Yang Ikut

Monday, 5 September 2011

Selamat berjumpa lagi Adelaide

Reactions: 
Pagi jam 7.22. Ini mungkin pagi terakhir aku menulis dari Adelaide, kecualilah aku datang kembali ke sini pada ruang yang lain. Aku selalu berharap aku akan datang kembali ke sini.

Isteri aku sudah siap mengemaskan barang-barang untuk dibawa pulang. Termasuk sekotak bual epal untuk dibahagikan kepada keluarga di Malaysia. Tidak ada bezanya buah epal di Adelaide dengan epal yang dijual di pasar malam Changlun. Cuma, baik sedikit buah epal ini mungkin datang dari kebun di Adelaide Hill.

Aku akan datang lagi ke Adelaide?

Mungkin ya dan mungkin tidak. Penyelia aku sudah menulis satu proposal untuk dihantar ke universiti aku di Malaysia. Kalau permohonannya diluluskan, aku mungkin akan kembali lagi. Kalau tidak, aku akan berada di Kuala Lumpur beberapa tahun lagi. Atau akan mati di situ.

Orang selalu mengingatkan aku akan 'sepak terajang' permainan politik di universiti. Sebenarnya, secara jujur aku tidak begitu peduli sangat hal itu. Aku tidak begitu menganggap tempat kerja sebagai sangat nolstalgik dalam hidup. Kalau aku tidak suka, aku akan berhenti dan mencari kerja lain. Tempat kerja bukanlah ibu bapa kita yang tidak ada galang ganti. Kalau aku mampu berkerja untuk seberapa lama, aku akan teruskan. Jadi, kalau ada orang yang ingin bermain politik pun - biarkan mereka bermain.

Jadi, begitulah prinsip hidup aku. Umur aku sudah menghampiri 40 tahun. Aku tidak perlu ambil pusing dengan 'senioriti' di tempat kerja. Paling lama aku berkerja pun cuma 15 tahun, sebelum aku berpencen. Gaji yang bakal aku dapatkan pun mungkin tidak akan lebih besar dengan gaji aku dahulu. Jadi, tidak perlulah aku ambil hirau sangat hal ini.

Apa perancangan depan aku selepas ini? Sebenarnya, aku ada beberapa hal lain yang lebih utama. Misi aku ialah untuk memberikan khidmat untuk anak-anak sekolah luar bandar. Aku harap dapat menghimpunkan 'non government individual' bagi mengadakan beberapa program di luar bandar. Tunggu pengumuman selanjutnya. Buat masa ini, aku dan Krenmaut akan mencuba sesuatu. Dia di Amerika pula. Harapnya dia tidak bermastautin dan berkahwin lagi satu di sana.

Untuk pelajar universiti yang berminat dengan hal statistik dan menulis, aku juga sedang merancang sesuatu. Jangan bimbang - aku akan menawarkan khidmat secara percuma. Ia sebahagian dari hobi aku. Sesiapa yang ingin bertanya soalan berkaitan hal ini, email aku.

Kepada semua teman di Adelaide, terima kasih semua. Anda telah menjadi sebahagian dari keluarga untuk tempoh 4 tahun ini. Maaf - kalau ada yang tersalah dan tersilap. Juga kepada anak-anak muda yang mengenali aku. Moga anda akan menjadi pelajar yang baik. Juga berhati-hatilah. Moga-moga juga anda tidak begitu teruja dengan banyak benda yang baru - baik dalam hal keduniaan, atau hal beragama.

Ingat, sangat mudah mencari salah orang, dari mencari dosa sendiri. Jadi berwaspadalah dengan banyak hal.


Moga-moga kita berjumpa lagi.

Selamat berjumpa lagi warga Adelaide!

2 comments:

norhayati said...

Tahniah diucapkan kerana akhirnya berjaya pulang dengan pelbagai pengalaman di tanah orang. Saya selalu mengikuti tulisan Tuan yang saya dapati simple dan menarik. menulis tentang Adelaide dan kehidupan di sana sehingga Tuan tamat pengajian. Mungkin selepas ini tiada lagi cerita pengalaman di sana... sayu juga tetapi kehidupan perlu diteruskan. Anak saya juga sering bercerita tentang Adelaide itu, Adelaide ini sehingga satahun selepas pulang tetapi sudah mula kurang sejak kepulangan di tahun kedua.
Harapan saya jangan berhenti menulis dan pengalaman di Adelaide mungkin akan disambung oleh anak saya yang ketiga pula.

Kak Norhayati : ibu Muhd. Syukri Rosli yang pernah bertandang ke rumah Tuan pada tahun 2010 yang lalu

FakirFikir said...

Terima kasih dan selamat datang Kak. Insyaallah, akan sentiasa menulis - cerita dan hal yang lain pula.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails