Sabtu, 2 Feb: Selamat Datang ke Moontabay. Bertolak dalam jam 10.30 pagi dari Adelaide, kali ini kami cuba singgah di Moontabay, kira-kira 200 kilometer dari Adelaide. Dengan ketua perancang, Sdr Fahmi mengaturkan urusan mem'buking' tempat menginap, dianggotai juga oleh Abang Zul, Sdr Nizam, Jabar, Aku dan seluruh ahli keluarga yang lain. Menggunakan 4 buah kereta, baru dan lama, buruk dan elok, kami sampai di sana kira-kira jam 1.30 petang setelah melewati cerun, ladang dan bukit-bukit bukau.
Moontabay merupakan pekan kecil yang berada di hujung teluk. Tidak ada apa-apa di sini, melainkan tempat untuk berehat dan mereka yang gemarkan aktiviti memancing atau kehidupan laut. Ia ibarat sebuah pekan laut seperti Dungun, Terengganu. Kecil dan mungkin tidak ada apa-apa aktiviti di sini. Ada beberapa buah bar, supermarket Foodland, serta kedai "Salvation Army" yang terkenal itu. Kami menyewa sebuah rumah di sana dengan harga AUD 150 semalam. Rumah tiga bilik itu lengkap dengan kemudahan asas.
Jeti di Moontabay ini panjangnya kira-kira 600 meter dari daratan dan menganjur ke tengah laut. Agak penat juga berjalan dari hujung ke hujung. Petang itu, sepanjang jeti itu telah dipenuhi dengan manusia. Tidak pula kelihatan orang asing seperti Cina atau India seperti yang sering kami lihat di jeti Henley Beach atau Grange. Cuma, kami terserempak dengan segerombolan pelajar Melayu bujang di sini. Kedudukan Moontabay agak pendalaman dan jauh dari kebisingan kota, maka ia sangat sesuai untuk peminat ketam dan sotong. Ia destinasi yang popular untuk aktiviti memancing dengan menggunakan bot. Mungkin lain kali kami akan mencuba memancing dari atas bot pula. Bukan sekarang tentunya.
Tangkapan pertama kami ialah seekor sotong yang berjaya diangkat naik oleh Fahmi. Sotong ini agak besar juga. Menjelang ke Maghrib, Fahmi hanya berjaya mengangkat naik 4 ekor sotong, selebihnya bagi pemancing ikan kami tidak berjaya membawa pulang apa-apa. Yang boleh kami dapatkan, hanyalah sekadar kemarahan untuk memancing lagi!
Menjelang malam, kami mengubah strategi berpindah ke sebuah jeti yang lain yang letaknya kira-kira 2 kilometer dari jeti yang pertama ini. Kali ini nampaknya sangat lumayan. Aku berjaya membawa naik seekor ikan sembilang dan seekor ikan salmon bluefish, setelah 2 ekor salmon yang cuba dibawa naik terputus dalam cubaan sebelum ini. Selain ikan, malam ini kami mendapat ketam dengan jumlah yang agak banyak. Mungkin lebih dari 70 ekor. Menjadikan aku jadi muak hendak makan ketam yang dibeli di Asian Grocery!
Kaum wanita, seperti biasanya pula sesekali datang menjenguk kami di jeti pada malam itu. Mereka membawa pulang ketam-ketam yang kami tangkap untuk disembunyikan di rumah. Banyak alasan untuk berbuat begitu. Pertamanya ketam yang ditangkap ada yang tidak mencukupi saiz. Kami membelasah semuanya mengikut peraturan di Malaysia! Keduanya, semua jenis ikan sembilang laut adalah salah untuk ditangkap. Kami juga menafsirkan tangkapan kami berdasarkan peraturan laut Sungai Kerang, dan terpaksa membawa pulang ikan tersebut.
Luqman, seperti biasa menghabiskan masanya dengan membuas dan memukul teman-teman kanak-kanak yang lain. Kadang-kadang dia menembak Adam, Balqis dan Alisha dengan jari kanannya - Bang! Bang!.
Selain aktiviti memancing, trip kali ini juga memfokuskan kepada konsep makan dan kenyang. Ini tentulah diketuai oleh kaum hawa. Kak Ros, Fadilah, Zaharah, Liza dan bini aku sendiri menghabiskan percutian Sabtu dan Ahad ini memasak di Moontabay. Sebenarnya percutian kami ini sungguhlah memenatkan kerana selain sepanjang malam tidak tidur, tengahhari Ahad itu kami terpaksa pula pulang ke Adelaide dan menempuh jarak yang panjang lagi.
Atas semangat Malaysia Boleh!, kami sudah bersoksek-soksek untuk datang lagi. Mungkin pada masa hadapan boleh aku terbangkan Din dan Hairi dari Malaysia untuk memancing di sini. Itupun kalau aku dah berjaya dapat PhD dan dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor!

6 comments:
Tahniah ! satu laporan pancing yang cukup mantap dan menghiburkan, 'terbakar' rasanya apabila mendengar saudara fakir fikir cuba menaikan ikan namun terputus akibat tarikan ganas ikan tersebut.
Hebat.
gambar tu harap di buat standard agar lebih cantik, sebab ada kecik ada besar dan tidak tersusun bagi duduk tengah je baru cun
wahhhh, seronoknye mancing kat moontabay. tak pernah sampai ke sana. nantilah tahun ni cuba diusahakan ^_^
Untuk pemancing ---> Gambar dah dipiawaikan. Tapi panjang la pula jadinya. Content juga telah diupdate sedikit. Untuk isuzu_aizu--> beli saya sekartun rokok dunhill 20, nanti saya bawa Intan ke sana :)),
Hai saudara fakir fikir?! aik..(terbalik ke??)..x leh jadik nie..nama wa tak de pun dalam aktiviti masak memasak nih!!!! mogok masak karang!!!
ahaaa baru mantap !!!
Post a Comment