Yang Ikut

Tuesday, 31 January 2012

5 tahun FakirFikir

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku mula meletakkan huruf bagi tulisan di FakirFikir 1 Februari 2008. Tahun 2012 ini, masuklah tahun kelima blog ini wujud dalam jutaan laman blog yang lain. Ada blog yang kekal, ada yang terpadam. Ada yang punya ribuan pembaca, ada yang ada beberapa kerat.

Secara jujur, aku tidak kisah sangat kalau pembaca di blog ini mencecah puluhan ribu, atau hanya seorang sahaja. Aku hanya menulis untuk bersuka-suka, sekali melepaskan resah fikir. Daripada apa yang aku tulis, ada yang bermanfaat, ada yang tidak. Ada pembaca yang merupakan teman-teman aku sendiri, ada yang tidak aku kenal pun siapa mereka.

Kebelakangan ini, aku jarang menulis hal yang menyukarkan akal. Mungkin sebab aku penat berkerja, dan juga sebab aku kian sibuk. Bilik aku boleh dikunjungi setiap hari, tanpa perlu protokol dan temujanji. Temujanjinya berdasarkan ketuk sahaja. Kalau aku ada, temujanji on. Kalau tidak ada, datang waktu lain.

Walaupun aku sudah menambah beberapa buah kerusi dan sebiji meja, nampaknya adakalanya pelajar datang secara gerombolan. Ada yang sememangnya pelajar seliaan aku, ada yang tidak.

Sebenarnya menulis blog bukanlah sesuatu yang tidak memberi manfaat. Bagi mereka yang tidak mahir menulis, mungkin menulis di blog ialah satu cara yang boleh meningkatkan keupayaan berfikir anda. Isu utama penulisan ialah pemikiran. Kalau anda rajin membaca dan rajin berfikir, anda boleh menulis dengan baik.

Blog juga sangat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyelidikan. Ia boleh merakamkan pengalaman anda, yang sesekali boleh dibaca orang lain. Sesekali, anda akan dihubungi orang lain, yang kemudiannya mungkin menjadi rakan anda. Ada beberapa orang pembaca yang menjadi teman aku - walaupun secara fizikalnya aku tidak pernah sekali pun melihat muka mereka.

Mungkin ini adalah sebahagian dari kehidupan zaman ini.

FakirFikir sudah mencecah 5 tahun. Kalau ia bertahan 5 tahun lagi, maknanya aku sudah cukup tua untuk terus menulis bahasa orang muda.

Selamat membaca. Terima kasih kepada semua yang mengunjung laman ini.











Monday, 30 January 2012

Mimpi saya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masih tidak tahu apa yang hendak ditulis.

Sejak balik Malaysia, saya sudah melakukan beberapa percubaan. Ada yang berjaya, ada yang gagal.

Bagaimana pun, percubaan saya untuk melihat kewujudan Human Research Ethics Committee di universiti saya nampaknya ada cahaya harapan. Ia kini sudah menjadi perhatian pihak pengurusan penyelidikan universiti. Saya harap, dalam tahun ini ia akan menjadi kenyataan.

Sebelum balik ke Malaysia, saya selalu berbincang dengan penyelia saya yang akan cuba mewujudkan kumpulan penyelidikan yang berasas kepada disiplin psikologi. Modelnya mirip kepada Work & Stress Research Group, tempat saya mengikuti pengajian PhD selama 4 tahun dahulu. Ia lebih kepada kumpulan kajian yang berkisar kepada work performance.

Bagaimana pun, motif utama saya ialah untuk menggalakkan idea baru penyelidikan, termasuk dari segi metodologi dan statistik. Harapan saya, dengan cara itu, kita dapat menerapkan budaya baru penyelidikan psikologi.

Kini, saya sedang cuba untuk menghubungi beberapa sarjana dari luar negara untuk terlibat sama. Saya harap dengan cara itu, akan ada pemindahan ilmu yang dapat dilakukan. Antara sarjana yang cuba saya dapatkan ialah dari Jepun, Jerman dan Australia. Mereka ini adalah antara mereka yang pernah berhubungan dengan saya dahulu.

Di masa depan, saya berharap akan dapat menarik lebih ramai muka baru bagi melanjutkan penyelidikan pasca ijazah dalam psikologi. Kita cuba menggunakan metodologi baru dan idea baru. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya kita akan belajar sesuatu yang lebih menarik.

Saturday, 28 January 2012

Calon pesakit mental

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya, dalam hidup kita sehari-harian, kita dikelilingi banyak pesakit mental. Kejadian menculik seorang budak di Kampung Baru yang lalu adalah petanda orang yang sakit mental. Seorang pelajar Pakistan ingin membunuh diri kerana tertekan dengan belajar. Semuanya adalah istilah yang kita rujuk kepada kesihatan psikologi.

Malangnya, kita tidak tahu siapa yang sakit mental ini. Ia boleh jadi ahli keluarga kita, sahabat baik, atau diri kita sendiri. Tidak seperti sakit fizikal, sakit mental tidak kelihatan.

Bagaimana simptomnya. Adakalanya kita merasa was-was bagi satu-satu perkara. Kita berfikir panjang bagi satu-satu topik. Misalnya, orang yang sudah berkahwin, mula bertanya kepada diri perkahwinanya sah atau tidak. Ia kemudiannya menghalakan pula, kalau tidak sah tentulah berlaku perzinaan. Kalau berzina, bagaimana dengan anak yang lahir. Matinya pula tentu sedang dinanti oleh neraka.

Ini antara perkara tidak masuk akal yang selalu difikirkan. Topik yang difokuskan bergantung kepada seseorang. Ia mungkin bersifat agama. Ada yang bersifat perhubungan. Semuanya adalah halusinasi yang diciptakan sendiri yang membawa kepada kehancuran.

Kekerapan berfikir juga semakin tinggi dari satu hari ke satu hari. Ini akhirnya menjadikan badan berasa lemah, dada berdebar-debar, gelisah dan seumpamanya. Ia datang secara lintasan hati. Tetapi datang dengan semakin kerap.

Akhirnya menyendiri ke dalam bilik kerana mahu berdebat dengan persoalan mental tadi. Ia tidak ada jawapan. Kerana soalannya juga tidak memerlukan jawapan. Ia hanya ingin memusnahkan diri.

Akhirnya, dicarilah sesiapa yang kononnya pandai untuk mengubat. Mengubat tidak juga hilang. Paling mudah, mula mencari sesiapa yang berkemungkinan membuat guna-guna.

Dituduh si A atau B.

Masalah utama yang berlingkar di dalam minda tidak selesai. Sebab ia bukan buatan orang, ia sakit mental yang dihadapi banyak orang.

Anda ada tanda-tanda ini?

Inilah sebenarnya kecelaruan. Ia bukan buatan sesiapa. Ia sakit yang boleh dirawat. Sekiranya baru bermula, jangan malu bertanya. Carilah seseorang yang boleh membantu anda. Jangan membawa diri dan lari. Ia tidak menyelesaikan apa-apa.

Jangan pula bertanya kepada yang tidak tahu. Setiap soalan yang ada dalam otak itu hanyalah ilusi.

Ada orang yang boleh menjawabnya bagi pihak anda, bagi menghentikan debat mental itu.

Misalnya, ada orang mula gelisah ke mana mahu lari kerana 2012 ini ialah tahun kiamat. Apa yang akan terjadi. Keluarga bagaimana? Semua soalan 'gila' ini menusuk minda setiap saat. Ia datang secara lintasan hati.

Jawapan kepada soalan tadi sangatlah mudah. Kiamat ialah pekerjaan Tuhan, bukan kerja manusia. Siapalah kita yang merasa lebih hebat dari Maha Pencipta.

Kalau anda ada terasa perasaan seperti ini, gelisah dan tidak boleh tidur, berfikir hal yang bukan kepakaran anda, terlalu dalam - anda mungkin salah seorang daripada calon sakit mental yang baru.

Thursday, 26 January 2012

Apakah kajian yang baik?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tulisan ini mungkin tidak relevan dengan anda.

Musim peperiksaan di universiti sudah berakhir. Kini kebanyakan pelajar sedang bercuti.

Saya agak sibuk juga kebelakangan ini. Selain menulis kolum mingguan di suratkhabar Kosmo, saya juga ada 3 kajian yang sedang dijalankan.

Minggu hadapan (2 Feb), saya diminta untuk mengendalikan bengkel penyelidikan di universiti tempat saya berkerja. Antara fokus utamanya ialah penulisan untuk penerbitan jurnal, apa yang dilihat penilai, dan jurnal-jurnal yang penyelidik patut menghindarkan diri dari menghantarkan artikel mereka.

Mengapa patut kita menghindarkan diri dari menghantar artikel ke jurnal tertentu, walaupun ia diterbitkan di Barat. Banyak sebabnya. Antaranya, pembaca yang biasanya juga merupakan penyelidik akan menjadikan kita objek senyum sinis. Dalam patah kata yang lain - kita akan dilihat sebagai 'funny'.

Kalau ada pembaca aliran sains sosial yang kini sedang mengikuti pengajian lepasan ijazah dari universiti tempatan yang lain, anda yang juga boleh datang mengikutinya. Bagaimana pun, sila emel saya dahulu.

Teman baik saya, ada rencana untuk menjemput saya ke universitinya di Sarawak bulan Mac nanti. Fokus utama ialah apakah yang dikatakan kajian yang baik.

Sebenarnya, saya pun tidaklah pandai dengan apa yang dikatakan kajian yang baik. Bagaimana pun, kesempatan bertemu dengan beberapa pengkaji luar, menyediakan saya sedikit pengalaman dengan hal itu.

Kalau selama ini kita teruja dengan kajian cross-sectional, pengkaji luar sudah mengubah kajian kepada kajian-kajian longitudinal. Kita juga mungkin masih terpengaruh dengan penggunaan soal selidik. Di Barat, dengan hadirnya teknologi - mereka mengkaji manusia dengan menggunakan diari. Misalnya melihat perubahan emosi manusia dari pagi hingga ke petang.

Semua ini memungkinkan kajian kita mudah diterima di jurnal yang berkualiti.

Sudahkah kita bersedia?

Apa khabar kawan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah beberapa hari saya tidak menulis. Saya bercuti dan pulang ke kampung.

Tidak ada apa-apa juga yang bermakna untuk saya tulis.

Cuma di kampung, saya sempat bertemu dengan seorang teman lama yang dulunya bersekolah dengan saya. Sudah beberapa kali beliau menghubungi saya melalui emel, tetapi kerana kesibukan saya tidak sempat menemuinya.

Teman saya ini berbangsa Thai. Mungkin beliau satu-satunya pelajar berbangsa Siam di sekolah kami ketika itu. Saya tidak begitu pasti. Bagaimana pun, sejak dari sekolah sehingga sekarang, beliau tidak kami lihat sebagai berbangsa yang berbeza dengan kami. Ini kerana beliau memang mendapat pendidikan di sekolah aliran Melayu, dan tinggal pula di kampung Melayu. Beliau mungkin sudah sebati dengan jiwa Melayu.

Saya pula, tinggal di kampung Melayu tetapi bertutur dalam bahasa Siam. Jadi, saya pula mungkin membawa identiti Siam dalam diri orang Melayu. Beliau pula mungkin membawa identiti Melayu dalam diri orang Siam.

Kali terakhir saya bertemunya ialah 23 tahun dulu. Itu tahun 1989. Itu tahun ketika kami semua mengambil SPM.

Saya mengikuti Tingkatan 6 tahun kemudiannya, dan beliau saya tidak tahu hilang ke mana.

23 tahun dulu, kami masih remaja. Umur baru 17 tahun. Masih belum ada misai dan janggut. Perut masih menipis. Kami juga tentunya masih kelihatan muda. Tidak seperti sekarang. Kini, kami sudah berusia 40 tahun, walaupun jiwa kami sebenarnya masih muda lagi.

Kami bersembang panjang di kedai kopi. Bersembang tentang masa silam. Bersembang hal keluarga dan kerja. Bersembang macam-macam. Sesekali mencarut dalam bahasa Siam. Tidak mengapa, bukan orang lain boleh faham.

Kini, apabila sesekali mengimbau masa silam - tahu benarlah kita bahawa dunia ini sebenarnya singkat sahaja. Masih terasa benar zaman sekolah dulu. Masih ingat semua wajah-wajah yang pernah menjadi teman kami semua.

23 tahun lagi mungkin kami sempat bertemu lagi. Itu pun, kalau kami semua masih dipanjangkan usia.

Apa khabar kawan?

Wednesday, 18 January 2012

Tips memandu di Kuala Lumpur

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari kebelakangan ini, saya tidak ada isu untuk ditulis.

Tapi setelah beberapa bulan ini, setiap hari saya terperangkap dalam kesesakan jalanraya. Agak memenatkan.

Bagaimana pun, saya mendapat tips yang tidak sihat.

Sekiranya anda ingin mencelah ke kiri atau ke kanan, ketika kereta sedang padat dan tidak bergerak, jangan sesekali memberikan signal. Saya dapati, kalau kita memberi signal, nanti kereta di sebelah akan terus menghimpit dan tidak akan berasa belas kasihan. Mereka tidak akan memberikan anda ruang untuk masuk.

Bagaimana pun, kalau tidak memberikan signal, dan dengan cara memandu yang tidak berapa senonoh, mudah pula mereka memberikan laluan.

Pelik sungguh cara hidup pemandu di Malaysia.

Bagaimana kalau mereka masih tidak pedulikan anda?

Turunkan cermin kereta anda, dan cuba anda sedikit menoleh ke kereta di sebelah anda. Berikan sedikit renungan sinis.

Dalam keadaan ini mereka akan memberikan anda ruang untuk mencelah.

Sebabnya mereka mungkin berasa malu.

Burukkah tabiat kita ini semua?

Burukkan tabiaat kita ini?




Tuesday, 17 January 2012

Tidak ada berita

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak balik Malaysia, tidak ada satu artikel pun yang telah aku hantar ke jurnal.

Petang ini, aku menghantar satu manuskrip ke satu jurnal yang agak besar, yang potensi untuk ditolak juga sangat besar, yang mana semua orang ingin menghantar artikel ke jurnal ini.

Jurnal ini ialah Personnel Psychology. Aku menggunakan data multi-level dan juga longitudinal. Aku tidak tahu sama ada mereka akan gembira atau tidak dengan manuskrip ini. Tetapi kerana sekarang tiada lagi keperluan untuk seperti dulu, maka aku tidaklah berasa hampa kalau sekalipun ditolak. Dulu aku perlu memastikan manuskrip aku diterima kerana ia sebahagian syarat untuk aku mendapat Ph.D.

Aku sedang sibuk dengan satu projek penyelidikan sekarang ini. Harapnya, aku akan memperolehi data dengan cepat - dan ini akan menjadikan aku sibuk semula.

Kepada mereka yang sedang menjalankan penyelidikan, selamat menyelidik.




Sunday, 15 January 2012

Update hujung minggu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya baru sahaja menyiapkan dua artikel bagi ruangan kolum di dalam "Psikologi & Masyarakat" untuk suratkhabar Kosmo edisi Jumaat. Asalnya saya mahu menulis hal cinta warga Nigeria, tetapi nampaknya sepanjang menulis, tajuk lain yang datang dulu. Sesiapa yang ingin membacanya, belilah suratkhabar Kosmo setiap Jumaat.

Saya menulis hal pendidikan anak-anak dan juga hal jenayah. Saya rasa ia hal yang penting untuk saya maklumkan pandangan saya kepada ahli masyarakat dengan menggunakan pandangan psikologi saya.

Sebenarnya, mutakhir ini saya agak sibuk. Saya ada beberapa projek proposal penyelidikan. Antaranya telah saya hantar kepada
Dr Ben yang tujuan kami mengenalpasti punca kemalangan di tempat kerja. Projek saya yang lain ialah peranan stress dan kemalangan jalanraya. Saya juga merangka satu projek kajian 'contagion' effect.

Seperti biasa, saya selalunya membuatnya sendiri. Saya tidak begitu menjalankan kerja-kerja secara kumpulan bagi hal seperti ini. Pertamanya, saya takut kerja menjadi lambat kalau ada banyak tangan. Keduanya, saya memang suka menulis secara berseorangan.

Ada seorang pelajar PhD mengirimkan email untuk bertanyakan hal structural equation modelling. Kerana ia hal statistik dan melibatkan data, saya memintanya datang bertemu saya. Sebenarnya, saya tidak kisah sangat pun sesiapa yang mahu datang bertemu saya. Saya tidak mengamalkan sebarang protokol. Sesiapa yang berhajat boleh datang.

Saya mungkin sedikit sibuk. Tetapi bagi saya, apabila ada orang menghubungi kita, tentulah mereka sedang menghadapi hal yang sedikit sukar.

Apa rencana saya selepas ini?

Saya ingin menulis buku akademik. Tapi prosesnya mungkin agak lambat.

Ada sesiapa yang ingin melakukan penyelidikan master atau Ph.D. Saya ada banyak ilham yang boleh membantu anda.


Saturday, 14 January 2012

Ingatan musim panas yang tertunda

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Malam di musim panas, ada ingatan yang tertunda.

Di Adelaide - malam di musim panas ini kami biasanya melepak di jeti Henley Beach mencari ketam atau memancing, atau setidak-tidaknya hanya mencari angin. Sesekali kami pergi agak jauh ke luar kota Adelaide - ke Goolwa dan bermalam di sana.

Tahun 2008 agak istimewa. Mungkin kerana aku baru sampai dan masih belum terlalu sibuk.

Nizam - bekas kelasi, yang kini umurnya tidak lagi merenggang terlalu jauh dari aku akan duduk di hujung jeti. Kami melihat ketam berenang. Dia bercerita bermacam-macam cerita silamnya. Cerita pelayarannya. Cerita kehidupan keluarganya di kampung. Sesekali tersangkut cerita cintanya juga. Di tangannya dikepitkan sebatang rokok, sambil matanya menjeling takut-takut isterinya datang dari belakang. Dia sangat istimewa dalam hal ini. Dia boleh merokok tanpa kelihatan baranya.

Apabila isterinya membaca blog ini, pasti isterinya akan berkata - amboi!, sambil memuncungkan mulutnya. Dia tahu benar suaminya bukan perokok semacam aku.Dan aku juga tahu benar, Nizam tidak merokok. Cuma sesekali sahaja. Mungkin setahun 5 batang.

Di hujung jeti di Goolwa - kelihatannya semua orang sibuk dengan aktiviti masing-masing. Ada yang memasang umpan, ada yang sibuk mengeluarkan ketam dari jaring. Ada juga yang akan membawa pulang ketam atau ikan yang tidak cukup saiz untuk disimpan di rumah.

Dalam bidang mencari ikan ini, Abang Zul antara yang terbaik. Dia selalunya menjadi bahan kutukan kami. Tetapi, kutukan dia juga selalunya pedas.

Fahmi selalunya akan merancang perjalanan. Dia sepertinya sangat arif dalam hal seperti ini.

Malam musim panas ini, kami akan duduk bersembang sampai ke pagi. Kami bercerita cerita kami. Sesekali aku selitkan juga rahsia hidupku.

Sesama kami, tidak banyak lagi rahsia. Kami seperti keluarga besar yang bertemu seketika dan kemudiannya pergi. Seperti angin di musim panas, datang dan berlalu pergi.

Yang pasti tinggal di situ ialah jeti kayu yang terpacak keras di dasar laut. Nizam itulah jetinya kerana dia tidak ada tempat dituju lagi, telah menghidupkan dirinya dalam sepi kota Adelaide sejak sekian lama. Kami pula, seperti angin yang sekadar singgah untuk membisikkan cerita, dan kemudiannya hilang tak akan kembali.

Di atas jeti kayu itu - tiada pangkat, tiada kuasa, tiada rasuah. Yang ada hanya persahabatan. Yang ada hanya rasa kemanusiaan. Kami para ahli akademik akan menjadi orang biasa seperti Nizam yang memburuh di kilang pembuat paip. Tatkala kami bercerita hal teori dunia akademik, dia setia mendengarnya seolah-olah kami membawa khutbah mengenai jalan pantas ke syurga. Kami pula akan terlopong apabila dia bercerita tentang rutin kerja kilangnya - bangun jam 4 pagi setiap hari.

Sesekali aku bernyanyi lagu rock kapak - yang bunyinya seolah cengkerik yang patah sayapnya.

Musim panas sudah tidak ada lagi dalam cerita aku. Aku menjadi angin yang telah memusarkan arah. Tiada lagi keindahan persahabatan musim panas yang pernah menemani hidup kami. Tetapi pastilah, kami tetap orang yang sama walaupun wajah kami kian dimamah waktu. Kami tetap teman yang saling mengingati.

Musim panas datang dan pergi. Yang tetap kekal di situ ialah ingatan yang tak terpadam.

Thursday, 12 January 2012

Mengapa gadis kita jadi begitu?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Manusia secara semulajadinya bersifat xenophobia, atau bencikan orang asing. Ini kerana setiap manusia secara semulajadinya dilahirkan dengan sifat prejudis. Bagaimana pun, tinggi atau rendah darjah prejudis ini berbeza mengikut persekitaran dan budaya masyarakat. Ada pula manusia yang mampu menyembunyikan rasa prejudisnya, tetapi ada yang tidak.

Kalau begitu, mengapa pula gadis Melayu kita terpesona dan jatuh cinta dengan warga Nigeria? Tidakkah mereka ini ada prasangka prejudis dan xenophobia?

Tunggu tulisan selanjutnya dalam Kosmo Jumaat depan!

Untuk terbitan esok, ia hanya sekadar pengenalan.

Selamat membaca dan sama-sama berkongsi rasa.

Kepada semua pembaca blog ini, sekiranya anda merasakan ada isu yang sesuai untuk diulas, bolehlah memberikan komen anda. Ia mestilah bersifat peristiwa semasa yang anda fikir ia boleh diulas dari perspektif psikologi. Kalau boleh ia sesuatu yang membantu membina masyarakat kita.

Anda mungkin tidak menulis, tetapi anda akan membaca saranan anda sendiri.

Wednesday, 11 January 2012

Menunggu jam 1

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Menunggu jam 1 tengahari.

Beberapa jam lagi, saya akan diinterview melalui telefon untuk jawatan Post Doctoral Fellowship untuk sebuah universiti di Sydney, Australia.

Sebenarnya, ia bukanlah jawatan yang bersifat tetap. Post Doctoral Fellowship biasanya merujuk kepada pekerjaan bersifat penyelidikan, dan tempoh yang biasanya ditawarkan ialah 1-3 tahun.

Jawatan ini lebih kepada latihan kepada mereka yang baru menyelesaikan kajian peringkat Ph.D. Antara kriteria lain yang diambil kira termasuklah mempunyai beberapa penerbitan, menguasai beberapa software statistik dan yang paling utama, calon mestilah mempunyai pengetahuan dalam bidang yang diiklankan.

Walaupun ia bukanlah jawatan tetap, tetapi mereka yang berjaya mendapat tempat akan dibayar gaji dalam lingkungan 8,000 AUD ke 9,500 AUD sebulan. Kelihatannya agak besar, dalam lingkungan RM25,000 sebulan. Sebenarnya ia tidaklah sebesar mana memandangkan kos sewa rumah, pendidikan anak dan insuran kesihatan yang juga tinggi.

Ada juga jawatan Post Doctoral Fellowship yang tidak dibiayai oleh universiti di tempat kita melakukan penyelidikan. Sebaliknya gaji dan elaun sara hidup dibayar oleh universiti yang menghantar penyelidik tersebut. Ia sama sifatnya dengan penghantaran pelajar ijazah MA atau Ph.D ke luar negara.

Apa perasaan saya?

Saya tidak mempunyai apa-apa perasaan.

Saya hanya ingin ke kafetaria untuk secawan teh tarik.

Kalau saya berjaya, mungkin selepas ini saya boleh menulis cerita dari luar negara sekali lagi!

Doakan saya ya.

Tuesday, 10 January 2012

Saya akan menulisnya

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya dihubungi oleh suratkhabar Kosmo yang besar kemungkinan kolum saya akan terbit pada hari Jumaat, tertakluk kepada kekosongan ruang. Jadi saya tidak tahu sama ada ia akan terbit Jumaat ini atau tidak, atau bakal muncul pada hari lain, atau tidak terbit langsung. Tunggu dan lihat Jumaat ini.

Secara dasarnya, saya akan menulis hal-hal psikologi yang berlegar dalam masyarakat. Saya tidak menulis hal penyelesaian konflik rumahtangga. Saya menulis isu semasa yang lain. Biar orang lain yang menulis hal berkaitan rumahtangga, percintaan dan sebagainya.

Bagaimana pun, saya ada merancang untuk menulis hal cinta warga Nigeria dan anak dara kita. Banyak lagi hal yang saya ingin tulis sebenarnya.

Saya rasa, akhbar Kosmo sesuai kerana ia dibaca oleh masyarakat yang biasa-biasa sahaja. Golongan elit akan membaca suratkhabar berbahasa Inggeris. Orang bandar lebih banyak membaca akhbar online. Orang biasa-biasa ini antara yang patut dimaklumkan dengan pelbagai gejala psikologi yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka banyak ditipu pendatang di jalanan. Ada yang percaya hal yang karut marut. Tidak kurang yang menjadi mangsa manipulasi orang lain.

Sebahagian daripada fenomena psikologi ini telah saya tulis di blog ini. Bagaimana pun, bahasa dalam akhbar tentulah agak berbeza dengan bahasa yang saya gunakan dalam blog ini. Blog ini saya sendiri yang menjadi tukang tapis dan halatujunya. Suratkhabar dimiliki pihak lain.

Bagaimana, harus saya maklumkan - saya bukanlah pakar. Saya hanya menulis berdasarkan apa yang saya tahu. Anda sebagai pembaca adalah penilai yang membuat saringan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman anda.

Kita semua, hanya sekadar berkongsi pengetahuan. Kita semua ada pengetahuan, yang sama ada tersembunyi atau tidak kita sedari.

Selamat membaca.

Nota untuk calon Ph.D

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang pelajar menghubungi saya kerana pihak jawatankuasa di sebuah universiti tidak bersetuju dengan tajuk dan kerangka proposal kajian yang beliau lakukan. Beliau juga mendakwa bahawa tajuknya terlalu besar. Mereka juga tidak faham apa yang dimaksudkan dengan Hierarchical Linear Modelling (HLM) dan multi level. Mereka memintanya membuat semula dan merombak keseluruhan proposal tadi.

Sebenarnya, saya sudah beberapa kali melihat kerangka kajian pelajar ini yang kini sedang membuat Ph.D di sebuah universiti tempatan. Saya rasa tidak ada salah cadangan kajian pelajar ini. Beliau telah mengambil kira common method variance dan objective measurement, seperti yang sedang banyak didebatkan dalam aliran pengajian psikologi di Barat.

Cuma, apabila seorang ahli jawatankuasa tidak bersetuju, dan berstatus Profesor pula, maka apa yang boleh pelajar tadi lakukan?

Saya katakan kepada pelajar tadi, hantarlah proposal itu kepada sarjana dari luar negara. Mereka lebih faham dan arif, apabila pelajar mencadangkan hal yang baru, terutamanya dari segi metodologi dan konseptual. Aliran kita masih tradisi dan adakalanya agak jumud.

Saya cuba menggoogle profesor tadi untuk melihat aliran kajiannya. Kerana banyak kajian yang dilakukannya hanya menggunakan korelasi, dan diterbitkan pula di jurnal XXXX, saya pun berkata, kalau begitu saya faham kenapa mereka menolaknya. Sebab itu, kalau anda menghantarkan model kajian yang komplikated, mereka tidak menyukainya. Hakikatnya, dengan software statistik moden hari ini - AMOS, Mplus, HLM atau LISREL, model sesukar mana sekalipun boleh dianalisis dengan mudah. Ia hal yang tidak boleh dilakukan oleh SPSS.

Sebab itu, kalau anda pelajar yang mempunyai pandangan yang agak lain berbanding dengan aliran konvensional, ada baiknya anda menggogle dahulu seseorang penyelia yang hendak dipilih. Aliran pengajian psikologi telah berubah dengan cepat 10 tahun kebelakangan ini. Jangan terpukau dengan gelar Prof atau Dr yang ada di depan nama seseorang. Lihat di mana mereka menerbitkan kajian, itu yang terlebih penting.

Dunia berubah, masa berlalu. Ada hal-hal yang kita boleh ubah. Ada hal yang tidak.

Artikel yang ditulis di dalam jurnal-jurnal seperti ini, misalnya Int J of Psychological Studies,
European of Social Sciences, Global Journal of Health Science dan beberapa lagi patut dinilai dahulu sebelum anda membuat citation, tidak kiralah sama ada mereka profesor atau tidak. Tidak juga penting sama ada mereka penyelia anda atau orang lain.

Hentikan politik ludah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Abad terakhir ini, kalau kita perhatikan - politik Melayu banyak ditenggelamkan dengan gejala politik ludah meludah.

Apa politik ludah meludah?

Politik mengaibkan musuh untuk menunjukkan kita terlebih baik. Politik mencerca dan menghina pihak yang satu lagi, sampailah kepada hal-hal di dalam kain. Politik kita telah menjadi bahan ketawa yang menjengkelkan, dan busuknya tersebar ke seluruh dunia.

Mengapa politik ludah meludah ini terus berkembang biak?

Jawabnya mudah sahaja. Kuasa dan wang.

Ia berlaku dalam di mana-mana sahaja. Baik yang memegang kuasa, atau yang sedang menjeling kuasa.

Kadang-kadang, apabila kita membaca berita, kita rasa tidak ada lagi berita yang membuatkan kita gembira. Kita berasa rimas dan resah. Kita semakin resah kerana politik ludah meludah ini hanya berlaku di kalangan bangsa kita, dan bukan orang lain.

Mungkin tidak ada satu negara pun yang telah menjadikan hal-hal dalam kain ini tema utama perjuangan politik. Bill Clinton pernah jatuh kerana skandal seks. Tetapi hal ini tidak dijaja sekian lama. Kita lain. Kita menjajanya berkali-kali. Sama ada benar atau tidak dilakukan atau tidak, ia hal lain. Tetapi menjadi pokok segala cerita. Ia menggelikan. Ia memalukan.

Politik ludah meludah ini tidaklah pula menguntungkan sesiapa pun. Ia jatuh dan terpercik ke muka kita semua, baik yang berada di pihak kanan, atau di pihak kiri. Ia jatuh tepat atas kepala kita semua, dan leleh malunya kita usung ke mana-mana.

Orang bertanya, apakah agenda sebenar politik Melayu ini? Ekonomi, pendidikan, sains atau hanya hal dalam kain?

Tatkala orang lain sudah lama ke bulan, kita masih sibuk membelek kain sarung. Harapnya dapat bertemu kurap untuk dibisingkan lagi.

Sudahlah. Aku sudah jelik. Harap tidak ada lagi selepas ini.

Sunday, 8 January 2012

Jurnal - apa yang selalu dilihat?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekarang ini, salah satu usaha untuk menaikkan nama universiti di Malaysia, salah satu keperluannya ialah menulis jurnal. Dengan menulis jurnal, apabila ada penerbitan, bermakna secara tidak langsung nama universiti akan tertera bersama. Semakin banyak citation, semakin terkenal nama universiti di persada antarabangsa.

Trend menulis jurnal ini telah lama berlaku dalam tradisi universiti Barat. Hanya kita agak ketinggalan.

Ada universiti di Malaysia yang mengupah ahli akademik dari luar untuk menulis jurnal. Gajinya tentulah besar. Walaupun, saya adakalanya tidak bersetuju dengan cara ini kerana tidak ada pemindahan ilmu yang dilakukan.

Kini di Malaysia, pelajar pasca ijazah khususnya, turut dipaksa untuk menulis jurnal. Bagi saya ia hal yang baik, walaupun daripada segi yang lain, kita masih kekurangan. Khususnya, tidak ada orang yang mengajar kita bagaimana sepatutnya menulis jurnal bagi membolehkan peluang untuk diterbitkan itu tinggi.

Pada masa depan, saya mungkin akan membuat bengkel menulis jurnal.

Biasanya, apa yang menyebabkan jurnal diterima/tidak ditolak?

Pertama sekali dinilai ialah apakah sumbangan kajian/originality?

Kajian yang tiada originality akan ditolak begitu sahaja. Saya selalu melakukannya juga apabila saya menilai jurnal.

Apakah originality?

Ada kajian mengenai kesan beban kerja dengan kepuasan kerja yang telah dilakukan di Jepun. Kita mengkajinya pula di Kota Bahru? Bagaimana peluangnya? Besar kemungkinan akan ditolak juga. Sebabnya, diandaikan orang Asia ini sama sahaja. Jadi, kajilah di mana tempat sekalipun, hasilnya akan sama. Orang sudah sedia maklum.

Originality ialah menambah pengetahuan baru. Misalnya, kita sedia tahu bahawa beban kerja memberi kesan kepada kepuasan kerja yang rendah. Yang mungkin belum diketahui, adakah kesan ini pula bergantung kepada sifat kerja yang berstruktur atau tidak berstruktur. Ia mungkin ada originality di situ. Tambahan inilah dikatakan originality.

Semua hal ini berkait rapat dengan gap of research, limitation previous studies dan contributions of the present study.

Kedua yang dinilai ialah metodologi. Adakah cara kita melakukan kajian itu sesuai dengan topik. Katakanlah anda melakukan observation untuk melihat jumlah tidur dan kesan terhadap prestasi pelajaran. Ia akan ditolak sebab metodologinya tidak sesuai. Mustahil untuk melakukan observation, takut-takut penyelidik yang tertidur dahulu semasa memerhatikan subjek kajian tidur.

Ketiganya ialah statistik yang digunakan. Biasanya, kajian-kajian yang menggunakan statistik yang simple akan ditolak juga misalnya, korelasi, t-test, anova dan sebagainya. Alasannya mudah sahaja. Sebab ia tidak memberikan sumbangan apa-apa. Apa masalahnya kalau berbeza di antara sample A dan B, atau terdapat hubungan A dan B.

Tapi, saya lihat banyak juga kajian yang diterbitkan dalam jurnal. Ingat, itu ialah jurnal kelas ayam. Banyak juga penulis kita memilih jurnal kelas ayam. Jangan terpaku dengan gelar Dr atau Prof. Ini patut diperhatikan. Lihat di mana jurnal ini diindexkan. Biasanya jurnal yang baik disenaraikan di Scopus atau ISI. Jurnal yang buruk tidak disenaraikan di mana-mana kerana kualitinya yang teruk.

Apa lagi yang dilihat?

Tulisan dan struktur penulisan akan diperhatikan. Bagaimana pun, reviewer yang baik biasanya tidak akan menolak hanya kerana hal ini, melainkan tulisannya sangat jelek. Orang akan meminta diperbaiki 3 hal tadi dahulu sebelum meminta pengkaji memperbaiki hal yang ini. Ini biasanya akan dilakukan dalam revision kali kedua. Sebabnya mudah sahaja, kalau ketiga-tiga perkara di atas betul dan relevan, hal-hal lain boleh diperbaiki. Kalau ketiga-tiganya salah, ia tidak berguna apa pun.

Ia seperti rukun menulis jurnal.

Bagaimana pun, ia tidak bermakna hal ini sudah cukup untuk melayakkan manuskrip anda diterima.

Job stress Intervention: Call for paper

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Untuk pengkaji job stress, khususnya di rantau Asia Pasifik - ada call for paper bagi special issue edition dalam International Journal of Stress Management. Journal ini diterbitkan oleh American Psychological Association (APA). Jika anda mempunyai sebarang kertas manusrkrip, bolehlah cuba menghantarkan kertas anda ke sini.

Link iklan di sini.

Friday, 6 January 2012

Penyeliaan, Amos dan upah

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dalam penyelidikan ijazah Ph.D dan master, kita biasanya akan bertemu dengan banyak bentuk penyeliaan. Ada yang menyelia tanpa penyeliaan - atau dalam istilah Kurt Lewin - laisezz faire. Mereka ini akan membiarkan pelajar terawang-awang dalam dunia penyelidikan tanpa bimbingan yang banyak. Ada pula yang terlalu autokrtik - pelajar perlu mengikut semua kata tanpa membantah. Ada yang sedikit demokratik - sama-sama menyumbang ilham dan idea.

Gaya ini sebenarnya tergantung kepada personaliti penyelia itu sendiri. Ini jugalah yang muncul dalam bentuk kepimpinan.

Aku diselia oleh penyelia yang demokratik - tetapi gayanya pula lebih kepada pantas dan cepat. Semuanya perlu berjalan lancar. Dia tidak berkira dengan masa atau tempat. Di dapur rumahnya kita boleh berbincang dan menyelesaikan statistik. Ketika dia di luar negara pun, kita boleh meminta dia menelefon dan mengajar apa yang kita tidak tahu. Yang utama, semuanya cepat dan pantas.

Tetapi gaya ini sangat bahaya untuk pelajar yang mempunyai personaliti type B - yakni perlahan dan relaks. Ia akan menyebabkan pelajar tidak sempat mengejar penyelianya. Gaya ini hanya sesuai dengan type A personality.

Aku memilih gaya mana?

Aku memilih gaya aku sendiri. Kalau ada pelajar yang laju, akan cuba berusaha lebih laju. Kalau mereka malas, aku cuba mengetuk beberapa kali. Kalau tidak jalan juga, aku ambil sebatang rokok dan menghisapnya - agar gusarku reda.

Oh. Sekarang ini musim cuti peperiksaan. Aku sangat tidak sibuk. Kalau ada pelajar universiti dari mana tempat sekalipun, yang berhajat untuk mendapatkanperundingan AMOS, boleh hubungi aku. Boleh datang secara sendirian atau berkumpulan tidak lebih dari 6 orang (bilik aku kecil sahaja). Bagaimana pun, pastikan anda telah mempunyai data dan komputer riba yang ada software. Komputer aku tidak ada software ini. Bagaimana pun, sila email dahulu, jangan terus datang. Jangan datang 13-17 Feb, aku ada bengkel yang lain.

Berapa bayarannya?

Jangan bimbang - bawa kad matriks anda bersama. Ia percuma. Aku hanya berhajat untuk membantu pelajar sahaja. Kalau anda bukan pelajar, jangan datang. Kalau berhajat memberikan aku upah, belikan aku Dunhill merah sekotak. Itu sahaja.

Thursday, 5 January 2012

Demo: Polis, pelajar dan politikus

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mentutup tirai tahun 2011 ialah peristiwa demontrasi di kampus UPSI.

Secara dasarnya, seperti teman saya,
Dr Ben - saya juga tidak menolak demontrasi kerana ia sebahagian hak yang wajar dalam demokrasi. Bagaimana pun, saya beranggapan demokrasi bukan sekadar hak berdemontrasi. Kalau setiap hari kita diledakkan dengan berita demontrasi, demontrasi dan demontrasi - makna sebenar di sebalik demokrasi itu sendiri akan hilang.

Adakah semua perkara perlu disudahkan dengan demontrasi?

Akan muncul pula anarki - kitaran yang bertentangan dengan demokrasi.

Anda telah melihat betapa tahun 2011 siri demontrasi di negara Arab, hingga ada pemimpin yang jatuh, ada yang dibunuh.

Ada yang gembira, ada yang ketawa. Cuma tidak ramai yang berfikir.

Mengapa hanya di beberapa buah negara Arab dan Libya, dan bukan di Somalia?

Baik sangatkah pemimpin dari dunia lain di China atau India?

Isu utamanya bukanlah demokrasi - isu utamanya ialah minyak. Negara Arab ini adalah negara minyak. Yang mencucuh demontrasi ini ialah kapatalisme yang mungkin sedang menghitung laba, yang sedang duduk di kerusi empuk sambil menonton berita CNN di dunia Barat. Dan demontrasi ini akan selalu dibisingkan apabila Demokrat memerintah Amerika. Hak asasi, kebebasan akhbar dan penghapusan kronisme ini telah menjadi pakej yang selalu dibawa oleh parti ini.

Ingat lagi ucapan Al-Gore tahun 1998 dulu ketika di Malaysia?

Di UPSI - pelajar meminta kebebasan. Polis pula, sesuai dengan pekerjaannya akan bertindak menahan dan menangkap. Tentulah dalam suasana keributan akan ada insiden. Itu biasa.

Pelajar mungkin ada yang dibuang. Ada yang cedera. Polis pula akan dicerca dan diperkatakan gelagatnya. Pelajar dan polis - kedua-duanya akan membawa label buruk bersama.

Kedua-dua pihak, polis dan pelajar akhirnya menjadi objek yang diremehkan.

Tapi tentu ada yang mengaut untungnya?


Siapa pihak yang lagi satu itu?

Itulah politikus. Mereka ini tidak kelihatan di mana-mana. Mereka tidak disentuh oleh sesiapa. Mereka hanya mengambil untungnya sahaja. Untung-untung menang lagi, dan gaji terus dibayar.

Aku - pensyarah di universiti. Aku tidak mengharapkan apa-apa.

Bila aku melihat seikat kertas kerja - yang kualitinya membuatkan aku merasa terpinga-pinga. Sesekali aku merasa curiga sama ada mereka telah melakukan 'copy & paste'. Pada waktu yang lain, aku merasa lelah apabila mereka tidak membaca buku dan sangat malas.

Aku patut katakan - tolonglah. Tolonglah memberikan demontrasi terbaik dalam bilik tutorial dan dewan peperiksaan. Bukan berdemontrasi di jalanan dengan hal yang tidak patut, dan waktu yang tidak kena.

Tolonglah. Lebih baik anda membaca buku HD Laswell atau Doroty Pickles tentang sains politik dari meminta kebebasan, sedangkan kebebasan yang diberi selama ini belum tentu telah dipergunakan seluasnya.

Aku sebagai pensyarah sangat merasa bangga kalau mereka berdemontrasi kerana di perpustakaan tidak cukup buku, kami tidak mengajar teori yang baru, atau tugasan yang diberikan pensyarah terlalu mudah topiknya!

Saya bukan pakar

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya diminta untuk menghantar artikel untuk satu ruangan kolum di sebuah akhbar. Kerana saya masih tidak tahu sama ada artikel itu bakal diterima atau belum lagi, dan apakah bentuk kolum itu, saya tidak dapat menyatakan apakah suratkhabar tersebut. Saya akan memaklumkannya setelah kolum tersebut muncul dahulu.

Apakah sebenarnya hasrat saya. Saya berhasrat untuk memberikan pendedahan psikologi kepada maasyarakat, sesuai dengan kelayakan dan pengetahuan saya. Bagaimana pun, seperti mana tidak semua masalah manusia dapat diselesaikan oleh ilmu psikologi, psikologi juga tidak akan mampu menerangkan semua fenomena yang berlaku. Ilmu Tuhan ini sangat luas yang tak akan tercangkup oleh akal manusia. Ilmu yang kita ada, setinggi mana pun kita beroleh pendidikan, tidak sampai pun sebesar zarah kalau dibandingkan dengan isi dunia ini. Mustahil kita bijak semuanya.

Sebab itu, tidak ada sesiapa pun yang boleh mendakwa mereka pakar. 'Pakar' seperti yang kita sebut hanyalah sekadar untuk menceritakan kapasiti pengetahuan yang sekelumit itu sahaja.

Semalam, saya menceritakan tentang resah hidup saya. Saya juga mengirimkan email ke satu benua yang lain. Saya sekadar mencuba nasib.

Pagi tadi, saya dihubungi mereka - seorang pengkaji dan ahli akademik yang terkenal juga. Mereka akan menemuduga saya melalui telefon minggu hadapan.

Saya sekadar mencuba dan menduga sahaja. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam hidup saya.

Wednesday, 4 January 2012

Aku juga seperti kamu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak balik ke Malaysia, aku merasa aku menjadi manusia yang tidak produktif lagi. Belum ada satu kajian pun yang sudah aku mulakan. Memang ada proposal untuk memohon geran penyelidikan yang sudah aku hantar. Ada juga yang berjaya, tetapi terbengkalai kerana ada hal yang tidak secocok dengan falsafah hidup aku, seperti yang aku ceritakan sebelum ini.

Sekarang ini, aku sedang cuba menyiapkan satu lagi percubaan lain, bersama Dr Ben. Harapnya, dengan imej berkopiah Dr Ben, tidak ada lagi cubaan untuk merayu Dr Ben.

Sejak tiga bulan di Malaysia, aku kian hari merasa bosan dan kecewa. Walaupun aku terpaksa akur dengan liku cara orang kita - tidak ada apa yang boleh aku lakukan. Semalam aku bertemu dengan teman lama, dan seperti biasa dia cuba menduga betapa aku mungkin tidak boleh bertahan lama. Aku tidak pasti sama ada telahannya itu benar atau tidak.

Tetapi, semalam aku sudah mengirimkan email ke satu benua yang lain bertanyakan pekerjaan sebagai penyelidik. Pastilah, aku akan mengirimkan email yang lain pula beberapa hari lagi.

Aku hanya sekadar menduga sahaja, walaupun pada akhirnya aku perlu percaya bahawa inilah tanah tumpah airku. Aku tidak patut ke mana-mana. Aku perlu meneruskan hidup dalam sistem yang seperti ini.

Menghidu asap kota dan menelan resah budaya, tidak bakal menjadikan aku menang. Yang boleh aku lakukan ialah membeli sekeping CD Search, M. Nasir dan Headwind dan aku pasangkan ia dalam kereta aku.

Tidak siapa pun tahu betapa setiap orang ada gelojak hidupnya sendiri, termasuk aku. Aku tidak begitu pasti sama ada ia gelojak hidup, krisis identiti atau kejutan budaya.

Sunday, 1 January 2012

Empat puluh tahun dulu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Umur saya pada tahun ini sudah mencecah 40. Tidak sangka masa cepat berlalu. Saya masih mampu lagi mengenang zaman ketika saya bersekolah rendah dan menengah dulu. Saya masih ingat musim-musim indah melastik burung di hutan. Sesekali menahan burung mandi. Juga saya masih ingat bagaimana saya menjadi budak kampung yang banyak bermain lumpur sungai dan bendang mencari ikan di musim kemarau. Masih sangat terasa.

Di kampung saya dulu, tahun 1980-an, tidak banyak orang yang mampu untuk belajar di sekolah yang baik di bandar. Seingat saya, hanya beberapa orang sahaja. Itu pun senior saya beberapa tahun. Umur sebaya saya, selain saya, seorang lagi budak kampung saya masuk ke sekolah asrama. Jadi, saya mungkin antara pelajar yang bertuah pada waktu itu. Saya mendapat 4A1C dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5. C ialah bahasa Inggeris.

Malah, hanya ada beberapa orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara yang mendapat keputusan yang baik tahun itu. Saya tidak pasti berapa orang, tapi saya rasa tidak lebih dari 10 orang. 5 orang daripadanya, termasuk saya kemudiannya dipilih ke aliran khas dan tinggal di asrama di Sekolah Menengah Jitra. Selebihnya saya tidak tahu ke mana mereka pergi. Daripada 5 orang yang masuk asrama itu, saya hanya masih berhubung dengan Hasni, suami kepada Mala. Yang lain saya tidak tahu.

Dari kampung saya, walaupun kini ramai yang boleh masuk universiti, tetapi di zaman saya dulu, ia boleh dibilang dengan jari. Saya seorang daripadanya. Itupun sebab saya belajar di sekolah yang baik.

Dulu, kehidupan orang kampung sangat susah. Tidak seperti sekarang. Saya masih ingat, pertama kali naik kereta, hendak membuka pintu kereta untuk keluar dari dalam pun saya tidak tahu. Masa itu, awal tahun 1980an, kerja orang kampung saya hanyalah kerja kampung. Adalah juga yang agak mewah. Itu pun kerana mereka berkerja sebagai pembawa candu dari Thailand yang diseludup masuk melalui jalan hutan. Ada juga yang sesekali menyeludup kerbau masuk dari sana. Arwah ayah saya seorang daripadanya.

Saya tidak tahu berapa harga getah pada waktu itu. Saya rasa, hanya beberapa sen sahaja sekilogram. Sekarang ini, orang boleh mendapat RM5.00 lebih sekilogram. Ada waktunya sampai RM 8.00. Selebihnya orang kerja menanam padi setahun sekali. Berapalah sangat hasilnya.

Sebab itu, dulu, kalau kita boleh masuk universiti ia dianggap hebat. Kita makan makanan yang biasa sahaja, sesekali makan pisang rebus, sesekali makan ubi kayu bakar. Tidak ada KFC atau McDonald. Pergi ke tusiyen jauh sekali. Pakaian sekolah bertukar dua atau tiga tahun sekali. Lencana perlu ditampal dengan memanaskan tudung periuk dan ditekapkan ke atas baju. Stokin terlipat bergulung dan jatuh ke dalam kasut. Baju biasanya bertahi lalat dan perlu selalu direndam dengan air nila. Susahnya kehidupan masa dulu.

Cuma tahun 1990-an keadaan agak sedikit baik. Bukan sebab ekonomi meningkat. Tetapi sebab abang-abang saya sudah menjadi remaja dan berkerja. Mereka ada sedikit duit dan menyara saya.

Sekarang ini, setelah umur mencecah 40 tahun, saya terkenang masa lalu. Saya pasti, tidak ada lagi anak-anak sekolah yang membawa belanja 20 sen dan mengayuh basikal 3-4 batu ke sekolah. Anak saya sekarang pun, tidak kurang RM 5 sehari hanya untuk belanja makanan ringan di kedai runcit yang diulangnya berkali-kali. Saya juga tidak bimbang bajunya akan naik tahi lalat kerana saya tahu saya mampu membelinya pakaian yang lebih baru bila sampai waktunya.

Saya juga boleh belikan dia bermacam-macam buku untuk belajar atau menghantar dia ke tuisyen untuk lebih pandai.

Tetapi akhirnya saya tahu, cabaran untuknya sama sahaja kerasnya dengan hidup saya puluhan tahun dulu. Dia kini berdepan dengan siri kartun televisyen, games di komputer dan bermacam-macam lagi.

Jadi, kalau saya dulu tidak ada banyak peluang untuk menikmati pembelajaran lebih baik kerana susah, dia akan berhadapan cabaran yang sama kerana kesenangan. 40 tahun lagi, dia akan merungut hal yang sama untuk anak-anaknya.

Saturday, 31 December 2011

Stress dan kesihatan - Part 2

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda, sebagai orang awam mungkin jarang mendengar istilah ini - Cognitive failure atau kegagalan kognitif. Bagaimana pun, anda mungkin selalu mengalaminya.

Adakalanya apabila keluar dari rumah, anda mula terasa curiga sama ada ada api dapur yang sudah dipadam atau tidak. Pada waktu yang lain, anda jadi keliru di mana anda meletakkan kunci rumah. Sesekali tatkala menonton televisyen, kita tidak tahu pun apa yang sedang kita tonton kerana fikiran kita melayang ke tempat lain.

Contoh paling mudah ialah ketika bersembahyang. Kita jadi was-was sama ada kita sudah menyudahkankan 4 rakaat atau hanya 3 rakaat.

Semua ini ialah cognitive failure. Ia bukan bermakna anda tidak betul, cuma fikiran kita tidak dapat bertumpu kepada satu-satu perkara. Antara puncanya ialah tekanan yang merungsingkan. Perasaan runsing ini telah menyebabkan banyak masa kita ditumpukan kepada hal yang runsing tadi, sehinggakan kita tidak mampu menyimpan banyak maklumat atau berfokus kepada perkara lain.

Pekerjaan kita juga menyumbang kepada cognitive failure ini. Kerja yang banyak, ketua yang garang, rakan sekerja yang menyakitkan - semuanya adalah antara bentuk tekanan yang sedang mengganggu hidup kita.

Cognitive failure ini juga mungkin mengakibatkan banyak orang kemalangan di jalan raya atau di tempat kerja. Sekalipun mereka kelihatannya seperti sedang memandu dan memandang ke hadapan, tetapi fokus fikiran kita di tempat lain. Sesekali kita terlepas simpang jalan. Sesekali terlanggar lampu merah. Ini adalah simptom cognitive failure.

Anda pernah mengalaminya?

Cognitive failure juga mungkin ada kaitannya dengan sakit fizikal yang lain. Aku tidak berapa pasti kerana tidak banyak kajian mengenainya. Sesiapa yang berhasrat untuk melakukan kajian lepasan ijazah dalam bidang ini, boleh hubungi aku.

Bagaimana kalau anda mengalami cognitive failure yang kerap atau berpanjangan.

Anda tahu jawapannya. Anda selalu melihat lelaki comot merayau-rayau di tepi jalan.

Selamat datang 2012

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun 2011 menutup tirainya.

Terima kasih kepada mereka yang membaca blog ini. Semoga ada manfaat daripadanya, sekalipun ada juga hal-hal yang mungkin tidak begitu relevan dengan anda.

Tahun 2011 ini banyak peristiwa penting yang berlaku dalam hidup aku. Antara kejayaan yang mungkin dianggap besar bagi orang seperti aku ialah apabila aku berjaya lulus PhD. Tidak semua orang boleh mendapat PhD. Bukan kerana PhD itu sesuatu yang luarbiasa, tetapi punca utamanya ialah halangan-halangan lain - termasuklah penyeliaan, kesihatan, sokongan keluarga, rakan-rakan yang bermanfaat dan banyak lagi. Bagi setiap orang, mendapat PhD sebenarnya hanyalah satu takdir dan anugerah sahaja.

Aku juga dijemput untuk menjadi Ad-Hoc reviewer untuk jurnal antarabangsa - yang aku anggap hal yang baik juga. Tidak semua orang berpeluang untuk menulis dan menerbitkan jurnal, apatah lagi menjadi reviewer. Hampir semua 6 jurnal yang aku tulis juga sudah terbit sepenuhnya.

Tahun 2011 juga, aku dijemput untuk memberi talk 'The Story of Job Stress: Malaysia experience' dalam satu seminar di University of South Australia. Aku juga diberi kesempatan untuk mengadakan bengkel menulis dan membaca jurnal untuk sahabat di Adelaide. Banyak daripada mereka ialah pensyarah kita.

Semua ini ialah hal yang baik. Sekarang ini, aku ada kumpulan pelajar sendiri dalam topik penulisan akademik. Awal tahun 2012 nanti, aku akan mengendalikan bengkel penulisan selama 5 hari berturut-turut. Ia bagi membantu pelajar kita yang aku dapati ada idea, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menulisnya.

Tahun 2011 ialah tahun terakhir aku berada di bumi Adelaide. Banyak kenangan manis. Antara yang terbesar ialah berpeluang bertemu dengan banyak sahabat baru. Terima kasih untuk semua mereka yang banyak menolong atas kapasiti dan kemampuan masing-masing.

Tahun 2012 akan menjelang. Kalau aku ada waktu, aku akan tetap menulis. Tidak ada apa yang berubah dalam hidup aku, selain usia yang semakin meningkat.

Semalam, aku bertanya anak aku yang baru berusia 6 tahun - 'Man, macam mana kalau ayah mati, siapa nak jaga Man?' Anakku menjawab - 'Ayah jangan la makan banyak. Bila ayah makan banyak, nanti ayah akan kian besar dan tua. Nanti ayah mati'.

Begitulah konsep kitar hidup. Semakin anak kita membesar, kita sebenarnya kian tua. Tahun berubah. Usia bertambah.

Moga kita menjadi manusia yang bijaksana.

Selamat datang 2012.

Friday, 30 December 2011

Update research

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kerja telah menggangu emosi manusia. Itu hakikat yang banyak dibincangkan dalam kajian-kajian akademik.

Bagaimana pun, realiti pekerjaan kita tidak ada sesiapa mengambil tahu mengenainya. Tidak ada sesiapa ambil peduli sama ada anda sakit atau tidak. Ia berlaku di setiap sudut negara sedang membangun. Punca utamanya lambakan pekerja dan kurangnya ruang pekerjaan.

Sama ada anda sakit atau tidak, masih banyak lagi orang yang sedang menunggu peluang.

Hari ini, aku mendapat email dari Ketua Editor - artikel aku terpilih dalam spotlight research untuk American Psychological Association.

Lihat di sini dan juga di sini.

Friday, 23 December 2011

Stress dan kesihatan - Part 1

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita mungkin berkata bahawa hidup kita ini bahagia sahaja. Tidak langsung mengalami stres. Pergi kerja dan pulang kerja seperti biasa. Tidak ada masalah.

Hakikatnya, cuba kita perhatikan betul-betul hidup kita.

Ada hari yang kita merasa sangat tenang sekali. Seolah-olahnya kita bangun pagi dan berada di tengah pergunungan hijau. Tidak ada langsung perkara yang digusarkan.

Pada hari lain, kita merasa seperti ada yang tidak kena. Tetapi, kita tidaklah pula seperti orang yang kebingungan. Ia seperti normal. Kita seperti orang lain juga.

Hakikatnya, itulah hal yang tidak kita sedari. Mengapa ada hari yang kita sangat tenang, dan ada hari yang kita rasa ada 'sesuatu' yang tidak kena. 'Ada sesuatu yang tidak kena' itulah sebahagian stres yang sedang kita alami. Kita tahu ada sesuatu, tetapi kita tidak tahu apa sesuatu itu.

Kita andaikan ia hal yang kecil sahaja. Ia sepertinya tidak akan membunuh kita.

Hakikatnya, itulah yang sedang membunuh kita.

Anda boleh melakukan ujikaji ini. Ambil sebotol air mineral yang kecil. Pegang dengan dua jari anda sahaja (gunakan ibu jari dan jari telunjuk). Ia ringan dan anda mampu memegangnya. Tidak ada apa-apa pun beban yang dirasai. Bagaimana pun, ia kelihatannya semakin berat apabila anda memegangnya dengan lebih lama, walaupun berat air di dalam botol tidak bertambah.

Anda orang yang mampu memegangnya 5 minit. Ada yang mampu memegangnya 10 minit. Ada yang lebih lama lagi. Ada yang mampu 30 minit. Tetapi, pada akhirnya anda akan dapati bahawa botol itu bakal menjadi terlalu berat dan terpaksa dilepaskan.

'Prolong' benda yang ringan inilah yang akan menyebabkan banyak daripada kita ditimpa masalah pada hujungnya. Kita membawa masalah yang tidak kita sedari.

Banyak daripada beban yang hadapi di tempat kerja ini sebenarnya menjurus kepada masalah keletihan emosi. Keletihan emosi inilah sesuatu yang sangat berat, sebab kita tidak tahu berapa banyak beban yang kita bawa. Tidak juga tahu berapa lama kita menanggung beban ini. Ia beban tidak kelihatan. Ia sepertinya normal, hakikatnya tidak.

Ia berbeza dengan keletihan fizikal seperti kerja mencangkul. Ia akan hilang apabila kita rehat, mandi atau tidur. Tetapi keletihan emosi tidak akan hilang dengan hanya mandi atau tidur. Ia dibawa lagi hingga keesokan hari, bahkan memakan masa bertahun-tahun. Sebab itu kita dapati ada orang yang mati terkejut, walaupun kelihatan seolah-olahnya mereka sihat.

Kajian klasik yang terkenal, oleh Dormann dan Zapf (1999) misalnya, perlu menunggu selama 3 tahun untuk membuktikan bahawa keletihan emosi ini menyebabkan kemurungan. Maksudnya, keletihan emosi hari ini tidak menunjukkan kesan pada tahun pertama atau kedua. Tetapi, setelah terlalu lama, didapati orang yang mengalami keletihan emosi yang berpanjangan akan menanggung risiko kemurungan.

Kajian-kajian juga menunjukkan hal yang sama terhadap penyakit fizikal.

Nanti kita sambung.

Thursday, 22 December 2011

Stress dan kesihatan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
NOTA: Sekiranya ada pembaca wanita di blog ini, khususnya mereka yang berkerja, yang mengalami masalah seperti di bawah/atau seumpamanya, termasuk juga kesan psikologikal lain (i.e. kemurungan etc) sila hubungi saya di fakirfakir#gmaildotcom. Saya akan meminta pelajar saya menemuramah anda, dan ia sebagai sebahagian dari preliminary research yang sedang kami lakukan.


Saya tertarik dengan dua komen, kisah benar yang dialami sendiri oleh pembaca. Pn Norhayati, seorang pembaca blog dalam komennya:

"Salam Sdr, Saya tertarik tentang kajian mengenai tekanan kerja. Tekanan kerja telah memberikan impak kesihatan juga kepada saya . 3 bulan lepas saya telah menjalani pembedahan membuang fibroid iaitu ketumbuhan dalam rahim dan bercuti sebulan. Apa yang ingin saya bawa, ada kenyataan yang mengatakan , wanita berkerjaya lebih mudah diserang fibriod dan fibroid telah menjadi sinonim dengan wanita kerana melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh orang lelaki. Hormon di dalam badan bercelaru dan kesannya jadilah fibroid.

Bagi kes saya... saya akui saya amat tertekan dengan bebanan kerja yang melampau. Persekitaran pejabat yang tidak cukup kakitangan dan terpaksa memenuhi keperluan atasan serta organisasi begitu menekan. Sebagai pekerja yang "saya yang menurut perintah" perkara ini tidak dapat dielakkan. Cuma cadangan saya , boleh juga buat kajian dalam kalangan kakitangan kerajaan yang terpaksa melalui formaliti dan redtape ,sejauhmanakah tekanan kerja mempengaruhi kesihatan mereka hingga menjejaskan prestasi dan produktiviti juga".

Seorang lagi pembaca yang lain, Dilla dalam komennya:
"Saya juga mempunyai masalah yang sama seperti Pn Norhayati. Tekanan kerja telah mempengaruhi keseimbangan hormon saya sehingga timbulnya masalah cyst di dalam rahim & ovari(juga ketumbuhan seperti fibroid)... bukan sekali, tetapi 2 kali. Saya telah pun menjalani dua kali pembedahan pada 2003 dan 2007. Kebanyakan kes masalah kesihatan seperti ini timbul kepada wanita bekerja sahaja. Sewajarnya hal sebegini diberi perhatian serius."

Apakah yang sebenarnya sedang berlaku apabila manusia dilanda stres? Kadang-kadang kita tidak sedar pun kita sedang mengalami keletihan emosi, kemurungan atau simptom kesihatan yang lain. Kita harungi juga kehidupan yang sibuk. Terus berkejar ke sana sini.

Sebab itu, kita kadang-kadang terkejut ada yang tiba-tiba diserang heart attack atau darah tinggi. Ada yang terbabas di jalan raya. Ada yang jatuh di bilik air.

Stres, selalu mengundang parah. Stres ada kaitannya dengan kesihatan dan jangka hayat kita.

Nanti kita bincang. Ini baru permulaan.

Wednesday, 21 December 2011

Moral - bukan sekadar ucapan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari kita mendengar banyak berita mengenai kecurangan moral manusia. Mereka sama ada memberi atau menerima habuan. Semakin besar pangkatnya dalam masyarakat, jumlah kecurangan ini semakin besar.

Sayang sekali, kita juga akan membaca berita-berita yang mereka ini menafikannya dengan sekeras-kerasnya.

Mengapa menafikannya apabila terperangkap. Jalan terbaik ialah jangan mulakan apa sahaja yang mendekatkan kita dengan hal-hal tidak bermoral. Ia sama ada orang tahu atau tidak. Itu tidak penting.

Itulah integriti. Itulah moral. Jangan hanya pandai mengucapnya sahaja.

Sayang juga, mereka ini bukanlah orang biasa. Mereka ini ialah orang yang ada nama dan status dalam masyarakat.

Mengapa kita memilih jalan pendek ke neraka, sedangkan kita juga berpeluang untuk memilih jalan ke syurga?

Semuanya kerana kita telah hilang nilai moral. Kita telah menganggap bahawa apa yang kita lakukan itu bukanlah hal yang salah. Ada orang lain melakukannya. Setiap orang juga berkemungkinan akan melakukannya kalau ada peluang.

Apabila ada orang lain melakukannya, bukanlah bermakna kita juga boleh melakukannya. Apatah kalau kita seorang yang ada status dalam masyarakat. Apatah kita ini dianggap sebagai pemimpin.

Peliknya, hal tidak bermoral ini dilakukan di kalangan orang Islam yang masih sangsi adakah makan di dalam pinggan di rumah orang Cina itu perlu disamak atau tidak. Kita sangsi takut-takut mereka telah makan babi sebelumnya. Sedangkan isu samak atau tidak ini hal mudah sahaja kalau mereka belajar ilmu fekah.

Kita sangsi dengan hal yang lain, kerana kononnya kita ingin menjaga kesucian.

Sayangnya, dalam hal lain, kita tidak pula merasa sangsi sama ada kita perlu samak dahulu atau tidak. Bolehkah kita menerima wang hadiah oleh seseorang kalau kita masih memegang jawatan dan orang itu pula kita tahu ada tujuan lain. Mengapa hal seperti ini kita tidak semak dahulu, kalaupun tidak perlu disamak.

Tahun 1995, ketika saya masih belajar di universiti, saya ditahan oleh agensi penguatkuasa di pekan Kajang kerana saya menunggang motosikal tidak berlesen. Seorang anggota meminta saya wang bagi mengelakkan saya dari disaman. Saya katakan saya cuma ada RM 20 dan mahu makan sate. Kerana berahinya dengan wang, dia memintakan saya Rm 10. Mungkin bagi anggota tadi, wang yang lebih itu cukup untuk saya memakan sate.

Mengapa rendah sangat harga diri manusia di abad mutakhir ini?

Kita mungkin manusia Islam. Tetapi kita sedang melakukan banyak kerosakan yang tidak dilakukan orang kafir.

Yang membezakan kita dengan orang kafir hanya kerana sepotong ayat - yakni mengucap dua kalimah. Selebihnya, kita mungkin lebih teruk lagi.

Seorang tok guru begitu sinis apabila banyak manusia mengaku sebagai hamba Allah. Sedangkan kita tidak tahu sama ada Allah mengiktiraf kita sebagai hambanya dengan banyaknya kerosakan yang sedang kita lakukan.

Jadi, apa ayat terbaik untuk itu. Kita patut mengaku kita hanya makhluk Allah. Itu hal yang cukup pasti. Kita belum lagi seorang hamba, kalau tidak melakukan pekerjaan hamba.

Tuesday, 20 December 2011

Buah cabai yang menjadikan aku manusia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Teringat satu ilmu yang paling besar yang diajarkan oleh ibu lebih 30 tahun dulu. Aku masih di sekolah rendah. Ia bukan ilmu biasa. Ia ilmu mendidik kita menjadi manusia. Ia ilmu integriti. Ia tidak diajarkan di universiti.

Ketika kecil dulu, aku adalah budak kampung tulen. Aku memang suka menyerkap ikan di bendang. Badan penuh lumpur. Berjemur panas dan hujan. Setiap lubuk aku teroka. Motifnya satu. Mencari ikat darat. Selalunya misi aku berjaya.

Satu tengahari, ketika pula menyerkap ikan, aku singgah di satu kampung yang dah ditinggalkan. Tidak ada sesiapa di tanah itu. Ada sepohon cabai yang rimbun. Aku memetik buahnya satu demi satu. Aku mahu berikan ia kepada emak aku di rumah. Apa tidaknya. Ia cabai yang percuma. Tumbuh pula di kampung yang ditinggalkan orang. Tidak tahu siapa tuan punyanya.

Pulang di rumah, aku berikan buah cabai tadi kepada emak. Emak bertanya, di mana aku ambil. Secara jujur, terus terang dan yakin, aku beritahu aku ambil di kampung tinggal di tepi bendang itu. Ia agak jauh dari rumah aku.

Emak meminta aku pulangkan buah cabai tadi ke pohonnya. Ia bukan milik kami. Walaupun tidak diketahui siapa tuan punya pohon cabai itu, tetapi ia tetap bertuan.

Sebenarnya, apalah sangat dengan beberapa biji buah cabai.

Berapa sen sangat harganya.

Setelah dewasa, aku sedar - tidak ada satu apa pun harta orang lain yang patut kita idamkan. Apatah lagi mengambilnya tanpa kebenaran. Sama ada ia berharga atau tidak, ia bukan soalnya. Soalnya, tidak ada satu pun kepunyaan orang lain yang patut kita jadikan ia seperti milik kita sendiri.

Dengan kecewa, aku berjalan kaki semula ke kampung di hujung bendang untuk meletakkan buah cabai tadi di bawah pohonnya.

Itulah integriti. Jujur dan amanahlah. Sama ada orang melihat atau tidak, sama ada berharga atau tidak, jangan terliur dengan apa yang bukan milik kita.

Terima kasih emak kerana menjadikan aku manusia - walaupun kuliahnya hanyalah sekadar beberapa biji buah cabai.

Kini - aku akan selalu berkata - kerana kami mengajarnya, kami akan mempertahankannya.

Kita mungkin tidak mampu mengubah sistem yang sakit. Tetapi jangan biarkan sistem yang sakit mengubah kita.

Kami mengajarnya, kami akan mempertahankannya

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya selalu menulis betapa dalam dunia kita hari ini, tidak banyak lagi manusia yang boleh dipercayai. Sebaik mana pun kita memakai pakaian, pakaian yang terbaik ialah kejujuran. Itulah integriti bagi hidup seorang manusia.

Kami ahli akademik akan juga selalu bercakap hal ini di bilik kelas. Pelajar yang meniru, atau melakukan kerja-kerja plagiat dianggap manusia yang hilang integriti. Moral manusia seperti ini akan dianggap sebagai terlalu hina. Ia lebih rendah dari taraf seorang pengemis.

Akademik mungkin pekerjaan yang memberi kami banyak ruang untuk menghindarkan diri dari banyak kecurangan. Anda yang berkerja di perkhidmatan awam, akan selalu melihat atau mendengar bagaimana banyaknya manusia memberi dan menerima rasuah. Ia mungkin kawan-kawan anda juga.

Kita juga selalu mendengar, sesekali terpaksa menghadapinya, apabila kita diminta membayar wang kopi bagi urusan tertentu. Kita tidak perlu menafikannya. Kita berada dan hidup dalam sistem yang sama.

Ahli akademik mungkin boleh mengelak diri dari banyak kerja tidak bermoral ini. Salah satu sebabnya, kami tidak ada kuasa seperti penjawat awam yang lain. Kami hanya mengajar, membuat penyelidikan, dan sesekali memberi ceramah. Itu sahaja. Ruang untuk kami membusukkan diri dalam sistem kecurangan moral setidak-tidaknya dapat dielakkan.

Ternyata, telahan saya tidak selalu benar.

Sebenarnya, kami juga ada ruang untuk dinodai dalam sistem yang busuk ini. Dana penyelidikan yang kami terima besar jumlahnya, adakalanya sampai mencecah jutaan ringgit. Banyak mata yang sedang memerhatikan. Walaupun hakikatnya, wang itu tidak pun sampai ke tangan kami, kecuali sedikit upah kepakaran. Selebihnya ialah kos penyelidikan, membeli alatan, dan upah pembantu penyelidik.

Orang mungkin berkata saya merekayasa cerita ini.

Tidak. Saya sedang hampir ditusuk dengan bilah kejahatan ini.

Saya mendapat satu geran dari sebuah agensi (bukan universiti). Bagaimana pun, surat tawarannya belum lagi dikeluarkan. Tidak mengapa. Ia hal birokrasi.

Bagaimana pun, apabila ada bisik-bisik dari dalam kantor agensi itu (bukan universiti), agar saya segera membuat tuntutan, dan harap-harap mereka akan mendapat sedikit habuannya, saya mula berasa curiga. Saya tidak kisah kalau mereka adalah sebahagian daripada co-researcher, yang sama-sama berpenat lelah berfikir dan melakukan penyelidikan. Itu hal lain.

Tetapi, saya tidak dapat menerima hakikat ada 'sleeping researcher', apatah ia datangnya dari dalam agensi yang mengeluarkan dana. Mereka ini sepatutnya membantu penyelidik, bukannya mengharapkan habuan. Bagi saya, ia hal yang tidak bermaruah.

Kami mengajar masyarakat untuk melakukan kebaikan. Kami mendidik orang lain untuk menolak segala bentuk kecurangan. Kerana kami yang mengajarnya, kami jugalah yang akan mempertahankannya.

Kalau pun nanti semua sistem yang ada rosak, kami para akademik akan tetap menjadi benteng mempertahankannya. Kami tidak lagi akan menjadi ilmuan, kalau kami hilang integriti.

Saya menghubungi mereka, bahawa saya tidak lagi berminat dengan dana tersebut, dan menarik diri dari memulakan penyelidikan.

Sebelum ia bermula, lebih baik saya menamatkannya. Semua dari kita akan terselamat. Saya mungkin telah mencemarkan nama baik saya dengan tidak mengotakan janji. Tetapi saya telah mengotakan janji saya kepada masyarakat.

Kami mengajarnya, kami jugalah mempertahankannya.

Friday, 9 December 2011

Kalaulah dunia tiada pagar formaliti

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi tadi, aku mengirimkan email kepada Prof Sharon Glazer, seorang ahli akademik yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Beliau salah seorang tokoh penyelidik besar dalam bidang 'tekanan kerja', yang namanya aku mula dengar ketika aku di bangku universiti lama dahulu.

Aku tidak kenal beliau secara langsung. Aku hanya kenal bahan tulisan beliau. Antara yang terkenal ialah kajian mengenai pengaruh budaya dan tekanan kerja di kalangan jururawat.

Cuma, setahun lalu aku mula berkomunikasi dengan beliau secara email. Aku bernasib baik kerana beliau menjadi Ketua Editor di salah satu jurnal terkenal, keluaran American Psychological Association. Jadi, dari situlah, kami mula berkomunikasi kerana ketua editor juga tugasnya memberikan komen terhadap tulisan yang kita hantar ke jurnal.

Beliau banyak memberikan komen terhadap makalah yang aku tulis. Aku rasa, aku juga banyak belajar dari beliau.

Tidak lama setelah itu, aku dua kali dijemput untuk menjadi penilai bagi makalah di bawah seliaannya. Dari situ, kami berhubungan lagi. Aku seorang pelajar PhD menjadi penilai tulisan orang lain. Aku rasa itu hal yang besar dalam hidup aku. Kalaulah mereka tahu aku dahulunya hanya pembancuh teh tarik, tentu dunia ini akan jadi keliru.

Pagi tadi, aku mengirimkan email bertanya sama ada beliau ada projek penyelidikan yang aku boleh kongsi. Katanya ada. Nanti aku cerita di bawah topik yang lain. Ia masih lagi agenda rahsia.

Aku juga memberitahunya aku sudah habis PhD.

Dia menjawabnya 'Congratulations, Dr. Idris!'

Apa yang hendak aku ceritakan ini.

Sebenarnya itulah budaya dunia akademik di Barat. Mereka ini biasa sahaja. Semakin besar mereka, semakin mudah kita dekati mereka.

Kalaulah kita begitu juga - tanpa banyak pagar formaliti, tanpa pintu birokrasi, ia akan menjadikan dunia ini lebih indah.

Pelajar kita akan tentu mendapat lebih banyak manfaatnya.

Blogger ialah teman kita

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dr Ben menghantar email agar kami dapat membuat proposal penyelidikan. Kami perlu mencari seorang lagi, kerana research ini perlu melibatkan banyak universiti. Aku pula bertanya seorang lagi kawan di Sarawak. Akhirnya, gabungan ini merujuk kepada gabungan bekas pelajar Adelaide.

Mengapa kita senang untuk mencari kumpulan yang sama dengan kita?

Sebenarnya dalam psikologi, hal ini selalu dirujuk sebagai ingroups bias. Kita cenderung memberi reaksi positif kepada kumpulan yang kita anggap sebagai kumpulan yang kita miliki, tetapi negatif terhadap kumpulan luar.

Walaupun hal ini akan memberikan hasil positif, terutamanya dalam keadaan kita membuat kebaikan, tetapi juga ada masalah lain.

Dalam politik, selalu terjadi orang memberikan sokongan walaupun kumpulan mereka salah. Ahli dari kumpulan luar pula akan selalu mengkritik kebaikan dari kumpulan lain, kerana bukan isu yang diperdebatkan, tetapi disebabkan mereka bukan ahli kumpulan terbabit.

Biasanya fenomena ingroups dan outgroups ini merujuk kepada penyertaan kita dalam satu-satu kumpulan, dan tidak semestinya berdaftar. Kita merasakan kita kelompok yang sama dengan warga Indonesia atau Filipina, kalau kita berada di luar negara. Tetapi, kalau kita berada di Indonesia, kita mungkin akan dianggap orang luar. Begitu jugalah kalau kita memberikan tanggapan kepada warga Indonesia di negara kita.

Ingroups dan outgroups ini sebenarnya reaksi psikologi manusia. Ia mungkin disebabkan faktor budaya, interaksi sosial dan sebagainya.

Mereka yang menulis blog mungkin akan merasa tidak puas hati kalau ada blogger lain yang diberikan tekanan oleh pihak berkuasa, walaupun kita tidak mengenali mereka. Pada saat ini, kita telah bias kepada kumpulan kita sendiri - yang kita namakan blogger.

Anda kumpulan mana?

Thursday, 8 December 2011

Budaya memberi wang

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Asas kepada sitem meritokrasi yang diperkenalkan pada zaman Tun Dr Mahathir dahulu ialah untuk menggalakkan budaya bersaing dan tidak terlalu bergantung. Mentaliti subsidi dan tongkat perlu disisihkan agar rakyat mampu menjadi manusia yang lebih kuat.

Ya, kita tidak boleh sangat bergantung. Budaya subsidi sedikit sebanyak menghancurkan kita. Kalau boleh, kita ingin diberikan subsidi dalam segala hal. Selain baja, kita ada subsidi beruk. Adakalanya, kita memberi subsidi kepada orang yang tidak berhajat pun. Mereka inilah yang selalunya menjualkan baja kepada orang lain.

Tidak mengapa. Kita tutup cerita subsidi.

Sekarang ini, muncul pula budaya memberi wang. Anak sekolah diberi RM 100. Ketua isi rumah pula mendapat RM 500.

Apa semua ini?

Benarlah, sesiapa pun tidak akan menolak wang yang diberikan.

Tetapi, budaya memberi wang ini mewujudkan amalan hidup yang tidak sihat. Kita membentuk orang untuk selalu berharap. Lainlah, kalau bantuan wang itu diberikan kepada masyarakat yang ditimpa musibah, seperti banjir atau kebakaran. Itu cerita lain.

Memberikan wang RM 100 atau RM 500 tidak mengubah apa-apa dalam zaman ini. Anak-anak sekolah menghabiskan RM 10 sehari untuk membeli topup kredit pra bayar. Kita menghabiskan RM 100-200 seminggu untuk duit minyak dan tol.

Maknanya, wang sebanyak itu tidak mengubah apa-apa pun. Tetapi, ia mewujudkan budaya yang lain pula. Kita sedang membentuk manusia peminta sedekah yang sangat hina. Sedangkan, wang itu boleh dimanfaatkan untuk hal lain yang boleh memberi manfaat jangka panjang. Membaiki jalanraya di kampung-kampung atau menyediakan surau yang lebih cantik. Boleh juga menyediakan perpustakaan di setiap kampung. Ia tidak akan habis, selagi tidak dimakan anai-anai.

Sebenarnya, yang perlu dikurangkan ialah kos sara hidup. Kita buka import gula agar harga gula lebih kompetetif. Kita basmi penyeludupan beras di sempadan agar harga beras orang kampung lebih tinggi, dan dengan ini kehidupan mereka lebih senang.

Sekarang ini, kalau anda tinggal di sempadan, anda akan dengar ada PBB di sana. Semua orang tahu mengenainya. Termasuk anak-anak sekolah. Apa itu PBB? Itulah 'Penyeludup Beras Berlesen'. Kalau orang awam tahu mengenainya, mustahil pihak penguatkuasa tidak tahu.

Semua ini adalah gejala-gejala ketirisan ekonomi yang mungkin ada kaitannya dengan rasuah. Semua inilah yang menyebabkan kos yang ditanggung oleh rakyat kian meningkat.

Ketirisan ini ada di mana-mana. Ia bukan rahsia yang disimpan di dalam gua lagi. Ia rahsia yang dibincangkan secara terbuka.

Tidak perlulah kita memberikan wang RM 100 atau RM 500. Kita jangan ajar rakyat dengan hal-hal yang tidak baik.

Sekarang ini, setiap kali hari raya kita jadi gelisah kerana ada banyak budak-budak yang datang meminta wang, tetapi tidak mahu pun masuk ke dalam rumah. Banyak daripada mereka ini pula kita tidak kenal dan datang dari jauh, semata-mata untuk mendapatkan wang raya.

Tidak mengapalah. Itu budak-budak.

Jangan kita ajar orang tua hal yang sama. Takut nanti, tidak ada apa lagi yang boleh kita beri.

Kalau setiap hari raya ada anak-anak meminta wang, setiap kali pilihanraya orang tua juga akan meminta wang. Akhirnya, amalan demokrasi itu tidak ada lagi.

Yang perlu kita bendung ialah ketirisan ekonomi yang menyebabkan kos sara hidup kian meningkat. Itulah subsidi yang lebih besar nikmatnya.


Bukan memberi wang yang tidak mampu mengubah apa-apa.

Wednesday, 7 December 2011

Hari ini aku menulis

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku baru sahaja menyiapkan satu proposal untuk memohon grant penyelidikan. Ia kajian untuk mencari sebab kenapa ada ahli akademik yang banyak menghasilkan kajian, dan ada yang tidak. Bagaimana pula situasi stress mereka?

Adakah ini disebabkan oleh climate tertentu yang wujud dalam organisasi?

Cuma memandangkan aku hanya diberikan notis yang sangat pendek - cuma tujuh hari, maka aku tidak mampu menyediakan proposal yang sempurna. Aku hanya sekadar mampu untuk menulis apa yang ada di dalam benak sahaja. Itu pun, aku cuma boleh memulakan tulisan aku pagi tadi. Diselang seli dengan beberapa hal sibuk orang akademik. Mengajar, berjumpa pelajar, dan menghisap rokok.

Tidak pasti berapa banyak rokok yang aku hisap hari ini. Itu di kawasan yang dilarang merokok. Aku tidak boleh menulis dengan cepat kalau puntung rokok tidak melekat di hujung bibir. Itu tabiat yang bahaya. Doakan aku berhenti merokok agar umur aku lebih panjang.

Tetapi, hari ini sahaja aku menulis 3,500 patah perkataan. Setelah siap, aku emailkan tulisan aku itu kepada seorang editor bahasa Inggeris di Australia. Pastilah, aku akan membayarnya pula.

Ia harga untuk kebodohan bahasa Inggeris. Aku hanya cepat menulis, tetapi aku abaikan semua tatabahasa. Kalau aku mengambil kira semua aspek tatabahasa, aku tidak akan cepat menulis.

Kasihan anak dara kita - II

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Puas saya berfikir, mengapa anak-anak dara kita ini mudah sangat tergoda dengan pemuda asing yang tidak ketahui asal usulnya.

Awalnya, saya jangkakan anak-anak dara kita tidak ada ilmu pengetahuan yang cukup. Seolah-olahnya mereka ini tidak belajar tinggi. Nyatanya, telahan saya salah. Banyak daripada anak-anak dara kita ini bukanlah lulusan tingkatan 5 sekolah kampung. Mereka ini ada yang sudah lulus universiti, ada yang sedang belajar di kolej swasta.

Maksudnya, anak-anak dara kita ini bukan calang-calang orang.

Tetapi, begitulah. Pendidikan itu bukanlah pemikiran. Sekian lama orang tersalah tanggap bahawa orang yang belajar tinggi akan ada pemikiran yang tinggi. Tidak. Pendidikan hanya membantu orang berfikir. Itu pun kalau orang menggunakan peluang menjadikan pendidikan sebagai sekolah berfikir. Kalau tidak, pendidikan hanya tinggal tempat mendapat sijil sahaja.

Saya tahu, sebagaimana anda juga anda tahu, kita memasuki universiti hanya untuk lulus periksa. Bukan berfikir. Tidak ramai pun pelajar universiti yang betul-betul membaca. Mereka hanya menghafal nota kuliah. Sebagaimana kita juga dulunya. Kalau membuat tugasan dan kertas kerja, ia hanya ala kadar sahaja. Adakalanya mereka menulis kertas kerja, yang mereka juga tidak faham apa yang mereka tulis. Maksudnya, mereka menghantar tugasan kerana itu adalah syarat satu-satu kursus.

Kalau begitu, mengapa mereka lulus juga? Tanya seorang teman. Adakah pensyarah tidak melakukan kerjanya dengan betul.

Sebenarnya, kalau pensyarah memberikan markah berdasarkan kualiti, pada akhirnya mungkin tidak ada sesiapa pun yang lulus. Pensyarah juga tidak boleh melakukan apa-apa kerana itulah sistem yang sedang mencorakkan mereka. Kita semua, baik anda, baik saya, kita hidup dalam sistem ini.

Kita hidup dalam sistem lulus periksa. Kita semua berorientasikan peperiksaan. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah menunjuk jalan.

Sebab itulah, jangan terkejut kalau pengetahuan am lulusan universiti kita tidak sebaik mana. Mereka juga barangkali hanya menguasai aspek teknikal satu-satu pekerjaan dengan baik, tetapi bukan aspek pemikiran.

Sebab itu, orang-orang tua kita dahulu, yang hanya lulus MCE atau darjah enam, kita lihat cara mereka berfikir sangat hebat. Mereka boleh menjadi negarawan besar. Sekarang, tidak lagi.

Sebab utamanya teknologi. Teknologi telah menyebabkan orang mendapat maklumat dengan cepat, sekali pun tanpa berfikir. Orang tidak perlu lagi mengambil jalan susah mendapatkan ilmu, sebaiknya dengan hanya menaip di papan kekunci. Hasilnya, yang anak-anak kita perolehi hanyalah maklumat, bukan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan akan kekal lama di pemikiran mereka, tetapi maklumat hanya tersimpan untuk kegunaan jangka pendek. Maklumat itu hanya boleh digunakan untuk peperiksaan, bukan mencerna akal mereka.

Apa yang boleh kita lakukan?

Sebab itu, mereka begitu senang terpedaya dengan pemuda asing yang menjanjikan mereka kemewahan. Kerana otak mereka tidak berfikir dengan cerdas. Otak mereka hanya mampu menggelintar maklumat untuk tujuan lulus periksa, dan bukan untuk menghadapi dunia realiti.

Mereka sering lulus periksa di bilik kuliah, tetapi akan selalu gagal dalam peperiksaan hidup sebenar. Pujuk rayu lelaki Nigeria itu tidak pernah diajar untuk mereka.

Tuesday, 6 December 2011

Kasihan anak dara kita

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mutakhir ini, kedengaran banyak anak dara kita yang berpasangan dengan warga kulit hitam dari Nigeria. Ada yang menjadi objeks seks, ada yang menjadi keldai dadah. Mengapa jadi begitu?

Adakah hal yang seumpama ini berlaku kerana kurangnya didikan agama, kurangnya harta atau kurangnya pemikiran?

Sepertinya anak bangsa kita ini sedang mencari sesuatu yang tidak kita ketahui. Sejak kecil kita banyak diajar bahawa wang itu pokok bagi segala kejayaan. Di kaca televisyen, dulu ada program yang menyebut 'Wang besar, wang besar'. Membeli barang, kita diumpan dengan hadiah menang wang ringgit. Bagi kita, orang yang ada banyak wang itu terlebih hebatnya dari banyak perkara lain. Mata kita terbeliak kalau ada kereta besar memasuki kampung. Kita tidak pernah persoalkan dari mana mereka ada wang banyak.

Di sekolah, anak-anak kita sudah dilatih oleh budaya mewah. Tidak terbayangkan, mengapa harus anak remaja harus mempunyai Iphone, kalau hanya sekadar untuk sms dan telefon. Tidak terbayangkan, mengapa kaca televisyen kita selalu menayangkan yang hero dan heroin semestinya orang berada. Tidak tergambarkan, mengapa wang ringgit selalu menjadi tuhan baru masyarakat kita.

Orang yang terkait dengan aktiviti agama selalu dibaculkan dengan pelbagai label. Mereka yang berkopiah akan selalu difitnah dengan banyak cara. Surau dan masjid selalu diserbu. Anak-anak kita di disko ketawa terbahak-bahak dibiarkan pula. Banyak dari anak-anak muda kita tidak tahu pun yang dunia Melayu ada ulamak besar seperti Tok Kenali atau Ahmad Fatani. Mereka tentu lebih banyak kenal pelakon remaja masakini yang berlakon dalam siri drama Kerana Dhia.

Tidak ramai lagi yang tahu membaca jawi. Jangan terkejut, kita juga semakin tidak pandai membaca al-Quran.

Semua ini melahirkan pojok baru masyarakat. Pojok masyarakat yang tidak berfikir. Masyarakat yang tidak membaca, kecuali novel cinta yang mengalirkan air mata. Ahli akademik sepertinya semakin tidak ada nilainya dalam masyarakat, melainkan kalau mereka menaiki BMW mewah. Ahli akademik yang membantu masyarakat berfikir kini hanya dianggap sebagai satu jenis kerjaya sahaja, bukan sekelompok manusia.

Akhirnya, kita tidak ada apa-apa lagi. Tidak ada jatidiri yang berakar dalam diri.

Anak dara kita lebih sanggup memilih warga kulit hitam Nigeria yang menjanjikan mereka cinta, wang dan keseronokan. Dulu, anak gadis kita tergoda dengan teruna Bangladesh dan Pakistan. Tapi, untung-untung mereka masih Islam. Kita tidak tahu warga Nigeria ini apa agamanya. Kasihan kita.

Kasihan anak dara kita. Mereka dibesarkan dalam budaya yang tidak ada identiti dan hala tujunya.


Kita semakin pelik, kerana hal ini terjadi di kalangan anak dara kita, dan bukannya di kalangan bangsa lain.

Saya tahu mereka tidak tahu saya

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Petang tadi, saya didatangi dua pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak untuk berbincang hal proposal mereka. Seorangnya pelajar PhD dan seorang lagi pelajar sarjana. Kedua-duanya bukanlah pelajar saya. Seorangnya ialah pelajar yang diselia teman baik saya semasa belajar di Australia dulu, dan seorang lagi pelajar yang diselia oleh seorang teman saya semasa belajar sarjana di UKM dahulu. Saya pasti, seorang lagi teman saya itu tidak tahu pun kewujudan saya dalam dunia akademik kerana mereka terlebih dahulu menjadi pensyarah, sedangkan saya sudah berpindah randah di banyak organisasi.

Seperti biasa, kebanyakan pelajar akan cuba bersifat formal. Mereka menyapa saya dengan panggilan Dr. Saya beritahu mereka, saya tidak suka disapa dengan Dr. Bagi saya, biarlah gelar 'Dr' hanya menjadi gelar saya dalam urusan rasmi surat menyurat. Selebihnya, saya hanya menjadi seperti saya juga.

Saya meminta mereka melukiskan model kajian. Saya hanya mendengar apa masalah mereka. Sesekali saya menyampuk.

Apakah isu pelajar ini. Isu utama mereka, seperti kebanyakan pelajar lepasan ijazah lain ialah mencari persoalan kajian, dan apakah topik yang ingin dikaji.

Ia sudah menjadi isu sejagat bagi kebanyakan pelajar.

Mengapa isu seumpama ini timbul. Saya rasa pokok utama ialah kita kurang terdedah dengan pembacaan dan pengetahuan yang mencukupi. Kita tidak dapat lari dari berfikir di luar kotak kerana akal kita tidak mampu menerobos ke ruang yang lain.

Isu lain yang selalu timbul ialah kerana kita bimbang dengan tajuk kajian. Saya katakan kepada salah seorang pelajar tadi, jangan bimbangkan dengan tajuk. Tulis dan siapkan proposal dahulu. Kalau kita berfikir dengan tajuk dahulu, ia akan menghalang otak kita berfikir lebih jauh. Masa akan digunakan untuk berfikir di sepanjang tajuk itu sahaja.

Isu yang lain ialah kita berfikir siapa yang akan menjadi sampel kajian dahulu. Akhirnya, kita cuba hanya mencari pembolehubah yang berlingkar di sebalik subjek kajian. Cara terbaik ialah mendapatkan model kajian dahulu. Model kajian yang baik dapat digunakan untuk semua jenis subjek kajian. Tetapi, kalau kita berfikir subjek dahulu, fikiran kita akan menjadi sempit.

Saya memberikan mereka sedikit kuliah berkaitan 'job design' dan 'job characteristics'. Saya harap mereka faham asal usul teori dan ini akan memudahkan mereka melakukan kajian dengan lebih baik.

Seperti biasa, saya percaya bahawa kajian longitudinal yang digabungkan dengan metod multi-level adalah cara yang terbaik untuk menjadi pelajar lepasan ijazah. Sekurang-kurangnya kita dapat lari dari tradisi lama penyelidikan yang akan menyusahkan kajian kita diterbitkan di jurnal antarabangsa yang baik.

Saya pasti kedua-dua mereka itu tidak tahu bahawa mereka sedang berbincang dengan FakirFikir, kerana mereka bukanlah pembaca blog saya!

Selamat menempuh dunia penyelidikan saya ucapkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails