Yang Ikut

Tuesday, 29 December 2015

Sara hidup: Ikutlah saran saya

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya fikir, cadangan agar kita membuat 2 atau 3 kerja untuk menampung kos sara hidup sangatlah menghiburkan. Bukan mudah untuk mendapat satu kerja sekalipun di zaman ini, apatah membuat banyak pekerjaan. Jadi hanya yang sangat luarbiasa sahaja mampu melakukan banyak kerja.

Orang bawahan seperti kita, yang tidak hebat dan tidak luarbiasa, mempunyai satu kerja pun sudah boleh bersyukur. Baik di jabatan kerajaan atau swasta, kita diminta punch in pagi, dan punch out petang. Kita diminta jangan banyak curi tulang dan amanah dengan pekerjaan. Malah, ada yang tak sempat makan tengahari. Ada yang tak habis kerjanya di pejabat, lalu dibawa pulang ke rumah pula.

Anak isteri tidak sempat dibelai. Dengan satu kerja pun rumah tangga tak keruan, tak tahulah jika ada banyak kerja.

Melainkan kita orang istimewa yang dilantik menjadi pengerusi atau pengarah di sana sini. Orang seperti ini tidaklah berkerja seperti kita. Mereka sesekali menghadiri mesyuarat. Tidak perlu berulang alik seawal pagi, dan pulang tatkala matahari sudah jatuh.

Mungkin juga kita boleh bawa teksi di waktu malam. Kemudiannya jam 5 pagi berkerja di pasar borong. Tapi bolehkah?

Dalam dunia ini, ahli politik biasanya ada banyak jawatan. Kalau seseorang itu bukan ahli parlimen,  atau ahli dewan undangan negeri, mereka tidak boleh dilantik jadi menteri atau Exco. Kalau ingin dilantik juga, perlu dilantik jadi Senator dulu. Jadi secara automatiknya setiap yang jadi menteri itu perlu ada dua jawatan.

Kalau dilantik pula dengan penasihat di sana sini, atau pengerusi syarikat tertentu, mereka boleh pegang berpuluh-puluh jawatan.

Tetapi untuk orang kebanyakan seperti kita, yang mengikuti kerja secara formal dari jam 8 pagi dan pulang 5 petang, jangankan banyak kerja, satu kerja tadi pun tak tertanggung.

Apatah pula kerja yang kita lakukan itu bukan sekadar bercakap sahaja.

Jadi saran untuk melakukan lebih dari satu kerja ini saya tak ambil pusing sangat.

Kita boleh ambil saran ini sebagai satu hiburan setelah penat berkerja.

Untuk atasi kos sara  hidup, saya fikir kita teruslah membuat pinjaman bank dan jual segala apa yang ada.  Kerana akhirnya tak ada seorang pun yang akan berfikir untuk kita, termasuklah mereka yang bijak pandai dan bergeliga.


Friday, 11 December 2015

CacaMerba

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Melayu

 Menjadi Melayu ini
Segalanya serba tak kena
 Kasar dikata biadab
Marah dikata derhaka
Menegur dikata mengata
 Semuanya tak boleh belaka
Sedang kepala diinjak setiap masa

 Menjadi Melayu ini
Segalanya serba tak kena
Yang salah dikata benar
Yang benar dikata celaka
Benar dan salah tak mampu dibeza
 Jadilah kita bangsa yang hina

 Menjadi Melayu ini
Segalanya serba tak kena
 Tak cukup bersalam bercium pula
 Tak cukup bercium mengampu juga
Hidup selamanya ibarat hamba
Ibarat jasad yang tiada jiwa

 Menjadi Melayu ini
Segalanya serba tak kena
Yang cerdik tak boleh bersuara
Yang bodoh bersorak suka
Yang jahat diampu sepanjang masa
 Yang baik tempatnya mungkin di penjara

 Satu hari orang bertanya
Malayu ini apa harganya
Serba tak kena kita menjawabnya
Mencari di mana nilainya kita

 FF

Wednesday, 9 December 2015

Yang Bersungut

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Semua seperti diam mendengar bermacam-macam yang naik. Daripada harga barang, harga tol sampailah nanti mungkin elektrik juga. Sebab disungut pun naik, merungut pun naik. Siapa yang sedang memperjuangkan sesuatu untuk kita? Atau kita sedang menanggung sesuatu untuk orang lain?

Sepatutnya orang politiklah yang menjaga kita. Mereka dilantik oleh rakyat untuk menjalankan kerja bersungut untuk kita semua. Kita tidak ada pakaian cantik untuk bersidang dan bersungut di Parlimen. Kita tak ada suara lunak mengampu untuk masuk ke dewan undangan negeri. Yang kita ada ialah mereka yang kita undi setiap 4 atau 5 tahun sekali.

Tetapi apa boleh buat. Gaji ahli politik naik selalu. Katanya tak cukup makan. Katanya inflasi. Katanya harga barang tinggi. Ia naik juga di negeri yang diperintah oleh parti Islam. Jadi apa boleh kita buat?

Hendak bersungut dan merungut di mana kita ini? Banyak ahli politik ada facebook dan twitter. Bacakah mereka sungut-sungut kita?

Yang selalu kita baca saran-saran mereka yang menyuruh kita itu dan ini. Berjimat itu dan ini. Hebat dan geliga rupanya.

Berjimat apa lagi kalau harga barang naik dan semua naik? Mustahil ada yang mampu pergi kerja berjalan kaki. Ia bukan berjimat lagi. Ia sudah menjadi zuhud pula.

Sungut-sungut dan merungut-merungut. Ada yang kita lihat sangat garang dalam persidangan partinya. Tapi dalam diam-diam mereka juga mungkin ada tatkala mesyuarat naik harga.

Sungut-sungut dan merungut-merungut.

Duit kita sebenarnya hilang ke mana?

Kita berharap Yang Bersungut boleh bantu kita.

Friday, 4 December 2015

Cerita aku di tahun 2015

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Masa berlari begitu laju. Sekarang tahun 2015. Tahun 1985 aku di Tingkatan 1 Khas 2 di Sekolah Menengah Jitra. Ia sekolah yang 30 kilometer jauh daripada kampung aku. Ia memang sangat jauh untuk anak-anak orang susah seperti aku. Untuk sampai ke pekan terdekat, Changloon yang sejauhnya cuma 3 batu itu pun sangat jauh, apatah lagi belajar di sekolah bandar. Waktu itu aku cuma kenal basikal sebagai kenderaan terlaju di dunia.


Masa berlalu dan pergi. Aku kian membesar kalaupun tidak kian dewasa. Pencapaianku di sekolah turun dan naik. Ada subjek yang aku sangat cemerlang. Ada subjek yang aku gagal. Aku tidak ada subjek yang sederhana. Ia bersifat 'two opposite poles' yang jarang bersatu. Pencapaian sains dan matematik aku teruk. Banyak gagal daripada lulus. Lulus pun sebenarnya dalam kategori gagal. Pelajaran bahasa dan menghafal aku cemerlang. Ia bukan temberang.

Tahun 1992 aku ke universiti. Aku semakin bijak sekalipun tidak juga cemerlang. Tidak pernah aku berangan-angan lulus kelas pertama. Aku cuma ingin lulus sahaja. Tapi aku tidaklah teruk sangat. Subjek psikologi aku boleh kuasai dengan baik. Aku memang cemerlang dalam subjek metodologi. Baik metodologi psikologi atau sejarah. Aku pasti mendapat A. Sebab ia subjek berkisar logik 'keadilan memilih dan menafsir'.

Masa berlalu lagi. Tidak banyak kisah cinta dalam perjalanan usiaku. Selain tidak tahu menggoda anak dara, tidak juga yang terpikat denganku. Aku rasa begitu. Ada beberapa orang gadis yang baik denganku. Tapi kami tidak pernah bercinta dan berdating. Baik tidak memberi apa-apa makna. Suka juga tidak mendatangkan apa-apa.

Aku dalam kategori bukan menggoda dan tergoda. Aku dalam duniaku yang lain. Dunia tanpa mimpi tanpa igau tanpa angan.

Semakin membesar, aku kian tua sekalipun belum tentu dewasa.

Tahun 1996 aku mula berkerja. Sesekali tiada kerja. Sesekali kerja semula.

Aku menjadi kuli dengan pelbagai sifat dan darjat. Akuu pernah memburuh kerja kontrak. Pernah memburuh di kilang. Menjadi pembancuh teh tarik dan kopi O. Ada seorang pakcik tua, pelanggan tetap kedai, tidak mahu minum kopi yang aku bancuh.

Aku pernah menjadi pengurus. Menjadi kuli yang dinamai Ketua Pegawai Operasi di Indonesia. Pernah diberi tugas sebagai Pengurus juga di tempat lain.

Aku kian tua, sekalipun tidak dewasa.

Aku ada semua jenis ijazah daripada yang paling bawah sehinggalah PhD. Adakah aku kian cerdik? Tidak juga. Melainkan ia sekadar melengkapkan pusing cerita jalan hidupku.

Cerdik dan bodoh adalah rekaan manusia sahaja. Kita mungkin cerdik di kampung kita, tetapi bodoh di tempat orang. Kita mungkin melihat diri cerdik, tetapi orang lain sedang melihat kita sebagai bodoh. Bukankah kini kita sedang menyaksikan banyak orang yang merasa cerdik dengan kenyataan bodoh?

Cerita manusia ini berlingkar dalam kitar cerdik dan bodoh. Aku menulis di majalah dan suratkhabar. Aku menulis di jurnal juga. Aku menulis bab dalam buku. Tapi aku juga banyak kisah bodoh. Yang paling bodoh, aku tidak sempat menunggu di katil hospital melihat emakku pulang ke alamnya. Ia takdir. Tetapi ia takdir yang mengisahkan ralat hidup.

Tahun 2015 aku di Australia. Aku tidak tahu di mana perjalanan hidupku akan terhenti. Yang kita dapat tahu hanya di mana kita bermula.

Kita tak dapat memilih bumi mana kita dilahirkan. Tetapi kita boleh memilih bumi mana kita meneruskan kehidupan.

Itulah ceritaku di tahun ini. Cerita seorang lelaki yang kian tua, tetapi mungkin tidak semakin dewasa. Aku tidak semakin cerdik. Tetapi aku harap tidak menjadi kian bodoh.

Wednesday, 2 December 2015

Sedih dan kecewa

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Apakah yang paling menyedihkan dalam hidup?

Banyak. Ia bergantung kepada siapa kita dan apa yang menjadi keutamaan. Ada orang sedih kerana hartanya hilang. Ada orang bersedih kerana ditinggalkan kekasih. Ada orang bersedih kerana cinta tak kesampaian. Ada yang bersedih kerana gagal dalam hidup.

Adakah sedih dan kecewa hal yang sama.

Kelihatannya sama, realitinya tidak. Orang yang kecewa mungkin akan bersedih. Tetapi ada juga yang kecewa akan menjadi marah. Walaupun susah untuk diukur, biasanya kecewa datang dahulu sebelum bersedih. Tidak boleh bersedih kemudiannya kecewa. Orang yang gagal dalam ujian, akan merasa kecewa lalu bersedih. Mustahil dia bersedih tanpa ada rasa kecewa. Bagi yang tidak kisah lulus atau gagal, mereka tidak bersedih sebab mereka tidak kecewa.

Hasil kecewa ini juga bukan sekadar bersedih. Banyak manusia yang telah mati kerananya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails