Yang Ikut

Monday, 30 May 2011

Mengapa membaca itu susah?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya aku ingin menulis panjang topik ini. Tetapi memandangkan ia akan menjadi topik yang susah, biar aku ringkaskan sahaja.

Membaca dan menulis dianggap sebagai 'mental load' atau 'cognitive load'. Kedua-dua konsep ini sama sahaja. Ia memerlukan otak menggelintar maklumat dan memproses bahan yang kita tulis atau baca. Maklumat yang digelintar ini tersimpan dalam hueristic mental kita. Sesetengahnya dianggap sebagai maklumat dalam 'working memory'. Google dalam blog ini apa itu 'working memory'.

Ini menjadikan adakalanya bagi sesetengah perkara, bahan yang kita baca sepertinya sukar.

Contohnya: Septal haematoma.(complication = abscess and septal perforation) ttt = drainage (aku petik dari blog budak-budak perubatan).

Tidak banyak di antara kita yang faham kalau membaca petikan ini, termasuklah aku. Ia mungkin difahami kalau dibaca mereka yang ada asas perubatan atau sains kesihatan. Kita tidak faham kerana otak kita gagal menafsirkan apa yang kita baca.

Itulah maksudnya hueristic.

Jadi, kalau kita lambat memahami apabila membaca sesuatu perkara, walaupun dalam bidang kita sendiri, itu maksudnya masih banyak perkara yang tidak kita tahu sebelum membaca. Kita tidak ada begitu banyak maklumat. Sebab itu, kita patut 'membaca sebelum membaca'. Sekurang-kurangnya otak kita tidak teruk sangat memproses maklumat yang dibaca.

Sebab itu, bagi mereka yang pakar dalam satu-satu bidang, mereka boleh membaca sekali lalu sahaja dan tahu intipati cerita. Sebaliknya, tidak seperti orang biasa seperti kita. Ini bukan maknanya kita tidak cerdik atau lambat faham. Tetapi kita tidak ada maklumat sebelumnya.

Membaca juga memerlukan otak kita meneka apa yang akan datang lagi setelah habis satu ayat, dan selesai satu baris. Ini juga memenatkan.

Ini berbeza kalau membaca sesuatu yang sudah kita terbiasa. Misalnya membaca akhbar. Kita dengan mudah boleh mengagak apa butiran berita dengan hanya melihat tajuknya sahaja.

Esok kita sambung dengan menulis pula.

Sunday, 29 May 2011

Tidak membaca itu yang lebih sukar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang pembaca yang tidak diketahui namanya bertanya: "Menulis dan membaca, dua-duanya memerlukan pemahaman. Mana yang lebih sukar?".

Menjawab soalan ini yang lebih sukar!

Kalau diikutkan logik akal, soalan ini mudah dijawab. Kita boleh melihat situasi di sekeliling kita sahaja. Setiap yang tahu membaca, akan pernah membaca sekurang-kurangnya sebuah buku. Bagaimana pun, setiap yang tahu menulis belum tentu menulis sebuah buku pun. Kita akan melihat jumlah pembaca yang banyak di merata tempat. Tetapi jarang-jarang kita akan bertemu dengan penulis buku.

Dari segi logiknya, kalau menulis itu mudah - setiap dari kita akan menulis. Tetapi tidak.

Kebanyakan pensyarah di universiti membaca buku. Tidak banyak pensyarah yang menulis. Jarang ada pensyarah yang merujuk buku teks karya sendiri.

Bagaimana pun, melihat lenggok ayat si penanya, beliau bukanlah orang biasa. Dia mungkin pelajar universiti, atau yang pernah belajar di universiti. Orang biasa tidak akan bertanya soalan seperti itu. Itu hukum psikologi pertama. Sebab itulah penulisan melambangkan karektor manusia.

Penanya seorang lelaki atau wanita? Sebenarnya kita juga boleh tahu jantina seseorang yang tidak kita kenali berdasarkan gaya tulisan. Bagaimana?

Berbalik kepada soalan tadi, dia tentu memerlukan jawapan yang lebih analitikal. Dia memerlukan hujah untuk mengetahui apakah yang lebih sukar di antara menulis dan membaca.

Nanti kita sambung.

Tidak membaca itu yang sebenarnya akan menjadikan hidup kita lebih sukar.

Nota: Sebelum aku balik ke Malaysia, aku ingat nak buat satu bengkel penulisan untuk warga Adelaide.

Saturday, 28 May 2011

Menulis itu sukar bukan?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari cuti seperti ini, di musim sejuk yang semua jari kita terasa seperti menggenggam ais, hidup sangat membosankan. Tidak ada banyak perkara yang boleh dibuat, melainkan tidur di bawah kain selimut tebal yang dipasang electric blanket.

Beberapa hari ini aku tidak ke kampus Magil yang memerlukan aku membazirkan masa 40 minit untuk menaiki dua bas. Aku cuma berlegar-legar di kampus City East di tengah bandar Adelaide yang cuma 5 minit dari rumah aku. Seperti biasa, kalau aku menulis aku perlu mencari lokasi baru. Aku bertukar beberapa buah computer barn dalam masa sehari. Boleh jadi aku menulis beberapa halaman di bilik komputer perpustakaan, dan kemudiannya keluar minum kopi di cafe. Kemudiannya aku masuk ke makmal komputer yang lain untuk menyambung beberapa halaman lagi. Susana bertukar menjadikan mood menulis kita bertukar. Itulah cara aku.

Menulis bukan hal mudah. Ia hal payah. Ia bukan hal bahasa Inggeris. Ia skil berfikir dan menyusun ayat. Orang Barat yang fasih berbahasa Inggeris pun belum tentu pandai menulis dalam ayat Inggeris.

Aku tahu hal ini kerana aku sudah pernah memeriksa satu manuskrip yang ditulis orang Barat ke Journal Occupational Health beberapa bulan lalu. Ia jurnal yang baik yang berpangkalan di Jepun yang diketuai Prof Kawakami.

Tadi pagi, ketika membuka email - Editor International Journal of Stress Management yang berpangkalan di Amerika mengirimkan email memintakan aku memeriksa manuskrip yang ditulis oleh seorang pengkaji. Berdasarkan lenggok bahasa, ia ditulis orang yang berbahasa Inggeris. Ia berkaitan job stress.

Kerana menulis bukanlah semata-mata isu bahasa, ia melibatkan pemikiran - kita dapat tahu bahawa menulis bukanlah hal yang senang. Apatah lagi melibatkan hal-hal teknikal dalam disiplin akademik tertentu. Ia melibatkan penguasaan bidang. Maksudnya dengan hanya banyak membaca, tulisan kita mampu memukau pembaca. Ia perlu pula dihujah dengan analisis statistik yang mencukupi. Setiap ayat akan dibaca, setiap baris akan dilihat.

Pada akhirnya, pembacalah yang menilai sama ada sesuatu tulisan itu baik atau tidak. Dalam konteks penulisan jurnal, pemeriksa akan menentukan sama ada tulisan itu ditolak atau diterima. Setiap ayat mesti ada hujahnya. Setiap baris mesti ada isinya. Setiap sesuatu mesti mengikut tertibnya.

Apa kesudahan manuskrip tadi? Walau bagaimana sukar sekalipun, sebagai hakim aku perlu memberikan jawapan untuknya. Sebagaimana aku, semua penulis yang lain juga mengharapkan yang terbaik - walaupun kami tahu keputusan yang terburuk juga sesekali menjadi milik kami.

Untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain - yang boleh aku lakukan ialah meminta pandangan kedua dari supervisor aku, walaupun aku tahu bahawa kami berdua tidaklah begitu banyak berbeza dalam hal tulis menulis ini.

Sesekali, menulis itu bukanlah sukar. Selalunya, menulis itu sukar bukan?

Friday, 27 May 2011

Bila kita diamanahkan kuasa

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa tahun dulu, ketika aku masih berkerja di sektor swasta, ada seorang kakitangan kami mendapat tawaran untuk berkerja sebagai pegawai tadbir diplomatik di sektor awam. Beberapa hari sebelum dia berhenti, dia datang berjumpa aku dan bertanya apakah pesanan terakhir aku untuknya. Aku cuma katakan :"jangan salah guna kuasa dan jangan rasuah'.

Aku tidak pasti sama ada dia masih ingat atau tidak pesanan itu.

Salahguna kuasa berlaku di mana-mana. Rasuah juga berlaku di mana-mana. Seorang pembantu menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kerana membawa wang yang banyak di dalam bonet keretanya. Bagaimana seorang pembantu menteri membawa wang sebanyak itu, atau dia membawa wang orang lain?

Tidak kisahlah. Tetapi itulah masalahnya apabila kita meminta 'memerang menjaga kolam ikan' atau meminta 'kambing menjaga padang rumput'.

Bagaimana pun, itulah sebenarnya hakikat pekerjaan. Tidak ada yang tahu lebih baik mengenai ikan selain memerang, dan tidak ada yang lebih tahu mengenai rumput selain kambing.

Sekiranya kita mengambil kakitangan yang tidak cekap menjaga sesuatu pekerjaan, lain pula jadinya. Misalnya meminta kambing menjaga kolam ikan. Mereka yang tidak tahu apa-apa akan juga menimbulkan masalah. Dalam istilah Kurt Lewin - ini ialah kepimpinan laise faire. Kepimpinan yang tidak memimpin, bodoh dan tidak tahu apa-apa.

Sebenarnya kita memerlukan memerang untuk menjaga ikan, kerana ia tahu lebih baik bagaimana mengawal ikan di kolam. Tetapi, pra syarat utamanya ialah ia seekor memerang yang baik, tidak rasuah dan amanah. Dengan cara ini, ikan akan mengikut arahan. Cara ini juga boleh memastikan perkhidmatan yang cekap.

Bagaimana pun, kalau kambing dan memerang tadi jahat dan rakus, ia tidak akan mengubah apa-apa. Ia seperti meminta memerang menjaga padang rumput - yang menghasilkan kerosakan, atau memerang yang jahat yang bakal membaham semua amanah yang dijaganya.

Thursday, 26 May 2011

Saya anak Malaysia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di Malaysia, kita banyak bercakap tentang percakaran bangsa. Semua parti bermain dengan politik bangsa. Sesekali bercampur baur dengan hal agama. Ada pula persatuan yang dibangun khusus untuk memperhangatkan lagi sentimen pekauman bangsa. Aku tidak tahu sama ada apa yang dibuat itu betul atau tidak. Kalau kita tidak ada pertubuhan yang bermain dengan sentimen bangsa, ada pula orang lain membuatnya. Jadi bagaimana?

Kehidupan di luar negara sesekali membuka mata kita bahawa bangsa hanyalah entiti kepada negara. Tidak orang ambil tahu sama ada seseorang itu dilahirkan di Jerman, Itali atau Greek. Yang penting setiap orang menjadi anak bangsa kepada negara. Memang, sesekali ada kes 'rasis' atau prejudis. Tetapi, itu banyaknya berkaitan warna kulit - hitam atau putih. Ia tidak begitu berkait dengan bangsa.

Aku tidak pasti aku ini seorang yang bersifat rasis atau tidak. Di sini, aku berkawan dengan anak semua bangsa. Aku tidak kisah siapa mereka dan asal keturunan mereka.

Teman baik meminum kopi aku ialah Dr Wong - seorang pensyarah dari UPSI. Dia seorang Cina. Kami berbual banyak hal. Kami tidak pernah merasa curiga pun walaupun berlainan bangsa. Kerana tidak ada orang pun yang mengapi-apikan hubungan bangsa.

Sesekali, aku terserempak dengan seorang wanita Cina, asal Melaka. Dia menjadi rakyat Australia, dan berkerja di universiti. Dia fasih bahasa Melayu dan berkahwin dengan warga tempatan, tetapi sebangsa dengannya. Dia juga sesekali melepak dan minum kopi dengan aku. Katanya, dia sudah lama tidak bercakap bahasa Melayu. Kerana takut bahasa Melayunya hilang, dia perlu mencari seseorang untuk bercakap bahasa Melayu.

Seperti Dr Wong, dia juga tidak kisah pun minum kopi dan berbual dengan aku sebagai anak Melayu. Kami merasa bahawa kami adalah anak Malaysia, dan bukannya dipisahkan oleh bangsa.

Sebulan lalu, ketika singgah di sebuah taman - park - aku terserempak dengan Suresh, pemuda India asal Negeri Sembilan. Terakhir kami berjumpa ialah tahun 2008 ketika kami satu trip ke Melbourne. Dia sangat gembira bertemu aku, dan terus mengajak aku ke rumahnya. Dia menunjukkan aku rumahnya yang baru dibeli dan berbual dengan emaknya yang baru sahaja sampai untuk bercuti.

Dia kemudiannya menghantar aku ke taman semula. Di sana ada 5 atau 6 keluarga anak muda India yang semuanya fasih bahasa Melayu. Semuanya adalah anak Malaysia yang kini menetap di Australia. Mereka juga tidak kisah pun kami berlainan bangsa. Kami berbual banyak hal. Mereka bercakap Melayu berloghat minang. Kami seolahnya gembira kerana bertemu sesama kami dan bertukar nombor telefon. Yang penting, kami adalah anak Malaysia.

Kini, tatkala semua mereka yang ingin menjadi pejuang bangsa - melalak dan melolong bercakap apa sahaja yang boleh membangkitkan kemarahan sesama kita, tidakkah mereka terfikir kita ini sebenarnya anak Malaysia.

Tidak ada apa pun kelebihan antara kita. Darah kita sama sahaja. Mungkin berbeza sama ada terlebih kolestrol atau tidak. Yang miskin tetap susah. Yang kaya tidak membahagikan hartanya.

Kita rakyat jelata - tidak pernah terfikir bermusuhan. Bagi kita, semua orang sama sahaja. Kita menghantar kereta yang rosak ke bengkel Cina. Menggunting rambut di kedai India. Makan nasi lemak di Warung Mak Jah.

Kita anak Malaysia tidak kisah pun hubungan kita berlainan bangsa. Mereka inilah yang sedang memainkan emosi kita, untung-untung tahun depan bakal menjadi calon lagi!

Dan air kopi yang sedang aku telan ini tidak akan pernah berubah rasanya. Yang berubah hanya mereka. Yang berubah hanyalah nada retorik cauvanist yang datang dari setiap mereka yang ingin mengaut untung.

Tuesday, 24 May 2011

Apa itu tekanan kerja

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tulisan ini hanya sesuai untuk penyelidik dan mereka yang berkaitan.

Kita sudah menceritakan secara umum teori JD-R. Kali ini kita bincang pula model DISC dalam mencari sebab manusia stress di tempat kerja.

Seperti Bakker, de Jonge juga menggunakan istilah job demands dan job resources. Di dalam JD-R, job resources dikatakan mampu mengurangkan impak job demands. Maksudnya, walaupun kita dihadapkan dengan kerja yang banyak (high job demands), tetapi dengan adanya job resources (misalnya sokongan ketua), manusia akan kurang tertekan.

Bagaimana pun, de Jonge percaya istilah job demands dan job resources oleh Bakker terlalu umum. Bagi beliau, job resources tidak memberikan apa-apa kesan kepada job demands, kalau bentuknya bebeza. Misalnya kalau sesorang dihadapkan dengan kerja yang banyak (fizikal), tetapi sokongan job resources pula dalam bentuk kognitif (misalnya pemikiran), maka ia tidak mengubah tekanan pekerja.

Sebab itu, de Jonge memperkenalkan 3 bentuk demands dan resources yang dikelompokkan dalam bentuk kognitif, emosi dan fizikal. Kalau seseorang itu dihadapkan dengan kerja yang berbentuk emosi (misalnya kerja operator khidmat pelanggan), maka job resources yang berbentuk emosi adalah lebih sesuai untuk membantu mengurangkan tekanan (misalnya sokongan secara pribadi oleh rakan-rakan).

Kerja seperti kawan aku - Azam SwingingBowl mungkin ada 3 bentuk tekanan ini sekaligus. Selain mengangkat barang masak untuk menggoreng (fizikal), dia juga perlu berfikir resipi masakannya (kognitif), dan pada masa yang sama perlu menunjukkan senyuman kepada pelanggan (emosi).

Kelebihan teori ini ialah ia memperkenalkan 3 match hypotheses. Pengujian hipotesisnya juga berbeza dengan apa yang kita belajar di universiti kerana mereka menggunakan pendekatan yang lain.

Pengkaji job stress kita di Malaysia mungkin boleh mencuba model ini juga.

Sunday, 22 May 2011

Maksud stress

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Tulisan ini hanya sesuai untuk penyelidik dan mereka yang berkaitan.

Tekanan kerja ditanggap dalam pelbagai bentuk. Sebahagiannya telah dibincangkan dalam tulisan sebelum ini.

Bagaimana pun, ada teori terkini yang dikemukakan oleh Arnold B Bakker dan isterinya, Evangelia Demerouti dari Belanda, yang dikenali sebagai Job Demands Resources (JD-R) model. Job demands - mengikut teori ini ialah sesuatu yang perlu dilakukan oleh pekerja misalnya pekerjaan yang banyak, berulang-ulang, lebih masa, atau situasi kerja yang dihadapi - misalnya konflik peranan, tuntutan emosi dan sebagainya. Walaupun demands ini tidak semestinya negatif, tetapi banyak pengkaji model ini lebih memberikan aspek negatif.

Job resources pula ialah persekitaran kerja yang menggalakkan/menyokong misalnya teman kerja yang bagus, ketua yang mengambil berat, maklumbalas dari organisasi dan sebagainya. Dalam kata lain, ia sifat kerja yang positif.

Jadi, andaian teori ini ialah job demands lebih menyebabkan pekerja menghadapi kesan psikologi yang negatif seperti burnout atau depression. Sebaliknya, job resources pula menyebabkan pekerja lebih produktif dan bermotivasi (dalam istilah pengkaji JD-R ialah engagement dan flow).

Di Malaysia, belum banyak kajian menggunakan model ini. Setahu aku, hanya ada dua orang pelajar PhD (yang kini sudah tamat) dari universiti di New Zealand menggunakan model ini. Selainnya aku tidak berapa tahu. Aku juga menggunakan model ini, tapi menggunakan pendekatan yang lain. Pengkaji job stres di Malaysia mungkin boleh mencuba model ini. Setakat ini, model ini hanya banyak diuji di negara Eropah terutamanya di Scandivania, dan tidak di Kanada atau Amerika.


Walaupun kajian model JD-R ini sudah banyak dijalankan, kini muncul satu lagi model yang pada asasnya lebih kepada kritikan kepada model JD-R. Model yang terbaru ini ialah Demand-Induced Strain Compensation (DISC) model oleh Jan De Jonge dan Christian Dormann. Yang pertamanya ialah orang Belanda, dan keduanya dari German. Nanti aku akan ulas model ini. Model ini belum banyak diuji dan dalam peringkat percubaan.

Aku bernasib baik belajar di luar negara. Sekurang-kurangnya aku berpeluang berjumpa dan minum kopi dengan pembuat teori DISC ini. Dengan Arnold Bakker, aku tidak pernah lagi berjumpa tetapi pernah beberapa kali mengirim dan menjawab email kerana beliau menjadi ketua editor dan mengulas kertas aku setahun dulu.

Saturday, 21 May 2011

Apa yang indah?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tinggal 90 hari aku di bumi Adelaide. Aku sudah melalui lebih dari 1,035 hari di sini. Melewati beberapa kali musim sejuk, panas, bunga dan luruh. Ia sesuatu yang tak pernah termimpikan.

Apa yang indah?

Banyak. Aku berkenalan dan bersahabat dengan banyak manusia baru yang tidak pernah aku kenal latar sejarahnya. Ada anak Tan Sri, ada anak petani. Ada yang cuma bekas kelasi dan tukang pomen kereta. Ada macam-macam. Ada yang sudah balik, yang baru pula datang. Ada yang tersangkut menjadi kawan, ada yang tidak. Yang 'poyo' aku tak ambil 'pot'.

Aku juga sempat berkenalan dengan beberapa anak muda yang umurnya 15 tahun lebih muda dari aku. Ketika aku sebaya mereka, aku juga bersahabat dengan orang yang usianya 15 tahun atau 20 tahun lebih tua dari aku. Ada di antara mereka yang masih hidup. Ada yang sudah mati.

Juga ada beberapa teman luar negara yang jadi teman baik aku. Gary Hall - warga Australia pemandu lori yang sama-sama buat PhD di tempat aku. Sesekali, kalau dia mabuk - dia akan telefon aku bersembang macam-macam tajuk. Ada juga orang Indonesia, Thai, Jepun dan Korea. Ada yang sudah balik kampung tak akan berjumpa lagi.

Aku juga bertemu dengan beberapa orang yang tidak aku kenal melalui blog. Mereka ini entahkan ujud, entahkan tidak. Ada yang mengirim email bertanya hal-hal psikologi. Ada yang bertanya hal belajar. Ada yang bertanya urusan memulakan kehidupan baru di Adelaide. Nampaknya blog sudah menjadi medium baru kita bersahabat.

Apa yang tidak indah?

Banyak juga. Belajar ini banyak kos. Kos bermakna hutang. Hutang bermakna kita akan menjadi manusia susah yang hidupnya terjerat.

Aku juga terlepas banyak kenduri kahwin. Terlepas peluang memerhatikan suasana politik Malaysia. Banyak juga orang terdekat aku yang pulang ke alam yang satu lagi semasa aku di sini.

Banyak lagi.

Friday, 20 May 2011

Nota penyelidikan untuk graduan - part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tiada apa yang hendak ditulis. Kita tulis hal akademik.

Orang selalu bertanya, apa beza persoalan kajian dengan 'research gap'?

Persoalan kajian ialah apa yang hendak dikaji. Misalnya, melihat kepada segelintir kecil kes pembulian terhadap pelajar oleh guru misalnya, maka kita mula bertanya apakah ini disebabkan oleh depression. Jadi kita andaikan bahawa depression -->tingkahlaku membuli.

Bagaimana pun, memandangkan banyak sudah kajian yang dilakukan bagi menilai depression, dan juga tingkahlaku membuli misalnya, kita perlu melihat apakah gap kajian sebelum ini. Kita mungkin memantapkan kajian kita dengan mengaitkan dengan beberapa teori lain. Misalnya mencari punca guru ditimpa depression. Jadi kita bina model kajian yang baru.

Beban kerja -->depression --->tingkahlaku membuli

Kita boleh memantapkan kajian kita ini berpandukan kepada teori sedia ada. Umumnya, teori-teori yang lama mengandaikan bahawa beban kerja ialah sesuatu yang negatif. Tetapi, kini ada pandangan yang menyatakan tidak semua beban kerja adalah negatif, ada juga yang positif. Misalnya kerja-kerja yang mencabar mungkin tidak membawa kepada depression, tetapi kepada engagagement.

Jadi, daripada gagasan ini, kita membina model yang lebih baik.

beban kerja positif --->engagement --->tingkahlaku membuli
beban kerja negatif --->depression --->tingkahlaku membuli

Hasil kajian kita nanti boleh menyimpulkan guru patut diberikan dengan beban tugas positif misalnya menggalakkan budaya berfikir, dan bukannya dibebankan dengan beban negatif seperti menyusun kerusi di dewan misalnya.

Bagaimana pun, kajian tadi masih banyak kelemahannya, terutamanya kalau hanya guru yang dijadikan sampel kajian. Jadi, kita perlu mengambil sampel pelajar yang menilai guru mereka. Merekalah yang patut menilai 'tingkahlaku membuli' oleh guru, dan bukannya guru yang menjawab sendiri soalan kajian.

Rekod-rekod lain (misalnya data disiplin) yang boleh didapati dari jabatan pelajaran misalnya mungkin lebih tepat mengukur tingkahlaku membuli. Data ini kita namakan sebagai pengukuran objektif.

Dengan melakukan kajian ini, kita bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kajian, tetapi juga telah mengisi 'gap' kajian lalu yang kita andaikan tidak lengkap dan sempurna.

Selamat melakukan penyelidikan.

Thursday, 19 May 2011

Selamat malam pembaca

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 5.50 petang. Di musim sejuk seperti sekarang, hari sudah pun malam sejak pukul 5 petang tadi lagi. Sejuk dan muram. Kelam dan mendung. Sungguh tidak ada apa yang nikmat di musim sejuk seperti sekarang. Siang bergerak terlalu pantas. Belum sempat dihabiskan secawan kopi dan sebatang rokok, cuaca sudah berubah.

Di dalam kantor, tinggal aku seorang diri. Beberapa minah mat salleh sudah lama pulang. Ada beberapa orang baru di kantor ini. Dua daripadanya penyelidik dan dua lagi pelajar kepujian. Mereka ini orang muda. Selama ini, aku ingat hanya orang Melayu yang kuat bersembang di tempat kerja. Mereka ini juga nampaknya kuat bersembang. Sesekali mereka berbisik. Seperti mengumpat seseorang.

Sejak dua bulan ini, nampaknya itulah cara dua gadis mat salleh ini berkerja. Dua lagi pelajar kepujian itu lelaki. Sesekali mereka mencelah juga. Tetapi mereka selalu pulang awal. Jadi, kalau bising pun hanya beberapa jam. Kadang-kadang radio dibuka kuat.

Hidup ini sangat membosankan.

Tetapi itulah sebenarnya gaya orang putih. Mereka sangat pandai bercakap dan berkata-kata. Jangan terpukau sangat dengan mereka. Mereka boleh mengulas sesuatu perkara seolah-olah mereka pakar semua hal. Mereka sememangnya diasuh untuk berani menyatakan pandangan dan terbuka dalam semua hal sejak di tadika lagi. Mereka tidak hairan dengan sesiapa pun.

Orang kita lain caranya. Kita diajar untuk diam. Kita diajar untuk taat orang tua dan jangan melawan guru. Kalau sekalipun guru salah, kita ikut sahaja. Itu sudah jadi darah daging kita. Sebab itu, dalam banyak hal, kita diam walaupun tahu ada perkara yang salah. Tidak ada sesiapa berani berkata-kata. Kita dijahit mulut. Kita dikembirikan akal fikir.

Bagaimana pun, dalam kes dua gadis baru ini - mereka tidak menyuarakan pandangan. Mereka bersembang. Mereka tidak melakukan kerja sangat pun. Aku tahu sebab meja mereka hanya beberapa kaki dari tempat aku duduk.

Malam - budak-budak itu sudah pulang. Ini peluang terbaik aku untuk menulis. Tapi jari sudah mula sejuk. Sunyi pula.

Kalau aku tidak pulang sekarang, nanti aku akan bertambah sejuk menunggu bas.

Selamat malam.



Apa yang sedang berlaku

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebulan yang lalu, ada seorang pelajar yang mati kerana gurunya 'terlebih' memberikan hukuman. Sering juga kita mendengar kes salahlaku seksual guru terhadap pelajarnya. Tidak juga kurang kita mendengar ada guru mengalami masalah depression yang teruk.

Apakah yang sedang berlaku?

Kita tidak begitu banyak maklumat mengenainya. Adakah ini kerana guru sedang mengalami tekanan tugas yang teruk menyebabkan secara psikologinya mereka terganggu. Atau mungkin juga para pelajar kita sedang terlibat dengan kes disiplin yang teruk hingga para guru tidak ada banyak pilihan.

Itu antara sebab aku sedang menulis research proposal yang baru. Ia perlu dihantar seminggu lagi.

Ini antara projek aku tahun depan. Ia projek usahasama aku dengan penyelia aku, dan seorang lagi profesor dari Belanda.

Wednesday, 18 May 2011

Mengenang 3Z di Hari Guru

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah guru terbaik kita?

Walaupun tidak semua, hampir kebanyakan guru yang mengajar di sekolah aku, masih aku ingat. Pastilah mereka tidak akan kenal aku.

Antara yang ingat dengan baik ialah 3 orang.

Kes 1.
Tahun 1986 - cikgu matematik memanggil aku ke bilik guru kerana hal-hal lemah matematik. Terlihat pula beliau aku berstokin belang. Zap. Sebiji penampar aku kena petang itu. Cikgu di sebelah cikgu wanita itu melihatnya. Dunia ini sungguh tidak adil. Pelajaran petang itu - berstokin belang adalah kesalahan besar di sekolah.

Kes 2.
Tahun 1989. Satu tengahari, aku ponteng kelas dan balik melepak di asrama. Tidak disangka, ada spot check pula tengahari yang damai itu. Aku diminta datang ke biliknya. Zup. Dua rotan kena tengahari itu. Tak ada siapa yang tahu sebab ia berlaku dalam bilik. Pelajaran tengahari itu, di bilik penolong kanan ada tersimpan rotan rupanya.

Kes 3.
Tahun 1989. Satu malam di bilik kelas. Tiba-tiba datang guru asrama bersama dengan jaga asrama. Dipanggilnya nama beberapa orang. Aku salah satu list yang ada malam itu. Zap tiga kali penampar di muka. Aku tidak ingat lagi sebelah kiri muka atau kanan dulu. Tapi berulang-ulang. Kemudian dia menerpa pula kepada 2 orang kawan aku yang lain yang duduk di belakang. Entah berapa kali. Dia kemudiannya berpatah balik. Dua kali lagi zap. Malang sungguh malam itu. Kemudiannya baru tahu - kami telah dituduh melakukan kesalahan yang tidak dilakukan.

Pelajaran aku terima - tiada semua hukuman memerlukan perbicaaran.

Kes 3 yang paling menyedihkan.

Tidak mengapalah. Dunia berubah, tahun berlalu. Kalau tidak, aku mungkin tak merasa masuk universiti.


Selamat hari guru.

Siapakah guru terbaik kita?

Guru terbaik kita ialah pengalaman.

Jangan berhenti berharap

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dalam dunia ini - adakalanya kita ditimpa keadaan 'tiada pengharapan' - hopeless. Mereka yang ditimpa tsunami misalnya, yang mengorbankan semua ahli keluarga biasanya akan menghadapi keadaan ini. Mereka merasakan apa yang dibina selama ini lebur dan sia-sia.

Korban jalanraya atau kebakaran yang menyebabkan mangsa kematian kesemua ahli keluarganya - menyebabkan mereka yang masih hidup merasa sedang ditimpa musibah yang besar. Sepertinya dunia ini ternyata seperti tidak ada harganya lagi.

Begitu juga mereka yang kehilangan pekerjaan, - menyebabkan mereka merasa menjadi manusia yang tidak terdaya lagi. Hopeless - situasi yang menjadikan kita tidak tahu apa yang bakal terjadi besok hari. Ia seperti tidak ada penghujungnya. Kita tidak tahu apa kesudahan cerita.

Sebenarnya semua ini adalah permainan minda. Ia ada dalam minda manusia. Orang boleh melihat wajah kita yang muram, mata yang tidak riang - tetapi mereka tidak tahu apa yang ada dalam benak fikiran kita.

Mengapa terjadinya hilang pengharapan?


Dua perkara utama yang menyebabkan manusia hilang pengharapan: kepercayaan (apa yang mereka yakini/fikirkan) dan matlamat akhir (ada jalan keluar atau tidak).

Ahli psikologi berpandangan bahawa manusia cenderung untuk mentafsirkan bahawa kejadian buruk yang menimpa diri akan menyebabkan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi pada masa hadapan dan juga menjejaskan harga diri mereka.

Semua ini hanya berada dalam pemikiran.

Ia kemudiannya terkait pula dengan dysfunctional attitudes - seperti hilang maruah diri, rasa tidak terdaya, kegagalan dan kehilangan. Mereka yang hopeless akan selalu menafsirkan setiap perkara sebagai negatif. Misalnya - 'aku manusia yang tidak berguna" - atau "Akulah punca semua kesilapan ini berlaku".

Sebab itu, orang yang hopeless akan merasa malu untuk bertemu orang lain. Mereka bimbang orang lain akan menafsirkan sesuatu yang negatif mengenai diri mereka. Mereka ingin menyendiri. Hakikatnya, orang lain tidak tahu pun siapa mereka.

Ingat, melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah anda.

Mereka yang hopeless juga cenderung melihat semua perkara sebagai ancaman, berbanding cabaran. Semua ini akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.

Tiada pengharapan juga akhirnya membawa kepada kegagalan dalam banyak perkara lain. Manusia hilang motivasi, sentiasa membawa emosi negatif dan kecewa yang tiada kesudahan. Lebih buruk, ada yang mengambil langkah membunuh diri.

Ini kerana mereka percaya mereka tiada lagi harapan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Seolah-olahnya semua pintu telah tertutup untuk mereka. Mereka yang hopeless percaya, kalaupun mereka mengambil langkah tertentu - ia akan gagal juga.

Semua ini simptom hilang pengharapan.

Anda hilang pengharapan hari ini? Ingat, banyak lagi jalan penyelesaiannya. Anda tidak tahu kalau tidak dicuba. Kalau tidak hari ini, besok mungkin kita bertemu jawapannya. Kalau bukan seminggu dua, masalah kita akan selesai juga sebulan dua lagi.

Tetapi, jangan putus asa. Cubalah semua alternatif yang ada.

Apalah maknanya hidup kalau tidak diuji bukan?

Tuesday, 17 May 2011

Emosi dalam hidup

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari, kita dilanda dengan pelbagai emosinya.

Ada ketikanya kita sangat bahagia, walaupun kita tidaklah pula mempunyai sebab untuk gembira. Ada kalanya kita menjadi cepat marah walaupun hanya sedikit sahaja alasannya. Ada waktunya, kita berasa gundah gulana. Pada waktu yang lain, kita menjadi manusia yang murung. Kita ingin mencari sebabnya, tetapi tidak berjumpa.

Apakah ini? Inilah yang dikatakan manusia itu diciptakan dengan pelbagai emosi. Ada waktunya kita mampu menanganinya dengan baik. Ada orang yang gagal, terjun diri dari bangunan tinggi.

Selalu kita dengar, ada ibu yang baru melahirkan anak - menjadi orang yang 'gila meroyan'. Sebenarnya dalam istilah psikologi, ia adalah post natal depression - kemurungan selepas melahirkan. Ia sesekali disulami pula dengan 'anxiety' atau kebimbangan yang teruk. Ia bukan hal yang pelik. Cuma dalam budaya kita, tidak ada sesiapa memberitahu kita itu ialah sebahagian dari penyakit psikologi yang perlu diberikan perhatian, lalu kita memberikan istilah sebagai 'gila meroyan'.

Orang yang baru bercerai juga mengalami gangguan yang teruk. Kita tidak ada istilah yang baik untuknya, menyebabkan kita mendefinisikannya sebagai gila talak. Sedangkan, ia juga masalah lazim yang berlaku kepada sesiapa sahaja. Dalam psikologi kita namakannya sebagai 'separation disorder'. Mereka ini juga patut diberikan khidmat sokongan. Sayang, tidak ada ahli sesiapa membantu kita.

Anda mempunyai gangguan emosi yang teruk hari ini?

Tutuplah 1 jari tangan anda. Ada lagi 9 jari lain. Lupakan sejenak 1 masalah anda itu. Fikirkanlah 9 lagi hal lain yang patut ditangani.

Lambat laun, fikiran anda yang gelisah itu akan hilang juga. Ia akan berganti dengan emosi yang lain pula.

Itulah kita. Itulah manusia. Kita makhluk yang dikurniakan emosi. Kesedihan terlalu lama tidak akan menambahkan apa-apa.

Jika anda terasa begitu berat, bacalah surah Yaasin setiap kali selepas sembahyang. Insyaallah, anda akan dikurniakan 1,000 kegembiraan dan dihilangkan 1,000 dukalara.

Thursday, 12 May 2011

Siri kaedah menghafal kembali lagi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri kaedah menghafal akan kembali lagi.

Rencananya sekitar bulan November dan Disember nanti setelah aku berada di Malaysia.

Ia kaedah menghafal untuk peperiksaan sekolah menengah sahaja. Khusus kepada subjek yang memerlukan hafalan seperti sejarah, geografi atau pengajian am. Sepanjang aku mengendalikan program ini dahulu, ia sesuai untuk pelajar SPM dan STPM kerana faktor usia.

Pada asasnya, program ini aku kendalikan berdasarkan sistem
hueristic yang popular di kalangan ahli psikologi kognitif.

Seperti biasa, ia PERCUMA. Ia sebagai sumbangan untuk masyarakat. Bagaimana pun, pelajar mungkin diminta untuk membayar RM30 bagi penyertaan. Wang akan dikembalikan setelah tamat program. Ia hanya bagi bertujuan menyaring mereka yang berminat dan tidak. Mereka yang berminat, akan sanggup membayar.

Program ini akan diselang seli dengan sedikit 'soft training' - lebih kepada membina keyakinan diri.

Kalau ada guru yang berminat untuk menggerakkan program amal ini, boleh hubungi aku melalui email. Lebih baik lagi sekolah luar bandar, kerana mereka inilah yang patut kita bantu. Sesuai pada hujung minggu, kerana waktu lain mungkin aku kena berkerja.

Nota: program ini hanya alat bantu sahaja. Ia tidak mengubah peranan guru dan lain-lain pengetahuan yang diperlukan oleh pelajar.

Wednesday, 11 May 2011

Dunia ini tidak selalunya adil

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adakah anda mempercayai bahawa dunia ini adil? Orang yang baik akan diberikan kebaikan dan orang yang buruk akan dibalas seadanya?

Kalau anda mempercayainya, maka anda juga termasuk dalam kategori manusia yang tidak bertimbang rasa.

Dalam psikologi - ada sekelompok pengkaji berminat dengan topik ini - 'beliefs in a just world'. Kajian-kajian mendapati, tatkala ada orang yang tidak percaya bahawa dunia ini adil, ada pula yang mempercayai bahawa dunia ini adil.

Mereka yang percaya bahawa dunia ini adil biasanya cenderung memberi alasan bahawa kegagalan seseorang itu disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Sebab itu, apabila ada yang ditimpa dengan musibah - misalnya diragut - atau dirogol, kategori manusia yang berpandangan bahawa dunia ini adil biasanya menyalahkan mangsa. Misalnya tidak membawa beg tangan dengan baik, atau berpakaian seksi.

Mereka yang sakit kencing manis kerana banyak meminum gula.

Kita selalu berjumpa dengan manusia seperti ini. Adakalanya kita juga bersikap seperti ini kerana kita percaya bahawa dunia ini adil.

Yang baik dibalas baik, yang buruk mendapat kejahatan.
Setiap perkara adalah kerana bersebab dari hukum dunia ini sememangnya adil.

Jarang kita menilai bahawa dunia ini tidak semestinya adil. Ada yang rajin tetapi dibuang kerja. Yang kuat membodek, tetapi malas selalunya cepat naik.

Inilah hakikat dunia. Setiap hari di akhbar, kita melihat manusia yang percaya dunia ini adil suka memberikan ulasan berapi-api.

Adilkah dunia ini?

Anda juga bukan seorang yang adil kalau percaya dunia ini adil.

Bagaimana mulanya aku menulis jurnal?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
*Tulisan ini mungkin hanya relevan untuk pelajar dan penyelidik.

Setelah beberapa hari - akhirnya pagi ini siap juga first draft manuskrip aku. Setakat ini, sudah tujuh kertas yang aku tulis. Tiga daripadanya sudah terbit. Dua daripadanya sudah beberapa kali direview. Satunya belum mendapat apa-apa maklumat.

Kalau para pembantu penyelidik aku di Malaysia sempat mengirimkan data survey sebelum bulan Julai ini, aku harap aku mampu menulis satu lagi kertas. Ia akan melengkapkan catatan pengajian aku.


Sebenarnya aku selalu menjadikan profesor aku sebagai idola. Setiap tahun, dia menerbitkan 4 atau 5 kertas jurnal. Adakalanya, ada 10 kertas tertera namanya dalam tempoh setahun. Untuk menerbitkan 5 kertas, sekurang-kurangnya 10 kertas perlu dihantar. Ini kerana peluang ditolak sama besar dengan peluang diterima. Sekurang-kurangnya juga, perlu ada 10 kali proses kutipan data.

Proses reviewnya pula panjang. Ada yang sampai 2 tahun. Semua ini halangan menulis jurnal. Ada pula jurnal besar, ada jurnal kecil. Yang besar biasanya panjang prosesnya.

Orang selalu bertanya, mengapa aku memilih 'thesis by publications". Mengapa tidak tulis tesis biasa sahaja. Tidak perlu banyak kajian.

Aku pun tidak tahu. Ia sebenarnya bermula apabila aku menghantar makalah untuk satu persidangan. Mereka meminta aku memotong lebih 2,000 patah perkataan. Aku tidak mahu. Jadi, aku tidak merasa perlu dihantar ke persidangan. Lebih baik dihantar untuk jurnal sahaja.

Penyelia aku berkata - You must brave enough. Mungkin sebab masa itu aku masih baru. Kertas pertama yang dihantar itu diterima dengan 'major correction'. Itulah kali pertama aku menulis jurnal. Dulu aku kerja di sektor swasta, jurnal pun aku tidak tahu apa maksudnya.

Selepas bermula yang pertama itu, aku menghantar lagi tulisan yang kedua untuk jurnal "special issues'. Sekali lagi, major correction. Makan masa berbulan-bulan. Tapi itulah yang menyalakan semangat menulis. "Every ending is a new beginning".

Cuma kertas yang ketiga dan keempat ini yang hanya 'minor correction'. Mungkin sebab sudah lama dan terbiasa, menyebabkan tulisan selanjutnya menjadi lebih mudah.

Kalau dulu, penyelia aku selalu menyemak tulisan aku, kini dia pula selalu menyuruh aku menyemak makalahnya. Kami sudah menjadi dua rakan penulis yang bersama-sama menulis bagi topik pengkhususan kami.

Apakah yang diperlukan untuk menulis jurnal?

Banyakkan membaca dan lakukan kajian yang tidak dilakukan orang lain. Dengan membaca, kita tahu kelemahan kajian lain. Dari kelemahan itulah, kita membina kajian baru. Pertama sekali yang akan direview ialah -
Innovative of the current study.

Nanti kita bincang perbezaan jurnal yang baik dan kurang baik.

Email memanggil pulang

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari lepas, aku menerima e-mel. Ia bukan emel misteri. Ia e-mel betul.

Your Travel Arranger is pleased to deliver your complete itinerary through Abacus Virtually There.

Ia e-mel meminta aku pulang ke Malaysia. Ia memberitahu bahawa masaku di Adelaide sudah di penghujung. Jangan berfoya-foya lagi. Tiada lagi berita dari Adelaide selepas ini. Tiada lagi update cerita berjalan-jalan makan angin di atas Mt Buller. Tiada juga berita bagaimana rasanya membuat PhD. Jangan juga merasa diri sebagai remaja mahasiswa universiti. Anda sudah tua.

Selepas ini, blog ini akan merakamkan catatan lain. Ia akan dimulakan dengan cerita yang baru. Cerita anak-anak muda di bangku universiti. Aku juga tidak lagi boleh memakai seluar jean. Rambut juga perlu dipendekkan. Perlukah aku memakai tali leher. Oh tidak! Kawan aku, Nizam bekas kelasi yang telah menjelajah seluruh dunia tentu ketawa besar kalau terserempak aku memakai tali leher.

Tapi, semua cerita baru akan hanya bermula 5 September nanti. Buat sementara waktu ini, aku masih ada peluang untuk merakamkan cerita perantau.

Sementara itu, berikan aku waktu menghirup secawan cuppucino.

Sesiapa yang berminat dengan penyelidikan psikologi - khususnya contagion effect on burnout - nanti boleh datang cari aku. Jangan takut, kita boleh berbincang di kedai kopi sahaja. Tanpa formaliti. Paling utama ialah hasil kerja.

Tuesday, 10 May 2011

Sama seperti ayah jawab tadi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam, ketika menghantar Luqman Hakiem ke sekolah, dia bertanya: "Ayah, bila Man akan besar?". Aku bertanya: 'Kenapa, suka ke jadi orang besar?". Dia jawab, 'Suka. Boleh bawa car sendiri. Ayah tak payah hantar".

Dia tanya aku balik - "Ayah suka tak jadi tua?". Aku jawab: "Tak".

Dia ingin tahu lagi, 'Mengapa?".

Aku jawab - semakin kita besar, banyak perkara nak kita buat. Kita perlu kerja. Perlu cari duit. Perlu belajar. Sampai masanya nanti kita sakit. Tapi kalau budak-budak senang. Semuanya ibu bapa buatkan. Hendak ke sekolah, ada orang hantar. Hendak makan, ada orang suap. Hendak duit, boleh minta saja. Semuanya mudah.

Aku tanya dia balik: "Man nak tak jadi orang besar?"

Dia jawab: "Tak naklah".

Mengapa? Tanya aku.

"Sama seperti ayah jawab tadi". Katanya.


Seperti biasa, kita tidak mampu memilih apa yang kita hajati. Anak-anak kecil itu akan membesar seperti kita. Kita pula akan berubah menjadi tua.

Sampai masanya kita semua akan bersemadi di dalam kubur. Kita juga tidak mampu memilih di manakan pusara yang sesuai untuk kita. Ia ditentukan orang lain.

Jadi sementara kita hidup - memilihlah menjadi orang baik dan jangan sombong.

Monday, 9 May 2011

Sedikit cerita statistik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku tidak menulis sehari dua ini. Memang ada hal untuk ditulis. Tetapi aku sepertinya sedikit sibuk. Ada satu kertas lagi untuk disiapkan. Harapnya itu kertas terakhir.
Link
Tadi, dipertemukan dengan satu blog berkaitan statistik http://drotspss.blogspot.com/ karya seorang ahli akademik dari UPM. Sebenarnya itulah sebahagian dari sumbangan ahli akademik. Setiap orang menulis dalam bidangnya, sesuai dengan minat masing-masing. Harapnya tulisan-tulisan seperti itu memberikan manfaat kepada pembacanya.

Dalam satu tulisan di blog itu, penulis mengungkapkan bahawa korelasi tidak sesuai untuk pelajar pasca siswazah. Aku setuju.

Korelasi ialah hubungan di antara A dengan B. Katakan A ialah 'rajin' dan B pula ialah 'pandai', maka orang akan selalu berkata kerana seseorang itu rajin ia menyebabkan seseorang itu pandai. Ia pandangan yang salah, kerana kita juga tidak pasti adakah kerana seseorang itu pandai (B), ia yang menyebabkan seseorang itu rajin (A). Dalam istilah mudahnya, kita tidak tahu mana yang wujud dulu, seperti ayam dengan telur, mungkin ayam ujud dulu baru telur, atau telur dulu wujud, barulah ayam.

Aku selalu diminta membaca kajian akademik kita. Orang kita selalu menggunakan korelasi bagi melaporkan penyelidikan mereka. Hasilnya, ia tidak menunjukkan apa-apa pun.

Dalam bidang psikologi moden, tidak ada lagi ujian korelasi bagi menghuraikan keputusan. Ia dilaporkan secara ringkas sahaja, tetapi tidak menghuraikan keputusannya.

Kalau aku ada masa, nanti aku bercerita bagaimana 'trick' penyelidikan untuk jurnal.

Sunday, 8 May 2011

2nd Panel Expert Meeting

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
7-8 July nanti, aku akan ke Johor Bahru untuk menghadiri 2nd Psychosocial Risk Factors Expert Panel Meeting. Ini lanjutan dari program yang pernah dibuat di Darwin tahun lalu. Ia sepatutnya program yang bagus kerana dihadiri oleh profesor dan pakar dalam bidang stres pekerjaan. Ia bukan seminar atau persidangan. Tidak ada hebahan untuk acara ini kerana penyertaan berdasarkan kepada 'by invitation only'.

Kami hanya diminta membentangkan hasil kajian dan menerangkan cara analisis. Kemudian diselang seli dengan siri fokus group. Tema tahun ini mengkhusus kepada Malaysia.

Sebenarnya situasi kerja di Malaysia banyak isunya. Kerja lebih masa telah menjadi rutin biasa. Pengalaman buruk pekerja menghadapi situasi psikologi dan emosi sudah sebahagian dari laporan yang diterima. Faktor kecederaan dan kesedaran mengenai keselamatan di tempat kerja juga perlu ditangani.

Apa yang menarik di Johor Bahru? Hanya sekali sahaja aku ke Johor Bahru. Itu pun semasa aku kerja dulu. Hanya sekadar singgah dan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Kali ini aku merancang untuk mencari kedai teh tarik terbaik.

Ada sesiapa yang ingin belanja aku?

Thursday, 5 May 2011

Kita hanya dipilih

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Perjalanan aku di Adelaide sudah menghampiri titik hujungnya. Tidak ada lagi musim bunga yang indah selepas ini. Tidak ada lagi musim gugur memerhatikan daun luruh berterbangan. Aku telah memerhatikan hampir banyak perkara. Budaya dan cara hidup. Manusia dan pengalaman.

Bulan September nanti, aku bakal memasuki dunia akademik. Mengajar anak-anak muda. Aku telah pun diminta mengajar dua subjek asas - Work Psychology dan Data Analysis. Yang pertama itu memang bidang aku. Yang keduanya bukan, walaupun aku tahu banyak hal-hal statistik. Tetapi aku tidak berminat mengajar hal angka. Aku lebih cenderung mengajar hal-hal idea penyelidikan.

Sebenarnya, dalam dunia ini, kita tidak boleh memilih apa yang kita hajati. Kita adalah manusia yang dipilih. Semasa kecil, aku dipilih menjadi anak petani yang susah. Yang paginya tidak ada pilihan memilih makanan lazat. Kalau emak kita merebuskan ubi atau pisang, yang kemudiannya diletakkan parut kelapa, itulah makanan yang menghidupkan kita hari itu. Kalau di waktu yang lain, direbuskan telur ayam, dan diletakkan garam di atasnya, itulah yang menyawai hidup kita hari itu. Sesekali, kalau dapat makan ayam, itulah makanan terhebat dalam rutin nafas anak petani.

Di awal tahun 80-an dahulu, terdengar seorang jiran yang setaraf hidup dengan kami, berkata kepada anaknya - "Makanlah. Makanlah sekadar untuk mampu menarik kain selimut untuk tidur'. Dan anak jiran itu ialah teman baik aku. Seperti ayahnya, kini ketika dia dalam lingkungan seusia aku, dia juga terus mewarisi perit hidup itu lagi. Tidak pastilah adakah pesan yang sama dilagukan pula untuk anaknya.

Aku bernasib baik kerana dipilih untuk keluar dari lorong hidup yang payah itu. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu berpesan kepada anakku perkara yang sama. Malah, setiap pagi anakku membisikkan ke telinga, agar tidak didengar isteriku "When you are back, can you buy me something please". Aku pasti membelinya kerana aku tahu itulah permintaan yang tidak pernah aku mampu lakukan ketika aku kecil dulu.


Kita semua adalah manusia yang dipilih. Kita tidak mampu memilih.

Dunia berubah, masa berlalu. Tetapi watak manusia yang dipilih untuk mengharungi rentak hidup ini tetap sama. Ada yang kekayaannya melimpah ruah. Ada pula yang tersangat miskin. Semua ini ada di mana-mana. Ia bukan soal kemalasan. Ia soal siapa yang terpilih di antara kita.

Kerana dunia ini bukanlah tempat duduk kita selama-lamanya. Ia hanya padang persinggahan. Ia hanyalah medan ujian.

Hidup kita yang sebenar ada di sebalik tabir sana. Moga-moga, kita terpilih untuk syurga-Nya.

Wednesday, 4 May 2011

Menyemai budaya akademik kangkung

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dunia ahli akademik seperti kami sebenarnya terbuka dengan banyak kritikan. Hari ini, ahli akademik diberikan gelar bermacam-macam. Antara yang termasyur ialah profesor atau pensyarah 'kangkung'.

Tidak tahu mengapa dinamakan kangkung. Mungkin menjalar naik ke atas dengan cepat, merimbun pula, tetapi isi di dalam tangkainya tetap kosong. Sekalipun ia gelar yang membawa konotasi tidak baik, tetapi itulah penghakiman yang diberikan segelintir orang awam. Orang awam, sebagai pembayar cukai berhak menyatakan suara hati mereka.

Bagaimana pun, dalam keadaan tertentu, tidak semua orang awam berhak berkata begitu. Ia hanya sesuai jika dilontarkan oleh mereka yang ahli. Tidak semua orang berhak menyatakan apa sahaja. Sebab itulah, dalam sistem kehakiman kita misalnya, kita tidak dapat melaksanakan sistem juri. Sebabnya bukan semua daripada kita yang terdidik dan tahu hukum. Hasilnya, kalau dipilih orang yang jahil menjadi juri, maka ia akan mengusutkan keadaan.

Dalam keadaan masyarakat kita sekarang ini, banyak hal yang telah dikusutkan apabila orang awam menjadi hakim. Kita akan cuba menghukum semua perkara. Apabila ada isu agama, kita memberikan fatwa. Apabila ada hal ekonomi, kita juga memberikan tafsiran. Semuanya menjadikan keadaan bertambah keliru.

Apakah dunia akademik kita ini sudah menjadi kangkung?

Aku belum begitu tahu lagi. Aku belum memasuki realiti dunia akademik. Sdr Bentara mungkin tahu jawapannya. Dia sudah lama dalam bidang itu. Tidak lama lagi aku akan tahu.

Kami akan dilabelkan kangkung kalau kami tidak ada pengetahuan dalam bidang kami, tidak menulis buku atau jurnal, tidak ada kajian baru dan tidak ada sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Aku tidak pasti sama ada aku sudah menyumbang atau tidak.

Dalam konteks budaya kita, kajian ilmiah hanya digunakan untuk memenuhi rak perpustakaan. Tidak ada sesiapa yang berhajat membacanya. Orang kita juga sebenarnya tidak membaca. Kita hanya membaca ketika di bangku sekolah atau universiti. Lebih baik melayan filem komedi terbaru. Ia membuatkan kita ketawa. Tetapi tidak buku. Ia entah apa-apa.

Sebagus mana sekalipun penemuan kajian, tidak ada sesiapa yang berhasrat menggunakannya dalam dunia realiti. Orang akan berkata ia hanya cakap kosong - cakap orang falsafah yang bersalut dengan hukum statistik yang meragukan. Ia tidak akan berguna di alam nyata.

Akhirnya, banyak perkara ditentukan dari alur yang lain. Ia ditentukan oleh mereka yang ada pengaruh. Ia ditentukan apabila orang yang ada nama membuat lawatan sambil belajar, dan kemudiannya pulang untuk menerapkan dalam konteks kita. Ia bukan ditentukan oleh kajian PhD atau tulisan jurnal yang hebat.

Jadi - dalam sesetengah keadaan, menyalahkan ahli akademik sebagai kangkung juga tidak adil. Mereka menulis, tetapi tidak ada orang membaca. Mereka mengkaji, tetapi tidak ada sesiapa berhasrat menjadikan ia sebagai polisi.

Hal ini tidak sama di Barat. Hasil dari dapatan kajian stres yang sedang kami lakukan sekarang ini, menyebabkan 'pembulian di tempat kerja' dianggap satu kesalahan jenayah di South Australia. Kalau di Malaysia, sesiapa yang mahu menjadikan ia undang-undang kalau dikatakan majikan atau pegawai kerap membuli orang bawahnya?

Tidak ada sesiapa ambil peduli. Kajian kami hanya sekadar untuk disimpan di dalam kotak.

Akhirnya, daripada menjadi manusia yang 'syok sendiri' lebih baik jangan membuat apa-apa. Kami terpaksa menjadi 'kangkung' kerana budaya kita sendiri yang sedang menternak dan menyemai budaya kangkung. Masyarakat kita sendiri yang sedang membajai kangkung-kangkung ini agar terus menjalar tinggi dengan budaya tidak membaca dan menghargai penyelidikan.

Kalau sesuatu tidak dilakukan bagi mengubah perkara ini, maka bukan sahaja ahli akademik, tetapi kita semua akan menjadi kangkung. Kangkung itu ialah diri kita sendiri.

Tuesday, 3 May 2011

Bila nanti aku pulang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tinggal kurang dari empat bulan aku akan balik ke Malaysia.

Malaysia sudah banyak berubah. Lanskap politik juga telah berubah. Kampung aku juga berubah.

Perkara pertama yang selalu singgah dalam otak fikir aku ialah pergi ke sebuah sungai tua di kampung aku. Sungai ini satu ketika dulu adalah lokasi yang menyeramkan. Kini ia menjadi sungai tinggal. Kawasan sekelilingnya telah berubah menjadi kebun getah. Ada beberapa dusun di situ.

Kini, yang melingkungi sungai tua itu hanya beberapa perdu buluh dan beberapa pohon kayu besar. Ia dikelilingi hutan belukar. Kedudukannya yang jauh dari kampung, dan jalan menjadikan sungai itu agak terpencil.Tidak banyak orang sampai ke situ kecuali beberapa orang pemancing. Itu pun tidak berapa orang tahu lokasinya kerana ia sudah terpisah dengan manusia. Untuk sampai ke situ, aku perlu menyusup hutan belukar dan akar besar. Perlu berjalan secara membongkok.

Ya. Itulah lubuk haruan dan ikan selar yang unik. Tahun 2009, ketika aku balik ke Malaysia, kawan baik aku, Rahman membawa aku ke sana. Tidak ada bekas tapak kaki di sekitar sungai itu. Mungkin kami orang pertama yang sampai.

Malamnya, aku mungkin boleh ke lokasi sungai yang lain. Ini dengan pakar hutan yang lain pula. Kami tidak memancing, tetapi 'mengelau'. Aku tidak tahu orang bandar faham atau tidak maksud mengelau. Ia seperti memancing juga, tetapi bukan. Biasanya hanya dilakukan di waktu malam.

Batang buluh panjang perlu digunakan untuk mengelau. Ia sepanjang galah mengait buah kayu. Panjangnya mungkin 3 atau 4 kali ganda dari barang joran yang selalu kita lihat. Talinya juga panjang. Biasanya umpan katak minyak digunakan.

Dengan menggunakan batang buluh panjang, kita mengggerakkan umpan di atas permukaan air. Seolah-olahnya katak sedang berlari-lari di atas air. Batang galah perlu tinggi ke udara. Jadi ikan tidak akan mampu melihat batang buluh. Mereka yang profesional tidak memakai kasut, walaupun berjalan di atas tebing sungai di dalam hutan. Semuanya bagi mengelakkan ikan menghidu pergerakan manusia. Katak itu seolah-olahnya berlari secara semulajadi.

Kaedah mengelau ini hanya memerangkap ikan haruan yang besar sahaja. Ini ialah ikan yang menangkap mangsa dengan cara menerkam ke udara. Tidak ada ikan puyu atau anak seluang.

Banyak lagi yang boleh aku lakukan. Dulu, aku biasa menjerat burung mandi. Sesekali menjerat pelanduk. Itu 20 tahun dulu.

Sekarang ini, semua itu sudah pupus.

Ah. Hidup di Kuala Lumpur tentu sesuatu yang membosankan, lagi memualkan.

Marahlah cuaca dan tanah

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Setiap hari, kalau kita pergi berkerja, kita akan merasa gelisah kalau tidak berpakaian dengan cara sewajarnya. Kita bimbang kalau seluar dan baju kita tidak dirapikan atau rambut tidak bersikat. Rambut kita juga seharusnya pendek.


Kita diajar untuk kemas sejak di alam sekolah lagi. Baju putih mesti dimasukkan ke dalam seluar dan mesti ada talipinggang pula. Kalau berambut panjang atau berstokin belang, kita akan dihukum.

Tetapi ia tidak berlaku di Australia. Anda boleh berambut panjang. Berseluar jeans dan berpakaian tidak formal bukan hal yang pelik. Tidak ada apa yang formal. Pakailah apa sahaja. Sama ada anda profesor atau pengurus, semuanya sama sahaja.

Di sekolah juga begitu. Paling penting ialah seluarnya gelap, dan bajunya sama ada T-kuning atau hijau. Itu sahaja. Tidak ada yang didenda kerana kasut atau rambut.

Orang selalu berkata - budayalah yang menentukan cara hidup manusia.

Apa pula yang menentukan budaya? Kita jarang mendengar akan hal ini.

Georgas dan Berry pengkaji budaya yang masyur - yang jarang kita dengar namanya kalau tidak membaca, berkata budaya manusia ditentukan oleh cuaca dan tanah. Kerana banyak masyarakat Barat hidup dalam cuaca yang sejuk, sukar bagi mereka memakai baju kemeja nipis yang formal. Jadi, pakaian tidak lagi termasuk dalam kriteria penting dalam adab formal mereka. Begitu juga mereka yang hidup di tanah tinggi. Cuaca yang sejuk dan perjalanan yang sukar menjadikan mereka berlainan dengan dengan orang di tanah rata.

Cuaca dan tanah telah mengubah cara kita hidup, cara kita makan dan berpakaian. Sebab itu jangan marahkan pentadbir yang menguatkuasakan undang-undang. Marahlah kepada cuaca dan tanah.

Monday, 2 May 2011

Kalau begitu bagaimana?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang pembantu imam dikatakan dilihat masuk ke dalam disko di Thailand. Orang mula bising mengadukan hal ini kepada orang alim.

Siapa yang menjadi saksinya? Tanya orang alim.

Beberapa anak muda yang selalu melepak di disko. Mereka sering melihatnya. Kata pengadu.

Dia juga dilihat selalu bermain ekor. Kata pengadu lagi.

Siapa saksinya? Tanya orang alim.

Beberapa kaki ekor sekitar pekan Changlun. Mereka pasti. Dia bersama mereka di kedai ekor.

Kalau begitu mereka tidak boleh menjadi saksi. Tidak boleh diambil saksi fasik. Saksi pun ahli maksiat. Kata orang alim.

Kalau begitu bagaimana? Tanya pengadu.

Semoga dia bertaubat.

Sunday, 1 May 2011

Aku kembali

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku kembali.

Setelah sebulan 10 hari aku menutup blog ini, tiada sesiapa yang dibenarkan menjenguk blog ini. Hari ini aku kembali.

Hari pertama aku menutup blog, Abang Ben dari Krenmaut mengirimkan email mengapa aku tutup blog? Beberapa teman lain juga bertanya hal yang sama. Berjalan-jalan di dalam universiti di sini, terserempak dengan anak muda - mereka bertanya - "Mengapa abang tutup blog?"

Saudara Sayuti - kawan aku di sini, semalam menyatakan aku tidak patut menutup blog. Kerana aku telah membukanya, maka aku patut meneruskannya. Lainlah kalau aku mati.

Mengapa aku tutup blog? Sebahagiannya telah aku jawab di blog Kamirara.

Sebenarnya, bukan sahaja blog - aku juga telah menutup telefon juga - sekali sekala. Aku mahu menghabiskan urusan pengajian aku di peringkat paling akhir ini, peringkat paling kritikal. Sebulan lebih, akhirnya aku berjaya melakukannya, lebih cepat dari apa yang dijangka. Cuma ada beberapa bahagian kecil sahaja.

Aku sepatutnya balik pertengahan bulan 10. Tiba-tiba, pihak universiti meminta aku menghantar tesis di penghujung bulan 8. Ini menyebabkan semua perancangan aku berubah. Salah satu perkara yang boleh aku lakukan ialah mengurangkan beban fikir - dengan menutup seketika blog.

Kini aku kembali.

Monday, 21 March 2011

Blog ditutup

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Untuk makluman, blog ini telah ditutup sementara mengakhiri sementara cerita FakirFikir. Insyaallah, kalau ada sumur di ladang, boleh kita berjumpa lagi.

Friday, 18 March 2011

Maksud stres

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari, pasti ada pengunjung yang masuk ke blog ini dengan kata pencarian 'maksud stres'. Tidak pastilah pelayar itu mereka yang stres, atau mungkin juga pelajar universiti yang ingin tahu maksud stres. Bagi pengkaji di universiti, seperti pensyarah misalnya, tentulah mereka akan mencari bahan tersebut menggunakan google scholar.

Apakah maksud stres? Sebenarnya aku telah tuliskannya di dalam blog ini lama dahulu. Itu untuk pengetahuan orang awam. Untuk mereka yang bergelumang dengan dunia akademik, aku telah tuliskannya dalam satu jurnal. Anda boleh mencarinya di internet.

Tapi sejak dua hari ini aku sedang dilanda stres yang baru. Tinggal enam bulan lagi aku di Adelaide. Banyak barang sudah dimasukkan ke dalam kotak. Aku juga sudah siap menulis chapter terakhir. Aku hanya sedang memperbaiki satu kertas jurnal lagi.

Tiba-tiba supervisor aku meminta aku menjalankan kajian longitudinal. Maksudnya kutipan data dua kali berselang 3 bulan. Ia akan menjadikan aku mengutip data sebanyak 9 kali sepanjang aku mengaji PhD ini.

Aku tanya dia minta kepastian. "I only have another six months". Dia pula menjawabnya, "Yes, I know. You have enough time to make it within six months".

Aku tidak menjawabnya lagi. Aku tahu aku sedang dilanda stres yang baru. Itulah maksud stres bagi pelajar seperti aku.

Tapi aku tahu, seperti biasa - aku boleh melakukannya. Dan aku sudah memulakannya.

Sepetang bersama A Kadir Jasin

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam aku bersama beberapa orang teman lain sempat berbual-bual banyak hal dengan A Kadir Jasin. Acara ini dirancang secara mengejut sebaik sahaja seorang teman lain menyedari kehadiran penulis blog besar ini di Adelaide. Seperti biasa, tempat yang paling baik untuk acara sembang santai ini ialah di satu-satunya kedai anak Melayu yang dimiliki penulis outspoken - SwingingBowl.

Seperti mana program bersama Prof A Wahab Ali sebelum ini, hanya ada beberapa kerat yang hadir.

Aku selalu berharap agar graduan muda di universiti akan menghadiri majlis kecil seperti ini. Ia lebih bermanfaat dari mengikuti program ceramah yang dikendalikan secara besar-besaran. Banyak sebabnya. Bukan sahaja anda berpeluang mendengar banyak idea dan pengalaman baru yang tidak ditapis, tetapi inilah peluang untuk anda bertemu dengan manusia besar. Sekiranya anda belajar di dalam negara, belum tentu orang akan sudi bertemu anda.

Ini juga peluangnya anda boleh bersemuka dengan orang lama - boleh menjalin tali hubungan yang bermanfaat untuk anda di masa depan. Sekadar menghadiri ceramah - yang biasanya disediakan juga makanan, anda hanya berpeluang mendengar apa yang mereka cakapkan sahaja. Tidak banyak peluang untuk bertanya. Tidak banyak peluang untuk anda memperkenalkan siapa anda kepada penceramah.

A Kadir Jasin ialah bekas Ketua Pengarang di sebuah media masa utama negara. Bagi orang yang tidak tahu, mungkin menyamakan wartawan sebagai pencari berita. Sebenarnya tidak. Mereka ini ialah antara manusia yang paling berkuasa. Merekalah yang menentukan hala tuju akhbar. Merekalah yang menentukan siapa yang ingin dinaikkan, dan siapa yang boleh dijatuhkan. Sebab itu, adakalanya kuasa mereka ini lebih besar dari ahli politik atau parti yang memerintah.

Ketika krisis politik memuncak tahun 1999, sebelum Anwar Ibrahim dipecat, dua orang ketua pengarang dipecat dari dua buah akhbar utama dipecat dahulu. Sebabnya mudah. Mereka ini mungkin boleh mengganggu proses selanjutnya kalau akhbar tidak menunjukkan sokongan.

A Kadir Jasin seorang yang sederhana sahaja, tidaklah menunjukkan ego walaupun beliau boleh berbuat begitu kalau dia mahu. Banyak orang Melayu yang datang dari kampung, yang ada jawatan kecil dalam parti, adakalanya egonya seolah-olah dialah menteri. Nada mereka bercakap adakalanya lupa bahawa mereka juga berasal dari sekolah buruk seperti kita. Itu hakikat hidup.

Semalam kami berbual banyak hal. Hal yang diketahui umum, dan ada yang tidak. Sesuai dengan kapisitinya, tentulah dia lebih tahu banyak perkara dari kita. Dia kenal banyak orang. Malah, Perdana Menteri dan Timbalannya adalah antara orang yang perlu mereka dampingi selalu. Itu adalah sebahagian dari tugas mereka.

Kami bercakap hal bangsa. Juga hal politik semasa. Dia bercakap secara terbuka. Dia bercakap jujur dengan sesuatu yang diketahuinya. Aku seperti biasa, akan bertanya banyak soalan, walaupun aku hampir tahu apa yang akan dijawabnya.

Kalau aku masih ada peluang, tentu akan cuba menemuramah lagi sosok pemikir Melayu ini. Tidak banyak lagi pemikir Melayu yang boleh kita dengar pandangan mereka. Hari ini, artis sudah menenggelamkan populariti manusia seperti ini. Ahli politik yang pintar bercakap walaupun tidak ada isi di dalamnya juga sudah dianggap sosok baru wira bangsa.

Untuk graduan muda luar negara - kalau anda berpeluang, sesekali anda patut menjenguk majlis seperti ini, khususnya mereka yang ada jawatan dalam persatuan.

Siapa lagi orang yang patut kita tahu. Hassan Ahmad mungkin salah seorang darinya.

Thursday, 17 March 2011

Sepetang bersama A Kadir Jasin - Dijemput Hadir

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Khusus untuk anak muda Adelaide.

Petang ini, saudara/saudari yang tidak ada kerja untuk dibuat, dijemput untuk bersantai dan minum kopi sambil bersembang-sembang dengan pengarang terkenal
A Kadir Jasin. Juga seorang blogger hebat. Boleh datang untuk bersembang dan bertanya minda beliau. Boleh juga mengenal lebih dekat sosok hebat, pemikir, penulis dan wartawan ini.

Sesuai untuk anak muda. Sesuai untuk mereka yang ingin belajar dari orang ternama.


Tempat : SwingingBowl
Masa : 3.00 petang

Anjuran - Gabungan Anak Muda Tanpa Persatuan.

Tolong iklankan dalam facebook anda.


**************************
Profail Datuk A Kadir Jasin

Datuk A. Kadir Jasin was born on 23rd August 1947 in Kampung Tanah Merah, Pendang, Kedah. He was the second child in a family of eight. He started his early education at the Malay School at Pendang, his secondary education at the St. Michael School and the Sultan Abdul Hamid College, finishing at the Ibrahim Secondary School, Sungai Petani, Kedah.

In 1971, he won a Colombo Plan scholarship to study journalism at the Wellington Polytechnic, New Zealand. A few years later, that is in 1977, he was sent to the Berlin International Institute of Journalism to study a course in Advance Journalism.

Career

  • Served as a journalist at BERNAMA, at the Penang, Kedah and Perlis branch (1969)
  • Later served at the BERNAMA headquarters, in the Economics Section
  • Served in The New Straits Times (M) Sdn. Bhd., in the Time Division (13th August 1976)
  • Assistant Group Editor for Berita Harian newspaper (1984)
  • Group Editor of The New Straits Times, The New Sunday Times, Business Times, The Malay Mail, The Sunday Mail and all magazines published in English
  • Group Editor-in-Chief at The New Straits Times, in charge of all publications in Malay as well as in English Language (1988)
  • Board of Trustee, Press Foundation of Asia, Manila
  • Member, Malaysian Business Council
  • Council Member, Asia-Australia Institute, University of New South Wales
  • Member, National Information Technology Council (NITC)
  • Board Member of the Council of the Institute of Understanding Islam, Malaysia (IKIM)
  • Member, National Unity Consultative Council

On May 31st, 2000, after serving 25 years in the field of journalism, he decided to retire. In the course of his illustrative career, he has received a number of awards and letters of appreciation from within as well as from outside the country. In 1995, he was awarded the title Dato' by HM the Yang di-Pertuan Agong. In 1988, he received the 'Honorary Doctorate of Letters' from Science University of Malaysia (USM) to commemorate his immense contribution in the field of journalism and also for his success in producing the book called OTHER THOTS. In 1978, Datuk A. Kadir Jasin received the award of EDITOR OF THE YEAR for Asia from Mitsubishi Press Foundation. Now, his life came around one complete circle with the appointment as the Chairman of BERNAMA (National Press Organisation of Malaysia), where he first started his career journalism.

Monday, 14 March 2011

Kesan halo - jerat cinta orang tua

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kerana terpesona dengan seorang lelaki melalui perbualan telefon dan sms, seorang anak gadis berusia 18 tahun akhirnya menjadi isteri kedua. Baca di sini. Kenalan lelakinya yang disangka orang muda, rupanya sudah begitu berusia. Yang disangka pegawai bank sebenarnya hanya seorang penoreh.

Kita tidak mengulas hal hukum hakam. Kita hanya ingin mengulas hal psikologi bagaimana manusia boleh terjerat dengan sms dan perbualan telefon. Dalam psikologi kita namakan ia sebagai 'halo effect' - atau 'kesan halo'.

Mengikut teori - semakin jauh jaraknya kita dengan sesuatu, manusia cenderung menilai seseorang atau sesuatu secara keseluruhan dan abstrak. Kita tidak ada gambaran sebenar. Bagaimana pun, semakin dekat jarak dengan sesuatu, penilaian kita akan lebih konkrit. Ini menjadikan sistem pemprosesan maklumat dalam minda kita semakin jelas.

Misalnya, kalau kita berbual dengan seseorang dalam telefon - yang tidak kita kenali - maka kita akan menggambarkan seseorang itu dalam bentuk yang lebih umum - dalam dua konstruk berberbeza - misalnya cantik atau jelek, baik atau buruk. Bagaimana pun, kalau kita berbual dengan seseorang yang dapat kita lihat dengan jelas, kita tidak pula memberikan penilaian bersifat umum. Otak kita akan memperjelaskan setiap butiran. Misalnya, kalau cantik - secantik mana orang itu. Bahagian mana yang cantik, dan bahagian mana yang tidak. Kalau jahat sejahat mana pula orang yang sedang kita bualkan itu. Kita akan lebih rasional. (Penyelidik, baca construal level theory).

Berbalik kepada kesan halo, manusia apabila berbual dengan orang yang tidak dikenali, biasanya akan membuat penilaian secara menyeluruh terhadap orang lain. Kalau suara yang didengar itu merdu, kita akan sama ada mengandaikan orang itu sebagai baik atau cantik. Begitu juga dengan sms. Kalau tulisannya sangat baik - dan mesra, kita akan menafsirkan orang yang tidak kita kenal itu sebagai budiman, muda dan peramah. Semua inilah yang membuatkan berlaku bias dalam sistem pemprosesan maklumat.

Dalam dunia ini - banyak manusia tergoda dengan kesan halo - khususnya orang yang tidak ada banyak pengalaman hidup. Anak gadis di kampung - yang tidak pernah bercinta, akan mudah tergoda kalau diayatkan dengan kata cinta yang memukau. Ditambah pula dengan budi baik seperti memasukkan kredit telefon atau wang membeli barangan. Semua ini menjadikan orang yang tidak dikenali boleh menyamar menjadi apa sahaja.

Sebab itulah - kita jangan mudah terpesong dengan halo effect. Haruslah rasional dalam membuat pertimbangan. Banyak gadis muda yang terpedaya. Malah, orang yang sudah berkahwin pun bergelora rumahtangganya hanya kerana kesan halo.

Sunday, 13 March 2011

Jangan berhenti berharap

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita selalu diingatkan oleh orang tua agar jangan berharap sangat dengan sesuatu yang tidak pasti.

Bagaimanapun, berharap (hope) kini menjadi bahan kajian baru dalam psikologi. Banyak kes, tiada pengharapan (hopeless) biasanya akan menyebabkan seseorang dilanda kemurungan, kekecewaan bahkan kecenderungan untuk membunuh diri.

Berharap didapati menjadi sebahagian dari kaedah menangani stress yang berkesan.

Bayangkan begini. Anda dibuang kerja. Dengan bilangan anak yang banyak dan isteri yang tidak berkerja misalnya, ia akan membuat seseorang akan sangat tertekan. Biasanya mental kita akan membuat penilaian (appraisal) apa yang telah berlaku dan kemungkinan yang bakal datang. Sekiranya kita mempunyai sedikit harapan bahawa akan ada peluang kerja baru, seseorang itu akan terus mampu menangani hidupnya yang teruk.

Bagaimana pun, kalau penilaian dalam mentalnya bahawa tidak sedikit pun ada harapan lagi untuk mendapat kerja, maka mereka mungkin akan menjadi manusia keliru dan kacau. Banyak kes orang yang kecewa -- yang melihat tidak ada pengharapan lagi dalam hidupnya, akan membunuh diri atau membuat sesuatu yang lebih buruk.


Begitu juga dengan orang yang putus cinta. Melihat buah hatinya diambil orang, sekiranya pemikiran kita menaksirkan bahawa peluang untuk memilikinya tidak lagi wujud sama sekali, atau peluang mendapat pengganti yang baik - orang yang patah hati akan dilanda murung. Ada yang meminum racun tikus. Sebaliknya, kalau ada sedikit pengharapan (walaupun hanya dalam pemikiran sahaja), misalnya pasangan baru kekasih akan meninggalkan buah hati, dan masih ada peluang mendapatkan kekasih yang hilang tadi - sedikit sebanyak orang yang dilanda kekecewaan akan terus berusaha untuk hidup.

Begitu juga orang yang gagal dalam peperiksaan atau pekerjaan. Pengharapan menukar sesuatu yang negatif kepada positif.

Sebab itu - dalam apa sahaja tragedi dalam hidup - jangan berhenti berharap. Setiap kali ada orang yang hilang atau dilanda kemalangan, kita selalu mendengar ahli keluarga berkata, - 'kami harap dia masih hidup' - walaupun peluangnya mungkin kurang dari 1 peratus. Semua ini adalah sebahagian dari mekanisme yang digunakan oleh manusia bagi memungkinkan kita untuk terus bertahan.

Jangan berhenti berharap teman.

Berhenti berharap mematikan perjuangan.

Saturday, 12 March 2011

Kita tidak harus tahu menyebutnya sahaja

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Terdapat bantahan beberapa NGO terhadap cadangan pembinaan tapak pelupusan tanah jarang di Pahang. Baca sini.

Secara jujurnya, adakah orang awam seperti kita faham apa yang dimaksudkan radiasi. Fahamkah kita juga dengan apa yang dikatakan sebagai sisa pepejal. Tahukah kita juga dengan apa sebenarnya yang dikatakan sebagai nuklear.

Kita hanya selalu mendengar cerita bom yang dijatuhkan di Hiroshima, Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Itu pun cerita yang sama yang diulang-ulang. Kita hanya bercerita tentang orang yang mati terbakar kerana ledakan bom. Cerita ini sesekali akan muncul apabila duduk berbual dengan orang kampung di kedai kopi.

Tetapi apakah radiasi? Apakah orang kita tahu apa maknanya. Tentu tidak ada seorang pun di kampung kita yang tahu dengan cerita tragedi besar di Chernobyl tahun 1986. Tidak juga pernah disebutkan oleh guru sekolah kita di sekolah. Tidak ada siapa ambil peduli dan ambil tahu.

Sebab itu - dalam banyak hal - masyarakat kita hanya diam apabila dibawakan pembangunan berisiko tinggi ke tempat kita. Tidak ada siapa pun yang ambil peduli. Kita mungkin merasa berbangga kerana di kampung kita dibangunkan bangunan baru, dan ada beberapa anak kampung diambil berkerja sebagai jaga. Itu sahaja yang kita tahu untuk dijadikan modal bercerita.

Kita tidak tahu cerita risikonya. Kita tidak tahu bahayanya. Kita tidak ambil peduli apa bakal terjadi kalau sesuatu yang buruk berlaku. Kerana bagi kita istilah 'radiasi' dan 'sisa pepejal' hanyalah patah kata yang tidak ada maknanya. Ia mungkin sama nilainya dengan pembuangan besi buruk sahaja.

Kalaulah kita tahu - tentu kita akan membaca dan banyak berfikir.

Jepun sedang dilanda tsunami. Sistem penyejuk salah satu loji nuklearnya tiba-tiba tidak berfungsi. Tidak ada siapayang tahu apa puncanya. Semua orang sedang kelam kabut. Sesuatu yang lebih buruk dari tsunami bakal berlaku kalau masalah teknikal ini tidak dapat diatasi. Hari ini, salah satu tiang konkrit loji pula patah. Ia menakutkan bagi orang yang tahu makna radiasi. Tetapi bagi orang yang anggap radiasi hanya sama maknanya dengan besi buruk - ia mungkin tidak ada apa-apa.

Kalau Jepun, negara yang semaju itu dalam dunia teknologi - dengan sistem dan budaya keselamatan tempat kerja antara yang terbaik dunia - tidak menduga yang sistem loji nuklearnya tidak mampu berfungsi dalam keadaan yang tidak terduga, bayangkanlah pula senario di negara dunia ketiga.

Radiasi dan sisa pepejal - jangan hanya tahu menyebutnya sahaja. Kita patut membaca dan mengkajinya juga. Kalau kita tidak sayangkan diri kita pun, kasihanilah generasi depan kita yang kini mungkin belum lagi bersenyawa. Radiasi mungkin boleh menjejaskan mereka.

Friday, 11 March 2011

Apa impian saya?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya baru sahaja siap menulis bab 9 - bab terakhir untuk disertasi PhD ini. Sebetulnya ada satu bab lagi di hadapan bab penutup, tetapi saya menulis bab terakhir dulu. Kerana setiap menulis ada caranya, jadi itulah cara yang sesuai untuk saya.

Ia bab penutup bagi cerita orang yang berumur masuk universiti. Idealnya, sepatutnya 10 tahun dulu saya menjalankan penyelidikan PhD, dan kemudiannya berkerja. Tetapi begitulah kitar hidup. Tiada siapa yang dapat menjangka apa yang bakal berlaku dan apa yang sudah berlalu. Kita jalani sahaja.

Tinggal 6 bulan sahaja lagi saya dapat menyedut udara segar bumi Adelaide - tanpa banyak asap dan habuk. Tinggal 6 bulan sahaja juga saya akan bersama kawan-kawan baik yang menjadi 'permanent resident' di sini. Selepas ini, mungkin kami akan bertemu lagi, dan mungkin juga tidak. Mereka akan mendapatkan teman baru, dan saya juga akan berjumpa dengan kawan baik yang lain.

Impian saya yang satu lagi - kalau boleh saya dapat menetap di bumi luar setahun dua. Negara yang saya selalu idamkan ialah Jerman ataui Austria. Tidaklah saya tahu mengapa negara itu sering masuk ke dalam kepala saya. Mungkin sebab ilmu psikologi berasal dari sana. Jadi, sedikit sebanyak ia menyerap masuk mengganggu hueristik fikir saya. Saya harap saya dapat pergi bertemu dengan penyelidik yang hebat di sana, dan belajar dengan mereka pula.

Tetapi tentulah ia hanya impian sahaja. Barang tentu ia tidak semudah mengikat tali kasut atau memberus giri.

Dalam hidup saya, sebenarnya banyak perkara tidak terjangka telah terjadi. Dahulu, saya dibawa bos saya melawat Jakarta yang sesak. Saya rasa geli hati melihat orang menjual ikan 'flower horn' di tengah hiruk pikuk jalan yang macet di depan Ibis Hotel. Saya rasa pelik melihat 'ojek' dan 'bajai' yang menjadi kenderaan di sana. Saya rasa seperti berada di buah kota yang manusianya lebih banyak dari jumlah semut.

Rupa-rupanya beberapa bulan kemudian, saya dipindahkan ke sana. Ia tidaklah pendek. Kurang setahun dari tempoh masa saya berada di Australia.

Saya juga selalu berdoa dan berharap saya dapat menghabiskan usia hidup di kampung yang malamnya kita boleh membaca kitab, hidup di rumah kampung di tepi sungai dan hidup ala kadar sahaja. Tidak tinggal di banglo besar pun tidak mengapalah, asalkan saya ada sedikit tanah untuk dibuat dusun dan kebun. Saya rasa itulah jiwa saya yang sebenarnya.

Walaupun beberapa minggu lalu, isteri saya membelikan lebih dari 10 utas talileher jenama terkemuka dari 'garage sale' - yang katanya ada yang bernilai lebih AU100 sehelai kalau dibeli di kedai, tetapi sebenarnya tali leher bukanlah budaya hidup saya. Selama ini, saya hanya terpaksa memakainya sahaja. Ia budaya dunia korporat. Saya tidak tidak tahu pun mengikatnya. Ada beberapa orang kawan saya yang selalu mengikatkan tali leher untuk saya.

Saya kalau boleh ingin berseluar jean dan memakai baju t sahaja ketika masuk kelas mengajar. Bagi saya tidak salah pun manusia tidak dijenamakan kualiti dan darjat kerana pakaiannya. Tetapi dalam budaya di Malaysia, ia tentulah hal yang pelik. Saya tetap perlu mengikut rentak orang lain, walaupun ia tidak menggembirakan hati saya.

Banyak lagi impian yang ada dalam hidup saya. Ada yang boleh saya kongsi dengan pembaca, ada yang tidak. Ada yang hanya saya seorang sahaja yang tahu.

Thursday, 10 March 2011

Update hidup

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada berita untuk ditulis. Aku begitu sibuk kebelakangan ini. Aku malas berfikir hal-hal di luar kerja PhD aku. Ada 6 bulan sahaja lagi beb!

Kelmarin, supervisor aku mengirimkan aku satu kertas jurnal yang ditulis oleh pengkaji lain. Kertas ini dihantar ke satu jurnal antarabangsa. Supervisor aku seorang penilai bagi jurnal itu. Dia minta aku memberi ulasan dan penilaian terhadap kertas itu. Secara asasnya, ia bidang aku dan menggunakan analisis AMOS.

Membaca kertas itu - melihat analisis AMOS dan beberapa hipotesis - aku sudah boleh jangkakan apa yang patut aku berikan maklumbalas.

Kak Intan kawan aku di Perth tentu sudah boleh mengagak apa kesudahan kertas itu.

Tetapi begitulah roda hidup. Adakalanya kita bersedih. Sesekali kita membuat orang kecewa.

Saturday, 5 March 2011

Selamat datang musim baru

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Musim demi musim bertukar. Musim panas beransur pergi. Datang musim luruh menjenguk. Pasti musim bakal bertukar lagi.

Musim demi musim. Ia akan begitu selamanya. Cuma manusianya datang dan pergi. Ada yang baru dilahirkan. Ada yang pulang menemui Tuhan. Ada yang diuji dengan nikmat. Ada yang diduga dengan musibah.

Manusia - selamanya begitu. Ada harinya ketawa. Ada harinya kita bersedih. Ada harinya kita tiada emosi.

Hari ini kita membilang musim. Di masa silam, orang terdahulu dari kita memerhatikan alam. Di masa depan, anak-anak kita pula melihat bunga yang gugur dan daun yang luruh.

Begitulah kita. Begitulah manusia. Tak perlulah merasa besar kepala. Kita hanya menumpang seketika.

Tuesday, 1 March 2011

Dunia menulis

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tidak banyak perkara yang dapat aku update hari ini.

Aku sedang sibuk menulis kertas terakhir untuk pengajian PhD aku. Ia kertas yang perlu aku siapkan bagi menutup cerita PhD aku yang kian lama kian membosankan.

Berapa lama masa perlu digunakan bagi menulis satu-satu kertas yang panjangnya 10,000 patah perkataan?

Jawapannya bergantung kepada sebanyak mana kita tahu jalan cerita kertas kita. Ia seperti menulis di blog juga. Semakin banyak kita tahu, semakin banyak yang kita tulis, dan semakin mudah kita menulisnya.

Biasanya aku menetapkan 10 hari bagi menyiapkan satu kertas jurnal, dengan andaian 1,000 patah perkataan sehari - walaupun ada masanya aku boleh menulis lebih cepat dari itu. Masa terbaik aku menulis kertas ialah 3 hari.

Aku perlu menulis di rumah bagi tulisan yang terlalu memfokus. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin sebab ia memudahkan aku berlegar-legar di dalam rumah, dan merokok beberapa kali. Aku tidak boleh menulis di pejabat. Ia tidak menjadi tempat yang selesa untuk aku - walaupun ada semua kemudahan. Dulu aku menulis di garage belakang rumah. Selalu juga aku menulis di dapur. Ini semua lokasi terbaik aku di rumah.

Supervisor aku juga tahu cara aku. Kalau aku tidak ke universiti, itu tandanya aku sedang menulis. Aku biasanya mengirimkan email - memberitahunya yang aku sedang menulis. Jadi, dia tidak akan menggangu aku untuk beberapa hari.

Anda sedang menulis?

Oh, hari ini ada satu lagi kertas aku diterima dengan sedikit pembetulan. Alhamdulillah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails