Dalam hidup kita, berapa banyak kali kita kehilangan sesuatu.
Ketika kecil - kita menangis hanya kerana kehilangan wang siling. Kita juga mungkin tidak berasa gembira kalau ada barang yang hilang.
Semakin kita berusia, kita mungkin tidak menangis lagi kerana kehilangan wang siling. Kita juga mungkin tidak akan menangis hanya kerana kehilangan perkara yang bersifat fizikal.
Tetapi - air mata kita mungkin mengalir kalau kehilangan sesuatu yang berkait dengan emosi kita. Kita mungkin tidak mampu menahan sebak kalau ada kematian ahli keluarga atau sahabat akrab kita.
Kita juga mungkin berasa sedih kalau ditinggalkan seseorang. Kita berasa tidak gembira kalau kita hilang kepercayaan.
Tetapi - ada satu hal kehilangan yang lebih besar. Ia lebih besar dari kehilangan harta benda atau manusia.
Usia kita. Itulah kekasih kita yang setiap hari meninggalkan kita. Jarang kita menangis untuknya. Usia kita - hari yang berlalu tak akan berulang lagi.
Ia hilang buat selama-lamanya.