Yang Ikut

Thursday, 18 June 2009

Kita ciptakan kekalutan bahasa lagi

Reactions: 
Di Malaysia, salah satu isu yang tak pernah selesai ialah kemelut bahasa. Ia sepatutnya tidak menjadi isu, tetapi menjadi polemik apabila kita mula tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri. Ia tidak menjadi kemelut di China, Jepun, Korea, Jerman, bahkan di Thailand dan Indonesia. Kita menciptakan kekalutan untuk kita sendiri dengan bermain-main mengenai isu bahasa.

Sekarang, orang sedang kalut berbahas sama ada patut bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus dalam SPM. Berdasarkan pungutan pendapat, dikatakan 80 peratus rakyat Malaysia setuju.

Kalau orang bertanya aku, aku akan selalu tidak percaya akan keperluan bahasa Inggeris dijadikan subjek lulus SPM. Aku orang yang pesimis, kampung dan kolot. Jadi, aku akan selalu berhujah dengan idea kolot dan meragukan juga.

Aku selalu membayangkan, banyak masalah sosial yang berlaku kini kerana banyak anak muda kita yang tidak mendapat tempat yang baik dalam peperiksaan. Apabila tamat sekolah, mereka tidak mampu menyambung pelajaran ke tempat tinggi. Memasuki alam pekerjaan pun sebagai pekerja kelas bawah.

Jadi, untuk mencari wang lebih, kadang-kadang perlu menyeluk poket dan meragut. Untuk berhibur, kerana tidak mampu dan jiwa kosong, mereka merempit di jalanraya. Yang teruk, akan mencari ice dan pil kuda. Ya, apa boleh mereka buat?

Untuk menjadi sibuk seperti pelajar universiti, mereka bukan pelajar baik dalam peperiksaan. Untuk mempunyai wang banyak, mereka hanya ada sekeping sijil yang tidak berguna.

Bagaimana pula halnya kalau Bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib? Tentu akan lebih banyak budak-budak kampung, remaja FELDA atau yang tinggal di pedalaman akan gagal. Kita boleh berhujah, sebab tidak wajib itulah, pelajar kita malas dan tidak mahu berusaha. Sebab kita orang bandar dan ada wang kita boleh berhujah begitu. Di Australia, aku terserempak dengan seorang gadis Cina dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang sedang mengikuti kursus bahasa Inggeris ketika sedang menunggu keputusan SPM. Ada orang kita yang mampu menghantar anak kita ke luar negara semata-mata belajar bahasa Inggeris yang yurannya AUD 3,500 atau RM10,000 - RM11,000 untuk tempoh sepuluh minggu? Untuk mendapat RM 50 sehari pun belum tentu, inikan RM10,000.

Untuk berjaya, mereka perlu berusaha. Itu benar. Tetapi, setiap usaha bukan hanya membelek buku. Ia perlukan wang. Perlu mengupah guru terbaik. Jadi, jangan hanya berkata anak-anak kita tidak mahu berusaha? Jangan ciptakan hujah untuk menghalalkan cara.

Kita perlu lihat, adakah telah kita siapkan guru bahasa Inggeris terbaik di sekolah luar bandar. Begitu juga dengan kemahiran bahasa Inggeris untuk guru yang mengajar sains dan matematik. Di rumah, adakah pelajar-pelajar ini bertutur bahasa Inggeris dengan persekitaran sosial mereka. Jadi, semua itu akan menyebabkan mereka tidak mungkin menguasai bahasa Inggeris dengan sempurna.

Mewajibkan bahasa Inggeris sebagai subjek lulus umpama mewajibkan mereka yang ingin mendapat sijil berenang merentas Laut Cina Selatan. Walaupun mungkin ada yang akan lulus, tentu banyak yang akan hanyut. Ini lebih buruk. Ia lebih teruk walaupun kita mungkin akan menghasilkan manusia yang bijak berbahasa Inggeris, tetapi banyak yang mati dan karam begitu sahaja.

Jadi, apa yang patut kita buat.

Jangan jadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus. Sebaliknya, untuk pelajar yang ingin ke universiti, pastikan mereka lulus ujian kemahiran bahasa Inggeris seperti MUET atau IELTS. Untuk bidang pekerjaan tertentu, mereka boleh sahaja diwajibkan lulus ujian khas bahasa Inggeris bagi kategori pekerjaan. Jadi, tidak ada pelajar kita yang gagal SPM semata-mata kerana tidak menguasai bahasa Inggeris.

Bayangkan begini. Anda tidak lulus bahasa Inggeris dalam SPM. Anda bukan sahaja tidak layak ke universiti. Bahkan, memohon jawatan tukang kebun pun anda tidak layak kerana anda tidak lulus SPM.

Jadi, apa kesudahannya? Anda boleh memilih meragut, merompak dan menyamun.

2 comments:

ihsan_huhu said...

hmm.. btol gk

Anonymous said...

bang, bayangkan sekarang ini math dan sains dalam bahasa inggeris tak boleh nak cope, kena pulak english wajib alamat fail le semua pelajar luar bandar yang kurang mampu nak gi tusyen

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails