Yang Ikut

Tuesday, 20 September 2011

Dunia ini berputar

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa tahun dulu, aku diselia orang lain.

Beberapa hari terakhir ini, tiba-tiba aku mempunyai 5 orang pelajar tahun akhir untuk diselia. Sebenarnya dunia akademik ini adakalanya sedikit meriangkan. Kita berinteraksi dengan anak muda, yang umurnya puluhan tahun lebih muda dari umur aku. Apabila mereka mencadangkan tajuk kajian, ada ketikanya mungkin inilah juga yang difikirkan penyelia aku belasan tahun dulu. Banyak tajuk yang dihasilkan pelajar datangnya dari 'mimpi', dan bukannya dari pembacaan. Seperti juga aku belasan tahun dulu.

Pada usia semuda itu, pengalaman kita masih kurang. Kita teruja dengan sesuatu dengan cuba menyelidikinya. Bagaimana pun, kita tidak pula tahu dari sumber mana kita membacanya. Kita hanya memakai teori serkap jarang. Mereka menciptakan tajuk dulu, kemudiannya berfikir di lingkar tajuk itu. Itu adakalanya menjadikan pemikiran agak tumpul, kerana cuba memaksa diri berfikir dalam kepompong tajuk yang mereka ciptakan.

Tapi, sekurang-kurangnya itu proses pembelajaran. Semua dari kita pernah melaluinya. Setinggi mana pun kita sekarang, kita juga sebenarnya seperti anak-anak muda ini juga puluhan tahun dulu. Kabur, keliru tetapi teruja.

Aku juga mengjar dua subjek - metodologi penyelidikan dan statistik. Metodologi penyelidikan ialah topik kegemaran aku puluhan tahun dulu, dan juga kini. Ia tidak menjadi masalah.

Statistik ialah topik yang selalu mengganggu CGPA aku di universiti dulu. Aku seperti anak-anak muda ini, keliru dan sesekali berasa cuak.

Cuma sejak aku membuat PhD - aku mula sedar susahnya statistik hanyalah permainan minda sahaja. Tidak ada apa yang teruk pun. Dunia sekarang, statistik dijalankan oleh pelbagai software. Tidak perlu tahu angka dan simbol lagi. Lain, kalau belajar statsitik untuk menjadi ahli statistik. Kalau sekadar untuk menjalankan kajian, tahu sedikit sebanyak asas statistik sudah memadai.

Dahulu, kami belajar statsitik di bilik kuliah. Pensyarah menulisnya di white board, kami menyalinnya semula. Habis semester, apa yang aku belajar hanya menyalin kuliah, dan bukan ilmunya.

Realitinya, statistik perlu belajar dengan data, dan bukan tulisan. Bermain dengan data itulah statistik. Dulu, kami diminta mengutip data setelah tahu semua formula. Aku rasa itu jalan yang salah dan panjang. Pelajar patut diminta mengutip data dahulu, kemudian kita ajarkan mereka bagaimana menjalankan analisis. Itu jalan lebih mudah.

Dulu, aku menjadi pelajar yang selalu mencari salah pensyarah. Sekarang, aku berada di hadapan pelajar dan anak muda ini. Mereka juga mungkin sedang berkata sesuatu.

Dunia berputar. Satu hari nanti, mereka pula akan berada di hadapan kelas. Ada orang lain sedang memerhati dan menilai mereka.



Saturday, 17 September 2011

Kalau begitu, belum tentu begini

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kerana sejarah bergantung kepada penilaian masing-masing, maka dikatakan bahawa kerana si A telah melakukan penentangan di zaman penjajah, maka si A harus diangkat sebagai nasionalis. Ini kerana si A melawan penjajah. Ini antara hujah yang berlegar sekarang ini.

Dalam psikologi ada dibincangkan hal seperti ini. Orang mengaitkan dua perkara kerana berdasarkan rasional. Katakan begini. (i) Bunga ia spesis yang wangi. (ii) Bunga tahi ayam termasuk dalam spesis bunga. Maka (iii) bunga tahi ayam juga wangi. Atau 'Melayu ialah bangsa yang peramah'. 'Ahmad ialah seorang Melayu'. Jadi, 'Ahmad seorang yang peramah'.

Sebenarnya, ia hubungan tidak berkaitan. Walaupun bunga bersifat wangi, tetapi bunga tahi ayam tidak. Walaupun Melayu itu peramah, belum tentu Ahmad seorang yang peramah. Dia mungkin seorang yang pendiam.

Sebab itu apabila anda membaca apa-apa sahaja laporan atau berita, anda harus bijak menggunakan akal anda. Anda harus berdiri atas kapasiti anda, dan bukannya mengikut corak pemikiran yang dilagukan oleh pihak lain - sekalipun mereka itu ialah idola anda.

Kalau kita menggunakan hujah setiap yang menentang penjajah ialah nasionalis, maka adakah Chin Peng juga harus dianggap nasionalis? Harus diingat, yang menentang penjajah itu belum tentu kerana bangsa atau negara. Jepun juga menentang penjajah Inggeris, tetapi mereka bukanlah nasionalis kerana mereka ada agenda lain. Komunis juga menentang Inggeris, tetapi belum tentu mereka nasionalis.

Yang duduk diam di atas rumah, yang tidak berbuat apa-apa - tidak pula boleh dianggap sebagai bukan nasionalis. Semuanya bergantung kepada niat yang ada di lubuk hati seseorang.

Kerajaan Siam membenarkan Jepun menggunakan negaranya untuk dijadikan jalan ke Tanah Melayu. Sekali pandang, ia bukan langkah yang bersifat nasionalisme, kerana membenarkan kuasa asing - apatah lagi gerombolan tentera memasuki negara. Bagaimana pun, akhirnya diketahui bahawa langkah itulah yang menyelamatkan Siam dari dijajah.

Malaysia juga kononnya tidak pernah terjajah. Aku tidak mahu mengulasnya. Pembaca lebih bijak dan arif. Anda tidak perlu ada jawatan atau kelulusan yang besar untuk mengulas pandangan ini. Yang perlu anda tahu - sejarah ditentukan oleh sesiapa yang menulisnya.

Yang paling utama - sedikit fikiran yang waras dengan dapat berfikir - kalau begitu, belum tentu begini.

Thursday, 15 September 2011

Aku bukan aku yang dulu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Transisi ini memang memedihkan.

Aku sedang dalam proses untuk percaya bahawa aku bukan lagi aku 4 tahun yang dulu. Aku keluar rumah seawal jam 6.30 pagi. Di Adelaide aku boleh keluar dari rumah ikut suka waktu. Tiada jalanraya yang macet. Malah, aku juga boleh tidak keluar dari rumah.

Aku juga perlu percaya bahawa aku perlu menjadi orang lain. Kerja lamaku sebelum ke Adelaide, aku boleh berseluar jean dan berbaju t. Sekarang - walaupun tidak ada polisi yang menyatakan tidak boleh berseluar jean dan berbaju t, tetapi aku belum lagi melihat orang lain melakukannya. Jadi, aku terpaksa akur - atau dalam istilah psikologi - confirmity. Kita perlu ikut apa yang majoriti lakukan.

Walaupun jam kerjaku anjal - boleh datang dan balik tidak ikut waktu seperti kakitangan awam yang lain - tetapi aku memang terbiasa tidak pulang awal. Aku memang ada banyak kerja. Aku tidak biasa pulang sebelum jam 5 petang. Itu rutin hidupku dari dulu lagi.

Tapi sekarang, kalau aku pulang selepas jam 5 - aku tidak mampu lagi untuk menilai bahawa gadis penjaga tol itu sebagai manusia yang indah walaupun dia tersenyum lebar dan bercakap sopan. Aku lelah melewati jalan yang sesak - melihat kerdipan lampu signal kereta, sesekali terkejut dengan warna merah lampu brek - kereta celah mencelah. Ia merimaskan. Dan kemudiannya, tiba-tiba aku diminta membayar seringgit dua - sedangkan aku tadinya sedang melewati jalan yang sesak.

Hey. Ini hal yang sungguh janggal. Aku melewati jalan yang macet, tapi aku diminta membayar pula. Deretan tol di setiap lorong di ibu kota ini - seperti pukat tunda pula. Ia menangkap semua. Tidak kira siapa yang melaluinya. Tapi - jam petang yang sesak itu - aku selalu percaya bahawa hanya anak ikan bilis yang susah - yang ada beberapa keping wang kertas merah di dalam poket - yang melaluinya. Ikan jerung akan menggunakan jalan udara. Ia lebih cepat.

Entah berapa liter minyak yang habis dalam sesak trafik kota ini. Keretaku tidak bergerak, tetapi petrol kian kering. Kemudiannya, aku perlu mengisi petrol lagi. Ia tidak murah. Ia mahal untuk orang yang hanya ada beberapa keping wang kertas di dalam poket. Berapa juta pengguna jalanraya sehari. Ah, sungguh beruntung saudagar minyak.

Sampai di rumah - jam sudah malam. Aku tidak ada waktu untuk berfikir lagi. Kemudiannya aku membuka televisyen. Berita apakah ini? Janggal dan pelik. Seperti aku sedang menonton berita gosip pula. Ia berita yang menyesakkan telinga. Tidak ada berita yang yang membuka ruang untuk aku berfikir. Tolonglah.

Tapi - aku perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa aku kini sedang menjadi aku yang lain. Aku bukan lagi aku yang dulu.

Monday, 12 September 2011

Kita semua terpaksa

9 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari lalu, aku menghabiskan masa membaca kisah hidup A Samad Said. Walaupun beliau mempunyai gelar 'Datuk", beliau lebih senang hanya disapa Pak. Kata Pak Samad, beza antara penulis dan seniman itu mudah sahaja. Penulis menulis apa yang disukai orang, manakala seniman menulis sesuatu sekalipun ia tidak disukai. Dalam hal ini, aku juga cuba menulis dengan cara kedua.

Dua hari lalu - aku mengorbankan imej kusutku dengan memangkas rambut di sebuah kedai Cina di Sungai Kerang. Aku mencari kembali semua seluar dan baju kemeja yang sudah 4 tahun aku sembunyikan di dalam almari di rumah isteriku. Aku sangka dengan sedikit kemas, ia akan menghilangkan imej kusutku. Nyatanya tidak. Ia mengusutkan daya fikirku. Ia mengusutkan gelojak batinku.

Hari ini, aku melakukan sesuatu di luar sukaku. Aku ada talipinggang baru. Aku berseluar slack. Cuma aku mampu bertahan sedikit kerana aku masih mampu memakai baju berlibat hingga ke siku - dan tidak diseterika pula.

Hari ini aku juga kembali ke ruang kerja. Aku seolah-olahnya menjadi lulusan universiti yang baru pertama kali mendapat kerja. Aku mula mengajar. Bagus juga. Sudah lama aku tidak berbual dengan anak muda. Aku tanya apa cita-cita mereka. Pada akhirnya, aku memberitahu - apa pun pada akhirnya yang terlebih utama bukanlah jenis kerja yang kita idamkan. Yang utama ialah ada kerja dan ada wang. Itu sahaja. Cita-cita hanyalah angan-angan.

Aku diberikan satu bilik dan sebuah komputer. Tetapi ternyata dunia kian sibuk. Ada proposal PhD untuk aku teliti. Sebenarnya mudah sahaja. Ia bukan bidang kepakaran aku. Jadi, aku boleh lupakan.

Besok aku berkerja lagi. Aku terpaksa mewangikan badan dan menyapu minyak rambut. Aku terpaksa memakai pakaian kemas. Aku terpaksa menyedapkan mata orang.


Nizam, kawanku di Adelaide akan ketawa besar. Melihat isteriku membelikan tali leher untukku, sudah cukup dia mengetawakan aku. Tapi, aku belum memakainya lagi.

Aku terpaksa. Semuanya kerana wang.

Seperti kamu juga. Kamu terpaksa kerana wang.

Saturday, 10 September 2011

Barang basi pun kita akan membelinya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ada ura-ura syarikat telekomunikasi ingin menaikkan caj perkhidmatan pra bayar sebanyak 6 peratus. Sebulan dua yang lalu, syarikat televisyen berbayar juga cuba membuat perkara yang sama, yakni menaikkan caj perkhidmatan mereka.

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang sudah naik di Malaysia ini. Sampai ke satu tahap, kita tidak ambil peduli lagi.

Kita mungkin tidak begitu kecewa kalau kenaikan ini mengambil kira kenaikan mutu perkhidmatan.

Di rumah aku di Changlun, seorang teman aku merungut kerana siaran televisyen berbayarnya tidak dapat menerima saluran TV1. Dia cuba membuat aduan. Dia mengadukan masalahnya. Seorang kakitangan menjawab bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kerja mereka hanya mengutip bil.

Setelah pergi ke satu pejabat, dia diminta pergi ke pejabat lain di Kangar. Sampai di sana, dia diminta pula untuk mengadukan masalahnya dengan menelefon bahagian khidmat pelanggan. Dia menjadi seperti bola, di tolak ke sana sini. Akhirnya, dia membuat keputusan memotong sahaja perkhidmatan itu. Tetapi, dia diminta untuk membayar lagi bagi pemotongan.

Rungutan juga selalu kedengaran apabila siaran tidak diterima apabila hari hujan atau mendung. Tetapi pengguna tetap juga membayar harga yang sama, sedangkan pada hari atau bilangan jam yang siaran tidak dapat diterima, ia perlu diberikan rebet.

Di kampung aku di Changlun, tidak semua perkhidmatan broadband Internet dapat diterima. Hanya satu sahaja 'line' yang boleh mengakses Internet. Itupun, dengan syarat kita perlu mencari beberapa lokasi tertentu di luar rumah, dan bukannya duduk di dalam rumah. Ini hal yang janggal dan pelik.

Sepatutnya, hal inilah yang perlu ditingkatkan dulu. Bukannya hanya mencari peluang dengan menaikkan caj dan harga.

Kelajuan internet juga kita sebenarnya tidak selaju mana. Ia begitu lembap.

Di Australia, perkhidmatan telekomunikasinya secara relatifnya murah. Pengguna juga ada banyak pilihan kerana terdapat begitu banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan. Dengan $10, anda boleh menelefon ke Malaysia selama 200 minit. Sekiranya anda melakukan topup sebanyak $30, anda akan menerima kredit sebanyak $150. Ia cukup untuk anda bercakap selama sebulan.

Bagi sesetengah syarikat telekomukasi, anda boleh membuat panggilan percuma ke talian telefon yang lain. Sesetengahnya pula menawarkan sms atau panggilan percuma kepada talian yang sama. Ia bergantung kepada pakej yang anda langgan.

Begitulah cara mereka bersaing. Kerana ada banyak syarikat, kita boleh memilih yang terbaik dan sesuai dengan corak penggunaan kita.

Dengan melakukan topup sebanyak $10, anda akan mendapat 1.8 GB akses internet. Ia lebih dari cukup kalau sekadar mengakses Internet biasa. Anda juga tidak perlu menggunakan komputer, cukup diakses internet melalui telefon bimbit sahaja - kerana ia tetap laju.

Bagaimana pun, kalau kita menggunakan perbandingan ini, nanti akan ada yang berhujah bahawa $10 itu ialah RM30. Jadi ia masih mahal. Sebenarnya, ini hujah yang selalu digunakan bagi menunjukkan negara kita masih memberikan harga yang murah.

Sebenarnya tidak. Gaji yang diterima oleh pekerja biasa - seperti tukang cuci dan pekerja kilang lebih kurang $550-650 seminggu. Jadi, nilai $10 itu sebenarnya masih kecil. Pekerja biasa kita mungkin hanya bergaji RM550-650 sebulan. Jadi nilai RM 10 itu sudah boleh dikira mahal.

Sebab itulah telefon Blackberry tidak terkenal pun di Australia sebab orang boleh mengakses Internet dari apa sahaja jenis telefon bimbit.

Tetapi, apa yang pengguna biasa boleh lakukan? Kita tidak boleh berbuat apa kalau dinaikkan apa caj sekalipun. Kita tidak ada banyak pilihan.

Pemerintah perlu melakukan sesuatu agar monopoli ini dapat dipecahkan.

Mereka yang terlibat juga perlu prihatin bagi menjaga nasib pengguna.

Seorang ahli politik apabila diajukan soalan berkaitan kenaikan caj televisyen berbayar, berkata bahawa kalau tidak ada wang, janganlah dilanggan. Ini satu komen yang sangat mengecewakan. Mereka sepatutnya memberi reaksi yang memihak pengguna, kerana mereka kita pilih untuk menjaga kita.

Kalau tidak, satu hari nanti - barang basi pun terpaksa kita beli kerana tidak ada banyak pilihan lagi. Sekarang ini pun, kita selalu menonton rancangan yang diulang-ulang.

Apa boleh kita buat?

Thursday, 8 September 2011

Sejarah bergantung siapa yang menulisnya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekarang ini, di Malaysia - setiap hari didebatkan siapakah Mat Indera, sama ada dia seorang pejuang atau pengkhianat. Nama Mat Indera ini tidaklah kita mendengarnya, sehingga hanya beberapa hari ini sahaja.

Kita tidak mengulas siapa Mat Indera. Itu biar ahli sejarah yang menulis dan menceritakannya. Sayangnya, dalam budaya kita - tidak siapa yang mahu menulis. Jadi, banyak bahan bacaan kita hanya bergantung kepada sumber yang ditulis orang luar.

Sebenarnya, sesuatu peristiwa itu ialah fakta. Kemalangan bas di tengah lebuhraya adalah fakta. Bagaimana pun, pentafsiran sejarah bukanlah satu fakta. Ia bergantung kepada sudut penglihatan seseorang. Sebab berlaku kemalangan misalnya akan diulas dari pelbagai sudut. Polis mungkin akan mengulasnya dari sudut pemanduan yang tidak mengikut peraturan. Penumpang akan mengulasnya berdasarkan bas yang terhoyong hayang. Pemandu lain di lebuhraya akan menceritakan bas ini telah memotong mereka satu jam yang lalu. Pemandu akan menceritakan yang sterengnya tidak dapat dikawal. Mekanik akan mengulas mengenai enjin yang sudah lama tidak diselia.

Inilah yang dikatakan penafsiran sejarah. Sesuatu yang fakta akan diulas dan dinilai dari pelbagai sudut pandangan. Ini bukanlah bermakna peristiwa yang terjadi itu adalah hal yang palsu. Tidak. Kebenaran bergantung kepada siapa yang melihat apa, dan apa yang dilihat siapa.

Hal ini sudah banyak ditulis oleh E.H Carr, tokoh sejarawan yang banyak menulis hal falsafah dan sudut penafsiran sejarah. Kalau anda ingin mendebatkan hal sejarah, anda patut membaca bukunya What is History?.

Dalam kes Mat Indera ini, kalau kita membaca laporan akhbar dan internet, terdapat banyak sudut pandangan yang berbeza. Ahli keluarga Mat Indera menerangkan watak Mat Indera berbeza dengan apa yang diceritakan oleh ahli keluarga mangsa. Mangsa pula menceritakan hal yang berbeza dengan apa yang diceritakan keluarga Mat Indera.

Jadi siapa Mat Indera?

Kita jangan terperangkap dengan apa yang kita baca, dan apa yang kita dengar dari sebelah kiri atau kanan. Kita bacalah buku E.H Carr dulu bagaimana sejarah sepatutnya diintepretasikan. Sekurang-kurangnya kita akan menjadi manusia yang lebih matang dan adil dalam memberikan penilaian terhadap apa sahaja kejadian yang sedang berlaku dan telah berlaku.

Sudut pandangan ini juga akan berubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Ia bergantung kepada perubahan pemikiran manusia yang menyebabkan penafsiran terhadap sesuatu juga berubah. Gaddafi dan Mubarak telah dianggap wira pada masa yang lalu, tetapi kini telah menjadi petualang bangsa. Polemik mengenai siapa Hang Tuah dan Hang Jebat juga berubah dengan berubahnya struktur pemikiran manusia.

Kita harus menjadi manusia yang adil menilai sejarah. Dan keadilan itu hanya boleh berlaku kalau kita membaca dan ada ilmu asas mengenainya.

Wednesday, 7 September 2011

Bapa borek, anak rintik

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam, aku berjalan-jalan di sekitar kampung. Pohon ketum tumbuh merata-rata. Warga dewasa dan anak mudanya juga sudah menjadikan air ketum seperti wine baru orang Melayu.

Apa parahnya air ketum ini?

Sebenarnya tidaklah ia membawa kematian kalau diminum sebaldi sekalipun. Tidaklah juga ia seperti heroin yang bakal menjadikan manusia sanggup menyamun dan mencuri. Tidak juga akan menjadikan manusia khayal seperti menagih ice yang menyebabkan orang terjatuh longkang. Ia tidak sehebat itu. Ia biasa sahaja. Ia bukan dadah dalam erti kata sebenarnya.

Bagaimana pun, ada kesan sosial yang jarang dilihat orang. Ada musibah yang lebih besar yang sedang menanti.

Bayangkan begini. Bapanya menjadi penagih tegar air ketum. Diminum pagi dan petang. Duduk berkumpul dan menghabiskan masa. Seluruh masyarakat sudah tahu siapa yang menjadi peminum tegar. Semuanya bukan orang jahat. Mereka orang kampung berhati mulia. Sayangnya, tabiat menagih air ketum ini sedang membentuk tabiat baru yang sedang diperhatikan anak-anak.

Satu hari - ada anak lelaki mereka menjadi penagih ganja atau ice. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana bapanya mampu mengur anak lelakinya?

'Ali, ayah dengar awak dah mula berjinak-jinak dengan ganja ni. Betul ke? Soal ayah.

'Kita ini sama je ayah. Saya menagih ganja, ayah menagih ketum. Tak ada beza ayah. Yang berbeza ialah bahannya saja'. Jawab anak.

Sebenarnya itulah kesan sosial yang lebih bahaya. Ia proses jangka panjang yang berlaku tanpa kita sedar.

Dalam hidup kita ini, 'bapa borek anak rintik' inilah yang sedang memerangkap masyarakat Melayu. Apabila ibu bapa tidak bersolat, mereka tidak boleh menegur anaknya yang tidak bersolat. Apabila ada ibu bapa yang berlaga ayam, mereka tidak boleh menegur anaknya yang berjudi. Kuasa menegur itu hilang apabila kita sendiri terlibat sama dengan hal yang yang kita rasa tidak patut.


Tidak pastilah, apakah orang Melayu ini hanya berfikir untuk tempoh yang pendek sahaja. Tidak seperti bangsa Cina. Mereka sudah merangka masa depan generasi mereka sejak dilahirkan lagi. Ada yang dilatih menjadi tukang, ada yang dirangka menjadi pakar. Ada pula yang dilatih menjadi peniaga.

Kita pula - kalau boleh ingin menjadikan anak kita manusia berjaya. Tetapi kita pula jarang melihat ke dalam diri kita sendiri. Kita jarang melihat kegagalan kecil kita yang sedang membina kecelakaan yang lebih besar untuk generasi depan kita.

Sayang, tidak ada seorang pun peminum air ketum yang akan membaca blog ini.

Memurnikan minda masyarakat

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Antara yang paling susah dalam hidup ialah mengubah rutin hidup.

Aku kini di Changlun. Ia pekan kecil yang biasa sahaja. Lima belas tahun dulu, tiada internet di sini. Sekarang ada beberapa buah cyber cafe. Ada beberapa buah kedai mamak yang bernyala 24 jam. Ada juga kedai serbaguna 24 jam. Ada sebuah KFC yang baru sahaja dibuka.

Ia sepertinya sedang mengalami krisis identiti.

Masa seperti ini, jam 11.16 malam - masih ramai warganya sedang minum kopi dan teh tarik. Cyber cafenya masih jenuh dengan budak sekolah bawah umur - sepertinya masih bersekolah rendah yang sedang bermain game. Siapa ibu bapa mereka? Tidakkah ibu bapa mereka mencari mereka - atau ibu bapanya sedang kalut mencari wang pada jam seperti ini?

Di Adelaide - jam 11 malam - aku sudah lama bermimpi. Anak muda yang dikatakan kafir juga sudah lama lena. Yang dikatakan negeri pengeluar wain terbesar juga tidak ada lagi yang merayau dan berlegar di sana sini. Tetapi di negara yang setiap hari orang sedang sibuk dengan pemurnian agama - yang sedang sibuk dengan mencari siapa yang paling baik dalam mengikuti ajaran agama - mencari tajdid baru - anak-anak sekolahnya pula sedang sibuk bermain games.

Sepatutnya, anak-anak sekolah inilah yang dimurnikan cara hidupnya. Anak-anak yang leka inilah yang patut dikejutkan dari mimpi kelamnya. Bukan menambah kusut lagi perdebatan agama yang tidak kunjung padam. Bukan mencari siapa yang terlebih sesat di antara kita. Anak-anak dan masyarakat yang sedang 'sesat' inilah yang patut dimurnikan.

Changlun satu waktu dulu hanyalah pekan kecil yang tidak ada apa-apa. Sekarang ini, ia bukan lagi Changlun yang dulu. Ia kota para penagih ice, heroin, ganja dan ketum. Ia kota anak-anak muda belasan tahun merempit. Beberapa hari dulu, ada seorang pelajar sekolah menengah mati terlanggar kereta ketika sedang menunjukkan aksinya.

Krisis identiti ini sedang lahir di mana-mana. Tatkala Universiti Utara Malaysia menjadi destinasi para ilmuan berbincang teori dan ilmu pengetahuan baru, nampaknya ia tidak mengubah apa-apa terhadap minda warga masyarakatnya. Bahkan, ia menyebabkan Changlun berubah menjadi kota yang asing untuk warganya sendiri. Ia membangun dengan cepat - hingga ada di kalangan kita tidak sempat mempersiapkan diri.

Kasihan anak-anak muda ini.

Mereka terperangkap dalam pembangunan fizikal yang pantas, tetapi sayangnya ia tidak sama-sama membangun minda mereka.

Sebab itulah - para pembuat polisi perlu bertanya sedikit nasihat para pemikir sosial dalam merangka pembangunan fizikal. Kita tidaklah perlulah sangat begitu cepat untuk menubuhkan bandar baru, menyediakan lebuhraya atau membangunkan rumah mewah - kalau masyarakatnya tidak pula dibekalkan dengan sedikit bekal untuk hidup dalam pentas baru. Minda masyarakat setempat perlu dikaji terlebih dulu.

Sayangnya, ia kini sedang menjadi masalah untuk kita semua. Sebab itulah, kalau anda melihat kewujudan rumah pangsa yang menempatkan warga setinggan yang dipindahkan - walaupun rekabentuk rumah sangat cantik, tetapi ia sangat kotor. Kain baju digantung di sana sini. Sampah dibuang sesuka hati. Anak-anak masih kecamuk.

Sebabnya mudah sahaja - kita hanya memajukan fizikal kota, dan bukan 'mengotakan' minda masyarakat. Kita hanya berharap untung wang ringgit, tetapi mengabaikan untung nilai masyarakat. Pembangunan Kampung Baru juga mungkin berhadapan dengan masalah yang sama kalau profil sosial warganya tidak dikaji terlebih dulu.

Krisis identiti ini sedang berlaku di mana-mana.

Changlun juga tidak terkesamping. Ia sedang berdepan dengan kekusutan dan krisis identiti yang mungkin lebih parah dari kota New York.

Tuesday, 6 September 2011

Changlun - kini aku pulang

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam, aku sampai di KLIA. Pagi ini, aku di Changlun. Aku menemui semula apa yang hilang beberapa tahun ini. Tadi, turun dari kapal terbang Air Asia di Alor Setar - aku singgah di pekan Jitra bersama teman lama Khalid - yang banyak memberikan aku hutang sepanjang aku belajar ini. Pesanan pertama tentulah sebungkus nasi lemak dan sebiji roti canai banjir. Sepanjang 4 tahun yang lalu, inilah perkara indah yang telah hilang.

Di KL LCC Terminal pagi tadi - jam 5 manusia sudah bersesak di lapangan terbang. Seperti biasa, setiap kali berjalan - sama ada orang akan memerhatikan kepelikan kita, atau kita yang sedang memerhatikan kepelikan orang. Ia hal yang jarang ada di Adelaide. Di sana, kita tidak peduli dengan orang lain. Orang juga tidak peduli akan hal kita. Tidak ada sesuatu yang dianggap pelik.

Semalam, beberapa orang teman menghantar aku pulang. Terima kasih. Maaf, kerana aku tidak menitiskan air mata. Sebenarnya, aku tidak akan menitiskan air mata untuk hal seperti ini. Aku sudah menitiskan banyak air mata ketika ayah aku pulang menemui Tuhan tahun 1980, dan kemudiannya aku sekali berasa sayu kerana tidak sempat berada di sisi abang aku di saat terakhir hayatnya.

Antara yang datang itu - termasuklah blogger kontroversi
SwingingBowl yang selama 4 tahun ini menjadi antara rakan yang dibawa berbincang apabila kami ada hal untuk ditulis. Cara beliau menulis mungkin agak keras, dan sesekali tidak sesuai dibaca remaja bawah umur. Tetapi, hakikatnya itu hanyalah perwatakan virtualnya sahaja. Di luarnya, beliau seperti orang lain juga. Caranya menulis juga mungkin tidak akan seperti aku. Tetapi, aku pula berbeza di dunia luar.

Sebab itulah, jangan terpesona dengan apa yang anda baca.

Adelaide kini sudah menjadi sebahagian dari sejarah cerita aku. Aku akan cuba tuliskan hal yang lain pula.

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang Kepala Batas ke Jitra, kita akan melihat banyak sawah bendang sudah bertukar rupa. Ia menjadi kawasan perumahan baru. Ada besi dan tiang dipacak di sana sini. Ada jentera berat sedang mengambus.

Kita selalu melihatnya. Kita sentiasa memerhatikannya.

Yang mungkin jarang kita bertanya - tanah siapakah itu. Dan siapa pula pemilik baru tanah itu?

Malaysia - aku kini di sini. Aku akan menulis sesuatu untuk tanahairku.

Monday, 5 September 2011

Selamat berjumpa lagi Adelaide

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi jam 7.22. Ini mungkin pagi terakhir aku menulis dari Adelaide, kecualilah aku datang kembali ke sini pada ruang yang lain. Aku selalu berharap aku akan datang kembali ke sini.

Isteri aku sudah siap mengemaskan barang-barang untuk dibawa pulang. Termasuk sekotak bual epal untuk dibahagikan kepada keluarga di Malaysia. Tidak ada bezanya buah epal di Adelaide dengan epal yang dijual di pasar malam Changlun. Cuma, baik sedikit buah epal ini mungkin datang dari kebun di Adelaide Hill.

Aku akan datang lagi ke Adelaide?

Mungkin ya dan mungkin tidak. Penyelia aku sudah menulis satu proposal untuk dihantar ke universiti aku di Malaysia. Kalau permohonannya diluluskan, aku mungkin akan kembali lagi. Kalau tidak, aku akan berada di Kuala Lumpur beberapa tahun lagi. Atau akan mati di situ.

Orang selalu mengingatkan aku akan 'sepak terajang' permainan politik di universiti. Sebenarnya, secara jujur aku tidak begitu peduli sangat hal itu. Aku tidak begitu menganggap tempat kerja sebagai sangat nolstalgik dalam hidup. Kalau aku tidak suka, aku akan berhenti dan mencari kerja lain. Tempat kerja bukanlah ibu bapa kita yang tidak ada galang ganti. Kalau aku mampu berkerja untuk seberapa lama, aku akan teruskan. Jadi, kalau ada orang yang ingin bermain politik pun - biarkan mereka bermain.

Jadi, begitulah prinsip hidup aku. Umur aku sudah menghampiri 40 tahun. Aku tidak perlu ambil pusing dengan 'senioriti' di tempat kerja. Paling lama aku berkerja pun cuma 15 tahun, sebelum aku berpencen. Gaji yang bakal aku dapatkan pun mungkin tidak akan lebih besar dengan gaji aku dahulu. Jadi, tidak perlulah aku ambil hirau sangat hal ini.

Apa perancangan depan aku selepas ini? Sebenarnya, aku ada beberapa hal lain yang lebih utama. Misi aku ialah untuk memberikan khidmat untuk anak-anak sekolah luar bandar. Aku harap dapat menghimpunkan 'non government individual' bagi mengadakan beberapa program di luar bandar. Tunggu pengumuman selanjutnya. Buat masa ini, aku dan Krenmaut akan mencuba sesuatu. Dia di Amerika pula. Harapnya dia tidak bermastautin dan berkahwin lagi satu di sana.

Untuk pelajar universiti yang berminat dengan hal statistik dan menulis, aku juga sedang merancang sesuatu. Jangan bimbang - aku akan menawarkan khidmat secara percuma. Ia sebahagian dari hobi aku. Sesiapa yang ingin bertanya soalan berkaitan hal ini, email aku.

Kepada semua teman di Adelaide, terima kasih semua. Anda telah menjadi sebahagian dari keluarga untuk tempoh 4 tahun ini. Maaf - kalau ada yang tersalah dan tersilap. Juga kepada anak-anak muda yang mengenali aku. Moga anda akan menjadi pelajar yang baik. Juga berhati-hatilah. Moga-moga juga anda tidak begitu teruja dengan banyak benda yang baru - baik dalam hal keduniaan, atau hal beragama.

Ingat, sangat mudah mencari salah orang, dari mencari dosa sendiri. Jadi berwaspadalah dengan banyak hal.


Moga-moga kita berjumpa lagi.

Selamat berjumpa lagi warga Adelaide!

Sunday, 4 September 2011

Selamat tinggal Adelaide - II

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat tinggal Adelaide!

Sepanjang usia hidupku - aku banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur. Ia bukanlah kota kesukaanku. Aku lebih sukakan pekan Changlun yang kecil. Ia tiada apa-apa, tetapi membahagiakan. Di sana semua sanak saudara dan teman akrabku tinggal. Ada yang sudah mati, ada yang masih hidup. Changlun mengajar aku makna kehidupan yang susah semasa kecil.

Kuala Lumpur pula mengenalkan aku dengan alam dewasa. Ia membuka pintu untuk aku mengenal makna kehidupan yang keras. Manusia hipokrit dan penuh tipudaya. Kuala Lumpur juga membuka aku pintu untuk mengenal buku akademik dan hal ilmu.

Sebahagian dari kecil masa hidupku dihabiskan di Jakarta. Ia kota yang lebih keras. Ia kota pertembungan manusia kaya dan papa kedana. Ia kota pertembungan antara hanyir lendir dan zikir. Berbezakah manusia alim yang hidupnya bercakap soal kebaikan dengan kuli pengutip najis yang ingin membersihkan kota? Berbezakah nelayan miskin yang sampan kecil di Muara Angke telah menjadi rumahnya, digigit nyamuk dan agas - saban hari menghidu bau busuk sampah sarap yang hanyut - dengan seorang alim yang tidur di dalam masjid sepanjang malam tanpa sebarang gangguan?

Kita tidak tahu. Tuhan yang memberi pahala hidup manusia. Kita hanya menjalani tugas sesuai dengan apa yang telah disuratkan.

11 tahun dulu - aku ke Dhaka - ia kota yang lebih keras dengan manusia papa yang dilayan lebih buruk dari anjing kurap. Satu hari - terdapat sebiji donut yang tidak sempat kami makan. Ia menjadi basi keesokan harinya. Majikan aku mahu membuangnya sahaja ke dalam tong sampah. Datang seorang kaya Bangladesh - dia berkata jangan dibuang. Katanya, pemandunya masih layak memakannya.

Menafsir apakah yang dimaksudkan 'makanan' juga berbeza dalam konteks berbeza. Lihatlah betapa kita ini hidup dalam dunia yang sama, tetapi kita memberi erti yang berbeza bagi sesuatu. Bergantung kepada siapa kita, dan di mana kita.

Sepanjang 4 tahun ini - aku berkelana di Adelaide. Ia kota kecil yang aman. Ia bukan Kuala Lumpur. Ia juga bukan Jakarta, apatah kota Dhaka. Di sini manusia hidup tanpa darjat. Yang sedang menunggang basikal di tepi jalan itu mungkin seorang jutawan. Yang menaiki kereta buruk berasap hitam juga mungkin profesor ternama. Yang menaiki kereta Hyundai Excell buruk berwarna perang yang asapnya berkepul di waktu pagi - ada lekuk kemek di pintu kereta tentulah aku yang bukan sesiapa.

Di sini tiada siapa pun pedulikan anda.

Adelaide juga bandar pertemuan warga Melayu yang berkelana atas banyak sebab. Ada yang datang kerana kecewa. Ada yang singgah kerana menuntut ilmu. Ada yang lari dari sistem kenegaraan yang mereka tafsirkan sebagai tidak memberi ruang hidup yang sempurna. Ada yang datang entah tanpa apa sebab.

Jangan ingat kami bersatu. Kami bertemu, tetapi belum tentu punyai citra mimpi yang sama. Apa yang menjadikan kita berbeza. Jawapannya mudah sahaja. Kita mempunyai makna kita sendiri bagi setiap perkara. Seperti supir di Dhaka yang melihat donut basi sebagai makanan. Atau seorang alim yang mengimpikan bidadari yang jelita dengan bertasbih sepanjang malam, dan seorang nelayan hamis yang mengharapkan sejuta pahala dengan menongkah ombak keras mencari makanan untuk manusia. Kita berdiri atas prinsip dan tafsiran kita sendiri.

Adelaide bandar yang nyaman. Anda boleh menjadi apa sahaja di sini kalau anda mahu. Anda boleh menjadi warga Barat berambut Blonde, atau lelaki gagah bertatoo di kaki. Kalau mahu meneguk secawan anggur pun tidak ada siapa ambil peduli. Di sini juga anda boleh memegang apa sahaja mazhab, tanpa mazhab dan tafsiran agama. Siapa boleh berkata apa kepada anda? Tidak.

Adelaide bandar yang cantik. Ia memberikan anda warna dan wangi bunga. Ia menyejukkan. Kadang-kadang sangat panas. Berjalan dan hidupilah ia selagi anda masih ada waktu. Kalau anda masih bernyawa besok pagi - anda bersukurlah kepada Tuhan kerana masih memberikan anda secebis nafas.

Selamat berjumpa lagi Adelaide. Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi sahabat.



Saturday, 3 September 2011

Selamat tinggal Adelaide - I

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam, aku dijemput untuk menyampaikan pembentangan dalam siri seminar yang dianjurkan oleh fakulti. Ia merupakan acara bulanan yang diadakan setiap Jumaat pertama. Ia juga merupakan siri seminar yang biasanya disampaikan oleh ahli akademik sama ada dari dalam atau luar negara. Aku diberi masa 30 minit untuk membentangkan kajian aku - "Job stress story: Malaysia experience'.

Seperti biasa, aku jarang mempunyai perasaan gugup atau bimbang. Ia sebahagian dari kelebihan yang Tuhan berikan kepada aku.

Aku mulakan pembentangan dengan kata-kata 'My first language is Thai, Malay is my second language, and English is only my third language. So, if you can understand Avatar language, you can understand my language too". Semua hadirin menepuk tangan.

Beberapa soalan ditanya oleh peserta. Ada yang bertanya 'what is your next research?' Ada pula yang bertanya 'Do you have intention to develop your own scale?'.

Ini bagusnya membentang sesuatu di hadapan orang Barat. Mereka akan menghargai anda. Dalam budaya Asia, kita cencerung mencari kelemahan. Tujuannya ialah menunjukkan kita lebih baik.

Habis pembentangan, beberapa orang datang berjumpa aku. Bertanya itu dan ini. Terasa seperti aku ini seorang sarjana yang besar pula.

Semalam juga ialah hari terakhir aku di kampus. Agak sedih juga. Beberapa orang kenalan aku - termasuk guru bahasa Inggeris aku datang untuk menonton pembentangan aku. Dia memberikan aku kad dan sebatang pen sebagai tanda persahabatan. Hampir semua kakitangan di Centre for Applied Psychological Research juga hadir - kerana katanya ini mungkin kali terakhir mereka melihat aku. Tidak pasti lagi sama ada aku akan kembali.

Sebenarnya aku ada banyak lagi kawan baik yang lain. Seorang daripadanya juga guru bahasa Inggeris aku. Jacquie Moller - wanita yang mengajar aku Arts in English. Dia jugalah yang mengedit kata penghargaan dalam tesis aku.

Semalam, sebelum aku pulang - penyelia aku memberikan buku 'Mplus'. You must to keep this. Katanya. Ini buku yang paling mahal. Mahal, kerana ini ialah buku program statistik Mplus yang canggih itu. Mplus ialah program yang lebih complicated - tetapi mampu menganalisis banyak hal yang tidak dapat dilakukan oleh AMOS dan HLM. Lebih mahal, dalam buku ini terdapat no siri untuk menginstall software Mplus. Paling mahal - dalam buku ini penyelia aku menulis sesuatu.

Isnin ini aku akan pulang.

Selamat tinggal Adelaide. Aku ada banyak tugas yang menanti di Malaysia.

Thursday, 1 September 2011

Aku terlupa anak aku bersekolah di Barat

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tinggal 4 hari sahaja lagi aku di bumi Adelaide. Isteri dan anak aku akan pulang ke Malaysia, lambat 10 hari daripada aku.

Beberapa hari lalu, aku memberitahu anak aku yang hari Jumaat esok ialah hari terakhir sekolahnya. Ini kerana, sebaik sahaja aku balik ke Malaysia, tentulah susah untuk isteri aku menghantar anak aku ke sekolah. Lagi pula, sekarang ini kami sudah berpindah rumah dan menumpang di rumah seorang kawan (terima kasih).

Aku memberitahu anak aku ketika dalam perjalanan ke sekolah. Aku memandu kereta, dan anak aku duduk di belakang. Hanya kami berdua.

Perbualannya lebih kurang begini.

Aku: "Man, hari Jumaat ni ialah last day Man school tau. Ayah dah nak balik Malaysia. Nanti Umi tak sempat nak hantar Man ke sekolah lagi".

Tiba-tiba, jawapannya mengejutkan aku dari mimpi.

"Awah (ayah), you never asked my opinion pun". (Nota: Anak aku pelat untuk menyebut ayah ketika kecil. Jadi dia menyebutnya awah. Sampai sekarang pun, walaupun dia boleh menyebut ayah, dengan aku dia hanya memanggil awah).

Aku sebenarnya tak sangka yang anak berusia 6 tahun itu sudah boleh menjawab begitu. Dalam budaya kita, kita menentukan segalanya untuk anak kita. Malah, ketika anak sudah berusia dewasa dan mahu berkahwin pun, kita masih lagi memberikan kata putus.

Tetapi, ia berbeza dalam budaya Barat. Anak-anak mempunyai pandangannya sendiri. Anak-anak diasuh di sekolah untuk berani menyuarakan pandangan dan membuat keputusan.

Apa yang dipersoalkan anak aku ialah sesuatu yang benar. Kita patut berbincang dengan mereka dahulu. Itulah caranya mereka dididik. Kita tidak boleh berkata apa yang kita lakukan semuanya betul. Mereka juga patut ada hak dalam menentukan hala tuju mereka.

Tersentak dari pertanyaan anak aku tadi - aku bertanya balik - sampai bila dia mahu bersekolah. Dia menjawab - dia mahu bersekolah lagi.

Aku tidak ada pilihan lagi. Isteri aku perlu menghantarnya ke sekolah untuk seminggu lagi.

Kita patut memberikan sedikit kuasa untuk anak-anak kita menentukan jalan terbaik untuk mereka.

Aku juga tidak patut terlupa bahawa anak aku diasuh dalam sistem pendidikan Barat.


Sunday, 28 August 2011

Salam Aidilfitri untuk semua

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin.

Kalau di Malaysia, sekarang ini keadaan tentu sibuk. Sibuk dan kalut dengan bermacam hal.

Di jalanraya sibuk dengan kemalangan. Di pasaraya, sibuk pula dengan baju raya. Di malam raya, sibuk menunggu penjual melelong kuih raya.

Emak mula sibuk menukar langsir baru. Karpet yang lama patut dibuang. Anak-anak sudah mula pulang berkampung. Ada yang bertambah menantu. Ada yang menambah cucu.

Ada yang sibuk menukar wang siling. Ada pula yang sibuk mencari daging. Ada yang baru mencari-cari di mana kubur orang tuanya.

Belum lagi bercampur urusan seludup mercun dan bunga api dari Thailand. Inilah musimnya membuat wang.

Bagaimana di Adelaide?

Kami hidup seperti biasa. Tidak ada apa yang disibukkan. Tidak perlu baju baru. Tidak perlu ketayap baru. Tidak perlu kuih baulu. Tidak perlu mencari buluh membakar lemang. Tidak perlu apa-apa. Sudah lama aku tak mendengar lagu raya.

Sedikit sahaja keperluan beraya di rantau orang ini. Menunggu khabar bila tarikh berhari raya, dan kemudianya dimasak serba sedikit makanan.

Selamat hari raya semua.

Yang sedang bermain mercun, jangan sampai terbakar tangan. Yang bakal memandu, awaslah banyak lembu di tengah jalan. Yang tak ada wang, anggaplah pulang ke kampung satu pelaburan. Yang menjadi bekas kekasih, anggaplah semua yang menjadi bekas ini hanyalah barang recycle. Jangan bersedih dan bermuram durja.

Untuk yang senasib dengan aku beraya di rantau orang - raya sebenar ialah apabila kita tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk berhari raya.

Maaf zahir dan batin dari aku dan keluarga.

Semoga raya ini membahagiakan.

Wednesday, 24 August 2011

Membenih budaya ilmu - 3

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setiap kali kita berada di dalam bas, atau berada di lapangan terbang, kita akan melihat bangsa kulit putih sedang membaca. Membaca sudah menjadi tradisi mereka di mana-mana sahaja. Dalam budaya kita, membaca adalah untuk mereka yang belajar sahaja.

Itu pun tujuannya hanyalah untuk lulus periksa.

Mengapa kita tidak ada budaya membaca?

Aku biasa mengajar di universiti swasta milik kerajaan. Menjadi polisi universiti, setiap pelajar perlu menulis semua hasil kerja dalam bahasa Inggeris. Ia motif yang baik.

Malangnya, dalam zaman ketika internet menguasai maklumat, pelajar kita tidak mengambil peluang untuk membaca dan menulis kembali pengetahuan mereka. Sebaliknya mereka hanya melakukan copy and paste. Hinggakan apabila kita membacanya, kita tahu ia bukan hasil karya pelajar. Ia hasil ciplak yang sangat berkualiti buruk.

Ia bukan dilakukan seorang dua. Ia dilakukan kebanyakan pelajar.

Sebab itu - aku lebih sukakan pelajar menulis dalam bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya kalau mereka menciplak pun, mereka sudah belajar menjadi penterjemah yang baik.

Bayangkan, di bangku universiti lagi anak-anak muda kita tidak membaca. Mereka mencari jalan senang dengan harapan mendapat markah yang baik. Mereka menjadi manusia malas yang tidak bermaruah. Mereka hanya ingin mendapatkan hasilnya sahaja. Mereka tidak peduli jalan yang telah diambil.

Mengapa begitu?

Kita sebenarnya malas untuk berfikir. Tidak ada sesiapa pun yang peduli sama ada kita boleh berfikir dengan baik atau tidak. Orang hanya peduli markah yang baik. Itu juga menjadi masalah dalam sistem pendidikan kita. Kita terlalu memberikan keutamaan kepada CGPA. Kita terlalu ghairah mendapat ijazah kelas pertama.

Orang terlupa - ia hanya markah. Ia tidak membawa apa-apa. Tidak ada gunanya kalau lulus cemerlang kalau otak tidak berfikir. Sebab itulah, orang tidak peduli lagi kalau anda mempunyai beberapa keping ijazah sekalipun. Sebab itu juga, ada kecenderungan orang membeli sahaja ijazah palsu. Sebab orang tahu - tidak ada banyak sangat bezanya antara ijazah yang asli atau palsu. Tidak ada sesiapa pun yang akan menguji ilmu yang anda miliki. Mereka hanya bertanya nilai CGPA sahaja.

Beberapa hari lagi, aku bakal masuk semula ke alam universiti. Aku pasti akan bertemu lagi dengan budaya ciplak ini.

Dalam penulisan, kita akan tahu bagaimana seseorang itu menulis dengan pengetahuannya atau menulis semula apa yang telah dikatakan orang. Kalau anda pelajar, anda perlu hafal hukum ini. Aku tidak akan menjadi guru anda semua. Tetapi aku harap blog ini membantu anda.

Kita cenderung menulis 'WHAT' dalam penulisan kita. Menceritakan kajian Ahmad bertemu sesuatu. Kajian Ahmad pula disokong kajian Ali. Kemudian diceritakan pula kajian Ali. Sebab itulah, kita adakalanya bosan membaca tulisan seperti ini. Hampir seluruh halaman hanya menceritakan hal 'WHAT'. Sebabnya mudah sahaja. Kita percaya, dengan banyak halaman, ia akan melihat kita rajin membaca.

Hakikatnya, itu ialah bentuk penulisan orang yang malas berfikir. Tulisan berbentuk ini mudah sahaja. Anda perlu membaca abstrak kajian orang lain sahaja, dan menulis semula.

Penulisan dari pemikiran sebenarnya bermula dengan 'HOW' dan "WHY'. Jadi, anda bacalah seratus buku sekalipun - ia tidak akan memaksa anda berfikir dan meneliti proses kejadian kalau hanya berfikir hanya "WHAT". Kerana bacaan cara ini bukannya menghuraikan apa yang ditemui orang lain. Bagaimana pun, membaca satu makalah pun sudah memadai kalau ia bermula dengan HOW dan WHY. Daripada proses inilah otak anda berfikir. Banyak penemuan yang baik bermula dengan tradisi berfikir 'HOW' dan 'WHY'. "WHAT' hanya ditulis sedikit sahaja bagi menyokong tulisan tadi.

Tapi, apakan daya, kita sememangnya diajar begitu. Kita memang diajar untuk menulis dengan banyak. Kita hanya menilai kuantiti, dan bukannya kualiti.

Nanti sambung.

Tuesday, 23 August 2011

Misi tamat

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
23 Ogos 2011.

Jam 7.18 malam, waktu South Australia.

Aku tiba di Australia 2 Oktober 2007. Muda lagi waktu itu. Sekarang sudah hampir genap 4 tahun.

Setelah sekian lama, mengharungi bermacam cerita - menulis proposal, melakukan kajian, membentangkan kajian, menulis dan memperbetulkan ejaan, mempelajari statistik baru yang tidak pernah didengar - akhirnya aku siap menulis sebuah tesis setebal 261 halaman. Syukur kepada Allah kerana memberikan aku ruang dan kesempatan yang baik.

Besok pagi aku akan mencetak, dan akan menghantar tesis hari Khamis ini. Menutup suka duka belajar PhD.

Tamatlah misi aku belajar.

Aku akan jadi pandai? Tidak ada bezanya aku dengan orang lain. Lebih sedikit, kalau aku lulus, aku boleh letak gelar Dr di hadapan. Itu sahaja. Lebih-lebih tinggi pun, aku tahu sedikit sebanyak pengetahuan dalam bidang aku. Tetapi aku akan tetap jahil bidang orang lain. Malah untuk mengajar subjek bahasa Melayu darjah 1 pun aku tidak mampu.

Hakikatnya, ia sama sahaja. Menjadikan kita berbeza kerana aku ditakdirkan terpilih membuat PhD. Aku juga melalui jalan mudah sepanjang alam persekolahan. Orang lain mungkin terjatuh longkang beberapa kali.

Sama ada kita ada gelar atau tidak, ia hanya ciptaan manusia. Aku perlu ada PhD kerana ia sebahagian dari syarat pekerjaan aku.

Berat sedikit apabila kita belajar, ia kita akan diuji. Orang kaya diuji dengan hartanya. Orang yang belajar diuji dengan pengetahuannya. Banyak sudah orang yang tersungkur kerana tertipu oleh ilmunya. Anda selalu menonton di kaca televisyen setiap hari. Moga -moga aku dijauhkan dari sifat riak dan terlupa diri.

Terima kasih semua pembaca yang membaca FakirFikir sepanjang aku di Adelaide ini. Terima kasih juga kerana anda menjadi teman untuk aku bercerita, ada cerita yang berguna - ada yang boleh anda lupakan. FakirFikir akan tetap menulis selagi ada kesempatan.

Doakan aku lulus.

Aku mahu balik berbuka puasa. Sudah hampir dua jam lalu matahari jatuh.

Aku hanya sempat minum seteguk air dan merokok dua batang.

Monday, 22 August 2011

Tahap hidup manusia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini adalah pandangan aku sendiri. Tiada kaitan dengan sebarang teori dalam ilmu psikologi.

Cuma sesekali kita renungkan usia kita. Pada hemat aku, kita hanya mempunyai 4 tahap kitaran usia yang setiap tahapnya mengambil masa 15 tahun. Mengapa 15 tahun? Sebab 15 tahun itu sebenarnya sekejap sahaja. Anda yang membaca blog ini sudah pun menghabiskan lebih 15 tahun hidup sebagai manusia. Bila kita membelek album gambar lama, seperti baru semalam sahaja kita berada di bangku sekolah. Kita masih ingat lagi semua muka manusia di sebelah kita. Cuba bandingkan pula wajah mereka sekarang. Semuanya sudah menjadi manusia lain.

Usia di antara lahir -15 tahun.
Usia 15 tahun ialah bermulanya zaman anak remaja. Untuk mencapai ke usia 15 tahun, ia terasa begitu panjang. Mungkin sebab usia kita yang masih kecil, kita tidak boleh bergerak begitu jauh. Kesibukan kita hanya sekadar bermain. Banyak daripada kehidupan kita bergantung dengan apa yang ditetapkan oleh ibubapa kita. Ini zaman paling indah. Ini zaman paling meriangkan. Ia tidak akan dapat kita ulang lagi. Inilah juga usianya yang membuka kita dengan pintu kejahatan dan kebaikan. Inilah masanya kita belajar merokok dan memulakan aktiviti nakal.

Usia 15 tahun -30 tahun.
Sebahagian dari usia ini dirasakan begitu cepat. Bayangkan, setelah sahaja tamat PMR, tiba-tiba kita akan mengambil pula SPM. Kemudiannya kalau kita berjaya, kita akan memasuki universiti. Kalau tidak, kita kemudiannya akan memasuki alam pekerjaan. Kita juga mula berkahwin. Mula bercinta. Mula sibuk dengan rutin dunia. Masa inilah kita memulakan kisah hidup sebagai manusia. Ada yang mula mendapat anak.Sesekali sesak dengan masalah kewangan. Bertukar kerja beberapa kali. Ada yang dibuang kerja. Kita mula hidup sendiri. Tiada lagi keluarga yang menghulurkan wang kepada kita seperti dulu. Kitalah yang membantu keluarga. Ini menjadikan masa kita semakin cepat, semakin tidak dirasa.

Usia 30 tahun ke 45 tahun.
Ini usia yang paling pantas berlalu. Sebaik sahaja anda memasuki usia 30 tahun, terasa masa seperti cepat berjalan. Kita mula terasa kita semakin tua. Kita tidak boleh merasa kita berusia 20-an lagi. Kita bukan anak remaja lagi. Anak-anak kita semakin membesar. Mereka mula bersekolah menengah atau ke universiti. Kita perlu berkerja lebih kuat bagi menyara kehidupan keluarga. Masa ini lebih pantas dari tahap sebelumnya. Rambut kian beruban. Gigi patah satu demi satu. Pinggang mula sakit. Berjalan sedikit terasa kepenatan. Melihat wajah di cermin, kita tahu kedutan wajah itu menghilangkan usia silam kita. Kalau kita masih merasa kita masih muda seperti sebelumnya, berwaspadalah. Kalau kita rasa banyak lagi membuat dosa, berusahalah untuk berubah. Kerana tahap di depan kita akan lebih pantas berlalu.

Usia 45-60 tahun.
Selepas usia ini, kita mula menghitung hari berpencen. Hutang masih menimbun. Anak mula meninggalkan kita dan membina keluarga mereka sendiri. Kita tidak ada apa-apa lagi. Kita mula kehilangan kawan-kawan bersuka ria. Kita mula kehilangan banyak orang yang rapat dalam hidup kita. Kesepian itu mula menjadi sahabat baik kita. Kita sesekali mengenang masa silam yang telah kita tinggalkan. Mengenang semula kekasih lama yang meninggalkan kita. Untung-untung kalau anak kita berjaya, kita merasa gembira. Kalau mereka dilanda masalah, usia kita semakin menyesakkan. Tambahan pula kalau hidup kita masih kais pagi makan pagi.

Umur 60 tahun ke atas.
Untung-untung kalau kita masih hidup lagi. Usia ini hanya bonus sahaja.

Anda di tahap mana sekarang? Aku sudah melewati dua tahap. Hanya ada satu tahap sahaja lagi. Moga aku menjadi manusia. Selamat malam semua. Suka atau tidak, kita akan melalui semua tahap ini dengan cepat sekali.


Saturday, 20 August 2011

Friday, 19 August 2011

Lima hari lagi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ingat nak ulas rungutan Kak Intan - pensyarah warga intan mengenai beban kerja pensyarah Malaysia. Ini cerita yang orang luar universiti jarang tahu. Orang jarang tahu hal ahli akademik yang sibuk dengan susun kerusi meja, mesyuarat sana sini - dari pagi sampai ke malam, politik pejabat - tikam belakang puji di depan. Ini semua hal-hal bukan akademik yang jarang anda dengar. Ia tidak diterbitkan di mana-mana jurnal ISI atau tidak.


Kita sambung cerita sibuk aku pula.


Sudah banyak hari sebenarnya dunia aku ini tidak lagi sempat melihat jam. Ini adalah minggu terakhir aku menjadi pelajar tua. Ada 5 hari sebelum aku menghantar tesis. Ia menutup cerita pengajian aku. Sama ada ia sempurna atau tidak, ia akan dinilai orang lain. Sama ada aku stres atau tidak, aku tidak begitu pasti. Aku sudah bosan sebenarnya. Aku tidak berapa kisah sangat lagi.


25 Ogos ini, aku patut menghantar tesis aku. Itu cerita penamat.


Selepas itu, aku tidak tahu sibuk apa lagi yang akan datang bertandang. 2hb September - aku dijemput membentangkan kajian aku dalam satu seminar. Entah apa patut aku cakap selama satu jam seorang diri. Kalau dalam bahasa Melayu - aku mungkin boleh bergebang dari pagi sampai ke malam. Ini dalam bahasa Inggeris - di depannya warga akademik Australia yang tidak faham Melayu dan juga Siam.

5 haribulan September aku balik Malaysia, meninggalkan musim sejuk Australia ke dalam haba panas meruap politik tanahair.

Tunggu aku Malaysia.












Polemik Universiti Malaya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda tentu telah membaca kritikan terhadap Universiti Malaya seperti tersiar dalam Utusan Malaysia semalam. Hari ini, ada lagi rentetan berita bagi perkara tersebut. Klik sini.

Isunya ialah kritikan terhadap langkah pengurusan UM menyasarkan penerbitan dalam jurnal yang diranking di dalam ISI dan Scopus. Harus diingat, semua jurnal yang dimasukkan dalam ranking ini ialah jurnal berkualiti, dinilai penilai yang baik, dan tentulah juga perlu melepasi tahap kriteria penyelidikan akademik yang berkualiti.

Jadi, tentulah apabila penerbitan jurnal yang diranking dalam ISI dan Scopus itu menjadi syarat prestasi ahli akademik, maka banyak yang rasa tidak berpuas hati. Sebabnya ia tidak semudah yang dijangka. Mungkin kesemua jurnal yang diranking dalam ISI dan Scopus itu pula perlu ditulis dalam bahasa Inggeris.

Aku bagaimana?

Aku tidak datang dari kepompong akademik. Aku datang dari dunia luar.

Tapi bagi aku - itulah satu caranya untuk kita menterjemahkan kualiti sebagai ahli akademik. Aku selalu melihat, banyak ahli akademik kita - termasuk segelintir kecil profesor yang hanya menghantar makalah mereka ke jurnal yang rendah kualitinya. Anda yang tidak terbiasa dengan penulisan jurnal mungkin tidak begitu tahu. Banyak jurnal sosial sains yang diterbitkan di Eropah misalnya, yang biasanya bermula dengan Euro XXXX sebenarnya jurnal yang teruk.

Mengapa harus profesor menghantar ke jurnal seperti itu? Mengapa harus menggunakan geran penyelidikan yang tentunya ialah wang rakyat - untuk menulis makalah ke dalam jurnal yang rendah reputasinya.

Mereka harus mencari jurnal lain yang lebih baik.

Bagaimana pun, adalah pula mustahil kalau jurnal ISI atau Scopus menerimanya kerana kajian itu pula hanya menggunakan kaedah korelasi, t-test dan anova. Ia antara statistik yang sesuai untuk pelajar ijazah sarjana muda sahaja.

Jurnal yang baik juga memerlukan penyelidikan yang baik dengan motodologi terkini. Semua ini memerlukan akal yang kreatif dan penaakulan yang baik.

Sebab itu, apabila ada yang tidak setuju dengan syarat penerbitan dalam jurnal ISI/Scopus, aku rasa itu hal yang tidak berapa wajar. Sebagai ahli akademik, apakah lagi bukti bahawa kita ini terlebih baik dari orang awam?

Yang mungkin perlu dibangkitkan bukanlah syarat penerbitan tadi. Yang perlu dibincangkan ialah sejauh mana universiti kita telah menyediakan prasarana atau geran penyelidikan yang mencukupi.

Jangan kita hanya teruja dengan penerbitan jurnal yang baik, tetapi akses untuk maklumat sangat terbatas.

Atau, permohonan mendapatkan geran penyelidikan dilembapkan dengan birokrasi atau politik dalaman yang menyusahkan.

Aku tahu mengenainya. Aku pernah merasainya. Biarlah ia menjadi rahsia antara aku dan Zainol.

Inilah hal yang patut disidangkan.

Thursday, 11 August 2011

Marilah mempromosikan agama

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita kini sedang berdepan dengan banyak isu keagamaan. Tidak tahulah ia benar-benar isu, atau isu itu tiba-tiba tertimbul. Bertahun-tahun kita hidup bersama tanpa konflik atau pertembungan agama.

Kini, umat Islam dihadapkan dengan banyak isu. Isu pertelagahan di antara aliran ahli sunnah dan juga wahabbi mungkin antara isu yang sudah lama berlegar secara diam dalam korpus pemikiran ulamak kita. Orang awam mungkin tidak begitu tahu mengenainya, sehinggalah mutakhir ini apabila muncul begitu banyak debat mengenainya.

Di masa silam, orang hanya mendebatkan pertembungan ini dengan istilah kaum tua dan kaum muda. Kini, isu wahhabi dan sunnah ini kian bertambah bingit.

Tidak cukup dengan pertembungan sesama kita, kini seolah-olahnya ada pula isu mengenai persaingan agama di antara Islam dengan agama lain. Ia ditampilkan dengan banyak isu berkaitan masjid, gereja, istilah Allah dan terkini serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Selangor.

Dalam isu melibatkan agama, sepatutnya mereka yang arif mengenainya memberikan tanggapan mereka. Benarlah, orang awam ada hak bersuara. Benarlah, agama itu kita semua menjaganya. Tetapi, ada hal-hal yang kita tidak begitu arif.

Namun, apabila ahli politik pula muncul di tengahnya, ia memberikan keadaan yang keliru bertambah serabut. Kita sudah dihadapkan dengan banyak isu lain. Isu anak-anak kita yang tidak tahu mengucap kalimah syhadah dan membaca Bismillah sudah cukup menjadi asas ketakutan kita. Ia ditambah lagi dengan gejala zina dan buang anak. Kes dadah juga tidak kesudahan. Sesekali ditambah dengan kisah murtad.

Bila semua ini akan berakhir?

Sampai waktunya, setiap agensi penjaga agama - menjadi badan yang benar-benar berfungsi dalam hal keagamaan. Bukan sekadar badan yang mengeluarkan sijil nikah kahwin, atau mengedar beras zakat. Ia patut lebih luas dari itu.

Di Australia, hampir kebanyakan gerejanya ada aktiviti kebajikan mereka sendiri. Mereka ada kelas membantu anak-anak kurang upaya. Mereka adakan aktiviti derma dan charity. Mereka berjalan-jalan dan mengajar manusia. Mereka tidak begitu bercakap hal agama. Tetapi, itulah caranya mereka mempromosikan agama.

Badan agama kita juga patut ke arah itu. Tidak lagi perlu begitu banyak berjaga malam mencari anak muda yang berkhalwat dalam kereta.

Kita perlu mulakan dari aktiviti asas. Memberikan didikan dan mempromosikan agama. Tentulah, agensi ini ada wang yang banyak. Ada baiknya wang ini digunakan bagi tujuan ini.

Masalahnya, ulamak kita sudah lama dipinggirkan. Ulama perlu bercakap mengikut skrip yang ditentukan pihak yang berkaitan. Kalau tidak mereka akan digam. Kalau tidak mereka akan dikatakan sebagai ulama pembangkang atau ulama pemerintah.

Hakikatnya, ulamak mengajar manusia dalam hal agama. Mereka patut diberi peluang bercakap apa yang mereka tahu berdasarkan upaya ilmu mereka. Janganlah terlalu banyak aktiviti sekatan atau label melabel. Ia tidak baik untuk agama. Ia tidak baik untuk kita.

Akhirnya, akhirat kita tidak ke mana, dunia kita sudah lama merana.

Kemelut bangsa ini tidak akan berakhir kalau kita hanya sibuk dalam berpolitik.

Melihat kepada kes kalimah Allah dan yang terbaru ini, isu serbuan JAIS ke atas gereja, lihatlah siapa yang sebenarnya begitu cepat melatah.

Ia bukan orang lain. Ia bukan orang lain. Ia orang kita.

Kita sibuk dengan banyak perkara. Kita kalut dengan banyak hal.

Akhirnya, kita terlupa ada anak dara kita sedang bersahur dengan teman lelakinya di dalam bilik jam 3 pagi.

Malang sekali kita.

Wednesday, 10 August 2011

Membenih budaya ilmu - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita kononnya percaya bahawa menjadi orang Melayu kita tidak boleh bangga diri kerana ia akan bertentangan dengan ajaran agama. Kita kononnya perlu menjadi sufi yang merendah diri. Jangan tunjukkan kehebatan kita.

Benar, kita tidak menunjukkan kehebatan dan kemampuan kita. Sayangnya kita menjadi ahli sufi yang separuh masak. Kita hanya tidak menunjuk dalam hal keilmuan. Tetapi, tidak pula kisah kalau membina rumah banglo 3 tingkat, atau ada kereta mewah berpuluh biji. Kita tidak mahu berbangga dalam hal yang patut, tetapi berbangga dalam hal yang tidak patut.

Sebab itu, kalau ada manusia hebat dalam penciptaan misalnya - kita akan merendahkannya. Kita memandang sinis. Kita sebaliknya berbangga kalau ada orang yang hebat dalam hal kekayaan dunia.

Budaya ini dipupuk dari mana?

Sejak kecil lagi, dalam masyarakat kita, kita diasuh untuk mencapai kejayaan. Kita diasuh untuk berbangga dengan kejayaan seseorang. Misalnya, kalau ada anak seseorang mendapat 10A1, kita akan berkata - wah pandainya anak si polan dan si polan. Kalau ada seseorang di kampung kita menjadi kaya raya, kita akan berkata - wah, banyak sungguh duit dia.

Kita cenderung memberi keutamaan kepada matlamat akhirnya sahaja. Kita tidak bertanya bagaimana anak si polan itu mendapat 10A1. Kita tidak juga bertanya bagaimana Pak Ali tiba-tiba menjadi kaya raya. Kita tidak berfikir caranya, kita hanya melihat hasilnya.

Seperti juga kalau 2 + 2 = 4, kita hanya melihat hasilnya juga. Kita tidak diasuh untuk berfikir kenapa 4, dan bukan 5.

Tradisi tidak berfikir itu sekarang ini sedang menjadi halangan besar bangsa kita. Sistem kita sendiri sedang membenihkannya.

Anda bacalah suratkhabar Melayu. Suratkhabar kita tidak memberi ruang untuk kita berfikir. Suratkhabar kita memaksa kita menelan apa sahaja yang kita baca. Kalau dikatakannya putih, maka semua orang harus percaya bahawa ia putih dan bukan hitam.

Benar, apa yang dilaporkan oleh akhbar adalah fakta. Tapi banyak hal yang disembunyikan menyebabkan kita mandul berfikir. Ia sama seperti anak kecil menangis dan memberitahu ibunya, kakak sulung telah memukulnya. Ia fakta yang benar. Tetapi, anak kecil tadi tidak memberitahu kenapa kakaknya memukulnya. Tidak pula diceritakan oleh anak kecil tadi bahawa dia telah menarik rambut kakaknya. Inilah fakta yang tidak diceritakan.

Pandangan ahli akademik yang neutral telah tidak ada lagi. Bukan kita tidak ada tokoh yang hebat. Dulu kita ada Syed Hussien al-Attas. Sekarang ini, kita masih ada banyak lagi cendekiawan tempatan yang hebat. Khoo Kay Kim salah satu darinya. Bagaimana pun, kini banyak dipetik pandangan ahli akademik yang kita pun tidak tahu apa latar ilmunya. Ingat, ada gelar pensyarah di depan nama seseorang bukanlah bermakna mereka itu cendekiawan. Banyak juga yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Aku berkata benar. Aku mungkin salah satu darinya,

Tulisan yang ada pun tidak memberi ruang untuk kita berfikir. Ruangan yang baik seperti ditulis oleh Prof Taib Othman atau Nordin Selat mungkin hanya sedikit. Kalau ditulis pun mungkin tidak ada sesiapa yang membacanya lagi.

Semua ini menjadikan otak kita tidak berfikir secara kreatif lagi. Malah, berfikir secara pelik dan kreatif menjadikan kita dianggap orang gila.

Anda tidak percaya?

Besok pagi, sebaik sahaja terbangun dari tidur - beritahulah ibu bapa anda, atau rakan-rakan anda bahawa anda akan mencipta satu formula baru bagi mengurangkan asap kereta. Atau beritahulah bahawa anda akan mencipta roket baru ke bulan.

Semua orang akan ketawa terbahak-bahak.

Tetapi, cuba anda beritahu bahawa anda ingin menjadi calon Raja Lawak atau artis Akademi Fantasia. Semua orang akan berbangga dengan anda. Orang akan kagum dengan keberanian anda.

Itulah cara kita berfikir. Kita berfikir untuk menjadi hebat dalam perkara tidak penting. Masyarakat pula meneguhkan sikap tadi. Tetapi, kalau anda berfikir sesuatu yang hebat, orang akan menganggap anda gila.

Bagaimana pun, kalau anda bercerita bahawa malam tadi anda terserempak dengan hantu pocong di tepi kubur - ia akan menjadi berita besar. Banyak orang akan percaya dengan anda. Banyak orang akan bertanya dan ingin mendengar lebih lanjut cerita aneh tadi. Sebab itu, orang kita sangat teruja dengan cerita pelepah pinang berwajah manusia, air menitis dari batang petai atau sejadah berdiri.

Kita suka mendengar cerita aneh tanpa perlu banyak berfikir. Kita sebenarnya jarang berfikir.

Budaya tidak berfikir ini sebenarnya diajar dalam sistem kita. Di universiti, tidak banyak lagi mahasiswa kita yang berani menyatakan pendapatnya sendiri. Ini kerana guru yang mengajarnya juga tidak ada pendapatnya sendiri. Kita mengulang balik apa yang telah ditulis dalam buku. Kita mengulang balik apa yang pernah dibuat orang lain.

Hasilnya kita tidak berbuat apa-apa pun yang baru. Kita kemudiannya mendidik mahasiswa kita dengan hal yang sama juga. Mengulang kesilapan yang kita lakukan setiap hari.

Bersambung.

Tuesday, 9 August 2011

Aku kembali

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku sebenarnya hendak menulis hal budaya ilmu orang Melayu. Tetapi memandangkan aku baru sahaja siap menulis dua kertas jurnal serentak dalam masa beberapa hari ini, biarlah aku minum kopi dulu malam ini. Penat dan letih juga.

Aku kehilangan hari cuti Sabtu dan Ahad. Hari Ahad baru aku terjumpa formula statistik alternatif. Hari Isnin baru aku sambung menulis. Hari ini baru siap draft pertama.


Begitulah, penatnya mengaji PhD. Masalahnya aku cuma ada 10 hari sahaja lagi.

Kalau tidak ada aral, besok pagi aku tuliskan hal budaya ilmu itu.

Untuk malam ini, aku hanya ucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca.

Nanti aku balik Malaysia nanti, siapa yang ada masa - bolehlah contact aku untuk minum kopi secawan dua.

Aku dan
Dr Ben ada projek amal yang sedang menanti. Projek mengajar anak-anak sekolah di kampung yang banyaknya orang kita. Banyak daripadanya pula susah. Kalau ada sesiapa yang berminat untuk turut serta, hubungi beliau.

Kita mungkin boleh sumbangkan sesuatu untuk masyarakat. Kita mungkin tidak ada duit, tetapi kita ada sedikit pengetahuan yang boleh dimanfaatkan. Ini juga sebahagian dari cara kita membentuk budaya ilmu masyarakat.



Saturday, 6 August 2011

Tiada update maknanya aku sibuk

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Maaf, tidak mampu untuk menulis beberapa hal mutakhir ini. Sebenarnya aku sangat sibuk dengan banyak pekerjaan dunia. 5 hari cukup aku duduk di perpustakaan, menaip tanpa henti. Sudah ada 4,000 perkataan. Sepatutnya ia bakal menyudahkan kertas terakhir aku. Itu sepatutnya.

Sampai ke satu analisis statistik (anda tidak perlu tahu apa maksudnya)- ICC (i) dan Fiii, tiba-tiba nombor yang keluar tidak sepertinya. Angka itu menyebabkan aku tidak boleh menulis lagi kertas aku kerana ia adalah punca ilmu statistik.

Semalam - aku ke pejabat. Bertemu penyelia aku - aku katakan padanya - yang aku ingin menyerah kalah.

Dia kata, jangan bimbang. Cuba lagi. Sebenarnya aku sudah mencuba 100 cara.

Hah. Ada kurang 20 hari lagi aku akan menghantar tesis.

Jadi - aku berhenti dulu update.

Wednesday, 3 August 2011

Yang terindah ialah yang tertinggal - II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Matahari jatuh dan matahari naik lagi besok pagi. Begitulah masa yang berlalu. Saat indah di bumi Australia ini bakal ku tinggalkan. Aku boleh berangan untuk datang lagi, tetapi aku pasti ia tidak akan sama lagi. Tahun 2007, minggu ke dua bulan puasa seperti inilah aku datang ke bumi Adelaide ini, meneka untuk nasib hidup di bumi orang. Masa berlalu. Bunga kembang dan layu. Daun tumbuh dan gugur. Alam bertukar warna. Angin panas bertukar sejuk. Sejuk bertukar panas. Aku semakin tua di dalamnya. Ketika aku datang, anak aku - Luqman Hakiem baru 2 tahun setengah. Tahun ini dia sudah belajar (dipaksa) berpuasa. Sudah 3 hari dia berpuasa. Melihat isteriku sedang menggoreng ikan masin pun, dia berlari menerpa ke dapur tidak mampu menahan lapar. Seperti aku di masa kecil terliur dengan ais batu yang dijual sebongkah 20 sen. Hah. Masa berlalu. Kini mereka sedang menggantikan kita.

Masa berputar. Alam berubah wajah. Aku juga kian berubah wajah. Sesekali aku cuba tersenyum di depan cermin, tetapi nampaknya kedutan muka yang datang dulu. Dulu aku selalu bertanya, di manakah letaknya keindahan manusia. Pada mata, hidung, mulut, gigi atau muka. Aku cuba mencarinya beberapa lama. Cuma beberapa hari ini aku bertemunya. Keindahan kita, bukan terletak pada diri kita. Keindahan dan ketampanan kita terletak kepada siapa yang melihatnya. Bayangkan yang melihat kita ialah seorang buta, maka secantik mana pun kita tidak ada gunanya. Jadi, kecantikan, keindahan itu semua hanya khayalan. Ia bukan milik kita. Ia milik orang lain yang melihatnya.

Tahun berubah. Ini tahun ke empat aku berada di Australia. Ia terasa seperti beberapa hari yang lalu sahaja. Melewati Rundle Mall, melepasi Hindley Street - menaiki bas melewati Magill Road, beberapa kali bas bertukar jadualnya - kita pun berubah rupa. Ada orang baru datang. Ada yang pulang. Ada yang menghilang. Proses itu akan berlaku lagi untuk sekian lama lagi. Kita tidak tahu. Ada orang lain yang akan menggantikan tempat kita. Kita hanyalah pejalan kaki di muka bumi ini.

Hampir 20 tahun dulu aku masuk universiti. Masih lincah seperti anak-anak muda yang baru menjejak kaki ke universiti tahun ini. 10 tahun kemudiannya aku berada di tempat lain pula. Aku menjadi orang lain. 10 tahun kemudiannya aku berubah menjadi manusia yang lain pula.

Itulah proses hidup. Tidak ada apa yang kita bawa dalam poket. Yang kita bawa hanyalah kenangan. Yang kita bawa hanyalah pengalaman dan cerita. Ia mungkin berguna. Ia mungkin tidak boleh dipakai.

Akhirnya, yang tetindah ialah yang tertinggal.

Selamat malam pembaca.

Tuesday, 2 August 2011

Membenih budaya ilmu - I

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dibandingkan dengan bangsa lain, bangsa Melayu tidaklah mempunyai tulisan kita sendiri. Di zaman pra-sejarah, ada banyak tulisan yang terpamir, misalnya di Gua Niah atau di beberapa tempat lain. Tetapi, ia bukanlah tulisan dalam erti kata masyarakat sekarang ini, ia lebih merupakan tulisan atau lukisan kuno.

Penemuan batu bersurat pula menunjukkan kita sama ada terpengaruh dengan tulisan Sankrit atau Arab. Walaupun tulisan Jawi kita ditulis dalam bahasa Melayu, tetapi huruf itu datangnya dari masyarakat Arab. Kemudiannya tulisan roman moden pula mengubah cara kita menulis.

Ini menunjukkan bangsa Melayu bukanlah bangsa yang menulis. Ia berbeza dengan orang Cina, India, Jepun atau orang Arab. Malah, bangsa Siam, jiran kita yang terdekat juga ada memiliki tulisan mereka sendiri.

Maksudnya, tradisi kita menulis ini sangat baru. Itu pun setelah kita dijajah atau dipengaruhi oleh beberapa tamadun lain. Bahasa yang kita pakai sekarang ini pun banyak yang dipinjam dari tamadun lain. "Kapal" misalnya, disebut dalam buku sejarah ialah bahasa yang dipinjam dari bahasa Siam - 'Phao'. Kalau anda menggogle, hari Sabtu yang kita pakai ini disebut Sabato di Itali. Ini menunjukkan kita ini tamadun yang masih baru.

Sebab itu, dalam budaya kita - kita masih berpegang dengan tradisi lisan. Ia cerita yang dibawa dari satu generasi kepada generasi yang lain. Kerana ia bersifat lisan, maka tentulah ia boleh ditokok tambah di sana sini, sesuai dengan siapa yang bercerita dan siapa pula yang mendengarnya. Kita banyak mendapat tahu nama tempat atau sejarah lokal masyarakat berdasarkan cerita lisan ini. Tidak ada muzium atau tulisan yang membuktikannya. Ia dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi.


Dan cerita itu pula mungkin ditiru dari tempat lain. Itu yang kita tidak tahu. Hang Tuah mungkin cerita betul, atau juga cerita yang disadur dari Pendewa Lima dari epik India. Kita tidak tahu.

Tapi kerana budaya kita bermula dengan budaya lisan, dan bukannya menulis, jadi tradisi ilmu kita banyak bertokok tambah dengan hal mitos, dongeng dan sesekali mungkin fitnah. Bahan bertulis boleh dibaca, dan orang boleh membuat kritikan, atau komen yang membina. Tetapi, tidak ada apa yang boleh dilakukan kalau ia bersifat lisan.

Buku-buku yang kita anggap sebagai menceritakan tamadun kita - misalnya Sejarah Melayu yang dikatakan ditulis oleh Tun Sri Lanang juga - sebenarnya berbaur dengan banyak perkara mitos yang diragui. Anda perlu membacanya. Anda akan dapati bagaimana muntah lembu ini melahirkan manusia. Begitu juga dengan Hikayat Merong Mahawangsa.

Ini bukanlah bermakna buku itu tidak betul. Tetapi itulah caranya manusia berfikir pada waktu itu. Pemikiran bercapah di antara dua perkara, ada yang logik, ada yang dongeng. Ada yang fakta, ada yang khayal. Ia mungkin bagi menarik perhatian masyarakat waktu itu. Mungkin juga itulah cara manusia berfikir.


Sebenarnya, sampai sekarang pun, begitu jugalah cara kita berfikir. Sesekali apabila anda membaca suratkhabar, anda akan dapati di zaman moden ini pun ada suratkhabar yang sukar melaporkan cerita sejadah berdiri. Pastilah wartawan itu tahu ia bukan cerita yang patut dilaporkan. Tetapi mereka menulis juga. Banyak juga cerita misteri dan tahyul yang ada dalam laporan berita kita.

Begitu juga dengan banyak hal lain.


Tatkala kita baru singgah di klinik membeli ubat, kita juga sangat terpesona dengan hujah penjual ubat di pasar malam. Kita seolah-olah percaya, mungkin untung-untung apa yang dihujahkan penjual ubat tadi betul. Sedangkan kita juga tahu, kalau benar penjual ubat itu betul, dia mungkin sudah ada klinik sendiri - tidak perlu berpindah dari satu pasar malam ke pasar yang lain. Tatkala kita baru sahaja balik dari belajar Fizik Gunaan di waktu malam, kita jadi pula
seram sejuk melalui kawasan berkubur.


Kita cuma bernasib baik - dengan datangnya Islam, banyak ilmuwan kita yang lahir. Mereka inilah kumpulan sarjana waktu itu - yang kita gelar sebagai alim ulama. Mereka inilah yang banyak menulis. Mungkin inilah antara bahan bacaan yang membolehkan manusia membahas atau merujuk semula sumbernya, walaupun ada daripadanya yang sukar dijejak sanadnya. Tetapi kerana yang mengajar juga tahu akan ilmu sesuatu bidang, maka mereka tahu sumbernya - yang mungkin disebut dalam kitab yang lain.

Apabila orang bertanya mengapa masyarakat kita tidak cenderung dengan tradisi ilmu, jawapannya mungkin pelbagai. Ini baru permulaan. Nanti kita sambung lagi.

Monday, 1 August 2011

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Salam Ramadhan dan selamat berpuasa untuk semua pembaca.

Ini kali yang ke empat aku berpuasa di Adelaide sejak tahun 2007. Tahun 2008 aku berpuasa di Malaysia. Sudah banyak tahun juga tidak terliur dengan air tembikai di tepi jalan, atau ayam panggang di pasar ramadhan. Puasa di Adelaide kurang cabarannya. Jam 5.30 nanti dah berbuka. Cuacanya pula sejuk.

Puasa di sini serba serbinya 'cool'.

Selamat berpuasa untuk semua. Nikmatilah bulan Ramadhan ini sementara masih ada masa.

Sunday, 31 July 2011

Kasihan dia

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pagi semalam, seorang pemuda yang gagal dalam permohonannya menukar jantina di Mahkamah Tinggi telah meninggal dunia kerana dikatakan diserang sakit jantung, yang berpunca dari kemurungan yang teruk. Setiap hari akhbar akan membuat liputan dan memberikan sensasi yang berlebihan mengenai berita pertukaran jantina ini.

Masyarakat kita juga berminat mengenainya. Tetapi apa yang kita telah lakukan?

Kita kurang berminat untuk membincangkan puncanya. Kita kurang cenderung mencari jalan mengatasinya agar tidak ada orang lain yang juga mengulang perkara yang sama.

Kita lebih berminat untuk memberikan hukuman kepada pemuda tadi. Bagi sesetengah orang, adalah lebih baik untuk mereka berkata bahawa pemuda tadi lebih baik mati dan kemudiannya dibakar di neraka. Banyak orang ingin menjadi Tuhan dan memberikan hukuman. Banyak orang lebih cenderung untuk menyalahkan pemuda tadi kerana hasratnya ingin mengubah kejadian Tuhan.

Bagaimana pun apa yang kita bantu untuk memahami perkara ini.

Kes pemuda ingin menjadi pemudi, atau pemudi ingin menjadi teruna, bukanlah asing dalam kajian psikologi. Banyak orang yang telah mengkajinya. Banyak orang yang tahu mengenainya. Pelajar psikologi perkembangan sudah diajar dengan subjek ini di tahun pertama lagi.

Bagaimana pun, kerana kita cetek pengetahuan maka kita suka mencari jalan tengah yang memihak kepada diri kita. Hakikatnya, kerana kita tidak berada dalam situasi pemuda tadi, kita tidak tahu apa yang dirasainya. Tidak ada sesiapa menemuduganya. Habis-habis tinggi, wartawan pergi mencari fotonya memakai pakaian wanita, dan mensensasikannya. Ia boleh melariskan jualan akhbar.

Kasihan dia. Dia menjadi bahan manipulasi dan tertawa orang di negara yang kita tidak suka membaca dan mengkaji. Dia menjadi bahan orang yang suka memetik satu dua ayat al-Quran untuk menunjukkan mereka alim agama - dan kemudiannya mengeluarkan hukum lebih tegas dari para ulama.

Kita telah membelanjakan wang jutaan ringgit untuk memodalkan pusat didikan kanak-kanak, yang pastinya disorong oleh daya populariti ahli politik. Tetapi, adakah kita telah menjadikan asas pengetahuan psikologi manusia untuk menubuhkan pusat seumpama itu? Adakah kita telah menerapkan ilmu yang boleh menghindarkan seseorang bertukar untuk menjadi jantina lain dengan berpandukan teori pembelajaran sosial?

Itulah realiti yang sedang kita alami. Kita telah menghabiskan banyak masa untuk mencari salah manusia. Tetapi kita jarang mendebatkan apa yang boleh kita lakukan bagi menghindarinya. Kita lebih suka membaca berita pemuda ini balik ke rumah dan berkonflik dengan keluarganya sahaja, sesekali dia tidur di dalam kereta.

Dalam dunia ini bukan seorang sahaja manusia bertukar jantina. Dan juga bukan seorang yang telah dipulihkan dari berhasrat menukar jantina. Semuanya berasaskan ilmu pengetahuan.

Kasihan dia. Dia mati dalam keadaan semua orang ingin mencari salahnya. Dia mati dalam keadaan orang yang fakir pengetahuan sedang memberikan hukuman yang paling hina untuk dirinya. Sama ada tindakannya salah atau betul, kita boleh memberikan pertimbangan yang adil kalau kita bersandarkan kepada asas ilmu.

Moga-moga Tuhan memberikan jalan yang lebih bahagia untuknya di akhirat.


Saudara Alfindani meminta aku menulis hal budaya ilmu masyarakat kita. Nanti aku tuliskan berdasarkan apa yang aku tahu.

Saturday, 30 July 2011

Berita hari Sabtu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini di rumah aku ada Garage Sale. Ia bukan projek aku. Ini projek isteri aku. Dia perlu memulangkan banyak barang yang dibelinya selama 4 tahun dari garage sale. Rumah perlu dikosongkan.

Beberapa hari ini aku sibuk dengan banyak perkara. Ada satu lagi kertas untuk ditulis. Ada juga chapter kawan aku untuk dibaca. Ada juga kertas proposal pelajar untuk disemak. Semua ini adalah antara kerja mereka yang ingin bergelar akademik - membaca, menulis dan mengkaji.

Tadi, terserempak dengan seseorang. Dia meminta aku menulis satu proposal kajian mengenai pekerja di Malaysia. Ini hal yang bagus. Kalau ada rezeki, ia mungkin projek yang baik untuk aku. Ia bukan projek wang. Aku hanya berminat hal kajian. Selama ini susah berjumpa dengan peluang untuk membiayai kajian. Kali ini, harapnya menjadi.

Ada seorang pembaca memberi komen bagaimana banyak polisi ditentukan pembuat dasar, dan bukannya berdasarkan kajian. Aku perlu katakan aku setuju dengannya. Tidak banyak yang kita boleh lakukan kalau ia tidak diubah. Kita harus bersedia menjadi masyarakat yang membaca, mengkaji dan melakukan sesuatu berdasarkan penemuan saintifik.

Semakin banyak ahli akademik kita dipinggirkan, semakin banyaklah kangkung yang tumbuh. Semakin banyak kangkung yang tumbuh, semakin kusutlah fikiran dan minda masyarakat kita.

Kajian tidak hanya bermula apabila anda mempunyai data. Kajian yang baik bermula sebelum itu lagi. Nanti aku tulis.


Friday, 29 July 2011

Jangan katakan aku kangkung!

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di masa lalu, sebahagian kerja aku ialah melatih eksekutif yang baru lulus universiti untuk menjadi pengurus. Sebahagian dari caranya ialah menyuruh mereka melakukan kerja-kerja 'low class' dulu sebaik sahaja masuk kerja. Kerja utamanya ialah mengedar flyers di depan pasaraya, atau ke rumah flat. Ada di antara yang kekal, ada di antaranya yang lari.

Prinsip aku mudah sahaja. Untuk menjadi pemimpin yang baik, anda perlu menjadi orang bawah dahulu. Melakukan kerja-kerja busuk - kerana bila sampai masanya anda menjadi pemimpin, anda tahu realiti pekerjaan peringkat marhaen.

Masa berlalu. Bunga kembang beberapa kali. Daun jatuh gugur juga banyak kali.

Aku semakin tua. Tadi, isteri aku terserempak dengan seurat lagi uban di atas kepala, menjadikan total sekarang dua urat. Tak mengapalah. Isteri aku tentu gembira, kerana semakin banyak uban - semakin banyaklah gadis cantik di tepi jalan yang tidak terpikat dengan aku. Dan impian aku pergi melancong ke China seperti Salleh Yaakob hancur lebur.

Sekarang aku berada dalam dunia yang lain. Dunia akademik yang mengkaji hal yang tidak diketahui orang umum. Kami dalam dunia kami sendiri. Itu bahasa indahnya. Bahasa mudahnya, - kami dalam dunia syok sendiri.

Seperti mana aku melatih para eksekutif lulusan universiti yang ada ranking atau tidak, begitulah style aku sekarang juga.

Aku akan meminta pelajar di bawah seliaan aku, menghantar model kajian untuk dilihat oleh manusia akademik lain. Bukan hanya di dalam Malaysia, yang terkemuka dalam bidangnya di luar negara juga. Biar mereka memberi komen. Biar mereka mencela atau memuji. Biar mereka memberikan reaksinya.

Selama ini, dunia kajian kita hanya syok sendiri. Kita terhibur dengan banyak perkara kerana kita hanya membincangkannya di kantin universiti. Kita berkata bahawa kajian kita adalah yang terbaik dalam dunia. Sedangkan, kajian kita mungkin tidak mampu pun mencecah darjah kesarjanaan orang kampung aku di Changlun.

Sebaik sahaja menghantar ke jurnal terkemuka - jurnal dengan gembiranya - I am sorry Bro. Your research is not suitable to our journal. Send it to Jurnal Kangkung. They will accept your paper easily.

Sebab itulah, kita perlu lakukan sesuatu. Kita perlu paksa pelajar kita menghantar proposal atau model research kita untuk masyarakat akademik berkelas dunia. Jangan bimbang kalau bahasa Inggeris anda buruk dan jelek. Mereka tidak mengutamakannya. Mereka akan melihat apa jenis kajian yang sedang anda tunjukkan.

Sesiapa yang menjadi pelajar aku - aku tidak tahu apa yang sedang anda rasakan. Anda mungkin sedikit kepenatan. Tetapi percayalah, anda sedang belajar sesuatu.

Aku bukanlah ahli akademik. Aku datang dari dunia yang lain. Aku datang dari dunia yang tidak suka aku dilabelkan sebagai kangkung! Aku juga tidak mahu pelajar aku menjadi kangkung yang harganya sangat murah di pasaran - dan hanya tumbuh di celah longkang!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails