Yang Ikut

Thursday, 13 March 2008

Cakap-cakap selepas pilihanraya (1)

Reactions: 
Pilihanraya dah berakhir. Banyak kejutan berlaku. Baik yang menang atau yang kalah. Yang menang tidak sangka tiba-tiba rakyat berubah memilih mereka, yang kalah tidak sangka rakyat akan memberi mesej yang luarbiasa berbanding pilihanraya sebelumnya. Cakap-cakap berkaitan pilihanraya juga masih belum reda. 

Banyak analisis terus dibuat, dari pandangan 'lay perspective" sampailah ke meja penganalisis profesional. Yang menang dan terpilih sudah mula mencongak strategi baru untuk memerintah dan mentadbir negeri. Yang kalah akan melakukan post mortem melihat kesilapan yang telah berlaku, baik manifesto, pemilihan calon, jentera kempen, atau isu-isu yang dilontarkan masyarakat.

Seperti biasa, menang pun susah, kalah pun susah. Yang menang berebut-rebut kerusi idaman, seperti kuda haus mengidam air telaga. Yang kalah kecewa tidak punya apa-apa. Sebelum pilihanraya, katanya mereka bukan orang yang gilakan kuasa. Yang utama ialah perubahan. Nampaknya janji orang politik aliran kiri atau kanan belum tentu jujur. Kata Prof Tony Winifield, kalau mau cari tajuk kajian PhD, jangan buat sesuatu yang janggal. Misalnya mengkaji kejujuran ahli politik! Sukar ditemukan jawapannya. Seperti yang pernah dinyanyikan IwanFals dalam satu judul lagunya.

Masyarakat kecil seperti kita, akan melihat dan menonton apa yang akan dilakukan oleh yang menang dan yang kalah selepas ini. Seperti menonton filem Musang Berjanggut di kaca televisyen. Kadangkala kita tergelak, kadangkala kita jadi kecewa. Janji-janji pilihanraya seperti yang mudah dilaungkan dalam kempen pilihanraya juga harapnya mudah untuk dilaksanakan.

Tahun 2004 aku masih di Indonesia. Tidak sempat aku merasakan meriahnya pilihanraya. Tidak juga sempat aku mengundi. Tapi aku sempat melihat gelora pilihanraya di sana. Mereka banyak berubah, dari segi pengamalan demokrasi, kempen di media massa sampailah ke penggunaan dakwat hitam. Nampak segalanya sudah tersusun. Bila habis pilihanraya, banyak pembesar dari KPU (seperti SPR di negara kita) ditangkap polis kerana nampaknya mereka juga terlibat mendapat projek mencetak kertas undi. Jadi belumlah bersih sepenuhnya. Dilihat bersih, tetapi dalamnya kotor.

Tahun ini, sekali lagi aku tidak berada dalam negara. Suasana pilihanraya juga tidak dirasai. Cuma beruntung dalam dunia tanpa sempadan ini, website dan blog banyak membantu untuk kita mendapatkan berita. Dari website yang menyokong pemerintah sampailah yang membangkang. Sekurang-kurangnya bolehlah melihat apa yang berlaku di sana sini.

 Tetapi, seperti biasa aku tidak begitu berminat terlibat dalam politik. Sebab politik hanya untuk mereka yang kuat. Politik bukan sekadar pertarungan melawan hati rakyat, tetapi politik juga ialah pertarungan sesama sendiri. Politik melibatkan banyak musuh dan sahabat yang kadangkala adalah lawan, kadangkala adalah kawan. Semuanya berselingkar di dalam satu selimut dan sukar untuk kita kenal yang mana lawan, yang mana kawan. Yang utama dalam politik, mulut kena manis, hati kena kuat dan akal perlu pintar. Susah.

Namun, sungguh puh politik adalah 'seni yang serba mungkin', yang sering diungkap dalam buku sains politik yang masyhur, tetapi bagi rakyat kecil, kita sering berharap untuk kesejahteraan. Kita berharap untuk mudah mendapatkan manfaat dari kepimpinan yang ada. Jangan ketika berkempen, ahli politik sanggup meredah hutan belukar untuk bertemu orang miskin dan sakit, tetapi sesudah berada di bangku kuasa, kita sukar bertemu mereka. 

Kita faham, menjadi pemimpin kerjanya banyak. Sibuk. Kalau mereka sukar turun padang untuk melawat masyarakat, jangan pula menyukarkan rakyat menemui mereka. 

Kadangkala, yang menjadikan pemimpin sukar ditemui adalah kerana banyak orang di keliling yang menapis. Daripada kerani di kaunter depan yang cuma lulus SPM pangkat tiga sampailah ke Setiausaha Sulit yang banyak bertanya itu dan ini. Tanpa pangkat besar dan harta yang banyak, adakalanya kita dianggap orang kecil yang tidak penting untuk bertemu menteri. Jangan jadi begitu. Wakil rakyat ialah mereka yang menjadi suara rakyat.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara harus dijadikan tempat untuk membahaskan secara terperinci harapan rakyat dan masa depan negara. Jangan jadikan ia pejabat pos untuk mengecop draf polisi negara. Jangan juga gunakan alasan tak boleh semua tuntutan rakyat dipenuhi. Kalau tak boleh, jangan membuang masa terlibat dalam politik. Duduk sahaja di rumah, atau jadilah pekebun sayur. Habis cerita.

Yang kalah sudah tentu dapat menilai sendiri sejauh mana kesilapan yang berlaku sebelum ini. Lihatlah bagaimana percaturan politik dalaman tidaklah menguntungkan. Yang dikendong berciciran, yang dilamun tak terdakap. Yang terlibat dalam politik baik ahli biasa sampai ke Ketua Bahagian, tepuklah dada dan tanyalah apa tujuan kita sebenarnya. Untuk menyediakan jalan tar baru bagi kemudahan rakyat, atau mendapat projek menurap jalan tar? Politik ialah untuk mendapat kuasa bagi membawa perubahan kepada masyarakat. 

Jangan melakukan sesuatu yang mencurigakan. Kini, orang boleh melihat kita dengan banyak mata. Orang melihat dari sms, cakap-cakap orang, Internet, YouTube, Blog dan pelbagai sumber lagi. Apa yang berlaku di Jerlun diketahui orang sampai ke Amerika. Apa yang direncanakan ahli politik di Los Angeles atau di Australia juga diketahui anak muda di Changlun yang tersalah menggoogle. Jadi, tidak apa yang boleh disembunyikan lagi. Sampaikan jenama ubat gigi yang dipakai menteri pun mungkin diketahui orang. Tidak ada lagi rahsia antara kita.

Masa sudah berubah. Pemikiran massa juga sudah berubah. Profail pengundi juga berubah. Generasi kini yang tidak pernah makan 'ubi kayu', tetapi lebih tergoda dengan McDonald dan KFC. Dan malamnya bersekang mata di depan komputer. Berchatting dengan gadis Korea atau Jepun dengan YahooMessenger. Atau mengadap ASTRO menonton kelibat Wayne Rooney dan Michael Owen di Liga EPL. 

Mereka tidakpun begitu faham sangat tentang 'kontrak sosial" 30 tahun dahulu. Kalau ditanya siapa Burhanuddin Helmi atau Pak Sako, mereka akan terpinga-pinga. Jangankan nasionalis, pejuang komunis seperti Shamsiah Fakeh atau Rashid Maiden lagi mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak janggal kalau ditanya siapa Mawi atau Britney Spear. 

Jadi, jangan merasa pelik kalau isu berkisar dengan ketuanan bangsa tidak lagi relevan untuk mereka. Tetapi mereka akan tergugat kalau hak asasi mereka dikekang atau kebebasan bersuara mereka dihalang. Mereka banyak belajar dari konsep demokrasi Barat yang dilaungkan oleh Amerika. Mereka boleh melihat bagaimana kempen Barack Obama melawan Hillary. Mereka tidak lagi teruja dengan politik pembangunan, tetapi politik yang membahaskan polisi. Apa yang bakal ditawarkan oleh parti politik yang berkuasa. Di Australia, John Howard kalah kerana banyak faktor. Salah satunya sebab cuaca, sebab global warming. Itu sahaja.

Politik berteraskan etnik juga mungkin tidak lagi begitu mempengaruhi trend mengundi. Sebabnya kekuasaan etnik dianggap tidak begitu utama lagi dalam hidup bagi kebanyakan generasi muda. Salahnya kita juga. Kita anggap pengajian sejarah dan budaya tidak penting. Orang lebih menyanjung IT, sains dan matematik. Orang akan ketawa besar kalau mendapat tahu bidang kajian kita berkisar penggunaan sirih dalam perubatan tradisional, atau mengkaji sejarah perjuangan Mat Kilau. 

Sebab sekarang kita hanya terangsang untuk naik ke bulan, tetapi tidak begitu berminat untuk memijak di bumi. Kita tidak berminat menggalakkan pengajian dalam bidang berteraskan sastera dan sejarah. Menjadikan orang kita tidak faham asalnya sendiri. Kita kagum dengan bahasa Inggeris, tetapi melihat dengan nada yang sinis terhadap bahasa sendiri. Kata orang lama, 'hilang bahasa, hilanglah bangsa'. Akhirnya kita hilang banyak perkara. Paling melukakan, kita hilang identiti bangsa.

Kempen dengan nada tradisional juga tidak akan memberikan kesan. Hujahan politik moden juga mesti bernas dan berasas. Ramai yang berpendidikan. Jangan lagi bercakap kenaikan harga minyak kerana kenaikan pasaran dunia. Bagaimana pula penurunannya. 

Orang bertanya kenapa harga petrol di Thailand kadang-kadang naik, dan kadang-kadang turun? Mengapa gula dan minyak masak kita boleh sahaja tidak cukup di pasaran. Kalau tidak cukup, mengapa tidak dimpot dari luar. Mengapa hanya bergantung kepada satu dua sahaja pengeluar gula? Tidakkah boleh kita pecahkan monopoli itu. Tanya mereka yang suka menggoogle di Internet membuat perbandingan.

Pilihanraya sebenarnya adalah satu proses penilaian prestasi yang dilakukan oleh majikan kita. Majikan kita itu ialah rakyat. Kalau selama ini kita yang berada di puncak kuasa merasa kitalah majikan, dan rakyat adalah pekerja, maka konsep itu harus diubah. Berikan mereka yang terbaik untuk kepentingan orang terbanyak. Kita semua hanya memegang tanggungjawab.

2 comments:

Anonymous said...

Oleh Kalam Nurani

Lanskap politik negara sudah berubah, dan hari-hari mendatang juga akan menyaksikan warna-warni politik.

Kita ambil contoh mudah dalam pemasaran, sehingga kini jika orang ke kedai atau pasar raya besar apabila mereka ingin membeli ubat gigi mereka akan sebut beli membeli colgate walaupun ubat gigi yang ingin di beli ialah darlie.

Namun itu tidak akan berlaku lagi, colgate kena ubah strategi sebab orang sudah tahu bezakan mana satu colgate, darlie atau mukminyang di sahkan halal oleh Jakim.

Harap yang menang dapat buktikan kejayaan kerana sikap pengundi kali ini lebih 'particular' dan bersifat memilih atau cerewet.

Sebabnya satu PENGUNDI SUDAH SEMAKIN BIJAK !

Lantaran 40 peratus daripada pengundi kini adalah majoriti golongan muda maka ini satu cabaran baru kepada BN untuk memastikan golongan muda suka mendekati mereka.

Tetapi ini telahan saya fakir-fikir !

Kelantan mungkin akan hadapi masalah, kerana hardcore di negeri tersebut adalah daripada mereka yang sudah berusia, kemungkinan besar selera pengundi masa depan ialah pengundi versi Akademi Fantasi dan bukan lagi peminat setia Akademi Al Quran.

Anonymous said...

Pandangan KALAM NURANI mungkin betul. Banyak yang telah berubah. Profail, pendidikan, harapan rakyat dan sebagainya. Ia sekaligus bertembung pula dengan masalah dalaman parti politik pemerintah. Si anu cuba meletakkan bidak caturnya di sana sini juga banyak diketahui orang walaupun mungkin betul, atau juga mungkin salah. Tetapi politik adalah permainan persepsi. Beberapa hal juga perlu ditangani dengan kaedah yang wajar dan pragmatik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails