Yang Ikut

Sunday, 19 July 2009

Nasihat untuk orang kampung aku

Reactions: 
Setiap hari kita bimbang anak-anak kita terjebak dengan budaya liar. Kita bimbang mereka menagih dadah. Kita bimbang mereka merempit. Kita bimbang kalau mereka berkawan dengan orang yang bukan-bukan. Kita semua takutkan hal itu.

Tetapi, ada satu hal yang sering kita terlupa. Kita terlupa merenung ke dalam cermin setiap pagi melihat kebobrokan hidup kita juga. Kita hanya pandai berdebat hal anak muda. Kita tanpa ragu-ragu bijak berkata-kata mengenai perilaku buruk mereka.

Kita apa kurangnya. Di kampung aku, sekarang ini hampir kebanyakan orang tua juga sudah jadi penagih. Tidak terkecuali orang yang tahu hal agama, orang yang berniaga atau yang cerdik pandai hal anak-anak. Bukan seorang dua, lebih 30 orang. Bukan usia 20-an, tetapi yang menjangkau 60-an juga menagih.

Mereka melepak di kedai kopi atau di rumah tertentu untuk meminum air daun biak atau dikenali juga daun ketum. Ada yang membawa sebotol Coca-Cola yang diisikan air biak yang sudah direbus. Ada yang diisi di dalam 'jag'. Ada yang menanam pokok ini di belakang rumah. Semuanya adalah bahana menagih air daun ketum.

Kata mereka, daun ketum menyihatkan. Ia menguatkan tenaga. Ia memulihkan banyak penyakit.

Kata mereka ia bukan dadah. Ia hanya daun yang menjadi ubat.

Semua ini dongeng. Kalau ubat, mereka akan menjadi kuat. Kalau sakit, tidak perlu ke hospital. Ini tidak. Yang darah tinggi, tetap perlu makan ubat. Bila wabak chinkunkunya datang, mereka demam juga. Jadi semua itu karut.

Itu jugalah alasan yang diberikan anak-anak kita yang menagih ganja, heroin atau ice. Anak kita berkata, ia ubat untuk berseronok sahaja. Tidak ada apa yang bahaya pun. Ganja boleh menaikkan nafsu makan. Heroin boleh menghilang demam dengan cepat. Mereka boleh menghisap, mereka juga boleh berhenti.

Penagih daun ketum juga tidak ubah seperti penagih heroin. Ia akan menyebabkan sakit-sakit, mengantuk, gelisah, dan cirit-birit. Ia perlu diminum setiap hari. Kalau tidak semua kerja tidak menjadi. Bukan minum sekali, tetapi berkali-kali. Jadi, kalau begitu apa bezanya dengan dadah yang dihisap anak-anak kita.

Ada satu yang beza. Kita akan berkata, apa yang kita buat selalu betul. Apa yang anak kita buat akan selalu salah.

Sudahlah. Baliklah. Kita tidak terlalu muda untuk terus berkhayal.

4 comments:

mangkuk statik said...

1. Giler brutal kampung kau. Sampah masyarakat.
2. Kau pon penagih gak. Penagih rokok dan penagih blog. Tak pe la tu.
3. Tanye sikit. Daun ketum tu masuk dalm akta dadah merbahaya ke tidak? Kalau kau menanam, proses, mengedar dan menagih daun ketum, adakah kau boleh kene hukum gantung/penjara/pemadam?

Abang Ben said...

uiyoooo... memang daun ketum ni jadi amalan minum eh? Tak pernah seumur hidup aku rasa. Minum untuk rasa je boleh ke?

FakirFikir said...

Untuk MangkukStatik - ia dibawah akta ubat/racun. Belum lagi masuk akta dadah. Jadi tak kena gantung!

Abang Ben - memang asalnya dulu-dulu orang minum buat ubat. Kalau ada sakit, baru orang minum. Atau ada anak kembung pun boleh pakai. Tapi sekarang dah jadi komersil. Dijual. Yang tegar akan beli atau rebus sendiri.

Sekadar minum sekali dua tidak mengapa. Pahit. Bila dah jadi hobi, itu yang bahaya.

ihsan_huhu said...

minum air daun kesum je la

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails