Besok pagi, 13 tahun yang dulu aku menamatkan usia bujang. Masa itu,
hidup aku tidaklah semudah yang disangka. Aku hanya memiliki sebuah motosikal.
Untuk berkahwin, aku mengikat perut selama beberapa bulan. Ini bukan ikat perut
dalam istilah bahasanya. Ini ialah ikat perut yang betul. Pernah satu malam,
aku cuma ada 30 sen sahaja di dalam poket. Kawan serumah aku - Aca, seorang
pelukis grafik juga hanya ada beberapa ringgit dalam poket.
Kata Aca, cara yang paling mudah ialah dengan hanya meminum air teh.
Katanya, gula boleh memberi tenaga. Ya, malam itu kami membancuhkan air teh.
Itu sahaja yang ada.
Kami menyewa rumah flat kos rendah di Pandah Jaya. Jarak rumah aku
ke pejabat dalam 3 km. Kerana hari itu ialah hari Ahad, dan aku tidak tahan
lagi mengikat perut, aku berjalan kaki ke pejabat. Motor sudah kehabisan
minyak. Aku ke pejabat bukan untuk berkerja. Aku ke pejabat untuk mencari roti
dan biskut kering yang disimpan di pantry. Setelah membancuh secawan kopi, dan
memakan entah berapa banyak roti kering, aku membawa pulang sedikit untuk Aca
di rumah. Berjalan kaki lagi.
Isnin itu, aku tidak tahan lagi berlapar. Aku menelefon sahabat lama
aku. Dia datang memberikan aku wang.
Hidup ini teruk bukan? Ini cerita 13 tahun dulu. Aku pun tidak tahu
mengapa cerita ini penting untuk ditulis.
Sepanjang 13 tahun ini, aku juga dikurniakan banyak cerita indah.
Sesekali bercampur cerita gulana.
Dua hari lalu, ketika menyelongkar barang-barang di rumah mertua,
aku bertemu semula dengan beberapa keping surat cinta yang isteri aku simpan
dalam album. Beberapa orang anak saudara aku datang – “Uncle, boleh tak ajar
kami bagaimana menulis surat cinta?’
Aku tidak memberikan apa-apa respons. Cuma, kalaulah mereka tahu, mereka
tidak akan menuliskan sebarang surat untuk sesiapa pun. Dalam dunia ini, yang
paling penting ialah berapa banyak wang yang ada dalam poket anda. Itulah
resipi kehidupan.
Seguni surat cinta pun tidak akan mampu membelikan mereka sebungkus
nasi lemak pun.
Apa hadiah untuk isteri aku?
Tidak ada hadiah. Tidak ada Samsung 2 atau Ipad. Aku sendiri pun
masih memakai handphone yang buruk. Cuma, dia memintakan aku menulis sesuatu di
blog ini.
Apa yang akan aku tuliskan.
Aku pun tidak berapa tahu. Besok hari aku tuliskan.
4 comments:
..Gua masa memula kawain dulu pun struggle jugak bro...Dok umah setinggan yang dah senget air tarak api tarak...Lambat mandi jawabnya telaga kering sebab berkongsi dengan ramai orang...Amik upah merumput bersama wife dengan anak sulung berumur tiga tahun yang sekarang dah berumur 26 tahun..Tapi semua itu indah untuk dikenang..Baru2 ni wa cerita kat mak dan dia nangis..sebab kami mmng tak pernah cerita susah kami pada dia..Alhamdullilah kami juga tak pernah merungut...
Hidup itu indah bila diselangi dengan pelbagai suka dan duka, mengajar kita menjadi manusia yang berfikir akan ketentuan-Nya.
menarik jugak bila kita kenang zaman susah kita..bersyukur kerana dugaan tu ada hikmahnya..
saya ingatkan saya je yang susah. rasa nak nanges bila takde duit.
Post a Comment