Yang Ikut

Thursday, 30 July 2009

MLM - berahi wang orang kita

Reactions: 
Budaya Multi Level Marketing (MLM) sudah menjadi fenomena biasa rakyat Malaysia. Kita biasa mendengar pelbagai jenis dan bentuk produk yang bersembunyi di balik tabir MLM. Ia ada di bandar dan di luar bandar. Ia menarik perhatian orang muda dan orang tua, masyarakat biasa atau kumpulan profesional.

Walau apa pun yang dijual, MLM tetap membawa kepada tujuan yang sama. Setiap orang ingin bergelar jutawan dan mempunyai pendapatan yang besar.

Dari sudut yang lain, sesekali aku terfikir juga mengapa produk MLM ini begitu menjadi bualan di Malaysia, tetapi tidak pula di Australia. Adakah orang Australia tidak mahu kaya seperti kita?

Atau MLM itu sendiri wujud kerana motivasi kita yang sangat berahi dengan wang. Atau kerana kita hidup susah, jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk mengubah taraf hidup. Kalau begitulah, maka andaian Abraham Maslow tentang hierarki hidup manusia mungkin benar. Kita akan berusaha untuk berubah dari satu tahap yang sudah kita milik ke tahap lain yang belum kita kuasai.

Di Indonesia - fenomena MLM juga luar biasa.

Pada pandangan aku yang sentiasa sinikal dengan MLM - aku melihatnya sebagai satu langkah untuk memperhambakan manusia dengan motivasi yang tak mungkin terjangkau. Orang kampung disogokkan betapa dengan berniaga MLM, ada orang sanggup berhenti kerja kerana pendapatannya luar biasa. Produk MLM juga ajaib kerana mampu mengubat pelbagai penyakit.

Kalau benar produk MLM begitu ajaib, pada akhirnya manusia hanya perlukan satu jenis ubat. Mereka tidak perlukan insulin untuk kencing manis, paracetamol untuk sakit kepala atau Clartyne untuk alergik kacang. Kita juga mungkin tidak perlukan hospital dan klinik kesihatan lagi.

Hal lain yang perlu direnung juga - siapakah 'tauke' sebenarnya? Bukankah dengan cara begitu, mereka telah menjimatkan jutaan ringgit untuk mengupah manusia. Dengan hanya membangkitkan impian menjadi jutawan atau memiliki BMW, maka berbondong-bondonglah orang ingin menjadi ahli dan berkerja keras siang dan malam. Semua topik perbualan akan berkisar dengan keajaiban produk dan kejayaan orang itu dan ini. Semuanya kerana ingin menjadi jutawan.

Mereka mungkin lupa - yang kaya sebenarnya ialah pembekal produk. Mereka juga mungkin terlupa, yang kayanya orang lain. Kita mungkin sekadar menjadi tukang promoter yang kalau dihitung dengan jumlah jam kerja, pendapatan kita sewajarnya perlu lebih besar daripada itu.

Memang benar, ada yang telah jadi jutawan. Tetapi daripada puluhan ribu ahli, adakah setiap orang berupaya menjadi jutawan dan memiliki kekayaan seperti yang diwar-warkan. Dengan penjimatan kos upah, perkhidmatan dan pelbagai caruman lain untuk sumber manusia - memang ada syarikat MLM yang mampu menawarkan pulangan yang baik.

Ia tumbuh subur di negara yang nafsu untuk mendapatkan wang begitu membuak-buak.

Hakikatnya, yang pasti kaya ialah pengeluar produk. Ahlinya belum tentu memiliki apa-apa.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails