Yang Ikut

Monday, 28 September 2015

Indahnya nostalgia

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Seminggu dua ini saya sibuk menebas dan membersihkan yard di belakang rumah saya. Selama ini mungkin ramai yang menyangka negara maju seperti Australia hanya ada kota batu bata. Sebenarnya, ia lebih banyak pokok dan burung.


Ia mengingatkan saya di masa kecil dulu mengikut emak saya ke huma. Emak saya ada menanam sedikit padi huma di sebelah bendang di pinggir hutan. Waktu itu untuk sampai ke bendang kami, terpaksa berjalan kaki begitu jauh. Melintasi hutan dan sungai. Walaupun saya tidak pernah terserempak, tetapi kata orang di hutan itu ada harimau kumbang.

Di huma itu ada sebuah dangau dan telaga. Di situlah emak memasak nasi. Ia tempat yang sangat membahagiakan. Ikan ditangkap di bendang dengan memancing atau menahan taut. Udang juga ada. Mudah sekali waktu itu. Sayur-sayur seperti petola dan labu diambil di sekitar huma. Lepas makan kami budak-budak biasanya bermain atau tidur di atas dangau tadi. Tidak ada wang, tetapi hidup sangat bahagia.

Sekarang hutan itu sudah tidak ada lagi. Ia bertukar menjadi kebun getah. Untuk sampai juga mudah. Tidak perlu berjalan kaki lagi. Naik motosikal boleh sampai terus ke bendang.

Di belakang rumah saya sekarang banyak burung. Macam-macam burung ada. Burung merbuk, burung serindit, dan macam-macam burung yang saya tak kenal nama. Ia jinak. Sebab mungkin tidak ada orang mengganggunya. Di Malaysia menjadi hobi orang kita menangkap semua binatang. Ada yang dibela, ada yang dimakan. Saya terjumpa sarang burung.


Begitulah indahnya nostalgia. Ia indah untuk dikenang sekalipun dulunya ia tidak ada nilainya.

Sunday, 27 September 2015

Mari kita promosikan hak hidup bersama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Saya seorang pendatang di Australia. Saya juga bukan warganegara. Saya tidak ada banyak keistimewaan kerana saya bukan warganegara. Tetapi saya ada hak saya sendiri sebab saya datang secara sah. Malah, yang datang secara tidak sah pun ada haknya juga.

Begitulah sepatutnya.

Tidak ada gunanya kita bermasam muka hanya kerana kita mempunyai status yang berbeza.

Di Malaysia isu perkauman kian menjolok mata. Ia isu yang timbul setelah puluhan tahun rakyat berbilang bangsa hidup bersama secara tenteram. Memang ada seorang dua yang agak prejudis. Saya juga. Tetapi tidaklah boleh kita rangkum semuanya menjadi isu yang menyakitkan.

Jika hendak berdemontrasi atau berkumpul, yang patut digalakkan ialah mempromosikan hak hidup bersama. Kita berkumpul untuk melagukan kehidupan Malaysia berbilang bangsa. Jika ada hak tertentu untuk kaum tertentu seperti mana yang telah dipersetujui maka kita bersetujulah untuk tidak mengungkitnya. Jika ada bangsa tertentu menjadi kaya, maka bersamalah kita mempromosikan cara untuk kita semua sama-sama kaya.

Itulah sepatutnya. Bermusuhan sesama kita tidak menguntungkan sesiapa. Mereka yang datang tidak boleh mengubah sejarahnya. Mereka yang lahir di sini juga tidak boleh mengubah takdirnya.

Yang boleh diubah ialah mempromosikan hak hidup bersama tanpa banyak melagukan sentimen perkauman.

Kita semua, akan menuju arah yang sama. Mati dan berakhirlah cerita kita.


Saturday, 26 September 2015

Adelaide - kita menyapa lagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Sudah genap sebulan aku kembali ke Adelaide. Ia bukanlah tempat terbaik, tetapi tempat istimewa dalam hidupku. Di sinilah aku mendapat PhD. Di sini juga aku bertemu dengan banyak guru akademik istimewa.



Sejak pulang ke Malaysia 4 tahun dulu, aku masih berpaksikan Adelaide dalam urusan akademik. Aku terus menulis bersama Prof Maureen Dollard. Dua jurnal diterbitkan sepanjang aku pulang. Satu daripadanya ialah jurnal nombor 6 dunia pada tahun lalu.

Pelajarku di Malaysia masih terus dibimbing Maureen. Kami menulis bersama.

Dua tahun lalu aku mendapat geran bersama dengan Maureen. Ia geran ARC yang dikejar ramai ilmuan Australia.

Aku juga terus menjadi panel pemeriksa tesis di University of South Australia. Jadi aku tahu perkembangan kajian di sini.

Jika ditanya mengapa aku pulang semula ke sini, dan bukan tempat lain, mungkin inilah jawabnya.

Aku sebenarnya masih berada di Adelaide, sekalipun jasadku di Malaysia. Aku mengajar dengan menggunakan pendekatan terkini dalam kajian kami di Australia.

Sebulan ini tidak banyak kejayaan yang boleh aku ceritakan.

Aku sekadar berjaya menyiapkan proposal grant penyelidikan.

Selebihnya aku sedang mencari semula diriku yang hilang.

Friday, 25 September 2015

Musim bunga tiba lagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 

Lupakan merah. Lupakan kuning. Lupakan yang resah. Lupakan yang runsing. Musim bunga tiba lagi. Ia indah. Ia melakarkan cerita musim baru yang riang.

Bunga, tidak seperti manusia. Ia menepati janjinya. Akan berbunga bila tiba waktunya. Akan gugur bila sampai janjinya. Ia tidak menangguhkan. Ia datang dan pergi mengikut kitar alam.

Manusia tidak. Manusia tidak selalu berpegang dengan janjinya. Manusia berpegang dengan mimpinya. Bunga memberikan keindahan kepada setiap yang melihat. Manusia mengejar untuk mengindahkan nafsu hidupnya, tanpa peduli orang melihatnya indah atau jelik.

Aku hanya sekadar pemerhati kitar hidup sang bunga dan kitar hidup manusia.

Thursday, 24 September 2015

Salam Aidil Adha 2015

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 


Tahun 2011,  aku sempat beraya Aidil Adha di Adelaide sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Tahun 2015 aku kembali beraya di sini. Suasananya sama, orangnya berbeza.

Apakah aku bersedih beraya di luar negara?

Sebenarnya tidak juga banyak kegembiraan untuk aku beraya di negara sendiri. Selain tiada emak lagi untuk aku menuju setiap kali raya, suasana hiruk pikuk politik Malaysia juga tidak lagi meriangkan. Ia semakin menyesakkan telinga. Itu belum termasuk berita bunuh dan kes jenayah yang semakin mengerikan.

Jadi beraya di luar negara juga tidaklah menambah atau mengurangkan apa-apa.

Selamat beraya.



Saturday, 19 September 2015

Sejak bila darah kita lebih mulia?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Reactions: 
Malaysia sekarang sepertinya bergerak ke belakang.

Ahli politik mula memainkan isu perkauman keterlaluan untuk menonjolkan diri.

Malangnya ia dianggap isu biasa.

Kini bising-bising, apa salahnya jika dilaungkan 'Cina Babi' kerana babi itu makanan orang Cina. Ia hanya jijik untuk Melayu dan bukan orang Cina. Tak pastilah sama ada kenyataan seumpama ini dilihat munasabah, atau ada benarnya. Saya melihat kenyataan seumpama ini lebih kepada kenyataan tidak cerdik yang tak sepatutnya keluar dari mulut sesiapa pun.

Maka kemudiannya muncullah pula kenyataan Melayu lembu? Lembu ialah makanan orang Melayu. Logiknya ia tidak salah bukan?

Tetapi itulah hasilnya bila menggunakan hujah yang dangkal untuk membenarkan sesuatu yang salah. Babi memang makanan orang bukan Islam. Tetapi dalam penggunaan harian, khususnya dalam budaya kita babi juga dirujuk untuk menghina. Ia diguna sebagai terminologi kata nista untuk banyak budaya di dunia.

Lembu juga begitu. Ia perlambangan kebodohan. Walaupun hakikatnya lembu mungkin tidaklah bodoh, atau juga pintar. Ia hanya binatang sahaja.

Tetapi mengapa harus disindir bangsa lain dengan kata yang tidak disukai?

Adakah satu-satu bangsa itu lebih baik daripada bangsa lain. Dalam dunia ini, bangsa Yahudi selalu mengaku mereka bangsa pilihan.

Sedangkan hakikatnya darah kita ini sama sahaja. Mungkin darah kita juga mengandungi darah pelbagai bangsa. Yang pasti tulin darahnya ialah Nabi Adam dan Hawa. Selainnya darah kita ini telah bercampur dengan pelbagai sifat darah dari pelbagai bangsa.

Pada akhirnya, niat kita itulah yang menentukan kemuliaan kita.

Saya juga perkauman. Saya juga marahkan bangsa lain dalam hal tertentu. Tetapi saya juga marahkan bangsa saya yang tidak mahu berubah.

Tetapi saya tidak akan menyatakan orang lain sebagai babi kerana saya tahu ia menyakitkan hati. Sama seperti saya tidak suka orang menghina bangsa saya sebagai lembu kerana ia juga menyakitkan hati.

Jadi mengapa kita tidak berfikir?

Adakalanya kita merasa telah berjuang untuk mendapatkan sesuatu. Sedangkan hakikatnya kita mungkin tidak dapatkan apa-apa melainkan permusuhan dan hilangnya persahabatan. Kita mungkin telah hilang harga diri.

Cukup-cukuplah. Dunia telah berubah. Jangan bermain politik yang membinasakan keharmonian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails