Yang Ikut

Thursday, 15 April 2021

Selamat malam kawan

Beberapa tahun ini aku hidup dalam ruang yang sangat membosankan. Aku dulunya menulis blog ini, kira-kira 14 tahun lalu juga kerana bosan. Tapi bosan ketika aku hanya berumur 35 tahun. Sekarang aku berumur 49 tahun.

Pembaca blog ini pun jika dilahirkan pada tahun 2008, kini juga remaja. Tapi yang membuat aku kian terasa kosong kerana banyak pembaca blog ini, manusia yang penting telah mati. Ada yang pulang beberapa tahun dulu. Ada yang setahun dua ini. Malah temanku, pencipta heading blog ini, juga telah tiada. Dulu-dulu aku ada juga berangan angan menambah baik design blog ini. Tapi temanku yang baik itu juga tak panjang usianya.

Aku bosan juga dengan banyak hal lain. Aku menuliskannya dulu, kerana aku tahu banyak teman baikku membacanya. Ada hal yang aku tulis kerana mereka menyuruhnya juga. Kini tak ada seorang pun dari mereka yang masih hidup.

Hidup ini adakalanya begitulah. Anda boleh menyuruh orang lain ketawa. Tapi kita tak mampu menggeletek diri sendiri untuk tersenyum sekalipun.

Aku tahu juga, aku tidak kian muda. Kita semua akan ke sana juga. Tapi tentulah teman-teman kita itulah yang membahagiakan kita sebelum singgah di dunia sana. 







Ramadhan telah bermula. Sebulan lagi kita beraya. Kegembiraan apakah yang cuba kita ceritakan? Siapakah pula yang akan mendengarnya.

Menulis memang tak pernah mudah. Tapi menulis yang kita tahu teman-teman terbaik kita tak akan membacanya lagi tentulah tidak akan menjadi lebih mudah.

Selamat malam kawan. Itupun jika masih ada yang tersisa di mana-mana.

Itu jugalah alasan terbaik untuk aku selalu berfikir untuk berhijrah.


4 comments:

Zaharah said...

Saya jumpa blog ni sudah lama. Kerana saya pernah masuk kelas metodologi masa saya buat master dulu. Sekarang saya buat phd tak siap-siap. Sekali ada entri baru di blog ni, saya baca melalui email. Terus kuat. Saya akan membacanya.

alfindani said...

Salam, tuan.

Hari ini terdetik menjengah blog sendiri setelah sebegitu lama. Perasan ada entry baharu daripada FF.

Benar tentang rasa kosong itu. Entah kerana kehidupan semakin serabut atau kita sendiri yang makin serabut. Mungkin juga kerana usia yang makin berkurang ini menjadikan kita lebih banyak memikirkan detik kepulangan sehingga dunia ini kelihatan suram pada kita.

Demikianlah.

FakirFikir said...

Sesekali kembali

Ikmal Ishak said...

Salam En. Rindunya pada blog ini. Sudah lama tak baca. Saya mula baca blog En. sejak tahun 2013. Sudah 8 tahun berlalu. Terima kasih pada En. kerana melalui blog ini saya banyak mengambil iktibar daripada cerita hidup En. Terutama kisah masa En. muda masa kerja di kilang dulu & kisah phd.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails