Yang Ikut

Friday, 23 January 2026

Masa lalu yang takkan berulang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tahun 2008 aku mula menulis blog. 

Tahun itu ialah tahun awal aku di Adelaide. Ia negeri yang jauh. Jauh dari keluarga. Jauh dari bahasa dan cara hidup kita.

Pertama yang aku terkejut ialah cuacanya yang sejuk. Terkejut juga dengan cara orangnya hidup. Tiada hiruk pikuk. Rumah mereka seperti sepi. Tiada manusia berjualan di tepi jalan. Tiada siapa mengambil tahu hal siapa.

Masa itu kedai menyewa tape video masih ada. Kedai menjual tiket kapal terbang masih ada. Ia antara hal yang sudah pupus.

Aku masih muda waktu itu. Aku berangan-angan besar berhenti rokok. Aku tak membeli rokok dari Malaysia. Sampai di sana otak aku mula gelisah. Akhirnya aku ke stesen minyak belikan rokok paling murah. Aku tak pernah berjaya berhenti.

Kini aku mungkin sudah menjadi warga tua yang mengajar di universiti. Ah. Bosan sekali. Aku sepatutnya pulang ke Adelaide lagi. Pulang ke usia 36 tahun.

Ia angan-angan untuk semua orang. Kita merindukan masa lalu pada waktu kita sudah tak memiliki apa-apa.

Kasihan bukan?

Thursday, 22 January 2026

Bertemu untuk kehilangan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Beberapa hari ini aku banyak di jalan. Dari Kuching, Kuala Terengganu dan Pekan. 

Tanpa henti.

Aku mencari sesuatu yang tak ditemui.

Dalam dunia ini, yang kita hilang mungkin sama banyak yang kita temui. Tapi manusia mengingati lebih banyak kehilangan daripada apa yang ditemui. Sebab kehilangan membuat kita cuba melupakan. Tapi cuba melupakan itulah yang membuat kita terus mengingati.

Anda menemui apa hari ini?

Sebenarnya setiap pertemuan menandakan ia bermulanya kehilangan. 

Begitulah adatnya. Seperti kehidupan juga. Ia menandakan kita sedang dalam proses kematian.

Tuesday, 20 January 2026

Bagaimana rasanya menjadi profesor?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak dua tahun lalu aku bergelar Profesor.

Apa rasanya?

Sebenarnya ia tetaplah pangkat ciptaan manusia. Sama ada bijak atau tidak, ia hal relatif. Kepandaian manusia berbeza-beza. Kita rasa kita ini bijak, tapi bila bersama dengan sarjana lain, kita tahu ilmu kita tak seberapa pun. Hendak dibandingkan gaji juga, ia juga tak sebesar mereka yang di syarikat minyak atau yang kerja di luar negara.

Jadi apa rasanya?

Tak perlu merasa apa-apa. Anggaplah ia sekadar cerita dunia sahaja. Ia hanya salah satu pekerjaan yang ada dalam dunia. Itu sahaja. 

Setiap pekerjaan ada ceritanya. Ia boleh membuat kita semakin baik, tapi boleh jadi kian membinasa kita. Tergantung di mana kita berdiri, dan sejauh mana kita mendefinisikan apa makna hidup.

Selebihnya, hidup tak bergantung kepada darjat dan pangkat. Ia bergantung kepada sama ada kita memberi manfaat.

Monday, 19 January 2026

Selamat datang 2026

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Lama benar aku tak menulis.

Menulis kini menjadi kerja yang menyakitkan. Seingat aku, sejak emak aku tiada, aku sudah mula mengurangkan masa menulis blog. Selepasnya, rakan-rakan aku pula. 

Lalu aku memilih tidak menulis apa-apa lagi. Cuma aku masih lagi menulis kolumn di suratkhabar.

Dunia kian sepi dan membosankan.

Aku tiada FB, Instagram atau apa sahaja yang bernama media sosial. Sekali itu aku mencuba Linkedln. Tapi ia seperti padang promosi kejayaan diri. Lalu aku menutup akaun, lalu pergi jauh.

Aku ada WhatsApp. Tapi aku tak berminat dengan up status. Dalam setahun, aku mencuba up status sekali atau dua kali. Aku juga tak berminat dengan update orang lain juga. Aku abaikan. Yang sering cuba menonjol dan ala-ala 'sharing is caring', aku padam nombor telefon mereka. Jadi aku tak perlu tahu apa yang mereka wayangkan. Aku tak tergoda.

Tahun 2026 aku berusia 54 tahun. Aku menulis blog agak lama. Sejak tahun 2008. Satu waktu nanti, aku akan pergi. Ia hampir dua abad. Lama sekali.

Selamat tahun baru 2026 kawan. Yang masih hidup dan sudah kembali.


Friday, 28 November 2025

Blog yang usang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Begitu lama tidak menulis. Banyak yang hendak ditulis, tetapi tidak banyak lagi inspirasi untuk menulis.

Menulis ini seperti bergambar. Tak perlu kita bergambar jika tak ada siapa ingin melihatnya.

Setahun dua dulu aku tuliskan sajak.

------

Apa khabar kawan?

Kita selalu berada di hujung permatang memerhati daun padi yang melambai

Lenggoknya perlahan,

dibuai angin kemarau yang dingin,

Memerhati sekumpulan bangau yang terbang pulang ke pohon ara,

puluhan tahun berdiri di situ,

Lalu kita bercerita tentang payahnya hidup di desa yang tak menjanjikan apa-apa.


Satu hari kita berfikir alangkah indahnya jika hidup di kota besar,

Gaji yang banyak dan hidup yang mewah,

Kita boleh miliki apa yang diimpikan tanpa bersusah payah mencabut rumput di petak sawah,

Dan mengharung hanyir lumpur yang habuannya tak seberapa.


Puluhan tahun lamanya cerita ini meniti di ruang ingatan,

Aku kini adalah anak kota, yang punya banyak perkara,

Seperti angan-angan kita di hujung permatang di petang itu.


Dan sesekali aku ingin ceritakan yang mimpi ini telah menjadi nyata,

Aku kini ialah profesor yang ada semua gelar,

Jika kau memijak kaki di universiti kau kan melihat semua orang berkejaran mendapatkannya,

Ada yang dengan penuh helah,

Ada yang mungkin dengan lelah kerana diasak kejujurannya.


Tapi sepertinya gelar itu tiada sebarang makna pun lagi,

Tatkala kau tak pernah ada di sini,

Di permatang yang puluhan tahun dulu adalah kita,

Kita yang riang bersuka, menunggu matahari jatuh.


Di pusaramu,

Aku bercerita.


Hidup di kota ini aku kesakitan,

terpaksa menghiburkan semua manusia,

Dan aku ragu-ragu adakah aku masih anak desa yang dulu lagi.


Apa khabar kawan,

Aku kini profesor yang tak pernah bergembira dengan gelarnya.

Kerana kau telah tiada untuk mendengar ceritanya



Friday, 7 April 2023

Menunggu lailatulqadar

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Menunggu lailatulqadar


Setiap kali Ramadhan tiba

Pertama kali yang ditunggu ialah lailatulqadar

Yang tentulah pahalanya sangat luarbiasa


Tetapi seakan-akannya menunggu lailatulqadar itu satu ujian juga,

Bila beberapa hari setelah berpuasa,

Kita mulai sibuk dengan kuih raya,

Berkira-kira berapa banyak wang hendak ditukar di bank,

Baju dan songkok juga kian mahal harganya,

Ah. Wang belanja sekolah anak juga mesti dijaga.


Menunggu lailatulqadar,

Kita bersesak balik kampung di jalan raya,

Mungkin ramai yang mati juga terlanggar sesama kita,

Dan saf di masjid juga mula mengecil,

Kita sibuk dengan hal picisan.


Tetapi begitulah,

Menunggu lailatulqadar ini,

Kita berdebat tentang hukum bermulanya hari raya,

Sama ada melihatnya di teropong atau melihatnya di Internet sahaja,

Mungkin juga kita perlu ikut sahaja Arab Saudi tarikhnya,

Dan kita pun terlupa bila masanya kita patut berzikir panjang,

Beribadat sepanjang malam,

Menyambut lailatulqadar tiba.


Aku juga,

Seperti kamu.


Sedang sibuk di Jalan Tunku Abdul Rahman,

Sambil merungut nista mencari parkir,

Mungkin tahun depan,

Bila Ramadhan menjelang lagi,

Sekali lagi aku mencari lailatulqadar,

Yang tak pernah aku berjumpa.


Mungkin nanti,

Ketika di hentian rehat dan rawat,

Ketika aku singgah sebentar,

Menghisap sebatang rokok,

Aku mendapat kemuliaan itu.


Engkau pula,

Mungkin bertemunya,

Ketika sedang sibuk belajar resipi baharu,

Di YouTube dan TikTok.


Harapnya begitulah.


FF

6 Apr 2023

Saturday, 11 March 2023

Kaya angan di 2023

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Sebenarnya jika ditanya, bagaimana orang boleh menjadi kaya raya, aku tidak begitu tahu jawapannya. Aku tak pernah kaya walaupun puluhan tahun aku menabung dalam KWSP. 

Aku juga berkerja di banyak tempat, tapi tak juga menjadi kaya. 

Aku mungkin malas dan kurang berusaha.

Tapi bila aku lihat selalu sahaja ahli politik ditangkap kerana terima banyak wang derma di sana sini, sedekah daripada putera raja yang tak diketahui gerangannya sehinggalah oleh tauke besar, aku tahu tak mengapalah jika aku tak kaya. 

Sekurang-kurangnya aku tak meminta sedekah dan derma juga. 

Aku tetap begini. Menyusur angin di waktu siang, membilang bintang di malam hari. 

Ah, wang dalam poket aku cuma ada RM25 lagi. Bolehlah aku berangan sehari lagi. 

Sekurang-kurangnya, aku kaya angan!

Sunday, 5 March 2023

Blog yang tak mati

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Sepanjang tahun 2022 tidak ada sepatah ayat pun aku tulis di blog ini. Aku tidak sibuk. Tidak juga tak sibuk. Tak juga apa-apa. Cuma aku tidak ada apa-apa juga pun.

Aku mengharungi banyak cerita juga di tahun 2022. Entah ia berguna atau tidak, aku lalui sahaja mengikut angin.

Kini sudah tahun 2023. Sudah di bulan Mac.

Blog ini mungkin akan mati atau terus hidup aku tak tahu. Tapi ramai kawan-kawan baik yang dulu membaca blog ini juga sudah mati. 

Kata orang, selagi kita bertanya bila kita akan mati, itu tandanya kita masih hidup.

Teruslah hidup blog ini. Jangan mati lagi.

Saturday, 2 October 2021

Sekeping surat tanpa alamat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Semalam petang, aku lewati rumahmu. Tanpa pagar tanpa dinding. Tanpa diri kamu juga tentunya.

Ingin sekali aku menyambung bicara banyak persoalan falsafah yang belum selesai. Setiap kali berkopi hingga dinihari kita berbual panjang tentang politik, tentang alam, malah tentang roh juga.

Tapi kini, tak jauh dari kubur itu - surau tua yang mereput itu kian condong meroboh. Dan di seberang jalan itu, kamu diam bersemadi di situ setahun yang lalu. Lalu semalam tatkala aku melalui jalan itu, ku lihat di kiri jalan rumah engkau yang kian sepi. Tiada lagi kopi panas yang berasap di waktu dinihari. Di kanan jalan kuburmu yang tanahnya tak lagi merah. Apa khabar?

Setahun ini terasa begitu panjang sebenarnya. Tak ada teman berbual. Tak ada rakan berkongsi angan. Dalam bahasa yang lain - aku juga kehilangan diri. Rasa seperti kesejukan berdiri dalam gurun pasir seorang diri.

Rumah mak aku - yang selalu kau sebut sebagai monumen kematian - begitu jugalah ia. Tiada tamu. Tiada suara. Diam kaku. Aku rasa tak ada sesiapa lagi yang singgah di situ. Bukan untuk beberapa tahun mendatang ini, juga mungkin untuk selamanya. 

Aku singgah semalam. 

Sekadar mengimbau kenangan. Betapa dunia ini padang singgah penuh misteri. Dan aku terus bercerita walau aku tahu aku seorang yang mendengarnya.

Ah. Dunia ini padang kosong yang menguji kita dengan kekosongan hidup. Sibuk di luar, dalamnya meronta kehilangan semua yang pernah ada.

Kasihan sekali bukan?


Saturday, 12 June 2021

Lolong malam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

tatkala malam menyembunyikan cahaya,dalam rintik embun dingin yang menikam tulang, lalu berdoalah memanjat ampun atas dosamu yang bertimbun,yang kau longgokkan di setiap lorong keji yang sedang memaki dirimu.

Oh Tuhan,

aku tak pernah menghitung pahala amalku,tak juga ku membilang nodaku yang membuih,kerana aku takut timbanganku tak pernah berlebihan,untuk menolong aku di depan azabmu.

Oh Tuhan,

aku hanyalah hamba yang tak pernah terdaya,terlalu kerdil untuk berlebihan meminta syurga,tapi janganlah kau matikan aku sebelum aku sempat meminta,jangan kau hinakan aku di sana.

kerana di sini aku sudah cukup terhina,menjadi orang papa yang tak pernah ada apa-apa.


FF 11 Jun 2021

x

Tuesday, 11 May 2021

Selamat hari raya kepada diri sendiri

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tiada yang lebih indah diucapkan di musim begini selain selamat hari raya. Biarpun tak boleh melintas negeri atau daerah, menziarahi ibu bapa yang tua di kampung, tak mengapalah. Kita semua sama sahaja. Kita diamlah lagi dalam rumah untuk sekali lagi.

Indahnya hidup ini bukan kerana kita beraya setahun sekali. Indah hidup kita kerana kita ada sesuatu untuk dirayakan. Kita boleh beraya kerana kita masih mampu menghirup secawan kopi. Kita masih bergembira ada orang yang masih mengirim salam bertanya khabar tatkala kita mungkin sudah hilang semua. Kita beraya dengan apa yang kita miliki, bukan menyesali dengan apa yang kita tiada.

Rasa gembira itu ada dalam diri kita sendiri. Tak guna kita berpesta jika hati kita gundah gulana. Tak perlu bertemasya jika hutang tinggi menggunung. Raya itu ialah perasaan diri yang bahagia, sekalipun kita mungkin sedang dipenjara.

Selamat beraya. Teruslah bergembira walaupun kita hanya mengucapkannya kepada diri sendiri.

Monday, 10 May 2021

PKP 3.0 - Raya tak bersambut

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

PKP 3.0 secara rasmi mula diumum. Suka atau marah, tidak banyak pilihan yang ada. Yang berniaga merungut tiada pelanggan. Yang sihat merungut penyakit kian menyeramkan. Yang nak beraya marah tak boleh berziarah. Yang tak nak beraya marah keadaan tak dikawal.

Begini sahajalah. Kita hadapilah keadaan yang sukar ini. Semua orang tak gembira. Waktu yang normal sekalipun, manusia terus merungut. Apatah waktu yang tak normal.

Kita diibarat sedang berperang. Suasana tak menentu. 

Kita jaga sesama kita. Moga-moga kita mampu bertahan.

Selamat hari raya yang tak bersambut.

Sunday, 9 May 2021

Ramadhan hujung - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
 Ramadhan hujung

Ramadhan telah berada di kaki langit 
Sangat jauh sudah kita menyusur waktu
Sayu melihat bayang remaja kita di langit timur
Ia begitu kecil dan sayup kelihatan
Yang ada di cermin bayang kita
Hanyalah wajah orang-orang tua kita
Tatkala mengatur adab kita berbuka yang begitu gelojoh
berebut makanan sesama adik beradik
Juga sabarnya ibu kita membangunkan kita bersahur
Sesekali memangku menyuap nasi agar kita tak kelaparan berpuasa
Dan ia hanyalah sekadar bayangan yang tercatat
Agar kita tak pernah melupakan ibu bapa kita


Tadi petang
Ku terima khabar
'Pak Su, Tok dah meninggal'
Ia pesan betapa kita semua berada di hujung
Ibu saudaraku yang usianya 80 tahun lebih,
Teman akrab arwah ibuku
Selalulah dia ada di serambi rumah kami
Berbual tentang macam-macam dengan ibuku,
Kini juga telah melewati dunia yang baru,
Meninggalkan kita untuk sekadar terus bernostalgia
Kisah dulu-dulu menyambut Syawal tiba

Bayang Ramadhan hujung,
adalah usia kita,
yang terus gigih berusaha mencari bekal,
sebelum dipanggil pulang,
seperti bunyinya beduk dipalu di surau tua,
memanggil kita pulang ke rumah.
Selamat pulang tok wa,
Berabadilah di sana,
Kami di sini terus menatap senja di langit yang memudar,
Menyambut syawal yang semakin hilang girang.


FF
9 may 2021

Saturday, 8 May 2021

Ramadhan hujung

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kita kian di hujung Ramadhan. 

Dulu, ketika budak-budak, kita berkira-kira rumah untuk dikunjungi untuk mengumpul wang raya.  Sekitar tahun 80-an, ada satu rumah, ketika zaman itu biasanya diberi wang 10 sen atau 20 sen, tuan rumah sekadar memberi 5 sen. Waktu itu, dapat mengumpul RM 5 sudah dianggap wira. Lalu rumah yang agak sengkek, terus termasuk dalam senarai blacklist.  

Budak-budak biasanya tak ambil peduli sangat untuk nasib tuan rumah. Dia terus dilabel kedekut. 

Kini, walaupun ada lagi budaya wang raya, tetapi perasaannya sudah tak sama lagi. Banyak orang sudah berduit, walaupun hutang bank tetap juga banyak. Mak ayah sudah mampu memberi wang raya yang banyak untuk anak-anak sendiri.

Anak-anak juga tak begitu peduli lagi dengan feel beraya. Semua orang sibuk dengan telefon di tangan.

Malah pergi beraya juga sudah menjadi kerja yang memenatkan.

Raya di musim PKP ini menghambarkan lagi perasaan beraya yang sedia hambar. Apatah lagi jika sudah tidak ada lagi mak ayah di kampung.

Tahun ini beraya di hotel mana?

Friday, 7 May 2021

Jangan sangsi dengan Internet!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Mungkin penyakit yang ada dalam dunia ini bernyawa seperti manusia juga. Ia seperti berakal. Setiap kali diberitahu ada vaksin ditemui, atau orang ramai mula menyuntik vaksin, ia berubah pula menjadi lebih perengus. Ia sepertinya anak nakal menguji marah orang tuanya.

Di Malaysia, kita sedang bertarung dengan dua ketakutan. Ketakutan virus, dan keduanya ketakutan vaksin. Takutnya orang pada vaksin sama takutnya dengan virus juga. 

Banyak sebab orang menjadi takut. Sejak puluhan tahun kebelakangan ini, internet menjadi guru untuk kita semua. Orang lebih percaya dengan internet daripada yang diberitahu orang pandai. Sebab itu, kini mungkin lebih ramai doktor internet daripada doktor di hospital. Seperti juga halnya muncul banyak ustaz update status di bulan Ramadhan ini, yang  bersyarah itu halal dan ini haram, lebih ramai daripada ustaz yang bersyarah mengguna kitab. Ironisnya, pakar dan alim internet ini lebih banyak diikuti. Malah Imam Ghazali yang alim boleh disanggahinya. Apalah sangat doktor vaksin.

Akhirnya, kita semua menjadi ghairah keterlaluan mengaku lebih tahu dalam banyak hal. 

Mungkin sebab itu, apabila universiti atau sekolah ditutup, kita semua seperti tidak bimbangkan apa-apa sangat. Internet menjadi guru yang boleh mengajari kita lebih baik daripada mereka yang dilatih 6 atau 7 tahun umtuk menjadi doktor di hospital. 

Internet ini sempurna bukan?

Anda tahu apa vaksin terbaik? Updatelah juga status facebook anda agar kita semua pakat-pakat tahu.

Oh terlupa juga. Semalam banyak orang kata ada Lailatul Qadar. Ah, rahsia Tuhan pun Internet juga tahu!

Wednesday, 5 May 2021

Tanda pagar marah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Esok sekolah di Selangor mula ditutup. Jika ditanya banyak orang, mereka gembira atau tidak? Mungkin ada yang tidak gembira. Tapi dalam situasi yang tak keruan sejak dua tahun ini, tutup dan buka sudah menjadi biasa.

Bagi yang gembira, ada juga banyak sebab. Jawapan yang paling skema mungkin untuk menghindar Covid-19. Tapi jawapan lain yang lebih jujur, ibu bapa tak perlu bersesak di waktu pagi menghantar anak ke sekolah. Jadi belum tentu ada yang suka sekolah ditutup ini kerana mengelak penyakit sahaja. Manusia ini banyak sebab peribadi yang disembunyikan di balik sebab umum.

Anda semua marah kerana tak boleh beraya dan melintas negeri? Ya, ramai yang marah.

Tapi dalam diam-diam ada sukanya juga. Berapa ramai daripada kita yang gelisah tak sempat menukar wang raya di bank?  Berapa ramai juga yang tak lena tidurnya kerana tak sempat membeli baju raya? Dan kita juga tak begitu banyak bercakap tentang wang tak cukup untuk beraya tahun ini.

Jadi kita sebenarnya marah atau tidak?

Kita perlu tunjuk rasa marah. Agar orang tak nampak sangat kita sedang bergembira.

Tak begitu?

Selamat berbuka.


Tuesday, 4 May 2021

Tanda pagar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Berita yang ditunggu-tunggu banyak orang, dengan penuh sabar, sesekali berbisik dalam hati, akhirnya datang menjelma. Itulah PKP 3.0. Ia datang dengan juga beberapa tanda pagar lain, #KerajaanGagal. 

Sebenarnya tak ada satu negara pun lagi yang berjaya melawan Covid-19 ini, termasuklah juga negara yang menghasilkan vaksin itu sendiri. Tak ada satu pun formula yang dianggap bijaksana. Menutup sekolah, ibu bapa bising bertanya bila sekolah mahu dibuka? Sekolah dibuka, demam maut merebak, ahli politik pula marah bertanya bila sekolah mahu ditutup?

Pasar malam ditutup, peniaga merungut mereka hilang pendapatan. Bila dibuka, ia dirungut pula pihak lain ia punca penyakit. Masjid ditutup, semua orang merungut, termasuk yang tak pernah ke masjid, marah kerana supermarket pula boleh dibuka. Imam pun tentu keliru juga hendak menyuruh makmum merapatkan saf. Saf yang merenggang, dikata pula mengikut mazhab WHO.

Lalu apa cara yang semua orang ada?

Memang mudahlah ahli politik mana pun menuding jari mencari salah. Tetapi yang termasuk berkunjungan makan kenduri pun mereka juga. Tetapi hendak disalah mereka juga salah. Tak berkunjung, lalu dikata makan gaji buta. Lalu apa dan bagaimana, melainkan kita letak sahajalah tanda pagar apa pun yang menawan agar ia jadi trendy.

Lalu apa dan bagaimana kita ini?

Selagi kita yang tak bertemu caranya, kita semua adalah rakyat yang gagal. Ia tanggungjawab kita semua. 

Melainkan kita semua, termasuk anak-anak kita diberi wang ratus ribu dan duduk diam di rumah. Pasti tak akan ada penyakit merebak.

Sebab semua orang sudah ada wang, lalu jangan pula nanti merungut tak ada orang menjual nasi lemak. Atau merungut semua pemandu Grab sudah tak lagi melayan pesan kita.

Lalu bagaimana harus kita?

Melainkan kita letak sahajalah tanda pagar, #TuhanPanjangkanNyawaku.



Sunday, 2 May 2021

Menjual angin

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tatkala aku menjual angin
aku dikata berniaga mimpi
sedang berapa banyak orang tertipu
digoda warga seberang benua
hanya menjual kata-katanya
berapa yang ada diberi semuanya.

Tatkala aku berkata kebenaran
aku dinistai sebagai pemalsu
sedang saban hari mereka juga berbohong
dengan pintar berselindung di balik warak
lalu akukah yang terhukum kerana memperdaya
sedang mereka akan terampun dosa,
kerana ramai sang idola akan terus berdoa

Menjual angin
dan menyata kebenaran
itu sama sahaja
ia bukan kerana siapa yang akan membelinya
atau berapa mahal harganya
tapi siapa engkau yang menjualnya.

FF 2 Mei 2021


Saturday, 1 May 2021

Bila lilin yang nyalanya tiada bercahaya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Angin raya telah mula berhembus. Terasa sepertinya kita sedang mula berkira-kira memacakkan api pelita di keliling rumah. Mula juga berfikir tentang baju raya baru untuk dipakai tahun ini. Dan rumah kita mula penuh dengan adik beradik yang pulang beraya.

Puluhan tahun dulu, biasanya aku ke masjid untuk berteraweh. Sebenarnya bukan sangat teraweh itu. Masjid jadi tempat berkumpul, berborak dan bermoreh. Moreh itulah yang menyatukan warga muda dan tua di kampung.

Tetapi, bukanlah juga selalu. Banyaknya dihabiskan masa di atas tandop air, tak jauh dari rumah aku. Sebungkus rokok, sebungkus kacang dan sebatang lilin menemani aku dan arwah Din. Kadang-kadang kerana kami tak banyak berbual, jadi kami hanya berbual hal penting sahaja.

Bila hampir raya tiba, kami mula berkira-kira mencari kuih raya di pekan Jitra. Tetapi bajet kami budak remaja, taklah banyak. Tak harus lebih RM30. Itupun jenuh juga nak dicari.

Biasanya kuih raya itu kami juga yang memakannya.

Tahun ini, seperti tahun sebelumnya, raya ini tak ada warna serinya lagi. Semua orang sibuk update angka pesakit dan angka mati. Kini mati di mana-mana. 

Tapi jika tanpa Covid pun, aku tak rasa raya pada musim tatkala bunga gugur dan daun jatuh, ia akan membangkitkan rasa riang juga. 

Ia ibarat nyala lilin yang tak beri cahaya.

Selamat berpuasa. Moga kita semua masih lagi bernyawa.

Selamat hari buruh

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kita semua adalah buruh. Banyak orang bersangka buruk bahawa buruh ialah kerja kuli bangunan atau mereka yang kerja membancuh simen sahaja. Sebenarmya tidak. Kita semua adalah buruh. Pekerja hanyalah istilah lain untuk buruh. Ia terlihat lebih baik daripada buruh, hakikatnya ia tetaplah benda itu juga. Ia juga merujuk kepada buruh atau kuli.

Aku tidak begitu suka kita dipanggil pekerja. Bagi aku, buruh membawa makna yang lebih jujur menceritakan diri kita yang sebenarnya. Bukan buruh apa jika setiap hari berkerja, kita tak pernah juga kaya. Bukan buruh apa, jika kita tak habis-habis merungut tentang hidup, lebih banyak dari merungut tentang mati. Kita adalah buruh apabila puluhan tahun berkerja di kilang, tetapi tak mampu membuka kilang sendiri. Kita adalah buruh jika puluhan tahun berkerja di hospital, dengan segala kepandaian, tak juga mampu membangun hospital kita sendiri.  Kita adalah buruh bila menjadi pegawai yang berkemeja cantik yang tetap sahaja tak mampu menaikkan gaji sendiri. Kita tetap perlu menjadi kuli orang. Siang dimarah, malam diherdik. Kita jadi sangat takut kehilangan kerja sebab ia akan buatkan dapur rumah tak berasap. Jika perlu membodek, kita bodeklah. Jika perlu memanggil orang lain boss, seribu kali sehari pun, biarlah.

Bukan buruh apa jika kita begitu?

Yang berbezanya kita, sama ada kita sedar diri atau tidak sahaja. Bezanya kita, sama ada kita merasa terhormat dipanggil tuan, atau merasa hina dipanggil buruh. Itupun gelar itu diberi menyembunyikan hakikat sebenar kita sahaja. Hakikatnya kita hanyalah kuli.

Jadi tak perlulah kita berperasaan besar diri. Selagi nama kita tak pernah tersenarai sebagai manusia kaya di Forbes, kita besar kemungkinan adalah buruh. Sebab buruh itu akhirnya perlu berkerja untuk kekayaan  orang lain, dan tetap merungut dengan wang yang tak pernah cukup.

Anda bukan buruh?

Selamat hari buruh untuk orang lain, dan bukan anda.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails