Yang Ikut

Tuesday, 7 May 2013

Siri Analisis Politik 1: Rumah Sudah Siap Pahat Baru Berbunyi

Reactions: 
Tahniah kepada Barisan Nasional yang menang dalam politik era baru ini. Walaupun kemenangannya tidak besar, dan tidak mampu mendapat majoriti 2/3, tetapi itulah hakikat politik era moden. Di Australia beberapa tahun dulu, Parti Buruhnya perlu menunggu beberapa hari untuk membentuk kerajaan kerana jumlah perwakilannya tidak mencukupi di parlimen. Hanya setelah seorang calon parti bebas menyertainya, barulah kerajaan boleh dibentuk.

Bagaimanapun, tsunami politik kali ini kelihatannya berubah sama sekali. Ia dianggap 'tsunami Cina' yang menunjukkan pengundi Cina tidak lagi memilih BN dan MCA, sebaliknya memilih Pakatan Rakyat, khususnya DAP. Orang Melayu pula umumnya memilih untuk kembali kepada UMNO, kecuali di beberapa negeri dalam keadaan PAS mempunyai pengaruh.

Politik berdasarkan kaum ini dianggap oleh Perdana Menteri sebagai satu kebimbangan.

Mengapa orang Cina memilih DAP dan bukan MCA, dan mengapa orang Melayu kembali kepada UMNO khususnya di Kedah?

MCA sendiri sebenarnya tidak dilihat sebagai parti yang memiliki kesungguhan politik, apabila Presiden partinya tidak bertanding dalam pilihanraya. Jadi, apa diharapkan kepada MCA.

Bagaimana pun, kempen pilihanraya kali ini sangat ketara dengan sentimen perkauman. Di kawasan majoriti Melayu, isu 'huru-hara' telah menjadi modal meraih sokongan. Ia hal yang tidak patut berlaku. Sentimen anti Melayu pula dikatakan berlaku di kawasan pengundi Cina. Jadi apa bezanya?

Semua ini menjadikan politik berdasarkan polarisasi kaum ini telah menjadi satu trend baru politik Malaysia. 

Isu kalimah Allah, gereja, murtad dan 'kepala babi' telah menjadi isu dominan media arus perdana sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia dibungkuskan dengan cara penulisan politik perkauman yang cukup tidak menyenangkan bagi mereka yang berfikir. Terbaru, , Utusan menyiarkan tajuk utama "Apa Lagi Cina Mahu?".

Ia sepatutnya bukan lagi satu cara pemberitaan di zaman maklumat ini. Ia bakal menjauhkan lagi pengundi Cina dengan parti pemeintah. Ia juga bakal merenggangkan hubungan harmoni sesama kaum. Ia sepatutnya ditulis 'Kemahuan orang Cina akan dilihat semula'

Dengan menukar beberapa patah kata, ia bakal mengubah cara orang melihat dan membaca. Bayangkan kalau suratkhabar Cina pula menulis dengan tajuk yang sama. Bukankah ia akan memburukkan lagi keadaan?

Kewujudan NGO yang mempopularkan ultra Melayu pula menyumbangkan kepada trend perkauman baru. Di kalangan bukan Melayu, mereka juga ada NGO mereka sendiri, yang banyaknya berkisar dengan pendidikan orang Cina. Mereka ini juga memainkan peranan dalam pembentukan politik perkauman.

Kerana kewujudan NGO ini ada pengaruhnya, ia dihimpit pula oleh pemain politik. Tatkala NGO Melayu dikaitkan dengan pemerintah, parti pembangkang pula mendekatkan diri dengan NGO berasaskan etnik Cina.

Sesekali, akan ada berita rusuhan kaum yang kononnya dikatakan berlaku di sana sini. Ia mungkin tidak terjadi secara nyata, tetapi khabar angin liar ini tersebar melalui sms. Misalnya, setahun lalu ada berita kononnya pemuda India bertelagah dengan kumpulan pemuda Melayu di Taiping. Ia mungkin tidak terjadi pun. Tetapi, pesanan sms menakutkan orang ramai.

Inilah yang terjadi beberapa tahun terakhir ini. Akhirnya membentuklah dua blok pengundian. Orang Cina bersimpati kepada parti yang didominasi kaum Cina, dan orang Melayu mula menunjukkan sokongan semula kepada UMNO. 

Bersambung siri selanjutnya -  
Parti tidak bakal menjadi entiti yang bermakna lagi.
Bagaimana UMNO boleh meraih sokongan rakyat Kelantan dan Selangor

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails