Yang Ikut

Sunday, 18 August 2013

Cerita emak 1

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Suatu hari, ketika aku balik mencari ikan di bendang, aku singgah sebuah kampung tinggal. Aku terjerempak dengan pohon cabai. Lalu dipetiknya aku sebiji demi sebiji. Sampai di rumah, emak aku tidak menghargainya sedikit pun. Dimintanya aku pulangkan cabai itu ke perdunya.

Kalau aku tersasul lagi, siapa pula yang akan menegurnya.

Setiap malam, aku biasanya pulang lewat malam. Biasanya emak akan bangun dan akan membuka pintu. Adakalanya dia menyelitkan kunci di bawah pintu. Jadi aku menariknya. Kini kalau aku pulang, siapa yang akan bukakan pintu?

Emak tidak pernah marah. Suaranya perlahan sahaja. Dia suka bercerita. Termasuklah cerita suatu hari, semasa dia masih kecil. Ada seorang tua membawakan panah. Orang tua itu memintanya ke tepi. 

Tidak lama, tiba-tiba dia terdengar bunyi halilintar. Siapakah orang tua tadi? Dia juga tidak tahu. Orang tua tadi telah hilang.

Emak seorang pencari ikan yang terkenal. Dialah yang mengajarkan aku menangkap ikan puyu yang tidur di celah tapak kaki atau selut di dalam sungai. Kita perlu merabanya perlahan-lahan.

Ketika kecil aku selalu mengikut emak mencari rebung di hutan. Dialah yang nengajar aku kalau ada binatang bahaya dengan mendengar suara tupai atau kera yang berteriak di atas pohon.

Emak seorang pandai dalam hal semat menyemat. Dia boleh membuat tikar mengkuang atau atap rumbia. Dia juga boleh membuat jaring tangkul. Semua tikar yang ada di rumah aku dibuat oleh emak.

Emak cukup baik. Kalau aku demam dia akan belikan buah limau atau roti. 

Bersambung.




Friday, 16 August 2013

Selamat pulang mak.

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah yang tidak bersedih.

Ibu aku berusia 79 tahun. Usianya mungkin lebih tua daripada itu. Sejak kecil lagi, ibulah yang menjaga kami 5 beradik. Ayah pulang lebih awal tahun 1980. Aku baru berusia 8 tahun.

Ibu aku menjaga kami semua. Dia hanya membuat atap untuk dijual. Menjual sirih. Ketika muda dia membuat sawah juga. Dia membela kami dengan kudratnya. Pernah dia berkata, dia bimbang kalau kami semua tidak mampu hidup.

Ibu jarang sakit seperti orang lain. Walaupun dia tidak sihat, tetapi demam itu perkara biasa sahaja. Tidak pernah dia masuk wad. Dia terkenal kerana kekuatannya. Mungkin dia sakit. Tetapi menyembunyikan rasanya.

Dua anaknya mati lebih awal. Dia kuat juga. Dia bersikap biasa sahaja. Tidak menunjukkan rasa sedih. Mungkin menyembunyikan rasanya.

Dia dikenali sebagai penangkul ikan yang terkenal. Ramai kawan-kawannya mati dahulu. Dia tetap menggagahi diri mencari ikan sekalipun di usia senja. Dia tidak makan ikan laut. Buah timun dan tembikai adalah dua buah yang dipantangnya. Tidak perlu membelahnya. Melihatnya sahaja dia pening dan sakit. Di rumah kami, kami tidak makan dua makanan ini. Dia tidak perlu melihat buah ini. Dia mampu menghidunya sekalipun jiran yang memakannya.

Dia tidak juga menggunakan dapur gas. Dia hanya menggunakan dapur kayu. Sampai sekarang. Dia tidak terjejas dengan hidup moden.

Dia tidak merungut hal menantu. Dia tidak ambil 'pot'. Hidupnya simple. Kami orang yang berasal daripada keluarga susah.

Aku mendapat gelar dr pun mungkin tidak diketahuinya. Dia hanya tahu aku di Australia. Dia bukan orang yang berbangga dengan hal mewah dan hebat. Dia biasa sahaja.

Entah mengapa tahun ini 2 pohon petai kami berbuah lebat. Tidak pernah berbuah sebelumnya. Ibu selalu berjenaka, mungkin itu tandanya dia akan mati dahulu, atau petai yang mati dahulu.

Dia menyebut untuk melakukan korban tahun ini.

Sejak puasa ini, dia tidak lalu makan. Dia mula sakit. Tetapi dia biasa sahaja. Dia tetap bertahan.

Entah mengapa aku terasa mahu pulang semalam. Aku baru sahaja pulang raya Aidilfitri beberapa dulu. Mungkin memanggil aku untuk bertemu buat kali terakhir dengan wanita paling tabah yang pernah aku hidup bersama. Dia memelihara kami semua sekalipun hidup kami susah. Aku masuk universiti beberapa kali hanya dengan duit menyemat atap sahaja.

Jam 7 pagi - Jumaat tadi ibu pulang tak akan kembali. Berbohonglah aku kalau air mata tidak tumpah. Aku tidak setabah dan segagah ibu.

Selamat pulang mak. Ampunkan dosa dan salah silap. Kenangan indah tidak akan dipadam. Ia adalah nolstalgia indah pelangi hidup kami semua.

Al Fatihah.

Pasti kita bertemu lagi di alam yang lain.

Thursday, 15 August 2013

Dunia aman tanpa manusia

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sesekali kita memerlukan Hoesni Mubarak.

Di Mesir, apa yang sedang berlaku menunjukkan bahawa kuasa dan haloba tidak mengira nama manusia. Baik Hoesni Mubarak atau Assad, ia hanya nama yang tertera di atas kad pengenalan.

Kejatuhan Hoesni seolahnya memberi cahaya baru di Mesir. Hakikatnya tidak. Ia memberikan api yang baru. Bertukar orangnya tidak menukar tamak dan kejamnya manusia.

Nafsu kejahatan tidak pernah mengira nama di atas kad pengenalan. Ia sama sahaja.

Orang boleh membunuh atas alasan ketenteraman. Kalau ketenteraman dijadikan alasan, maka paling wajar ialah membunuh semua makhluk yang bernama manusia. Dunia ini hanya akan aman jika tidak ada manusia.

Binatang hanya membunuh apabila lapar dan terancam. Manusia tidak. Mereka membunuh setiap masa.

Kerana manusia melaparkan kuasa yang tidak pernah ada kenyangnya.

Thursday, 8 August 2013

Salam Aidilfitri

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pembaca.

Saya tidak seaktif dahulu menulis di blog ini. Sebenarnya saya ada banyak hal yang patut ditulis. Bagaimana pun, saya begitu sibuk.

Antara yang saya ingin tulis ialah penularan ajaran sesat dan fahaman yang pelik lagi janggal dalam budaya dan agama kita. Syiah salah satu daripadanya. Dahulu kita mendengar istilahnya sahaja. Tetapi jarang kita ambil tahu. Malah ada yang tidak tahu pun.

Isunya ialah kita kurang terasuh untuk belajar agama. Sekarang ini dengan adanya internet, promosi hal asing ini menjadi lebih mudah. Kita teruja kalau ada ayat agama dan tulisan Arab. Kononnya itulah kebaikan.

Facebook dan YouTube telah menjadi ustaz baru.

Datang pula pelajar dari negara luar berjanggut dan berjambang. Mereka dilihat soleh. Banyak anak muda kita teruja dengan kefasihan Arab mereka. Kita terlupa Abu Jahal juga pandai bahasa Arab.

Akibatnya banyak terpedaya.

Itulah cabaran beragama kita di zaman baru ini.

Salam Aidilfitri.

Friday, 2 August 2013

Jangan bermain dengan babi dan anjing

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Babi dan anjing ada dua jenis makhluk yang sangat sensitif di negara kita. Sama sensitifnya dengan monyet dan pisang di Barat. Orang Barat mungkin tidak kisah kalau ada aksi mencium anjing kerana itu kesukaan mereka. Tetapi mereka mungkin marah kalau membuat aksi monyet dan menghulurkan pisang. Banyak orang berkulit hitam dan orang Asia terkena serangan provokasi kaum ini di Barat oleh individu tidak bertamadun.

Mangsa momokan dikatakan tidak bertamadun kerana kononnya berasal daripada monyet. Hakikatnya orang yang memomok itulah yang mungkin ada sifat binatang yang tidak bertamadun. Monyet tidak pernah melakukan aksi memalukan manusia. Manusia itulah yang menunjukkan aksi monyet memalukan diri sendiri.

Di negara kita, babi dan anjing menjadi makhluk yang sangat sensitif. Anjing mungkin merupakan hal khilafiah. Babi mungkin tidak. Begitu pun, kedua-duanya tetap sensitif. Memaki orang lain dengan patah kata 'babi' dan 'anjing' boleh berakhir dengan pergaduhan. Apatah lagi kalau ia dikaitkan dengan hal-hal agama orang Islam.

Biarlah orang tadi tidak berpuasa atau bersembahyang. Mereka mungkin boleh minum arak atau melanggan pelacur. Tetapi menyentuh babi dan anjing adalah hal haram yang sangat dielakkan.

Begitulah simbol babi dan anjing dalam budaya orang Islam di Malaysia.

Ia binatang luar biasa hebatnya.

Sebab itu, bermain dengan isu babi dan anjing ini berakhir dengan hal yang buruk.

Jangan dikata bahawa orang bukan Islam tidak faham hal ini. Ia difahami oleh masyarakat kita. Sama fahamnya orang lain dengan istimewanya lembu bagi agama Hindu.

Kita boleh memakan daging lembu, kerana motifnya bukan menghina. Bagaimana pun, kalau ada orang yang cuba menggunakan lembu untuk memprovokasi orang beragama Hindu, mereka akan marah. Begitu juga orang Islam. Penganut agama lain boleh makan seberapa banyak pun daging babi, atau membela sekandang anjing sekalipun.

Tetapi, kalau ada yang bermain sentimen dengan makhluk dua ekor ini, semua penganut Islam terganggu emosi mereka, sekalipun di bulan puasa mereka makan secara sembunyi di belakang kedai.

Sebab semua kita memahaminya, maka ada baiknya kita jangan bermain dengannya. Baik ia dilakukan oleh orang Islam atau bukan.

Menjaga sensitiviti bukanlah hal yang sukar sangat. Memahami apa yang tidak kita suka orang lain lakukan kepada kita, begitu jugalah jangan dilakukan hal yang sama kepada orang lain.

Jadi mengapa ada yang sengaja buat tidak faham?

Wednesday, 31 July 2013

Mental exhaustion

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku sudah agak jarang menulis. Bukan sekadar blog ini, tetapi juga menulis bagi hal yang lain. Entah apa yang berlaku. Dalam psikologi, ia mungkin simptom mental exhausted. Penat berfikir. Tidak semestinya berfikir hal menulis. Akhirnya tidak apa satu menjadi.

Pernahkah anda mengalaminya?

Jangan katakan tidak. Ia bukan penyakit mental. Ia hanya keletihan mental.

Ia berlaku khususnya apabila otak kita berkeceramuk dengan banyak hal. Kita mungkin dilihat biasa sahaja. Hakikarnya otak kita tidak begitu. Ada hal yang merisaukan. Tetapi kita tidak tahu yang mana satu paling dominan.

Kadang-kadang kita tahu sebabnya. Tetapi kita tidak ada upaya menyelesaikannya.

Ia keletihan yang tak mampu dihilangkan dengan berehat. Ia hanya mampu dihilangkan dengan menyelesaikan isu pokok masalah. Melakukan beberapa perkara yang disukai boleh mengurangkan kesakitan ini.

Tetapi pada akhirnya isu utama perlu diselesaikan juga.

Mental exhausted.  Ia bukan penyakit mental. Ia isu huru hara dalam mental.

Sunday, 21 July 2013

Nolstalgia Ramadhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Antara pengalaman terindah mengingati Ramadhan ialah tatkala kita masih kanak-kanak. 

Puasa waktu itu bercampur dengan mitos, kejujuran dan dan keseronokan.

Entah berapa kali kita ke bilik air sekolah untuk berkumur. Sesekali 'tertelan' sedikit air untuk membasahi kerongkong. Puasa tetap dikira walaupun hanya mampu separuh hari, atau makan sahur jam 8 pagi. Semasa kanak-kanak, kita sangat takut kalau terbatal puasa kerana terkorek hidung. Juga bimbang kalau turun ke dalam sungai dan terbuang angin di dalamnya. Kata nasihat yang didatangkan dari satu generasi ke satu generasi, entah daripada kitab mujtahid karangan siapa - ia terbatal puasa.

Fatwa batal puasa semasa kita kanak-kanak hanyalah dikeluarkan oleh teman sebaya kita sendiri.

Paling seronok ialah membeli air batu yang harganya seketul 20 sen. Kemudiannya ditanam ke dalam tanah agar tahan lama. Pergi ke masjid untuk berterawih hanyalah alasan sahaja. Yang paling indah ialah moreh. Ada yang menyembunyikan roti canai ke dalam kepiah, atau poket baju Melayu.

Meriam dan mercun sudah lama menghiburkan kita, walaupun bunyinya tidak sekuat mercun bola sekarang ini. Mercun katak dianggap antara yang terhebat.

Raya dinanti dengan penuh asyik. Dibilangnya hari satu demi satu. Inilah masanya kami orang susah mencari wang lebih.

Itu cerita dulu. Sekarang ini keasyikan Ramadhan bertukar rupa. 

Seorang wartawan bertanya, apakah pandangan psikologi dengan fesyen baju raya sedondon. Aku tidak berupaya menjawabnya. 

Ia soalan yang tidak pernah aku jangka, dan topik kajian yang tak pernah aku fikirkan.




Saturday, 20 July 2013

Bila Facebook menjadi ustaz baru

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bulan Ramadhan, semua orang berlumba-lumba berbuat kebaikan.

Semua orang ingin bercakap hal agama.

Facebook (FB) telah menjadi satu caranya. Ia hal yang baik.

Bagaimana pun, aku terkesan satu perkara. Kebanyakan orang cuba 'share' apa sahaja maklumat yang mereka jumpa di sana sini, atau yang mungkin dirangkaikan daripada satu orang kepada orang yang lain.

Hakikat yang tidak diketahui ialah ada hal-hal yang memerlukan penghuraian mereka yang alim. Bukan sekadar berhujah semberono. Atau sekadar mengikut logik akal. Atau disebabkan oleh hujahnya yang kelihatan logik, atau grafiknya yang cantik.

Maka muncul bermacam-macam maklumat yang kononnya dikatakan sebagai 'pengetahuan' dalam hal beragama. 

Termasuklah perdebatan sama ada wujud atau tidak apa yang dikatakan sebagai waktu 'imsak'. Ada pula yang berdebat tentang terawih itu 8 atau 20 rakaat. Belum lagi perdebatan sama ada syaitan dirantai atau tidak.

Sedangkan ia bukanlah hal pelik bagi banyak orang yang mempelajari hal itu. Tidak ada isu yang patut didebatkan pun.

Ilmu agama tidak boleh didapatkan daripada Facebook. Ia perlu didapatkan daripada guru. Facebook boleh membantu, tetapi guru itulah yang patut dicari dahulu. 

Bagaimana pun, mencari guru biasanya payah apatah bagi kebanyakan kita yang hidup di bandar dan sibuk ini. Lebih mencari Facebook sahaja untuk mengajarkan kita agama.

Berkongsi maklumat agama melalui Internet, Twitter, Facebook atau apa sahaja mediumnya bukanlah satu kesalahan. 

Bagaimana pun, berguru itulah jalan yang terlebih baik sebelum berkongsi. Takut-takut yang kita kita kongsikan itu lebih memudaratkan berbanding kebaikannya, kerana yang membaca juga mungkin adalah orang seperti kita juga.

Wednesday, 17 July 2013

Selamat menyambut Ramadhan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Agak terlambat sebenarnya.

Beberapa minggu ini, kita dikejutkan dengan kes dua orang remaja bukan Islam dengan isu Bak Kut Teh halalnya. Tidaklah dipastikan sama ada mereka sengaja atau tidak. Bagaimana pun, mengaitkan khinzir sebagai halal sesuatu yang mempersendakan umat Islam. Orang yang bukan Islam boleh sahaja makan apa yang hendak dimakannya, tetapi tidaklah perlu 'beramah mesra' dengan mengucapkan selamat berbuka puasa dengan daging babi.

Ia tidak memberikan sebarang apa manfaat pun, baik kepada yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Apatah ia dikeluarkan dalam bentuk cetakan visual yang boleh dilihat orang. Kenyataan bersifat audio boleh dikeluarkan tanpa sengaja, dan adakalanya spontan. Bagaimana pun, kenyataan dalam bentuk visual memerlukan proses tertentu. Ia memerlukan daya usaha.

Jadi untuk mendakwa bahawa ia secara spontan, tidak sengaja atau tidak berniat mungkin satu kenyataan yang sukar dibuktikan. Katakanlah mereka tidak tahu bahawa babi itu haram untuk orang Islam, jadi mengapa mereka memilih 'babi' tadi. Mengapa tidak meletakkan sahaja ayam atau itik?

Sebab itu, kenyataan yang bersifat sensitif seperti ini tidak wajar dilakukan. Apakah manfaatnya kepada si pembuatnya? Adakah orang yang menerima mesej mereka akan gembira? Mereka yang melakukannya mungkin gembira sekejap kerana boleh mempersendakan orang lain. Tetapi, berapa lama boleh menikmati kegembiraan tadi.

Mereka mungkin terkenal dengan kenyataan provokasi seumpama itu. Tetapi, harus diingat mereka mungkin telah membina musuh yang  baru. Musuh yang banyak biasanya tidak menyenangkan, tetapi menyusahkan. Jadi apa manfaatnya?

Aku juga mempunyai banyak teman bukan Islam. Mereka tahu aku berpuasa, dan aku juga tahu mereka tidak berpuasa. Tetapi kami tidak kisah. Kami juga bergurau. Visyarn, teman lama aku beragama Buddha, sambil mengucapkan selamat berbuka puasa memberitahu dia mengambil 3 biji kurma hari ini. Aku tahu dia melawak sahaja. Tetapi caranya itu memberitahu kita bahawa dia tahu sedikit sebanyak hal ehwal orang Islam.

Nampaknya, usaha kita membina negara ini tidaklah mengambil jalan yang mudah, apabila ada segelintir dua yang bukan sahaja tidak cerdik, tetapi sengaja tidak mahu memahami nurani orang lain.

Selamat berpuasa.


Monday, 8 July 2013

Kajian filem Hindi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku mengadakan bengkel SEM-AMOS di Bandar Baru Bangi.

Sebab ia berkait dengan penyelidikan,  mungkin ada baiknya kita mulakan tulisan kali ini dengan tajuk seumpama itu.

Apa yang selalu kita jangkakan daripada filem Hindustan?

Biasanya hero akan kalah dahulu, dan menang kemudian. Dalam filem Hindi juga, ia diplotkan dengan jalan cerita yang sama, menari, sari, keretapi, bunga dan hero yang susah untuk mati. Ia akan berakhir dengan happy ending

Ia adalah plot cerita sejak berpuluh tahun lamanya.

Fokus. Fokus. Fokus. Apa yang fokus?

Ringkasnya, jalan ceritanya sudah sedia difahami dan dijangkakan. Tiada pembaharuan. Semuanya sudah boleh mengagak apa yang berlaku dan apa yang bakal berlaku. Kalau ada yang berubah pun, hanya pelakonya sahaja.

Begitulah analoginya kalau penyelidikan kita juga menggunakan pendekatan yang sama. Plotnya mudah difahami. Walaupun masa tayangnya panjang, keputusannya sudah boleh dijangkakan. Tiada perubahan yang mengkagumkan. 
AMOS tidaklah merupakan software yang susah. Tidak juga canggih. Pada akhirnya, ia hanya sekadar alat pemprosesan data. Ia tidak akan menambah apa-apa kalau kaedah kutipan data dan metodologi yang digunapakai tetap menggunakan pendekatan lama.

Apakah plot penyelidikan kita?

Cross-sectional. Menambah beberapa pembolehubah baru. Mengulang-ulang kajian lama. Tebal. Bagaimana pun, apa yang kita tulis dan kaji mungkin sudah boleh dijangkakan dan diketahui ulang. Pelakonnya (aka. responden) mungkin berlainan. Tetapi, ceritanya sama sahaja. 

Ia seperti filem Hindustan. Penat ditonton, tetapi membosankan. 
Ini pelajar aku yang sudah menjadi pelakon utama dalam kebanyakan workshop yang aku adakan. Yulita, seorang pelajar Ph.D - Bright Sparks, dan Fiza, seorang pelajar master. Kedua-duanya menggunakan analisis longitudinal dan multi-level.
Begitulah berakhirnya sebuah penyelidikan kalau kita tidak berani berubah. 

Siapakah yang patut menjadi agen perubahan?

Saturday, 6 July 2013

Catatan perjalanan 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sarawak negeri yang cantik. Setakat ini aku hanya sempat sampai ke dua tempat, Kuching dan Sibu. Tidak seperti di Semenanjung, ia diwakili oleh berupa bangsa.

Sempat aku melepak di tepi Sungai Santubong. Pelancong luar lalu lalang. Ia kawasan yang cantik. Ada seorang anak muda penyanyi jalanan menyanyikan lagu sambil memainkan gitar. Rambutnya agak panjang, tetapi lebih pendek daripada aku. Suaranya yang serak menyanyikan banyak lagu rock era 80-an. Aku meletakkan RM 5 di dalam bakulnya dan memesan segelas teh tarik di warung. Sambil duduk mendengar anak muda ini menyanyi.

Dia datang bersalam dengan aku kemudiannya. Tidak ku tanyakan namanya dan berapa dia dapat semalaman.

Di sudut yang lain ada beberapa pemuda menjualkan produk terkenal Sarawak. Apa lagi kalau bukan gambir Sarawak. Produk penguat seks katanya.

Di setiap kali aku berjumpa orang, mereka akan bercakap hal balak yang ditebang.

Entahlah. Aku tidak begitu tahu.

Aku sempat makan ayam penyek. Ia makanan malam aku di Jakarta dulu. Ia makanan rasmi aku di Blok M. Cuma di sana mereka memanggilnya pecal.

Sarawak. Aku cuma di sana dua malam. Tidak banyak yang dapat aku terokai. Walaupun aku diberikan hotel 5 bintang dalam perjalanan ini, aku tidak sempat menikmatinya. Aku terlalu sibuk.

Nanti aku berkunjung lagi.

Inilah dunia pekerjaan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya diberikan tanggungjawab sebagai Penyelaras Latihan Industri pelajar di universiti.

Motif utama latihan industri di mana universiti sekalipun hampir sama sahaja, iaitu mendedahkan pelajar dengan dunia pekerjaan. Ia dunia yang membosankan, tidak seindah seperti yang disangkakan.

Ada pelajar yang tidak mahu ke tempat tertentu, dengan memberikan pelbagai alasan. Sebaliknya, sekiranya ada teman mereka bersama, mereka tidak ada masalah. 

Ada pula yang pada hari pertama sudah mahu lari keluar. Kononnya tidak ada pekerjaan yang diberikan oleh majikan.

Ada yang mengadu kerja mereka hanya membuat surat dan melipat kertas.

Mereka seolah-olah tidak percaya ia boleh berlaku.

Hakikatnya, itulah dunia pekerjaan. Ia bermacam sifatnya. Ia dunia yang sepi. Pelik. 

Pekerjaan bukanlah seindah nama jawatannya. Ia hanya mitos. Apatah lagi jika anda hanya melakukan praktikal. Walaupun anda diminta berpakaian kemas, ia tidak bermakna anda bakal ditugaskan dengan jawatan yang hebat. Jawatan yang hebat hanya ada dalam filem James Bond yang heronya melakukan semua perkara yang hebat.

Sekalipun ada istilah 'eksekutif' di depannya, ia hanya pembungkus sahaja. Banyak eksekutif yang hanya kerjanya ke bank untuk urusan keluar masuk wang. Ada eksekutif yang kerjanya hanya tangkap dan cuci gambar. Begitu juga dengan nama jawatan yang lain. 

Jadi jangan digelisahkan dengan nama jawatan. Jangan merasa hebat kalau pun anda keluar universiti.

Pensyarah sekalipun, walaupun seolahnya hebat, sebenarnya banyak melakukan perkara yang remeh temeh. Kerja-kerja yang pada anggapannya boleh dilakukan oleh kerani. Bagaimana pun, itulah pekerjaan. Ia tidak hebat. Ia tidak indah. Ia hanya dongeng.

Yang indah hanya gaji sahaja. Semakin banyak gaji, semakin indah kerja itu dilihat. Walaupun hakikatnya kerja itu begitu juga.

Satu ayat yang patut difahami para pelajar - dunia pekerjaan ini ialah dunia 'kuli'. Dunia kuli beginilah sifatnya. Ia tidak indah. 

Yang dikatakan kerja ialah kita patuh dengan apa yang diarahkan oleh orang atasan. Kita ikut apa yang disuruh, sama ada suka atau tidak - selagi tidak disuruh terjun bangunan. 

Itulah pekerjaan para kuli. Baik kerja itu kelihatan mudah, bosan atau menghinakan, itu bukanlah sifat kerja yang utama. Yang utama ialah mengikut apa yang disuruh.

Penyelaras Latihan Industri pun bukanlah pekerjaan yang indah. Tetapi, kerana disuruh, itu sudah menjadi pekerjaan.

Selamat menghadapi dunia pekerjaan. Selamat menghambakan diri dengan dunia para kuli, dunia kami, dunia kita manusia sejagat.

Sunday, 30 June 2013

Cerita aneh penyelidikan kita

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dalam bengkel yang lalu, aku bertemu dengan banyak cerita aneh. Ia cerita aneh penyelidikan kita. Aku perlu menulisnya kerana ia bukan sahaja menyukarkan pelajar, tetapi membantutkan budaya penyelidikan kita.

Aku juga bukanlah penyelidik yang hebat, jauh sekali daripada ternama. Aku juga seperti orang kebanyakan yang lain. Mungkin sama dengan pelajar-pelajar PhD yang lain juga.

Bagaimana pun, apabila ada pelajar yang perlu menyiapkan proposal penyelidikan setebal 200 halaman, kita perlu bertanya balik apakah sebenarnya tujuan proposal? Memanglah tidak ada dari mana-mana mazhab pun yang mensyaratkan tebal halaman proposal penyelidikan. Tetapi, bukanlah bermakna setengah halaman, atau perlu sepanjang 200 halaman. 

Ia perlu ada logik dan wajarnya.

Lebih malang, proposal yang setebal 200 halaman itu hanya mengukur satu pembolehubah bebas, dan satu pembolehubah terikat, dan di tengahnya terdapat moderator. Atau dalam bahasa mudah, IV + M(1) + M(2) -->DV. 

Walaupun tidak salah, tetapi bukanlah begitu trend penyelidikan di dunia luar. Proposal mereka nipis sahaja. Hanya setebal 10 ke 20 halaman sahaja. Ia sudah memadai.

Yang diutamakan ialah apakah pembolehubah utamanya, dan adakah ada penambahan kepada pengetahuan baru dalam satu-satu teori, dan bagaimana implikasi kajian tadi. 

Seorang lagi pelajar sudah 3 atau 4 tahun. Masih belum lagi lepas proposalnya. Hebat benarkah kajian tadi hinggakan perlukan masa selama itu. Bayangkan, ketika pelajar tadi siap proposalnya, ia tidak menyumbang apa-apa lagi, sebab banyak pengetahuan baru yang dihasilkan orang lain sepanjang tempoh itu.

Apakah yang patut ada dalam proposal?

Pengalaman aku menyediakan proposal Australian Linkage Grant - atau nama popularnya Australian Research Council yang diketahui sangat sukar, payah dan cerewet itu pun tidak sampai pun 20 halaman. Jadi mengapa pula penyelidikan master atau PhD yang hanya sekadar untuk melatih pelajar melakukan kajian memerlukan 100 atau 200 halaman. 

Lainlah pula, kalau ada 100 pembolehubah di dalamnya.

Menjadi masalahnya ialah hanya ada 4 pembolehubah sahaja, yang mungkin tidak menyumbang apa-apa pun.

Apakah yang terlebih utama pembolehubah atau tebal halaman?

Kedua-duanya tidak terlebih penting dari cara mengutip data. Ia hal metodologi yang aku terasa sepertinya perlu menulis sebuah buku untuk hal ini.

Tunggulah. Aku sedang menulis buku ini.

Kita semua patut menggalakkan budaya penyelidikan. Bukan merosakkannya dengan hal remeh temeh yang tidak masuk akal. 


Bagaimana kalau?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

*Gambar dipinjam daripada Sharon. Yang mana satu Sharon?

Bagaimana kalau? Penyelidikan adalah berkisar pelbagai kemungkinan. 

Inilah antara topik bengkel statistik yang aku adakan 26-27 Jun lalu di UM. 

Minggu hadapan aku di Unimas. Kali ini hal yang lain. Isu berkaitan 'Mediation vs Moderator'. Ada banyak perdebatan mengenai hal ini. Ia banyak diulas oleh Baron & Kenny, dan juga McKinnon. 

Kemudiannya aku di Bangi. Ia hanya berkisar statistik AMOS. Kemudiannya di UM. Kali ini hal menulis pula.

Apakah yang lebih utama? Software statistik yang hebat atau tajuk yang ganas?

Kedua-duanya tidaklah terlebih utama daripada kaedah kutipan data. 

Nanti aku ulas kalau ada masa.

Friday, 28 June 2013

Ini mungkin aku!

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pembaca sering bertanya mengapa tidak ada gambar aku dalam blog ini. Jadi, aku rasa ini kalilah! 

Ia mungkin gambar aku. Aku pun tidak pasti. Sepertinya dia sedang mengajar statistik SEM-AMOS di UM semalam. 

Sebenarnya aku tidak berminat dengan gambar aku sendiri, sebab mungkin usia aku sudah mencecah 28 tahun dua hari dulu!




Kalau sesiapa terserempak dengan aku, bolehlah tegur. Walaupun kelihatannya aku memakai pakaian yang sangat formal, ia cuma pada majlis tertentu sahaja. Dalam kebanyakan waktu yang lain, tidak begitu.

Mungkinkah itu aku? 

Kata orang, dunia internet ini banyak sangat penyamaran.

Great news!

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini berita baik untuk aku sahaja. Tidak ada kaitan dengan pembaca.

Tadi pagi aku menerima panggilan telefon dari Prof Maureen Dollard.

Permohonan kami untuk mendapatkan grant penyelidikan daripada Australian Linkage Grant akhirnya berjaya.

Ia mungkin antara dana paling besar yang pernah aku terima sejak aku balik ke Malaysia dua tahun ini.
Jumlah keseluruhan ialah AUD 357,900. Kalau dinisbahkan dalam nilai ringgit, RM 1.4 juta. Wow!

Bagaimana pun, ia tidaklah bermakna aku akan kaya. Banyak daripada duit tersebut akan digunakan untuk banyak hal penyelidikan termasuk membiayai pelajar PhD dan mengupah Pembantu Penyelidik dengan gaji yang mungkin lebih mahal daripada aku.

Mungkin inilah waktunya aku boleh Rock the World!

Thursday, 27 June 2013

Update hidup

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama sudah tidak menulis. Aku mencubanya, tetapi gagal juga. Dunia pekerjaan ini menjadikan kita tidak tersedar bahawa hidup ini tidak begitulah lama, atau kita menyangka bahawa dunia inilah segala-galanya.

Aku cuba menulis, tetapi tetap gagal juga. 

Sekarang minggu terakhir semester. Aku perlu memberi markah. Aku tidak perlu menulis. Cuma sekadar membacanya.

Ia tidak menggembirakan hati sebenarnya. Daripada 47 orang, hanya seorang dua yang tulisan mereka dalam kertas peperiksaan yang sedikit menuja akal. Mereka ini mungkin bakal menjadi sarjana yang baik. Selebihnya, tidak tahu apa yang mereka sedang belajar. Mereka hanya sekadar menulis balik nota kuliah - tanpa analisis, tanpa pemikiran. 

Dalam satu tulisan, Syed Hussin Al-Attas ada menuliskan tentang manusia pandir. Manusia pandir bukanlah tidak bersekolah tinggi. Tetapi manusia pandir ialah manusia yang tidak berfikir.

Aku harap, bukan ini kesudahannya pelajar-pelajar kita di menara gading. 

Aku baru sahaja menyelesaikan bengkel dua hari mengajar pelajar sarjana dan PhD hal-hal statistik yang ringkas. Aku mengajarkan mereka SPSS dan AMOS. Aku tidaklah begitu teruja dengan kedua-duanya. Yang utama - aku mahu mengajar mereka 'akar' hukum statistik. Banyak daripada kita - tertinggal 'sanad' kerana kita memetik di sana sini. Kita juga belajar dari 'orang itu' dan 'orang ini'. Tetapi kita tidak mengajar sanadnya.

3hb Julai ini, aku ke Unimas - untuk urusan akademik dan viva pelajar. Aku juga diminta berceramah hal 'mediation' dan 'moderation'. 

7hb Julai ini, aku dijemput persatuan pelajar UPM untuk mengajar AMOS.

Hidup ini menggembirakan bukan! 

Gembira dalam lelah. Lelah dalam gembira.

     

Wednesday, 12 June 2013

Cerita perjalanan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku berjalan ke beberapa buah negeri baru-baru ini. Salah satunya Kelantan. Ia negeri yang selalu dihebohkan dalam suratkhabar sebagai negeri miskin. Sesekali televisyen menyiarkan berita yang tidak manis mengenai negeri ini.

Ternyata ia hanya berita sahaja. 

Hakikatnya, di sepanjang perjalanan ke Kota Bahru, kelihatannya rumah batunya besar belaka. Bandarnya juga sibuk. Malamnya bernyala dengan orang berniaga di pasar. Binaan bangunan barunya yang mempunyai kubah menujukkan ciri Islamik. Ia hal yang indah.

Papan tanda kedai pula bertulis bahasa jawi di atasnya. Ia mungkin melambangkan inilah negeri Melayu yang sejati. Tidak ada negeri Melayu yang mempunyai semangat 'merdeka' seperti ini. Mungkin sebab itulah, dari segi politiknya, dan semangat Melayu Kelantan, mereka tidak mudah mengalah. Mereka ada jatidiri yang tersendiri. Banyak orangnya berniaga sendiri sahaja. Tidak hairan dengan gempita bantuan di sana sini.

Tok Bali juga kelihatannya sedang membangun sebagai bandar pelancongan yang menarik. Mungkin bakal sama hebatnya dengan Langkawi. Ia mengingatkan aku dengan Aldinga Beach di Adelaide dulu. 

Di sana sempat bertemu dengan teman lama - teman sepanjang masa sebenarnya. Kereta Nissan Wagon entah tahun bila buatannya tersangat uzur. Ia dipakai sejak zaman bujangnya lagi. Berkarat dan berlubang di sana sini. Sejak zaman kami masih menyanyikan lagu XPDC. Tetapi kereta itulah yang digunakan untuk berulang alik ke UUM Changlun bagi mengikuti pengajian PhDnya. Sesekali dia datang ke Kuala Lumpur. Dengan kereta usang itu juga.

Aku tersesat jalan untuk sampai ke rumahnya. Dia datang dengan keretanya itu. Aku mengekorinya dari belakang. Ternampak sebuah rumah banglo tersergam indah. Besar pula. Seperti istana. Di belakangnya ada dusun. Isteri aku teruja: "Eh, rumah siapa ni?". Aku diam sebab aku pun tidak tahu kepunyaan siapa rumah ini.

Tiba-tiba kereta teman aku membelok masuk ke situ. Rumah teman aku rupanya. Seperti pepatah "Jangan menilai orang dengan keretanya. Jangan juga menilai dengan rumahnya. Nilailah hati mereka".

Teman aku ini seperti aku juga. Serabutnya seperti aku juga. Kami masih berjiwa rock kapak tahun 80-an. Kami datang dari generasi itu. Seperti yang terpapar dalam filem Rock Ooo.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, aku menginap di sebuah resort di Permaisuri, Terengganu. Ia resort yang pernah aku singgah 12 tahun dulu. 

Aku meninap di situ kerana aku perlu menyiapkan proposal malam itu. Tidak ada tempat lain yang paling baik untuk menulis dengan cepat. Itulah tempatnya. Tempat yang jauh dari manusia.

Bulan Julai aku akan berjalan lagi. Entah ke mana. Misinya ialah menyiapkan 2 buah makalah. 

Harapnya menjadi.




Saturday, 8 June 2013

Update ringkas

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama sudah tidak menulis. Sibuk.

Aku bercuti panjang. Sebenarnya tidak bercuti. Aku sibuk menyiapkan pembetulan jurnal. Lama sudah aku tidak menulis. Juga sibuk menulis proposal penyelidikan untuk satu kementerian. Aku menulis dari satu negeri  ke negeri yang lain. Sesekali memilih menulis di waktu pagi. Adakalanya selepas maghrib. Sesekali memilih pantai. Sesekali memilih bawah pokok kelapa.

Tidak tentu masa. Menulis pekerjaan yang membosankan.

Hujung bulan ini dan juga awal bulan Julai aku dijemput memberikan bengkel SPSS dan AMOS. Satunya di UM, dan satu lagi di UPM.

Bulan Julai aku mungkin akan bercuti panjang. Aku mahu melarikan diri dari sibuk.



 

Friday, 10 May 2013

Pilihanraya sudah berakhir bukan?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pilihanraya sudah berakhir. Berehatlah seketika. Mungkin itulah ayat terbaik untuk kita semua.

Terus berpolitik tidak menyelesaikan masalah rakyat. Terus memainkan isu rasis juga tidak menambahkan keharmonian semua. Berdemo dan memprotes menunjuk rasa tidak puas hati juga tidak menambah baik suasana. 

Barcelona dan Real Madrid dianggap pasukan terhebat untuk beberapa tahun terakhir ini. Tetapi, akhirnya kalah juga. 

Berlapang dada itulah kemenangan sebenar semua pihak. Tidak mudah untuk berlapang dada untuk menerima perbezaan, apatah lagi untuk menerima kekalahan. 

Pakatan tidak kalah besar, BN juga tidak menang banyak. Sama sahaja hakikatnya. Semua pihak terluka. Jadi, mengapa harus terus bersengketa?

Semua pihak mungkin menduga akan menang besar. Itu hakikat psikologikal biasa. Sebab, apabila kita berbual-bual dengan orang, mereka akan berkata parti mereka akan menang besar. Hakikat yang mungkin selalu dilupakanialah 'in-group' dan 'out-group' bias. Kita hanya akan berkawan dengan kawan kita sahaja. Kita akan hanya bertanya pandangan daripada sahabat-sahabat yang mungkin sama aliran dengan kita. 

Mustahil kita bertanya dengan orang yang tidak sehaluan dengan kita. Banyak orang yakin menang kerana melihat riak di permukaan sahaja. Riak di dalamnya susah untuk dijangka.

Sebab itulah, akhirnya suara majoriti yang patut kita pertimbangkan. Kalau terus bersengketa, ia tidak membawa ke kita mana.

Kita ada lima tahun lagi untuk pilihanraya yang baru. Terus mengusung rasa kecewa, marah dan sakit hati sepanjang tempoh itu hanya menyebabkan penyakit lain yang muncul.

Semua kita - mari mulakan hari baru. Terus berkerja untuk negara dan terimalah hakikatnya. Marilah berlapang dada.

Baca SINI juga.




Thursday, 9 May 2013

Kehidupan pasca PRU-13 - Edisi Cool

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari lalu, aku pulang ke kampung untuk menghirup angin suam politik kampung. Sudah 2 kali aku tidak menghidunya.

Kampung aku agak istimewa, kalau dibandingkan dengan banyak tempat yang lain. Ia tidak sepanas, malah mungkin tidak ada haba suam pilihanraya pun. Orang kampung aku melepak di kedai kopi bersama-sama, sekalipun masing-masing tahu warna parti di antara satu sama lain. Selepas minum secawan dua kopi, ada yang pergi singgah di bilik gerakan masing-masing. 


Malah, ada yang boleh singgah di bilik gerakan parti yang berbeza - sesekali menghirup secawan teh panas di sana. Ia biasa sahaja. Tidak ada adu domba. Tidak ada huru hara. Tidak ada hiruk pikuk politik yang melampau. Masing-masing dengan cara masing-masing. 


Kami tidak begitu peduli dengan fahaman politik. Boleh saling kutuk mengutuk sesama lain dengan cara yang paling nyaman. 


Di hari pilihanraya, mereka beratur bersama-sama ke tempat undi. Biasa sahaja. Tidak ada pujuk memujuk. Setelah siap mengundi, mereka melepak bersama di luar kawasan sekolah. Berborak tentang harga getah. Berborak fasal kerja. Santai dan biasa sahaja.


Ada yang terus pulang. Ada yang singgah di pondok panas. Pondok panasnya pula berjiran. Tidak ada kecoh-kecoh.


Cuma yang mungkin agak berbeza, pondok panas PAS dipenuhi anak muda. Mungkin agak 'cool' zaman sekarang ini menjadi pembangkang. Dulu-dulu, menjadi BN lebih cool. 


Jalan kecil masuk ke dalam kampung aku, tidak ada sehelai bendera pun yang dipasang. Sekeping poster pun tidak ada. Ia hanya terpacak di jalan besar di luar kampung. Seolah-olahnya, orang kampung aku tidak mengundi pun.


Dulu-dulu, ketika aku masih kecil, poster kertas ditampal di pokok kelapa. Ia dipasang merata-rata. 


Sekarang ini poster kertas tidak berapa ada lagi. Ia diganti poster plastik. Tetapi tidak pula ia ditampal di pokok seperti dulu.


Ketika aku kecil, Tun Mahathir bertanding Parlimen. Aku masih ingat lagi, kami di bawa ke Bukit Kayu Hitam dengan lori untuk mendengar beliau memberi ceramah. Kami budak-budak hanya ingin bergembira. Boleh naik lori dan keluar dari kampung itu sudah satu rahmat. 'Cool' sekali.


Sekarang ini Tun tidak lagi bertanding. Yang ada Dato Johari Baharum. Seorang lagi Datuk Zaini. Yang kedua ini aku tidak berapa kenal. Tetapi aku kenal anaknya yang belajar di Adelaide.


Calon PAS dan PKR kedua-duanya aku tidak kenal. Orang baru atau orang luar aku tidak pasti. Aku tidak begitu ambil tahu.


Tengahari mengundi, aku pulang ke rumah untuk mengambil emak aku untuk dibawa ke tempat mengundi. Aku tidak merayu undi sepatah pun. Tidak juga bertanya siapa emak aku mengundi. Siap dia mengundi, aku bawa emak aku pulang ke rumah. Tidak juga bertanya siapa yang dia pangkah tadi. Biarlah ia menjadi rahsia yang 'cool'.

Perut terasa lapar. Aku ke kedai mamak seorang diri. Memesan nasi berlauk sotong dan ayam. 'Cool' rupanya makan di kedai mamak.

Pulang dari Changlun, terus tidur. 

Malam keputusan diumumkan, aku mula memerhatikan keputusan melalui telefon aku. Mungkin aku antara orang yang paling 'cool', sebab aku boleh tahu keputusan lebih awal. Orang kampung aku memang ada telefon. Tetapi tidak berapa ramai yang boleh menggogle seperti aku. Jam 3 pagi - aku mula tidur. 

Malam ini, di Stadium Kelana Jaya sedang ada protes perjalanan pilihanraya. Ia mungkin 'cool' bagi sesetengah orang, dan mungkin 'hot' bagi orang lain. Aku tidak tahu.


Selepas balik mengundi tempoh hari, abang aku beritahu dakwat di jarinya sudah bersih dibasuh dengan sabun Breeze. Aku tidak percaya. Aku mencubanya pula.


Memang bersih. Tidak ada sebintik warna dakwat yang kekal di kuku dan di celah kuku. Aku menyimpan gambarnya. 


Aku tidak pasti sama dakwat itu tidak berkualiti atau sabun itu sangat bertenaga.


Aku tidak memprotesnya. Tidak juga berkata apa-apa. 


Bagi aku - sesekali biarlah kita 'cool'. Kalau hendak berdebat tentang demokrasi dan pilihanraya, sampai kiamat pun tak akan selesai. Biarlah orang politik bertengkar.


Biarlah ia menjadi debat orang lain. Aku ingin menikmati perasaan 'cool' dan setenang nurani orang kampung aku.


Masih banyak perjuangan dalam diri aku sendiri yang tidak selesai.



Wednesday, 8 May 2013

Siri Analisis Politik 3 - Menguasai semula Kelantan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sila baca analisis sebelumnya

Nota: ketika artikel ini ditulis, saya mendapat berita bahawa bekas MB Kedah, Ust Azizan sedang koma di hospital. 


Kelantan sejak tahun 1990 dikuasai oleh PAS. Sudah 2 dekad berlalu, UMNO dan BN tetap gagal untuk memujuk pengundi Kelantan menyokong mereka. Banyak tekanan dilakukan, termasuklah isu royalti bagi melemahkan pentadbiran Kerajaan Negeri, tetapi nampaknya gagal. 

Setelah lebih 20 tahun BN gagal, adakah metod yang sama harus digunakan untuk memujuk rakyat Kelantan? 

Satu perkara utama dalam politik - pernah saya tulis di Kosmo ialah bagaimana kempen negatif akan lebih mudah mempengaruhi pengundi. Orang tidak begitu terpedaya dengan janji manis yang bakal ditawarkan, kerana manusia berpegang kepada apa yang ada sekarang. 

Secara teorinya, inilah yang dihujahkan dalam Social Exchange Theory (SET, Blau). Umumnya teori ini mendakwa bahawa orang akan membalas kebaikan apabila mereka diberikan kebaikan. Orang akan berkerja bersungguh-sungguh kalau ketuanya baik, kerana dengan membalas kebaikan mereka akan berasa puas. Sebaliknya, kejahatan akan dibalas dengan keburukan juga. 

Satu lagi konsep lain, boomerang effects - semakin ditekan, semakin melawan. Ia hal yang mudah sahaja untuk difahami. Tidak perlu diulas lebih panjang. Saya pernah menulis hal boomerang di blog ini lama dahulu.


Lebuhraya dan Royalti

Mungkinkah lebuhraya dan royalti antara senjata yang boleh digunakan oleh UMNO bagi menawan semula Kelantan.

Dengan begitu banyak sekatan, secara politiknya ia hanya memberikan gambaran buruk mengenai kerajaan BN (baca Pusat). Semua halangan ini akan dijadikan mentera untuk membusukkan lagi imej BN. Sekalipun mungkin PAS juga ada kekurangan di sana sini, tetapi dengan meletakkan semua beban ini di bahu Kerajaan Pusat, ia akan menyebabkan pengundi akan terus memilih PAS.

BN sendiri tidak mempunyai banyak modal untuk menjinakkan pengundi Kelantan. Sekalipun dijanjikan royalti bakal dikembalikan, atau ada pembangunan mega yang bakal dijalankan, sekali lagi - kempen negatif lebih mudah dipercayai. Jadi, kempen negatif mampu mematahkan segala janji positif.

Tidak kisah anda di sebelah mana, kempen negatif akan digunakan untuk menjatuhkan lawan. Kempen positif mengenai diri sendiri hanya sekadar penyedap rasa. 

Sebab itulah, Kerajaan Pusat perlu membuat pelaburan. 

Mungkin isu royalti bukanlah hal mudah untuk diselesaikan. Bagaimana pun, dengan membina lebuhraya baru menghubungkan Kelantan ke Terengganu atau Perak mungkin sudah cukup untuk memberitahu bahawa kerajaan Pusat bukanlah kerajaan yang menghukum. 

Mereka tetap membuat kebajikan sekalipun kepada mereka yang tidak memberikan sokongan.

Sekurang-kurangnya, ia bakal memberikan 'modal' kempen untuk BN di masa depan. Mereka ada sesuatu untuk ditonjolkan. 

Sekiranya BN tidak merangka mekanisma yang sesuai, selama-lamanya ia tidak bakal memulangkan Kelantan kepada mereka.

Bagaimana kalau strategi ini gagal?

Tidak mengapa. 

Kos yang digunakan untuk menawan semula Kelantan selama ini pun mungkin lebih banyak daripada membina lebuhraya baru. 

Keberanian memulangkan royalti kepada Kerajaan Negeri tentulah berisiko tinggi. Seperti biasa, politik ialah risiko, dan pulangannya juga tentu tinggi.

Jika tidak, PAS pula dengan kekuatan yang sedia ada, bakal terus menjadikan Kelantan sebagai sebuah kubu yang tidak bakal diterobos oleh sesiapa pun. BN tidak lebih dilihat sebagai parti yang hanya sekadar menabur janji manis.

Pada akhirnya, politik ialah persepsi manusia. Politik juga ialah kebaikan. Sesiapa yang mampu membawa kebaikan, merekalah yang terus berkuasa. Janji-janji kebaikan hanyalah konsep yang tidak kelihatan. Tetapi menzahirkan kebaikan itulah yang dinantikan oleh pengundi di era baru ini.

Berakhirlah siri Analisis Rumah Sudah Siap Pahat Baru Berbunyi.

Tuesday, 7 May 2013

Siri Analisis Politik 2: Parti tidak bakal menjadi entiti yang bermakna lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lanjutan dari Siri Analisis Politik 1

 

Manusia baru - keperluan baharu.

Tidak seperti corak pengundian politik di masa lalu, di mana kejayaan calon ditentukan oleh parti yang diwakilinya, kini nama parti mungkin tidak memberikan kesan besar lagi. Calon ternama boleh kalah di kubu kuatnya sendiri, sekalipun bertarung dengan orang muda sahaja. Malah, yang berjawatan menteri pun boleh tersungkur. Beberapa orang menteri dan 2 orang bekas menteri besar tewas dalam PRU-13 ini.

Walaupun dikatakan bahawa 'tsunami Cina' telah mengubah lanskap PRU-13 ini, aku tidak fikir begitu. Undi di Saluran 1 (yang merupakan pengundi warga emas), seolah-olahnya menggambarkan sekiranya mereka mengundi seorang calon dari parti A di peringkat DUN, mereka juga mungkin bakal mengundi parti A di peringkat Parlimen. Ia bagaimana pun tidak begitu terjadi Saluran 2 - yang rata-ratanya pengundi berusia 40-an. Mereka boleh memilih calon dari parti A di peringkat ADUN, tetapi calon dari parti B di peringkat Parlimen.

Ini bermakna, pengundi generasi baru ini telah memilih calon berbanding dengan parti. Mereka berfikir beberapa kali sebelum membuat keputusan. Mereka tidak lagi taksub tidak tentu arah kepada parti tertentu. Mereka mungkin mengharapkan parti tertentu memerintah negeri, tetapi mengharapkan parti lain menguasai kerajaan persekutuan.

Inilah yang selalu terjadi dalam pemilihan politik di Barat.

Pada masa depan, 10 atau 20 tahun lagi, aku jangkakan bahawa orang tidak lagi fanatik dengan parti. Mereka boleh mengundi sesiapa sahaja. Mereka boleh memilih parti yang mereka rasakan mampu memenuhi kehendak mereka. Mereka tidak lagi peduli dengan nostalgia lama, atau apa yang disirahkan kepada mereka.


Mengapa semua ini boleh berlaku?
 
Semua ini berlaku kerana golongan baru ini terdedah dengan pelbagai maklumat. Google dan YouTube telah mengubah proses mereka berfikir. Mereka mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding dengan calon yang cuba mempengaruhi mereka dengan data dan statistik.

Golongan ini juga mungkin tidak lagi bergantung kepada ceramah untuk mempengaruhi corak pengundian mereka. Sekarang ini pun, fungsi perayu undi kelihatannya tidak lagi penting bagi golongan muda. Perayu undi tidak perlu bercerita panjang tentang seseorang calon. Bagaimana pun, perayu undi mungkin mampu mempengaruhi warga tua yang tidak tahu bagaimana untuk bermain twitters dan facebook.

Perayu undi mungkin berperanan penting di kawasan luar bandar yang pengundinya kurang terdedah dengan Internet. Sebab itulah, banyak isu 'remeh temeh' seperti huru hara dan kacau bilau ini hanya dipercayai oleh orang kampung, tetapi tidak mereka yang tinggal di bandar, atau yang mempunyai pengetahuan. Golongan baru ini juga tidak ambil tahu sekalipun diberitahu bahawa subsidi mereka akan ditarik balik dan sebagainya. Mereka tidak lagi bertani.

Pertembungan Kelas

Kemungkinannya, pertarungan politik pada masa depan ialah di antara masyarakat bermaklumat dengan yang tidak. Masyarakat bermaklumat ini mungkin tidak memerlukan parti untuk menyokong agenda hidupnya. Kumpulan ini terdiri dari kelas pertengahan (middle class) yang merupakan lulusan universiti  yang bergaji lebih RM 5000 ke atas.

Golongan ini sekalipun ditawarkan dengan wang BR1M misalnya, mungkin tidak mengubah siapa yang bakal mereka undi. Ini kerana mereka ada keperluan wang yang memadai. Bagaimana pun, sekiranya mereka ditawarkan dengan penurunan cukai pendapatan, harga rumah yang lebih rendah, janji untuk mengurangkan tol atau membasmi jenayah, mereka mungkin berfikir semula.  Kebebasan akhbar mungkin tidak penting untuk orang kampung, tetapi sangat penting untuk kumpulan ini.

Mereka ini golongan baru yang berfikiran baru. Inilah yang dikatakan masyarakat berpengetahuan seperti yang dibincangkan oleh Peter Drucker lama dahulu.
 
Pada akhirnya, apabila orang sudah tidak lagi melayan 'kewujudan' parti, mereka tidak bakal menjadi ahli.  Mereka mungkin sekadar pengundi sahaja, dan boleh memilih sesiapa yang mereka suka, atau parti yang mereka rasa mampu membawa mimpi mereka pada satu-satu masa.

Pada waktu itu, parti politik perlu mengupah pakar promosi untuk membantu menjenamakan kempen politik seperti yang banyak terjadi di Barat. 

Malah sekarang ini pun, di kawasan bandar bendera parti tidak lagi dipasang oleh ahli parti, tetapi telah dikontrakkan kepada syarikat tertentu. Syarikat ini pula akan memasang bendera sesiapa sahaja yang mengupah mereka.

Bilik gerakan juga kosong di sesetengah kawasan, walaupun peratusan keluar mengundi tetaplah besar.

Bagaimana untuk menjinakkan golongan ini? Itu kerja ahli politik untuk berfikir.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails