Yang Ikut

Showing posts with label ragut. Show all posts
Showing posts with label ragut. Show all posts

Friday, 12 October 2012

Psikologi ragut 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Psikologi ragut yang telah aku tulis dalam suratkhabar boleh dibaca di sini.

Ia mungkin tidak semestinya benar. Hanya sekadar pandangan aku sahaja.

Aku perlu menerokai hal yang lain pula.

Tidak tahu lagi. Ada banyak hal yang boleh ditulis, tetapi aku tidak tahu apa yang patut ditulis.

Wednesday, 3 October 2012

Psikologi ragut

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Minggu ini aku menulis hal psikologi ragut untuk suratkhabar Kosmo. Ia bakal keluar Jumaat ini. Ia dari kacamata aku. Aku menuliskan menurut apa yang aku rasa, dan bukan semestinya benar. Aku menuliskan hal psikologi ragut kerana aku rasa manusia bertindak atas persepsi.

Setiap kali menaiki kereta di jalanraya, kita akan menjeling kereta di kiri kanan kita. Kita tidak ambil tahu siapa di dalamnya. Kecuali dalam benak kita akan selalu berkata mereka yang menaiki BMW tentulah orang kaya, dan yang hanya memandu Kancil orang biasa-biasa sahaja. Kita menilai manusia di dalam kereta berdasarkan kaya atau miskin, dan bukannya mereka ini orang jahat atau orang baik. Kita juga tidak menilai orang itu cantik atau tidak berdasarkan keretanya. Kita hanya menilai kaya atau miskin sahaja.

Realitinya mungkin orang yang menaiki BMW itu adalah mereka yang sangat miskin, ada yang telah muflis. Mungkin juga hanya pemandu yang bergaya dengan kereta tuannya sahaja yang juga sebenarnya sudah lari ke luar negara kerana banyak hutang.

Yang di dalam kancil mungkin jutawan -- yang kedekut. Atau baru sahaja kena loteri beberapa hari lepas. Tetapi kerana persepsi kita tidak akan membawa otak kita berfikir bahawa kereta kancil itu ialah hadiah harijadi aweknya ketika di sekolah lagi, kita tidak mengambil tahu semua itu.

Peragut juga manusia seperti kita. Dia tidak kenal jenama Gucci atau apa jenis beg tangan yang mahal-mahal ini. Beg yang berkilat dan bergaya walaupun dibeli di Chow Kit diangap akan ada banyak duit di dalamnya. Mereka mungkin tidak akan menilai yang apek tua membawa guni buruk mungkin berisi puluhan ribu ringgit.

Persepsi ini mungkin membuai nafsu manusia peragut. Aku tidak tahu. Aku belum pernah meragut.

Selebihnya baca di suratkhabar Kosmo!

Sabtu ini aku dijemput mengendalikan bengkel AMOS. Yang berminat boleh contact aku. Aku tidak tahu berapa bayarannya kerana aku hanya dijemput. Yang aku tahu hanyalah ia diadakan di Fakulti Pendidikan, UM.

Tuesday, 28 July 2009

Kita mungkin sebahagian peragut

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Membaca tajuk di dalam akhbar, anda pasti akan bertemu dengan tajuk wajib - 'ragut'. Ragut sekarang sudah menjadi trend baru orang Malaysia. Ragut berlaku di mana-mana. Beberapa hari lalu, seorang kawan aku - yang baru sahaja memilih pemberhentian sukarela - diragut RM 10,000. Cermin keretanya dipecahkan.

Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat sahaja. Orang ramai juga tidak berbuat apa-apa. Mereka melihatnya sahaja.

Beberapa tahun lalu, di Taman Maluri aku melihat melalui cermin sisi kereta kejadian ragut ketika sedang menunggu isteri aku keluar dari pejabat. Peragut itu telah meragut seorang wanita di hadapan pintu pagar rumahnya. Aku tidak menyangka ia satu ragut kerana peragut itu menaiki motosikal Honda Ex-5 secara selamba sahaja. Perlahan.

Perempuan Cina yang sedang diragut itu pula meminta tolong dalam bahasa Cina. Siapa yang akan faham? Jadi kelihatannya seperti melambaikan tangan memberitahu peragut tadi yang mereka tertinggal barang. Lama setelah itu baru aku tahu itu ragut.

Apakah yang boleh kita lakukan bagi mencegah ragut?

Dalam dunia manusia tiada pekerjaan, tiada wang dan nafsu membeli barang membuak-buak, ragut adalah pilihan yang terbaik mereka. Kita juga sedang dihadapkan dengan isu ekonomi yang getir. Kita berhutang untuk apa sahaja. Bukan sekadar untuk membeli rumah dan kereta, tetapi kita juga berhutang PTPTN untuk belajar universiti. Jadi kita semua tertekan. Kita jadi begitu sibuk. Kita tidak sempat berfikir membina sistem kejiranan dan kemanusiaan yang lebih baik.

Kita juga sedang menggendong terlalu banyak penagih dadah. Mereka juga antara manusia yang cenderung untuk meragut. Penagih pula tidak lahir secara automatik. Mereka lahir dari sistem sosial yang pincang. Hidup di rumah pangsa yang kecil, atau persekitaran rumah yang tiada laman dan kotor menyebabkan mereka mencari keseronokan di luar. Semua ini menyumbang.

Dadah pula di bawa masuk melalui banyak jalan. Antara jalan besarnya ialah ada manusia yang tidak jujur. Manusia rasuah yang terpaksa mencari wang lebih untuk membayar hutang. Mereka mungkin menerima rasuah bagi membenarkan orang membawa masuk gula atau baju Siam. Tidak mengapa, gula makanan halal. Baju juga berguna. Tetapi, di celah-celah itu kalau ada yang menyelitkan sekilo dua dadah siapa yang tahu?

Anda akan melihat kereta tunda keluar Thailand jam 11 malam. Kereta siapa yang rosak? Siapakah yang akan memeriksa apa yang ada dalam kereta itu.

Jadi, semua sistem ini telah menyelingkar dan merosakkan yang lain. Pembuat dasar seharusnya bijak dalam menangani ragut. Kita tidak hanya perlu bercakap hal pembangunan bangunan besar, tetapi juga mesti lebih cerdas bercakap hal pembangunan manusia.

Kita perlu lakukan sesuatu dengan sistem pendidikan kita. Sebab, semua orang bersekolah, termasuk para peragut, ahli politik, tuan punya bank, dan penjawat awam. Kita mungkin antara manusia yang sedang membiakkan kejahatan ragut.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails