Yang Ikut

Wednesday, 10 April 2013

Tunggu aku Adelaide

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa khabar Adelaide - kota kecil yang sepi. Ia kota yang aman tanpa bangunan pencakar langit dan bebas hangit asap kenderaan. Ia kota yang menyenangkan. Sesekali kita melihat itik belibis berenang siang di Sungai Torrent, sama indahnya melihat biru langit di bawah sinar matahari yang garang. 

Di musim luruhnya, dauh-daun mula berguguran mengingatkan hayat kita yang tidak akan bertambah panjang. Bunga-bunga yang mekar mengingatkan kita warna hidup yang sesekali resah, sesekali meriangkan. Di musim dinginnya menjadikan hidup ini terasa begitu panjang. Membungkus di bawah selimut adalah nikmat terindah. Musim panasnya menginsafkan kita bahawa neraka tentu sangat memeritkan. Apalah sangat panas di dunia ini.

Hah, Adelaide hanyalah kota batu lama. Dikelilingi pohon hijau yang cantik. Ia bertukar rupa setiap kali musim berubah. Bukitnya yang memanjang dan berliku ialah pengalaman perjalanan yang sangat menyeronokkan. 

Apa pun Adelaide, ia hanya kota tamadun manusia. Ia tidak ada apa-apa tanpa warga manusianya.

Nizam - temanku yang semakin tua - memburuh sekian lama di sana. Dia antara manusia yang tetap ada di sana. Ia tidak pernah berubah sekalipun musim bertukar. Ia tidak pernah bertukar sekalipun warga Malaysia pelajar datang dan pulang. Dia tetap ada di situ. Dia berjuang dengan caranya. 

Adelaide, sudah lama aku tidak bercerita. Sudah lama aku kehilangan kompas jalannya. Sudah lama kita tidak menyapa mesra.

Tunggu aku Adelaide. Nanti kita menyapa lagi di Aroma Cafe sambil menghirup secawan kopi. Kita ceritakan kisah lelahku. Kita ceritakan lagi kisah hilangku. Kita berbual panjang tentang hiruk pikuk Kuala Lumpur yang kian ditenggelamkan cerita sakit hati dan lara manusia.

Tunggu aku Adelaide.

Masih ada lagikah gadis penjual sayur itu? 

  

Saturday, 6 April 2013

Reviews paper: not too bad

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini aku menerima penilaian makalah. Ia antara gembira dan tidak. Kalau diterima, ia mungkin antara kejayaan aku terbesar abad ini, sebab ia jurnal yang besar. Kalau tidak, hidup ini seperti ini juga.

-----------------------------
 Dear Dr. Idris: 

The reviews of your paper, XXXX to my office. I am sorry to inform you that the Journal of Occupational Health Psychology is not able to publish this study in its current form. 

However, because it is possible that many of the problems cited in the reviews could be addressed in a major revision, and given the interest expressed by the reviewers, we would consider a re-submission. You should consider preparing a revision only if you are confident that you can address all of the comments and criticisms detailed in the reviews. The reviewers' concerns and a number of constructive recommendations are clearly described in the reviews, so I will not reiterate them individually. 

If you undertake a revision, please send the electronic version of the revised manuscript* to our editorial office, along with a cover letter in which you indicate how you have responded to each of the reviewers' criticisms. In order to facilitate locating your changes in the revised text, please indicate them in the text by using a red font. We shall then arrange for it to be re-reviewed as promptly as possible. As a matter of policy, any manuscript returned after a delay of more than two months will be treated as a new submission. Of course, you may contact me directly if there are reasons why more time is needed to complete the revision. Thank you for giving us the opportunity to consider your paper. 

Sincerely,

Falasi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Baca sini

Thursday, 4 April 2013

Gema pilihanraya bermula

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah lama aku tidak mengundi. Bukan protes. Bukan juga tidak berdaftar.

Tahun 2008 aku di Adelaide. Tiada pula kedengaran ujudnya undi pos waktu itu seperti warga Indonesia.

Pilihanraya sebelumnya aku di Jakarta. Tiada juga kedengaran ada undi pos waktu itu.

Jadi kedua-dua kalinya, aku tidak mengundi.

Undi aku mungkin ada harga. Mungkin juga tidak berguna.

Untuk PRU kali ini, aku cuba untuk membuat liputan (kalau sempat).

Bagaimana pun, liputan aku mungkin tidak merangkumi gosip atau khabar politik.

Aku hanya ingin merakamkan gambar bendera, poster atau apa sahaja imej yang ada hubungkait dengan pilihanraya sahaja. Ia mungkin bakal menjadi rakaman senario politik masyarakat.


Wednesday, 3 April 2013

Anda sokong siapa?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Parlimen sudah dibubarkan. Ramai peminat politik sedang rancak meramalkan siapa yang bakal menang dan siapa yang bakal kalah. Penyokong parti mula bersiap sedia dengan cakap-cakap politik. Ia bakal mengasapkan lagi kopi panas di kedai kopi. Pemimpin politik - baik yang berada di atas, atau yang berada di bawah, mula merangka strategi kempen.

Anda menyokong siapa?

Sebenarnya, ia tidaklah begitu penting. Anda boleh menyokong sesiapa sahaja. Anda boleh memuji calon parti yang anda suka, dan mencela calon yang anda tidak suka. Ia hal biasa setiap kali tiba musim pilihanraya.



Sunday, 24 March 2013

Wednesday, 20 March 2013

Warna hidup

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hidup ini berwarna warni bukan? 

Ada masanya kita ketawa walau terluka. Pada hari yang lain kita menangis walau gembira. Sesekali kita sukakan seseoran yang membenci kita. Ada pula saatnya kita bencikan seseorang yang menyukai kita. 

Ada hari yang kita harapkan hujan, tetapi panas mencengkam. Ada hari kita harapkan panas, tetapi hujan pula menghalang. Itulah hidup. Kita memiliki sesuatu, kita juga kehilangan sesuatu. Kita merasa perit sesudah menikmati keindahan. Kita menghirup nyaman sesdah berhempas pulas dengan derita.

Akhirnya, itulah keindahan. Itulah warna cerita kita. 

Kalau kita mampu menikmati apa yang kita idamkan, apakah lagi yang boleh kita maknakan sebagai keindahan. 

Ia menjadi ruang yang serba bosan.

Bersyukurlah dengan apa yang telah terjadi. Berharaplah dengan apa yang bakal terjadi.

Moga-moga ia menjadikan hidup kita lebih berwarna warni.

Wednesday, 13 March 2013

Maaf

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di kampung. Beberapa hari yang sesak.

Ahad dan Isnin lalu, aku memberi bengkel di Kolej Komuniti Sungai Petani. Terima kasih kepada penganjur dan peserta. Orangnya peramah dan baik-baik belaka. Banyak daripada mereka ini kaki rokok seperti aku juga.

Petang Isnin, aku bertolak ke Pulau Pinang. Agendanya untuk memberi bengkel di USM.

Check in di sebuah hotel yang aku terlupa namanya. Jam 2 pagi, telefon berdering. Kakak aku yang sudah lama mengidap barah hati kembali ke rahmatullah. Hati tidak berbelah bagi. Nak kena balik juga pagi itu. Tetapi, sukarnya siapa pula yang hendak memberi bengkel besok hari.

Jam 5 pagi aku kejutkan pelajar aku Yulita dan Fiza. Aku katakan mereka perlu ganti aku memberi bengkel. Pesertanya pula tidak semua pelajar, termasuk pula pensyarah yang ada PhD. Membatalkan bengkel bukan jalan terbaik. Ia menyusahkan orang lain.

Jam 5.30 pagi aku memecut balik ke kampung.

Aku tidak tahu sejauh mana orang boleh menangkap apa yang Yulita dan Fiza ajarkan. Tetapi, akhirnya itulah pengalaman terbaik dalam hidup mereka. Hidup aku juga. Bukan semua pelajar boleh mengajar pensyarah. Hidup ini banyak perkara tak terduga.

Perkara terbaik ialah keberanian mereka mengajar. Ia ilmu yang tidak dimiliki semua manusia.

Bengkel yang lain pada Sabtu minggu ini juga terbatal. Tidak sempat.

Beberapa kuliah aku yang lain juga terbatal.

Hidup ini padang dugaan. Hidup ini tidak pernah terduga.

Maaf untuk mereka yang terlibat.

Kalaulah kita boleh mengulangnya semula.

Wednesday, 6 March 2013

Beginilah caranya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah berhari-hari aku menunggu dengan penuh gelisah, cemas dan marah.

Aku bertanya-tanya apa kesudahannya. Aku jadi tidak keruan memikirkannya. 

Aku manusia biasa, tidak tahu bermain senjata. Apatah bertempur di padang perang.

Hari ini, sesudah fajar itu -walau apa  sahaja yang mungkin terjadi pada fajar yang lain, aku patut berkata "BEGINILAH CARANYA'.

Inilah caranya kita patut menjaga negeri dan tanahair ini.  Jangan membiarkan rakyat gelisah. Jangan biarkan ada lagi darah yang tumpah, dan air mata yang jatuh.

Banyak berkata-kata tidak mengubah apa-apa.



Tuesday, 5 March 2013

Kunak dari mata hati saya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nama Kunak sudah lama hilang tenggelam di hati saya. Ia sesekali sahaja datang. Pertama kali saya mendengar nama Kunak ialah ketika saya masuk universiti. Seorang teman baik saya, seorang jejaka Bugis sama-sama mengambil kursus psikologi di UKM sekitar tahun 1992-1996 dulu berasal dari Kunak. Selepas keluar universiti, hanya beberapa tahun sekali saya akan menghubungi teman saya ini. Saya jarang menghubunginya kerana dia pulang ke negerinya, dan saya pula berkelana di merata tempat.

Bagaimana pun, teman baik saya ini tetaplah menjadi teman saya. Dahulu, ketika di universiti saya selalu melepaskan penat di biliknya. Sesekali saya membawanya melakukan kutipan data, kerana dia tidak tahu memandu motosikal.

Terakhir kali saya bertemu teman saya ketika saya ke Kota Kinabalu tahun 2009. Dia kini seorang pensyarah universiti.

Sekarang pun, saya tidaklah begitu kerap menghubunginya. Hanya sesekali. Beberapa hari dulu, saya menghubunginya lagi melalui sms melihat kepada berita keganasan yang berlaku di negeri bawah bayu itu. Saya kembali mengingatinya kerana Kunak antara kawasan yang selalu disebut di media massa sekarang ini. Saya tidak tahu apa yang berlaku di sana. Saya harap semuanya baik. 

Walaupun saya tidak begitu tahu dengan jelas di mana letaknya Kunak dulu, kini saya kian tahu lokasinya. Ia ada di hujung sebelah bawah di negeri Sabah. Dulu, saya membayangkan Kunak sebuah bandar kecil yang menghijau, sejuk dan berbukit bukau. Saya merasakan begitu kerana saya tidak pernah ambil tahu lokasinya. Sekarang, baru saya tahu lokasinya tidak jauh dari laut. 

Cuma saya berasa agak ralat saya cuma menerokai bandar Kunak beberapa hari ini sahaja. Itupun melalui internet. Saya sepatutnya pergi bercuti ke sana dahulu. Sekarang ini, ia menjadi lokasi yang entah bagaimana perasaannya. Saya harap teman saya bersabar. Walaupun dia tidak menetap di sana, tetapi tentulah ahli keluarganya ada di sana.

Kunak - saya harap ia tetap bandar yang menghijau, berbukit bukau dan dingin seperti yang digambarkan dalam mata hati saya. Saya harap ia kekal sepi dari cemas dan gelisah.

Monday, 4 March 2013

Ini bukan sandiwara

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Banyak pemain politik menyatakan apa yang sedang berlaku di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain di Sabah sekarang ialah sandiwara.

Inilah masalahnya apabila kuasa sudah mengelabui mata. Masing-masing tuduh menuduh. Ia ibarat kapal yang sedang karam. Setiap orang sedang bertekak mencari siapa yang membocorkan kapal. Akhirnya, dalam keghairahan untuk mendapat untung dan populariti, kapal yang sedang karam terdampar di dasar laut.

Waktu itu tidak ada gunanya lagi. 

Berhentilah. Tugas utama sekarang ialah menampung lubang yang bocor.

Tugas ahli politik ialah berkerjasama dengan rakyat meredakan keadaan. Kita mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan apa yang telah terjadi, dan apa yang bakal terjadi.Tidak kisahlah dari parti mana sekalipun. Ia sama sahaja. Tugas menjaga negara milik kita semua.

Tidak ada gunanya kuasa kalau kita sudah tidak ada apa-apa lagi. Tidak ada gunanya menang pilihanraya kampung tergadai. Tidak ada gunanya berpilihanraya kalau setiap hari ada sahaja kisah luka untuk diceritakan.

Ia bukan sandiwara. Ia juga bukan masanya mencari populariti.

Bila semuanya selesai, nanti kita bergaduh lagi. Tetapi bukan sekarang.

Friday, 1 March 2013

Terima kasih

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tengahari tadi, tamatlah Siri 1 Young Talents aka Program Melatih Pelajar Mengajar. 

Terima kasih kepada yang datang, termasuk dari jauh. Terima kasih juga kepada Yulita, yang mengajar statistik AMOS. Harap semua mendapat manfaat.

Tunggu Siri 2. Aku pun tidak tahu apa jenis statistik yang akan diajar pula.

Inilah sepatutnya PhD. Ia bukan sekadar mengkaji dan menulis. Anda patut berupaya memiliki semua kemahiran intelektual yang diperlukan. 

Kami semua sedang menjadi tua. Mustahil kami boleh mengajar lagi kalau sudah berjalan bongkok dan memegang tongkat. Anak-anak muda inilah yang bakal melaksanakan tugas itu nanti. 

Terima kasih.

  

 

Monday, 25 February 2013

FakirFikir tour dates

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku akan berada di beberapa tempat Mac 2013 ini. Ia program 'talk' research dan statistik.

Sesiapa yang tidak ada kerja, boleh datang minum kopi dengan aku selepas pukul 5 petang. Aku tidak boleh menjemput pembaca hadir ke dalam program berkaitan kerana aku juga dijemput.

10 & 11 Mac di Kolej Komuniti, Sungai Petani. 
12 Mac di USM. 
16 Mac di Fakulti Pendidikan, UM. 
21 Mac di KUIM, Melaka. 
9 April di UiTM, Shah Alam.

Sesiapa yang ada di kawasan berdekatan, yang sekadar untuk bertanya hal penyelidikan, kita boleh cari kedai kopi terbaik untuk bersembang-sembang. 

PhD: Metodologi atau topik?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mana yang patut diketahui terlebih dahulu, topik atau metodologi? Tanya seorang pelajar.

Ia soalan yang saling berkait. Ia seperti bertanya apa yang patut kita miliki terlebih dahulu, buah tembikai atau pisau. Kalau buah tembikai ialah topiknya, metodologi itulah pisaunya. Buah tembikai tanpa pisau untuk memotong menjadikan buah tadi mungkin hancur terburai. Pisau tanpa ada benda hendak dipotong mungkin tidak berguna juga.


Bagaimana pun, dengan pisau yang baik, kita boleh memotong banyak perkara. Tidak hanya buah tembikai, tetapi juga daging dan ikan. Semakin tajam pisau yang kita ada, banyak perkara yang boleh kita lakukan. Semakin banyak pisau yang kita ada, semakin banyak buah yang boleh kita kupas.


Sebagai pengkaji, tidak hanya buah sahaja yang patut menjadi topik tumpuan kita. Kita sesekali mungkin cuba mencari jalan lain yang lebih baik. Kita mungkin berkata bahawa pisau yang sedia ada, yang banyak diguna orang mungkin tidak relevan. Kita boleh mencadangkan agar pisau jenis lain pula yang patut digunakan untuk memotong buah tembikai.


Dalam konteks seperti ini, topik kajian kita tidak lagi tertumpu kepada buah, tetapi pisau. Ini hal yang jarang diambil kira dalam banyak kajian kita. Misalnya, kalau kita katakan kajian mengenai pelajar sekolah selama ini hanya berkisar kepada soal selidik, adakah tidak mungkin kalau kita gunakan kaedah experimen. Kita boleh berhujah bahawa sekalipun keputusan yang ditemui dalam banyak kajian selama ini sebenarnya hanya menggunakan kaedah survey. Dapatan berbeza mungkin diperolehi kalau menggunakan experimen.


Trend penyelidikan sains sosial sekarang sebenarnya tidak lagi berkisar hal topik atau responden. Tetapi banyak daripadanya telah berubah kepada penghujahan berkaitan metodologi. Kaedah diari misalnya, antara kaedah yang klasik dan telah hampir dilupakan. Mutakhir ini, ia nampaknya muncul kembali dalam banyak jurnal besar.


Kenapa? Sebab kelihatanya ia mampu mengulas isu 'dyad' dan menapis isu 'common-methods variance". 


Begitu juga dengan cara mengutip data pada peringkat individu. Banyak pengkaji terkenal sudah mempertikaikan masalah data tahap individu. Mereka ini mempopularkan kaedah multi-level pula.


Jadi, isu topik sebenarnya sudah tidak menjadi perdebatan yang hangat. Metodologi itu sendiri sudah boleh menjadi satu 'kelompangan' kajian yang boleh diterokai.


Itulah juga memungkinkan seseorang boleh dianggap sarjana atau tidak.

Saturday, 23 February 2013

Macam mana nak tulis?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapa yang berminat untuk workshop 'Macammana nak menulis?', boleh join.

TERBUKA UNTUK PELAJAR SAHAJA. 

Dianjurkan Persatuan Postgrads Fakulti Pendidikan, UM.
Tarikh:16 Mac, Sabtu, 9 am-12pm.
Fasilitator: FakirFikir.
Bayaran: Sedikit token mungkin diminta oleh Persatuan pelajar terbabit.
Mode: Informal/hands-on.
Nota: Ia spesifik untuk menulis akademik.
Hubungi email untuk keterangan lanjut. Kekosongan tempat bergantung kepada kouta penganjur.

Friday, 22 February 2013

Dera kanak-kanak: bagaimana kita?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Penderaan kana-kanak menjadi isu global.

Kita mungkin merasa benci melihat ada orang yang mendera anak-anak. Kita merasa mereka sangat kejam. Ada yang diseterika. Ada yang dicucuh puntung rokok. Ada yang dilambung. Pelik dan ajaib. Dalam dunia ketika orang sedang bercakap ketamadunan, masih ada lagi orang berhati binatang.

Hakikat yang mungkin kita tidak tahu, kita mungkin salah seorang daripada mereka.

Baca di SINI.

Tuesday, 19 February 2013

Mengapa kelihatannya tidak begitu sarjana?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang teman merungut bertanya mengapa pelajar pasca-siswazah sekarang sepertinya tiada 'aura'? Dalam erti kata yang lain, kurang kualiti kesarjanaannya.

Aku diam. Aku tidak pasti apakah yang harus aku jawab. Yang bertanya itu bukanlah lulusan universiti juga pun. Bagaimana dia mendefinisikan kesarjanaan juga tidak pula diberitahunya.

Tetapi, bukanlah bermakna untuk menjadi sarjana harus masuk universiti. Banyak ilmuan silam yang menulis kitab yang tinggi ilmunya, dibahas manusia hingga ke akhir zaman bukanlah lulusan universiti. Tetapi mereka mungkin mendapatkan ilmu dengan cara yang lain. Mereka ada puluhan guru.

Dunia hari ini, kita dikeceramukkan dengan teknologi dan 'online'. Jari kita boleh mendapatkan sejuta maklumat dalam masa beberapa minit sahaja.

Tetapi maklumat tanpa pemikiran bukanlah kesarjanaan. Tauke kedai runcit ada jutaan maklumat mengenai harga barang, dan turun naik harga barang. Belum tentu dia seorang sarjana juga.

Seorang teman aku di kampung - hanyalah tauke bengkel perabut. Tetapi dia boleh membahaskan banyak ilmu. Dia membaca begitu banyak. Dia tahu banyak perkara, tetapi yang lebih utama dia mampu berfikir di luar kotak daripada apa yang diperolehinya daripada satu-satu maklumat.

Mungkin itulah sifat kesarjanaan.

Mengapa pelajar kita ada yang tidak sampai ke tahap itu? Mereka tidak sampai ke tahap pembahasan ilmu bagi bidang mereka.

Jawapannya mudah. Mereka kurang membaca, menaakul dan berfikir. Mereka mungkin diasak oleh penaja atau organisasi untuk mendapatkan sekeping PhD atau ijazah sarjana. Semuanya mesti cepat. Jadi, mereka melakukan jalan pintas. Cara paling mudah menulis balik apa yang dikatakan orang lain.

Kalau mereka berbahas hal teori, katakanlah - cuba kita bertanya mereka mengapa mereka patut percaya dengan teori yang mereka pakai? Mengapa tidak menggunakan teori lain?

Ada yang tidak boleh menjawabnya. Ini bermakna tidak berlaku proses penaakulan.

Mereka tidak menggelintar maklumat lain yang setara ddalam bidang atau topik mereka. Ini menjadikan mereka tidak boleh menjadi sarjana yang besar.

Adakah aku seorang sarjana?

Tidak juga. Aku juga seperti orang lain.

Aku juga bukan seorang yang ada kesarjanaan. Tetapi aku cuba membaca apa sahaja yang boleh digapai. Dan berfikir sedikit mendalam. Sesekali aku gagal. Sesekali aku berjaya. Adakalanya aku pernah jatuh sakit.

Banyaklah membaca. Bacalah dengan banyak.

Monday, 18 February 2013

Program Khidmat Komuniti

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
UPDATE: DAH PENUH! TUNGGU SIRI SELANJUTNYA. 

Salam,

Sebagai sebahagian daripada khidmat komuniti, saya akan menganjurkan program seperti berikut.

Program: Structural Equation Modelling using AMOS
Tarikh: 1 Mac 2013/ 9-30am -12.00 pm (Jumaat)
Maksimum peserta: 10 orang sahaja  (Cuma ada 4 kekosongan sahaja lagi).
Trainer: Yulita (PhD candidate in Work Psychology, UM)
Mode: Hands-on

TERBUKA UNTUK PELAJAR SAHAJA

Ia juga merupakan sebahagian daripada cara saya membantu pelajar pasca-ijazah meningkatkan kemahiran mengajar mereka kepada ahli masyarakat. Bagaimana pun, saya akan membimbing pelajar/peserta berkenaan ketika kelas berjalan

Secara dasarnya, bengkel ini diberikan secara PERCUMA. Bagaimana pun kami mengalu-alukan sekiranya pihak Tuan/Puan untuk menyumbangkan RM30 sebagai bantuan untuk pelajar ini mendapatkan dana bagi tujuan penyelidikan mereka

Keperluan:

Sila bawa notebook yang telah diinstall SPSS dan AMOS bersama.

Sekiranya anda tidak mempunyai notebook, kami akan menyediakan komputer, bagaimana pun jumlahnya sangat terbatas

Hubungi fakirfikir@gmail.com untuk MENGESAHKAN kehadiran anda.  

TERBUKA KEPADA SIAPA YANG CEPAT SAHAJA, DAN BERGANTUNG KEPADA KEKOSONGAN

Saturday, 16 February 2013

Menulis seperti memasak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Menulis sebenarnya bukanlah hal yang sukar. Ia seperti memasak.

Setiap yang bernama penulis, biasanya sudah menyusun alir penulisannya di dalam otak mereka. Ini bagi mereka yang menulis buku atau novel. Mereka sudah tahu apa yang hendak dimula, dan apa yang akan berakhir. Mereka tahu apa yang akan ditulis di bab 1, dan apa yang akan ada di bab terakhir. Ia mungkin hanya sekadar bayangan sahaja.

Dalam psikologi, ia dinamakan 'schema', atau skema. Ia disusun dalam bentuk 'chunking' atau 'cluster'.

Masalah bagi kebanyakan orang ialah masa. Inilah yang sebabkan seseorang itu tidak boleh menulis.

Bagaimana pula dengan penulisan akademik?

Ia lebih mudah. Ia bukan imaginasi. Ia bukan hayalan. Aliurnya sudah ditentukan.

Apa yang menjadi masalahnya. Masalahnya ialah kebanyakan penulis tidak tahu 'flow' yang sepatutnya.

Seperti seorang tukang masak, penulis sudah tahu langkahnya. Mereka sudah tahu bila masa akan diletakkan minyak, bawang, ikan dan beberapa kali ikan perlu dialihkan. Tidak boleh dimasukkan ikan dahulu, kemudiannya baru diletakkan minyak. Ia akan menjadi hal yang pelik.

Dalam tulisan akademik, sebenarnya pada setiap perenggan sudah ditetapkan apa yang patut ditulis dahulu. Cuba anda membuka jurnal, dan lihat flownya. Lihat persamaan flow dan rentaknya. Apa yang sama? Nota: Jangan membuka jurnal kelas bawahan, ia tidak mempunyai flow yang sewajarnya. Mereka meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Inilah asas yang patut dipelajari.

Keduanya, ialah ilmu berhujah. Ia memerlukan penulis tahu di sisi mana mereka berada. Dengan ini barulah mereka tahu bagaimana menulis secara analitikal. Kalau penulis tidak ada 'stand', kita akan menulis balik apa yang ditulis orang. Banyak penulis hanya mengulang balik apa yang telah ditulis, tanpa tahu bila saatnya harus dipuji atau dikritik, atau bersikap neutral. Sebab itu, tulisan seperti ini ialah tulisan yang kaku. Tulisan seperti ini ialah tulisan yang tiada roh.

Bagaimana untuk menjadikan sesebuah tulisan ada 'roh'?

Datanglah kelas.



Friday, 15 February 2013

I want to be a writer

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
'I want to be a writer

-----------------------

Itulah karya novel yang diberikan oleh seorang pelajar setelah selesai aku mengajar mereka menulis. Aku belum membacanya lagi. Tidak juga pasti sama ada aku mampu membacanya. Sudah lama aku tidak membaca novel. Mataku sudah tua untuk membaca novel. Aku juga tidak membaca apa pun lagi. 

Apa istimewanya novel ini?

Istimewanya, novel ini diberikan sendiri oleh penulis buku ini. 

Selama ini aku sangka akulah yang paling pandai menulis. Rupanya tidak. Rupanya yang duduk dalam kelas aku, dalam kelas mengajar hal tulis menulis itu pula ialah seorang penulis yang bernama Ummu Hani.

Di kulit buku itu, tercatat bahawa penulis telah menulis 9 buku, 10 skrip drama dan 40 buah cerpen. Hebat bukan penulis muda ini. Beliau bukan sebarangan orang. Aku bimbang, nanti dia menulis cerita tentang aku pula. Aku sudah berangan-angan untuk mendapatkan seorang peguam dan akauntan untuk membincangkan hal royalti.

Antara novelnya yang lain ialah Baromkeh: Matamu di Mataku dan Catatan Hati Nik Nur Madihah. Ada yang beberapa kali diulang cetak. Anda patut mencari dan membacanya.

Kecuali aku, sebahagian daripada pembaca blog ini yang merajinkan diri membaca novel mungkin tahu mengenai novel-novel ini. Aku memang tidak mampu bersekang mata dan hati membaca novel. Aku menjadi sangat malas.


------------------------------------------

Tunggulah. Nanti aku juga akan menulis seperti ibu muda ini. Aku akan menulis novel yang lebih hebat daripada novel The Stranger tulisan Albert Camus. Ia antara novel yang aku suka membacanya. Itupun ketika aku masih muda dulu.

Tunggulah. "Cinta tak sudah" - Novel cinta yang akan membuatkan tanahair kita ditenggelami air mata. Burung yang terbang jatuh ke tanah. Bintang bertaburan kehilangan galaksi. Pasangan bercinta tidak lalu makan beratus hari. Ia novel cinta paling masyur abad ini. Ia bakal mengalahkan cerita Sangam yang masyur itu. 

Hebatnya novel aku nanti, melihat kulitnya sahaja orang sudah menangis, belum lagi kalau membacanya. Malah, orang yang buta pun akan membelinya untuk menghidu halamannya sahaja.

Hebat dan agung sekali karya aku nanti.

Ia akan membuatkan peniaga yang menjual tisu pening kepala.

Anda yang membacanya mungkin tidak akan berbuat apa-apa. Anda akan terus menangis berhari-hari. Pasaraya Mydin akan kosong ketiadaan pelanggan.


Ia bakal diterjemahkan ke dalam semua bahasa utama dunia. Malah, penduduk orang asli di Australia pun melakukan demontrasi di depan Kedutaan Malaysia di Canberra agar novel ini diterjemahkan ke bahasa Pitjantjara, bahasa yang hampir pupus.

Sebagaimana tajuknya, teruslah menunggu. Ia hanya anganku yang tak sudah. Ia akan hanya menjadi novel yang tak akan tersudahkan. 

Aku mungkin mati dahulu sebelum novel ini disiapkan. Malah, anda juga mungkin sudah terlalu tua untuk membaca novel cinta ini. Sehingga saat ini, aku belum pun menulisnya lagi.

Ia hanya angan aku sahaja - I dream to be a writer! Aku tak akan mampu menjadi penulis novel.

Ia sepatutnya bertajuk Novel tak sudah!

Saturday, 9 February 2013

Kepuasan ahli akademik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Satu hari aku bertanya kepada pelajar aku, "Apakah yang yang paling menyeronokkan hidup sebagai pensyarah?". Mereka memberikan beberapa jawapan. Semuanya tidak betul.

Aku katakan: "Aku sangat merasa puas kalau pelajar aku menjadi pandai, dan lebih baik dari kebanyakan orang'.

Ia kepuasan yang sangat indah. 

Sekarang ini, beberapa orang pelajar aku sudah boleh menjadi mentor kepada orang lain, bahkan kepada pelajar ijazah tinggi juga. Mereka ini boleh mengajarkan orang lain hal statistik. 

Setiap kali kalau aku terserempak dengan mereka yang sedang mengajarkan pelajar lain tentang statistik, aku merasa itulah antara keindahan seorang ahli akademik. Sekurang-kurangnya kita tahu, kita sudah memberikan manfaat kepada pelajar kita. Pelajar kita pula memberikan manfaat kepada orang lain.

Bayangkanlah guru yang mengajar kita di sekolah rendah? Mereka ini antara manusia terhebat yang sering kita lupakan.

Sekarang ini, selain melakukan pekerjaan rutin sebagai pengajar, aku sedang merangka program melatih pelajar menjadi pengajar. Mereka akan memberikan latihan statistik kepada pelajar yang memerlukan.  Aku masih akan berada di dalam kelas, kerana aku perlu mengajar mereka bagaimana untuk mengajar.

Untuk Siri 1 ini, kami akan mengadakan Bengkel AMOS. Kemungkinannya di hujung Februari nanti. Ia bakal dikendalikan oleh pelajar PhD aku, Yulita. Siri berikutnya ialah HLM. Tarikhnya belum dipastikan. Pengajarnya juga belum dipastikan.

Anda yang berminat boleh datang. Seperti biasa, hubungi aku dulu. Anda berkemungkinan diminta untuk membayar sedikit 'token' bagi membolehkan mereka membiayai penyelidikan mereka.


Thursday, 7 February 2013

PhD: Siapakah yang bakal membantu anda?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak balik ke Malaysia, aku rasa kehidupan aku tetap juga sibuk. Sepanjang tempoh ini juga, kecuali dua kali, tidak pernah aku memakai tali leher. Kali pertamanya ketika aku menang anugerah di Australia. Kali kedua ketika aku menghadiri konvokesyen. Selebihnya aku seperti ini juga.

Banyak yang aku belajar sejak balik ke Malaysia.

Antara isu utamanya ialah bagaimana mendidik anak muda kita di universiti menjadi 'real scholar'. Ia hal yang tidak susah, tetapi tidak mudah.

Pelajar pasca sarjana muda sekarang dipaksa untuk menerbitkan jurnal yang tersenarai di ISI. Ada universiti yang memberikan wang imbuhan bagi setiap penerbitan. Ada pula jabatan khusus untuk mengedit bahasa Inggeris kepada mereka yang lemah bahasa. Ada juga program lonjakan, seperti Bright Sparks yang menawarkan pelajar dalam kategori ini dengan biasiswa yang banyak. Mungkin lebih mahal dari gaji sebulan seorang pegawai tadbir yang baru lulus ijazah.

Bagaimana pun, aku terkesan satu isu besar. Ia hal yang perlu ditangani. 

Sekalipun banyak ganjaran, dan sekalipun banyak paksaan, siapa pula yang boleh menjadi mentor untuk mereka menulis dan membiasakan diri dengan penyelidikan berkualiti? Ini hal yang sangat merunsingkan. Sekiranya penyelia mereka sendiri tidak menerbitkan makalah di jurnal ISI, tidak terbiasa dengan tipu helah penerbitan antarabangsa berstatus ISI, bagaimana mereka boleh tahu bahawa sesuatu penyelidikan itu akan mampu diterbitkan?

Pelajar dalam kategori ini biasanya akan tertekan. Siapa yang bakal menjadi pembimbing mereka.

Memang, aku sendiri ada beberapa siri program untuk membantu pelajar ini. Walaupun tidak semestinya kajian mereka akan diterbitkan, sekurang-kurangnya aku mengajar mereka jalannya. Bagaimana pun, aku tidak mampu mengajar semua orang dan mengajar setiap hari. 

Saranan-saranan pensyarah agar pelajar menggunakan 'convienience sampling' dan jangan menggunakan kajian longitudinal adalah antara suara yang selalu aku dengar. Ini semua adalah saranan yang menjadikan sesuatu kajian itu tidak akan diterbitkan.

Belum lagi termasuk dengan budaya tidak menggalakkan tradisi berfikir. Semua orang diasuh untuk akur dengan telunjuk. Biasanya mereka ini juga sebenarnya tidaklah memiliki reputasi sebagai sarjana besar. 

Jadi apa kesudahannya.

Ada seorang dua yang pandai, tidak pula mahu membantu. Kami berkerja dalam dunia yang sibuk

Jadi alasan sibuk menjadikan pelajar tidak dibantu dengan baik. Kata orang, dunia penyelidikan sarjana dan PhD ini ialah dunia 'berdikari'. Benarlah dongeng keramat itu. Isunya berdikari sahaja tidak cukup kalau budaya penyelidikan kita masih lemah. Berdikari ini pun ada caranya. Syaratnya pelajar pelu ada semua kemahiran asas sebagai penyelidik yang baik. Waktu itu, barulah kita boleh membenarkan mereka berdikari. Di Barat, kalau mereka kehilangan punca, mereka ada banyak cara untuk mendapatkan lampu suluh.

Di tempat kita, di manakah mereka boleh dapatkan cahaya itu?

Untuk tahun pertama dan kedua, pelajar ini perlu dibimbing. Mereka hanyalah manusia biasa seperti orang lain. Bahkan ada yang tidak tahu apa-apa pun.

Siapa yang bakal membantu mereka?

Kitalah. Kitalah semua. Kitalah yang ada kesedaran untuk semua ini.

Wednesday, 6 February 2013

Pilihanraya 2 - Berita-berita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap hari kita membaca suratkahabar. Banyak berita politik. Ada yang kita suka, ada yang hanya sempat kita melihat tajuknya, kita sudah merasa meluat untuk membacanya.

Apatah lagi banyak berita yang tersiar di media arus perdana yang kelihatannya tidak seimbang. Kononnya begitulah. Katanya begitulah.

Lalu, kita membuka media online. Kita rasa ia menyiarkan berita yang seimbang. Ia menyiarkan berita yang betul.

Bila balik ke kampung, kita jadi pelik mengapa orang tua kita boleh percaya dengan berita yang tersiar di kaca televisyen. Sedangkan kita tahu banyak yang disiarkan itu hanya berita yang telah di'twist' menjadi berita baru.

Kita  jadi pelik mengapa ada orang yang boleh begitu mudah terpedaya. Kita gelarkan mereka fanatik, tetapi tidak mahu membaca realiti.

-----------------------

Yang kita mungkin jarang ambil tahu ialah diri kita. Kita juga sebenarnya sama sahaja. Bezanya kita mengambil sisi yang lain. Kita terpedaya dengan berita yang disiarkan di portal, tetapi kita tidak percaya dengan berita arus perdana. Orang tua kita percaya dengan berita di media arus perdana, tetapi mencemuh apa yang ada di Malaysiakini atau MalaysiaInsider.

Kita katakan berita yang kita baca itu adil, tetapi apa yang dibaca orang tua kita tidak. Orang tua kita mengatakan apa yang mereka baca itu benar, tetapi apa yang kita dengar itu fitnah.

----------------------

Apa semua ini?

Inilah simptom psikologi. Kita membaca apa yang kita ingin baca. 

Kita melihat apa yang kita ingin lihat. Kita suka apa yang kita mahu suka.

Salah atau tidak?

Tidak

Ia hal psikologi biasa. Kita perlu menghadapinya

Sebab itulah ujudnya pilihanraya. 

Kalau semua orang hanya ada pada satu sisi dan satu suara, tidak perlulah pilihanraya.




Saturday, 2 February 2013

Pilihanraya 1

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Saya tidak perlu menunggu Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihanraya untuk mengetahu bila pilihanraya. Saya tahu pilihanraya sudah kian dekat apabila tiba-tiba Amanat Haji Hadi menjadi isu utama perdebatan negara. Saya tahu apabila tiba-tiba isu agama menjadi sangat terbakar, disebut berulang kali di suratkhabar. Walaupun saya tahu, di luarnya orang tidak mengambil kisah sedikitpun akan kisah hangat ini. Saya tahu pilihanraya kian mendekat apabila orang politik mula sibuk bersalam di sana sini.

Saya tahu. Saya sudah beberapa kali mengundi, dan beberapa kali tidak mengundi. Saya tahu. Saya cuma tidak berkempen atau menampal bendera. Ia bukan kerja saya. Saya mengundi siapa yang saya rasa betul. Saya tidak ambil peduli parti mereka. Saya bukan orang 'atas pagar', seperti yang selalu disebut oleh pengkaji politik mutakhir ini. Saya berada di dalam pagar saya sendiri.

Beberapa minggu dulu, saya berada di hospital menjaga kakak saya yang sakit. Kerana saya tidak ada banyak aktiviti, saya berbual dengan sesiapa sahaja yang saya rasa boleh berbual dan sesuai dengan selera kerongkong saya. Seorangnya ialah jaga lelaki. Anaknya ada banyak juga. Seorangnya belajar di universiti tempat saya berkerja. Katanya, dia hanya memberi wang poket tidak sampai RM 100 sebulan untuk anaknya itu. Saya tidak mahu menyebut jumlah sebenar, kerana jumlah itu sedikit lagi dari belanja saya membeli rokok.

Saya juga berbual dengan seorang makcik di pintu surau. Apabila saya berbual dengan emak saya yang bertudung dalam bahasa Siam, makcik itu bertanya saya, bahasa apa? Saya kata, Siam. Dia meneruskan pertanyaannya, 'Agama apa?" Saya kebingungan, soalan ini ditanya ketika saya keluar dari surau. Saya tidaklah kisah sangat dengan soalan itu, tetapi saya kasihan dengan makcik berumur 50-an itu dengan darjah pengetahuannya. Saya terpaksa memberitahunya, dalam dunia ini ada beratus bahasa. Ada orang putih yang bercakap Inggeris, tetapi mereka orang Islam. Ada yang bercakap India, tetapi mereka juga Islam. Tidak ada apa kaitan pun antara bahasa dengan agama.

Dia diam.

Oh. Apa yang sedang saya cuba perkatakan?

Saya berkata, dalam dunia tatkala ada banyak isu yang patut kita tingkatkan - janganlah kita ambil hal-hal remeh untuk tujuan perdebatan negara. Kita patut berdebat hal ekonomi orang kita. Sejauh mana kita mampu menjaga masyarakat untuk berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia. Kita patut berdebat bagaimana patutnya kita berkerja untuk meningkatkan celik pengetahuan orang kita.

Isu Amanat Haji Hadi ini tidak akan membawa kita ke mana pun. Isu membakar Bible ini tidak akan menjadikan kita lebih alim. Yang utama ialah pengetahuan kita mengenai sesuatu. Bukan membakar emosi manusia dengan hal yang boleh melembabkan lagi pengetahuan kita yang tidaklah begitu cerdas ini.

Friday, 1 February 2013

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails