Yang Ikut

Thursday, 1 January 2009

Catatan Mt Gambier - Part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kipas apa ini? Bukan kipas di rumah anda tentunya. Ikuti laporan berikutnya.
Perjalanan hari ini mengambil jarak lebih kurang 500 kilometer pergi balik dari Mt Gambier ke beberapa tempat lain sekitarnya. Kami juga telah melangkah ke negeri Victoria. Banyak ladang dilalui. Cantik pemandangan di sini.

Cuma yang sedikit mengganggu ialah suhu antara 11-17 darjah celcius hari ini. Seperti berada di hari winter di musim panas! Antara tempat yang kami tuju hari ini ialah Port McDonald, Cape Bridge Water, Port Fairy dan Warrnamboll. Ia mengambil masa 10 jam keseluruhannya.Lihat gambar lembu di atas tu. Ada di mana-mana pemandangan ini. Gambar bawah pula ialah longgokan jerami gandum. Pemandangan ini juga ada di mana-mana. Ia digunakan untuk makanan lembu dan kambing. Selebihnya aku tak berapa pasti. Mengapa kita tidak lakukan sesuatu untuk mengkomersilkan jerami padi kita?Gambar bawah ialah pemandangan tidak indah di Port Mc Donald. Ia pekan kecil sahaja. Digunakan untuk bot-bot nelayan berlabuh. Terkenal sebagai lubuk lobster atau udang kara. Kami membeli seekor lobster seberat 1.5 kilogram. Besar sungguh. Lain kali aku tunjukkan gambarnya.Gambar bawah ialah kipas yang digunakan bagi menjana elektrik. Ia menggunakan kuasa angin. Ada beratus-ratus kipas ini. Anda boleh melihatnya sekiranya melalui Princes Highway dari Mt Gambier ke Melbourne. Tetapi ia agak jauh.

Jadi untuk gambaran dekat, anda perlu ke Cave BridgeWater. Berada di bawahnya seperti anda berada di bawah kapalterbang. Begitulah bunyinya. Bingit dan bising. Banyak lagi spot lain yang menarik di sini termasuk yang terkenal ialah Cape Bridge Water Blow Hole. Jika berpeluang, anda patut datang ke sini.


Di Port Fairy, kami tidak menemui pari-pari pun. Yang aku lihat cuma kereta kuda. Mengimbau zaman silam orang Inggeris seperti yang selalu kita lihat di kaca tv. Ia bukan kenderaan rasmi. Hanya digunakan oleh pelancong. Seperti beca di Melaka. Ada pelancong lokal yang menaiki kereta kuda itu.Gambar ini pula letaknya di Warrnamboll. Seperti kubu lama di zaman silam. Bandar pinggir laut yang cantik. Ada banyak tempat yang boleh dilawati. Tapi aku tak sempat ambil gambar tempat lain. Cuaca sejuk dan angin kuat melemahkan motivasi untuk keluar dari kereta.

Esok - kami akan berangkat ke Melbourne - sejauh lebih kurang 500 km dari tempat kami menginap di Mt Gambier sekarang. Jumpa lagi.

Wednesday, 31 December 2008

Terkini Mt Gambier

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiba di Mt Gambier jam 3.30 petang tadi. Singgah di beberapa tempat sebelum sampai. Melewati panoramik ladang menguning dan langit biru. Jarak 473km dari Adelaide.
Sekarang menginap di rumah unit 3 bilik. Ada juga rumah sebesar saiz dua biji tandas untuk mereka yang menggunakan caravan park. Sepatutnya cuma 6 dewasa 1 anak. Tapi seperti biasa, kami menyumbat semuanya. Sekarang sudah ada 8 dewasa, 2 anak. Jimat bajet!
Tadi kami sempat singgah di Blue Lake dan Umpherston Sinkhole. Yang pertamanya tasik yang airnya hanya biru di musim panas, yang keduanya lembah yang kini sudah jadi taman bunga. Kedua-duanya bekas kawah gunung berapi. Itu sahaja update hari ini. Esok sambung lagi.

Tuesday, 30 December 2008

Salam Tahun Baru

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari ini agak sibuk. Tapi apa yang aku tunggu, akhirnya dah tiba. Tengok ni. Sekurang-kurangnya ada juga yang ambil tahu pasal orang menoreh. Lambat sikit pun tak mengapalah.

Esok aku akan memulakan percutian musim panas. Sebab itulah beberapa hari ini agak sibuk. Bukan sibuk menyiapkan diri bercuti. Sibuk menyudahkan kerja-kerja mengaji yang tak sudah-sudah. Esok dalam jam 7 pagi aku dan kawan-kawan akan ke Mt. Gambier. Selama 2 hari. Apa yang ada di sana. Sila baca blog Kremaut. Selepas itu, rencananya akan meneruskan perjalanan ke Melbourne. Insyallah, kalau sempat update, nanti aku update.

Selamat Tahun Baru Maal Hijrah dan Tahun Baru Masihi aku ucapkan kepada semua pembaca blog ini. Tahun yang sudah tak akan berkunjung lagi, tahun yang mendatang tak pasti berapa lama lagi usia kita. Cuma agak sedih - penutup tahun baru ini disudahi dengan berita duka orang Islam di Palestin yang tanahnya terjajah, nyawanya diratah pula.

Penutup tirai 2008 juga disudahi dengan kemunculan web menghina kesucian Rasulullah S.A.W. Kalau penulisnya orang Islam - bertaubatlah. Bagi sesetengah tok guru kampung, mengatakan Nabi Muhammad SAW tewas dalam peperangan seperti yang banyak disebut dalam buku sejarah (termasuk yang ditulis Philip K Hitti) juga satu penghinaan tanpa sedar yang boleh mencederakan akidah. Begitu juga dengan mengatakan Nabi Adam melakukan dosa dan akhirnya diperintahkan turun ke bumi. Semua ini penghinaan yang mungkin dilakukan tanpa sedar, atau tanpa pengetahuan. Ia tak disedari kerana kita mungkin tak sempat bertanya dan belajar. Setiap nabi adalah golongan yang sentiasa dijaga martabat kenabiannya. Apatah lagi membangunkan laman web yang semata-mata bermotifkan menghina kepribadian Nabi dan kesucian Islam.

Jadi kita jangan mudah sangat terpesona dengan fahaman sekular, orientalis, liberal atau apa juga namanya. Aku tak nak ulas panjang bab ini. Lebih baik pergi tanya orang alim.

Jadi - moga tahun baru yang mendatang akan menjadikan kita manusia lebih baik. Insyaallah.

Apa agenda tahun baru 2009 ini? Bagaimana pula dengan kejayaan dan kegagalan 2008. Mari kita pakat belek buku diari masing-masing. Salam Tahun Baru untuk semua.

Sunday, 28 December 2008

Trip ke Victor Harbor - Part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa ada di Victor Harbor? Pulau granit yang bersebelahan itulah tarikannya. Untuk ke pulau itu, kita perlu berjalan kaki dalam jarak 300-400 meter di atas jambatan kayu.

Pulau ini sesuai untuk mereka yang berminat untuk menerokai keindahan laut dan pantai. Ada juga tempat untuk anda melihat kumpulan penguin yang singgah. Aku tidak ada gambar apa yang ada di atas pulau itu kerana aku tidur di dalam kereta. Balik dari Victor Harbor, kami ke Goolwa pula. Dalam 12km dari sini. Inilah istimewanya musim panas. 8.30 malam pun tak maghrib lagi.
Apa acara di Goolwa? Hah. Ini pekerjaan yang jarang aku buat di Malaysia. Ini acara mencari dan mengutip kerang. Lihat gambar kat bawah ni. Inilah caranya mereka mencari kerang yang tersembunyi di bawah pasir.
Dapat banyak juga kerang semalam. Tapi aku tak berminat sangat nak turun laut bermain pasir ni. Ada dua sebab, pertamanya basah. Keduanya sejuk. Apa pun, Goolwa ini memang cantik. Lihat gambar bawah ni.
Sebab dah malam, kami semua bertolak balik ke Adelaide. Tunggu trip lain pula minggu depan. Terima kasih semua yang terlibat menjayakan perjalanan ini, termasuk penaja rokok Sampoerna A dan Dunhill - Sdr Fahmi dan Fikrul.

Trip ke Victor Harbor - Part I

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini trip ke Victor Harbor. Pulau granit di kira-kira 85km di selatan Adelaide. Ada seorang pengunjung blog ini dari sana. Mungkin dia tinggal di sana. Pulau ini boleh kita sampai dengan menaiki kereta melewati freeway dan kemudiannya masuk ke jalan country. Dalam satu jam boleh sampai ke sana. Pulau ini mengadap laut Kutub Selatan. Jadi lebih dingin.
Sebelum sampai ke sana kami singgah di Mt Compass. Singgah dahulu di sebuah ladang blue berry. Ini gambar ketika kami singgah di tepi jalan sambil menunggu rakan-rakan yang lain. Ia di sebelah ladang lembu. Cantik kawasan ini.
Ini pula gambar bunga kuning pohon liar. Kawasan lapang itu juga ladang. Ada lembu dan kambing di hujung sana. Kamera aku tak mampu nak teropong jauh dari itu. Jadi lihat gambar bunga dah la!
Di bawah itu gambar blue berry. Buah ini biasanya dibuat jem atau perasa ais krim. Seperti buah senduduk di Malaysia, melihat rupa batang, daun dan buahnya. Cuma pohon senduduk agar kasar, tetapi bentuknya sama. Rasa buahnya juga tidak berbeza. Eh, korang tahu ke buah senduduk ni?
Masuk ke ladang ini percuma. Cuma apabila memetik buahnya, ia akan ditimbang. Sekilo dalam AUD 16.00. Aku tidak berapa pasti sangat. Aku cuma masuk ambil gambar untuk tunjukkan gambar kepada orang yang tidak tahu. Gambar bawah itu ialah cara yang betul memetik buah berry.
Bawah ini pohon buah cherry. Ada sepohon dalam ladang ini. Mungkin tumbuh secara tak sengajIa sama seperti buah keriang di Malaysia yang banyak tumbuh di kawasan bendang. Rasanya pun begitu. Cuma buah keriang agak kecil.
Ini pula ketika kami singgah di 'mini zoo'. Banyak kanggaroo, burung, buaya dan kaola.
Bagus tempat ini. Sesuai untuk budak sekolah. Juga sesuai untuk bawa perwakilan UMNO bagi melobi mereka. Sebabnya kangaroo di sini mesra. Aku dah dua kali sampai ke tempat ini. Lihat cara kangaroo menjelir lidah tu. Nanti petang, kalau ada masa aku sambung cerita pasal Victor Harbor. Kalau tak sempat, esok aku sambung. Sebab belum sampai lagi ke Victor Harbor pun banyak tempat kami singgah.

Thursday, 25 December 2008

Adelaide di pagi Natal

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini gambar kampus aku di City East. Ada 4 kampus semuanya - 3 di Adelaide, 1 di Whayalla. Kampus di Whayalla jauh dari sini. Ia di kawasan country. Kampus City East inilah tujuan aku pagi ini. Aku tahu semua orang bercuti. Jadi ini hari paling baik. Senanglah aku berfikir dan menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai.

Malang sungguh. Semua bangunan berkunci. Apa yang patut aku buat? Nak ke kedai, kedai tutup. Nak menonton wayang, aku tak tahu di mana panggung. Nasib baik aku ada ambil gambar semasa berjalan kaki ke universiti tadi. Jadi aku ambil keputusan balik dan update blog ini.Ini jalan besar. Biasanya sibuk. Tapi lihat. Jalannya lengang. Tidak ada kereta lalu lalang. Kalau nak tidur tengah jalan pun boleh.Banyak orang Adelaide balik country agaknya. Aku agak ada yang balik kampung macam kita juga. Sebab supervisor aku balik kampung di Border Town - pekan kecil di sempadan South Australia dan Victoria. Ini jalan di sebelah sebuah taman. Ada kereta yang parking di sini. Aku lihat ada beberapa orang putih sedang berjogging. Mungkin itu kereta mereka. Datang berjogging di pagi raya. Mungkin caranya mereka menyambut hari Natal. Uniknya Adelaide - ia banyak taman. Ada di mana-mana. Siap dengan kemudahan berjogging, tempat permainan anak-anak, tandas, kerusi dan meja serta kemudahan barbeque. Di tempat kita susah kot. Buat taman libatkan banyak kos. Lebih untung bina supermarket atau kondominium. Lagi pun, kalau buat taman - nanti jadi sarang maksiat. Kerusi nanti budak dadah curi.

Taman ini menghijau. Pokok-pokok pun dah tua. Cantik. Sebab itu mungkin di Adelaide ini banyak burung. Ada burung nuri, itik belibis, tekukur, mala kerbau, merbah dan macam-macam lagi. Senang mereka buat sarang. Nanti aku story bab burung di lain waktu.

Ini gambar dalam universiti aku. Lihat kat situ ada papan tanda. Tak sibuk pun nak tulis dalam bahasa Greek atau Itali. Orang Cina, Pakistan dan Arab pun banyak. Tak kacau pun nak papan tanda sendiri. Di Siam dan Indonesia, bukan sekadar papan tanda, nak tulis nama pun kena pakai bahasa kebangsaan negara.
Ini gambar burung nuri. Ada sarang kat dalam pohon tu. Ini buktinya Adelaide ni bandar burung

Sedikit fasal bahasa

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Isu bahasa berbangkit lagi. Ada satu pihak tegas inginkan bahasa Melayu dinaiktaraf semula. Baca sini. Datuk Nik Aziz Nik Mat pula, bercakap hal bahasa juga di sini.

Kita tidak tahu sampai bila kita akan bercakap-cakap, berdesas desus soal bahasa. Mungkin kita akan diam bila bahasa kita pupus seperti yang berlaku dengan bahasa Pitjantjatra. Apa itu?

3,000 daripada 6,000-7,000 bahasa diramal pupus sebelum tahun 2100. Harapnya bukan bahasa Melayu.

Di Australia - orang Greek, Jerman dan Itali bertutur bahasa mereka sendiri. Mereka tidak pula sibuk untuk ada papan tanda atau papan iklan dalam bahasa sendiri. Suratkhabar dalam bahasa Cina atau India itu hal lain. Kita kena tahu bezakan. Tapi kita tak boleh memuaskan hati semua orang dengan mahu menggunakan semua bahasa. Kena ada satu sahaja. Lebih baik kita ajar semua bahasa di sekolah. Itu lebih baik daripada berebut nak menunjuk taring etnik.

Jangan nanti bila sebut bahasa Melayu - orang bertanya apa itu?

Monday, 22 December 2008

Cerita tuan rumah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Malam ini sungguh tiada 'mood' untuk study atau buat apa-apa kerja yang berfaedah. Masuk universiti - semua dah bercuti. Lalu lalang depan Rundle Mall, dah jadi semacam Chow Kit musim raya Aidilfitri. Begitulah suasananya. Seolah-olah kita pula yang sedang berhari raya. Cuma tadi, bila aku balik dari kedai IGA, ada banyak buah atas meja. Rupanya, tuan rumah aku, Mama yang beri. Dia yang berketurunan Greek ini selalu beri macam-macam.

Mungkin sebab aku bayar sewa rumahnya tepat - sebulan sekali pula tu - membuatkan dia gembira. Mungkin juga sebab dia sudah tua - dalam lingkungan 80-an, jadi dia teringin buat kerja amal. Suaminya sudah lama tak lalu depan rumah aku sejak jarinya dipotong kerana kencing manis. Maka, yang selalu lalu depan rumah aku ini - cuma Mama.

Orang Greek ini tabiatnya seperti orang Melayu. Mereka rajin berkebun. Suka bersembang. Pernah sekali semasa bayar sewa rumah, aku ke rumah Mama. Dia bancuh secawan kopi kat aku. Dia baik. Nak jamu aku makan sekali. Hah. Nasib baik aku tipu yang perut aku dah 'full'. Kalau tak mahu aku makan daging yang tak disembelih tu. Dah la tu - anjing-anjing dia kat dapur tu tu menjilat kaki aku pula. Tak apalah. Nak buat macam mana. Tak kan nak sepak pula kot. Balik rumah, aku samak. Itu cara paling baik.

Tapi - bab buruk yang lain - kononnya orang Greek ini kedekut. Tak tahulah itu streotaip kaum atau tidak. Tapi tuan rumah aku ni taklah macam tu sangat kot. Oh - sebenarnya buah-buahan ini ditanam di belakang rumah aku. Ada semacam kebun jugalah. Aku tak pernah masuk sebab berpagar. Cuma sesekali aku sempat menjenguk. Ada juga reban ayam kat belakang tu. Bila dengar ayam berkokok - terasa macam kat kampung aku di Changlun pula. Hilang rindu dekat ayam mak aku!

Moonta Bay - part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Selepas siap berkemas-kemas, kami meninggalkan Moonta Bay. Mengikut jalan ke arah Wallaroo. Ia pekan pinggir laut yang cantik, bersih dan kemas. Sebenarnya tidak ada tempat di sini yang tidak bersih. Mungkin sebab manusia kurang, atau juga sebab tamadunnya yang maju. Sepanjang jalan ke sana, kita akan melewati ladang gandum seluas mata memandang.


Pekan ini kecil sahaja. Sebesar pekan Kodiang. Tidak banyak yang ada. Ada sebuah muzium maritim, bank dan beberapa kedai kecil lain. Di kelilingi taman perumahan. Ada juga satu kuarter untuk kelasi yang bersara. Selain pelancongan dan aktiviti perikanan, pekan ini hidup dari aktiviti gandum. Ia boleh digambarkan oleh kilang besar itu. Anda boleh juga menggoogle "AusBulk' untuk melihat apa aktiviti syarikat atau kilang ini.


Ada sebuah jeti panjang di sini. Tidak seperti jeti lain, jeti ini merupakan tempat penyaluran gandum yang disimpan di sebuah kilang besar di sini. Aku tidak pasti sama ada gandum itu disalurkan dari kilang itu ke kapal di laut, atau ia disalurkan dari arah laut ke kilang itu. Mungkin kedua-duanya. Anda boleh melihat gambar saluran seperti paip itu di dalam gambar.


Selepas sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Adelaide. Pulang untuk melupakan kegagalan trip memancing kami. Tunggu trip yang lain - di tempat yang lain.


*Nota: Itu bukan gambar aku.

Sunday, 21 December 2008

Welcome to Moonta

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Monta Bay - bandar kecil dan sunyi yang berada 180 km di sebelah utara Adelaide. Dikelilingi pantai dan teluk - menjadikan ia kawasan pelancongan yang agak popular. Mungkin yang tinggal menetap di sini hanya sebilangan kecil sahaja. Kebanyakan yang datang ialah pelancong dari luar. Ini merupakan kali ke 3 aku ke Moonta Bay - mencukupkan misi kegagalan memancing di masa lalu. Di bandar ini ada sebuah kedai Foodland, Salvos dan sebuah stesen minyak. Kedai-kedai lain mungkin hanya menjual barangan untuk penduduk setempat.

Sepanjang perjalanan kita dapat melihat ladang gandum yang sedang matang - menguning seperti padi di kawasan sawah di lebuhraya Gurun-Alor Setar. Aku bernasib baik - ketika perjalanan pulang sempat melihat gambar pohon gandum ini sedang dituai oleh jentera. Seperti juga mesin padi di negara kita. Yang mungkin menjadikan pertanian mereka berbeza ialah kerana mereka mempunyai kelengkapan teknologi lengkap bagi semua pekerjaan. Sesekali kita juga terserempak dengan ladang pohon zaitun dan anggur.

Di Moonta Bay ini, kami menginap di sebuah motel 3 bilik. Dari motel ini anda boleh melihat begitu banyak - mungkin ratusan - tiang pemancar antena tv yang tinggi. Mungkin menggambarkan gangguan gelombang tv di kawasan teluk ini. Atau melambangkan ia bandar yang jauh dari Adelaide. Uniknya, tiang pemancar ini dibuat dengan begitu baik. Tidak seperti kita yang lebih kerap menggunakan pancang buluh untuk meninggikan antena. Mungkin inilah yang membezakan antara kita dengan mereka.

Misi memancing kami bermula jam 5 petang. Seperti biasa - kami gagal. Aku cuma mendapat 2 ekor ikan Tommy Ruff. Itu sahaja. Walaupun malamnya kami mendapat lebih 40 ekor ketam - tapi itu tidak memadai. Tidak seperti masa lalu, kali ini tidak ramai pemancing, 'penyotong' dan 'pengetam' di atas jeti. Mungkin kerana sekarang musim Krismas. Mereka bercuti di tempat lain. Bandar Moonta Bay tidak ada apa-apa yang menyeronokkan. Walaupun tidak ramai pesaing, kami gagal juga!

Jam 12 tengahari tadi - kami bertolak balik. Sempat singgah di Wallaroo. Ia pekan kecil pinggir laut- tidak jauh dari Moonta Bay. Mengikut sejarah - ia merupakan bandar pelabuhan di masa silam. Khabarnya - ada seorang kelasi Melayu yang mati di pekan ini. Ia mati ketika kapalnya berlabuh dan dikebumikan di kubur orang Kristian. (Bersambung esok)

Friday, 19 December 2008

Ini bukan update

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada berita hari ini. Tiada peristiwa hari ini. Aku sedang sangat sibuk. Entah apa yang disibukkan. Otak berputar-putar. Sedang mencari ilham. Kadang-kadang datang, selalunya hilang. Esok baru aku nak mulakan perjalanan ke satu tempat dalam jarak 180km dari Adelaide ini. Kemana tu?

Harap-harap aku berjumpa sesuatu. Nanti baru aku update apa yang aku jumpa dan aku rasa.

Ini berita yang baru diupdate

Petang tadi - selepas balik sembahyang Jumaat, lagi beberapa kali berpusing-pusing di dapur. Akhirnya aku keluar. Naik bas ke universiti jam 4.30 petang. Di Rundle Mall orang putih sedang sibuk bershopping. Banyak orang di situ.

Masuk universiti - dah lengang. Tak ada orang. Ingat nak ke ofis - berkunci pula. Semua dah pakat balik gamaknya. Aku singgah sekejap di computer pool. Cetak apa yang patut. Balik.


Tunggu bas J1. Entah apa gamaknya, hari ini bas begitu lambat. Tak tahu nak buat apa, sambil duduk aku sempat ambil gambar. Bolehlah kalau ada yang bercita-cita hendak ke Adelaide melihat bandar 'besar' ini.


Itu sahaja update yang bukan update hari ini. Tunggu aku balik Moonta Bay. Nanti aku lapor apa yang boleh dilapor.

Thursday, 18 December 2008

PhD - Part 3 - Stimulus minda

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Apa yang boleh membantu anda ketika menulis? Sebenarnya ia bukan sekadar jurnal, artikel atau buku-buku sahaja. Ia memang diperlukan, tetapi ada juga hal-hal lain anda perlukan bagi memastikan anda terus fokus dengan komitmen anda.

Antara bahannya ialah:
a) Maggie - ia boleh menghilangkan lapar perut anda - boleh dibeli di Asian Grocery atau Foodland.
b) Rokok Marlboro - boleh dibeli di kebanyakan kedai dengan harga yang berbeza-beza. Jangan merokok kalau anda bukan perokok. Jangan juga belajar merokok. Ia bukan sesuatu yang patut dipelajari (2 orang anak saudara aku yang masih bersekolah menengah telah mencubanya. Ketika balik ke Malaysia dahulu; aku telah bertanya - siapakah di antara mereka yang telah mencuba merokok. 2 daripadanya mengangkat tangan. Mereka mendakwa telah berhenti. Aku tahu mereka berbohong. Aku tahu benar hal itu. Aku telah memberi jawapan yang sama 23 tahun dahulu).
c)Red Bull (dalam bahasa Siam ialah Krating Daeng - Seladang Merah) - ia kononnya boleh menguatkan tenaga fizikal anda. Mungkin betul - sebab bahannya mengandungi kafien.
d)Telur ayam - boleh merangsang otak anda agar tidak menjadi setaraf bapa ayam. Boleh dibeli di kedai, atau dicuri di reban ayam jiran anda.
e)Nurofen Plus - ia ubat yang baik kalau anda mengalami sakit urat kerana duduk terlalu lama di depan komputer.

Kalau begitu, untuk siapkan PhD anda - jangan hanya ke library. Singgah juga ke kedai.

Wednesday, 17 December 2008

Bingkisan untuk graduan muda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kelmarin, ketika aku lalu di celah-celah bangunan Universiti Adelaide, para pelajar sedang bergambar, bertemasya dan bersuka ria menyambut majlis graduasi mereka. Aku tidak begitu pasti ada orang Malaysia atau tidak di celah-celah kelompok yang berseronok itu. Aku sudah lama melewati zaman keseronokan itu. Tahun 1995 lagi.

Masa itu kita beranggapan dengan lulus ijazah pertama, kita adalah raja yang boleh menakluk dunia. Apa tidaknya - itulah dongeng yang diajar oleh banyak orang sejak kita mula tahu makna kata. Masuk universiti adalah segala-galanya. Aku tidak bersetuju dengan label ini walaupun aku juga masuk universiti beberapa kali. (Lihat sini)

Mereka yang baru bergraduasi ini juga sewajarnya menghabiskan masa seminggu dua ini untuk terus bermimpi. Tidak akan ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini. Ulang - tidak ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini. Banyak sebabnya. Sekalipun anda mungkin akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, tetapi waktu itu usia anda sudah tidak remaja lagi. Anda akan merasakan betapa anda banyak kehilangan teman-teman. Berfoya-foya, membuat lawak bodoh dan hidup 'happy go lucky' tidak lagi boleh diterima.

Pada waktu anda melanjutkan pengajian ke universiti untuk kali keduanya - anda akan merasa begitu janggal dan terhina untuk meminta wang poket dari ibu bapa. Apa tidaknya, anda sudah dewasa. Anda akan merasa bersalah pula meminta wang. Sebab itulah, anda patut menghabiskan masa seminggu dua ini untuk bersuka ria dan bertemasya. Tidak ada lagi keseronokan untuk anda selepas ini.

Ada juga yang akan berkahwin. Ini bermakna anda akan menjadi isteri atau suami orang. Keseronokan orang bujang akan segera tamat dalam riwayat hidup anda. Anda akan menghadapi pelbagai simptom rumahtangga seperti yang pernah aku tulis di sini. Ada juga yang akan memulakan kerja. Anda juga akan dihadapkan dengan banyak cerita yang pelik dan aneh. Sebahagiannya sudah aku paparkan di sini. Semua ini akan menjadikan kehidupan anda di luar universiti begitu janggal sama sekali.

Ada satu ingatan besar untuk mereka. Jangan mudah terpedaya dengan dunia 'sang buaya' di luar sana. Banyak graduan muda yang telah terperangkap. Mereka ditawarkan dengan jawatan besar dan gaji lumayan. Ia memang mengiurkan. Tetapi lihatlah apa yang berlaku? Mereka diperangkap dengan 'tugasan luar negara', dan akhirnya ditangkap dan dipenjarakan. Kasihan mereka. Moga-moga mereka diberikan kesudahan yang baik.

Semua ini kerana kita percaya dengan ijazah universiti - kita dibayar dengan gaji yang mahal dan mendapat kerja yang bagus. Semua 'kepercayaan' ini telah memerangkap sebahagian besar graduan. Logiknya, siapakah anda untuk dibayar dengan gaji yang begitu besar dengan tugasan "mission impossible" seperti hero James Bond itu. Ia bukan tugas untuk graduan muda seperti anda.

Ada baiknya mulakan apa sahaja pekerjaan - biar murah gajinya - asal ia memberikan tapak untuk kita berjalan lebih jauh. Graduan muda yang berkerja juga jangan lupa untuk menghulurkan gaji mereka kepada kedua ibu bapa mereka. Tidak perlu besar - biar kecil tetapi memberi. Memang, ibu bapa anda orang berada. Mereka tidak mengharapkan sedikit pun wang anda.

Hakikatnya - dengan wang anda itu - ibu bapa akan tahu status ekonomi anda. Sekiranya ada waktunya anda tidak menghulurkan wang seperti lazimnya, mereka akan tahu kehidupan anda tidaklah begitu menyeronokkan. Pastilah - wang itu juga akan mengingatkan mereka dengan anda - dan mereka akan terus mendoakan kebahagian anda sepanjang masa.

Apabila anda pulang semula ke tempat anda nanti, janganlah pula anda melihat diri anda seperti helang yang terbang tinggi. Jangan bongkak dan sombong diri. Letakkan diri anda pada tempat yang paling rendah - sesuai dengan persekitaran anda. Mereka tidak akan melihat anda sebagai orang yang hina. Bahkan, mereka akan lebih menghormati anda.Jangan sesekali melihat mereka sebagai orang yang tidak tahu apa-apa. Benar, mereka mungkin tidak ke universiti. Tetapi mereka belajar lebih banyak makna perit hidup dari universiti pengalaman. Dengan merendah diri -itulah caranya anda akan dilihat sebagai manusia berilmu.

Itu sahaja bingkisan untuk anda. Sebab itulah tajuk ini bukannya 'pesan untuk graduan muda', sebab anda sememangnya terlalu bijak untuk diberi pesan.

Dan untuk seminggu dua ini, teruslah berseronok dan bersuka ria. Bermimpilah. Kerana selepas itu, tidak ada waktu untuk bermimpi lagi untuk anda. Pagi anda akan diterangi matahari realiti - panas, bersilau dan menakutkan. Tidak akan ada lagi keseronokan selepasnya. Tahniah.

Tuesday, 16 December 2008

Habis BOREH!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Harga minyak di Adelaide jatuh lagi. Sekarang ini dah jadi $0.95 seliter. Itu tentu berita gembira. Di Malaysia pun harga minyak jatuh lagi 10 sen. Itu juga berita gembira. Khabarnya harga getah juga jatuh. Sekarang ini dah jadi RM1.10 sen. Itu tentu bukan berita gembira. Itu berita luka.

Tidakkah ada cara untuk membantu para penoreh ini? Mereka sekarang sudah jadi susah. Memanggil pakar motivasi terbaik negara pun belum tentu dapat menaikkan motivasi mereka. Sekarang ini - kita ada banyak sangat NGO. Ada NGO yang cenderung dalam hal-hal politik, ada yang sibuk hal-hal pengkid. Ada juga pandai cakap soal Islam sekular - entah dari kitab mana yang mereka baca. Ada pula yang gelar diri mereka sebagai JERIT, ada pula yang panggil diri mereka sebagai REFORMIS. Kita tidak kisah itu semua. Itu mereka punya fasal.

Tetapi - sekarang ini Pak Abu di Kampung Bukit sudah mula susah hati. Dia kena bangun seawal jam 5.30 pagi. Balik jam 12 tengahari. Tangannya busuk dan berdaki. Kena pula tanggung beberapa guni sekerap. Air busuknya meleleh seluruh badan. Dulu tak mengapa. Sekilo boleh jual RM5.00 lebih. Sekarang, dengan harga RM1.10 maksudnya dia tanggung getah seberat itu juga. Mahu tidak mahu, anaknya bersekolah. Isterinya juga cuma tahu menganyam atap rumbia. Jadi apa lagi yang boleh dia buat?

Mana NGO semua pergi? Mengapa tak bercakap soal subsidi utk penoreh? Kemana ahli politik yang beberapa hari dulu sibuk berkempen ke sana ke mari. Bercakap soal ketuanan dan survival bangsa. Mengapa tak bercakap soal penoreh? Mengapa tidak ada wartawan yang bising-bisingkan cerita harga getah. Sekurang-kurangnya ada yang tahu apa yang patut kita buat. Jangan hanya siar berita tanah runtuh. Getah jatuh pun penting juga.

Kalau belum ada NGO untuk penoreh, aku cadangkan nama ini - HABIS BOREH - " Habis-habisan Bantu Orang Menoreh". Mula berkempen sekarang! Jangan tunggu dekat pilihanraya.

Saturday, 13 December 2008

Ini baru "Garage Sale"

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Banyak kali aku sebut 'garage sale' dalam blog ini. Tapi tentu orang yang tak biasa tak tahu dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan 'garage sale'. Garage sale bukanlah 'perniagaan' yang rasmi. Ia merupakan cara penduduk di sini mengurangkan barang-barang yang ada di dalam rumah mereka dengan menjualnya di dalam garaj. Ia hanya ada pada hari Sabtu dan Ahad. Ia murah. Ia bukan 'car boot sale' seperti di UK. Tidak pasti ada atau tidak garage sale di sana. Nanti kita minta Sdr K.A.M.K tulis. Dia pun dah lama diam.


Apa yang boleh kita beli di garage sale ini? Macam-macam ada. Di rumah aku isteri aku telah mencukupkan koleksi 18 novel karya Sidney Sheldon yang ternama itu. Anda jangan bernafsu serakah untuk mencari buku ke-19 di garage sale di kampung anda. Sidney Sheldon dah mati. Buku yang ke-19 ialah buku biografi Sidney Sheldon yang ditulis anaknya.


Apa lagi yang ada? Kita juga boleh mengkoleksikan segala jenis tupperware yang berjenama 'tupperware' itu. Harganya mungkin hanya $ 0.10 sebiji. Anda juga mungkin begitu teruja untuk membongkak kekayaan anda itu dengan menunjukkan koleksi pinggan mangkuk berjenama terkenal Corell dan Noritake. Ia juga boleh dibeli dengan harga tidak lebih $10.00. Harga di Malaysia mungkin ratusan ringgit, bahkan mungkin mencecah angka puluh ribu untuk set Noritake. (Nota: tidak semua Noritake boleh dipakai oleh orang Islam kerana ada salutan emas pada pinggan tersebut. Ada juga yang diperbuat daripada tulang).


Anda juga boleh membeli banyak lagi keperluan lain yang pelik-pelik. Termasuk tempat untuk mengisi rempah ratus yang unik lagi sentimental. Semua ini tentu tak ada (tak mampu) kalau kita tidak membelinya di garage sale. Jadi, untuk kali ini aku memuji seluruh kaum hawa di Adelaide yang berkerja keras ke garage sale. Biarlah sesekali kita terngaga mengantuk di dalam kereta. Itu lebih baik daripada mereka mengubah fikiran berbelanja di DisignerDirect atau di Harris Scarf yang boleh menyebabkan kita pening kepala.


Begitulah hebatnya garage sale. Ia menjual segala kelengkapan anda dari barang yang perlu sehinggalah kepada barang-barang yang tidak perlu. Cuma yang belum orang jual di garage sale ialah lembu dan kerbau! Oh ya - Aku juga mempunyai topi koboi kulit yang dibeli dengan harga $1.

Jadi tahniah untuk wanita. Pergilah ke garage sale. Kalau boleh bawalah tilam bantal bersama!

Friday, 12 December 2008

The Diggers!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
The Diggers! Apa benda ni? Sepanjang aku belajar orang putih dari sekolah rendah sampailah ke universiti, aku tak pernah terdengar ayat ini. Mungkin aku malas membaca. Atau aku memang membaca tapi tak faham. Atau aku memang bukan kategori yang tahu bahasa Inggeris. Setahu aku di Changlun tak pernah orang pakai istilah ini.

The Diggers - inilah tentera-tentera yang terselamat, mungkin tak ada kerja nak buat kot, jadi buat jalan untuk mengenang rakan-rakan mereka yang terkorban. Mereka inilah yang buat jalan Great Ocean Road. Jalan ini memang cantik. Berliku-liku. Bayangkan orang zaman dahulu cuma guna cangkul dan alat tradisional, kerja mereka dianggap hebat. Mungkin kita perlu kembali kepada cara lama untuk elak tanah runtuh berulang lagi.

Nak tahu lebih lanjut sejarah Great Ocean Road, jangan malas. Cuma klik dan baca.

Thursday, 11 December 2008

Ini bukan Garage Sale

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tidak ada banyak hal untuk diceritakan. Aku menghabiskan banyak masa duduk di bawah garage untuk menulis. Setelah sekian lama, baru aku tahu garage itu tempat yang begitu sesuai untuk menulis. Di garage itu, walaupun keadaannya agar tidak tersusun, tetapi ia memberikan banyak idea untuk terus menulis. Jadi tajuk cerita ini seharusnya "INI BUKAN GARAGE SALE"

Aku tidak ingat sejak bila aku mula menulis. Mungkin sejak zaman sekolah rendah. Tetapi aku sudah mula dikenalkan dengan huruf sejak sebelum masuk sekolah lagi. Waktu itu, bapaku yang mengajar kami huruf. Tapi bukan seperti taxonomi pengajaran moden, cara orang tua mengajar agak berbeza. Autokratik dan didenda. Kadang-kadang kami ditunjukkan bulu landak yang tajam itu agar memerhatikan huruf dengan teliti. Itu cara orang dulu.

Aku mula menulis secara rasmi (dalam erti kata yang lain dibayar gaji) sekitar tahun 1998. Aku masih ingat lagi temuduga pertama itu berlaku di sebuah kedai mamak. Memandangkan aku tidak mempunyai sebarang hasil tulisan, melainkan hanya tesis - jadi aku tunjukkan koleksi sajak-sajak yang aku tulis di bangku universiti. Aku ada banyak sajak, tapi hilang.

Antara sajak yang aku masih ingat ialah "Lukisan yang tak siap". Antara isinya - 'maafkan aku, jika lukisan itu tak sempat kita siapkan, engkau kehilangan warna, aku kehilangan kata'. Itu sajak orang kecewa, orang putus asa. Merry kawan aku tentu tau cerita sajak ni. Aku tulis tahun 1995.

Sejak itu aku mula menulis. Jangan tanya apa yang aku tulis. Bukan sajak atau novel tentunya. Tapi itulah pekerjaan yang lakukan sejak beberapa lama. Hingga kadang-kadang terasa ingin termuntah. Sesekali ada juga aku jadi juri budak-budak menulis cerpen. Sesekali jadi pembantu editor untuk buku pelancongan.

Kemudiannya bila umur semakin tua - aku ditugaskan dengan pekerjaan lain. Tapi aku fikir itulah pekerjaan yang baik dan menyeronokkan. Aku cuma menulis ayat-ayat untuk iklan di suratkhabar, radio atau kata-kata di televisyen. Ini memang kerja bagus. Cuma fikir ayat yang ringkas. Din, kawan aku itu pula akan mencari gambar yang sesuai. Jadi dia tak boleh berkerja tanpa ayat yang aku beri, dan aku pula tak mungkin memberikan ayat tanpa gambar yang dia tunjukkan.

Pernah sekali kami cuba mencari projek luar untuk sebuah parti politik. Kami hanya dibekalkan dengan gambar dengan sedikit penerangan. Kami hanya mempunyai masa 24 jam untuk menyiapkan kerja kami. Kerana tempoh yang singkat, tak ada yang mahu buat. Cuma aku dan Din yang sanggup buat. Hari itu selama 12 jam cukup dari 8 malam hingga ke 8 pagi kami tak tidur. Kerja aku cuma meng'ayat', Din pula melakukan kerja-kerja grafik dan layout. Bagusnya kerja seperti ini kami dapat 'cash'.

Sekarang ini - nampaknya terpaksa menulis lagi. Walaupun aku tidaklah takut untuk menulis, tetapi menulis PhD nampaknya tidaklah begitu mudah sangat. Tapi ingat, ia juga bukanlah sesuatu yang susah. Tugas anda ialah mencari garage yang sesuai untuk menulis.

Wednesday, 10 December 2008

PhD - Part 2

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam sudah 7.47 pm. Kalau di Malaysia kita tentu sudah maghrib. Begitulah musim panas. Matahari turun lambat dan bangun awal. Cuma aku yang tidak ikut matahari - tidur awal, bangun lambat!

Aku pula sudah duduk di atas meja ini sejak pagi tadi lagi. Berselang seli dengan tidur, makan, merokok dan macam-macam aktiviti. Rancangannya untuk menyudahkan artikel untuk dimasukkan ke dalam jurnal. Tapi nampaknya masih belum juga mahu siap. Kalaulah PhD itu seperti menulis blog, sudah lama aku grad gamaknya.


Serabutnya kepala itu sebenarnya tak boleh dilihat jelas dari mata orang. Serabutnya meja itulah yang boleh kita gambarkan. Oh ya. Di atas meja aku ada 2 biji notebook, sebiji modem, sepasang speaker, dan bekas tupperware yang ada tapai pulut di dalamnya. Satu ingatan - walaupun anda mempunyai 8 biji komputer, ia tak mampu menyudahkan kerja PhD anda. Itulah kelemahan teknologi. Fail-fail dan kertas-kertas yang berselerak itu nanti boleh aku jual kepada Cina suratkhabar lama.

Dah lama tak mendengar suara laungan "SURATKHABAR LAMA'. Gamaknya itulah pekerjaan yang boleh aku buat kalau PhD ini tak siap!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails