Yang Ikut

Wednesday, 29 July 2009

Peragut ada di mana-mana

Reactions: 
Sejak bulan Oktober 2008 telefon rumah mertua aku tidak dapat digunakan. Ada para penyamun yang telah memotong kabel di atas tiang untuk dijual. Ini juga sebahagian peragut. Mereka meragut kemudahan awam untuk keuntungan perut sendiri.

Sejak Oktober 2008 itu juga bapa mertua aku berkali-kali mengadukan masalah kegagalan telefon di rumahnya berfungsi kepada syarikat pembekal telekomunikasi terbesar negara. Jawapan yang sering didapatkannya, 'Kami pun tak boleh berbuat apa-apa pak cik. Kabel kena curi'.

Sebagai pengguna, bukan masalah kita kabel itu dipotong para peragut kabel atau tidak. Kita hanya mahu ia berfungsi. Kita mahu bercakap hal orang sakit dengan saudara mara lain, atau sesekali mengumpat hal politik.

Walaupun tiada perkhidmatan, bil tetap dihantar juga. Inilah kecekapan organisasi. Ini tidak diajar di University of Adelaide atau universiti yang beroperasi di atas bangunan kedai di Malaysia. Dalam apa keadaan pun, wang perlu masuk ke saku organisasi. Kecekapan dalam menyediakan perkhidmatan itu topik lain. Itu hanya dongeng dalam buku teks pengurusan. Wang yang masuk itulah pengukur kejayaan syarikat.

Begitulah -walaupun tidak ada perkhidmatan - bil masih dihantar juga. Notis peringatan juga diberi untuk mengingat pengguna akan tanggungjawab mereka.

Apa daya, kita hanya manusia hina yang tidak berupaya untuk menghantar notis peringatan serupa kepada syarikat pembekal telekomunikasi terbesar Malaysia itu.

Semalam - ada satu notis dari pejabat peguam untuk tindakan saman kerana tidak membayar bil sebanyak RM283.10.

Nampaknya syarikat itu begitu cekap. Mereka cekap menghantar bil setiap bulan. Cekap juga menghantar notis peringatan. Bertambah cekap dengan menghantar surat peguam untuk mengingatkan orang kampung mereka ada begitu banyak kuasa.

Yang mereka tidak ada hanyalah pekerja untuk memperbaiki kabel yang dicuri peragut.

Peragut memang ada di mana-mana. Mereka boleh hadir dalam pelbagai rupa. Tujuannya tetap sama. Mendapatkan wang sesiapa sahaja.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails