Yang Ikut

Thursday, 4 June 2009

Minda kita memang kelas pertama

Reactions: 
Aku baru tinggal di Adelaide hampir 2 tahun. Tetapi aku tidak sesat. Aku ada buku peta. Kalau tak buka buku peta pun, aku boleh membaca papan tanda jalan yang disediakan. Dengan panduan itu aku telah sampai ke Melbourne 2 kali. Aku juga sampai ke Goolwa, Moonta Bay atau Philip Island.

Di Kuala Lumpur, beberapa hari lalu aku sesat beberapa kali. Aku sesat kerana mencari jalan untuk sampai ke Bukit Damansara. Aku sesat kerana kini banyak sangat lebuhraya yang sedang menganga menanti wang anda. Apabila tersalah membelok, tidak ada lagi harapan untuk anda pulang ke pangkal jalan. Malang lagi, ketika aku mengikut papan tanda arah ke Pusat Sains Negara, tiba-tiba di sebuah simpang tiga, papan tanda ke pusat ternama negara itu tiada lagi. Jadi, arah ke mana aku nak pergi? Akhirnya aku sesat dan hilang lagi. Hari itu sahaja aku membayar tol enam kali untuk berpusing dari satu jalan ke satu jalan, dari satu lebuh raya ke satu lebuhraya. Inilah minda pertama pembuat tanda jalan!

Sehari kemudiannya, aku mengikut Jalan Ipoh untuk ke Country Home di Rawang. Aku sesat lagi. Country Home ialah kawasan perumahan baru dan mewah - tempat duduk kawan aku, Din yang susah. Tetapi sepanjang perjalanan, tidak ada satu ayat pun tertulis Country Home. Kalau ada ayat Home atau Country pun mungkin aku boleh sampai. Aku tersesat dan berpusing-pusing lagi dalam kawasan Rawang. 2 jam lebih baru berjumpa. Inilah minda kelas pertama kita. Kita tidak perlukan petunjuk arah. Yang kita perlukan ialah daya hafalan nama-nama jalan.

Ketika lalu di pekan Pantai Remis, lampu merah bernyala. Ada dua lampu merah pada jarak yang tidak jauh di antara satunya. Aku jadi keliru. Di mana aku hendak berhenti. Tidak ada garis putih untuk aku berhenti. Adakah garis putih itu ada di lampu merah hadapan. Aku pergi lagi. Tidak ada juga. Akhirnya aku terus tanpa berhenti. Inilah minda pertama kita. Kita perlu menghafal di mana garis putih sepatutnya ada, yang mungkin dicat pertama kalinya tahun 1980-an, bukan perlu lihat dengan mata.

Semua ini mengingatkan aku betapa perlunya kita menghafal. Ingat, pembuat papan tanda jalan ialah orang yang tahu arah. Jadi mereka tahu semua arah jalan. Mereka tidak pernah cuba ambil tahu adakah orang lain tahu atau tidak. Mereka ingat semua manusia ini ialah penghafal jalan kelas pertama juga. Mereka tidak anggap penting pun orang akan tersesat atau tidak, kerana mereka rasa orang lain juga tahu seperti mereka.

Jadi, yang sepatutnya buat papan tanda jalan ialah orang kampung yang tak tahu apa-apa. Mereka akan terus bertanya dan bertanya. Mereka inilah manusia yangt sepatutnya ditugaskan membuat papan tanda jalan.

1 comment:

qazwsx said...

salam, sebelum keluar rumah print google map dari mana dan kemana, senang sikit. Syed.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails