Yang Ikut

Showing posts with label hari pekerja. Show all posts
Showing posts with label hari pekerja. Show all posts

Sunday, 2 May 2010

Selamat hari buruh warga kuli

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapa pun kita, kita hanyalah kuli kepada orang lain. Kita mungkin berjawatan besar, tetapi ada lagi orang lain yang lebih besar dari kita.

Dunia para kuli kini semakin dicabar oleh pelbagai masalah ekonomi dunia. Ekonomi sejagatlah yang menjadi majikan kita. Tidak kira apa pun jawatan yang kita pegang, turun naik ekonomi yang menentukan jumlah wang dalam poket kita. Tatkala harga minyak dunia naik, poket kita menjadi kering seketika kerana kenaikan harga barang. Tatkala tiada lagi permintaan untuk industri tayar di Jepun, warga penoreh di Malaysia merungut harga getah jatuh.

Kita boleh berbangga dengan gaji besar. Hakikatnya, gaji besar kita tidak ada apa-apa pun dibandingkan dengan billion ringgit wang untung sehari para pemodal yang kita tidak tahu pun siapa mereka. Kita tidak tahu pun di mana mereka. Adakah semua produk dan perniagaan dalam dunia ini pada akhirnya hanya dikawal oleh seorang manusia? Juga tidak kita tahu. Mereka inilah majikan kita.

Sebab itu - dari hari ke sehari kita berhadapan dengan semakin beratnya dunia pekerjaan. Kita perlu ada kelulusan yang baik, hanya untuk menjadi kuli sahaja. Kita diminta berkerja dengan cepat, kalau boleh 24 jam sehari dan menghasilkan kualiti terbaik. Kita juga diminta agar tidak berkira sangat dengan gaji. Siapa yang menyuruh kita? Mereka ialah ketua kita. Siapa pula yang menyuruh ketua kita? Mereka tentulah ketua kepada ketua kita.

Siapakah sebenarnya ketua kepada ketua kita kepada ketua kita?

Itulah pasaran ekonomi dunia.

Jadi sekiranya anda sedang berkerja, ada jawatan yang besar - jangan bongkak dan takbur. Anda bukan sesiapa. Anda juga kuli seperti kami. Sekiranya anda memang kuli - janganlah pula berkecil hati. Kita semua adalah kuli. Aku, kita, kami dan mereka adalah kuli.

Semua nama jawatan yang diberikan - baik pensyarah, guru, pengurus, pegawai akaun, operator kilang, penyelia, mekanik, pengarah urusan, tukang kebun, pengawal keselamatan - atau apa sahaja hanya untuk menyembunyikan istilah sebenar hakikat pekerjaan kita - kita adalah kuli.

Selamat hari buruh untuk semua warga kuli.

Friday, 1 May 2009

Selamat berpesta warga kuli

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
1 Mei 2009 - Selamat menyambut hari pekerja untuk semua warga manusia. Sesiapa pun anda, sebagai pemungut botol Coca Cola di tepi jalan sehinggalah CEO syarikat gergasi, anda adalah pekerja. Kita semua sama sahaja tarafnya. Bergelumang dengan cabaran untuk mendapatkan duit untuk makan. Setelah kekenyangan, kita terfikir hal-hal yang lebih besar lagi - hal tempat tinggal, kesihatan, harta yang membongkakkan dan segala macam perkara yang dikejar.

Sesiapa pun kita, kita adalah kuli pekerjaan. Kita mungkin berpangkat besar, kenal dengan segala macam manusia VIP - tetapi akhirnya kita juga kuli. Ada orang yang lebih besar mengarahkan kita. Setiap hari setiap saat. Hinggakan cuping telinga kita tidak sempat kesejukan. Kaki kita tidak sempat berlari dan mengejar. Tangan kita yang cuma ada dua seakannya tidak cukup untuk melunaskan permintaan dan arahan orang lain.

Kita mungkin dipuji dan dipuja, disalam dengan penuh hormat. Semuanya palsu. Yang memuji juga mungkin disebabkan dia diminta berbuat begitu oleh tuntutan pekerjaannya. Dia bersalaman juga kerana dipaksa oleh kerjanya. Kita juga perlu berlakon hebat dan besar, juga kerana tuntutan pekerjaan.

Apatah lagi - kita yang berpangkat kecil atau tiada berpangkat. Kita tentu akan disumpah seranah dan dimaki-hamun manusia dikenal atau tidak. Semuanya kerana pekerjaan. Yang memaki juga kerana itulah tuntutan pekerjaannya. Kita yang disumpah dengan carut-marut juga kerana itulah sebahagian daripada sifat kerja kita.

Manusia mungkin telah mula menjadi kuli setua peradabannya. Dahulu manusia menjadi kuli dengan berburu dan bercucuk tanam. Hari ini kita berkuli dengan tali teher, kemeja dan kasut kulit yang berkilat. Kita cuba menutupkan wajah-wajah kuli dengan pakaian jenama terkenal. Pada setiap hujung bulan, di hadapan mesin ATM, kita tahu betapa kita adalah kuli apabila mengharapkan ada wang yang masuk untuk membeli sekampit beras.

Jadi - untuk semua manusia - janganlah cepat merasa besar, bongkak dan takbur. Sesiapa pun anda, apa bangsa dan agama pun, kita semua adalah kuli. Kita hanya berhenti menjadi kuli setelah nyawa kita ditarik keluar dari badan, dan jasad ditanam di dalam bumi. Masa itu, akan ada kuli-kuli manusia lain yang akan menguruskan kita.

1 Mei - hari untuk semua warga kuli seluruh dunia. Tersenyum bangga dan berbesar kepala kita semua kerana kita dilahirkan untuk tugas menjadi kuli kepada dunia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails