Yang Ikut

Thursday, 17 April 2008

Yang kita tidak tahu

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam dinding sudah menunjukkan jam 11.15 malam. Satu jam setengah lebih cepat dari Malaysia. Tapi, sebenarnya waktu sudah lewat. Matahari telah menjunam turun lebih awal, dan bangun lebih lewat dari bulan sebelumnya. Waktu-waktu seperti ini, biasanya aku dan Din sesekali akan singgah melepak di warung mamak di Taman Setiawangsa sambil menonton siaran ASTRO wide screen. 

Atau sesekali melepak di warung mamak di Gombak yang makanannya tidaklah sesedap mana. Cuma disebabkan manusia terlalu ramai di kedai mamak itu menjadikan kita terpengaruh dengan hukum keakuran (confirmity law) psikologi manusia. Kita terdorong untuk melakukan apa yang dilakukan orang lain, walaupun kita tak bersetuju dengannya. Sambil minum teh tarik atau kopi o, biasanya kami juga akan berbual tentang orang lain. 

Kami berbual tentang sistem perbankan yang bunganya selalu naik meninggi. Sesekali kami mempersoalkan sistem PTPTN yang menggerunkan, tetapi disebabkan tiada pilihan anak-anak orang susah terpaksa meminjam juga. Tapi, banyak dari tajuk perbualan kami tentulah tentang keceramukan kerja yang sedang dialami oleh Din, yang projeknya datang begitu banyak sekali. Cuma gajinya tak pernah setimpal. Kadang-kadang dia berasa ragu bagaimana syarikatnya boleh mendapat begitu banyak projek, sedangkan ketika kami bersama-sama dahulu, dengan kapasiti yang sama, susah pula nak dapat. 

Tentulah, kami juga membincangkan isu yang lain. Soal harga minyak, soal hutang, soal kad kredit, soal bonus, dan macam-macam. Ish.

Tapi, sebenarnya apa yang kami bualkan itu bukanlah sekadar masalah kami. Orang lain juga tentulah ada cerita dan topik mereka sendiri. Dan apa yang kami bualkan itu akan juga singgah dalam agenda kedai kopi mereka dari sudut yang berbeza. Apakan daya, kita hidup dalam dunia global. Kita memakai kereta buatan Jepun, menggunakan telefon buatan Findland, memakai minyak wangi dari Itali dan berseluar jean Levis buatan Thailand. 

Dunia hari ini, kita sebenarnya bergantung dengan orang lain. Semakin lemah, semakin kuatlah kita bergantung dengan orang. Kita tidak perlu mendakwa kita hebat dengan semata-mata membangunkan bangunan yang tinggi-tinggi, kalau pada masa yang sama kita mungkin belum mencipta jarum "Made in Malaysia". Dan hari ini, China telah menguasai dunia. Mereka mendahului dunia Barat sekalipun, menciptakan barang yang berkualiti dengan harga yang murah. 

Tapi bukanlah itu bermakna rakyatnya tidak pula berbual-bual tentang masalah di kedai kopi seperti kita. Selagi bernama manusia, tidak mungkin kita akan berasa puas hati. Ada sahaja perkara yang akan kita kritik dan komplen. Cuma yang tidak kita akan kritik ialah diri sendiri. Ketika melihat wajah yang hodoh di cermin pun, kita akan menyalahkan cermin! Itu maknanya kita masih manusia.

Din, seperti manusia Melayu lain punya banyak kelebihan. Dia orang seni yang ada kreativiti dan pandai komputer. Dan seperti kebanyakan Melayu yang lain, walaupun dia pandai, berbakat dan berpengalaman, tetapi dunia hari ini dia cuma mampu menjadi kuli dan bukan tauke. Taukenya pula tidaklah perlu sepandai Din. Tidak perlu berkelulusan tinggi. Cuma perlu ada sedikit bakat 'menyambung', maka dia ada potensi untuk berjaya. 

Untuk lebih memudahkan kejayaannya, maka yang perlu dilakukan oleh tauke tadi ialah bersembunyi di sebalik nama Ali. Ali inilah yang sebenarnya merosakkan agenda Dasar Ekonomi Baru. Ali ini malas berkerja teruk, tetapi hanya ingin mendapat untung di atas angin. Akhirnya, segala apa yang dirancang tidak sampai ke tangan Melayu seperti yang direncanakan. Malang sekali, Ali yang seperti ini bukan seorang, malah beratus atau beribu. Mudah sahaja untuk mengenal Ali. Berpakaian kemas, bertali leher dan sentiasa sibuk dengan perbualan melalui telefon. Tetapi untuk mencari tapak projeknya, sampai kiamat pun belum tentu kita boleh berjumpa. 

Yang menjadikan Ali begitu sibuk bukan kerana perniagaannya, tetapi kerana sibuknya menjaja dan menjual projek. Akhirnya yang untungnya ialah Baba, dan Din rakanku yang rajin dan kreatif tadi terus menjadi kuli. Begitulah nasib orang Melayu di abad ke-21, dan abad sebelumnya juga. Ali mungkin dapat beberapa peratus komisen.

Punca utamanya mudah sahaja. Malaysia ini asal namanya ialah Tanah Melayu. Jadi orang Melayu sering berasa menjadi tuan di tanah sendiri. Orang Melayu sentiasa berasa selamat dan tanpa curiga. Malah, orang Melayu sangat baik hati. Ambillah apa sahaja, asalkan jangan memegang kepalanya sahaja. Maka Melaka diberikan kepada Portugis dan Belanda. Negeri Melayu yang lain hilang ke tangan Inggeris. Negara Siam yang tidak pun terkenal sebagai kuasa penjajah dunia, malah mampu mengambil negeri utara Tanah Melayu. 

Lihatlah, betapa baiknya orang Melayu. Bahkan kini orang Melayu telah hilang banyak perkara. Kita hilang budaya, kita hilang bahasa. Politik pun sudah jadi macam-macam. Ekonomi jangan lagi dibincangkan. Ia sudah lama bukan di tangan orang Melayu. Melayu kita yang berjaya menjadi kontraktor kelas F kadang-kadang dengan penuh bangga bercakap projek berjuta-juta di depan pak cik dan mak cik di kampung. Apatah lagi dia mampu membeli kereta BMW. Bila melihat kejayaan sebegitu, kita terlupa banyak perkara lain. Kita terlupa siapa yang mengawal industri simen, besi dan kayu. 

Walaupun kontraktor tadi sibuk mencanangkan kejayaannya, sebenarnya yang lebih berjaya ialah tuan punya besi, simen dan kayu di belakangnya. Sesuatu perlu dilakukan oleh pejuang agar tidak berlaku banyak sangat kebocoran tenaga dan usaha. Lobi sana sini mendapatkan projek, sedangkan untungnya tak seberapa. Orang lain mendapat susu, kita cuma dapat tahi sapi!

Din, walaupun dia bagus dalam grafik, tahu segala-galanya tapi jika sekalipun dia memulakan perniagaan, dia berhadapan dengan cabaran yang sukar. Dia tidak mampu menandingi harga yang ditawarkan oleh peniaga di Jalan Pudu yang memiliki segala-galanya dari rekaan sampailah ke percetakan. Jadi, yang paling baik Din boleh dapatkan cumalah projek, dan akhirnya dia terpaksa juga menghadiahkan banyak untungnya kepada penguasa bisnis percetakan yang dikawal orang lain. 

Hasrat Din untuk menjadi tauke tentu tidak akan kesampaian. Dengan gajinya yang tidaklah besar, anak-anaknya yang semakin bertambah, sewa rumah yang kian meningkat, harga barang yang tinggi, semuanya akan menyusahkan kehidupan Din. Kini yang bakal menjadi teman paling baik untuk manusia seperti Din ialah gadis-gadis Khidmat Pelanggan dari bank di ibu negara yang akan bertanyakan macam-macam termasuklah hutang kad kredit dan kereta. Dan semua ini akan menyebabkan Din kebingungan dan marah tidak tentu pasal terhadap sesiapa sahaja. Mungkin kemarahannya itu telah dia tunjukkan dalam pilihanraya yang lalu. Kita tidak tahu.

Dan, orang seperti Din tentulah bukan seorang.

Changlun - edisi kalau aku boleh pulang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama sudah tidak aku memijak tanah Malaysia yang kini sedang berkocak dengan isu pasca pilihanraya yang belum selesai. Sejak akhir-akhir ini aku terasa ingin pulang ke kampung. Bukanlah tujuan untuk aku melihat apakah negeri tumpah darahku, Kedah yang kini ditadbir oleh Parti Islam telah berubah lanskap fizikal, budaya dan normanya. 

Atau aku ingin singgah di Perak yang kini dikuasai oleh kerajaan campuran PAS-PKR-DAP itu telah berubah tajuk perbualan di kedai kopinya. Atau semata-mata pulang untuk melihat negeri Selangor yang telah menjadi sebahagian besar pencatat sejarah hidupku sejak tahun 1992 lagi kini berubah polisi dan rentak tadbir urusnya. 

Aku tidak berminat dengan semua itu. Kerana seperti dalam apa bentuk gelora sekalipun, gejolak itu ada di dalam. Kita tidak mampu melihatnya dengan mata kasar. Perubahan yang berlaku itu adalah perubahan nilai dan persepsi masyarakat terhadap politik negara, dan tidaklah ia mampu mengubah lanskap kehidupan manusia dalam waktu yang terdekat ini.

Cuma aku rindukan beberapa tempat yang penting dalam hidup. Changlun salah satu daripadanya. Ia bukanlah sebuah bandar besar ataupun kota metropolitan. Changlun, atau dalam bahasa asalnya "Chang - len" dari bahasa Siam yang bermaksud 'gajah jatuh' mempunyai keunikan yang tersendiri. Walaupun di pekan sekecil itu tidaklah mempunyai daya tarik seperti KLCC atau pasaraya SOGO, tetapi itulah tempat yang memperkenalkan aku dengan permulaan hidup. 

Kerana aku dilahirkan di Changlun itu jugalah memungkinkan aku untuk berbangga dengan bahasa ibunda "Thai" yang aku faham dan bertutur dengan fasih sejak aku mula berbahasa. Changlun itu jugalah yang memperkenalkan aku dengan begitu teruknya hidup sebagai orang miskin yang sering dilupakan dari tabung derma para korporat. Mereka lebih berbangga melakukan sumbangan bagi aktiviti memacakkan bendera di Gunung Everest yang menelan belanja berjuta-juta, berbanding menyumbangkan beberapa ringgit untuk anak-anak miskin yang tidak mampu makan pagi ketika ke sekolah. 

Sewaktu kecil, ramai orang kampungku ditangkap kerana mengedar dadah, dan sebahagian besar daripadanya sama ada dikurung di Pulau Jerjak atau dibuang di Simpang Renggam. Ketika itu, aku selalu menyangka bahawa mereka itu manusia yang jahat dan tidak wajar menjadi warganegara. Kini, setelah 36 tahun bernafas, aku mula memahami betapa mereka bukanlah sengaja memilih menjual ganja atau heroin. 

Tetapi mereka memilihnya untuk hidup. Mereka memilih sedikit penderitaan berbanding dengan 'penderitaan yang terpaksa' ditanggung anak-anak dan isteri mereka. Semuanya kini telah bebas dan menjadi manusia biasa. Nampaknya, mereka bukanlah orang yang jahat seperti yang aku bayangkan. Bahkan, mereka mungkin lebih mulia daripada kebanyakan orang yang berpura-pura baik. Mereka terpaksa kerana kemiskinan.

Di pekan Changlun itu jugalah aku belajar untuk merasakan teruknya berbasikal ke sekolah merentas gelap desa dan hutan belukar untuk ke sekolah sejauh 3 batu. Biasanya ketika pulang sekolah kami terpaksa mengayuh di tengah terik matahari 30 darjah celcius. Dan, kami terpaksa singgah sebentar di sebuah telaga di Kampung Paya Nongmi untuk meminum air telaga. Malangnya, kini telaga itu sudah tidak ada lagi. 

Sekurang-kurangnya setelah dewasa dan memiliki kenderaan besar, kita akan faham betapa basikal buruk itulah yang lebih berharga. Basikal itu yang membawa kita ke sekolah, ke masjid mengaji al-Quran dan ke kedai untuk membeli pesanan ibu. Tetapi kereta besar yang kita pakai itu belum tentu memandu kita untuk kerja-kerja mulia. Malah, kita banyak menghabiskan masa dengan memaki hamun orang lain di sebelah ketika jalan macet. Kita menyalahkan orang yang tidak tahu apa-apa pun tentang ilmu jalan raya.

Namun, ada beberapa perkara lagi yang indah mengenai Changlun. Di situlah aku berkenalan dan berjumpa dengan Allahyarham Tok Guru Haji Umar yang membawa aku untuk mengenal makna hamba. Walaupun mustahil aku mampu menjadi manusia sebaik beliau, tetapi sekurang-kurangnya aku tahu bahawa ada hal yang boleh dan tidak boleh dalam agama. 

Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa yang berserban tebal itu belum tentu tahu, dan yang berbaju buruk itu belum tentu jahil. Banyak yang tersirat dalam hidup manusia. Ada yang mencari makan, ada yang menghindar dari termakan. Di situ jugalah kita tahu betapa ilmu dari universiti belum tentu mampu untuk membolehkan kita pandai segala-galanya, lebih baik dari manusia lain. Universiti hanya sebahagian tempat mencedok ilmu. Itupun dalam kapasiti yang terbatas dan dalam ruang lingkup tradisi yang berbeza.

Untuk Din, sepupuku di kampung: Ada yang masih kita cari dan belum ditemukan.

Saturday, 12 April 2008

Ada yang belum selesai (1)

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide dilanda cuaca tidak menentu sejak beberapa hari ini. Mendung, hujan, cerah, panas dan dingin bercampur sekaligus menjadikan aktiviti memancing tidak begitu mempesonakan. Namun, ada perkara yang pasti tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan isteri aku ialah hobi barunya mengkoleksikan novel oleh penulis Sydney Sheldon yang terkenal itu, yang kini sudah berjumlah 17 buah. Dia cuma terkurang satu lagi buku. Namun, hobi dia menghimpun pinggan mangkuk Corell dan Noritake tentulah tidak ada penghujungnya sebab tidak ada apa-apa catatan yang menceritakan berapa jenis pinggan mangkuk yang dihasilkan seperti mana novel Sydney Sheldon tadi. Sydney Sheldon pula telah meninggal dunia, sedangkan penghasil Noritake dan Corell boleh jadi sesiapa sahaja. Itu bezanya.

Aku sejak mutakhir ini tidak lagi cenderung untuk menjadi supir aku ke Garage Sale. Isteri aku yang sudah kembali 'in - form' dalam memandu nampaknya sudah keluar awal-awal lagi setiap Sabtu dan Ahad. Menjadikan aku terasa seperti keluar dari penjara Sungai Buloh! Luqman juga tidak berminat ke Garage Sale seperti aku kerana koleksi barang mainan "Made in China' sudah memenuhi setiap ruang rumah aku, dari dapur ke ruang tamu sampailah ke bilik tidur. Bagusnya, barang mainan di sini yang lebih bersifat 'problem solving' itu dijual dengan harga yang sangat murah, di antara AUD 1-5 dolar sahaja. Tidak banyak barang-barang yang merangsang minda ganas anak-anak seperti pisau dan pistol boleh didapatkan di sini.

Sebenarnya budaya Garage Sale ini didatangkan dari dunia sebelah England. Istilahnya mungkin diasaskan kepada menjual barang-barang terpakai di bawah garaj kereta. Aku tidak pasti, kerana aku tidak berminat untuk menggogle untuk mengetahui hal itu. Tetapi, ada sahabat berkata, cuma garage sale ini wujud di Adelaide dan Perth sahaja. Kota besar seperti Melbourne dan Sydney tidak ada Garage Sale. Aku tidak tahu sebabnya.

Itulah antara perkara yang belum selesai. Sebenarnya banyak lagi yang belum selesai. Hutang orang, hutang bank dan proposal kajian juga belum selesai. Oh ada lagi yang belum selesai. Kemelut politik negara. Ataukah bolehkah kita katakan sebagai kemelut politik Melayu? Aku akan menulis perkara ini nanti.

Sunday, 6 April 2008

Memaksakan kejayaan.

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masuk universiti jadi idaman dan harapan banyak orang. Bukan sekadar pelajar lulusan SPM atau STPM, tetapi juga yang sudah lama meninggalkan alam sekolah. Di USM, ada program untuk golongan veteran untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi. Harapan yang tinggi untuk untuk anak-anak melanjutkan pengajian di universiti bukan hanya oleh guru, ibu bapa, tetapi juga kelompok sosial masyarakat. Untuk memastikan universiti dapat dijejaki oleh anak-anak, maka pelajar terbeban dengan tekanan yang berat. Buku sekolah, kesibukan tuisyen, dan hilangnya keriangan zaman bermain adalah simptom penyakit masyarakat moden. Kita membebankan anak-anak kita dengan mimpi orang dewasa.


Pada hemat aku, ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Mengapa kita begitu memberatkan anak-anak kita dengan beban yang sama hebatnya dengan orang tua. Malah, untuk memastikan anak-anak berjaya dalam peperiksaan UPSR pun, kita sanggup menghilangkan banyak masa bermain mereka. Pulang sekolah jam 1 tengah hari, kita memaksa mereka menghadiri kelas tuisyen. Ada yang sampai malam. Mereka hilang waktu bermain. Apa tujuannya? Bermain untuk anak-anak fungsinya bukan sekadar 'main-main' seperti yang kita selalu fikir. Bermain untuk kanak-kanak ialah asas pembelajaran sosial. Mereka belajar banyak perkara dengan bermain.

Sistem pendidikan kita sangat memfokuskan akademik. Hanya A dalam setiap matapelajaran yang kita anggap sempurna. Kita andaikan pelajar yang mendapat A itu manusia yang terhebat, pintar dan sempurna. Kita tidak begitu berfikir, mungkinkah yang mendapatkan A itu ialah kerana hafalan, bukan berfikir. Menghafal dan berfikir adalah dua hal yang berbeza. Keupayaan menghafal nombor telefon misalnya bukanlah bermakna pintar, melainkan keupayaan untuk menghafal digit. Keupayaan menghafal tidak semestinya berupaya juga berfikir dan melakukan penakulan yang baik. Itu yang harus kita faham dan jangan selalu tersalah anggap.

Ada anak-anak kita yang apabila mendapat keputusan peperiksaan yang buruk, kita menyalahkan mereka. Seolah-olahnya tiada lagi esok untuk mereka. Kita begitu teruja untuk menang, tetapi tidak mahu menerima hakikat kekalahan. Anak-anak yang tidak lulus dengan baik dianggap bodoh, tidak ada masa depan dan bahkan ditanggap bakal menjadi ahli masyarakat yang rosak. Betulkah? Bukankah lulus dan gagal itu sebahagian ragam hidup manusia? Seperti kutub magnet. Ada positif dan negatif. Mengapa hanya kita cenderung untuk satu pola sahaja. 

Kita sering cenderung untuk pola yang dipandang tinggi. Sebab itu, ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk dianggap berjaya. Dalam politik, orang sanggup merasuah dan berpolitik wang. Dalam peperiksaan, orang sanggup meniru. Untuk mendapatkan lesen, ada yang sanggup membayar orang dalam. Semuanya kerana kita hanya taksub dengan satu pola hidup.

Sesekali cuba kita bertanya, berapa banyak di antara kita yang tidak pernah gagal? Dalam pekerjaan, adakah setiap tahun kita menikmati bonus kerana prestasi yang bagus? Selama kita mengerjakan kerja bertani atau berkebun, adakah kita berjaya setiap musim. Bukankah jumlah kejayaan dan kegagalan itu sama banyak sahaja? Jadi, mengapa kita tidak adil dengan anak-anak, dengan memaksakan mereka hanya untuk mendapat kecemerlangan. Mengapa ada yang sanggup mengherdik dan mematikan semangat anak-anak kita yang tidak cemerlang?

Bukankah baik kalau kita juga melihat diri sendiri. Sufiah Farouk, pelajar pintar yang memasuki Oxford University seusia 13 tahun. Ia menjadi pujaan. Benar, dia pintar dalam pendidikan. Tapi, lihatlah bagaimana hidupnya kini. Jadi, apakah semata-mata prestasi akademik itu dianggap jejayaan hidup manusia. Mengapa kita tidak menghargai kegagalan dan memberikan ruang untuk yang gagal mencipta kejayaan dalam bentuk yang lain. Dan bukan dia seorang yang rekod akademiknya dicalarkan dengan tragedi seperti itu. Ada banyak lagi manusia lain yang jadi begitu.

Kejayaan manusia bukan semata-mata kecemerlangan akademik. Banyak ahli korporat yang tidak pun bersekolah tinggi. Ramai lulusan universiti yang tidak pun berjaya mendapat pekerjaan. Tidak juga ramai graduan yang boleh diajak berbual dengan hal-hal yang tinggi dan memerlukan daya pemikiran. Semua ini membuktikan kejayaan bukan hanya datangnya dari bilik kuliah. Kejayaan datang dan ada di mana-mana. Jadi, untuk mereka yang memiliki ijazah berkeping-keping, janganlah terlalu sombong. Yang tidak memiliki sijil pula, jangan merasa rendah diri. Kita semua sama sahaja. Akademik bukan segala-galanya

Thursday, 3 April 2008

Musim yang satu lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Suasana di Adelaide yang panas sejak beberapa bulan yang lalu tiba-tiba sejuk. Musim bertukar. Masa berubah. Dahulu musim panas. Sekarang musim gugur. Seperti politik. Mulanya panas pilihanraya, kemudian ada yang gugur! Dulu, kita masih boleh melihat matahari turun jam 9 malam. Kini, matahari turun lebih awal. Jam 7.30, keadaan di Adelaide sudah jadi kelam dan sunyi. Menunggu bas di celah kedinginan menjadikan kita begitu bencikan bas yang berwarna kuning itu.

Selain kecekapan sistem pengangkutannya, yang membezakan Adelaide dengan Kuala Lumpur, ialah di sini tidak begitu banyak penyangak. Di Kuala Lumpur, belum sempat kita berdiri menunggu bas, ada sahaja mat-mat pet yang datang meminta wang. 

Malamnya pula bising dengan keriuhan mat rempet. Kuala Lumpur dan Adelaide, dua alam yang berbeza. Ada di antara kita mendakwa Islam kita lebih baik dari orang lain. Tapi, di Adelaide yang orang putihnya mungkin tidak faham pun agama mereka sendiri, bersikap lebih santun dan mesra manusia. Begitulah.

Jadual hidup aku juga banyak yang berubah. Tidak ada lagi roti canai, teh tarik dan lepak di kedai kopi. Tapi, yang masih tak berubah, aku tetap makan nasi. Lauknya pula mungkin lebih banyak dari yang pernah aku makan di Malaysia. Walaupun tidak banyak kedai daging dan ayam yang halal, tetapi banyak orang Pakistan di sini yang berjaya membuka kedai. 

Di Asian Grocery, banyak produk halal yang dihasilkan dari negara Thailand. Mereka tidak pernah pun membising pun mahu menjadi 'hub-halal', tetapi nampaknya banyak produk halal dari negara Buddha itu berbanding dengan Malaysia.

Bahkan ada produk halal dari Hong Kong. Nampaknya orang Islam perlu belajar dari negara bukan Islam untuk memasarkan produk halal. Kita perlu banyak belajar dari mereka. Mengekspot ikan masin dan buah petai pun boleh jadi permulaan yang baik. Sekarang ini, kami bergantung harap dari produk dari Thailand dan Vietnam.

Aku juga sudah memulakan aktiviti menghasilkan produk halal. Beberapa hari kebelakangan ini, entah mabuk apa, aku mendapat begitu banyak ikan bream yang dipancing di West Lake. Memandangkan aku dah meluat melihat ikan itu, selalunya aku berikan kepada abang Zul. Mungkin lepas ini aku boleh buka pasar ikan di Adelaide!

Isteri aku, yang dahulunya terkenal seantero Sungai Kerang sebagai satu-satunya tukang masak berijazah di warung pak mentua aku (tentulah aku juga satu-satunya pemegang ijazah master yang memancuh teh tarik!) kini kembali menyibukkan diri dengan masak-masak. Rumah aku sudah jadi sebahagian hub untuk makan-makan di hari Sabtu atau Ahad. Kadang-kadang ramai, kadang-kadang sedikit orangnya. Kalau tidak makan di rumah sewa buruk aku di Rose St, aku boleh juga makan-makan di rumah Jabar, Sidi, Abang Zul atau Abang Nizam. Yang paling penting, semua itu percuma!

Adelaide, bandar sepi yang dingin kini sedang dilanda musim yang satu lagi - musim buah epal. Dengan ladang-ladangnya yang besar di Adelaide Hill, setiap pengunjung boleh memetik sendiri buah epal dengan harga sekilo AUD 1.20. Murah. Buah-buah itu berguguran jatuh ke bumi, seperti mana tak berharganya buah macang di kampung kita. Tapi kalau semata-mata mahu makan buah epal, tak perlulah datang sampai ke Adelaide. Cukuplah di beli di pasar malam Changlun!

Saturday, 15 March 2008

Cakap-cakap selepas pilihanraya (2)

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
"Ayah, main ekor haram tak?", Tanya Luqman.
'Ish, tentulah haram". Aku jawab.
'Ayah, politik wang tu tikam ekor juga ka?". Tanya Luqman lagi.
Aku diam.
(NOTA: Perbualan di atas hanyalah imaginasi. Luqman belumlah sepetah dan setinggi itu akalnya).


Sekarang ini, di mana-mana sudut pun, cakap-cakap mengenai pilihanraya masih belum selesai. Rentetan isu selepas pilihanraya juga belum berakhir dengan macam-macam cerita berkaitan dengan perlantikan menteri besar, pembahagian kerusi EXCO, dan sebagainya. Nampaknya, politik ini bidang yang susah dan rumit. Tidak semudah mengunyah kuaci cap ayam. Tapi bagi aku, yang menjadikan ia begitu payah bukan politik itu sendiri. Yang payahnya ialah manusia itu sendiri. Belum ada manusia yang sama. Kalau pun hidung sama mancung, belum tentu minat untuk mencium buah durian sama. Kalau rambut sama hitam, belum tentu memilih minyak rambut yang serupa. Sebab itulah politik itu wujud. Menciptakan peraturan dan hukum untuk mengawal manusia.

Luqman, anak aku yang kecil itu pun ada politiknya yang tersendiri. Dia akan berpura-pura untuk menangis kalau ada permintaannya tak dipenuhi. Kalau permintaanya sudah dipenuhi, dia diam seketika untuk mencari idea bagi terus meminta yang lain pula. Itu anak berumur dua tahun lebih, yang hidupnya tidaklah mempunyai hutang kad kredit, mengimpikan rumah banglow atau kereta BMW mewah. Bayangkan kalau manusia dewasa yang terlibat dengan politik yang tentu sahaja banyak kehendaknya. Baik keinginannya dalam politik, atau keinginan peribadinya. Banyaklah pula ragamnya.

Apa yang pasti, mak aku di kampung walau siapa pun yang menjadi menteri besarnya, parti mana yang menguasai pemerintahan, dia tetap akan mengikuti kehidupan ini seperti rutinnya. Memastikan pokok sirih di belakang rumah terus menghijau, dan menebas semak samun di sana sini. Sesekali dia akan menganyam tikar mengkuang, atau berbual-bual dengan Abang Lan di beranda dapur. Dulunya, teman-temannya emak aku ramai. Tetapi kebanyakan orang seusianya telah pulang menemui Tuhan. Jadi, sekarang dia banyak di rumah. Selebihnya, kalau ada air bah yang datang, dia akan mencari ikan darat di anak sungai yang letaknya 40 meter dari rumah kami. 

Setahu aku, itulah aktiviti yang emak aku akan lakukan sejak aku kecil hingga sekarang. Yang berbeza cuma kekerapan dan tenaganya, tetapi bentuk aktiviti tidak pernah berubah walau siapa pun yang memerintah. Dan kerana emak aku tidak pernah terlibat dengan sebarang kegiatan politik, sampai sekarang aku tidak pasti parti mana yang emak aku pangkah setiap kali mengundi. Nantilah aku tanyakan.

Yang pasti, politik mengubah banyak perkara. Tetapi ada juga yang politik tidak mampu mengawalnya.

Thursday, 13 March 2008

Cakap-cakap selepas pilihanraya (1)

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pilihanraya dah berakhir. Banyak kejutan berlaku. Baik yang menang atau yang kalah. Yang menang tidak sangka tiba-tiba rakyat berubah memilih mereka, yang kalah tidak sangka rakyat akan memberi mesej yang luarbiasa berbanding pilihanraya sebelumnya. Cakap-cakap berkaitan pilihanraya juga masih belum reda. 

Banyak analisis terus dibuat, dari pandangan 'lay perspective" sampailah ke meja penganalisis profesional. Yang menang dan terpilih sudah mula mencongak strategi baru untuk memerintah dan mentadbir negeri. Yang kalah akan melakukan post mortem melihat kesilapan yang telah berlaku, baik manifesto, pemilihan calon, jentera kempen, atau isu-isu yang dilontarkan masyarakat.

Seperti biasa, menang pun susah, kalah pun susah. Yang menang berebut-rebut kerusi idaman, seperti kuda haus mengidam air telaga. Yang kalah kecewa tidak punya apa-apa. Sebelum pilihanraya, katanya mereka bukan orang yang gilakan kuasa. Yang utama ialah perubahan. Nampaknya janji orang politik aliran kiri atau kanan belum tentu jujur. Kata Prof Tony Winifield, kalau mau cari tajuk kajian PhD, jangan buat sesuatu yang janggal. Misalnya mengkaji kejujuran ahli politik! Sukar ditemukan jawapannya. Seperti yang pernah dinyanyikan IwanFals dalam satu judul lagunya.

Masyarakat kecil seperti kita, akan melihat dan menonton apa yang akan dilakukan oleh yang menang dan yang kalah selepas ini. Seperti menonton filem Musang Berjanggut di kaca televisyen. Kadangkala kita tergelak, kadangkala kita jadi kecewa. Janji-janji pilihanraya seperti yang mudah dilaungkan dalam kempen pilihanraya juga harapnya mudah untuk dilaksanakan.

Tahun 2004 aku masih di Indonesia. Tidak sempat aku merasakan meriahnya pilihanraya. Tidak juga sempat aku mengundi. Tapi aku sempat melihat gelora pilihanraya di sana. Mereka banyak berubah, dari segi pengamalan demokrasi, kempen di media massa sampailah ke penggunaan dakwat hitam. Nampak segalanya sudah tersusun. Bila habis pilihanraya, banyak pembesar dari KPU (seperti SPR di negara kita) ditangkap polis kerana nampaknya mereka juga terlibat mendapat projek mencetak kertas undi. Jadi belumlah bersih sepenuhnya. Dilihat bersih, tetapi dalamnya kotor.

Tahun ini, sekali lagi aku tidak berada dalam negara. Suasana pilihanraya juga tidak dirasai. Cuma beruntung dalam dunia tanpa sempadan ini, website dan blog banyak membantu untuk kita mendapatkan berita. Dari website yang menyokong pemerintah sampailah yang membangkang. Sekurang-kurangnya bolehlah melihat apa yang berlaku di sana sini.

 Tetapi, seperti biasa aku tidak begitu berminat terlibat dalam politik. Sebab politik hanya untuk mereka yang kuat. Politik bukan sekadar pertarungan melawan hati rakyat, tetapi politik juga ialah pertarungan sesama sendiri. Politik melibatkan banyak musuh dan sahabat yang kadangkala adalah lawan, kadangkala adalah kawan. Semuanya berselingkar di dalam satu selimut dan sukar untuk kita kenal yang mana lawan, yang mana kawan. Yang utama dalam politik, mulut kena manis, hati kena kuat dan akal perlu pintar. Susah.

Namun, sungguh puh politik adalah 'seni yang serba mungkin', yang sering diungkap dalam buku sains politik yang masyhur, tetapi bagi rakyat kecil, kita sering berharap untuk kesejahteraan. Kita berharap untuk mudah mendapatkan manfaat dari kepimpinan yang ada. Jangan ketika berkempen, ahli politik sanggup meredah hutan belukar untuk bertemu orang miskin dan sakit, tetapi sesudah berada di bangku kuasa, kita sukar bertemu mereka. 

Kita faham, menjadi pemimpin kerjanya banyak. Sibuk. Kalau mereka sukar turun padang untuk melawat masyarakat, jangan pula menyukarkan rakyat menemui mereka. 

Kadangkala, yang menjadikan pemimpin sukar ditemui adalah kerana banyak orang di keliling yang menapis. Daripada kerani di kaunter depan yang cuma lulus SPM pangkat tiga sampailah ke Setiausaha Sulit yang banyak bertanya itu dan ini. Tanpa pangkat besar dan harta yang banyak, adakalanya kita dianggap orang kecil yang tidak penting untuk bertemu menteri. Jangan jadi begitu. Wakil rakyat ialah mereka yang menjadi suara rakyat.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara harus dijadikan tempat untuk membahaskan secara terperinci harapan rakyat dan masa depan negara. Jangan jadikan ia pejabat pos untuk mengecop draf polisi negara. Jangan juga gunakan alasan tak boleh semua tuntutan rakyat dipenuhi. Kalau tak boleh, jangan membuang masa terlibat dalam politik. Duduk sahaja di rumah, atau jadilah pekebun sayur. Habis cerita.

Yang kalah sudah tentu dapat menilai sendiri sejauh mana kesilapan yang berlaku sebelum ini. Lihatlah bagaimana percaturan politik dalaman tidaklah menguntungkan. Yang dikendong berciciran, yang dilamun tak terdakap. Yang terlibat dalam politik baik ahli biasa sampai ke Ketua Bahagian, tepuklah dada dan tanyalah apa tujuan kita sebenarnya. Untuk menyediakan jalan tar baru bagi kemudahan rakyat, atau mendapat projek menurap jalan tar? Politik ialah untuk mendapat kuasa bagi membawa perubahan kepada masyarakat. 

Jangan melakukan sesuatu yang mencurigakan. Kini, orang boleh melihat kita dengan banyak mata. Orang melihat dari sms, cakap-cakap orang, Internet, YouTube, Blog dan pelbagai sumber lagi. Apa yang berlaku di Jerlun diketahui orang sampai ke Amerika. Apa yang direncanakan ahli politik di Los Angeles atau di Australia juga diketahui anak muda di Changlun yang tersalah menggoogle. Jadi, tidak apa yang boleh disembunyikan lagi. Sampaikan jenama ubat gigi yang dipakai menteri pun mungkin diketahui orang. Tidak ada lagi rahsia antara kita.

Masa sudah berubah. Pemikiran massa juga sudah berubah. Profail pengundi juga berubah. Generasi kini yang tidak pernah makan 'ubi kayu', tetapi lebih tergoda dengan McDonald dan KFC. Dan malamnya bersekang mata di depan komputer. Berchatting dengan gadis Korea atau Jepun dengan YahooMessenger. Atau mengadap ASTRO menonton kelibat Wayne Rooney dan Michael Owen di Liga EPL. 

Mereka tidakpun begitu faham sangat tentang 'kontrak sosial" 30 tahun dahulu. Kalau ditanya siapa Burhanuddin Helmi atau Pak Sako, mereka akan terpinga-pinga. Jangankan nasionalis, pejuang komunis seperti Shamsiah Fakeh atau Rashid Maiden lagi mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak janggal kalau ditanya siapa Mawi atau Britney Spear. 

Jadi, jangan merasa pelik kalau isu berkisar dengan ketuanan bangsa tidak lagi relevan untuk mereka. Tetapi mereka akan tergugat kalau hak asasi mereka dikekang atau kebebasan bersuara mereka dihalang. Mereka banyak belajar dari konsep demokrasi Barat yang dilaungkan oleh Amerika. Mereka boleh melihat bagaimana kempen Barack Obama melawan Hillary. Mereka tidak lagi teruja dengan politik pembangunan, tetapi politik yang membahaskan polisi. Apa yang bakal ditawarkan oleh parti politik yang berkuasa. Di Australia, John Howard kalah kerana banyak faktor. Salah satunya sebab cuaca, sebab global warming. Itu sahaja.

Politik berteraskan etnik juga mungkin tidak lagi begitu mempengaruhi trend mengundi. Sebabnya kekuasaan etnik dianggap tidak begitu utama lagi dalam hidup bagi kebanyakan generasi muda. Salahnya kita juga. Kita anggap pengajian sejarah dan budaya tidak penting. Orang lebih menyanjung IT, sains dan matematik. Orang akan ketawa besar kalau mendapat tahu bidang kajian kita berkisar penggunaan sirih dalam perubatan tradisional, atau mengkaji sejarah perjuangan Mat Kilau. 

Sebab sekarang kita hanya terangsang untuk naik ke bulan, tetapi tidak begitu berminat untuk memijak di bumi. Kita tidak berminat menggalakkan pengajian dalam bidang berteraskan sastera dan sejarah. Menjadikan orang kita tidak faham asalnya sendiri. Kita kagum dengan bahasa Inggeris, tetapi melihat dengan nada yang sinis terhadap bahasa sendiri. Kata orang lama, 'hilang bahasa, hilanglah bangsa'. Akhirnya kita hilang banyak perkara. Paling melukakan, kita hilang identiti bangsa.

Kempen dengan nada tradisional juga tidak akan memberikan kesan. Hujahan politik moden juga mesti bernas dan berasas. Ramai yang berpendidikan. Jangan lagi bercakap kenaikan harga minyak kerana kenaikan pasaran dunia. Bagaimana pula penurunannya. 

Orang bertanya kenapa harga petrol di Thailand kadang-kadang naik, dan kadang-kadang turun? Mengapa gula dan minyak masak kita boleh sahaja tidak cukup di pasaran. Kalau tidak cukup, mengapa tidak dimpot dari luar. Mengapa hanya bergantung kepada satu dua sahaja pengeluar gula? Tidakkah boleh kita pecahkan monopoli itu. Tanya mereka yang suka menggoogle di Internet membuat perbandingan.

Pilihanraya sebenarnya adalah satu proses penilaian prestasi yang dilakukan oleh majikan kita. Majikan kita itu ialah rakyat. Kalau selama ini kita yang berada di puncak kuasa merasa kitalah majikan, dan rakyat adalah pekerja, maka konsep itu harus diubah. Berikan mereka yang terbaik untuk kepentingan orang terbanyak. Kita semua hanya memegang tanggungjawab.

Wednesday, 20 February 2008

Selamat berpilihanraya

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat datang musim pilihanraya. Semua yang berada di Malaysia kini pastinya sedang sibuk, baik yang benar-benar ahli politik, ataupun yang hanya sekadar berpolitik di kedai kopi. Dari pembesar yang menguasai kerusi parlimen dan jawatan penting, sampailah ke pembancuh teh tarik di lorong belakang kedai ubat di Changlun akan memperkatakan banyak perkara berkaitan politik. Bercerita tentang si anu dan si anu telah bersekongkol membaham banyak projek itu dan ini, atau si anu dan si anu sedang menaburkan air liur basi untuk memikat undi. 

Inilah juga masanya kita melihat kereta besar keluar masuk ke setiap ceruk hutan belukar melawat orang susah dan sakit, tanpa menghiraukan tahi lembu yang terpercik ke Mercedes Benz mata belalang itu.

Di sudut yang lain, sumbangan itu dan ini akan turun bagi hujan di musim tengkujuh, menyebabkan Pak Man di Kampung Lubuk Sireh kebingungan memilih di antara kain pelekat berwarna merah dan kelabu dan tak berhenti memuji penyumbang kain pelekat tadi. Musim politik ini juga menjadikan banyak anak kehilangan bapa atau ibu yang turut terlibat berkempen, atau banyak masa dihabiskan mendengar ucapan yang disampaikan dengan penuh jenaka oleh Mat Sabu di sebuah padang di belakang surau. 

Lembu dan kerbau juga jadi tidak keruan apabila disembelih di sana sini untuk dijamu dalam majlis meraikan rakyat. Jalan tanah merah yang becak 4 tahun dulu tiba-tiba diturap dengan tar baru oleh seorang kontraktor kelas F yang berwibawa. Majlis kenduri kahwin tiba-tiba dihadiri tetamu VIP yang dulunya tidaklah mesra sangat, cuma datang akhir-akhir ini menghulurkan sekeping sampul yang entah berapa ringgit ada di dalamnya. 

Pak Ali yang dari kecilnya hanya bekerja sebagai pengembala lembu tiba-tiba tidak tentu pasal berhujah pasal turun naik ekonomi global yang diasaskan kepada teori Adam Smith, dan ini seterusnya dibangkang oleh Lebai Karim dengan memetik satu ayat al-Quran. Dengan tidak semena-mena, anak Pak Latif yang baru kemalangan dalam merempit tidak disembahyangkan oleh satu kumpulan masyarakat kerana kononnya Pak Latif adalah pengikut parti X.

Begitulah senario politik kita. Meriah dan ada pelbagai cerita. Cuma masa dapat menentukan.

Tuesday, 5 February 2008

Sedikit cerita universiti

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini merupakan gambar sebahagian daripada University Adelaide bangunan yang didirikan dengan senibina tradisional Inggeris. Ia berada di tengah bandar Adelaide. Tidak seperti kebanyakan universiti di negara kita, konsep universiti di sini tidak mempunyai pagar dan sesiapa sahaja bebas keluar dan masuk ke dalamnya. Di sebelah universiti ini ialah Universiti of South Australia (bangunan berbata merah). Untuk sampai ke sini, kita boleh menaiki kebanyakan bas utama. Walaupun kawasan universiti ini tidaklah seluas Universiti Putra Malaysia atau Universiti Kebangsaan Malaysia, tetapi kedua-dua universiti ini mempunyai begitu banyak cawangan. Universiti South Australia sahaja mempunyai 3 lagi kampus dalam radius 25km di sekitar Adelaide. Kedudukan universiti sebelah menyebelah ini tidak pula menunjukkan tanda-tanda mengkategorikan sesebuah universiti dengan universiti lain. Ia dianggap setara sahaja. Tidak ada pengelompokan atau rasa kebanggaan bahawa itu universiti elit, dan ini universiti baru. masing-masing bergerak dengan peranannya sendiri. Malah, pelajar bebas untuk meminjam buku dari mana-mana universiti, dan ada ketikanya boleh berkongsi bilik kuliah. Dari segi prasarananya pula, kita boleh mendownload jurnal-jurnal yang diperlukan dari komputer tanpa perlu berkunjung ke perpustakaan. Jadi, yang banyak di sini ialah komputer yang berada di merata-rata tempat.

Kedua-dua universiti ini adalah universiti utama di South Australia selain Universiti Flinders yang berada agak jauh sedikit dari bandar Adelaide. Ia berada di samping jalan utama. Tradisi universiti juga berbeza. Tidak ada sebarang kegigihan untuk mencipta rekod bagi hal-hal yang tidak berdasarkan keupayaan akademik seperti memasang bendera terpanjang dunia dan sebagainya. Pensyarahnya juga walaupun mempunyai gelar professor, tidak pula memestikan kita memanggil mereka dengan nama professor. Cukup dengan sekadar nama sahaja. Tidak begitu banyak protokol dan birokrasi di sini.

Monday, 4 February 2008

Trip ke Moontabay

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Sabtu, 2 Feb: Selamat Datang ke Moontabay. Bertolak dalam jam 10.30 pagi dari Adelaide, kali ini kami cuba singgah di Moontabay, kira-kira 200 kilometer dari Adelaide. Dengan ketua perancang, Sdr Fahmi mengaturkan urusan mem'buking' tempat menginap, dianggotai juga oleh Abang Zul, Sdr Nizam, Jabar, Aku dan seluruh ahli keluarga yang lain. Menggunakan 4 buah kereta, baru dan lama, buruk dan elok, kami sampai di sana kira-kira jam 1.30 petang setelah melewati cerun, ladang dan bukit-bukit bukau.


Moontabay merupakan pekan kecil yang berada di hujung teluk. Tidak ada apa-apa di sini, melainkan tempat untuk berehat dan mereka yang gemarkan aktiviti memancing atau kehidupan laut. Ia ibarat sebuah pekan laut seperti Dungun, Terengganu. Kecil dan mungkin tidak ada apa-apa aktiviti di sini. Ada beberapa buah bar, supermarket Foodland, serta kedai "Salvation Army" yang terkenal itu. Kami menyewa sebuah rumah di sana dengan harga AUD 150 semalam. Rumah tiga bilik itu lengkap dengan kemudahan asas.

Di sana, kami memulakan aktiviti memancing sejak jam 3 petang sampai ke jam 6 pagi besoknya. Selain memancing, ada juga yang memancing sotong selain seperti biasa mengetam.Umpan ayam untuk mengetam telah kami bawa dari Adelaide. Malangnya, kami terlupa membeli umpan untuk memancing. Bernasib baik, ke rana di hujung jeti itu ada sebuah kedai menjual umpan anak ikan tamban dan juga coacles. Itu sahajalah umpan yang boleh kami dapatkan. tapi harganya luar biasa mahal.

Jeti di Moontabay ini panjangnya kira-kira 600 meter dari daratan dan menganjur ke tengah laut. Agak penat juga berjalan dari hujung ke hujung. Petang itu, sepanjang jeti itu telah dipenuhi dengan manusia. Tidak pula kelihatan orang asing seperti Cina atau India seperti yang sering kami lihat di jeti Henley Beach atau Grange. Cuma, kami terserempak dengan segerombolan pelajar Melayu bujang di sini. Kedudukan Moontabay agak pendalaman dan jauh dari kebisingan kota, maka ia sangat sesuai untuk peminat ketam dan sotong. Ia destinasi yang popular untuk aktiviti memancing dengan menggunakan bot. Mungkin lain kali kami akan mencuba memancing dari atas bot pula. Bukan sekarang tentunya.Jalan untuk sampai ke sana baik walaupun tidaklah ada R&R seperti di Malaysia. Di sepanjang jalannya, boleh kita lihat beberapa buah tasik yang sedang mengering, selain ladang-ladang yang menjadi nadi hidup Australia. Kita akan juga menempuh beberapa buah pekan kecil sebelum sampai ke sana. Pekan-pekan ini mungkin sebesar pekan Napo, di Changlun Kedah. Hanya menyediakan stesen minyak atau beberapa kedai kecil lain. Berdasarkan pemerhatian, ladang-ladang ini mungkin digunakan untuk menternak kambing, lembu atau pusat tanaman anggur dan zairun. Kelajuannya juga berubah-rubah, adakalanya kita boleh memecut selaju 110km/j, adakalanya cuma 50km/j menjadikan jarak Moontabay semakin jauh dari Adelaide. Moontabay hanya hidup di hari cuti atau hujung minggu seperti ini. Kebanyakan pemilik rumah di sini tinggal atau berkerja di tempat lain.
Tangkapan pertama kami ialah seekor sotong yang berjaya diangkat naik oleh Fahmi. Sotong ini agak besar juga. Menjelang ke Maghrib, Fahmi hanya berjaya mengangkat naik 4 ekor sotong, selebihnya bagi pemancing ikan kami tidak berjaya membawa pulang apa-apa. Yang boleh kami dapatkan, hanyalah sekadar kemarahan untuk memancing lagi!
Sekadar catatan, Abang Zul hampir-hampir berjaya membawa naik ikan yu Jackson (seperti dalam gambar), tetapi memandangkan terlalu berat, maka seperti biasa dengan kualiti tali yang tidak baik, ikan itu terputus ditimpa ladung ke dalam air. Sungguhpun begitu, ikan ini biasanya tidak jarang dimakan orang. Seperti ikan bandaraya sifatnya. Petang itu, cuma beberapa ekor ketam yang dapat ditangkap pada petang itu.

Menjelang malam, kami mengubah strategi berpindah ke sebuah jeti yang lain yang letaknya kira-kira 2 kilometer dari jeti yang pertama ini. Kali ini nampaknya sangat lumayan. Aku berjaya membawa naik seekor ikan sembilang dan seekor ikan salmon bluefish, setelah 2 ekor salmon yang cuba dibawa naik terputus dalam cubaan sebelum ini. Selain ikan, malam ini kami mendapat ketam dengan jumlah yang agak banyak. Mungkin lebih dari 70 ekor. Menjadikan aku jadi muak hendak makan ketam yang dibeli di Asian Grocery!

Kaum wanita, seperti biasanya pula sesekali datang menjenguk kami di jeti pada malam itu. Mereka membawa pulang ketam-ketam yang kami tangkap untuk disembunyikan di rumah. Banyak alasan untuk berbuat begitu. Pertamanya ketam yang ditangkap ada yang tidak mencukupi saiz. Kami membelasah semuanya mengikut peraturan di Malaysia! Keduanya, semua jenis ikan sembilang laut adalah salah untuk ditangkap. Kami juga menafsirkan tangkapan kami berdasarkan peraturan laut Sungai Kerang, dan terpaksa membawa pulang ikan tersebut.


Luqman, seperti biasa menghabiskan masanya dengan membuas dan memukul teman-teman kanak-kanak yang lain. Kadang-kadang dia menembak Adam, Balqis dan Alisha dengan jari kanannya - Bang! Bang!.


Selain aktiviti memancing, trip kali ini juga memfokuskan kepada konsep makan dan kenyang. Ini tentulah diketuai oleh kaum hawa. Kak Ros, Fadilah, Zaharah, Liza dan bini aku sendiri menghabiskan percutian Sabtu dan Ahad ini memasak di Moontabay. Sebenarnya percutian kami ini sungguhlah memenatkan kerana selain sepanjang malam tidak tidur, tengahhari Ahad itu kami terpaksa pula pulang ke Adelaide dan menempuh jarak yang panjang lagi.
Atas semangat Malaysia Boleh!, kami sudah bersoksek-soksek untuk datang lagi. Mungkin pada masa hadapan boleh aku terbangkan Din dan Hairi dari Malaysia untuk memancing di sini. Itupun kalau aku dah berjaya dapat PhD dan dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor!

Friday, 1 February 2008

Selamat datang ke bumi kangaru

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat datang ke bumi kangaru. Entah bagaimana agaknya kangaru ini boleh sampai ke bumi Australia ini. 

Sebenarnya makhluk yang menyembunyikan dua kaki depannya ini bukan hanya menetap di Australia, sebetulnya kangaru juga ada di Papua New Guinea. Aku pernah melihatnya di Taman Safari Indonesia lama dahulu. Saiznya kecil sedikit, sebesar seekor kucing. Tapi fizikalnya memang menunjukkan ia adalah kangaru.

Sekarang sudah menjangkau bulan Februari. Biasanya, bulan seperti ini semester baru akan dibuka. Maka ramailah pelajar-pelajar baru dari Malaysia yang akan berkelana ke bumi abrogine ini. Akan mengadaplah mereka dengan perubahan cuaca dan budaya. 

Berhadapan juga tentunya dengan masalah penginapan. Biasanya, kalau ada pelajar dari Malaysia yang bakal datang ke Adelaide ini, kami sudah dimaklumkan melalui sms. Itupun kalau pelajar tadi ada menghubungi sesiapa di bumi Adelaide ini, sama ada secara sengaja atau tidak. Seperti biasa, kami akan cuba membahagi-bahagikan rumah kami untuk ditumpang sementara. 

Bagaimanapun, bukanlah bermaksud 'kami' dalam konteks ini semuanya akan cuba menolong pelajar yang baru sampai ini. Ada juga yang banyak sok sek. Bukan salah juga mereka berbuat begitu, kerana hakikatnya kita ini manusia. Aku bernasib baik ketika sampai dahulu kerana sempat menumpang sekejap di rumah 4 anak dara sebelum kemudiannya menumpang di rumah pelajar yang lain. 

Namun untuk membayangkan bandar Adelaide ini semudah pekan Trong untuk mendapatkan rumah samalah seperti membayangkan menggunakan tangga kayu memanjat bangunan KLCC. Sekarang ini, bandar Adelaide tidak hanya merupakan tempat untuk warga tua Australia, tetapi juga dipenuhi manusia Greek, Itali, China, India, Vietnam dan segala macam. Menjadi Melayu di sini seperti sebutir permata di tengah gurun pasir yang luas.
Harga rumah sewanya juga tidaklah semurah bandar Arau yang cukup di antara RM180-250 sebulan. Rumah di sini rata-rata di antara AUD 250-350 seminggu bagi rumah bersaiz biasa, atau minima RM 750-800 seminggu. Jadi, kalau kita terasa ingin 'convert' sewanya dengan nilai ringgit Malaysia, maka memilihlah kita untuk menginap di bawah terowong di Jalan Pantai Henley selama sebulan. Tidak ada pilihan lain. Atau boleh jadi juga menginap bersama kangaru di Zoo Adelaide!


Selain hal-hal berkaitan tempat tinggal, soal halal haram makanan juga sangat penting. Memang di sini orangnya bersih. Tapi babi dijual di mana-mana. Banyak juga orang Arab yang berjanggut panjang. Tapi bukan semuanya Islam. Mungkin ada yang Yahudi, atau juga berfahaman Syiah. Jadi, sedikit sebanyak hal-hal berkaitan pengetahuan mengenai soal makan minum ini diambil kira. 

Ada pelajar kita di sini yang sudah membuat fatwa makan di Hungry Jack halal. Perlu ambil maklum, halal bukan sekadar tidak makan khinzir atau kura-kura, halal juga berkait dengan soal penyembelihan. Soal siapa yang memaklumkan yang makanan itu halal juga perlu diambil kira. Tidak semua orang layak menjadi saksi. 

Kepada mereka yang berhasrat datang ke sini, selain soal paspot dan tiket kapalterbang, ada baiknya bawa juga sebiji dua buku agama. Banyak hukum hakam yang tak perlu kita fikirkan di Malaysia perlu diambil kira di sini. Eh, makan kangaru boleh ke? Tanya seorang kawan. Aku pun terasa ingin makan, tetapi melihat perangai kangaru yang suka menyembunyikan anaknya dan kedua kaki depannya, terasa meloya pula. Tapi, untuk mereka yang ingin menjadi ibu yang baik, belajarlah dari kangaru. Dia menjaga anaknya dengan cara yang luarbiasa.

Kangaru. Inilah penduduk asal bumi Australia. Maka ada baiknya kita menghormatinya. Selamat datang ke bumi kangaru!

Hidup di semak anggur

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Anggur memang makanan yang agak mewah bagi kebanyakan orang susah di Malaysia. Untuk mendapatkan buah anggur, mungkin mereka terpaksa bergolok bergadai. Tidak mustahil memakan anggur bukanlah hobi terlebih baik dari memakan buah macang atau mempelam pauh yang berguguran jatuh di belakang rumah. 

Tapi di sini, buah anggur merah itu kini sedang menyemakkan rumahku. Mungkin sebab aku juga tergolong dalam kumpulan manusia yang susah mendapatkan anggur di zaman kecil, maka buah anggur itu sedikit sebanyak mencatatkan sebahagian kejayaan hidupku.

Di sini, pepohon anggur merah dan hijau sedang meranum masak. Kelihatannya, mereka tidaklah begitu berahi untuk memakan anggur seperti mana kita memberahikan durian. Mungkin kerana tujuan mereka ialah untuk menjadikan anggur itu sebagai wain. Aku cuma membuat ramalan sahaja. Sebab, di kebanyakan rumah jiran-jiranku di sepanjang Jalan Rose ini, anggur merah mereka sudah menjadi hitam melegam. 

Aku selalu mendoakan agar buah anggur itu dihantar ke dalam peti pos rumahku. Tapi, tidak pernah tercapai. Melainkan nenek tua yang berumur 83 tahun dari Greek itu, yang kebetulannya tuan punya rumah sewa itulah yang selalu menghantar anggur dari laman rumahnya ke pintu dapur rumahku. Biasanya, aku tidak sempat lagi untuk mengunyah anggur di sini, jadi kami masukkan ke dalam blender menjadikan ia air anggur pertama yang tidak mabuk diminum.

Luqman Hakiem mungkin masih kecil untuk tahu betapa anggur itu sesuatu yang sangat istimewa untuk ayahnya 25 tahun silam, hanya boleh didapatkan setahun sekali. Dia selalu memetik buah anggur yang belum masak itu dan dibuangnya ke laman rumah. Kata emak, daripada membeli anggur, lebih baik aku belikan ikan gelama di kedai yang boleh menghidupkan kami. Belum ada yang mati kerana tidak makan anggur nak!

Memancing di Jeti Grange

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Membuka tahun baru 2008, setelah dua hari kepenatan menshopping sempena Boxing Day, kami seperti lazimnya menghabiskan waktu dengan menjadi nelayan pinggir pantai: memancing dan mencari ketam. Edisi kali ini ialah di Jeti Grange.Dunia mencari ikan ini sebenarnya bukanlah baru sangat dalam hidup aku. Sejak kanak-kanak lagi aku sudah berjinak-jinak dengan dunia ikan lampan dan sepat benua di anak-anak sungai atau di bendang.

Kampung kelahiranku, sebenarnya adalah episod pengalaman para petani yang susah. Jadi, mencari ikan sungai adalah sebahagian daripada cara untuk para penghuninya mengurangkan biaya hidup. Bayangkan pada waktu itu sekitar hujung 70-an dan awal 80-an, dengan hanya menanam padi setahun sekali, dengan cara yang masih tradisional, masih ada yang menggunakan kerbau membajak bendang, berapa sangat hasil yang mampu kita dapatkan. Itu belum termasuk dengan pelbagai penyakit padi termasuk kutu beruang, padi angin dan segala macam musibah yang hanya para petani yang faham mengenainya.

Jadi, untuk menampung payah dan payaunya hidup, ikan sungai adalah sebahagian sandaran kami. Ketika aku kecil, ada satu tradisi 'mengacau ikan'. Ia fenomena unik yang sudah pupus. Biasanya dilakukan selepas solat Jumaat pada musim kemarau. Ia mengambil masa dalam 4-5 jam. 

Semua penduduk kampung akan turun ke dalam sungai dengan segala macam peralatan menangkap ikan, akan menyelongkar setiap sudut dan bucu sungai, menyebabkan ikan kemabukan dan berenang lintang pukang. Jadi, ikan-ikan yang mabuk seperti ikan lampam, seluang dan selar boleh ditangkap dengan lebih mudah. 

Ikan-ikan yang dikategorikan sebagai 'ganas' seperti haruan atau keli, biasanya akan cuba menyembunyikan dirinya ke dalam lubang kayu atau di bawah semak pohon rumbia atau akar bemban, akan ditangkap dengan menggunakan tiruk, penjuk atau serkap. Ikan-ikan ganas peringkat sederhana biasanya akan bersembunyi di dalam lumpur di dasar sungai. Ia boleh ditangkap dengan mudah. Hanya dengan meraba dan menangkapnya di bekas tapak kaki. Tapi, kini tradisi mengacau ikan ini sudah lama pupus, seiiring dengan pupusnya ikan di setiap bucu anak sungai dan lopak bendang di kampung aku.

Di Adelaide kini, mencari ikan sebenarnya bukanlah perkara yang baru sangat. Ia adalah penonjolan nolstalgia lama di alam separa sedar yang dimunculkan kembali di alam dewasa.
Isteriku, seperti yang sedang dipotretkan di dalam gambar bersama Luqman Hakiem juga bukanlah orang baru sangat dalam alam perikanan. 

Dia sebenarnya sangat anti pemancing seperti aku kerana baginya memancing hanya membazirkan waktu. Tapi, segalanya berubah secara tiba-tiba. Ketika kami di Jakarta 3 tahun dahulu, dia sebenarnya telah secara tak sengaja mengikut aku dan Sdr. Junhairi dan teman-teman dari Indonesia yang lain, untuk memancing di Kepulauan Seribu. 

Tujuan utamanya bukanlah memancing, tetapi sebenarnya mahu melihat apakah sebenarnya yang menyebabkan kami menghabiskan masa dari Subuh sampai ke Asar setiap kali memancing. Dengan berbekalkan semangat 'ingin tahu' dan 'anti pemancing', isteriku bersama-sama menaiki bot dari Muara Angke sampai ke Kepulauan Seribu di Teluk Jawa itu. Ketika kami semua cuma sekadar mendapat beberapa ekor ikan, nampaknya isteriku telah mendapat ikan yang besar dan bilangannya juga banyak. Itu belum termasuk ikan kembung yang mampu dibawa naiknya dengan menggunakan mata kail tanpa umpan.

Sejak itu segalanya berubahKini, setiap kali ke garage sale, isteri aku akan membelikan aku batang joran atau mesin. Dan setiap kali aku mahu memancing, dia juga ingin mengekoriku. Segalanya boleh berubah. Kalau pantai lagikan berubah, inikan pula...

Kembali menjadi kanak-kanak: Mimpi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kembali menjadi kanak-kanak adalah idaman bagi kebanyakan orang. Kanak-kanak tidak perlu berfikir banyak. Sekadar untuk makan, bermain dan tidur. Selebihnya, semua urusan adalah menjadi urusan siapa yang menjaganya. Aku tidak pasti sejauh mana aku melalui zaman kanak-kanak. 

Banyak ingatan yang telah dipendamkan ke alam tidak sedar. Apa yang pasti, dunia kanak-kanak kini dan dulu juga mengalami proses evolusi. Dulu, ketika masih kanak-kanak, di zaman pertengahan 70-an, kami begitu terangsang untuk menonton filem-filem ganas seperti "Combat', 'High Chaprall', "BJ & the Bear", dan yang mutakhirnya mungkin "Hero Lima". 

Filem-filem Melayu seperti "Panglima Harimau Berantai" juga tentulah menjadi idaman kami. Watak-watak utama filem Melayu ketika itu seperti E.D Osmera atau Husin Abu Hasan seolah-olahnya hero yang tidak mungkin dikalahkan. Sangka kami dari perspektif kanak-kanak, dunia ini hanya dipenuhi dengan watak hero, dan yang jahat selalunya akan mengalami kekalahan dengan sendirinya, atau bakal dihukum Tuhan.

Dari perspektif yang lain, menonton televisyen yang masih berlatarkan 'hitam putih' ketika itu juga sebenarnya satu keajaiban. Dalam satu kampung, seingat aku cuma ada 3 buah rumah yang mempunyai televisyen. Ketika itu, mereka masih menggunakan generator. Bayangkan, ketika rata-rata rumah masih menggunakan pelita minyak tanah, cuma yang kaya sahaja mempunyai generator. Biasanya bukanlah setiap malam kami boleh menonton. Banyak sebabnya.

Pertamanya kebenaran yang sangat sukar diperolehi dari orang tua, maklumlah kami akan bertandang ke rumah orang lain yang mungkin sangat meluat melihat kehadiran kami - kaum kanak-kanak. Keduanya, kadang-kadang apabila kami sampai ke rumah empunya televisyen itu, mereka sengaja tidak membuka televisyen. Membiarkan kami ternganga-ngaga di ruang tamu rumah mereka.

Apabila dunia semakin maju, kampung aku sudah boleh berbangga dengan senario kehadiran Bateri YUASA. Waktu itu jumlah pemilik televisyen semakin ramai. Salah seorang yang memilikinya ialah jiran rumah aku. Jadi, peluang aku menonton televisyen semakin besar. Rumah aku, seperti biasa tidak pernah berpeluang untuk menghadirkan televisyen ke dalamnya. Susah gamaknya hidup ayah aku ketika aku kanak-kanak dahulu. Sekarang baru aku tahu, perit juga menjadi orang tua yang membesarkan anak. 

Sekarang ini, dunia sudah berubah. Kita bukan sekadar memiliki televisyen, malah segala yang berkaitan dengan keseronokan hiburan telah menyemakkan ruang rumah. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya anak-anak kita tidak menyusahkan kehidupan orang lain.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails