Yang Ikut

Thursday, 16 June 2011

Tribute untuk Gina dan Daddy Jack

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bekalan rokok Dunhill dari Malaysia sudah terputus 3 hari. Dulu, ketika mula berpijak kaki ke Adelaide, sengaja aku tidak bawakan sebatang rokok pun. Hajat hati hendak berhenti. Cuma bertahan dua hari, akhirnya aku gagahkan kaki melintas Henley Beach Road membeli sekotak rokok Peter Stuyvesant di sebuah kedai minyak. Mahal sungguh. Ia boleh membeli sekartun rokok dari Malaysia.

Tahun 2007 dan 2008 itu juga, masih banyak perokok tegar di kalangan kami. Tahun 2011 ini, hanya aku dan seorang lagi kawan sahaja yang dianggap perokok tegar. Yang lainnya sudah balik Malaysia setahun atau dua tahun lalu. Terakhir balik ialah Fahmi dan Razak. Dulu sesekali kalau ada bekalan rokok dari Malaysia yang dibawa oleh pelajar lain yang tidak merokok, kami akan membahagikan sesama kami.

Paling indah, kalau mendengar berita doktor dari Malaysia datang untuk conference atau urusan lain. Biasanya mereka ini tidak merokok. Jadi peluang untuk mendapatkan bekalan rokok sangat tinggi.

Paling tidak indah, kalau yang datang ialah mereka yang anti rokok. Janganlah dipesan rokok dengan mereka ini. Mereka tidak akan membelinya. Juga mereka yang 'skema' yang melihat membawa rokok seperti membawa candu. Adalah lebih baik memesan mereka belacan dari Melaka. Mereka akan membelinya, tetapi tidak rokok - walaupun belacan adakalanya tersangkut di Imigresen, tetapi tidak rokok.

Mereka tidak salah. Kami para perokok yang salah. Sudahlah susah, merokok pula.

Merokok di Adelaide ini seperti budak-budak sekolah belajar membeli rokok. Ia sesuatu yang mahal, tetapi diinginkan juga. Ada atau tidak, perlu ada sekotak di dalam poket.

Dulu, ketika di tingkatan 6 rendah, aku sudah ada lesen merokok. Bagaimana pun, ia bersyarat. Syaratnya ialah aku perlu mencari duit sendiri. Setiap petang, balik dari sekolah aku terus ke hutan mencari rebung. Rebung itu kemudiannya dikupas dan direbus pula. Kemudiannya baru boleh dijual. Sehari, aku boleh dapat RM15-20. Itu sahaja yang boleh. Tetapi waktu itu, tahun 1990-an, rokok masih murah.

Sesekali aku ambil upah masukkan padi ke dalam guni. Ia dapat menampung belanja rokok seminggu.

Semakin aku tua, tidak ada sesiapa lagi yang melarang aku merokok. Kecuali isteri aku yang sesekali memberi khutbah ringkas kepada aku. Tetapi biasalah, orang perempuan. Aku berikan cubitan manja dia pun tak jadi marah.

Ketika remaja, kita berkongsi rokok. Sebatang dikongsi beberapa orang.

Satu malam, ketika aku dilokapkan - aku merasa kembali rokok berkongsi ramai-ramai ini. Tapi, aku tahan juga tidak merokok. Aku takut nanti aku tertelan air liur sesiapa yang tidak aku tahu latar belakangnya.

Sebenarnya, merokok memang buruk untuk kesihatan. Aku tahu itu. Sudah beribu kali aku melihatnya di sebelah tepi kotak. Aku pernah membacanya di kotak rokok dengan banyak bahasa. Ada dalam tulisan Melayu, Inggeris dan Indonesia. Aku faham, tetapi aku tidak berjaya untuk berhenti.

Satu waktu, ketika ke Bangladesh, aku menginap di satu hotel. Bekalan rokok terputus. Tetapi, bagusnya di hotel itu ada dijual rokok Dunhill buatan Malaysia. Aku membelinya. Aku tidak begitu ingat harganya. Mungkin RM40. Tetapi kerana aku membawa wang dolar Amerika yang diberikan oleh syarikat, aku tidak kisah sangat.

Sudah 7 bulan lebih, sejak ramai perokok tegar pulang ke Malaysia, bekalan rokok dari Malaysia tidak pernah terputus. Hanya aku dan seorang lagi kawan sahaja. Kami tidak bersaing. Kalau dia mendapatkan bekalan, sebahagiannya diserahkan kepada aku. Begitu juga aku. Kami tidak main aci sembunyi. Kami berbuat kebajikan secara adil.

Sejak 3 hari ini, aku meracau menghisap rokok buatan Australia. Ia sedap juga, tetapi harganya tidak sedap. Sekotak rokok harganya $13.50, atau hampir RM35. Ia tidak sesuai dengan orang berjawatan kuli seperti aku.

Tadi, seorang kawan baru pulang dari Malaysia membelikan aku rokok. Aku tidak sabar untuk mengambilnya besok pagi.

Terima kasih Gina dan Daddy Jack!.

Hantu mak Limah mana pula ni?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
(Ini adalah perbincangan psikologi, walaupun tajuknya tiada berkaitan)


Walaupun dalam setiap keadaan, kita cuba memilih warna yang kita sukai, tetapi jarang kita berfikir apakah warna memainkan peranan psikologi dalam hidup kita.

Setiap kali memilih pakaian, kita berfikir apakah warna yang sesuai dengan jiwa kita. Kita juga terangsang dengan warna tertentu bagi menghiasi rumah kita. Bahkan, kita mungkin tidak begitu tergamak meminum air oren yang diletakkan warna hitam.

Kita juga selalu melihat banyak wanita cantik (tidak cantik juga) suka memakai gincu berwarna merah agar kelihatan menawan. Mengapa ada warna tertentu?

Dalam satu kajian beberapa tahun terakhir ini, mendapati bahawa warna juga ada kaitan dengan prestasi. Mereka yang diberikan anagram (permainan huruf) berwarna merah didapati gagal menyelesaikan masalah permainan huruf yang diberikan. Kajian lanjutan juga mendapati mereka yang diberikan kad huruf merah juga cenderung memilih tugasan yang mudah dan ringkas.

Apakah maksud kajian ini? Ini menunjukkan warna merah telah menyebabkan motivasi penyelesaian masalah manusia merosot.

Sebab itu, kalau anda sedang mengikuti kelas peperiksaan, jangan sesekali memakai baju merah.

Bagaimana pun, warna merah ini didapati mempunyai sifat yang lain pula. Ia dianggap sebagai warna seksi dan memberahikan.

Kajian mendapati warna merah membangkitkan tarikan lelaki. Siri ekperimen menunjukkan bahawa wanita yang memakai pakaian merah atau foto wanita dalam warna merah dianggap sebagai lebih mempesonakan bagi lelaki. Bagaimana pun, bagi wanita yang melihat foto wanita lain dengan warna merah, bagi mereka ia tidak ada apa-apa. Ia biasa sahaja.

Sebab itu, bagi wanita - ada baiknya setiap kali menyambut suami anda pulang dari kerja, pakailah pakaian merah atau gincu merah. Ia mungkin menghilangkan penat suami.

Tidak percaya?

Cuba hari ini anda memakai pakaian hitam dan bergincu hitam, dan tunggulah suami anda di depan pintu. Tunggu apa reaksinya.

Jangan terkejut - nanti dia berkata 'hantu mak Limah mana pula ni?"

Terrific!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada berita.

Semalam, supervisor aku minta aku email ke editor journal Safety Science bertanya khabar apa sudah jadi dengan manuskrip kami yang sudah dihantar dua bulan lalu. Ia jurnal besar dalam kategori A bagi bidang kami.

Tidak sesuai baginya mengirimkan email, kerana kalau aku, banyak alasan aku boleh berikan. Alasan yang utama, aku perlukan kertas jurnal itu untuk dimasukkan ke dalam tesis.

Tadi pagi, penyelia aku menelefon. Dia beritahu editor sudah memberikan jawapannya. Manuskrip kami diterima tanpa pembetulan. Terrific, kata supervisor aku.

Aku maklumkan kepada penyelia aku - aku akan belanja dia secawan kopi besok pagi.

Secawan kopi memang mengubah dunia. Aku perlu mencari kawan-kawan untuk dibelanja kopi. Siapa lagi kalau bukan Supian dan Zainol.


Wednesday, 15 June 2011

Update masa lapang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tiada apa yang hendak dibuat hari ini. Banyak kerja sudah siap. Semalam supervisor aku beritahu, dia ada masalah apabila aku terlalu cepat menulis. Dia tidak ada masa untuk membaca. Jadi hari ini, aku berehat dan menulis blog sahaja.


Isnin lalu, aku ke Hahndorf, ia bandar yang secara tradisinya dikaitkan dengan warga Jerman. Terakhir aku pergi mungkin setahun lalu bersama Dr Ben memetik strawberry. Kalau anda datang ke South Australia, ini mungkin bandar yang sesuai untuk dilawati. Ia seperti bandar pelancongan yang ada banyak hasil kraftangan dan tempat makan. Tetapi tidak ada kedai halal, kecuali sebuah kedai menjual aiskrim halal.


Ini Luqman Hakiem. Ketika kami sampai ke South Australia dulu, dia masih kecil. Baru 2 tahun 2 bulan. Kini dia sudah menjadi budak besar. Sudah pandai men'saiko' aku. Semalam, semasa aku menghantar dia ke sekolah - dia tanya 'Ayah ke sekolah (universiti) tak? Aku jawab pergi.


Dia sambung ayat psikologinya, 'Jangan lupa tau belikan Man something'. Aku kata, aku selalu terlupa. Dia jawab lagi "Cuba ayah sambil jalan-jalan tu, ayah ulangkan ayat 'kena beli something, kena beli something', nanti ayah akan store dalam mind". Dia sedang ajarkan aku kaedah menghafal pulak! Ini aksinya seperti yang ditiru dari filem 'The Socerers Appretice', lakonan Nicolas Cage. Inilah bahayanya kalau budak-budak menonton filem. Tapi, nampaknya kita tidak boleh berbuat apa-apa, kerana sebenarnya orang tualah yang sebenarnya membuka dan menonton filem.


Tinggal 2 bulan 2 minggu sahaja lagi aku di bumi Australia ini. Selamat datang orang baru, selamat pulang orang lama.

Secawan kopi yang menukar dunia

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari dulu, aku menulis emel kepada seorang TNC universiti, mengingatkan beliau bahawa kami pernah minum kopi beberapa tahun dulu. Tahun 2008 itu, aku bawa professor aku minum kopi bersamanya sekadar untuk berborak kosong. Beliau bukanlah dari universiti aku juga, sekadar terserempak di Adelaide dan kemudiannya menjadi rakan kopi kami. Kopi dan aku adalah rakan yang baik.

Dalam email, aku memberitahunya bahawa profesor yang menyelia kajian aku akan melawat Malaysia. Sempena lawatannya, aku rasa adalah baik kalau dia juga melakukan sesuatu yang bermanfaat, misalnya 'research colloboration' dengan universiti di Malaysia.

Dalam emel balas itu, TNC itu menjawab "Mind you some chats over coffee or tea can some time change the world!. Benar, kopi atau teh sebenarnya boleh mengubah dunia.

Sebenarnya, dunia kerjaya aku bermula di kedai kopi. Akulah pembancuh teh tarik dan kopi di sebuah warung di Sungai Tangkas, pertengahan tahun 1990-an dulu. Waktu itu, banyak rakanku yang lain sudah menjadi eksekutif bertali leher.

Ketika ditemuduga untuk kerjaya swasta tahun 1998, aku juga menghadiri temuduga di dua buah kedai kopi.

Ketika di Jakarta, ofis aku bersebelahan dengan Dunkin Donut. Ia juga kedai kopi. Aku menghabiskan banyak masa aku di situ. Kopinya tidaklah bagus.

Tahun 2005, ketika aku mahu menukar kerja, aku ditemuduga seorang CEO berpangkat Dato' di kedai kopi juga, tidak jauh dari Chow Kit.

Kopi dan teh boleh menukar dunia. Setidak-tidaknya anda boleh mengidap kencing manis dan kaki anda dipotong. Ia memang akan menukar dunia hidup anda.


Tuesday, 14 June 2011

Update mingguan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ahad yang lalu, aku mengadakan siri bengkel menulis jurnal. Ia banyak berkisar hal teknikal menulis jurnal.

Ia agenda yang sengaja tidak diiklan dan dipromosikan. Dikendalikan di rumah seorang kawan. Pesertanya hanyalah 'kamceng' aku sahaja. Senang nak kutuk kalau terasa ingin dikutuk. Bagaimana pun, tiada sebarang kata pujian seperti moderator orang putih. Mereka banyak menggunakan ayat beautiful atau excellent bagi semua perkara. Aku tidak.

Agenda bengkel seterusnya ialah bagaimana untuk membaca. Banyak sangat bahan untuk dibaca.

Hakikatnya, tidak semua perkara perlu dibaca. Kalau semuanya ingin dibaca, akhirnya tesis tidak akan siap.

Saturday, 11 June 2011

Kita mungkin lebih murah dari sebiji botol

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah lama aku memerhatikan lelaki tua ini. Melihat raut wajahnya, dia seorang Cina atau Vietnam. Melihat kepada cara dia berjalan membongkok-membongkok, perlahan-lahan menapak, umurnya mungkin 70an, atau lebih. Penampilannya tidak membayangkan dia orang kaya. Pakaiannya lusuh dan tidak rapi. Itu watak luarnya sahaja. Ia tidak ada kena mengena dengan nalurinya. Sudah banyak kali aku menunggu bas di St Bernald Road itu, di depan kampus universiti. Acapkali itu juga, sekitar jam 3 atau 4 petang lelaki tua yang kurus dan bongkok itu juga keluar dari kampus universiti dengan memegang satu beg plastik di tangannya.

Di tepi jalan besar itu, ada sebuah kawasan parkir berpagar. Ada satu pintu masuk ke dalamnya. Di tepi pintu pagar itulah, lelaki tua yang tidak terurus tadi, sambil membongkok berjalan membukakan beg plastiknya. Dia membuangkan beberapa beberapa botol plastik minuman. Lantas, dia berjalan masuk ke dalam kawasan parkir itu dan menghilangkan diri di taman perumahan. Mungkin rumahnya ada di sana.

Perlakuannya membuang botol itu bukanlah kerja buruk manusia. Ia kerja yang sangat mulia. Lebih mulia dari mendermakan 10 juta ringgit lalu membisingkan di depan wartawan sambil bergambar dengan 'mock-up cheque' yang besar. Agar dilihat satu dunia.

Lelaki tua yang membuang botol itu adalah manusia mulia. Manusia yang membuat kebajikan. Di South Australia, harga kitar semula botol minuman ialah sepuluh sen sebiji. Aku juga sesekali menjadi pemungut botol. Kalau ada 100 biji, aku akan mendapat 10 dollar dengan mudah. Kalau 1,000 biji aku akan mendapat 100 dollar. Bayangkan kalau ada 10,000 botol? Ada orang yang hanya hidup dengan mencari botol yang dibuang, lalu dihantar ke pusat kitar semula. Anda boleh menukarkan botol bekas minuman dengan wang dengan cara yang mudah.

Satu hari aku membilang botol yang dibuang di tepi pagar parkir itu, ada 10 biji botol. Maksudnya dia telah membuangkan 1 dolar wangnya untuk pengutip botol yang lain. Inilah pekerjaan yang mulia. Boleh sahaja aku mengutip botol itu, dipijak agar kemek, lalu dimasukkan ke dalam beg aku. Kalau seminggu, dalam 5 hari aku menunggu bas, aku boleh mendapat 5 dollar dengan mudah. Tetapi, aku tidak tergamak mengambil botol yang disedekahkan lelaki tua itu. Aku orang muda. Aku patut mencari botol di tempat lain.

Tetapi, begitulah cerita jiwa mulia hati manusia. Itulah manusia kebajikan. Dia membuat kebajikan dengan mengutip botol lalu dibuang di satu tempat agar dikutip orang lain. Dia tidak tamak haloba. Inilah manusia baik. Wira yang patut menjadi tauladan kita semua. Dia tua, bongkok dan berjalan perlahan-lahan. Tetapi hati mulianya menjadikan ia lebih baik dari semua kita yang masih muda, yang sesekali berfikir banyak kali patutkah kita memasukkan RM 10 atau 50 sen ke tabung derma masjid. Sesekali, kalau kita sudah termasukkan RM50, hati kita jadi tidak keruan, mengapa banyak sangat kita menderma tadi. Bukankah ikhlas itu boleh sahaja dengan 5 sen sahaja?

Lelaki tua pembuang botol itu patut kita pilih sebagai simbol dan idola kita. Dia selekeh, tapi jiwanya bersih. Ia lebih baik dari kita yang bersih, tapi hati kita penuh selekeh. Hati kita adakalanya lebih murah harganya dari 10 sen kitar semula sebiji botol!

Bila larut malam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
diupdate menggunakan handphone dari atas katil. ditulis tanpa perenggan. Jam 1.20 malam. Terjaga dari tidur sejak selepas Isya jam 6.45 petang tadi. Sekarang ini, suasana dingin musim sejuk menikam hingga ke tulang. Lebih baik tidur dari berlawan dengan suhu. Sebaik terjaga tidak tahu apa yang boleh aku buat. Di ruang dapur aku bakar sebatang rokok - itulah kotak terakhir rokok buatan Malaysia yang aku ada. Dua bulan dua minggu sahaja lagi aku di sini. Isteriku telah siap memasukkan barang ke dalam kotak. Di dapur, tidak banyak lagi pinggan. Aku juga perlu mengemaskan kertas terakhir. Banyak juga aku menulis sepanjang 4 tahun ini. Ada 8, satunya ditolak. Aku simpan sebagai kenang kenangan. Bagusnya kerja dengan universiti, aku boleh menulis. Kita berfikir, kemudian menulis. Di dunia pekerjaan yang lama, kita berfikir tetapi kemudiannya sama ada kita memanipulasi atau menduga untung. Sejak tidak lagi di sektor swasta, fikiran aku lebih tenang. Tidak perlu berfikir ilmu dan trick pengurusan, bertarung dengan matlamat syarikat, ilmu mempengaruh dan kebajikan pekerja. Dunia akademik adalah dunia teori, tidak selalu berpijak di atas bumi. Tiba-tiba dua tiga hari ini fikiran aku kembali membinau. Tri, seorang clinical psychologist, isteri kepada teman baik di Jakarta diminta untuk memberi saran dan merancang perubahan sikap kakitangan. Itu bukan bidangnya. Clinical psychologist kerjanya lain. Syarikat yang meminta sarannya bukanlah organisasi biasa. Ia antara syarikat gergasi di Indonesia yang tidak jatuh walaupun dilanda krisis kewangan tahun 90an dulu. Jadi aku diminta membantunya menyediakan proposal. Ia bercampur dengan ideologi teoris psikologi dan praktik pengurusan. Sebenarnya dia juga meminta aku memberikan latihan perubahan tingkahlaku itu. Akulah moderator itu. Yang bakal menjadi kumpulan sasar itu bukanlah kakitangan biasa, mereka itu ialah barisan pengarah syarikat mega. Hah. Tapi aku tidak pernah katakan tidak, kerana aku tahu siapa pun mereka, mereka tidak pernah mengorek rebung dan menjerat burung mandi seperti aku.

Thursday, 9 June 2011

Tunggu aku Malaysia

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku dah beli tiket balik Malaysia. 4hb Julai aku sampai di KLIA. 12hb Julai aku balik semula ke Adelaide. Anak bini tidak ikut.

Seperti biasa, naik kapal terbang lompat lompat. Dari Adelaide ke Melbourne naik Tiger. Tumpang tidur di rumah seorang kawan. Ini pun kawan yang aku jumpa setahun lalu semasa ke Darwin. Sama bidang psikologi seperti aku.


Dari Melboune ke KLIA naik AirAsia. Itu pengangkutan rasmi orang tidak banyak duit seperti aku. Di Kuala Lumpur, tidak tahu di mana lagi hendak menumpang. Tapi, aku tidak bimbang hal penginapan di Kuala Lumpur. Banyak kroni di sana. Dari Kuala Lumpur, naik bas ke Johor Bahru pula. Naik bas tidak jadi masalah. Asalkan sampai. Di Johor, aku tidur hotel 2 hari. Kalau tidak tidur di hotel, nanti nampak pelik pulak. Supervisor aku dah beri 2 ribu dolar untuk balik Malaysia. Nampak sangat aku ini cuba 'sip' duit.

Ada sesiapa di Johor yang nak belanja aku teh tarik terbaik?

Dua hari di Johor Bahru, 8hb malam aku kena balik kampung tengok mak aku dulu. Boleh sehari pun kira cukup. Sekadar menjenguk muka. Kalau sempat ingat nak ke lubuk memancing dulu. Setidak-tidaknya masuk hutan korek rebung. Aku masih berfikir perlu atau tidak aku naik kapal terbang dari Johor Bahru ke Alor Setar. Naik bas pun bukan murah lagi zaman sekarang.

Kalau naik bas, 9hb pagi baru sampai Changlun. 10hb malam aku kena bertolak balik ke KL pula. Isteri aku minta aku singgah rumah emaknya juga. Ini baru satu. Bayangkan kalau abang Salleh. Agaknya dia pening kepala sebab itu kena tambah sampai empat.

11hb malam aku sudah kena ada di KLIA pula. Aku pun tak pasti jam berapa tiketnya. Semuanya isteri aku uruskan.

Inilah dikatakan zaman global. Kalau ada duit, anda boleh keliling dunia dalam seminggu. Kalau tak ada duit, boleh terus termangu di depan pintu.

Tunggu aku Malaysia.

Satu atau bersatu?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama aku terasa ingin tulis hal ini.

Satu atau bersatu?

Satu apabila beberapa banyak benda dikumpulkan menjadi entiti yang baru - ia menjadi satu. Misalnya, pintu, cermin, tayar, tingkap dan sebagainya diadun dan direka sebagai sebuah model kereta. Ia menjadi satu kereta. Tiada lagi dibilangkan sebagai entiti yang berasingan.

Bersatu - semua pintu, cermin, tayar dan tingkap itu hanya menjadi dalam kumpulan yang sama. Tetapi ia bukan sebuah kereta. Ia dihitung dalam bentuk yang berasingan. Terpisah tapi bersatu.

Dalam satu kelas, kita tidak boleh menisbahkan semua pelajar berbeza jantina dan bangsa sebagai satu. Tetapi mereka boleh kita anggap sebagai satu kelompok yang bersatu dari segi identitinya.

Apabila mula-mula diperkenalkan konsep Satu Malaysia dulu, aku mula berasa curiga. Aku bimbang ia konsep yang akan menyebabkan ia disalahtafsir dan akan mudahnya dimanipulasi. Kini ia benar-benar terjadi.

Tapi, aku bukan penasihat kepada sesiapa. Tetapi aku selalu bermain dengan bahasa. Aku tahu tersilap bermain hal konsep yang berselirat di sebalik makna bahasa, ia akan menyusahkan.

Beberapa hari dulu, seorang ahli politik cuba mendaftarkan anaknya dengan nasab "Anak Malaysia". Ini sebenarnya polemik politik memanipulasi konsep. Manusia dinasabkan dengan bangsanya, bukan dengan negaranya. Aku orang Melayu yang bernegara Malaysia. Orang lain dinasabkan dengan bangsa mereka sendiri. Ia tidak menghilangkan hak kewarganegaraan.

Tetapi kerana politik adalah strategi, dan politik adalah 'game', maka apa sahaja ruang yang boleh diterokai, akan dimanipulasi sebaiknya. Ia bukan satu dosa.

Isu semacam ini hanya timbul apabila kita mula menawarkan konsep Satu Malaysia yang menyebabkan ia membuka ruang untuk dimanipulasi. Orang bertanya apa salahnya kalau diletakkan bangsa sebagai "Anak Malaysia". Sebab kita ini sudah menjadi satu. Mengapa harus dinisbahkan kepada tayar atau cermin atau pintu lagi. Lebih mudah didaftarkan sebagai kereta.

Kalau ditanya aku - atau akulah penasihat kepada konsep - aku lebih cenderung dengan konsep Bersatu Malaysia. Ia lebih mudah diperjelaskan, tidak mudah dipermainkan. Pada akhirnya, konsep satu dan bersatu itu tidaklah jauh berbeza. Ia hanya permainan bahasa yang membawa maksud berlainan. Kita boleh bercakap hal perpaduan setiap hari kalau kita mahu.

Satu Malaysia juga menjurus ke arah itu. Tetapi, sayangnya ia menjadi ayat yang mudah dimanipulasi kerana maknanya boleh jadi bersatu, dan boleh jadi juga membawa maksud semua orang adalah sama.

Kalaulah kita memberikan nama Bersatu Malaysia, mungkin lain ceritanya. Ia hal mudah sahaja. Hanya menambah 3 patah huruf B E R di depannya.

Tapi, siapalah aku untuk menjadi penasihat. Aku hanya penulis blog kecil yang dibaca oleh anak kecil.

Tuesday, 7 June 2011

Update hidup di kala dingin

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah beberapa hari tidak menulis. Di musim sejuk dengan cuaca yang muram, mood menulis juga suram. Tidak ada apa yang indah di musim sejuk melainkan malam datang begitu cepat, dan siang pula tibanya lambat.

Tiada juga banyak benda yang patut ditulis. Semalam, satu jurnal memberikan keputusannya. Minor correction. Ia hal yang bagus. Bulan ini bulan yang bagus, kata supervisor aku.

Seorang kawan dari Jakarta meminta pandangan berkaitan dengan 'organizational diagnosis (OD)'. Dia sedang menjadi konsultan membaik syarikat. Ini sebahagian tugasnya sebagai konsultan. Apa kerjanya OD? Ia seperti doktor mencari penyakit manusia juga. Ada beberapa stepnya. Aku tak boleh beritahu. Nanti aku tak boleh nak cari makan.

Beberapa hari lalu, supervisor aku bertanya aku - mahu tak aku jadi "Research Fellowship' di sini. Jadi aku tak payah balik Malaysia lagi.

Ia semacam idea yang baik. Tetapi, tidak ada satu pun yang boleh menggantikan buih teh tarik dan roti canai mamak di Malaysia. Ia dua benda yang tiada galang gantinya. Sebenarnya bukanlah teh tarik dan roti canai itulah yang menyebabkan aku tidak dapat lupakan Malaysia.

Bukan. Aku anak Malaysia. Aku tidak boleh hidup di bumi bercuaca asing ini.

Tapi sebelum aku keluar dari biliknya, aku sempat berkata 'After 3 years, I'll be back".

Sungguh manusia itu cepat berubah dan tamak haloba!

Wednesday, 1 June 2011

Abang Salleh idola kami juga!

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apabila mendapat tahu bahawa isteri ke empat Salleh Yaakub terpesona dengan hidung pelawak terkenal itu, aku juga cuba mencucikan hidungku agar kelihatan lebih mancung. Isteriku berkata, "amboihhh". Ini membuatkan hasrat untuk menjadikan hidungku lebih menarik dibatalkan!

Sekurang-kurangnya aku tahu, itulah kelebihan abang Salleh. Di kalangan orang lelaki, kami sesekali berbual mengenai bagaimana beliau mampu menjadi lelaki yang 'lain' dari yang lain. Semua isterinya bersetuju memberikan keizinan untuk dia berkahwin lagi.

Kalau lelaki berkahwin dua, ia biasa. Tetapi ini empat. Ia sangat sedikit berlaku di Malaysia.

Satu petang, sedang kami khusyuk membincangkan topik hangat ini di kalangan kami - seorang blogger terkenal Adelaide sedang membincangkan perspektif kehidupan bermadu. Entah bagaimana tiba-tiba isterinya lalu di belakang dan terdengar ayat suaminya yang menyatakan betapa mudah untuk bermadu. Sebenarnya itu bukanlah maksud sebenar blogger itu. Ada ayat lain di hadapannya. Ia hanya merujuk kepada abang Salleh.

Cuma kerana ayat yang sekerat itu sahaja yang didengar oleh isterinya, maka terhamburlah 'Amboih. apa kata tadi?".

Begitulah realiti poligami di Malaysia. Bukan sekadar hasrat untuk berpoligami, berdiskusi topik poligami pun mungkin tidak disukai sang isteri. Sekarang ini kalau ada anak lelaki yang baru dilahirkan, diberi nama Salleh pun mungkin diragui isteri.

Sebab itulah, kejayaan abang Salleh menjadi bahan berita di kalangan kami. Di kalangan lelaki lain di Malaysia juga tentunya. Apatah lagi dia mampu membawa semua isterinya melancong ke China. Jarang lelaki Melayu mampu melakukannya. Yang selalu kita dengar ialah madu bergaduh dan menarik rambut di antara satu sama lain, atau suami disimbah cuka.

Abang Salleh kini bukan hanya menjadi idola gadis-gadis cantik, tetapi juga para suami. Itulah berita indah poligami di Malaysia, sekurang-kurangnya dari apa yang dilaporkan di dada akhbar.
Apa yang berlaku dalam realiti rumahtangga abang Salleh tidak kita ketahui. Ia mungkin hanya indah khabar dari rupa, atau kehidupannya memang indah. Sebagai personaliti, tentu dia tahu cara menyembunyikan rahsianya. Kalau madunya bergaduh sesama mereka pun, siapa yang akan tahu. Abang Salleh boleh lari ke konti Radio Sinar dan berceloteh dengan pendengar seperti biasa. Bagaimana pula orang lain?

Bagaimana pun, kalau ditanya aku hal poligami - aku rasa banyak dari kami sebenarnya hanya bising di mulut sahaja. Hakikatnya ia tidaklah semudah yang dijangka.

Seorang teman bergelar Profesor Madya di sebuah universiti swasta juga menjalani hidup berpoligami. Seorang isterinya di Kuala Lumpur, seorang lagi di Tanjung Malim. Pernah aku tanya padanya, kalau ditakdirkan masa diputar balik - mahukah dia berpoligami.


Dia kata, mungkin tidak.

Setiap orang dengan ceritanya. Ada cerita indah. Ada cerita gundah.

Aku mungkin perlu mengubah rencana. Aku rasa, orang pertama yang perlu aku jumpa sebaik sampai di Malaysia nanti ialah Salleh Yaakub! Dia kini menjadi idola nombor satu suami Malaysia.

Tolong. Tolong jangan beritahu isteriku hal ini.

Sayang, dunia tidak berpatah balik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Awal bulan Julai nanti aku akan balik ke Malaysia beberapa hari untuk satu program akademik di Johor Bahru.

Beberapa hari akan di Kuala Lumpur. Memandangkan supervisor aku akan singgah di sana, dia minta aku rancangkan beberapa lawatan akademik dan 'talk' sekitar Kuala Lumpur. Selain Universiti Malaya yang akan aku singgah, aku bercadang untuk ke IIUM dan UNITEN. Agenda utamanya ialah program usahasama antara universiti.

Dua sebab utama aku patut singgah di IIUM dan UNITEN.

Di IIUM, salah seorang Timbalan Rektor universitinya pernah datang ke Adelaide beberapa tahun dulu. Seperti biasa, aku akan membawa mereka minum kopi di Aroma Cafe dan membawakan supervisor aku bertemu mereka - sekadar berbual kosong. Itu dua tahun dulu. Kali ini mungkin ada hal yang lebih spesifik boleh dibualkan, kerana bidang psikologi di IIUM juga antara yang baik di negara kita.

Di UNITEN pula, sebenarnya mungkin tidak ada agenda besar. Salah seorang Dekan di sana, ialah bekas bos aku semasa kami di sektor swasta dulu. Dia adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kami. Sejak dia terjun balik ke dunia akademik, dia menjadi Profesor - jurutera yang mengajar. Pernah juga dia menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor. Dulu kami bersama-sama turun naik pejabat dengan kerja-kerja bertemu manusia di sana sini. Sama seperti apa yang akan aku lakukan di Kuala Lumpur nanti. Beliaulah yang mencampakkan aku ke Jakarta dulu. Dia bos yang baik - ketua yang susah dicari ganti.

Sebenarnya dunia pekerjaan bukanlah sangat melibatkan hal pekerjaan. Pekerjaan sampai ke satu tahap, lebih banyak kepada interaksi dan 'networking' sahaja. Kita menjadi sibuk kerana semakin banyak manusia yang ingin ditemui.

Aku mungkin betah dalam kerja-kerja begini. Inilah antara kerja aku dulu.

Untuk anak-anak muda, kalau anda berpeluang membina 'networking' yang baik, jagalah ia. Sampai waktunya, anda tidak perlu mencari pekerjaan. Pekerjaan yang akan mencari anda. Aku tahu, kerana itulah sebab aku berkelana ke Adelaide ini.

Rahsia networking mudah sahaja, 'kalau tidak sombong pun tidak mengapa'.

Sayang, dunia tidak akan berpatah balik. Aku kini hanya seorang guru yang mengajar di universiti. Aku masih membina networking dengan manusia, dalam konteks yang lain.

Blog ialah caranya.

Tuesday, 31 May 2011

Terima kasih kerana membaca

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa yang patut aku tulis?

Ini soalan yang selalu melayang dalam fikiran aku.

Sebenarnya, aku tidak tahu pun siapa yang membaca blog aku ini. Mereka mungkin pelajar, mungkin juga kakitangan kerajaan atau orang yang tidak ada kerja.

Beberapa tahun ini aku menulis blog. Aku cuba menulis sesuatu yang berguna. Walaupun tidak semua perkara yang aku tulis ini bermanfaat, banyak daripadanya aku cuba tulis sesuatu yang berfaedah.

Dahulu, awal alaf baru - ketika blog masih belum wujud, aku menulis di satu portal. Waktu itu, banyak dari pembaca blog ini yang masih bersekolah rendah. Rupanya aku sudah semakin tua. Tetapi menulis menjadikan aku berasa sentiasa muda. Aku berinteraksi dengan kumpulan pembaca yang banyaknya ialah anak-anak muda.

Ada orang bertanya mengapa aku tidak menjawab komen?

Aku memang kurang mesra dalam hal ini. Tapi, aku sebenarnya menjawabnya di dalam hati. Kecuali kalau ada hal yang patut aku jawab, aku akan jawab. Tetapi memandangkan banyak komen tidaklah memerlukan penjelasan, maka aku diam sahaja.

Sebenarnya aku menghargai semua pengunjung yang singgah. Kerana ada orang yang singgah itulah, aku terus menulis. Kerana ada pembaca itulah, aku terus membelek jurnal dan buku terkini, bagi mengulas satu-satu perkara.

Terima kasih kerana membaca.

The end of ERA journal rankings

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seperti di Malaysia, penulisan jurnal juga menjadi isu di Australia.

Di Australia, penulisan jurnal adalah sebahagian dari syarat penilai prestasi ahli akademik. Bagaimana pun, ada isu kontroversi yang berlegar dalam isu ranking jurnal ini. Masyarakat akademik seluruh dunia umumnya, menggunapakai ranking yang ditetapkan oleh ISI Web of Science. Semakin tinggi impact factor, maka semakin baiklah sesuatu jurnal.

Bagaimana pun, di Australia - seperti juga dalam banyak bidang yang lain, mereka akan cuba mewujudkan ranking mereka sendiri. Itulah gaya Australia. Mereka mewujudkan ERA journal rankings.

Masalah wujud apabila tidak terdapat keseragaman di antara penilaian ISI dan ERA. Ada jurnal yang dinilai tinggi oleh ISI, sebaliknya sangat teruk dalam penilaian ERA. Lebih buruk, ada jurnal yang sangat rendah kualitinya dalam penilaian ISI, tetapi dianggap sangat baik dalam ranking ERA. Ini khususnya jurnal yang diterbitkan di Australia.

Hasilnya, reputasi ahli akademik Australia di mata dunia semakin jatuh. Mereka didapati telah kurang menerbitkan tulisan dalam jurnal kualiti tinggi dalam ISI ranking. Ini kerana mereka terpaksa mengikut kerenah ERA.

Kerana banyak kritikan yang diterima, akhirnya semalam kerajaan Australia bersetuju menilai semula ERA. Berakhirlah era di mana Australia boleh menentukan sistemnya sendiri dalam semua perkara.

Monday, 30 May 2011

Menulis memanglah sukar

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Tulisan ini telah dipermudahkan agar tidak menjadi akademik.

Menulis ini juga sebenarnya ialah satu beban mental, sama seperti membaca. Ia melibatkan beberapa proses. Setiap kali kita ingin menulis sesuatu, otak kita melakukan 3 proses utama - merancang, menafsir dan menstruktur. Ia berlaku secara serentak. Bagi orang yang jarang menulis, penulisan menjadi perkara yang sangat sukar.

Menulis juga berlaku dalam 3 sifat. Pertamanya menulis untuk diri sendiri - knowledge telling. Ia seperti yang dilakukan kanak-kanak. Banyak orang dewasa sudah melepasi tahap ini. Mereka menulis sesuatu yang tujuannya bukanlah untuk orang lain, sebaliknya seperti orang bercerita. Ini tulisan yang mudah. Banyak juga penulisan blog menggunakan cara ini membuatkan kita adakalanya bosan membacanya - misalnya 'hari ini gua gosok gigi tiga kali'.

Keduanya, menulis untuk memindahkan maklumat - knowledge transformation. Ia agak sukar sedikit. Kita mungkin dalam kategori ini. Pelajar sekolah menengah yang menjawab peperiksaan, menulis dalam bentuk ini. Mereka menulis apa sahaja yang telah dihafal. Tujuannya ialah bagi memindahkan maklumat yang mereka tahu ke atas kertas. Masih banyak orang dewasa - termasuk kita, dalam kategori ini. Kita menulis sahaja apa yang kita tahu.

Peringkat paling tinggi ialah knowledge crafting - mencipta pengetahuan. Inilah yang menjadi masalah kepada penulis peringkat PhD kerana mereka bukan memindahkan maklumat, tetapi penulisan mereka berbentuk mencipta ilmu. Ia menjadi sukar kerana penulisan ini memerlukan penulis mengandaikan diri mereka juga sebagai pembaca. Jika tidak, proses penciptaan pengetahuan tidak berlaku. Penulis novel mungkin dalam kategori ini - mereka sendiri yang menciptakan pengetahuan untuk orang lain. Tetapi penulisan akademik menjadi lebih sukar, kerana ia bukan sahaja perlu difahami oleh pembaca, tetapi penulis juga mesti menguasai ilmu. Kalau tidak, crafting tidak berlaku.

Jadi, apabila menulis dikatakan sukar, sebenarnya penulisan di peringkat ketiga ini. Sebab itu jugalah, para penulis akademik khususnya, perlu tahu pada peringkat mana mereka sedang menulis. Mereka perlu tahu cara bahasa yang patut mereka gunakan.

Di antara membaca dan menulis, yang mana lebih sukar?

Kedua-duanya tidak mudah. Tetapi kajian psikologi mendapati menulis lebih sukar dibandingkan dengan membaca. Kanak-kanak misalnya, akan diajar membaca dahulu sebelum diajar menulis.

Mengapa membaca itu susah?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya aku ingin menulis panjang topik ini. Tetapi memandangkan ia akan menjadi topik yang susah, biar aku ringkaskan sahaja.

Membaca dan menulis dianggap sebagai 'mental load' atau 'cognitive load'. Kedua-dua konsep ini sama sahaja. Ia memerlukan otak menggelintar maklumat dan memproses bahan yang kita tulis atau baca. Maklumat yang digelintar ini tersimpan dalam hueristic mental kita. Sesetengahnya dianggap sebagai maklumat dalam 'working memory'. Google dalam blog ini apa itu 'working memory'.

Ini menjadikan adakalanya bagi sesetengah perkara, bahan yang kita baca sepertinya sukar.

Contohnya: Septal haematoma.(complication = abscess and septal perforation) ttt = drainage (aku petik dari blog budak-budak perubatan).

Tidak banyak di antara kita yang faham kalau membaca petikan ini, termasuklah aku. Ia mungkin difahami kalau dibaca mereka yang ada asas perubatan atau sains kesihatan. Kita tidak faham kerana otak kita gagal menafsirkan apa yang kita baca.

Itulah maksudnya hueristic.

Jadi, kalau kita lambat memahami apabila membaca sesuatu perkara, walaupun dalam bidang kita sendiri, itu maksudnya masih banyak perkara yang tidak kita tahu sebelum membaca. Kita tidak ada begitu banyak maklumat. Sebab itu, kita patut 'membaca sebelum membaca'. Sekurang-kurangnya otak kita tidak teruk sangat memproses maklumat yang dibaca.

Sebab itu, bagi mereka yang pakar dalam satu-satu bidang, mereka boleh membaca sekali lalu sahaja dan tahu intipati cerita. Sebaliknya, tidak seperti orang biasa seperti kita. Ini bukan maknanya kita tidak cerdik atau lambat faham. Tetapi kita tidak ada maklumat sebelumnya.

Membaca juga memerlukan otak kita meneka apa yang akan datang lagi setelah habis satu ayat, dan selesai satu baris. Ini juga memenatkan.

Ini berbeza kalau membaca sesuatu yang sudah kita terbiasa. Misalnya membaca akhbar. Kita dengan mudah boleh mengagak apa butiran berita dengan hanya melihat tajuknya sahaja.

Esok kita sambung dengan menulis pula.

Sunday, 29 May 2011

Tidak membaca itu yang lebih sukar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang pembaca yang tidak diketahui namanya bertanya: "Menulis dan membaca, dua-duanya memerlukan pemahaman. Mana yang lebih sukar?".

Menjawab soalan ini yang lebih sukar!

Kalau diikutkan logik akal, soalan ini mudah dijawab. Kita boleh melihat situasi di sekeliling kita sahaja. Setiap yang tahu membaca, akan pernah membaca sekurang-kurangnya sebuah buku. Bagaimana pun, setiap yang tahu menulis belum tentu menulis sebuah buku pun. Kita akan melihat jumlah pembaca yang banyak di merata tempat. Tetapi jarang-jarang kita akan bertemu dengan penulis buku.

Dari segi logiknya, kalau menulis itu mudah - setiap dari kita akan menulis. Tetapi tidak.

Kebanyakan pensyarah di universiti membaca buku. Tidak banyak pensyarah yang menulis. Jarang ada pensyarah yang merujuk buku teks karya sendiri.

Bagaimana pun, melihat lenggok ayat si penanya, beliau bukanlah orang biasa. Dia mungkin pelajar universiti, atau yang pernah belajar di universiti. Orang biasa tidak akan bertanya soalan seperti itu. Itu hukum psikologi pertama. Sebab itulah penulisan melambangkan karektor manusia.

Penanya seorang lelaki atau wanita? Sebenarnya kita juga boleh tahu jantina seseorang yang tidak kita kenali berdasarkan gaya tulisan. Bagaimana?

Berbalik kepada soalan tadi, dia tentu memerlukan jawapan yang lebih analitikal. Dia memerlukan hujah untuk mengetahui apakah yang lebih sukar di antara menulis dan membaca.

Nanti kita sambung.

Tidak membaca itu yang sebenarnya akan menjadikan hidup kita lebih sukar.

Nota: Sebelum aku balik ke Malaysia, aku ingat nak buat satu bengkel penulisan untuk warga Adelaide.

Saturday, 28 May 2011

Menulis itu sukar bukan?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari cuti seperti ini, di musim sejuk yang semua jari kita terasa seperti menggenggam ais, hidup sangat membosankan. Tidak ada banyak perkara yang boleh dibuat, melainkan tidur di bawah kain selimut tebal yang dipasang electric blanket.

Beberapa hari ini aku tidak ke kampus Magil yang memerlukan aku membazirkan masa 40 minit untuk menaiki dua bas. Aku cuma berlegar-legar di kampus City East di tengah bandar Adelaide yang cuma 5 minit dari rumah aku. Seperti biasa, kalau aku menulis aku perlu mencari lokasi baru. Aku bertukar beberapa buah computer barn dalam masa sehari. Boleh jadi aku menulis beberapa halaman di bilik komputer perpustakaan, dan kemudiannya keluar minum kopi di cafe. Kemudiannya aku masuk ke makmal komputer yang lain untuk menyambung beberapa halaman lagi. Susana bertukar menjadikan mood menulis kita bertukar. Itulah cara aku.

Menulis bukan hal mudah. Ia hal payah. Ia bukan hal bahasa Inggeris. Ia skil berfikir dan menyusun ayat. Orang Barat yang fasih berbahasa Inggeris pun belum tentu pandai menulis dalam ayat Inggeris.

Aku tahu hal ini kerana aku sudah pernah memeriksa satu manuskrip yang ditulis orang Barat ke Journal Occupational Health beberapa bulan lalu. Ia jurnal yang baik yang berpangkalan di Jepun yang diketuai Prof Kawakami.

Tadi pagi, ketika membuka email - Editor International Journal of Stress Management yang berpangkalan di Amerika mengirimkan email memintakan aku memeriksa manuskrip yang ditulis oleh seorang pengkaji. Berdasarkan lenggok bahasa, ia ditulis orang yang berbahasa Inggeris. Ia berkaitan job stress.

Kerana menulis bukanlah semata-mata isu bahasa, ia melibatkan pemikiran - kita dapat tahu bahawa menulis bukanlah hal yang senang. Apatah lagi melibatkan hal-hal teknikal dalam disiplin akademik tertentu. Ia melibatkan penguasaan bidang. Maksudnya dengan hanya banyak membaca, tulisan kita mampu memukau pembaca. Ia perlu pula dihujah dengan analisis statistik yang mencukupi. Setiap ayat akan dibaca, setiap baris akan dilihat.

Pada akhirnya, pembacalah yang menilai sama ada sesuatu tulisan itu baik atau tidak. Dalam konteks penulisan jurnal, pemeriksa akan menentukan sama ada tulisan itu ditolak atau diterima. Setiap ayat mesti ada hujahnya. Setiap baris mesti ada isinya. Setiap sesuatu mesti mengikut tertibnya.

Apa kesudahan manuskrip tadi? Walau bagaimana sukar sekalipun, sebagai hakim aku perlu memberikan jawapan untuknya. Sebagaimana aku, semua penulis yang lain juga mengharapkan yang terbaik - walaupun kami tahu keputusan yang terburuk juga sesekali menjadi milik kami.

Untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain - yang boleh aku lakukan ialah meminta pandangan kedua dari supervisor aku, walaupun aku tahu bahawa kami berdua tidaklah begitu banyak berbeza dalam hal tulis menulis ini.

Sesekali, menulis itu bukanlah sukar. Selalunya, menulis itu sukar bukan?

Friday, 27 May 2011

Bila kita diamanahkan kuasa

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa tahun dulu, ketika aku masih berkerja di sektor swasta, ada seorang kakitangan kami mendapat tawaran untuk berkerja sebagai pegawai tadbir diplomatik di sektor awam. Beberapa hari sebelum dia berhenti, dia datang berjumpa aku dan bertanya apakah pesanan terakhir aku untuknya. Aku cuma katakan :"jangan salah guna kuasa dan jangan rasuah'.

Aku tidak pasti sama ada dia masih ingat atau tidak pesanan itu.

Salahguna kuasa berlaku di mana-mana. Rasuah juga berlaku di mana-mana. Seorang pembantu menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kerana membawa wang yang banyak di dalam bonet keretanya. Bagaimana seorang pembantu menteri membawa wang sebanyak itu, atau dia membawa wang orang lain?

Tidak kisahlah. Tetapi itulah masalahnya apabila kita meminta 'memerang menjaga kolam ikan' atau meminta 'kambing menjaga padang rumput'.

Bagaimana pun, itulah sebenarnya hakikat pekerjaan. Tidak ada yang tahu lebih baik mengenai ikan selain memerang, dan tidak ada yang lebih tahu mengenai rumput selain kambing.

Sekiranya kita mengambil kakitangan yang tidak cekap menjaga sesuatu pekerjaan, lain pula jadinya. Misalnya meminta kambing menjaga kolam ikan. Mereka yang tidak tahu apa-apa akan juga menimbulkan masalah. Dalam istilah Kurt Lewin - ini ialah kepimpinan laise faire. Kepimpinan yang tidak memimpin, bodoh dan tidak tahu apa-apa.

Sebenarnya kita memerlukan memerang untuk menjaga ikan, kerana ia tahu lebih baik bagaimana mengawal ikan di kolam. Tetapi, pra syarat utamanya ialah ia seekor memerang yang baik, tidak rasuah dan amanah. Dengan cara ini, ikan akan mengikut arahan. Cara ini juga boleh memastikan perkhidmatan yang cekap.

Bagaimana pun, kalau kambing dan memerang tadi jahat dan rakus, ia tidak akan mengubah apa-apa. Ia seperti meminta memerang menjaga padang rumput - yang menghasilkan kerosakan, atau memerang yang jahat yang bakal membaham semua amanah yang dijaganya.

Thursday, 26 May 2011

Saya anak Malaysia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di Malaysia, kita banyak bercakap tentang percakaran bangsa. Semua parti bermain dengan politik bangsa. Sesekali bercampur baur dengan hal agama. Ada pula persatuan yang dibangun khusus untuk memperhangatkan lagi sentimen pekauman bangsa. Aku tidak tahu sama ada apa yang dibuat itu betul atau tidak. Kalau kita tidak ada pertubuhan yang bermain dengan sentimen bangsa, ada pula orang lain membuatnya. Jadi bagaimana?

Kehidupan di luar negara sesekali membuka mata kita bahawa bangsa hanyalah entiti kepada negara. Tidak orang ambil tahu sama ada seseorang itu dilahirkan di Jerman, Itali atau Greek. Yang penting setiap orang menjadi anak bangsa kepada negara. Memang, sesekali ada kes 'rasis' atau prejudis. Tetapi, itu banyaknya berkaitan warna kulit - hitam atau putih. Ia tidak begitu berkait dengan bangsa.

Aku tidak pasti aku ini seorang yang bersifat rasis atau tidak. Di sini, aku berkawan dengan anak semua bangsa. Aku tidak kisah siapa mereka dan asal keturunan mereka.

Teman baik meminum kopi aku ialah Dr Wong - seorang pensyarah dari UPSI. Dia seorang Cina. Kami berbual banyak hal. Kami tidak pernah merasa curiga pun walaupun berlainan bangsa. Kerana tidak ada orang pun yang mengapi-apikan hubungan bangsa.

Sesekali, aku terserempak dengan seorang wanita Cina, asal Melaka. Dia menjadi rakyat Australia, dan berkerja di universiti. Dia fasih bahasa Melayu dan berkahwin dengan warga tempatan, tetapi sebangsa dengannya. Dia juga sesekali melepak dan minum kopi dengan aku. Katanya, dia sudah lama tidak bercakap bahasa Melayu. Kerana takut bahasa Melayunya hilang, dia perlu mencari seseorang untuk bercakap bahasa Melayu.

Seperti Dr Wong, dia juga tidak kisah pun minum kopi dan berbual dengan aku sebagai anak Melayu. Kami merasa bahawa kami adalah anak Malaysia, dan bukannya dipisahkan oleh bangsa.

Sebulan lalu, ketika singgah di sebuah taman - park - aku terserempak dengan Suresh, pemuda India asal Negeri Sembilan. Terakhir kami berjumpa ialah tahun 2008 ketika kami satu trip ke Melbourne. Dia sangat gembira bertemu aku, dan terus mengajak aku ke rumahnya. Dia menunjukkan aku rumahnya yang baru dibeli dan berbual dengan emaknya yang baru sahaja sampai untuk bercuti.

Dia kemudiannya menghantar aku ke taman semula. Di sana ada 5 atau 6 keluarga anak muda India yang semuanya fasih bahasa Melayu. Semuanya adalah anak Malaysia yang kini menetap di Australia. Mereka juga tidak kisah pun kami berlainan bangsa. Kami berbual banyak hal. Mereka bercakap Melayu berloghat minang. Kami seolahnya gembira kerana bertemu sesama kami dan bertukar nombor telefon. Yang penting, kami adalah anak Malaysia.

Kini, tatkala semua mereka yang ingin menjadi pejuang bangsa - melalak dan melolong bercakap apa sahaja yang boleh membangkitkan kemarahan sesama kita, tidakkah mereka terfikir kita ini sebenarnya anak Malaysia.

Tidak ada apa pun kelebihan antara kita. Darah kita sama sahaja. Mungkin berbeza sama ada terlebih kolestrol atau tidak. Yang miskin tetap susah. Yang kaya tidak membahagikan hartanya.

Kita rakyat jelata - tidak pernah terfikir bermusuhan. Bagi kita, semua orang sama sahaja. Kita menghantar kereta yang rosak ke bengkel Cina. Menggunting rambut di kedai India. Makan nasi lemak di Warung Mak Jah.

Kita anak Malaysia tidak kisah pun hubungan kita berlainan bangsa. Mereka inilah yang sedang memainkan emosi kita, untung-untung tahun depan bakal menjadi calon lagi!

Dan air kopi yang sedang aku telan ini tidak akan pernah berubah rasanya. Yang berubah hanya mereka. Yang berubah hanyalah nada retorik cauvanist yang datang dari setiap mereka yang ingin mengaut untung.

Tuesday, 24 May 2011

Apa itu tekanan kerja

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tulisan ini hanya sesuai untuk penyelidik dan mereka yang berkaitan.

Kita sudah menceritakan secara umum teori JD-R. Kali ini kita bincang pula model DISC dalam mencari sebab manusia stress di tempat kerja.

Seperti Bakker, de Jonge juga menggunakan istilah job demands dan job resources. Di dalam JD-R, job resources dikatakan mampu mengurangkan impak job demands. Maksudnya, walaupun kita dihadapkan dengan kerja yang banyak (high job demands), tetapi dengan adanya job resources (misalnya sokongan ketua), manusia akan kurang tertekan.

Bagaimana pun, de Jonge percaya istilah job demands dan job resources oleh Bakker terlalu umum. Bagi beliau, job resources tidak memberikan apa-apa kesan kepada job demands, kalau bentuknya bebeza. Misalnya kalau sesorang dihadapkan dengan kerja yang banyak (fizikal), tetapi sokongan job resources pula dalam bentuk kognitif (misalnya pemikiran), maka ia tidak mengubah tekanan pekerja.

Sebab itu, de Jonge memperkenalkan 3 bentuk demands dan resources yang dikelompokkan dalam bentuk kognitif, emosi dan fizikal. Kalau seseorang itu dihadapkan dengan kerja yang berbentuk emosi (misalnya kerja operator khidmat pelanggan), maka job resources yang berbentuk emosi adalah lebih sesuai untuk membantu mengurangkan tekanan (misalnya sokongan secara pribadi oleh rakan-rakan).

Kerja seperti kawan aku - Azam SwingingBowl mungkin ada 3 bentuk tekanan ini sekaligus. Selain mengangkat barang masak untuk menggoreng (fizikal), dia juga perlu berfikir resipi masakannya (kognitif), dan pada masa yang sama perlu menunjukkan senyuman kepada pelanggan (emosi).

Kelebihan teori ini ialah ia memperkenalkan 3 match hypotheses. Pengujian hipotesisnya juga berbeza dengan apa yang kita belajar di universiti kerana mereka menggunakan pendekatan yang lain.

Pengkaji job stress kita di Malaysia mungkin boleh mencuba model ini juga.

Sunday, 22 May 2011

Maksud stress

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Tulisan ini hanya sesuai untuk penyelidik dan mereka yang berkaitan.

Tekanan kerja ditanggap dalam pelbagai bentuk. Sebahagiannya telah dibincangkan dalam tulisan sebelum ini.

Bagaimana pun, ada teori terkini yang dikemukakan oleh Arnold B Bakker dan isterinya, Evangelia Demerouti dari Belanda, yang dikenali sebagai Job Demands Resources (JD-R) model. Job demands - mengikut teori ini ialah sesuatu yang perlu dilakukan oleh pekerja misalnya pekerjaan yang banyak, berulang-ulang, lebih masa, atau situasi kerja yang dihadapi - misalnya konflik peranan, tuntutan emosi dan sebagainya. Walaupun demands ini tidak semestinya negatif, tetapi banyak pengkaji model ini lebih memberikan aspek negatif.

Job resources pula ialah persekitaran kerja yang menggalakkan/menyokong misalnya teman kerja yang bagus, ketua yang mengambil berat, maklumbalas dari organisasi dan sebagainya. Dalam kata lain, ia sifat kerja yang positif.

Jadi, andaian teori ini ialah job demands lebih menyebabkan pekerja menghadapi kesan psikologi yang negatif seperti burnout atau depression. Sebaliknya, job resources pula menyebabkan pekerja lebih produktif dan bermotivasi (dalam istilah pengkaji JD-R ialah engagement dan flow).

Di Malaysia, belum banyak kajian menggunakan model ini. Setahu aku, hanya ada dua orang pelajar PhD (yang kini sudah tamat) dari universiti di New Zealand menggunakan model ini. Selainnya aku tidak berapa tahu. Aku juga menggunakan model ini, tapi menggunakan pendekatan yang lain. Pengkaji job stres di Malaysia mungkin boleh mencuba model ini. Setakat ini, model ini hanya banyak diuji di negara Eropah terutamanya di Scandivania, dan tidak di Kanada atau Amerika.


Walaupun kajian model JD-R ini sudah banyak dijalankan, kini muncul satu lagi model yang pada asasnya lebih kepada kritikan kepada model JD-R. Model yang terbaru ini ialah Demand-Induced Strain Compensation (DISC) model oleh Jan De Jonge dan Christian Dormann. Yang pertamanya ialah orang Belanda, dan keduanya dari German. Nanti aku akan ulas model ini. Model ini belum banyak diuji dan dalam peringkat percubaan.

Aku bernasib baik belajar di luar negara. Sekurang-kurangnya aku berpeluang berjumpa dan minum kopi dengan pembuat teori DISC ini. Dengan Arnold Bakker, aku tidak pernah lagi berjumpa tetapi pernah beberapa kali mengirim dan menjawab email kerana beliau menjadi ketua editor dan mengulas kertas aku setahun dulu.

Saturday, 21 May 2011

Apa yang indah?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tinggal 90 hari aku di bumi Adelaide. Aku sudah melalui lebih dari 1,035 hari di sini. Melewati beberapa kali musim sejuk, panas, bunga dan luruh. Ia sesuatu yang tak pernah termimpikan.

Apa yang indah?

Banyak. Aku berkenalan dan bersahabat dengan banyak manusia baru yang tidak pernah aku kenal latar sejarahnya. Ada anak Tan Sri, ada anak petani. Ada yang cuma bekas kelasi dan tukang pomen kereta. Ada macam-macam. Ada yang sudah balik, yang baru pula datang. Ada yang tersangkut menjadi kawan, ada yang tidak. Yang 'poyo' aku tak ambil 'pot'.

Aku juga sempat berkenalan dengan beberapa anak muda yang umurnya 15 tahun lebih muda dari aku. Ketika aku sebaya mereka, aku juga bersahabat dengan orang yang usianya 15 tahun atau 20 tahun lebih tua dari aku. Ada di antara mereka yang masih hidup. Ada yang sudah mati.

Juga ada beberapa teman luar negara yang jadi teman baik aku. Gary Hall - warga Australia pemandu lori yang sama-sama buat PhD di tempat aku. Sesekali, kalau dia mabuk - dia akan telefon aku bersembang macam-macam tajuk. Ada juga orang Indonesia, Thai, Jepun dan Korea. Ada yang sudah balik kampung tak akan berjumpa lagi.

Aku juga bertemu dengan beberapa orang yang tidak aku kenal melalui blog. Mereka ini entahkan ujud, entahkan tidak. Ada yang mengirim email bertanya hal-hal psikologi. Ada yang bertanya hal belajar. Ada yang bertanya urusan memulakan kehidupan baru di Adelaide. Nampaknya blog sudah menjadi medium baru kita bersahabat.

Apa yang tidak indah?

Banyak juga. Belajar ini banyak kos. Kos bermakna hutang. Hutang bermakna kita akan menjadi manusia susah yang hidupnya terjerat.

Aku juga terlepas banyak kenduri kahwin. Terlepas peluang memerhatikan suasana politik Malaysia. Banyak juga orang terdekat aku yang pulang ke alam yang satu lagi semasa aku di sini.

Banyak lagi.

Friday, 20 May 2011

Nota penyelidikan untuk graduan - part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini tiada apa yang hendak ditulis. Kita tulis hal akademik.

Orang selalu bertanya, apa beza persoalan kajian dengan 'research gap'?

Persoalan kajian ialah apa yang hendak dikaji. Misalnya, melihat kepada segelintir kecil kes pembulian terhadap pelajar oleh guru misalnya, maka kita mula bertanya apakah ini disebabkan oleh depression. Jadi kita andaikan bahawa depression -->tingkahlaku membuli.

Bagaimana pun, memandangkan banyak sudah kajian yang dilakukan bagi menilai depression, dan juga tingkahlaku membuli misalnya, kita perlu melihat apakah gap kajian sebelum ini. Kita mungkin memantapkan kajian kita dengan mengaitkan dengan beberapa teori lain. Misalnya mencari punca guru ditimpa depression. Jadi kita bina model kajian yang baru.

Beban kerja -->depression --->tingkahlaku membuli

Kita boleh memantapkan kajian kita ini berpandukan kepada teori sedia ada. Umumnya, teori-teori yang lama mengandaikan bahawa beban kerja ialah sesuatu yang negatif. Tetapi, kini ada pandangan yang menyatakan tidak semua beban kerja adalah negatif, ada juga yang positif. Misalnya kerja-kerja yang mencabar mungkin tidak membawa kepada depression, tetapi kepada engagagement.

Jadi, daripada gagasan ini, kita membina model yang lebih baik.

beban kerja positif --->engagement --->tingkahlaku membuli
beban kerja negatif --->depression --->tingkahlaku membuli

Hasil kajian kita nanti boleh menyimpulkan guru patut diberikan dengan beban tugas positif misalnya menggalakkan budaya berfikir, dan bukannya dibebankan dengan beban negatif seperti menyusun kerusi di dewan misalnya.

Bagaimana pun, kajian tadi masih banyak kelemahannya, terutamanya kalau hanya guru yang dijadikan sampel kajian. Jadi, kita perlu mengambil sampel pelajar yang menilai guru mereka. Merekalah yang patut menilai 'tingkahlaku membuli' oleh guru, dan bukannya guru yang menjawab sendiri soalan kajian.

Rekod-rekod lain (misalnya data disiplin) yang boleh didapati dari jabatan pelajaran misalnya mungkin lebih tepat mengukur tingkahlaku membuli. Data ini kita namakan sebagai pengukuran objektif.

Dengan melakukan kajian ini, kita bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kajian, tetapi juga telah mengisi 'gap' kajian lalu yang kita andaikan tidak lengkap dan sempurna.

Selamat melakukan penyelidikan.

Thursday, 19 May 2011

Selamat malam pembaca

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam 5.50 petang. Di musim sejuk seperti sekarang, hari sudah pun malam sejak pukul 5 petang tadi lagi. Sejuk dan muram. Kelam dan mendung. Sungguh tidak ada apa yang nikmat di musim sejuk seperti sekarang. Siang bergerak terlalu pantas. Belum sempat dihabiskan secawan kopi dan sebatang rokok, cuaca sudah berubah.

Di dalam kantor, tinggal aku seorang diri. Beberapa minah mat salleh sudah lama pulang. Ada beberapa orang baru di kantor ini. Dua daripadanya penyelidik dan dua lagi pelajar kepujian. Mereka ini orang muda. Selama ini, aku ingat hanya orang Melayu yang kuat bersembang di tempat kerja. Mereka ini juga nampaknya kuat bersembang. Sesekali mereka berbisik. Seperti mengumpat seseorang.

Sejak dua bulan ini, nampaknya itulah cara dua gadis mat salleh ini berkerja. Dua lagi pelajar kepujian itu lelaki. Sesekali mereka mencelah juga. Tetapi mereka selalu pulang awal. Jadi, kalau bising pun hanya beberapa jam. Kadang-kadang radio dibuka kuat.

Hidup ini sangat membosankan.

Tetapi itulah sebenarnya gaya orang putih. Mereka sangat pandai bercakap dan berkata-kata. Jangan terpukau sangat dengan mereka. Mereka boleh mengulas sesuatu perkara seolah-olah mereka pakar semua hal. Mereka sememangnya diasuh untuk berani menyatakan pandangan dan terbuka dalam semua hal sejak di tadika lagi. Mereka tidak hairan dengan sesiapa pun.

Orang kita lain caranya. Kita diajar untuk diam. Kita diajar untuk taat orang tua dan jangan melawan guru. Kalau sekalipun guru salah, kita ikut sahaja. Itu sudah jadi darah daging kita. Sebab itu, dalam banyak hal, kita diam walaupun tahu ada perkara yang salah. Tidak ada sesiapa berani berkata-kata. Kita dijahit mulut. Kita dikembirikan akal fikir.

Bagaimana pun, dalam kes dua gadis baru ini - mereka tidak menyuarakan pandangan. Mereka bersembang. Mereka tidak melakukan kerja sangat pun. Aku tahu sebab meja mereka hanya beberapa kaki dari tempat aku duduk.

Malam - budak-budak itu sudah pulang. Ini peluang terbaik aku untuk menulis. Tapi jari sudah mula sejuk. Sunyi pula.

Kalau aku tidak pulang sekarang, nanti aku akan bertambah sejuk menunggu bas.

Selamat malam.



Apa yang sedang berlaku

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebulan yang lalu, ada seorang pelajar yang mati kerana gurunya 'terlebih' memberikan hukuman. Sering juga kita mendengar kes salahlaku seksual guru terhadap pelajarnya. Tidak juga kurang kita mendengar ada guru mengalami masalah depression yang teruk.

Apakah yang sedang berlaku?

Kita tidak begitu banyak maklumat mengenainya. Adakah ini kerana guru sedang mengalami tekanan tugas yang teruk menyebabkan secara psikologinya mereka terganggu. Atau mungkin juga para pelajar kita sedang terlibat dengan kes disiplin yang teruk hingga para guru tidak ada banyak pilihan.

Itu antara sebab aku sedang menulis research proposal yang baru. Ia perlu dihantar seminggu lagi.

Ini antara projek aku tahun depan. Ia projek usahasama aku dengan penyelia aku, dan seorang lagi profesor dari Belanda.

Wednesday, 18 May 2011

Mengenang 3Z di Hari Guru

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah guru terbaik kita?

Walaupun tidak semua, hampir kebanyakan guru yang mengajar di sekolah aku, masih aku ingat. Pastilah mereka tidak akan kenal aku.

Antara yang ingat dengan baik ialah 3 orang.

Kes 1.
Tahun 1986 - cikgu matematik memanggil aku ke bilik guru kerana hal-hal lemah matematik. Terlihat pula beliau aku berstokin belang. Zap. Sebiji penampar aku kena petang itu. Cikgu di sebelah cikgu wanita itu melihatnya. Dunia ini sungguh tidak adil. Pelajaran petang itu - berstokin belang adalah kesalahan besar di sekolah.

Kes 2.
Tahun 1989. Satu tengahari, aku ponteng kelas dan balik melepak di asrama. Tidak disangka, ada spot check pula tengahari yang damai itu. Aku diminta datang ke biliknya. Zup. Dua rotan kena tengahari itu. Tak ada siapa yang tahu sebab ia berlaku dalam bilik. Pelajaran tengahari itu, di bilik penolong kanan ada tersimpan rotan rupanya.

Kes 3.
Tahun 1989. Satu malam di bilik kelas. Tiba-tiba datang guru asrama bersama dengan jaga asrama. Dipanggilnya nama beberapa orang. Aku salah satu list yang ada malam itu. Zap tiga kali penampar di muka. Aku tidak ingat lagi sebelah kiri muka atau kanan dulu. Tapi berulang-ulang. Kemudian dia menerpa pula kepada 2 orang kawan aku yang lain yang duduk di belakang. Entah berapa kali. Dia kemudiannya berpatah balik. Dua kali lagi zap. Malang sungguh malam itu. Kemudiannya baru tahu - kami telah dituduh melakukan kesalahan yang tidak dilakukan.

Pelajaran aku terima - tiada semua hukuman memerlukan perbicaaran.

Kes 3 yang paling menyedihkan.

Tidak mengapalah. Dunia berubah, tahun berlalu. Kalau tidak, aku mungkin tak merasa masuk universiti.


Selamat hari guru.

Siapakah guru terbaik kita?

Guru terbaik kita ialah pengalaman.

Jangan berhenti berharap

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dalam dunia ini - adakalanya kita ditimpa keadaan 'tiada pengharapan' - hopeless. Mereka yang ditimpa tsunami misalnya, yang mengorbankan semua ahli keluarga biasanya akan menghadapi keadaan ini. Mereka merasakan apa yang dibina selama ini lebur dan sia-sia.

Korban jalanraya atau kebakaran yang menyebabkan mangsa kematian kesemua ahli keluarganya - menyebabkan mereka yang masih hidup merasa sedang ditimpa musibah yang besar. Sepertinya dunia ini ternyata seperti tidak ada harganya lagi.

Begitu juga mereka yang kehilangan pekerjaan, - menyebabkan mereka merasa menjadi manusia yang tidak terdaya lagi. Hopeless - situasi yang menjadikan kita tidak tahu apa yang bakal terjadi besok hari. Ia seperti tidak ada penghujungnya. Kita tidak tahu apa kesudahan cerita.

Sebenarnya semua ini adalah permainan minda. Ia ada dalam minda manusia. Orang boleh melihat wajah kita yang muram, mata yang tidak riang - tetapi mereka tidak tahu apa yang ada dalam benak fikiran kita.

Mengapa terjadinya hilang pengharapan?


Dua perkara utama yang menyebabkan manusia hilang pengharapan: kepercayaan (apa yang mereka yakini/fikirkan) dan matlamat akhir (ada jalan keluar atau tidak).

Ahli psikologi berpandangan bahawa manusia cenderung untuk mentafsirkan bahawa kejadian buruk yang menimpa diri akan menyebabkan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi pada masa hadapan dan juga menjejaskan harga diri mereka.

Semua ini hanya berada dalam pemikiran.

Ia kemudiannya terkait pula dengan dysfunctional attitudes - seperti hilang maruah diri, rasa tidak terdaya, kegagalan dan kehilangan. Mereka yang hopeless akan selalu menafsirkan setiap perkara sebagai negatif. Misalnya - 'aku manusia yang tidak berguna" - atau "Akulah punca semua kesilapan ini berlaku".

Sebab itu, orang yang hopeless akan merasa malu untuk bertemu orang lain. Mereka bimbang orang lain akan menafsirkan sesuatu yang negatif mengenai diri mereka. Mereka ingin menyendiri. Hakikatnya, orang lain tidak tahu pun siapa mereka.

Ingat, melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah anda.

Mereka yang hopeless juga cenderung melihat semua perkara sebagai ancaman, berbanding cabaran. Semua ini akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.

Tiada pengharapan juga akhirnya membawa kepada kegagalan dalam banyak perkara lain. Manusia hilang motivasi, sentiasa membawa emosi negatif dan kecewa yang tiada kesudahan. Lebih buruk, ada yang mengambil langkah membunuh diri.

Ini kerana mereka percaya mereka tiada lagi harapan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Seolah-olahnya semua pintu telah tertutup untuk mereka. Mereka yang hopeless percaya, kalaupun mereka mengambil langkah tertentu - ia akan gagal juga.

Semua ini simptom hilang pengharapan.

Anda hilang pengharapan hari ini? Ingat, banyak lagi jalan penyelesaiannya. Anda tidak tahu kalau tidak dicuba. Kalau tidak hari ini, besok mungkin kita bertemu jawapannya. Kalau bukan seminggu dua, masalah kita akan selesai juga sebulan dua lagi.

Tetapi, jangan putus asa. Cubalah semua alternatif yang ada.

Apalah maknanya hidup kalau tidak diuji bukan?

Tuesday, 17 May 2011

Emosi dalam hidup

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari, kita dilanda dengan pelbagai emosinya.

Ada ketikanya kita sangat bahagia, walaupun kita tidaklah pula mempunyai sebab untuk gembira. Ada kalanya kita menjadi cepat marah walaupun hanya sedikit sahaja alasannya. Ada waktunya, kita berasa gundah gulana. Pada waktu yang lain, kita menjadi manusia yang murung. Kita ingin mencari sebabnya, tetapi tidak berjumpa.

Apakah ini? Inilah yang dikatakan manusia itu diciptakan dengan pelbagai emosi. Ada waktunya kita mampu menanganinya dengan baik. Ada orang yang gagal, terjun diri dari bangunan tinggi.

Selalu kita dengar, ada ibu yang baru melahirkan anak - menjadi orang yang 'gila meroyan'. Sebenarnya dalam istilah psikologi, ia adalah post natal depression - kemurungan selepas melahirkan. Ia sesekali disulami pula dengan 'anxiety' atau kebimbangan yang teruk. Ia bukan hal yang pelik. Cuma dalam budaya kita, tidak ada sesiapa memberitahu kita itu ialah sebahagian dari penyakit psikologi yang perlu diberikan perhatian, lalu kita memberikan istilah sebagai 'gila meroyan'.

Orang yang baru bercerai juga mengalami gangguan yang teruk. Kita tidak ada istilah yang baik untuknya, menyebabkan kita mendefinisikannya sebagai gila talak. Sedangkan, ia juga masalah lazim yang berlaku kepada sesiapa sahaja. Dalam psikologi kita namakannya sebagai 'separation disorder'. Mereka ini juga patut diberikan khidmat sokongan. Sayang, tidak ada ahli sesiapa membantu kita.

Anda mempunyai gangguan emosi yang teruk hari ini?

Tutuplah 1 jari tangan anda. Ada lagi 9 jari lain. Lupakan sejenak 1 masalah anda itu. Fikirkanlah 9 lagi hal lain yang patut ditangani.

Lambat laun, fikiran anda yang gelisah itu akan hilang juga. Ia akan berganti dengan emosi yang lain pula.

Itulah kita. Itulah manusia. Kita makhluk yang dikurniakan emosi. Kesedihan terlalu lama tidak akan menambahkan apa-apa.

Jika anda terasa begitu berat, bacalah surah Yaasin setiap kali selepas sembahyang. Insyaallah, anda akan dikurniakan 1,000 kegembiraan dan dihilangkan 1,000 dukalara.

Thursday, 12 May 2011

Siri kaedah menghafal kembali lagi

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siri kaedah menghafal akan kembali lagi.

Rencananya sekitar bulan November dan Disember nanti setelah aku berada di Malaysia.

Ia kaedah menghafal untuk peperiksaan sekolah menengah sahaja. Khusus kepada subjek yang memerlukan hafalan seperti sejarah, geografi atau pengajian am. Sepanjang aku mengendalikan program ini dahulu, ia sesuai untuk pelajar SPM dan STPM kerana faktor usia.

Pada asasnya, program ini aku kendalikan berdasarkan sistem
hueristic yang popular di kalangan ahli psikologi kognitif.

Seperti biasa, ia PERCUMA. Ia sebagai sumbangan untuk masyarakat. Bagaimana pun, pelajar mungkin diminta untuk membayar RM30 bagi penyertaan. Wang akan dikembalikan setelah tamat program. Ia hanya bagi bertujuan menyaring mereka yang berminat dan tidak. Mereka yang berminat, akan sanggup membayar.

Program ini akan diselang seli dengan sedikit 'soft training' - lebih kepada membina keyakinan diri.

Kalau ada guru yang berminat untuk menggerakkan program amal ini, boleh hubungi aku melalui email. Lebih baik lagi sekolah luar bandar, kerana mereka inilah yang patut kita bantu. Sesuai pada hujung minggu, kerana waktu lain mungkin aku kena berkerja.

Nota: program ini hanya alat bantu sahaja. Ia tidak mengubah peranan guru dan lain-lain pengetahuan yang diperlukan oleh pelajar.

Wednesday, 11 May 2011

Dunia ini tidak selalunya adil

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adakah anda mempercayai bahawa dunia ini adil? Orang yang baik akan diberikan kebaikan dan orang yang buruk akan dibalas seadanya?

Kalau anda mempercayainya, maka anda juga termasuk dalam kategori manusia yang tidak bertimbang rasa.

Dalam psikologi - ada sekelompok pengkaji berminat dengan topik ini - 'beliefs in a just world'. Kajian-kajian mendapati, tatkala ada orang yang tidak percaya bahawa dunia ini adil, ada pula yang mempercayai bahawa dunia ini adil.

Mereka yang percaya bahawa dunia ini adil biasanya cenderung memberi alasan bahawa kegagalan seseorang itu disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Sebab itu, apabila ada yang ditimpa dengan musibah - misalnya diragut - atau dirogol, kategori manusia yang berpandangan bahawa dunia ini adil biasanya menyalahkan mangsa. Misalnya tidak membawa beg tangan dengan baik, atau berpakaian seksi.

Mereka yang sakit kencing manis kerana banyak meminum gula.

Kita selalu berjumpa dengan manusia seperti ini. Adakalanya kita juga bersikap seperti ini kerana kita percaya bahawa dunia ini adil.

Yang baik dibalas baik, yang buruk mendapat kejahatan.
Setiap perkara adalah kerana bersebab dari hukum dunia ini sememangnya adil.

Jarang kita menilai bahawa dunia ini tidak semestinya adil. Ada yang rajin tetapi dibuang kerja. Yang kuat membodek, tetapi malas selalunya cepat naik.

Inilah hakikat dunia. Setiap hari di akhbar, kita melihat manusia yang percaya dunia ini adil suka memberikan ulasan berapi-api.

Adilkah dunia ini?

Anda juga bukan seorang yang adil kalau percaya dunia ini adil.

Bagaimana mulanya aku menulis jurnal?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
*Tulisan ini mungkin hanya relevan untuk pelajar dan penyelidik.

Setelah beberapa hari - akhirnya pagi ini siap juga first draft manuskrip aku. Setakat ini, sudah tujuh kertas yang aku tulis. Tiga daripadanya sudah terbit. Dua daripadanya sudah beberapa kali direview. Satunya belum mendapat apa-apa maklumat.

Kalau para pembantu penyelidik aku di Malaysia sempat mengirimkan data survey sebelum bulan Julai ini, aku harap aku mampu menulis satu lagi kertas. Ia akan melengkapkan catatan pengajian aku.


Sebenarnya aku selalu menjadikan profesor aku sebagai idola. Setiap tahun, dia menerbitkan 4 atau 5 kertas jurnal. Adakalanya, ada 10 kertas tertera namanya dalam tempoh setahun. Untuk menerbitkan 5 kertas, sekurang-kurangnya 10 kertas perlu dihantar. Ini kerana peluang ditolak sama besar dengan peluang diterima. Sekurang-kurangnya juga, perlu ada 10 kali proses kutipan data.

Proses reviewnya pula panjang. Ada yang sampai 2 tahun. Semua ini halangan menulis jurnal. Ada pula jurnal besar, ada jurnal kecil. Yang besar biasanya panjang prosesnya.

Orang selalu bertanya, mengapa aku memilih 'thesis by publications". Mengapa tidak tulis tesis biasa sahaja. Tidak perlu banyak kajian.

Aku pun tidak tahu. Ia sebenarnya bermula apabila aku menghantar makalah untuk satu persidangan. Mereka meminta aku memotong lebih 2,000 patah perkataan. Aku tidak mahu. Jadi, aku tidak merasa perlu dihantar ke persidangan. Lebih baik dihantar untuk jurnal sahaja.

Penyelia aku berkata - You must brave enough. Mungkin sebab masa itu aku masih baru. Kertas pertama yang dihantar itu diterima dengan 'major correction'. Itulah kali pertama aku menulis jurnal. Dulu aku kerja di sektor swasta, jurnal pun aku tidak tahu apa maksudnya.

Selepas bermula yang pertama itu, aku menghantar lagi tulisan yang kedua untuk jurnal "special issues'. Sekali lagi, major correction. Makan masa berbulan-bulan. Tapi itulah yang menyalakan semangat menulis. "Every ending is a new beginning".

Cuma kertas yang ketiga dan keempat ini yang hanya 'minor correction'. Mungkin sebab sudah lama dan terbiasa, menyebabkan tulisan selanjutnya menjadi lebih mudah.

Kalau dulu, penyelia aku selalu menyemak tulisan aku, kini dia pula selalu menyuruh aku menyemak makalahnya. Kami sudah menjadi dua rakan penulis yang bersama-sama menulis bagi topik pengkhususan kami.

Apakah yang diperlukan untuk menulis jurnal?

Banyakkan membaca dan lakukan kajian yang tidak dilakukan orang lain. Dengan membaca, kita tahu kelemahan kajian lain. Dari kelemahan itulah, kita membina kajian baru. Pertama sekali yang akan direview ialah -
Innovative of the current study.

Nanti kita bincang perbezaan jurnal yang baik dan kurang baik.

Email memanggil pulang

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari lepas, aku menerima e-mel. Ia bukan emel misteri. Ia e-mel betul.

Your Travel Arranger is pleased to deliver your complete itinerary through Abacus Virtually There.

Ia e-mel meminta aku pulang ke Malaysia. Ia memberitahu bahawa masaku di Adelaide sudah di penghujung. Jangan berfoya-foya lagi. Tiada lagi berita dari Adelaide selepas ini. Tiada lagi update cerita berjalan-jalan makan angin di atas Mt Buller. Tiada juga berita bagaimana rasanya membuat PhD. Jangan juga merasa diri sebagai remaja mahasiswa universiti. Anda sudah tua.

Selepas ini, blog ini akan merakamkan catatan lain. Ia akan dimulakan dengan cerita yang baru. Cerita anak-anak muda di bangku universiti. Aku juga tidak lagi boleh memakai seluar jean. Rambut juga perlu dipendekkan. Perlukah aku memakai tali leher. Oh tidak! Kawan aku, Nizam bekas kelasi yang telah menjelajah seluruh dunia tentu ketawa besar kalau terserempak aku memakai tali leher.

Tapi, semua cerita baru akan hanya bermula 5 September nanti. Buat sementara waktu ini, aku masih ada peluang untuk merakamkan cerita perantau.

Sementara itu, berikan aku waktu menghirup secawan cuppucino.

Sesiapa yang berminat dengan penyelidikan psikologi - khususnya contagion effect on burnout - nanti boleh datang cari aku. Jangan takut, kita boleh berbincang di kedai kopi sahaja. Tanpa formaliti. Paling utama ialah hasil kerja.

Tuesday, 10 May 2011

Sama seperti ayah jawab tadi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam, ketika menghantar Luqman Hakiem ke sekolah, dia bertanya: "Ayah, bila Man akan besar?". Aku bertanya: 'Kenapa, suka ke jadi orang besar?". Dia jawab, 'Suka. Boleh bawa car sendiri. Ayah tak payah hantar".

Dia tanya aku balik - "Ayah suka tak jadi tua?". Aku jawab: "Tak".

Dia ingin tahu lagi, 'Mengapa?".

Aku jawab - semakin kita besar, banyak perkara nak kita buat. Kita perlu kerja. Perlu cari duit. Perlu belajar. Sampai masanya nanti kita sakit. Tapi kalau budak-budak senang. Semuanya ibu bapa buatkan. Hendak ke sekolah, ada orang hantar. Hendak makan, ada orang suap. Hendak duit, boleh minta saja. Semuanya mudah.

Aku tanya dia balik: "Man nak tak jadi orang besar?"

Dia jawab: "Tak naklah".

Mengapa? Tanya aku.

"Sama seperti ayah jawab tadi". Katanya.


Seperti biasa, kita tidak mampu memilih apa yang kita hajati. Anak-anak kecil itu akan membesar seperti kita. Kita pula akan berubah menjadi tua.

Sampai masanya kita semua akan bersemadi di dalam kubur. Kita juga tidak mampu memilih di manakan pusara yang sesuai untuk kita. Ia ditentukan orang lain.

Jadi sementara kita hidup - memilihlah menjadi orang baik dan jangan sombong.

Monday, 9 May 2011

Sedikit cerita statistik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku tidak menulis sehari dua ini. Memang ada hal untuk ditulis. Tetapi aku sepertinya sedikit sibuk. Ada satu kertas lagi untuk disiapkan. Harapnya itu kertas terakhir.
Link
Tadi, dipertemukan dengan satu blog berkaitan statistik http://drotspss.blogspot.com/ karya seorang ahli akademik dari UPM. Sebenarnya itulah sebahagian dari sumbangan ahli akademik. Setiap orang menulis dalam bidangnya, sesuai dengan minat masing-masing. Harapnya tulisan-tulisan seperti itu memberikan manfaat kepada pembacanya.

Dalam satu tulisan di blog itu, penulis mengungkapkan bahawa korelasi tidak sesuai untuk pelajar pasca siswazah. Aku setuju.

Korelasi ialah hubungan di antara A dengan B. Katakan A ialah 'rajin' dan B pula ialah 'pandai', maka orang akan selalu berkata kerana seseorang itu rajin ia menyebabkan seseorang itu pandai. Ia pandangan yang salah, kerana kita juga tidak pasti adakah kerana seseorang itu pandai (B), ia yang menyebabkan seseorang itu rajin (A). Dalam istilah mudahnya, kita tidak tahu mana yang wujud dulu, seperti ayam dengan telur, mungkin ayam ujud dulu baru telur, atau telur dulu wujud, barulah ayam.

Aku selalu diminta membaca kajian akademik kita. Orang kita selalu menggunakan korelasi bagi melaporkan penyelidikan mereka. Hasilnya, ia tidak menunjukkan apa-apa pun.

Dalam bidang psikologi moden, tidak ada lagi ujian korelasi bagi menghuraikan keputusan. Ia dilaporkan secara ringkas sahaja, tetapi tidak menghuraikan keputusannya.

Kalau aku ada masa, nanti aku bercerita bagaimana 'trick' penyelidikan untuk jurnal.

Sunday, 8 May 2011

2nd Panel Expert Meeting

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
7-8 July nanti, aku akan ke Johor Bahru untuk menghadiri 2nd Psychosocial Risk Factors Expert Panel Meeting. Ini lanjutan dari program yang pernah dibuat di Darwin tahun lalu. Ia sepatutnya program yang bagus kerana dihadiri oleh profesor dan pakar dalam bidang stres pekerjaan. Ia bukan seminar atau persidangan. Tidak ada hebahan untuk acara ini kerana penyertaan berdasarkan kepada 'by invitation only'.

Kami hanya diminta membentangkan hasil kajian dan menerangkan cara analisis. Kemudian diselang seli dengan siri fokus group. Tema tahun ini mengkhusus kepada Malaysia.

Sebenarnya situasi kerja di Malaysia banyak isunya. Kerja lebih masa telah menjadi rutin biasa. Pengalaman buruk pekerja menghadapi situasi psikologi dan emosi sudah sebahagian dari laporan yang diterima. Faktor kecederaan dan kesedaran mengenai keselamatan di tempat kerja juga perlu ditangani.

Apa yang menarik di Johor Bahru? Hanya sekali sahaja aku ke Johor Bahru. Itu pun semasa aku kerja dulu. Hanya sekadar singgah dan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Kali ini aku merancang untuk mencari kedai teh tarik terbaik.

Ada sesiapa yang ingin belanja aku?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails