Kali ini kita kembali kepada perbincangan psikologi. Kita berbincang psikologi sikap. Bagaimana pun kita tidak berbincang hal psikologi sikap yang tinggi-tinggi. Kita berbincang hal yang mudah sahaja. Untuk yang berminat mendalami topik ini, sila baca di sini.
Mengapa sikap? Sikap ialah penilaian kita terhadap sesuatu. Kita boleh menilai sesuatu secara positif atau negatif. Ia adalah permainan minda manusia. Dalam kata lain, sikaplah yang akan menyebabkan sesuatu tingkahlaku itu berlaku.
Jadi, dalam keadaan normal, untuk mengubah tingkahlaku, yang pertama harus diubah ialah sikap dahulu. Mengubah tingkahlaku adalah pekerjaan sukar.
Misalnya. Mengubah tingkahlaku merokok. Yang harus diubah ialah sikap terhadap perbuatan merokok. Kita harus bersungguh-sungguh menyemaikan idea bahawa merokok itu perbuatan buruk, keji dan tidak mendatangkan manfaat. Buruk lagi, merokok menjejaskan kesihatan dan mengurangkan wang. Dengan cara ini (memandang negatif terhadap perbuatan merokok), kita boleh menggalakkan seseorang itu berhenti merokok.
Setiap perokok (termasuk aku) tidak melihat merokok sebagai sesuatu yang negatif. Kami selalu berhujah bahawa orang yang tidak merokok juga sakit jantung dan mati lebih cepat. Kami juga percaya bahawa tidak merokok pun, seseorang itu tidak mampu menabung wang yang ada. Jadi, inilah pandangan positif kami terhadap rokok. Ia telah diherotkan oleh alasan demi alasan mengukuhkan lagi tingkahlaku merokok.
Yang dilakukan ahli politik apabila berceramah di kampung-kampung ialah mengubah sikap pendengar terhadap sesuatu. Misalnya, mereka akan berkata satu-satu parti sebagai jumud dan anti pembangunan. Ada pula ahli politik yang berkata bahawa satu-satu parti itu sebagai anti hak asasi dan tidak jujur.
Semua ini akhirnya akan menyebabkan orang percaya. Akhirnya ia mengubah tingkahlaku pengundi - misalnya tidak memberikan kerjasama terhadap satu-satu parti dalam menjalankan pentadbiran. Atau tidak mengundi walaupun ada kebaikan yang telah ditonjolkan oleh parti terbabit. Sikap itulah yang mengubah tingkahlaku.
Begitu juga sikap masyarakat terhadap pertanian. Kita tidak yakin bidang pertanian memberikan keuntungan. Kita melihat orang yang menoreh getah atau berkebun kelapa sawit sebagai tidak setaraf dengan orang yang makan gaji. Orang memandang rendah dengan kerja-kerja berkebun. Walaupun orang yang makan gaji pendapatannya tidak pun sampai RM1,000, tetapi orang lebih menghormati kumpulan ini sekalipun yang menoreh mungkin pendapatannya RM5,000 sebulan.
Tetapi itulah sikap. Sikap itulah yang menjelmakan tingkahlaku. Sebab itulah dalam banyak hal, kita menumpukan perubahan sikap lebih berbanding perubahan tingkahlaku. Inilah juga yang dilakukan oleh ahli motivasi dan penceramah. Mereka tidak mengubah tingkahlaku. Mereka hanya merubah sikap dengan harapan ia akan merubah tingkahlaku.
Adakah setiap perubahan tingkahlaku hanya boleh bermula dengan sikap? Yang kita bincangkan tadi ialah dalam keadaan yang normal. Dalam keadaan tidak normal, adakalanya perubahan sikap tidak memadai.
Misalnya penagih dadah. Penagih dadah tidak boleh diubah dengan menukar sikap mereka kepada penilaian negatif terhadap dadah. Mereka mungkin percaya dadah bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. Tetapi mereka tetap juga menagih. Sebabnya ialah kerana mereka akan ketagihan dan mengalami pelbagai jenis kesakitan (mental dan fizikal) jika tidak menggunakan dadah.
Jadi, apa yang boleh kita lakukan. Kumpulan ini perlu diubah tingkahlaku terlebih dahulu. Sebab itu mereka perlu ditahan di pusat serenti bagi mengubah tingkahlaku penagihan dadah. Setelah diubah tingkahlaku, baru mereka boleh diubah sikap. Itupun tidak banyak yang berjaya. Dalam keadaan ini, sikap dan tingkahlaku kedua-duanya kuat mempengaruhi di antara satu sama lain.
Begitu juga dengan penjenayah. Mereka ditahan di penjara. Dengan harapan, apabila tersiksa dengan hukuman, mereka akan berubah sikap. Sebaliknya, kita dapati apabila mereka keluar, masih ada yang terlibat dengan jenayah. Banyak penjenayah yang mempunyai rekod masuk keluar penjara. Ini adalah bukti betapa sikap adalah sesuatu yang sangat sukar untuk diubah.
Apa pun, kejayaan mengubah sikap memungkinkan perubahan tingkahlaku. Jika tidak, tidak ada apa yang boleh kita lakukan.