Yang Ikut

Wednesday, 22 July 2009

Bila kita tidak jujur

Reactions: 
Manusia yang tidak jujur dan tamak ada di mana-mana. Ia bukan hanya milik orang bandar, tetapi juga milik orang kampung. Ia bukan hanya milik manusia berpangkat besar, tetapi juga menjadi amalan orang berpangkat kecil.

Setiap hari kita mendengar ada berita penyeludupan manusia dan penyeludupan barang. Ini boleh dilakukan di jalan darat, laut atau udara. Semua yang berkaitan dengan penyeludupan ini adakalanya melibatkan 'orang dalam' seperti yang ditunjukkan di dalam akhbar. Ini adalah hal menunjukkan betapa apabila ada manusia yang tidak jujur berada dalam perkhidmatan, ia merosakkan sistem yang ada. Buatlah apa sahaja dasar sekalipun. Mereka yang busuk ini akan membusukkan perjalanan pentadbiran apabila mereka melalui salur lain untuk memenuhi tembolok nafsu dan wang.

Orang yang tidak jujur juga boleh berbuat banyak projek yang lain juga. Mereka yang terlibat dengan agensi pertanian misalnya, tidak hidup dalam kelompok manusia mewah di Bangsar atau Damansara Utama. Mereka berada di pedalaman, di kampung-kampung bersama masyarakat kecil. Mereka yang tidak jujur ini juga boleh membuat wang.

Ada yang tugasnya ialah untuk menyampaikan maklumat kepada orang kampung mengenai bantuan pertanian - tetapi mereka tidak melakukannya. Sebaliknya merekalah yang memohon peruntukan bantuan bagi menggerakkan projek pertanian dengan menggunakan nama orang lain.

Merekalah yang membuat wang dengan segala bantuan yang ada. Mereka tidak menyampaikan maklumat, malah menyembunyikan meaklumat mengenai segala bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Mereka memohon dana agensi, menjalankan perniagaan dan menjadikan diri mereka orang kaya. Mereka jugalah yang meluluskan peruntukan.

Orang kampung tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu di mana bantuan harus dipohon. Tidak ada pegawai yang datang memberikan maklumat. Akhirnya, mereka kekal sebagai manusia miskin. Menjadi petani serba tradisional. Mereka tidak tahu agro-tech atau baja organik.

Hal ini terjadi kerana ada manusia tidak jujur, tamak dan pentingkan diri sendiri. Mereka inilah serangga perosak. Mereka ini tidak bersembunyi di kota metropolitan, tetapi mereka ini ada dalam kelompok kami - orang-orang terkucil.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails