Yang Ikut

Tuesday, 9 June 2009

Jadi, buatlah sesuatu

Reactions: 
Cuaca di Malaysia sekarang panas. Di mana-mana pun panas. Ia mungkin sebahagian dari kesan pemanasan global yang tidak diketahui maknanya oleh orang di kampung aku. Mereka tahu cuaca berubah dan tidak lagi stabil. Tetapi mereka tidak tahu apa itu pemanasan global.

Kalau anda mendengar radio, atau menonton televisyen atau membaca suratkhabar, sekarang ini ada usaha untuk menyedarkan orang ramai tentang pencemaran alam sekitar. Bagi aku itu usaha yang bagus. Ia usaha yang murni dan tulus, walaupun kadang-kadang orang yang sinikal seperti aku akan selalu berkata ia hanya usaha yang mulus.

Mengapa begitu. Satu iklan radio mengajak orang ramai jangan menggunakan beg plastik. Mereka juga menggesa orang awam menggunakan plastik organik. Tidak juga terlupa mereka mengingatkan untuk membawa beg sendiri.

Ia mulus kerana bagi orang ramai, mereka menggunakan apa sahaja plastik yang telah diisikan barang oleh tuan kedai. Organik atau tidak, mereka tidak tahu. Kalau betullah kita serius untuk tidak menggunakan beg plastik, haramkan penggunaannya. Tidak ada lagi kilang menghasilkan beg plastik selain yang organik. Kita juga tidak lagi mengimpot plastik dari China. Jadi, yang ada hanya plastik organik. Orang kampung tidak peduli pun. Mereka hanya membeli barang. Plastik yang mencemar alam atau tidak, tidak begitu penting. Apa diberi, itulah diambil.

Tetapi siapa yang berani menutup kilang plastik? Siapa yang patut mengadakan polisi penggunaan beg sendiri. Tidak ada. Tidak ada sesiapa yang bersuara pun hal itu. Jadi, akhirnya, yang disalahkan orang kampung yang tidak tahupun komponen kimia plastik.

Sebenarnya alam tercemar bukan sekadar plastik. Anda berjalanlah dalam sesak orang ramai di pasar malam Bandar Bangi atau Changlun yang panjang itu. Tidak ada sebiji pun tong sampah yang ada di tengah pekan itu. Jadi di mana mereka patut membuangkan sampah kalau bukan ke longkang? Jadi, janganlah hanya membisingkan agar orang ramai menjaga kebersihan kalau tong sampah pun tidak ada.

Di kampung aku, setelah lebih 50 tahun merdeka, tidak ada sebiji pun tong sampah yang disediakan pemerintah baik yang baru sahaja berkuasa atau yang sebelum ini. Jadi, ke mana patut orang kampung aku buat dengan sampah sarap, pampers, sisa makanan dan apa sahaja yang busuk itu? Mereka akan bakar. Asapnya mencemarkan alam. Mereka buang ke sungai, semaknya mencemarkan air. Mereka buang di sekeliling rumah. Maka membiaklah nyamuk dan penyakit.

Jadi, jangan hanya datang ke kampung dan mencari jentik-jentik dan mengeluarkan kertas saman semata-mata. Ia tidak ada maknanya. Seperti memberikan anugerah penyapu untuk orang yang tidak ada tong sampah. Kita sudah ada lapangan terbang terbaik dunia dan bangunan tertinggi Asia. Sayangnya, kita tidak ada tong sampah yang harganya tidak pun sampai RM 100.

Jadi, buatlah sesuatu. Nasihat ini aku tujukan untuk semua kawan-kawan aku yang menjadi orang politik, penasihat menteri dan pembuat polisi.

1 comment:

Abang Ben said...

errr... aku tarik balik kata aku dulu. Elok la hang masuk politik.

;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails