lalu, dia memintakan aku mengrimkan dia satu artikel. Dia menghulurkan kadnya bagi membolehkan aku menulis alamat emailnya.

Membelek kad nama beliau, baru aku tahu - dia juga sebenarnya seorang profesor. Bila aku google nama beliau dalam internet, begitu banyak jurnal yang telah dia tulis. Patutlah dia seorang profesor.

Cuba anda google nama profesor kita pula.

Ini adalah hari terakhirnya. Besok dia akan balik ke Sepanyol.

Sebelum balik tadi, aku berpesan agar dia membelikan aku tiket perlawanan Barcelona vs. Real Madrid.


Friday, 30 July 2010

Doa munajat pagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 5.30 pagi. Adelaide adalah bandar yang mati. Tiada para pekerja tolak ikan dan sayur seperti di Pasar Borong Selayang. Tiada warung teh tarik. Tidak kedai mamak yang bernyala sampai ke pagi. Tiada mat rempit dan minah bohsia yang baru pulang. Tiada azan Subuh. Tiada ayam berkokok riang. Tiada apa-apa di pagi yang dingin ini. Tiada sajak di bawah kolong langit dinihari. Para pemungut sampah bandaraya, mengutip hamis hidup manusia juga belum bersedia dengan lori dan penyapu.

Yang ada hanya aku. Yang ada hanya kabus sejuk dalam suhu bawah 10 darjah celcius ini. Yang ada hanya data-data yang terbarai pecah. Yang ada hanya kertas-kertas putih berconteng di sana sini.

Jam 5.30 pagi di Adelaide. Bandarnya hidup dalam lagu yang bosan. Manusianya bernafas dalam ruang yang sepi. Siapakah yang sedang bermunajat di pagi sepi ini. Meminta Tuhan mengampunkan segala dosa manusia. Siapakah yang berdoa jam seperti ini. Meminta jalan untuk umat. Siapakah yang bertasbih di kala ini. Meminta harap agar anak bangsa kita tidak ditimpa kecelakaan.

Dalam ruang dingin ini, siapakah manusia yang lebih suci di antara para pengutip sampah yang menyelamatkan manusia dari najis yang busuk, atau para pemimpin yang berfikir resah bangsanya, atau para alim yang sedang berdoa.

Pagi di Adelaide. Manusianya masih bermimpi.

Pagi di Adelaide. Tiada apa yang lebih diharapkan di subuh bening ini.

Aku harap Tuhan mempermudahkan jalan.

Mai Pen Rai - kata orang Siam.


Wednesday, 28 July 2010

Andai dapat ku undur masa

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Zara, kawan baik aku memberi komen bahawa blog aku ini kian membosankan. Aku pun terasa begitu. Mungkin hidup aku juga kian membosankan. Tiga bulan yang berlalu, aku memang manusia yang bosan. Tiga bulan yang mendatang, hidup aku pasti lebih membosankan.

Jadi aku masukkan lagu ini - Andai Dapat Ku Undur Masa'. Ini lagu ketika aku masih muda. Sekarang ini, aku tidak tahu siapa lagi penyanyi yang ada di Malaysia.



Aku masih ingat lagi, bulan 10, tahun 2007 aku datang ke Adelaide. Dari lapangan terbang Adelaide, aku naik teksi turun ke rumah Isuzu Aizu, Aini dan Aisyah. Ada beberapa orang lagi anak dara lain yang tidak aku ingat namanya. Terima kasih untuk mereka semua. Mereka hanya aku kenal kerana mereka ada blog. Itulah perkenalan singkat kami. Kini, semuanya telah hilang. Yang masih tinggal ialah blog mereka.

Masa itu, aku ingat 3 tahun ini cukup panjang. Nampaknya, 3 tahun yang berlalu itu hanya seperti beberapa hari yang dulu sahaja. Badan aku yang kurus pun tidak bertambah kilo pun lagi. Tiga bulan dari sekarang, 3 tahun yang ditakutkan itu bakal tiba.

Apa yang telah aku pelajari? Banyak. Persahabatan dan persaudaraan melengkapkan catatan perjalanan di negara orang. Banyak cerita yang kita dengar. Ada sahabat yang kekal, ada hilang. Ada yang menjadi seperti saudara, masa susah dan senang sentiasa bersama. Ada yang hanya sekadar kawan mengangguk kepala. Ada yang tidak kita tahu pun kewujudannya.

Semua orang ada kelebihannya tersendiri. Yang kaya tempat berhutang. Yang susah tempat mendengar cerita. Yang tua tempat merujuk. Yang muda tempat aku mengutuk.

Di awal kedatangan aku dulu - rumah aku biasanya menjadi 'port' manusia melepak. Setiap Sabtu dan Ahad pasti ada manusia. Kerana 'port' itulah, aku kenal banyak manusia di bumi Adelaide ini. Yang belajar dan yang tidak. Penduduk tetap atau perantau sementara seperti aku. Cuma sejak kehidupan aku kian membosankan, dan aku juga menjadi manusia yang membosankan, aktiviti itu sudah menjadi kurang. Kami mencari 'port' baru yang lain pula. Andai dapat ku undur masa, pasti aku akan menjadikan rumah aku 'port' lagi! Tapi, sepertinya tidak.

Sebenarnya, rumah aku biasa menjadi 'port' untuk banyak manusia. Dahulu di Kuala Lumpur, dua anak saudara aku beberapa tahun tinggal di rumah aku. Kini seorang darinya sudah menjadi manusia korporat yang kaya. Aku sekadar berasa gembira. Adik ipar juga pernah tinggal bersama. Ketika itu mereka masih muda. Ada yang ingin hanyut terjebak dengan arus kota raya yang alirnya sangat keras. Pesanku, 'jadilah diri kita sendiri'. Kini semuanya sudah dewasa dan ada anak isteri.

Bento - ketika proses pemulihannya juga, sering keluar masuk rumah aku. Ia bagaikan pusat serenti tidak berdaftar.

Kehidupan aku ini sebenarnya mudah sahaja. Aku tidak kaya. Kerana aku tidak menghimpun wang atau membeli harta. Wang bagi aku hanya tahan untuk sebulan dua sahaja. Selebihnya aku tidak tahu ke mana.

Tetapi sepanjang perjalanan hidup ini, aku ditakdirkan mempunyai banyak kawan. Sebilangan daripadanya kini ialah orang yang berada, pada mata kasar aku. Walaupun, pada akhirnya kehidupan mereka semacam itu juga. Tentulah juga ada yang telah berubah. Ada yang berasa begitu tinggi. Tidak mengapalah. Aku seperti aku juga. Aku tidak perlu menjadi orang lain.

Andai dapat aku undur masa, aku pasti seperti itu juga.

Tuesday, 27 July 2010

Kalau aku bukan Melayu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Orang Melayu tidak pandai menyimpan rahsia hidupnya. Kita gemar membuka segala yang buruk di ruang terbuka. Kita bergaduh setiap hari - sesama sendiri. Kita mencari salah satu sama lain.

Ini sebahagian cerita orang Melayu yang tak akan kunjung padam. Kita hanya akan diam bergaduh sesama sendiri - setelah kita tahu bumi ini bukan milik kita lagi. Kita akan berhenti untuk menyaman sesama kita setelah kita tahu semua itu sudah tidak ada makna.

Apa puncanya semua ini. Adakah kita sedang berebut harta karun. Atau kita sedang merebut kuasa? Atau kita merebut kedua-duanya.

Masalah orang Melayu yang paling besar ialah menguruskan kuasa. Bila kita berkuasa, kita cenderung untuk memegangnya selama-lamanya. Kita tidak peduli orang lain lagi.

Orang lain tahu - ini kelemahan kita. Jadi bagaimana mereka menjerat kita? Mereka memberi kita rasuah. Kita pula menggunakan wang itu untuk mengekalkan kuasa. Jadi, kita berkuasa, si pemberi rasuah pula menjadi tok dalang yang memainkan nasib kuasa kita.

Bukan lagi rahsia - apabila setiap kali ada pemilihan, ada orang itu dan orang ini menghantar wakil untuk memberikan wang sogokan untuk memilih. Tapi, bagaimana untuk membuktikannya? Orang yang menerima - tentulah sangat bodoh kalau melaporkannya. Orang yang memberi pula - tidak akan mengaku, kerana yang memberinya ialah orang lain.

Orang berkata, bahawa rasuah itu milik parti tertentu. Sebenarnya tidak. Rasuah milik mereka yang ada kuasa. Tidak berguna merasuah orang yang tidak ada kuasa. Pemimpin yang sedang kalah seperti ayam sabung yang kepenatan, tidak akan mengharapkan wang sogokan lagi untuk menentukan nasib kuasanya. Dia tahu tidak akan menang. Orang yang membantu memberikan dana juga tidak bodoh untuk melabur kepada ayam sabung yang patah tajinya.

Sebab itu - orang Melayu selalu gagal dalam menggerakkan dasar dan polisi. Ia tidak sampai ke tangan orang bawah kerana banyak sangat ketirisan. Ia perlu dibahagikan kepada mereka yang menyumbang. Prof Syed Hussin Al-Attas semasa hidupnya, banyak menulis mengenai hal rasuah. Seperti biasa, tulisan akademik hanya akan tinggal sebagai nota lama untuk disimpan di perpustakaan.

Orang Melayu - selagi tidak mampu menguruskan kuasanya, selagi itu tidak mampu menguruskan dirinya. Selagi tidak mampu menguruskan diri, selagi itu tidak akan mampu menguruskan kuasa.

Kalau aku bukan Melayu - tentu aku tidak akan segusar sekarang.

Saturday, 24 July 2010

Bila aku tiada apa-apa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bila aku tiada apa-apa untuk diceritakan. Tiada kisah untuk diriwayatkan. Tiada mimpi untuk ditafsir. Angin pun tidak berhembus.

Jadi aku upload sahaja lagu lama - lagu ketika aku masih muda. Sekitar tahun 1996. Masa itu aku pun tidak tahu apa perjalanan hidup aku sebenarnya. Umur 24 tahun. Mungkin sebaya pembaca yang sedang membaca blog ini. Kalau roda hidup dapat diputar kembali, tentu aku memilih untuk kembali menjadi muda.

Tetapi itulah hidup. Hidup perlukan keberanian. Tanpa keberanian tidak ada apa yang boleh dilakukan. Memilih untuk melakukan PhD adalah keberanian. Memilih untuk bercinta adalah keberanian. Memilih untuk berkahwin adalah keberanian. Memilih untuk berkata benar adalah keberanian.

Memilih untuk tidak dipilih adalah keberanian. Jangan menangis adikku.


Wednesday, 21 July 2010

Menangislah sekarang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lebih 20 tahun dulu, ketika aku masih bersekolah - aku bukanlah orang yang rajin. Hampir semua subjek sains dan matematik aku tidak faham. Aku juga tentulah bukan orang yang cerdik. Kalau aku cerdik, sekarang ini aku sudah jadi Profesor. Tidak pun jadi kontraktor kelas F. Ada kereta BMW baru.

20 tahun dulu - aku sudah lama ada rokok dalam poket. Rokok Dunhill merah seperti yang aku hisap sekarang juga. Cuma waktu itu, ada pek 7 dan 10 batang lagi. Sekarang ini cuma ada 14 dan 20 sahaja.

Beberapa hari lalu - terdengar berita yang anak saudara aku menerima surat kerana rekod kedatangannya ke sekolah tentulah tidak baik. Aku sebenarnya tahu tabiat merokoknya lama dahulu. Dia baru tingkatan empat. Rekod akademiknya juga tidaklah begitu baik.

Aku lantas tekan nombor telefon mencari anak saudara aku ini. Aku tanyakan siapa kawan-kawannya. Berapa batang rokok di hisap sehari. Nombor berapa dia dapat di sekolah. Berapa A dia dapat. Berapa jam dia membaca buku dalam sehari. Aku juga memberitahu - bahawa satu masa dahulu aku juga sedikit 'rock'. Tetapi ada banyak hal yang orang patut tahu bagaimana untuk menjadi warga rock yang betul.

Aku tidak kisah hal merokok. Tidak juga aku kisah hal kedatangan. Bagi aku semua itu cerita nakal dunia remaja.

Tetapi - aku sangat kisah kalau berkawan dengan orang yang tidak betul. Nakal tidak mengapa, berkawan dengan manusia tidak betul menjahanamkan masa depan. Berkawan dengan orang yang tidak mahu belajar - menjadikan kita juga tidak akan belajar. Berkawan dengan orang malas, menjadikan kita lebih teruk dari aborigin bumi Australia. Rock tidak mengapa - menjadi rock tanpa tahu punca kejadian akan memudaratkan akal. Aku sangat bimbang - mereka yang ingin menjadi 'hebat' tanpa tahu asal usul - kemudiannya mencari kehebatan lain. Aku sangat takut dengan wabak air ketum, yang kini menjadi trend baru dicampurkan ubat batuk. Itu sangat aku bimbangi.

Sebab itu - setiap yang masih muda - tidak kira mereka anak saudara aku atau bukan - harus menjadikan buku sebagai tabiat hidup. Setiap hari mesti membaca buku selama 4 jam. Kemudiannya baru boleh ingin kembali berfoya-foya atau merempit. Dulu orang kampung aku selalu salah meneka diri aku. Mereka hanya tahu aku malas ke sekolah dan merokok. Mereka tidak tahu yang aku sebenarnya membaca buku setiap hari. Aku akan pastikan ada hal yang sepatutnya aku hafal telah disimpan dalam memori - sebelum aku keluar rumah melepak.

Sebab aku bukan orang pandai. Aku juga orang susah. Tetapi, sebab merokok dan melepak adalah budaya hidup waktu itu - aku tidak dapat elak kesemuanya. Tetapi aku masih memilih manusia yang aku patut berkawan. Tidak semua manusia akan menjadi kawan aku. Mat Jun - kawan aku yang juga buas - tetapi kami sudah berborak hal Plato lama dahulu. Kami sudah tahu hal falsafah waktu kami masih remaja.

Kawan - sama ada kita merosakkan mereka, atau mereka merosakkan kita. Jadi berhati-hatilah. Kawan berseronok mudah dicari, kawan menangis payah didapatkan. Teringat kata seorang cikgu lama dahulu - 'Menangis sekarang, ketawa kemudian. Ketawa sekarang, menangislah kemudian'.

Tuesday, 20 July 2010

Di pagi jernih aku menulis

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di pagi yang jernih ini aku terasa ingin menulis hal ini dari lubuk hatiku sendiri.

Setiap kali mereka yang kita gelar pemimpin - membeli pen Mont Blanc yang beribu harganya, atau minyak wangi Idole Armani, atau mesin rod memancing Abu Garcia buatan Sweden ternama - adakah mereka juga berfikir sama ada orang seperti kita mampu membelinya. Tatakala mereka singgah tidur di hotel mewah melepas penat, berfikirkah mereka tentang kita yang tidur di bawah bumbung atap zink yang bocor di sana sini.

Tidaklah dipastikan sama ada mereka juga tahu tentang istilah 'Pantang Lalu Ulur Selalu' yang disebutkan orang kampung apabila melewati laluan lebuhraya bertol. Pernahkah mereka terfikir bagaimana orang kampung selalu mencuka mukanya walaupun harga sebungkus kopi hanya naik 10 sen sahaja. Pastilah mereka tidak tahu betapa tebalnya buku tiga lima hutang orang kampung di kedai runcit yang belum berbayar. Jumlah hutang mungkin tidak lebih dari $200, tetapi ia sangat besar bagi penduduk kampung di pinggir pekan Changlun.

Semua ini adalah cerita masyarakat yang selalu terpadam dalam korpus berita utama media nasional. Orang hanya bising dengan pembangunan mega atau koridor baru. Orang juga lebih ambil tahu tentang bail-out billion ringgit syarikat gergasi. Berita Sime Darby rugi lebih diributkan - dari sukarnya ibu tua memberikan seringgit wang sekolah anak.

Sebab itu - sesiapa sahaja yang bergelar pemimpin - baik yang kerjanya menyokong, atau tidak sudah-sudah membangkang, perlu jiwa jernih yang tahu membaca payaunya hidup masyarakat sekeliling. Hidup dalam banglow mewah sambil menonton berita CNN tidak akan mengkhabarkan cerita di balik tabir orang kampung. Bercakap tentang lobi projek baru tidak akan melambangkan maksud sebenar kekayaan negara.

Hari ini - kita banyak jutawan. Kita berbangga kerana jutawan itu orang kita. Cuma sesekali kita berasa pelik mengapa banyak jutawan ini adalah saudara mara kepada orang tertentu. Mengapa bukan Hasni kawan aku yang bijak komputer, yang tahu segala hukum komputer - CISCO, Oracle, PHP, Java dan Linux. Mengapa bukan Rahman kawan aku yang sudah lebih 20 tahun meniaga kilang perabut dengan rekaan seni terbaik. Mengapa bukan Khalid, teman aku yang meniaga ayam panggang Sarawak.

Mengapa hanya orang yang sama - dari kelompok yang sama tiba-tiba menjadi jutawan segera. Hasni akan terus menjadi kuli makan gaji di syarikat orang asing kerana bapanya hanya bekas peniaga kantin, dan bukan 'orang itu'. Rahman akan terus membungkus dirinya dengan habuk kayu selama 20 tahun lagi - kerana bapa atau abangnya bukan sesiapa. Khalid akan terus dibusukkan asap ayam panggang kerana dia tidak bakal menjadi jutawan.

Tetapi beberapa orang kawan aku yang lain - kerana mereka bijak bermain politik - ada kenalan rapat dengan orang besar - pasti mereka akan menjadi usahawan berjaya kalau nasib percaturan mereka betul.

Australia bukanlah negara yang baik dari segi hak asasinya. Orang aslinya sudah lama menjadi kambing yang berkeliaran di taman-taman. Tetapi ada beberapa hal yang boleh kita pelajari. Mereka ada banyak lebuhraya. Di South Australia - lebuhraya adalah percuma. Di Victoria - manusia diberi pilihan sama ada mahu menggunakan lebuhraya berbayar atau percuma (freeway). Kedua-duanya sama sahaja kualitinya.

Mereka yang menjadi rakyat - bahkan penduduk tetap boleh belajar di universiti dengan percuma. Hospital dan perubatannya agak mahal - tetapi rakyat perlu membeli insuran untuk menanggung kos kesihatan.


Harga barangnya mahal. Tetapi harga sayuran dan makanannya masih murah. Kalau kita terserempak dengan harga seguni kentang AUD15, jangan beli lagi kerana beberapa hari lagi ia akan turun menjadi AUD 5 sahaja. Atau pergilah ke tempat lain - kerana harganya tidak akan sama. Ada barang yang di sana mahal, tetapi di sini pula murah. Harga petrolnya turun naik setiap hari - jadi isilah minyak ketika harga merudum jatuh.

Kalau semua ini ada dalam korpus penglihatan setiap daripada kita - pastilah kita semua akan berasa begitu bahagia. Mungkin sangat mustahil untuk menjadi Umar Abdul Aziz - tetapi tidak mustahil untuk kita semua terjun ke lubuk hati derita manusia.


Alangkah indahnya kalau setiap yang dipilih menjadi pemimpin - baik yang di peringkat kampung, negeri atau negara mempunyai hati yang penuh insaf dan rasa sedar. Memimpin dengan cara yang baik maknanya kita tidak berniaga. Memimpin dengan cara yang jujur maknanya kita tidak hanya menolong rakan-rakan baik kita. Memimpin dengan hati murni maksudnya setiap hari kita akan menangis mendengar keluhan rakyat.

Monday, 19 July 2010

Subsidi, harga barang dan nasib kita

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harga barang, subsidi dan nasib kita adalah tiga pembolehubah yang saling berkaitan. Ketiadaan subsidi akan melonjakkan harga barang, dan menyebabkan kemerosotan nasib kita.

Terdapat korelasi kuat di antaranya. Nilai alphanya tentulah lebih dari 0.70.

Apakah mediator di antara ketiga-tiganya? Adakah subsidi ialah pembolehubah bebas, harga barang ialah mediator dan nasib kita ialah pembolehubah terikat.

Dalam statistik yang menggunakan structural equation modelling, ia akan dilukis begini subsidi -->harga barang -->nasib kita. Manakah yang lebih kuat di antara ketiga-tiganya? Adakah model ini akan menyebabkan nilai CFA, GFA dan TLI lebih dari 0.90, dan nilai RMSEA kurang dari 0.07.

Kita juga patut menganalisis menggunakan z score. Boleh juga menggunakan anova untuk melihat nilai min, dan apakah darjah signifikannya.

NOTA: Ia sengaja ditulis dengan cara yang sukar difahami.

Sunday, 18 July 2010

Menutup catatan perjalanan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harapnya tiga anak kecil ini bakal menjadi pemimpin negara. Harapnya mereka bukan manusia rakus. Harapnya mereka mampu membaca apa yang tersirat dalam jiwa rakyat kecil seperti kita.

Apa hebatnya Melbourne? Untuk orang seperti aku, sebenarnya aku tidak begitu sukakan kota besar seperti itu. Ia bandar sibuk. Bagaimana pun, tidak seperti Adelaide atau Darwin, ramai orang Islam di sana. Banyak kedai yang dikuasai masyarakat Islam. Aku tidak begitu tahu berapa jumlah komuniti di sana. Aku malas untuk menggoogle.

Tapi musim sejuk seperti ini, orang seperti kita akan ke sana. Mereka akan mencari salji di beberapa kawasan tanah tinggi. Untuk orang yang biasa dengan iklim di Eropah atau Kanada, salji di Australia tidaklah seberapa. Hanya ada beberapa buah negeri sahaja di Australia yang ada salji. Itu pun, di kawasan tanah tinggi. Brisbane dan Darwin - beriklim tropika. Jadi, pastilah salji suatu yang asing di banyak tempat di bumi kanggaroo ini.
Aku tidak pasti sama ada ini musim sejuk terakhir aku di Australia. Mulai esok, aku akan kembali ke Magill Campus. Aku sedang merasai seram sejuknya bulan-bulan terakhir di bumi Australia. Ada dua atau tiga kertas lagi untuk ditulis. Menutup cerita seram pengajian PhD. Pastilah, kalau aku berjaya mendapatkan ijazah sekalipun, ia tidak akan menjadikan aku manusia yang pandai. Ia hanya kertas sebagai syarat untuk mencari makan sahaja.

Saturday, 17 July 2010

Update ringkas

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 6 pagi tadi - sejak bertolak dari jam 9 pagi semalam dari Melbourne, melintasi Great Ocean Road yang terkenal itu, akhirnya aku sampai ke Adelaide.

Terasa lama sangat aku pergi. Aku melihat kalendar. Nampaknya lebih dari 2 minggu juga. Sejak aku memulakan perjalanan ke Melbourne, kemudiannya ke Darwin - dan kemudiannya pulang ke Melbourne semula. Cuma dari Melbourne ke Adelaide agak penat sebab kali ini menaiki kereta. Jaraknya dekat 1,000 kilometer. Kalau naik kapalterbang mungkin tidak terasa apa-apa.
Isteri aku seperti biasa suka berposing. Ini gambar terkini dia. Jangan terkejut, kalau 11 tahun dulu kalau dia bergambar seperti ini, mungkin orang akan sangka dia Siti Nurhaliza. Itu sebelas tahun dulu ketika kami masih muda dan masih menaiki motosikal berkeliling Bandar Baru Bangi. Waktu itu juga aku masih tak berkahwin lagi. Jadi, tentulah aku tak berani 'komplain'.

Ini sedikit gambar di Melbourne. Ia bandar besar. Membandingkan Darwin dengan Melbourne, sama seperti membanding Changlun dengan Kuala Lumpur. Ia tidak setara. Tetapi, jangan lupa orang selalu membuat perbandingan seperti ini. Cuba sesekali anda belek berita suratkhabar. Orang selalu membandingkan harga minyak, harga barang atau tol dengan negara maju lain. Mereka mencari harga yang paling tinggi dan mula membuat perbandingan. Bijak sungguh!

Satu hari nanti - tentu akan ada berita: "Roti Canai di Changlun Termurah di Dunia!". Mereka akan membuat perbandingan dengan harga roti canai di Melbourne, New York atau kota London.

Nanti aku update lagi. Aku masih penat.

Thursday, 8 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 6

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku bentang lagi. Bagus kali ini. Pesertanya ialah ahli dalam bidang. Ada dari Jerman, New Zealand, Australia dan Jepun. Kebanyakan ialah ahli metodologi dan teori. Dari Malaysia pun ada. Siap aku bentang, profesor dari Jepun datang tanya aku bab kajian. Dia ajak aku tulis artikel bersama. Aku rasa ini peluang yang baik. Kawan aku tentu tahu siapa orang ini. Aku pernah hantar artikel profesor ini tidak lama dulu.

Ada beberapa orang bertanya soalan. Seperti biasa, aku menjawabnya. Sebelum menutup topik, aku dengan penuh mesra melontarkan ayat penutup paling mudah: "If you have any hard questions, please forward them to my supervisor''.

Tengahari - waktu rehat aku berjalan ke bandar seorang diri. Ronda-ronda. Kalau aku tunggu pun, apa yang boleh aku makan. Orang putih makannya pelik sikit. Yang halal cuma sayur. Yang lain entah apa-apa yang dia makan.

Sambil jalan aku ambil gambar.
Ini gambar apa? Ini sebuah rumah yang dibina lewat tahun 1880-an. Mengapa mereka tidak buang? Mengapa tidak ada orang berkata bahawa rumah ini tidak ada nilai sejarah? Sebabnya mudah sahaja. Budaya masyarakat yang bertamadun akan menyimpan sesuatu dari tamadun lalu. Ia tidak bakal dimusnahkan begitu sahaja untuk membangunkan hotel dan supermarket.
Ini sedikit deskripsi berkaitan bangunan ini. Aku tak sempat baca. Aku cuma ambil gambar dan beredar.

Ini gambar tempat sekitar bangunan bersejarah ini.

Aku berjalan lagi seorang diri membelah cuaca panas. Sampai satu tempat, ternampak monumen untuk mengingatkan tragedi Darwin dibom. Aku ambil gambar lagi. Tidak tahu siapa yang megebom. Tidak tahu juga bila dibom. Aku malas untuk membuang masa di situ. Ambil gambar, dan berjalan lagi membelah lorong pekan.
Cerita ini mungkin menamatkan perjalanan aku di Darwin. Besok malam aku akan naik kapalterbang balik ke Melbourne. Mungkin tidak sempat meng'update' blog. Di Melbourne, aku akan berjalan-jalan bermain salji, melewati Great Ocean Road dan pulang ke Adelaide.

Oh. Tadi aku jumpa seorang anak muda Melayu di bandar Adelaide ini. Orang Negeri Sembilan. Aku bertanya sama ada dia pelajar atau berkerja. Katanya dia berkerja sebagai akauntan. Aku tanya sama ada dia lulusan universiti di Australia. Katanya tidak.

Lulusan mana dia?

UiTM. Siapa kata universiti kita tidak berkualiti?

Terima kasih kepada yang membaca catatan ini.

Wednesday, 7 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 5

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari ini tidak ada banyak masa. Semalam aku bentang kertas aku di Asia Psychology Conference. Banyak jumpa orang Malaysia. Seperti biasa, ada yang belia, ada yang 'kerek'. Banyak juga yang baik. Tapi kelihatannya ini persidangan yang dipenuhi orang Indonesia.

Kalau ada yang bertanya aku, sama ada aku akan sertai persidangan ini lagi pada masa hadapan - aku jawab belum tentu.


Kalau orang bertanya sebabnya - mungkin kualitinya kurang. Orang tak ambil hirau sangat hal metodologi dan statistik. Konseptual juga tak diambil berat. Hal persampelan. Jadi, bila kita dengar orang bentang - terasa tidak ada benda baru sangat.

Aku balik tengahari tadi. Bersama-sama dengan supervisor aku, menaiki bas awam terus ke Vibe Hotel. Ini hotel mewah depan laut. Aku cuba buat pembetulan kertas jurnal. Aku repair, dia baca. Aku repair da baca. Akhirnya siap dan dihantar.

Besok aku ke Expert Workshop Psychosocial Risk Factors at Work. Aku kena bentang kertas aku yang lain. Aku rasa ini mungkin ada kelas yang lain. Kebanyakan yang datang ialah profesor dalam bidang job stress. Cuma aku seorang budak sekolah. Tadi, sempat berbual-bual dengan Prof Akihito dari Jepun. Aku kenal dia. Dia tak kenal aku. Aku selalu 'cited' dia punya pandangan dalam tulisan aku. Hari ini aku berjumpa.

Jumaat malam aku balik ke Melbourne. Tunggu siri perjalanan musim sejuk pula

Sunday, 4 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 4

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku ke Charles Darwin University. Tahu siapa Charles Darwin? Itulah tokoh yang menyatakan asal manusia dari primat sebelumnya. Betulkah Charles Darwin berkata begitu, atau itu hanya dikatakan oleh pengikutnya sahaja. Anda patut membaca buku bagi hal ini. Aku tidak mahu bercerita hal itu. Aku ingin bercerita hal Darwin sahaja.

Sepanjang perjalanan dari bandar ke universiti, anda akan dapati rumah-rumah yang dibangunkan sama konsepnya dengan apa yang anda lihat di Malaysia. Ada rumah yang berdinding papan dua tingkat, atau rumah setingkat yang dindingnya di'plaster'. Memang, ia sebuah wilayah Asia. Tidak ada ciri-ciri Australia di sini. Kelihatan lebih Asianya dengan adanya pokok mempelam yang sedang berbunga, pokok asam, mengkuang, malah pokok petai angin pun ada di sini. Cuacanya memang seperti kita. Panas dan melekit.

Bagusnya, bas di sini percuma untuk pelajar. Tunjukkan sahaja kad pelajar, anda terus diminta duduk. Jadi, tidak perlu tiket. Jimat $2 dolar hari ini! Duit itu diambil dari mana? Itulah wang yang dicukaikan dari orang kaya bagi membantu orang susah. Bukan mencukaikan orang susah bagi membantu orang kaya.

Sebelum ke universiti, aku bersiar-siar di kedai cenderamata. Jangan harapkan apa-apa. Aku tidak membeli satu apa pun. Aku hanya menemankan beberapa rakan dari Malaysia yang datang berseminar. Motif aku hanya mengambil gambar. Ini gambar kedai cenderamata.
Ini pula lukisan aborigin - yang dikenali sebagai 'mandala'. Apa mandala? Itulah lukisan yang dilukis berulang-ulang. Lihat gambar itu. Ia seni orang asal di sini. Cantik dan memikat. Ini memang antara bidang aku ketika mengambil kelas lukisan dahulu.

Ini pula gambar beg bermotifkan mandala. Ia beg tulen buatan Australia. Ada sesiapa yang hendak membelinya? Datanglah ke sini.

Saturday, 3 July 2010

Dari Adelaide ke Darwin - part 3

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bandar Darwin tidaklah sebesar Adelaide. Bangunannya juga tidaklah cantik. Tidak kelihatan bangunan klasik penjajah Inggeris. Ia bangunan baru yang tidak ada nilai estetika. Bagaimana pun bandarnya hidup. Ia seperti bandar pelancongan yang dipenuhi hotel, motel dan backpacker. Ada bas khusus untuk membawa pelancong terus ke hotel. Juga ada bas untuk membawa penumpang ke gudang membeli belah.

Di satu jalan, malamnya penuh dengan kedai kopi dan bar. Orang masih penuh di sana. Mungkin kerana cuacanya yang tidak sejuk seperti tempat lain di Australia. Darwin ialah bandar bercuaca tropika. Ini musim orang lari dari cuaca sejuk, dan Darwin menjadi lokasi paling dekat.

Aborigin, seperti biasa bertenggek seperti makhluk yang tidak diperlukan. Ada yang menjadi pengamen mengetuk-negetuk dua batang kayu membunyikan muzik sambil meminta sedekah orang ramai. Kasihan mereka.

Itu pula pemuzik jalanan warga kulit putih. Tiga anak muda sedang membuat persembahan di satu pohon. Ada beberapa orang yang menonton. Aku duduk di hujung sebelah ini. Suaranya agak merdu. Tetapi, tentulah tidak mampu mengalahkan suara Siti Nurhaliza.


Malamnya masih bernyala. Masih ada orang lalu lalang si sana sini. Darwin, bandar yang bagus untuk mereka yang sukakan cuaca kita.

Bagaimana pun - kerana ketiadaan bangunan klasik, ia tidak menampakkan ciri kota Inggeris. Ia seperti bandar lain di Asia sahaja. Tidak apa yang berbeza. Cuma yang tidak ada ialah kedai mamak. Itu sahaja.

Aku masih belum menemui dan berpeluang meminum kopi di bandar ini. Hidup tanpa kopi adalah kehidupan membosankan. Seperti hidup seorang soldadu tanpa senjata.

Dari Adelaide ke Darwin - part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setelah melewati penerbangan selama 6 jam dari Melbourne, aku tiba di bumi Darwin. Ia bumi yang asing untuk aku. Cuma, sebaik sahaja memijak kaki keluar dari lapangan terbang, aku berasa lega. Aku berjaya lari keluar dari cuaca sejuk Melbourne dan masuk ke dalam cuaca kita.

Aku tidak berapa pasti apa yang ada di Darwin. Lagi pula, jam 1 pagi - tidak banyak yang dapat aku lihat. Suasana di lapangan terbang tetap sama. Warga kulit putih ada di merata tempat. Aku mengutip beberapa keping flyers dan buku panduan pelancong. Aku cuba membelek apa yang ada di sini.

Melihat kepada lukisan 'Mandala' yang ada di sekitar lapangan terbang - ia seolah-olah mahu menceritakan Darwin ialah bumi Aborigin. Bagaimana yang dikatakan lukisan 'mandala'. Aku cuba mengambil gambar. Tetapi memandangkan suasana malam, dan kamera yang aku ada hanyalah 'handphone' yang aku pinjam dari isteri - aku batalkan dulu hasrat mengambil gambar di waktu malam.

Aku membeli tiket bas dari lapangan terbang. Harganya tidaklah mahal. Cuma $ 13.00 dolar. Dalam bas itu, rasanya semuanya pelancong yang tidak tahu apa-apa seperti aku. Aku cuma beritahu drebar bas- aku mahu menuju ke hotel - Mantra Pandanas. Hotel mewah juga. Ia bukanlah sebab aku ini orang kaya.
Hotel ini didiami Habib, seorang pemuda Myanmar yang dahulunya belajar PhD di University Adelaide. Tapi, kerana dia sakit - lantas berhenti. Kini berkerja sebagai jurutera di Darwin. Hotel ini dibayar oleh majikannya. Dia orang Islam seperti kita, mungkin ketekunan agamanya lebih baik.
Gambar dari Tingkat 11 Hotel Mantra Pandanas

Habib - dahulunya belajar di UIA. Dari matrikulasi sampai ke sarjana. Pernah mengajar di sana juga beberapa tahun. Dia fasih bahasa Melayu. Jarang dia bercakap bahasa Inggeris dengan anak Melayu. Aku selalu juga melepak dengan beliau sambil merokok di sempadan Universiti Adelaide dan UniSA dahulu. Jadi, siapa kata merokok tiada faedah?

Cerita hidupnya sebagai manusia Muslim di Myanmar juga panjang. Kalau ada masa, nanti aku tulis.

Sepanjang menaiki bas, yang aku lihat kebanyakan pokok pinang yang ditanam berderetan sepanjang jalan. Pokok pinang yang ditanam di laman universiti kita, yang buahnya tidak boleh dimakan.

Bandarnya juga kelihatan masih bernyala. Jam 2 pagi - anak-anak muda masih penuh di tepi jalan. Berjalan kemabukan. Ia seperti suasana jam dua pagi di Jalan Bukit Bintang. Seorang lelaki tua yang duduk sebelah aku merungut - melihat anak muda yang masih berkeliaran waktu itu. Suasana ini sangat berbeza dengan Adelaide. Adelaide jam 2 pagi - warganya sudah mati.

Aku buka televisyen, aku tonton bola. Kita sambung lagi besok pagi.

Thursday, 1 July 2010

Masa untuk survey!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
NOTA:
Sekadar membantu seorang pengunjung blog yang kini sedang membuat penyelidikan PhD dalam bidang pemasaran di University of Hull, UK. Harap anda dapat menolong beliau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan seperti pautan di bawah. Ia mungkin mengambil masa kurang dari 5 minit.

Bagaimana pun, anda mestilah seorang warganegara Malaysia dan menguasai sedikit bahasa Inggeris, kerana soalan disediakan dalam bahasa Inggeris. Lokasi di mana anda berada tidak penting dalam kajian ini.

Walaupun penyertaan adalah SUKARELA, bagaimana pun penyertaan bagi tujuan 'main-main' atau merosakkan tujuan kajian adalah TIDAK DIGALAKKAN. Kerana jawapan yang anda berikan mungkin akan menggangu hasil kajian. Jadi, sila pastikan yang anda bersedia memberikan kerjasama secara ikhlas dan senang hati.

Bagi yang jarang terlibat dengan survey online, SurveyMonkey bukanlah bermaksud menjatuhkan maruah manusia. SurveyMonkey ialah salah satu software yang selalu digunapakai dalam penyelidikan online, dan perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan berbayar.

****************************

Dear all,
1. Could you please help me in this survey? Any information you provide will be only used for academic purposes. Information identifying the respondents will not be disclosed under any circumstances. The responses are confidential. Your participation is extremely important to the completion of this research.
2. Please click below link to participate in this survey:
3. There is no right or wrong answer to the following statements. This survey is only concerned with your opinion regarding the subject matter. The survey has four main sections for you to answer. Please click the NEXT button to proceed to the next section and click DONE button when completed.
4. This survey would also like to offer you with some incentives. The prize draw will be handled by the Head of Department when survey is closed. The survey will be closed on 31st July 2010. The incentives of £25 will be given to each of the then lucky participants. The researcher will contact the lucky winner for the prize collection. If you want to participate in this draw, please email your details to the researcher.
Details require as below:
1. Full name
2. Contact address and number
3. The date when you answer the survey (e.g. July 28, 2010)
If you require further explanation, please contact the researcher at the address and contact number below.
Your cooperation is very much appreciated.
Best regards,
Salmi Mohd Isa
Doctoral Researcher
Centre for Marketing, Communications and International Strategy
The Business School
University of Hull
HU6 7RX

Safety first

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dua gadis itu memang jelita. Berhidung mancung, berambut blonde dan berkulit cerah. Seorang lagi kurus dan ramping. Mengalahkan Ziana Zain.

Apa yang aku nak cerita ni? Jelita pun tak guna kalau kapalterbang dah 1 jam tak bergerak. Aku dah duduk dalam flight ni sejak 6.20 pagi lagi. Jam 4 pagi aku dah keluar rumah untuk check in. Safety first kata gadis jelita tadi.


*************

Edisi yang diupdate

Aku sudah tiba di Melbourne. Tadi, pesawat tambang murah Australia mengalami kerosakan. Tertangguh satu jam lebih. Ia senario biasa kapalterbang bergambar harimau itu. Ini kali kedua. Pertama, ketika aku dari Perth ke Adelaide hampir setahun lalu. Hari ini, kena lagi.

Isu kualiti perkhidmatan pesawat tambang murah ini sudah diperdebatkan di Parlimen South Australia tahun lepas. Hinggakan ada gesaan agar lesennya ditarik balik. Untuk orang marhain seperti aku, tentulah tidak banyak pilihan lain. Tambangnya cuma $55 dolar dari Adelaide ke Melbourne. Sangat berbaloi. Kualitinya tidak penting sangat. Cuma harapnya ia tidak melibatkan aspek keselamatan.

Tambang pulang balik dari Melbourne ke Darwin cuma $550 dolar. Masih dianggap murah bagi perjalanan selama 4 jam. Ia sesuai untuk orang seperti aku, yang duit dalam poket lebih banyak siling dari wang kertas. Untuk orang yang ada duit, mungkin tidak berapa sesuai.

Nanti aku cuba update apa yang ada di Melbourne.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails