Yang Ikut

Wednesday, 13 November 2013

Ini lelaki paling bergaya!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

# Maaf gambar tidak berapa jelas. Foto ehsan Dr Salmi.


Tidak mudah melihat gambar aku memakai blazer. Seperti tidak mudah melihat gambar aku memakai tali leher. Aku memakai juga sebab pagi itu ketika di USM hujan turun, jadi cuaca agak sejuk. Aku tidak pasti mereka teruja atau terkejut dengan imej korporat aku, atau terkejut dengan imej 'bergaya' aku. Tetapi seperti biasa, aku juga tidaklah kisah sangat. Yang pasti, kawan baik aku di Adelaide, bekas kelasi kapal yang sudah berusia sangat tidak suka dengan imej aku yang ini.

Dia selalu ketawakan aku.

Ini acara klasik dan normal setelah habis majlis, walaupun realitinya aku tidaklah kisah sangat diberi atau tidak cenderahati. Aku juga tidaklah kisah sangat dibayar atau tidak. 

Itu ialah gambar Dr Salmi. Terima kasih menjemput. Lain kali jemput lagi untuk acara lain pula.

Tuesday, 12 November 2013

Update sibuk

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hidup ini sibuk.

15 Nov - Meeting
18 Nov - Meeting
19 Nov - Terlibat sebagai panel hakim UM Researcher's Conference
21 Nov - Bengkel AMOS di UM, anjuran MPWS
25 Nov - Meeting
27-29 Nov - Asia Pacific Psychosocial Risk Factors at Work - Bangkok
21 Disember - Seminar Jom Hebat Pascasiswazah

Begitulah dunia kerja. Tanpa mengira bidang. Sama sahaja sibuk dan penatnya.




Monday, 11 November 2013

Antara seronok, puas dan gila

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dr Salmi minta aku tuliskan apakah bezanya di antara kepuasan kerja dan keseronokan kerja.

Dari segi maknanya, kelihatannya sama. Hakikatnya tidak.

Sesetengah orang berkerja, dia berasa puas. Dia berasa seperti senang dengan apa yang dilakukan. Ia mungkin dihadapi oleh kebanyakan orang. Kita merasa selesa dengan pekerjaan kita. Kita merasa suka dengan apa yang kita lakukan. Tetapi, ia habis di situ sahaja.

Bagaimana pun, ada pula sesetengah orang yang berasa sangat asyik dengan kerjanya. Ia berasa seolah-olah kerja ini sesuatu yang dianggap sebagai hobi. Ia seolah-olahnya kalau tidak dibayar gaji pun tidak mengapa. Ia merasa fikiran mereka melekat bersama-sama dengan pekerjaan tadi. Bayangannya begini. Pelukis jalanan yang melukis tanpa mempedulikan manusia yang lalu lalang di sekeliling mereka. Tahap ini tidak mempedulikan lagi sama ada lukisan mereka dibeli atau tidak. Mereka tenggelam bersama kerja mereka. Inilah dikatakan keseronokan. Dalam psikologi, istilah adalah merujuk kepada 'job engagement' dan juga 'flow'. 

Bagaimana pun, ada satu lagi kategori - kegilaan kerja. Ini adalah perkara yang bahaya. Mereka ini suka hidup dengan berkerja, kuat bekerja. Mereka mungkin tidaklah suka pun dengan sifat pekerjaan mereka, tetapi mereka ini suka menghabiskan masa dengan berkerja. Adakalanya pekerjaan mereka sengaja ditangguhkan bagi membolehkan mereka terus berkerja hingga ke malam (ini bukanlah bermakna mereka ingin mendapatkan overtime dan sebagainya). Mereka ini dalam kategori ketagih untuk berkerja tanpa henti. Dalam psikologinya, kategori ini dikaitkan dengan workaholics. 

Bagaimana pun, kegilaan kerja ini bahaya. Ia sering dikaitkan dengan tekanan, serangan jantung, dan bermacam-macam penyakit. 

Aku dalam kategori mana?

Tidak ada satu pun di atas.  


Sunday, 10 November 2013

Misi pasembor yang gagal

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Misi aku mencari pasembor tidak gagal. Yang aku gagal ialah bertemu pasembor terbaik. Ia sepatutnya ada di Padang Kota.

Tetapi tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku bertemu dengan perkara lain yang lebih indah daripada pasembor.  Padang Kota terakhir sekali aku sampai ketika rombongan sekolah rendah dahulu. Lama sungguh. Itu zaman datang rombongan bawa wang RM 5 dalam poket, nasi bekal dalam 'sia' bertingkat dan sebiji buah limau untuk mengelak muntah naik feri. 


Menjejak ke Padang Kota Lama.  Ia mengembalikan ingatan ke Adelaide. Pulau Pinang ialah kota kembar dengan Adelaide.  Kononnya dibuka oleh Francis Light. Walaupun Pulau Pinang ujud sebelum manusia Inggeris itu memperdaya orang kita. Banyak binaan silamnya sama dengan apa yang ada di Adelaide.  



Kalau anda ke Adelaide, sosok manusia ini selalu dilihat. Dia adalah penjajah yang sama dan orang yang sama. Bezanya di sana mereka membawa orang putih untuk hidup dan membuka kota. Menjadikan Adelaide tidak dianggap sebagai dijajah.

Aku singgah di kubu lama ini. Ia markas tentera. Hebat waktu itu pun sudah ada teknologi seperti itu. Bayangkan dengan tombak, keris dan parang bagaimana kita boleh menang. Bagi menyedapkan cerita, kita membuat dongeng. Dongeng kebal dan ghaib. Kononnya keris kita ini ada sakti. Nasib baik tinggalan sejarah kita mampu bercerita. Kalau tidak, sampai sekarang kita masih percaya hal pelik dan ajaib.


Friday, 8 November 2013

From Ferenggi with love

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik


Ini gambar Batu Ferenggi dari atas hotel. Aku tidak berminat dengan air laut atau air kolam walaupun semasa kecil aku banyak menghabiskan masa di sungai. Pagi tadi aku ke USM. Aku mengajar hal penyelidikan. Juga hal menulis. Ia sepertinya mudah. Tetapi payah. Tidak pasti apa respons peserta. Terima kasih Dr Salmi kerana menjemput. Dr Salmi seorang bloggers. Opp. Jangan beritahu orang.

Lain kali aku datang lagi. Kita bercakap hal HLM.

Malam ini bercakap lagi. Malam ini hal lain. Hal kerja. Hal kerja. Hal kerja.

Aku pun bosan berkerja. Tapi aku lagi bosan kalau tidak berkerja.

Laksa Abang Ali Tanjung Bunga

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah agak lama aku tak memijak Tanjung. Paling akhir bulan Mac dulu. Tapi waktu itu aku sempat singgah bermalam di hotel untuk beberapa jam. Kali ini aku datang lagi. Tidur di Flamingo di Batu Ferenggi. Dulu-dulu tahun 1980an kami terpaksa menghimpun wang berbulan-bulan untuk sampai ke Batu Ferenggi yang masyur ini. Itupun naik rombongan bas sekolah.



Itu zaman paling indah. Malamnya singgah tapak pesta. Itu zaman Yuna dan Najwa Latif belum lahir lagi. Itu zaman Sudirman. Terakhir aku ke pesta entah bila. Sekarang sudah terlanjut usia.



Malam ini aku makan di warung Laksa Meletop dii Tanjung Bunga. Inilah laksa terbaik. Aku tidak tipu. Aku makan dua mangkuk malam ini. Aku seorang pemakan laksa. Tetapi biasanya aku memilih tidak makan kalau aku lihat kuahnya 'cair' dan 'ceroi'. Aku boleh menjadi hakim laksa. Aku tahu segala rasa yang ada dalamnya. Aku cukup pantang makan laksa yang berbau belacan dan tidak ada bunga kantan. Tapi bunga pudina aku tak menyukainya.



Tauke laksa ini bernama Abang Ali. Sebelahnya ini mungkin isterinya. Mata aku tertutup pula. Menjadikan Abang Ali lebih macho dari aku. Mereka berdua inilah tauke laksa terbaik ini. Dua mangkuk laksa cuma RM 7. Aku bayar RM10. Bukan sebab aku kaya. Aku menghargai rasa sedapnya.

Esok aku akan mencari pasembor dan char koew teaw pula.Harapnya ada awek seksi yang menjualnya!

Thursday, 7 November 2013

Anak muda Metropolitan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau anda datang ke kampung saya, di pinggir pekan Changlun anda akan berasa kagum. Anda kagum kerana kampung saya disediakan pondok RELA yang cantik di pintu masuk kampung.

Anda kagum dan teruja kerana yang menjaga pondok itu bukan RELA, tetapi sukarelawan anak-anak muda.

Mereka akan memerhatikan kereta yang masuk dengan mata yang tajam. Renungan mereka menakutkan. Mereka tidak menggangu anda. Tetapi mereka berdiri dan memarkir motosikal di bucu jalan yang menghalang kereta lalu lalang. Bagusnya, mereka ini berjaga di pondok ini siang dan malam. Kadang-kadang ramai, kadang-kadang sedikit.

Sukarelawan ini bukan makhluk biasa. Mereka anak kampung yang berjiwa metropolitan.  Mereka mungkin tidak tahu pun kewujudan album Kings of Metal oleh Manowar. Tidak juga mungkin tahu adanya kumpulan bernama Black Sabbath atau Iron Maiden.  Saya tidak kisah anak muda berjiwa metropolitan ini tidak tahu lagu Barat yang berat itu. Mereka juga mungkin tidak tahu adanya ulama bernama Tok Kenali atau Syeikh Abdul Samad Palembang. Tidak mengapa. Mereka warga kosmopolitan yang lahir dan hidup di kampung saya.

Mereka mungkin tidak pernah menjejak kaki ke Kuala Lumpur juga. Itu hebatnya mereka. Anak kampung berjiwa metropolitan dan kelihatan black metal ini.

Siapa mereka ini? Hebat dan kalis dari pelbagai anasir buruk barat yang jijik itu.

Mereka ini adalah penagih ice. Hidup mereka tidak menjiwai makna anak kampung. Pada zaman saya muda dulu, tahun 1990an, penagih heroin biasanya berasa malu dan mereka menagih di hutan belukar atau hujung kampung. Mereka tidak berdiri atau melepak di pintu masuk kampung. Mereka malu kerana anak muda kampung waktu itu masih jitu jiwa kampungnya.

Sekarang ini berbeza. Kalaupun bukan 100 peratus, 70 peratus daripada anak muda ini ialah penagih ice tegar. Mereka menjadikan pondok RELA itu Chow Kit baru. Mereka lebih teruk gaya hidupnya daripada pemuzik Inggeris. Mereka tidak berkerja. Tidak bernyanyi. Tidak menari. Tidak melakukan apa-apa.

Ibu bapa mereka tidak kisahkah?

Ibu bapa mereka sangka inilah nilai metropolitan.  Hakikatnya bukan. Ini nilai anak muda kampung yang tidak ada kelas. Ia nilai yang tidak ada nilai. Ia nilai batang kayu reput yang menunggu mati.

Tuesday, 5 November 2013

Dunia blog tak seindah dulu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lima atau enam tahun dulu, dunia blog baru muncul. Belum ada twitter. Facebook mungkin masih baru. Aku mula menulis di blog (bukan blogspot) ketika aku berkerja sebagai pembancuh teh tarik. Apabila ke Adelaide aku mula menulis di blogspot. Tidak aku kisah sangat kalau ada yang mahu membaca atau tidak. Ia sekadar hobi.

Lima atau enam tahun sudah berlalu. Aku masih tetap menulis. Tapi kini aku tulis hal yang biasa sahaja. Otak aku disibukkan dengan menulis pelbagai hal. Akademik, suratkhabar dan blog. Aku juga disibukkan dengan pelbagai kerja. Mengajar, menyelia pelajar, memberikan bengkel dan terkini mengadakan kursus organisasi. Aku tidak pasti aku semakin tamak kerja atau tamak harta. Aku tidak ada harta. Akaun di bank juga seperti orang lain juga. Cukup untuk makan sebulan.

Kesibukan itu menjadikan FakirFikir tidak seaktif dulu.

Tapi aku bersyukur aku mempunyai ramai kenalan melalui blog. Biasanya mereka ini manusia educated, pelajar universiti dan bukan orang jahat. Aku tidak menulis hal lucah untuk meningkatkan jumlah pembaca. Sesekali aku tidak akan melakukan copy and paste maklumat daripada orang lain, atau daripada website orang lain. Aku menulis berdasarkan pengetahuan aku sendiri. Aku tidak akan cuba meniru gaya orang lain.

Menulis blog ini menjadikan aku seperti orang muda. Aku cuba menulis bahasa orang muda walaupun aku sudah mendekati alam kubur. Menulis menjadikan aku tidak lupa. Ia merakamkan diari hidup aku. Menulis menjadikan aku berfikir, walaupun tidak sejernih mana.

Kini blog semakin tidak seindah dulu. Orang beralih kepada medium lain. Tapi generasi kami, seperti Krenmaut atau Mulan adalah warga manusia lama yang mungkin terus menggunakan blog. Ia mungkin tidak selaris dulu. Tapi itulah yang terbaik.

Teruskan membaca. Jangan juga lupa membaca Kosmo! Jumaat ini. Aku kembali menulis kolum sejak beberapa bulan ini kehilangan ilham dan rangsangan minda.

Saturday, 2 November 2013

Makna kaya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Awah kenapa awah ada duit? Dari mana duit tu datang? Tanya anak.

Sebab ayah kerja. Jawabku.

Man, ayah kaya tak? Tanyaku.

Kaya. Sebab hari-hari ayah beri duit. Jawab anak.

#Kalaulah anak kita tahu.



Kelas menulis muncul lagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam aku mulakan balik apa yang aku mulakan dulu. Selepas dilanda sibuk dan pelbagai isu, aku hentikan kelas menulis mingguan.

Seperti biasa, kelas ini kecil sahaja.

Ada beberapa muka baru.


Ini Ainishamsi. Sekarang belajar di New Zealand. Seorang yang genius. Anda juga boleh datang.

Setiap Jumaat 2 minggu sekali, 2.30 - 5 petang.

Mengapa Jumaat petang? Tanya pelajar.  Pahala banyak hari Jumaat aku jawab. Mengapa petang dan bukan pagi? Hanya mereka yang kuat sahaja yang sanggup datang petang.

Selamat datang ke kelas seni menulis. Ia penulisan akademik. Bukannya menulis hal seni.








Bila kota ini kian meresahkan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Menyaksikan manusia berhimpun di dataran di depan masjid Putrajaya ini adalah gambaran cerita betapa manusia kota sedang kepenatan. Ia menjadi pot baru orang penat berkerja,  sesak berhutang dan resah rumah tangga.  Ia tempat baru orang duduk menyantai. Di hujungnya, di celah-celah pohon ada pasangan sedang memadu kasih.

Biarkanlah.


Ini bukan masa kita berdakwah. Dosa sendiri sudah bertimbun. Sama banyaknya dengan sampah dan lendir orang kota yang menabung nista. Setiap orang ada ceritanya. Baik puji, baik keji tutuplah sendiri. Hidup orang kota kita sendiri-sendiri. Malamnya di disko, siangnya bersongkok dan berbaju batik. Ini cara baru orang kita.

Hidup di kota ini memang penat. Harga barang mendadak naik. Harga diri mendadak jatuh.

Kota ini kota resah. Kota lelah. Kota hutang.

Bukalah bajumu. Lihat berapa bilah tulangmu yang sudah boleh dibilang?

Tuesday, 29 October 2013

Workshop penulisan proposal

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masa: 2pm-5pm
Hari: Khamis 31 Oct 2013
Tempat: Jab Antropologi dan Sosiologi, Fak Sastera dan Sains Sosial, UM.
Yuran: RM 10.
NOTA: Bayaran anda akan digunakan untuk membeli meja dan peralatan bagi kegunaan bilik pelajar siswazah.
Pengajar: FakirFikir.
Maksimum tempat: 10 ke 12 orang.
Bergantung first come,  first serve.
Booking: Contact pieza2804@yahoo.com

Sunday, 27 October 2013

Aku hanya budak kampung

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau orang bertanya aku, apakah impian aku yang paling besar. Akan aku katakan, aku mahu pulang ke masa silam. Aku mahu pulang ke alam anak kampung. Walaupun susah, tetapi indah.

Tahun 1980-an, usia aku baru belasan tahun. Tapi ia tahun yang penuh nikmat. Aku belajar dengan banyak hal. Merasa megah berbuat jahat. Bagaimana pun, ia tidaklah sejahat dalam erti kata yang sebenarnya. Ia hanya nakal sahaja. Aku, Umar, Bento dan beberapa orang lagi, mula belajar merokok. Kami berbasikal di dalam gelap - seingat aku tahun 1986 sambil menyalakan api rokok. Ia hidup yang penuh nikmat. Ia nikmat kerana merokok dianggap sesuatu yang hebat. Aku baru berusia 14 tahun waktu itu.

Di usia itu jugalah, kami menyusur hutan di hujung kampung. Misinya mudah sahaja. Kami bawakan tin susu, lighter, telur ayam dan beberapa bungkus maggi. Di sanalah kami memasak maggi. Kami jadikan ranting kayu sebagai kayu api. Sesekali kami singgah di sebuah dangau di hujung sungai. Ia menjadi destinasi kami memasak.

Ia usia yang terindah. Maggi boleh dimasak di rumah. Tetapi meneroka hutan itulah keindahan. Makan maggi di celah pokok kayu dan rimba itulah keindahan.  Sesekali kami terjun ke sungai. Usah bimbang. Sesekali kami berpakaian, sesekali berbogel. Ia cerita biasa anak kampung. Lintah dan pacat tidak sedikit pun menakutkan. Kaki luka dan calar hal biasa sahaja. Lalu kami nyalakan rokok dan bercerita. Ia alam antara kanak-kanak dan merasa dewasa.

Menjelang malam, sesekali kami juga belajar kitab. Waktu itu, kami tidak ambil tahu apa kitab yang diajar pun. Kami hanya mendengar sahaja. Merata juga kami pergi. Tetapi tidaklah selalu, cuma sesekali. Setelah dewasa, barulah aku tahu bahawa antara kitab itu termasuklah yang terkenal - Munyatul Musolli, Sobian, Faridatul Faraid dan bermacam lagi. Baru juga aku tahu bahawa ustaz yang mengajar itu bukan kecil anak. Sayang. Kini sudah terlalu tua untuk tahu bahawa kalaulah yang dulu itu adalah  hal yang sangat berharga.

Menjerat pelanduk juga hal yang pernah aku lakukan. Sayang, walaupun dua hari berturut-turut kami memeriksa jerat, tidak ada seekor pun yang dapat. Hari berikutnya kami tidak memeriksanya. Hari keempatnya, pelanduk sudah mati.

Semua ini hanyalah nostalgia anak kampung. Aku sudah lama menjadi orang bandar. Sudah puluhan tahun tinggal di Kuala Lumpur.

Setiap kali pulang, aku akan menjejak kembali tapak perjalanan dulu. Walaupun banyak yang telah berubah, tetapi ingatan lama itulah menjadikan aku tetap anak kampung dan old school.

Aku tetap pekat berbahasa Kedah. Aku tidak tahu berbahasa Kuala Lumpur. Aku masih bercakap Thai. Aku masih anak kampung walaupun aku tidak tahu menoreh dan membendang.

Aku rasa, aku patut menjadi aku juga.

Teori, statistik dan segala macam korpus akademia hanyalah dongeng sahaja. Budak kampung itulah aku yang sebenarnya.


Saturday, 26 October 2013

Reject orang memang mengasyikkan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Yulita, salah seorang pelajar aku baru sahaja selesai tugasnya menilai satu makalah jurnal ISI.

Aku tanya dia apa yang dia beri.

Dia jawab - Reject!

Oh. Teruk dan brutal juga budak ini. Kata aku dalam hati.

#Aku suruh mereka siapkan journal, mereka kata busy. Busy berjalan rupanya.


Add caption

Rombongan meminang dari Thailand

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik


Khamis lalu, aku didatangi 12 tetamu dari selatan Thailand dan juga dari Bangkok. Misi mereka ialah untuk mendapatkan maklumat mengenai pengajian di UM. Cara mereka datang sepertinya mahu meminang aku. Seperti biasa, aku selalunya bersedia dengan hal seumpama ini.

Mereka bukanlah kenalan aku, atau saudara mara aku. Mereka ialah kaum kerabat seorang pelajar aku. Tetapi, kerana aku ada sedikit pengetahuan berbahasa Thai, aku diminta untuk melayan mereka. Aku juga perlu menjadi translator untuk rombongan ini.

Kebanyakan mereka ini dari Khuan Don dan Kampung Bukit, Satun. Ia tempat kajian sarjana muda aku pada tahun 1994 dulu. Sudah 20 tahun.

Antara rombongan ini ialah dua orang doktor wanita yang masih lagi bujang, muda dan lawa. Aku tak berkesempatan bermain mata dengan mereka kerana ada ayah dan emak mereka bersama. Takut nanti aku diculik dan dipaksa kahwin. Ia hal yang sangat aku takuti sejak dari dulu lagi!

Cumanya mereka terkejut melihat bahasa Thai aku yang sama sifatnya dengan bahasa mereka. Mereka katakan bahawa ia bahasa asli yang dituturkan orang-orang tua di kampung mereka - Phasa khun naan. Khuan Don ini letaknya bersebelahan dengan Perlis, dan anda akan menemui bandar ini dahulu sekiranya anda masuk mengikuti Wang Kelian. Jaraknya kira-kira 20 km dari sempadan.

Apa khabar doktor? Yang mana doktor muda ini, biarlah ia menjadi rahsia.

Thursday, 24 October 2013

Tunggu aku Dr Salmi!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku dijemput oleh teman lama aku, Dr Salmi bagi bercakap hal penyelidikan dan penulisan di USM pada 8 November nanti. Beliau juga seperti aku, sama-sama belajar di luar negeri dan menulis sedikit sebanyak di blog.

Cumanya beliau di UK, dan aku di Adelaide.

Seingat aku, tahun 2009 aku mula mengenal dengan wanita ini. Beliau mengirimkan email meminta bantuan berkaitan penyelidikannya. Masa itu kami masih lagi bergelar pelajar PhD.

Kami lama-lama sekali berhubung bagi hal penyelidikan.

Bagaimana pun, aku tidak pernah tahu siapakah wanita ini. Aku tidak pernah berjumpa dengannya. Tidak pernah berselisih atau terserempak di jalan.

Beliau mungkin anak raja di Pulau Pinang, atau mungkin juga anak mami. Semuanya tidak pernah aku ketahui dengan jelas. Aku cuma tahu beliau seorang pensyarah di USM, sudah berumahtangga dan anak-anaknya sudah besar.

Umurnya mungkin muda daripada aku.

Bagaimana pun, ia tidak begitu penting sangat untuk aku ketahui.

Hidup kami dalam dunia akademik hanya bergantung kepada nama yang boleh dicited dalam manuskrip. Tidak penting sama ada kenal atau tidak. Tidak penting kurus atau gemuk. Tidak juga penting apa warna kulit dan kewarganegaraan.

Bulan Mac yang lalu, aku sepatutnya ke USM. Tetapi perancangan terbatal kerana aku ada hal kecemasan.

Kini, kami merancang lagi.

Tujuan utamanya bukanlah untuk bertemu dengan Dr Salmi ini. Ia hanya tajuk kecil sahaja. Tujuan utamanya ialah untuk aku bercakap dalam komuniti akademik.

Tunggu aku Dr Salmi.

Harap dia tidak terkejut melihat aku.

*Nota. Untuk memeriahkan komuniti akademik, bolehlah follow blog Dr Salmi.

Wednesday, 23 October 2013

Selamat datang ke dunia kami

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa bulan lalu, aku bertemu novelis muda, Ummu Hani yang terkenal itu. Cuma aku tidak mengenalinya.

Tadi petang, selesai menjadi moderator untuk persidangan di universiti aku, aku terserempak pula dengan kartunis Leen Mafea. Aku tidak tahu mengenai kewujudan kartunis wanita lain, selain Cabai. Aku hanya membaca majalah Gila-Gila pada era Zainal Buang Hussien, Jaafar Taib dan Azman Yusof. Kemudiannya datang pula era penulis baru, Ujang. Itu tahun 1980-an dan awal 1990-an.


Era kemudiannya, aku masih membaca sedikit sebanyak majalah Ujang dan Apo. Sekitar pertengahan 1990-an. Tapi, aku tidak tahu mengapa aku kemudiannya tidak lagi membaca buku komik. Karya yang menjadi kegilaan waktu itu mungkin Hidup Dalam Blues - karya Aie.

Kini, aku tidak lagi tahu mengenai kewujudan kartunis baru, termasuklah Leen Mafea ini. Beliau bukanlah semata-mata kartunis, tetapi juga pensyarah di UiTM. Aku tidak tahu bukanlah kerana  beliau tidak terkenal. Tetapi aku tidak lagi mengambil tahu banyak hal komik sejak sekian lama.

Selamat datang Leen Mafea ke dunia kami. Dunia PhD. Dunia serba keliru.

Dunia ini lebih gila dari dunia kartunis!



Monday, 21 October 2013

Psikologi dan pekerjaan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Esok saya di Kosmo, bercakap tentang psikologi dan pekerjaan.

Saya masih tidak tahu apa yang patut saya kongsikan. Mungkin ada beberapa perkara yang ada dalam fikiran saya sekarang. Biasanya, ia hanya datang apabila saya berada di hadapan audience.

Mutakhir ini, bercakap hal psikologi telah menjadi hal baru dalam hidup saya. Selalunya, saya lebih banyak bercakap mengenai statistik psikologi, dan bukan hal psikologi.

Bulan hadapan saya akan ke Pulau Pinang, bercakap hal psikologi pekerjaan juga untuk kakitangan sebuah syarikat swasta.

Saya tidak begitu tahu sama ada ia hal yang kian menarik atau tidak. Tetapi, tentulah ia hal yang baru untuk saya. 

Hujung bulan depan juga saya akan ke Thailand. Sekiranya ada peluang, saya mungkin ke London tahun hadapan. Ini hal akademik.

Kerja dan psikologi adalah dua hal yang berbeza, tetapi bercantum di dalamnya.




Friday, 11 October 2013

Mimpi yang indah

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah hampir dua bulan emak pulang ke Rahmatullah.

Saya mengingati beliau seolah-olah beliau masih ada.  Saya juga bersiap untuk pulang ke kampung seolah-olah emak menunggu. Saya masih tidak mampu melupakan ibu saya. Bayangkan kalau saya yang sudah berusia 41 tahun masih rindukan emak saya seperti anak kecil, bagaimana agaknya anak kecil yang kehilangan ibu bapa.

Seminggu lalu saya bermimpi. Emak saya pulang ke rumah. Dia berjalan dari arah telaga bersama dengan kakak saya. Emak berdiri di kanan dan kakak di kiri. Dalam mimpi, saya terkejut kerana saya tahu emak saya sudah tiada. Saya rasa serba salah untuk bersalam atau tidak kerana emak saya bukan hadir sebagai manusia yang masih bernyawa. Tetapi saya meluru juga ke arah emak dan memeluknya. Saya meminta maaf kepada emak kalau ada salah silap. Emak tidak bercakap. Dalam mimpi itu, saya dengar emak berkata daripada hatinya. Mengapa pula meminta maaf. Tidak ada apa pun yang perlu dimaafkan.

Saya tanya mengapa emak pulang.  Dia menjawab dari hatinya juga. Dia berkata apa salahnya. Ini rumahnya.

Semalam saya bermimpi lagi.

Emak sedang menanti sakratul maut. Tetapi dalam mimpi ini dia tidur di atas ribaan saya. Sambil tersenyum dan mencium dahi saya, emak menghabiskan usianya. Ia benar-benar di atas katil hospital tempat emak menghembuskan nafas terakhir dulu.

Saya ahli psikologi.

Kami tahu alam tidak sedar akan membawa kita dengan mimpi. Ia ingatan yang terpendam.

Mungkin sebab saya rindukan emak saya. Saya tidak kisahkan ia alam tidak sedar, terpendam atau apa sahaja. Saya tidak kisahkan semua itu.

Saya cuma tidak mampu melupakan emak saya. Saya tetap merinduinya.  Satu-satunya manusia yang saya percaya. Satu-satunya manusia yang tidak pernah berbohong. Tidak ada orang yang sejujurnya yang boleh saya ceritakan rahsia suka dan duka. Beliau tidak pernah mengecewakan baik susah atau senang.

Dan rasa rindu ini sangat menyakitkan.

Datanglah selalu dalam mimpi emak. Datanglah bawa ceritamu.

Selamat hari raya Aidilaldha.


Wednesday, 9 October 2013

Psikologi bangunan tinggi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi ini aku di Hospital Tampoi. Bercakap hal psikologi. Terima kasih Hairul Nizam, pembaca blog tegar yang menjemput aku. Aku belum bercakap lagi. Aku bercadang bercakap mengapa orang Asia banyak yang gila berbanding orang lain. Orang Asia banyak yang terjun bangunan dan bunuh diri.

Sesekali macam tak percaya. Terbaru di Malaysia kita ada kes sepasang suami isteri ingin bunuh diri. Tetapi anak dicampak dulu. Ia bukan dicampak sebab benci. Ia dicampak kerana kasih sayang. Anak patut mati dahulu barulah suami isteri boleh bunuh diri. Kalau suami isteri mati dulu, siapa bakal menjaga anak.

Cuma takdirnya berubah. Mereka ditahan polis sedangkan anaknya telah dijatuhkan. Tragis bukan?

Inilah simptom psikologi. Di Malaysia walaupun kes seperti ini kian teruk, tiada pula pertambahan jawatan ahli psikologi. Psikologi hanya diajar sebagai disiplin ilmu bukan untuk pekerjaan. Kita lebih utamakan bangunan yang tinggi. Jurutera lebih diutamakan. Siapa pula yang ambil tahu hal psikologi untuk membendung orang terjun dari bangunan tinggi?

Sebab itu aku ingin bercakap hal ini. Orang mungkin tidak suka.

Aku memang sentiasa serabut. Tetapi otak psikologi aku tidaklah seserabut fizikal aku.

Nanti petang aku update.

Saturday, 5 October 2013

AMOS di UPM

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik


Tadi di UPM aku bercakap tentang Structural Equation Modeling - AMOS.

Ramai peserta. 500 orang rasanya. Ia program dianjurkan oleh sebuah organisasi untuk pelajar pasca siwazah. Pembentangnya membentangkan perisian statistik berdasarkan kemahiran masing-masing. Kami diberi masa bercakap 1 jam 30 minit sahaja.

Di bawah pelajar PhD aku -  Yulita. Dia memainkan mouse. Aku bercakap.

Beliau baru sahaja dijemput untuk menjadi penilai jurnal di International Journal of Human Resources Management. Ia jurnal ISI. Pengalaman menarik untuk pelajar muda sepertinya. Ditangannya ada kuasa untuk menerima atau menolak makalah orang lain.

Besok ada lagi. Pelajar aku yang lain menggantikannya.


Friday, 4 October 2013

Hilang dan bertemu

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tatkala kita menemui sesuatu, pasti kita kehilangan sesuatu.

Tatkala kita kehilangan sesuatu, kita mungkin akan menemui sesuatu.

Mencari, hilang dan bertemu adalah perjalanan hidup manusia.

Sebelum akhirnya kita bertemu Tuhan.

Monday, 30 September 2013

Rokok, teh tarik dan mamak

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak aku dinasihatkan doktor untuk mengurangkan kolesterol,  aku sudah tidak lagi minum teh tarik. Pakar diet cuba menasihatkan aku pola pemakanan yang baik. Ternyata dia gagal. Dia bertanya aku, apa yang dimakan waktu pagi. Aku jawab secawan teh tarik kerana aku jarang makan pagi. Apa pula yang aku makan tengahari. Aku jawab aku hanya makan jam 5 petang. Aku jarang makan. Aku juga jarang makan malam.

Jadi tidak ada banyak nasihat yang boleh dia berikan selain kurangkan teh tarik.

Aku mula menggogle. Kelihatannya tabiat merokok aku dan kurang bersenam itulah puncanya kolestrol jahat aku tinggi. Aku tidak pernah bersenam sejak sekolah lagi. Aku hanya bersukan sampai tingkatan 5. Tapi aku juga tidak pernah berhenti merokok sejak itu.

Itulah ibu kolesterol aku.

Dua malam lalu aku berjumpa Dr OT di kedai mamak. Tapi aku cuma minum kopi O. Tadi berjumpa teman lama yang baru pulang dari Australia. Aku cuma minum teh o limau ais. Malam ini aku berjumpa pelajar aku di kedai mamak.

Kedai mamak telah tidak lagi memberahikan aku tanpa teh tarik.

Hidup aku mungkin bertambah teruk tanpa rokok.

Hidup aku mungkin bertambah meriah dengan berjogging.

Tapi aku tidak ada banyak masa.

Kedai mamak telah menyibukkan aku.

Hidup di kota ini berisiko untuk mati lebih muda.

Thursday, 26 September 2013

Bila anak bertanya mengenai Tuhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ayah kita boleh lukis tangan Tuhan tak?

Di mana nampak tangan Tuhan. Aku tanya balik.

Di Internet.

Oo jawabku.

Kalau kita boleh nampak tangan Tuhan, kita boleh tembak tak tangan Tuhan? Aku tanya balik.

Boleh. Kata anak.

Kalau macam tu, lekeh tak Tuhan? Aku bertanya.

Lekeh.

Kalau lekeh, itu bukan Tuhan. Mustahil Tuhan lekeh. Kalau kita boleh nampak, itu bukan Tuhan.

Tuhan bersifat agung dan hebat.

Ooo.



Wednesday, 25 September 2013

Kalau menulis blog semudah sms

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah lama tidak menulis.

Dulu-dulu aku pernah menulis, kalaulah menulis tesis semudah menulis blog  Kini aku patut menulis, kalaulah menulis blog semudah menaip sms

Sejak beberapa hari ini - sebulan ini - fikiran disibukkan dengan banyak hal. Bila pulang ke kampung, mengingatkan ikan puyu dan anak seluang, aku ke sungai memancing. Sayang suasana sudah berubah. Banyak yang berubah. Paling perit, tiada lagi emak bertanya berapa ekor ikan yang dapat  Tiada lagi emak yang tolong bersiang ikan  Paling teruk, tiada sesiapa di dalam rumah

Yang ada hanya kenangan. Memanglah semua orang akan pulang. Aku juga. Usia aku 41 tahun. Zaman dulu, aku rasakan umur 40 itu tua sungguh. Aku ketika itu berusia belasan tahun. Bagaimana agaknya orang lain melihat aku?

Hujung bulan 11 aku ke Thailand. Aku juga semakin sibuk dengan kehadiran pelajar PhD baru. Agak ramai. Sudah hampir mencecah 7 orang. Sibuk dengan kuliah. Sibuk dengan buku.

Sebulan dua dulu aku membuka Facebook. Aku kian rimas. Banyak tajuk dibualkan. Kelihatan seperti sangat tinggi perbahasannya. Hakikatnya menempek dan mempalit di sana sini. Akhirnya aku tutup. Diam.

Banyak yang sibukkan. Paling sibuk mencari salah orang.

Wednesday, 28 August 2013

Deria yang satu lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku kembali ke rutin biasa beberapa hari dulu.

Ada beberapa cerita yang tidak masuk akal. Ia tidak masuk ke akal bukan kerana ia tidak benar. Ia tidak masuk akal kerana logik akal kita tidak akan sampai ke tahap tertentu. Samalah seperti kita berfikir bagaimana pelbagai saluran frekuensi radio, televisyen dan telefon boleh ujud sedangkan kita tidak pernah melihatnya.

Seorang teman baik aku bercerita*. Ia kisah ketika dia masih remaja. Ia berlaku ketika dia dan abangku sedang mengajuk burung sintar di waktu malam. Burung sintar ini ialah burung hutan. Ia hanya boleh diajuk pada waktu malam kerana burung ini terbang malam, dan siangnya ia tidak terbang lagi. Sang pengajuknya akan mengajuk sampai ke Subuh kerana setelah siang, mereka akan mengharapkan burung sintar yang berlari di celah-celah belukar akan masuk ke perangkap.

Modus operandi ini tidaklah perlu akan ceritakan di sini. Ia bukan topik utama.

Ketika berehat mengajuk burung pada waktu dinihari, dia ternampak sinar kristal di bawah tikar tempat mereka duduk. Ia bercahaya cantik. Lalu diselaknya tikar tadi. Mereka melihat tembus ke dalam tanah yang berlapis-lapis. Dilihatnya ulat-ulat dan lipan bara sedang berjalan di dalam tanah itu. Mereka melihatnya berlapis demi lapis. Diselaknya lagi tikar tadi. Dilihatnya daun-daun kayu dan segala fosil yang ada di bawah tanah. Berlapis-lapis. Seolah-olahnya mereka tahu daun kayu yang baru mereput dan yang tertanam ribuan tahun dulu. Jarak kedalaman yang dilihat itu tidak bernoktah. Ia infiniti.

Setelah itu, mereka menutup tikar itu kembali dan menyambung ajukan burung.

Apa yang kita pelajari?

Hidup ini terlalu banyak misteri. Apa yang kita ketahui hanyalah apa yang mampu dijangkau oleh deria fikir dan rasa kita sahaja. Banyak dunia hakikat yang tersembunyi di balik tabir sana. 

Kita berkongsi ruang, tetapi kita tidak berkongsi dimensi penglihatan dan deria yang sama.

Beberapa hari sebelum emak pulang, aku seolah-olahnya sudah ada deria rasa itu. Aku sepertinya sangat tahu hayat emak tidak lama lagi. Gerak naluri aku memberikan aku isyaratnya. Aku sudah bersedih beberapa hari sebelum emak pulang. Walaupun emak tidaklah menunjukkan sakit atau tanda seumpamanya.

Aku membuat sedikit rennovation rumah. Seolah-olahnya deria rasa aku memberitahu ini mungkin sumbangan yang terakhir untuk emak.

Aku tidak tahu dari mana datangnya deria itu. Itulah intuisi.

Dalam istilah psikologinya, kognitif kita sudah memberitahu sesuatu. Bagaimana pun, deria emosi kita cuba menafikannya. Tatkala deria kognitif membawakan khabar negatif, deria emosi kita cuba berperangka baik. Kita tidak mahu menerima berita luka.

Sampai satu saat nanti anda menghadapinya, biarlah deria kognitif kita membuat keputusan. Deria emosi kita akan menyebabkan kita bakal terluka. 

Atau sebaliknya anda menggunakan upaya deria anda. Bergantung kepada sejauh mana anda berupaya menghadapi situasi yang bakal berlaku.

*Teman baik aku ialah seorang alim, bukan dikategorikan sebagai pembawa berita dusta, lulusan sebuah universiti tanahair.  

Monday, 26 August 2013

Cerita mak- 3

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika usia mak sudah menjangkau 79 tahun, daya ingatan mak masih seperti dulu. Dia tetap mampu mengingat banyak perkara. Malah, dia boleh mengingat tarikh lahir dan tahun peristiwa dengan baik. Aku mungkin ada kelebihan ini juga. Di kampung aku, bagi orang seusianya mak ialah salah seorang yang boleh membaca. Beliau juga tahu berita semasa termasuk kehidupan artis lebih baik daripada aku.

Banyak masa emak dihabiskan dengan aktiviti kampung. Beliau menanam beberapa jenis sayur di belakang rumah. Emak tidak makan sayur yang dijual di kedai. Tidak makan ayam daging dan daging import. Juga mandi air telaga. Setiap kali air bah, beliau pasti akan menahan tangkul di sungai. Dulu-dulu ketika masih kuat, emak juga menyerkap ikan di musim kemarau.

Kecuali menahan pukat, menjala dan meniruk ikan, emak mungkin tahu banyak kemahiran menangkap ikan. Sebahagian daripada kemahiran ini aku miliki. Cuma aku tidak boleh menghidu ikan haruan di sungai seperti emak. Emak tahu kalau-kalau ada ikan haruan di sungai yang cetek - biasanya di musim kemarau dengan mengesan hanyirnya. Ia kemahiran yang tak dimiliki banyak orang.

Dulu-dulu, kalau ada orang perlu dijamin di lokap, atau ada anak yang masuk universiti, ada yang minta tolong emak.

Cuma pada tahun 1996 bila aku masuk lokap, emak tidak tahu. Emak hanya tahu 3 bulan setelah itu.

Oh. Jangan salah sangka. Aku tidaklah sejahat itu. Aku dilokap 3 hari kerana disyaki nencuri motor tahun 1986. Ia kes di Kajang. Sedangkan tahun 1986 paling jauh aku boleh sampai hanya Alor Setar. Itu pun setahun sekali. Aku membeli motor yang pernah dicuri dan telah pun selesai kes di mahkamah. Masalahnya ialah data tidak diupdate. Jadi aku tetap ditangkap sebagai orang kena tuduh.

Mulanya aku cuba bersangka baik dengan hal teknikal seperti ini. Bagaimana pun pada tahun 2006 aku dilokapkan sekali lagi di Lokap Pudu. Kes yang lain pula. Jangan salah sangka. Aku tetap orang baik. Gayaku memang menjadikan aku selalu sebagai suspek.

Tidak mengapalah.

Orang lain keluar lokap masuk lokap. Aku masuk universiti keluar lokap. Tak mengapalah. Ia pelajaran baik untuk lulusan psikologi yang hanya mendengar Prison Study oleh Philip Zimbardo.

Emak pergi tidaklah meninggalkan harta yang banyak. Tetapi kami anak-anak mak boleh dikatakan sebagai antara yang tidak pernah bermusuhan. Kami sesama kami agak akrab.

Kalau dulu aku selalu telefon emak bertanya khabar. Kini aku tidak tahu siapa lagi yang patut aku telefon.

Apa khabar anda semua?


Wednesday, 21 August 2013

Cerita emak 2

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya sepanjang 10 tahun kebelakangan ini, aku tidak pernah padamkan telefon di waktu malam. Aku selalu bimbangkan kalau ada apa-apa berlaku pada mak, tidak ada orang boleh menghubungi aku.

Ketika abang aku pulang ke Rahmatullah tahun 2009, abang aku yang seorang lagi telefon. Ia jam 3 pagi. Beberapa bulan lepas, hal yang sama berlaku. Kakak aku yang sulung pula. Abang aku telefon. Waktu itu aku di hotel di Pulau Pinang. Sepatutnya aku ke USM untuk mengadakan bengkek. Abang aku telefon jam 2 pagi. Jadi telefon malam sudah menjadi trauma untuk aku.

Ketika aku di Adelaide emak selalu pesan, kalau pun dia pergi dahulu, aku tak payah balik. Dia faham. Ia bukan mudah. Aku bersyukur tidak ada yang mengejutkan berlaku terhadap mak.

Emak aku memang selalu uzur sejak muda lagi. Sesekali dia demam. Sesekali dia pening. Tetapi tidak ada penyakit serius. Cuma dia tidak boleh terkejut.

Cuma dia selalu pesan, kalau sepupu aku nak berkahwin, dia ada simpankan wang. Dia takut kalau dia diserang strok seperti orang lain. Sepupu aku seperti anak mak juga. Dia tinggal di rumah kami sejak kecil lagi. Rumah kami adalah rumahnya. Ada satu bilik dia di situ. 

Apa yang aku takutkan memang tidak berlaku kali ini. Tidak ada sesiapa di kalangan keluarga aky telefon tentang kepulangan mak. Sebaliknya akulah yang menelefon abang dan kakak aku dari dalam kereta. Itupun aku diberitahu doktor dalam perjalanan ke hospital. Aku yang memberitahu mereka emak sudah tiada. Aku terkejut. Tetapi aku kawal perasaan.

Aku memandu kereta begitu laju.

Ketika doktor telefon, emak masih ada. Dia beritahu emak sakit buah pinggang. Aku agak gembira. Sekurang-kurangnya tahu apa sakit mak. Mereka mahu bawa mak ke Alor Setar. 10 minit kemudiannya doktor telefon lagi. Waktu itu aku dalam perjalanan ke hospital.

Mereka beritahu jangan terkejut. Aku kata aku ok. Dia beritahu emak sudah tiada. Aku masih ok walaupun aku sebenarnya tidak begitu ok lagi.

Apa boleh aku buat?

Ketika aku menghantar mak, mak sudah sakit. Tetapi tidaklah pula tunjukkan tandanya. Atau aku tidak tahu tandanya. Emak selalu bertanya mengapa aku tak balik lagi. Sebab dia tahu proses menambah air perlukan beberapa jam.

Dua hari sebelum Aidilfitri aku bawa mak ke hospital. Mak suruh aku balik dahulu sementara dia tambah air.

Malam itu dalam perjalanan ke hospital emak masih bercerita.

Dia bercerita tentang dekatnya Jitra dari Changlun. Dalam 15 minit boleh sampai. Dulu-dulu Jitra sangat jauh. Abang aku yang belajar di Kodiang yang jauhnya tidak sampai 20 kilometer terpaksa berhenti sekolah

Ketika di hospital emak beritahu dia sakit kepala. Aku minta panadol daripada doktor. Aku menyuapkan panadol ke mulutnya. Dia minum seteguk air. Mak beritahu sejak dari dulu lagi dia hanya makan sebiji sahaja. Jadi sebiji lagi aku simpan dalam poket.

Itulah panadol terakhir mak. Aku simpan sampai sekarang.

Aku terlihat sepasang selipar biru mak ketika aku sampai. Ia terletak di hujung katil. Tapi emak sudah tidur buat selama-lamanya.

Selipar itu jadi milik aku sekarang. Aku mahu memakainya.

Dari sepi padang lapang kita datang. Di padang lapang yang sunyi kita kembali.

Bertemu kita nanti untuk bersama bermain di sana.

Satu perkara yang mak tak pernah tahu - mak saya seorang doktor sebenarnya. Tesis saya menang anugerah. Terima kasih mak.

Sunday, 18 August 2013

Cerita emak 1

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Suatu hari, ketika aku balik mencari ikan di bendang, aku singgah sebuah kampung tinggal. Aku terjerempak dengan pohon cabai. Lalu dipetiknya aku sebiji demi sebiji. Sampai di rumah, emak aku tidak menghargainya sedikit pun. Dimintanya aku pulangkan cabai itu ke perdunya.

Kalau aku tersasul lagi, siapa pula yang akan menegurnya.

Setiap malam, aku biasanya pulang lewat malam. Biasanya emak akan bangun dan akan membuka pintu. Adakalanya dia menyelitkan kunci di bawah pintu. Jadi aku menariknya. Kini kalau aku pulang, siapa yang akan bukakan pintu?

Emak tidak pernah marah. Suaranya perlahan sahaja. Dia suka bercerita. Termasuklah cerita suatu hari, semasa dia masih kecil. Ada seorang tua membawakan panah. Orang tua itu memintanya ke tepi. 

Tidak lama, tiba-tiba dia terdengar bunyi halilintar. Siapakah orang tua tadi? Dia juga tidak tahu. Orang tua tadi telah hilang.

Emak seorang pencari ikan yang terkenal. Dialah yang mengajarkan aku menangkap ikan puyu yang tidur di celah tapak kaki atau selut di dalam sungai. Kita perlu merabanya perlahan-lahan.

Ketika kecil aku selalu mengikut emak mencari rebung di hutan. Dialah yang nengajar aku kalau ada binatang bahaya dengan mendengar suara tupai atau kera yang berteriak di atas pohon.

Emak seorang pandai dalam hal semat menyemat. Dia boleh membuat tikar mengkuang atau atap rumbia. Dia juga boleh membuat jaring tangkul. Semua tikar yang ada di rumah aku dibuat oleh emak.

Emak cukup baik. Kalau aku demam dia akan belikan buah limau atau roti. 

Bersambung.




Friday, 16 August 2013

Selamat pulang mak.

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah yang tidak bersedih.

Ibu aku berusia 79 tahun. Usianya mungkin lebih tua daripada itu. Sejak kecil lagi, ibulah yang menjaga kami 5 beradik. Ayah pulang lebih awal tahun 1980. Aku baru berusia 8 tahun.

Ibu aku menjaga kami semua. Dia hanya membuat atap untuk dijual. Menjual sirih. Ketika muda dia membuat sawah juga. Dia membela kami dengan kudratnya. Pernah dia berkata, dia bimbang kalau kami semua tidak mampu hidup.

Ibu jarang sakit seperti orang lain. Walaupun dia tidak sihat, tetapi demam itu perkara biasa sahaja. Tidak pernah dia masuk wad. Dia terkenal kerana kekuatannya. Mungkin dia sakit. Tetapi menyembunyikan rasanya.

Dua anaknya mati lebih awal. Dia kuat juga. Dia bersikap biasa sahaja. Tidak menunjukkan rasa sedih. Mungkin menyembunyikan rasanya.

Dia dikenali sebagai penangkul ikan yang terkenal. Ramai kawan-kawannya mati dahulu. Dia tetap menggagahi diri mencari ikan sekalipun di usia senja. Dia tidak makan ikan laut. Buah timun dan tembikai adalah dua buah yang dipantangnya. Tidak perlu membelahnya. Melihatnya sahaja dia pening dan sakit. Di rumah kami, kami tidak makan dua makanan ini. Dia tidak perlu melihat buah ini. Dia mampu menghidunya sekalipun jiran yang memakannya.

Dia tidak juga menggunakan dapur gas. Dia hanya menggunakan dapur kayu. Sampai sekarang. Dia tidak terjejas dengan hidup moden.

Dia tidak merungut hal menantu. Dia tidak ambil 'pot'. Hidupnya simple. Kami orang yang berasal daripada keluarga susah.

Aku mendapat gelar dr pun mungkin tidak diketahuinya. Dia hanya tahu aku di Australia. Dia bukan orang yang berbangga dengan hal mewah dan hebat. Dia biasa sahaja.

Entah mengapa tahun ini 2 pohon petai kami berbuah lebat. Tidak pernah berbuah sebelumnya. Ibu selalu berjenaka, mungkin itu tandanya dia akan mati dahulu, atau petai yang mati dahulu.

Dia menyebut untuk melakukan korban tahun ini.

Sejak puasa ini, dia tidak lalu makan. Dia mula sakit. Tetapi dia biasa sahaja. Dia tetap bertahan.

Entah mengapa aku terasa mahu pulang semalam. Aku baru sahaja pulang raya Aidilfitri beberapa dulu. Mungkin memanggil aku untuk bertemu buat kali terakhir dengan wanita paling tabah yang pernah aku hidup bersama. Dia memelihara kami semua sekalipun hidup kami susah. Aku masuk universiti beberapa kali hanya dengan duit menyemat atap sahaja.

Jam 7 pagi - Jumaat tadi ibu pulang tak akan kembali. Berbohonglah aku kalau air mata tidak tumpah. Aku tidak setabah dan segagah ibu.

Selamat pulang mak. Ampunkan dosa dan salah silap. Kenangan indah tidak akan dipadam. Ia adalah nolstalgia indah pelangi hidup kami semua.

Al Fatihah.

Pasti kita bertemu lagi di alam yang lain.

Thursday, 15 August 2013

Dunia aman tanpa manusia

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sesekali kita memerlukan Hoesni Mubarak.

Di Mesir, apa yang sedang berlaku menunjukkan bahawa kuasa dan haloba tidak mengira nama manusia. Baik Hoesni Mubarak atau Assad, ia hanya nama yang tertera di atas kad pengenalan.

Kejatuhan Hoesni seolahnya memberi cahaya baru di Mesir. Hakikatnya tidak. Ia memberikan api yang baru. Bertukar orangnya tidak menukar tamak dan kejamnya manusia.

Nafsu kejahatan tidak pernah mengira nama di atas kad pengenalan. Ia sama sahaja.

Orang boleh membunuh atas alasan ketenteraman. Kalau ketenteraman dijadikan alasan, maka paling wajar ialah membunuh semua makhluk yang bernama manusia. Dunia ini hanya akan aman jika tidak ada manusia.

Binatang hanya membunuh apabila lapar dan terancam. Manusia tidak. Mereka membunuh setiap masa.

Kerana manusia melaparkan kuasa yang tidak pernah ada kenyangnya.

Thursday, 8 August 2013

Salam Aidilfitri

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pembaca.

Saya tidak seaktif dahulu menulis di blog ini. Sebenarnya saya ada banyak hal yang patut ditulis. Bagaimana pun, saya begitu sibuk.

Antara yang saya ingin tulis ialah penularan ajaran sesat dan fahaman yang pelik lagi janggal dalam budaya dan agama kita. Syiah salah satu daripadanya. Dahulu kita mendengar istilahnya sahaja. Tetapi jarang kita ambil tahu. Malah ada yang tidak tahu pun.

Isunya ialah kita kurang terasuh untuk belajar agama. Sekarang ini dengan adanya internet, promosi hal asing ini menjadi lebih mudah. Kita teruja kalau ada ayat agama dan tulisan Arab. Kononnya itulah kebaikan.

Facebook dan YouTube telah menjadi ustaz baru.

Datang pula pelajar dari negara luar berjanggut dan berjambang. Mereka dilihat soleh. Banyak anak muda kita teruja dengan kefasihan Arab mereka. Kita terlupa Abu Jahal juga pandai bahasa Arab.

Akibatnya banyak terpedaya.

Itulah cabaran beragama kita di zaman baru ini.

Salam Aidilfitri.

Friday, 2 August 2013

Jangan bermain dengan babi dan anjing

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Babi dan anjing ada dua jenis makhluk yang sangat sensitif di negara kita. Sama sensitifnya dengan monyet dan pisang di Barat. Orang Barat mungkin tidak kisah kalau ada aksi mencium anjing kerana itu kesukaan mereka. Tetapi mereka mungkin marah kalau membuat aksi monyet dan menghulurkan pisang. Banyak orang berkulit hitam dan orang Asia terkena serangan provokasi kaum ini di Barat oleh individu tidak bertamadun.

Mangsa momokan dikatakan tidak bertamadun kerana kononnya berasal daripada monyet. Hakikatnya orang yang memomok itulah yang mungkin ada sifat binatang yang tidak bertamadun. Monyet tidak pernah melakukan aksi memalukan manusia. Manusia itulah yang menunjukkan aksi monyet memalukan diri sendiri.

Di negara kita, babi dan anjing menjadi makhluk yang sangat sensitif. Anjing mungkin merupakan hal khilafiah. Babi mungkin tidak. Begitu pun, kedua-duanya tetap sensitif. Memaki orang lain dengan patah kata 'babi' dan 'anjing' boleh berakhir dengan pergaduhan. Apatah lagi kalau ia dikaitkan dengan hal-hal agama orang Islam.

Biarlah orang tadi tidak berpuasa atau bersembahyang. Mereka mungkin boleh minum arak atau melanggan pelacur. Tetapi menyentuh babi dan anjing adalah hal haram yang sangat dielakkan.

Begitulah simbol babi dan anjing dalam budaya orang Islam di Malaysia.

Ia binatang luar biasa hebatnya.

Sebab itu, bermain dengan isu babi dan anjing ini berakhir dengan hal yang buruk.

Jangan dikata bahawa orang bukan Islam tidak faham hal ini. Ia difahami oleh masyarakat kita. Sama fahamnya orang lain dengan istimewanya lembu bagi agama Hindu.

Kita boleh memakan daging lembu, kerana motifnya bukan menghina. Bagaimana pun, kalau ada orang yang cuba menggunakan lembu untuk memprovokasi orang beragama Hindu, mereka akan marah. Begitu juga orang Islam. Penganut agama lain boleh makan seberapa banyak pun daging babi, atau membela sekandang anjing sekalipun.

Tetapi, kalau ada yang bermain sentimen dengan makhluk dua ekor ini, semua penganut Islam terganggu emosi mereka, sekalipun di bulan puasa mereka makan secara sembunyi di belakang kedai.

Sebab semua kita memahaminya, maka ada baiknya kita jangan bermain dengannya. Baik ia dilakukan oleh orang Islam atau bukan.

Menjaga sensitiviti bukanlah hal yang sukar sangat. Memahami apa yang tidak kita suka orang lain lakukan kepada kita, begitu jugalah jangan dilakukan hal yang sama kepada orang lain.

Jadi mengapa ada yang sengaja buat tidak faham?

Wednesday, 31 July 2013

Mental exhaustion

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku sudah agak jarang menulis. Bukan sekadar blog ini, tetapi juga menulis bagi hal yang lain. Entah apa yang berlaku. Dalam psikologi, ia mungkin simptom mental exhausted. Penat berfikir. Tidak semestinya berfikir hal menulis. Akhirnya tidak apa satu menjadi.

Pernahkah anda mengalaminya?

Jangan katakan tidak. Ia bukan penyakit mental. Ia hanya keletihan mental.

Ia berlaku khususnya apabila otak kita berkeceramuk dengan banyak hal. Kita mungkin dilihat biasa sahaja. Hakikarnya otak kita tidak begitu. Ada hal yang merisaukan. Tetapi kita tidak tahu yang mana satu paling dominan.

Kadang-kadang kita tahu sebabnya. Tetapi kita tidak ada upaya menyelesaikannya.

Ia keletihan yang tak mampu dihilangkan dengan berehat. Ia hanya mampu dihilangkan dengan menyelesaikan isu pokok masalah. Melakukan beberapa perkara yang disukai boleh mengurangkan kesakitan ini.

Tetapi pada akhirnya isu utama perlu diselesaikan juga.

Mental exhausted.  Ia bukan penyakit mental. Ia isu huru hara dalam mental.

Sunday, 21 July 2013

Nolstalgia Ramadhan

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Antara pengalaman terindah mengingati Ramadhan ialah tatkala kita masih kanak-kanak. 

Puasa waktu itu bercampur dengan mitos, kejujuran dan dan keseronokan.

Entah berapa kali kita ke bilik air sekolah untuk berkumur. Sesekali 'tertelan' sedikit air untuk membasahi kerongkong. Puasa tetap dikira walaupun hanya mampu separuh hari, atau makan sahur jam 8 pagi. Semasa kanak-kanak, kita sangat takut kalau terbatal puasa kerana terkorek hidung. Juga bimbang kalau turun ke dalam sungai dan terbuang angin di dalamnya. Kata nasihat yang didatangkan dari satu generasi ke satu generasi, entah daripada kitab mujtahid karangan siapa - ia terbatal puasa.

Fatwa batal puasa semasa kita kanak-kanak hanyalah dikeluarkan oleh teman sebaya kita sendiri.

Paling seronok ialah membeli air batu yang harganya seketul 20 sen. Kemudiannya ditanam ke dalam tanah agar tahan lama. Pergi ke masjid untuk berterawih hanyalah alasan sahaja. Yang paling indah ialah moreh. Ada yang menyembunyikan roti canai ke dalam kepiah, atau poket baju Melayu.

Meriam dan mercun sudah lama menghiburkan kita, walaupun bunyinya tidak sekuat mercun bola sekarang ini. Mercun katak dianggap antara yang terhebat.

Raya dinanti dengan penuh asyik. Dibilangnya hari satu demi satu. Inilah masanya kami orang susah mencari wang lebih.

Itu cerita dulu. Sekarang ini keasyikan Ramadhan bertukar rupa. 

Seorang wartawan bertanya, apakah pandangan psikologi dengan fesyen baju raya sedondon. Aku tidak berupaya menjawabnya. 

Ia soalan yang tidak pernah aku jangka, dan topik kajian yang tak pernah aku fikirkan.




Saturday, 20 July 2013

Bila Facebook menjadi ustaz baru

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bulan Ramadhan, semua orang berlumba-lumba berbuat kebaikan.

Semua orang ingin bercakap hal agama.

Facebook (FB) telah menjadi satu caranya. Ia hal yang baik.

Bagaimana pun, aku terkesan satu perkara. Kebanyakan orang cuba 'share' apa sahaja maklumat yang mereka jumpa di sana sini, atau yang mungkin dirangkaikan daripada satu orang kepada orang yang lain.

Hakikat yang tidak diketahui ialah ada hal-hal yang memerlukan penghuraian mereka yang alim. Bukan sekadar berhujah semberono. Atau sekadar mengikut logik akal. Atau disebabkan oleh hujahnya yang kelihatan logik, atau grafiknya yang cantik.

Maka muncul bermacam-macam maklumat yang kononnya dikatakan sebagai 'pengetahuan' dalam hal beragama. 

Termasuklah perdebatan sama ada wujud atau tidak apa yang dikatakan sebagai waktu 'imsak'. Ada pula yang berdebat tentang terawih itu 8 atau 20 rakaat. Belum lagi perdebatan sama ada syaitan dirantai atau tidak.

Sedangkan ia bukanlah hal pelik bagi banyak orang yang mempelajari hal itu. Tidak ada isu yang patut didebatkan pun.

Ilmu agama tidak boleh didapatkan daripada Facebook. Ia perlu didapatkan daripada guru. Facebook boleh membantu, tetapi guru itulah yang patut dicari dahulu. 

Bagaimana pun, mencari guru biasanya payah apatah bagi kebanyakan kita yang hidup di bandar dan sibuk ini. Lebih mencari Facebook sahaja untuk mengajarkan kita agama.

Berkongsi maklumat agama melalui Internet, Twitter, Facebook atau apa sahaja mediumnya bukanlah satu kesalahan. 

Bagaimana pun, berguru itulah jalan yang terlebih baik sebelum berkongsi. Takut-takut yang kita kita kongsikan itu lebih memudaratkan berbanding kebaikannya, kerana yang membaca juga mungkin adalah orang seperti kita juga.

Wednesday, 17 July 2013

Selamat menyambut Ramadhan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Agak terlambat sebenarnya.

Beberapa minggu ini, kita dikejutkan dengan kes dua orang remaja bukan Islam dengan isu Bak Kut Teh halalnya. Tidaklah dipastikan sama ada mereka sengaja atau tidak. Bagaimana pun, mengaitkan khinzir sebagai halal sesuatu yang mempersendakan umat Islam. Orang yang bukan Islam boleh sahaja makan apa yang hendak dimakannya, tetapi tidaklah perlu 'beramah mesra' dengan mengucapkan selamat berbuka puasa dengan daging babi.

Ia tidak memberikan sebarang apa manfaat pun, baik kepada yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Apatah ia dikeluarkan dalam bentuk cetakan visual yang boleh dilihat orang. Kenyataan bersifat audio boleh dikeluarkan tanpa sengaja, dan adakalanya spontan. Bagaimana pun, kenyataan dalam bentuk visual memerlukan proses tertentu. Ia memerlukan daya usaha.

Jadi untuk mendakwa bahawa ia secara spontan, tidak sengaja atau tidak berniat mungkin satu kenyataan yang sukar dibuktikan. Katakanlah mereka tidak tahu bahawa babi itu haram untuk orang Islam, jadi mengapa mereka memilih 'babi' tadi. Mengapa tidak meletakkan sahaja ayam atau itik?

Sebab itu, kenyataan yang bersifat sensitif seperti ini tidak wajar dilakukan. Apakah manfaatnya kepada si pembuatnya? Adakah orang yang menerima mesej mereka akan gembira? Mereka yang melakukannya mungkin gembira sekejap kerana boleh mempersendakan orang lain. Tetapi, berapa lama boleh menikmati kegembiraan tadi.

Mereka mungkin terkenal dengan kenyataan provokasi seumpama itu. Tetapi, harus diingat mereka mungkin telah membina musuh yang  baru. Musuh yang banyak biasanya tidak menyenangkan, tetapi menyusahkan. Jadi apa manfaatnya?

Aku juga mempunyai banyak teman bukan Islam. Mereka tahu aku berpuasa, dan aku juga tahu mereka tidak berpuasa. Tetapi kami tidak kisah. Kami juga bergurau. Visyarn, teman lama aku beragama Buddha, sambil mengucapkan selamat berbuka puasa memberitahu dia mengambil 3 biji kurma hari ini. Aku tahu dia melawak sahaja. Tetapi caranya itu memberitahu kita bahawa dia tahu sedikit sebanyak hal ehwal orang Islam.

Nampaknya, usaha kita membina negara ini tidaklah mengambil jalan yang mudah, apabila ada segelintir dua yang bukan sahaja tidak cerdik, tetapi sengaja tidak mahu memahami nurani orang lain.

Selamat berpuasa.


Monday, 8 July 2013

Kajian filem Hindi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku mengadakan bengkel SEM-AMOS di Bandar Baru Bangi.

Sebab ia berkait dengan penyelidikan,  mungkin ada baiknya kita mulakan tulisan kali ini dengan tajuk seumpama itu.

Apa yang selalu kita jangkakan daripada filem Hindustan?

Biasanya hero akan kalah dahulu, dan menang kemudian. Dalam filem Hindi juga, ia diplotkan dengan jalan cerita yang sama, menari, sari, keretapi, bunga dan hero yang susah untuk mati. Ia akan berakhir dengan happy ending

Ia adalah plot cerita sejak berpuluh tahun lamanya.

Fokus. Fokus. Fokus. Apa yang fokus?

Ringkasnya, jalan ceritanya sudah sedia difahami dan dijangkakan. Tiada pembaharuan. Semuanya sudah boleh mengagak apa yang berlaku dan apa yang bakal berlaku. Kalau ada yang berubah pun, hanya pelakonya sahaja.

Begitulah analoginya kalau penyelidikan kita juga menggunakan pendekatan yang sama. Plotnya mudah difahami. Walaupun masa tayangnya panjang, keputusannya sudah boleh dijangkakan. Tiada perubahan yang mengkagumkan. 
AMOS tidaklah merupakan software yang susah. Tidak juga canggih. Pada akhirnya, ia hanya sekadar alat pemprosesan data. Ia tidak akan menambah apa-apa kalau kaedah kutipan data dan metodologi yang digunapakai tetap menggunakan pendekatan lama.

Apakah plot penyelidikan kita?

Cross-sectional. Menambah beberapa pembolehubah baru. Mengulang-ulang kajian lama. Tebal. Bagaimana pun, apa yang kita tulis dan kaji mungkin sudah boleh dijangkakan dan diketahui ulang. Pelakonnya (aka. responden) mungkin berlainan. Tetapi, ceritanya sama sahaja. 

Ia seperti filem Hindustan. Penat ditonton, tetapi membosankan. 
Ini pelajar aku yang sudah menjadi pelakon utama dalam kebanyakan workshop yang aku adakan. Yulita, seorang pelajar Ph.D - Bright Sparks, dan Fiza, seorang pelajar master. Kedua-duanya menggunakan analisis longitudinal dan multi-level.
Begitulah berakhirnya sebuah penyelidikan kalau kita tidak berani berubah. 

Siapakah yang patut menjadi agen perubahan?

Saturday, 6 July 2013

Catatan perjalanan 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sarawak negeri yang cantik. Setakat ini aku hanya sempat sampai ke dua tempat, Kuching dan Sibu. Tidak seperti di Semenanjung, ia diwakili oleh berupa bangsa.

Sempat aku melepak di tepi Sungai Santubong. Pelancong luar lalu lalang. Ia kawasan yang cantik. Ada seorang anak muda penyanyi jalanan menyanyikan lagu sambil memainkan gitar. Rambutnya agak panjang, tetapi lebih pendek daripada aku. Suaranya yang serak menyanyikan banyak lagu rock era 80-an. Aku meletakkan RM 5 di dalam bakulnya dan memesan segelas teh tarik di warung. Sambil duduk mendengar anak muda ini menyanyi.

Dia datang bersalam dengan aku kemudiannya. Tidak ku tanyakan namanya dan berapa dia dapat semalaman.

Di sudut yang lain ada beberapa pemuda menjualkan produk terkenal Sarawak. Apa lagi kalau bukan gambir Sarawak. Produk penguat seks katanya.

Di setiap kali aku berjumpa orang, mereka akan bercakap hal balak yang ditebang.

Entahlah. Aku tidak begitu tahu.

Aku sempat makan ayam penyek. Ia makanan malam aku di Jakarta dulu. Ia makanan rasmi aku di Blok M. Cuma di sana mereka memanggilnya pecal.

Sarawak. Aku cuma di sana dua malam. Tidak banyak yang dapat aku terokai. Walaupun aku diberikan hotel 5 bintang dalam perjalanan ini, aku tidak sempat menikmatinya. Aku terlalu sibuk.

Nanti aku berkunjung lagi.

Inilah dunia pekerjaan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya diberikan tanggungjawab sebagai Penyelaras Latihan Industri pelajar di universiti.

Motif utama latihan industri di mana universiti sekalipun hampir sama sahaja, iaitu mendedahkan pelajar dengan dunia pekerjaan. Ia dunia yang membosankan, tidak seindah seperti yang disangkakan.

Ada pelajar yang tidak mahu ke tempat tertentu, dengan memberikan pelbagai alasan. Sebaliknya, sekiranya ada teman mereka bersama, mereka tidak ada masalah. 

Ada pula yang pada hari pertama sudah mahu lari keluar. Kononnya tidak ada pekerjaan yang diberikan oleh majikan.

Ada yang mengadu kerja mereka hanya membuat surat dan melipat kertas.

Mereka seolah-olah tidak percaya ia boleh berlaku.

Hakikatnya, itulah dunia pekerjaan. Ia bermacam sifatnya. Ia dunia yang sepi. Pelik. 

Pekerjaan bukanlah seindah nama jawatannya. Ia hanya mitos. Apatah lagi jika anda hanya melakukan praktikal. Walaupun anda diminta berpakaian kemas, ia tidak bermakna anda bakal ditugaskan dengan jawatan yang hebat. Jawatan yang hebat hanya ada dalam filem James Bond yang heronya melakukan semua perkara yang hebat.

Sekalipun ada istilah 'eksekutif' di depannya, ia hanya pembungkus sahaja. Banyak eksekutif yang hanya kerjanya ke bank untuk urusan keluar masuk wang. Ada eksekutif yang kerjanya hanya tangkap dan cuci gambar. Begitu juga dengan nama jawatan yang lain. 

Jadi jangan digelisahkan dengan nama jawatan. Jangan merasa hebat kalau pun anda keluar universiti.

Pensyarah sekalipun, walaupun seolahnya hebat, sebenarnya banyak melakukan perkara yang remeh temeh. Kerja-kerja yang pada anggapannya boleh dilakukan oleh kerani. Bagaimana pun, itulah pekerjaan. Ia tidak hebat. Ia tidak indah. Ia hanya dongeng.

Yang indah hanya gaji sahaja. Semakin banyak gaji, semakin indah kerja itu dilihat. Walaupun hakikatnya kerja itu begitu juga.

Satu ayat yang patut difahami para pelajar - dunia pekerjaan ini ialah dunia 'kuli'. Dunia kuli beginilah sifatnya. Ia tidak indah. 

Yang dikatakan kerja ialah kita patuh dengan apa yang diarahkan oleh orang atasan. Kita ikut apa yang disuruh, sama ada suka atau tidak - selagi tidak disuruh terjun bangunan. 

Itulah pekerjaan para kuli. Baik kerja itu kelihatan mudah, bosan atau menghinakan, itu bukanlah sifat kerja yang utama. Yang utama ialah mengikut apa yang disuruh.

Penyelaras Latihan Industri pun bukanlah pekerjaan yang indah. Tetapi, kerana disuruh, itu sudah menjadi pekerjaan.

Selamat menghadapi dunia pekerjaan. Selamat menghambakan diri dengan dunia para kuli, dunia kami, dunia kita manusia sejagat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails