Yang Ikut

Wednesday, 20 February 2008

Selamat berpilihanraya

Reactions: 
Selamat datang musim pilihanraya. Semua yang berada di Malaysia kini pastinya sedang sibuk, baik yang benar-benar ahli politik, ataupun yang hanya sekadar berpolitik di kedai kopi. Dari pembesar yang menguasai kerusi parlimen dan jawatan penting, sampailah ke pembancuh teh tarik di lorong belakang kedai ubat di Changlun akan memperkatakan banyak perkara berkaitan politik. Bercerita tentang si anu dan si anu telah bersekongkol membaham banyak projek itu dan ini, atau si anu dan si anu sedang menaburkan air liur basi untuk memikat undi. 

Inilah juga masanya kita melihat kereta besar keluar masuk ke setiap ceruk hutan belukar melawat orang susah dan sakit, tanpa menghiraukan tahi lembu yang terpercik ke Mercedes Benz mata belalang itu.

Di sudut yang lain, sumbangan itu dan ini akan turun bagi hujan di musim tengkujuh, menyebabkan Pak Man di Kampung Lubuk Sireh kebingungan memilih di antara kain pelekat berwarna merah dan kelabu dan tak berhenti memuji penyumbang kain pelekat tadi. Musim politik ini juga menjadikan banyak anak kehilangan bapa atau ibu yang turut terlibat berkempen, atau banyak masa dihabiskan mendengar ucapan yang disampaikan dengan penuh jenaka oleh Mat Sabu di sebuah padang di belakang surau. 

Lembu dan kerbau juga jadi tidak keruan apabila disembelih di sana sini untuk dijamu dalam majlis meraikan rakyat. Jalan tanah merah yang becak 4 tahun dulu tiba-tiba diturap dengan tar baru oleh seorang kontraktor kelas F yang berwibawa. Majlis kenduri kahwin tiba-tiba dihadiri tetamu VIP yang dulunya tidaklah mesra sangat, cuma datang akhir-akhir ini menghulurkan sekeping sampul yang entah berapa ringgit ada di dalamnya. 

Pak Ali yang dari kecilnya hanya bekerja sebagai pengembala lembu tiba-tiba tidak tentu pasal berhujah pasal turun naik ekonomi global yang diasaskan kepada teori Adam Smith, dan ini seterusnya dibangkang oleh Lebai Karim dengan memetik satu ayat al-Quran. Dengan tidak semena-mena, anak Pak Latif yang baru kemalangan dalam merempit tidak disembahyangkan oleh satu kumpulan masyarakat kerana kononnya Pak Latif adalah pengikut parti X.

Begitulah senario politik kita. Meriah dan ada pelbagai cerita. Cuma masa dapat menentukan.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum wrt wbt

Saya sudah cari buku tu tapi tak jumpa.

Anonymous said...

Kalam Nurani

Assalamualaikum, saudara fakir fikir.

Pada tahun 2004, saudara telah terlepas peluang untuk melihat PRU11 berlangsung namun pada dasarnya tidak mengapa ! sebab keputusan yang boleh dianggap 'biasa-biasa sahaja', namun PRU12, adalah satu kerugian besar kepada saudara kerana dalam sejarah 50 tahun kemerdekaan negara sesuatu yang paling sensasi telah berlaku dan tidak pernah terfikirkan.

Walauapapun, saya yakin fakirfikir juga dapat merasa gelombang tersebut sampai hingga ke Adelaide !

Hehehehe habiskan urusan anda ! nanti balik boleh buat analisis.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails