Kita mulakan perbincangan kali ini dengan pernyataan: "Apabila anda membuang baju lama anda, tidak semestinya anda akan mendapat baju baru yang lebih cantik dan baik. Anda mungkin akan mendapat baju yang lebih buruk, koyak rabak dan compang camping".
Walaupun pernyataan ini berkaitan dengan baju, ia tidak menceritakan hal-hal yang berkaitan pakaian anda. Ia menceritakan hal pasangan anda.
Dalam banyak kes rumahtangga, apabila berlaku konflik - maka antara usaha yang paling mudah ialah perceraian. Memang, penceraian itu salah satu ikthiar yang ada. Pasangan anda mungkin bukan seorang yang bertanggungjawab, berfoya-foya, mengabaikan keluarga atau apa sahaja label lain yang buruk. Sebenarnya dalam dunia ini, jika anda mempunyai pasangan yang teruk, ada sejuta lagi keluarga yang mempunyai pasangan seperti itu. Kalau rumahtangga anda koyak rabak, ada lagi sejuta rumahtangga yang lebih menghinakan dari apa yang berlaku dalam rumahtangga anda.
Meminta cerai memungkinkan anda bakal mendapat pasangan baru yang lebih baik. Ia angan-angan dan mimpi semua orang. Apabila dilanda masalah yang sedikit sekalipun, orang mula berfikir yang mereka telah ditakdirkan mendapat pasangan yang teruk. Mereka berasa kesal. Mengapa tidak mereka mendapat pasangan lain yang diharapkan.
Sebenarnya ia hanya ilusi. Tidak ada pasangan dalam dunia ini yang sempurna dan ideal. Ia hanya angan-angan. Sempurna dan ideal hanya untuk seminggu pertama berkahwin. Kemudiannya dari hari ke hari, orang mula bertemu dengan hal yang pelik dan janggal. Suami malas bangun pagi dan tidak sembahyang subuh. Isteri tidak pandai melayan ibu mertua. Semua itu adalah pengalaman baru sesudah selesai tempoh bulan madu.
Jadi, apabila anda berharap dengan perceraian - memungkinkan bertemu dengan pasangan sejoli, ia silap. Mungkin satu dalam seribu sahaja. Membuang baju lama tidak semestinya anda mendapat baju baru yang cantik. Bahkan, anda mungkin bakal mendapat pasangan baru yang lebih buruk dari pasangan anda sekarang.
Banyak keputusan meminta cerai yang dibuat dalam keadaan penuh emosional dan pemikiran bercelaru menyebabkan ia diputuskan dalam keadaan yang tidak rasional. Hasilnya mungkin juga tidak rasional.
Jika sekarang anda sedang berhadapan dengan masalah, berhentilah sejenak. Lupakan sesaat masalah anda. Anda mempunyai sepuluh jari. Tutuplah satu jari anda. Lihatlah, ada lagi 9 lagi jari lain. Lupakan satu masalah. Lihatlah, ada lagi 9 perkara lain yang wajar difikirkan juga. Jangan menghabiskan banyak tenaga dengan hanya satu masalah tadi. Banyak yang harus difikirkan. Jangan terus memilih bercerai. Ia mungkin memburukkan keadaan. Melainkan, jika anda tidak ada pilihan lain.
Berkahwin tidak seperti bercinta. Ingat hal itu.